Sunday, February 25, 2007

DILEMA PEMERINTAHAN KITA

Oleh: Kassim Ahmad

15 Februari, 2007

Kita hendak bercakap tentang pemerintahan kita, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, selama 50 tahun, boleh dikira dua generasi. Adakah kita lulus ujian pemerintahan ini?

Terdapat sebuah cerita yang indah dalam Quran tentang pemerintahan. Apabila Tuhan menawarkan pentadbiran alam ini kepada makhluk-makhluk-Nya, makhluk-makluk lain, kecuali manusia, menolak tawaran itu, kerana takut tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang berat ini. Manusia, sebaliknya, menerimanya, walaupun penerimaan yang berani ini ditempelak sedikit oleh Tuhan. (Lihat Quran, 33: 72).

Cerita kiasan ini mengandungi makna yang mendalam untuk kita. Pentadbiran negara kita, yang kita terima dari Tuhan, suatu tanggungjawab yang berat, kerana tugas itu ialah untuk mendirikan sebuah negara yang adil untuk semua rakyat kita, tidak kira kaum, agama dan jantina. Tuhan Yang Maha Mengetahui mengkritik penerimaan kita sebagai didorong oleh kezaliman dan kejahilan.

Kata pepatah Inggeris, kuasa menyebabkan korupsi dan kuasa mutlak menyebabkan korupsi mutlak. Tetapi, malangnya, kita perlu kepada kuasa itu untuk mentadbirkan negara dan membawa kebaikan kepada bangsa kita. Kuasa, walaupun merbahaya dan boleh merosakkan, perlu untuk mewujudkan kebaikan di negara kita dan di dunia. Oleh yang demikian, kritikan Tuhan kepada manusia sebagai pemegang amanah atau kuasa dalam ayat itu tidak mutlak. Tuhan tetap membenarkan manusia memegang kuasa. (Sebab itu dalam zaman kita, kita melihat kepala samseng dan kepala penjenayah Bush berkuasa!) Fungsi kritikan itu sebagai ingatan dan amaran bahawa manusia mesti berhati-hati supaya kuasa ini jangan membawa kepada kerosakan, tetapi sebaliknya hendaklah membawa kepada kebaikan.

Dua sifat yang harus kita elak ialah kezaliman dan kejahilan, yang disebut dalam ayat itu. Dari zaman Tengku Abdul Rahman (1956-1970) hingga sekarang Kerajaan kita, mula-mula Perikatan (1956-1973) dan selepas itu Barisan Nasional (1973 hingga sekarang), tegak di atas satu dasar pemerintahan yang pragmatik yang mengambil-kira sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan hak ketuanan Melayu dan hak para imigeran dari kawasan-kawasan kebudayaan China dan India yang menjadi penduduk tetap negara ini yang kebanyakannya masuk dengan kolonialisme Inggeris di Malaya dan Kalimantan Utara (dulunya Kesultanan Melayu Brunei). Dari dasar pragmatik inilah lahir sistem demokrasi beraja berparlimen yang kita lihat hari ini. Sistem demokrasi berparlimen ini kita ambil dari Inggeris. Kita juga turut mengambil sistem ekonomi “pasaran bebas” Adam Smith mereka.

Ini sistem sekular liberal yang tidak sesuai dengan kehendak agama Islam yang kita anut. Islam tidak mengiktiraf pembahagian dunia kepada dua kategori yang mutlak: keduniaan dan keakhiratan. Selaras dengan faham tauhid, dunia atau Alam Raya ini satu, walaupun ia ada banyak bahagian dan peringkat. Perlembagaan Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad untuk mentadbirkan kota Madinah dan kemudian seluruh Semenanjung Arab (negara-bangsa yang pertama dalam sejarah) mengasingkan perkara-perkara agama dan budaya dari pentadbiran pusat serta memberi kuasa autonomi kepada sesuatu komuniti agama dan budaya untuk mentadbirkan urusan-urusan agama dan budaya masing-masing. Pengasingan agama dan politik dari segi ini dianjurkan oleh Islam, tetapi tidak pengasingan ekonomi-politik dari penghakiman akhlak atau moral. Politik dan ekonomi tidak boleh diamalkan dengan mengenepikan moral. Oleh sebab itu, penindasan, penipuan dan kezaliman tidak dibenarkan. Inilah bezanya antara konsep sekularisme Islam dengan konsep sekularisme Barat. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dalam Perlembagaan Madinah itu bersumber kepada perintah Tuhan dalam Quran, yang berbunyi: “Bagi tiap-tiap masyarakat, Kami wujudkan cara ibadah yang mereka lakukan. Jangan kamu diajak bertengkar tentang perkara ini. Serulah kepada Tuhanmu. Kamu di jalan yang betul.” (Quran, 22: 67)

Dalam sistem demokrasi Barat, yang menjadi batasan kuasa ialah apa yang dipanggil “sekatan dan imbangan” (checks and balances) yang diwujudkan melalui sistem dwi-parti dan pilihanraya. Setelah berjalan beberapa lama, kita melihat bahawa sistem ini gagal memberi keadilan, keselamatan dan keamanan kepada rakyat negara itu dan juga kepada dunia. Sistem ini tidak boleh mewujudkan sebuah masyarakat tanpa diskriminasi kaum, pengangguran dan kemiskinan dan tidak boleh menghapuskan jenayah dan penindasan dalam pelbagai bentuknya. Mengapa? Adakah kerana kelemahan dalam diri manusia itu sendiri maka ia tidak boleh mencapai kesempurnaan?

Sejarah membuktikan kepada kita bahawa manusia boleh dan telah mencapai pemerintahan-pemerintahan dan zaman-zaman yang baik. Contohnya banyak. Dari segi falsafah, taraf manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi menunjukkan bahawa dia boleh mencapai masyarakat yang baik. Untuk mencapai matlamat ini, dia mestilah berjuang untuk meningkatkan dirinya, secara individu dan kolektif, ke taraf moral yang lebih tinggai dari taraf moral haiwan (kepentingan diri Adam Smith) ke taraf moral manusia (kepentingan individu dan kolektif yang sah).

Inilah yang harus menjadi matlamat rakyat dan Kerajaan Malaysia.

Tetapi, setelah lima puluh tahun atau dua generasi, kita masih jauh dari matlamat Masyarakat Yang Baik. Buktinya, semangat perjuangan kebangsaan UMNO lima puluh tahun dulu sudah bertukar menjadi pertarungan sengit untuk merebut pangkat, jawatan dan kekayaan. Amalan rasuah makin menjadi-jadi. Pembaziran tidak berkurangan. Kemiskinan belum dapat dihapuskan. Penganguran makin bertambah. Gejala sosial negatif dan jenayah makin bertambah. Adakah ini yang kita mahu?

Adakah wawasan 2020, “Negara Maju” pada tahun 2020 sama dengan konsep Masyarakat Yang Baik? Jika kita jadikan negara-negara Barat, seperti Amerika Syarikat, Inggeris, Perancis, Jerman daln lain-lain, sebagai contoh-contoh negara maju yang ingin kita capai, nyatalah negara-negara ini mempunyai banyak cacatnya.

Islam mengajar kita mengikut jalan yang lurus. Dalam ekonomi-politik, apakah jalan yang lurus ini? Tentu bukan sistem neo-liberal yang semua negara, termasuk kita, anggotai sekarang; sistem ini berserabut dengan krisis dan sedang menuju keruntuhan. Bukan juga sistem komunis yang telah pun runtuh. Tentu juga bukan sistem teokrasi yang sesetengah umat Islam ingin cuba dalam masa tiga puluh tahun yang lalu.

Apakah ekonomi-politik Islam? Adakah falsafah dan sistem ini sudah jelas kepada kita? Apakah prinsip-prinsipnya? Walaupun hal-hal ini sepatutnya sudah lama kita tangani dan selesaikan, tidak ada masa yang lebih baik untuk kita lakukan, kecuali sekarang. Eloklah kita lakukannya sekarang.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com

2 comments:

Anonymous said...

asm Dr..saya kira pandangan dan pendapat Dr wajar diambil peduli oleh pimpinan kita pada masa kini..agaknya apakah yang menghalang mereka dari mendengar buah fikiran bernas dari cendekiawan seperti Dr dan rakan seperjuangan yang lain..

Anonymous said...

DENGAN NAMA ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya” (Ar-Rad: 11)

…………………………………………………………………………………………..

Al-Kisah, penduduk kota Madain telah berduyun-duyun keluar untuk menyambut kedatangan wali negeri mereka yang baru dipilih oleh Amirul Mukminin Sayyidina Umar Al-Faruq r.a kerana sahabat Nabi itu terkenal salih, takwa dan berjasa membebaskan bumi Iraq.

Ketika menunggu rombongan datang, tiba-tiba muncul di hadapan mereka seorang lelaki dengan wajah berseri-seri menunggang keldai beralaskan kain usang, kedua kakinya teruntai ke bawah, kedua tangannya memegang roti serta garam sambil mulutnya mengunyah. Mereka tahu bahawa orang itu tidak lain daripada HUDZAIFAH IBNU YAMAN, maka mereka kebingungan dan hampir tidak percaya.

Apa yang dihairankan ialah corak kepemimpinan yang mereka nantikan dari seorang wali negeri yang baru pilihan Umar. Hal itu dapat difahami, kerana baik pada zaman kerajaan Parsi yang terkenal itu atau sebelumnya, tidak pernah ditemui corak pemimpin saperti ini.

Orang ramai mengelilingi beliau dan ingin menatap wajahnya lebih dekat serta menunggu amanat. Diperhatikannya air muka mereka, lalu katanya:

“Jauhilah oleh kalian dari tempat fitnah !!!”

Balas mereka: “Di manakah tempat fitnah itu wahai Abu Abdillah?”

“PINTU RUMAH PEMBESAR. Seorang di antara kalian masuk menemui mereka dan mengiakan ucapan palsu serta memuji perbuatan baik yang tidak pernah mereka lakukan.”
Suatu pernyataan luar biasa lagi menakjubkan daripada ucapan seorang wali negeri yang baru.

Hudzaifah Ibnu Yaman memasuki arena kehidupan ini dengan sifat yang istimewa antaranya ialah antikemunafikan dan mampu melihat, membaca tabiat serta air muka seseorang. Sejak beliau mendampingi Rasulullah SAW dan memeluk Islam, wataknya bertambah terang dan cemerlang dengan sifat teguh, suci, lurus dan gagah berani. Beliau terdidik di tangan Rasulullah dengan kalbu terbuka tidak ubah bagai cahaya subuh, hingga tidak suatu pun daripada persoalan hidupnya tersembunyi. Tidak ada ‘rahsia’ terpendam dalam lubuk hatinya, seorang yang benar dan jujur, mencintai orang yang teguh membela kebenaran, sebaliknya mengutuk orang yang berbelit-belit dan riak.

Hudzaifah dikurniakan fikiran yang jernih, menyebabkan sampai pada suatu kesimpulan bahawa dalam kehidupan ini sesuatu yang baik itu adalah jelas lagi nyata. Manakala yang buruk adalah gelap atau samar, dan kerana itu orang bijaksana hendaklah mempelajari sumber kejahatan dan kemungkinannya. Beliau berkata: “Orang menanyakan kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan, tetapi aku menanyakan kepada Baginda tentang kejahatan, kerana aku takut terbabit di dalamnya”.

Pernah beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, dulu kita berada dalam kejahiliyahan dan diliputi kejahatan, lalu Allah SWT mendatangkan kepada kita kebaikan. Apakah di sebalik kebaikan ini ada kejahatan?”

Jawab Rasulullah: “Ada”

“Kemudian apakah selepas kejahatan masih ada lagi kebaikan?”

“Memang ada, tetapi kabur dan bahaya”.

“Apakah bahaya itu?”

“Iaitu segolongan umat mengikuti sunnah tetapi bukan sunnahku, dan mengikuti petunjuk bukan petunjukku. Kenalilah mereka olehmu dan laranglah.”

“Kemudian selepas ‘kebaikan’ itu masih ada lagikah kejahatan?”

“Masih, yakni tukang seru di pintu neraka. Barang siapa menyambut seruan mereka, akan mereka lemparkan ke dalam neraka.”

“Ya Rasulullah, apa yang harus aku buat bila aku menghadapi hal demikian?”

Jawab Rasulullah: “Sentiasa mengikuti jemaah kaum Muslimin dan pemimpin mereka!”

“Bagaimana kalau mereka tidak punya jemaah dan tidak pula punya pemimpin?”.

Jawab Rasulullah: “Hendaklah kamu tinggalkan golongan itu semua, walaupun kamu diam di rumpun kayu sampai kamu menemui ajal”


Pada suatu ketika sekembalinya Hudzaifah dari perang, beliau pergi mengadap Rasulullah SAW dan menceritakan kepada Baginda keadaan musuh serta menyampaikan berita gembira. Barangsiapa pernah bertemu muka dengan Hudzaifah, dan merenungkan buah fikirannya dan hasil falsafahnya serta ketekunannya untuk mencapai makrifah, tidak mungkin mereka mengharapkan daripadanya sesuatu kepahlawanan di medan perang atau pertempuran. Tetapi anehnya Hudzaifah melenyapkan segala tanggapan itu. Lelaki terpelajar yang teguh beribadat dan pemikir ini, akan menunjukkan kepahlawanannya yang luar biasa ketika menggenggam pedang memerangi pembela kesesatan dan tentera berhala. Beliau adalah antara tokoh terpenting dalam deretan tokoh pembebasan wilayah Iraq. Kota Hamdam, Rai dan Dainawar mencapai pembebasannya di bawah komando Hudzaifah.

Dalam pertempuran besar Nahawand menghadapi tentera Parsi, Amirul Mukminin Umar melantik Nu’man bin Muqarrin sebagai panglima besar, manakala Hudzaifah adalah sebagai timbalannya. Beliau amat patuh akan arahan Umar sapertimana terkandung dalam surat yang diterimanya daripada Amirul Mukminin bahawa “Jika kaum Muslimin berkumpul, maka masing-masing panglima hendaklah mengepalai anak buahnya, sedang yang akan menjadi panglima besar ialah Nu’man bin Muqarrin. Dan seandainya Nu’man tewas, maka panji komando hendaklah dipegang Hudzaifah, dan kalau ia tewas pula akan diganti oleh Jarir bin Abdillah”

Tentera Muslimin dengan kekuatan seramai 30 ribu pejuang berhadapan dengan tentera Parsi yang jauh lebih ramai iaitu 150 ribu orang. Perang berkobar dengan suatu pertempuran yang tak ada tolok bandingnya, paling dahsyat dan paling sengit dalam sejarah...!

Waktu pertempuran sedang rancak, Panglima Besar Nu’man bin Muqarrin gugur syahid. Tetapi belum pun sempat bendera Muslimin menyentuh tanah, Panglima Besar yang baru menyambutnya dengan tangan kanannya, dan meneruskan perjuangan mengiringi tentera maju ke muka dengan semangat keberanian yang luar biasa. Dalam pada itu Hudzaifah memesan agar berita kematian Nu’man tidak disebarkan sehingga tamat peperangan, serta dipanggilnya Na’im bin Muqarrin untuk mengambil kedudukan saudaranya Nu’man, sebagai penghormatan kepadanya. Semuanya itu dilaksanakan dengan cekap, bertindak dalam waktu yang singkat, sedang roda peperangan berputar cepat. Kemudian bagaikan angin puting beliung, Hudzaifah maju menerjang barisan musuh sambil menyeru: “Allah Akhbar, Dia menepati janji-Nya; Allahu Akhbar, Dia membela tentera-Nya”.

Serta secepat kilat juga mengekang kudanya ke arah anak buahnya, sambil menyeru: ”Wahai umat Muhammad SAW, pintu syurga terbuka luas, siap sedia menyambut kedatangan tuan-tuan. Jangan biarkan ia menunggu lebih lama. Ayuh Maju !!! Wahai pahlawan Badar, pahlawan Uhud, pahlawan Khandaq, pahlawan Tabuk !!!”

Dengan kata-kata itu Hudzaifah memelihara semangat tempur dan ketahanan tentera Muslimin, Kesudahannya perang berakhir dengan kekalahan pahit pihak Parsi, suatu kekalahan besar yang tidak pernah dialami mereka sebelumnya !!!

Dialah seorang Pengabdi di bidang hikmat, ketika sedang tenggelam dalam renungan. Seorang Pejuang di bidang perang, ketika berada di medan laga.

Ketika kaum Muslimin di bawah pimpinan Saad bin Abi Waqqash hendak berpindah ke Kufah dan bermukim di sana, Umar menitahkan Hudzaifah Ibnu Yaman untuk memilih kawasan penempatan yang sesuai. Lalu beliau bersama Salman bin Ziad pergi mencari dan menyelidiki lokasi yang tepat.

Ketika mereka sampai di Kufah, Hudzaifah tertarik dengan satu kawasan tanah kosong yang berpasir dan berbatu-batu. Sambil menghirup udara segar di situ, beliau berkata kepada sahabatnya: “Di sinilah tempatnya yang sesuai, Insya Allah”. Demikianlah diaturnya rancangan pembangunan kota Kufah, sehingga menjadi sebuah kota yang permai lagi sihat; di mana para pesakit juga akan segera sembuh, yang lemah menjadi kuat, dan urat mereka berdenyut sihat.

Sungguh, Hudzaifah adalah seorang Pengkarya yang berfikiran cerdas dan berpengalaman luas, kepada kaum Muslimin beliau selalu berpesan:

“TIDAKLAH termasuk yang terbaik di antara kalian yang meninggalkan dunia untuk kepentingan akhirat, dan tidak pula yang meninggalkan akhirat untuk kepentingan dunia, tetapi hanyalah yang mengambil bahagian dari kedua-duanya.”

Pada suatu hari di antara hari-hari yang bersilih ganti dalam tahun 36 Hijriah. Hudzaifah Ibnu Yaman mendapat ‘panggilan’ menghadap Ilahi. Dan tatkala beliau sedang berkemas-kemas untuk berangkat, maka masuklah beberapa orang sahabatnya. Lalu ditanyakan kepada mereka:

“Apakah tuan-tuan ada membawa kain kafan”

“Ada”, ujar mereka

“Cuba lihat”, kata Hudzaifah pula.

Maka tatkala dilihatnya kain kafan itu baru dan kelihatan mewah, terlukislah pada kedua bibirnya senyuman bernada ketidaksenangan, lalu katanya:

“KAIN KAFAN ini tidak sesuai bagiku! Cukuplah bagiku dua helai kain putih tanpa baju. Tidak lama lagi aku akan berada dalam kubur, menunggu diganti dengan kain yang lebih baik atau dengan kain yang lebih buruk”

Kemudian beliau perlahan-lahan mengucapkan beberapa kalimat (didengari oleh hadirin dengan mendekatkan telinga mereka):

“SELAMAT DATANG wahai maut, tiada kesal di hatiku, kekasih tiba di waktu rindu”

Ketika itu naiklah ke hadrat Ilahi, roh suci di antara arwah para soleh, roh yang cemerlang, takwa, tunduk, sujud dan berbakti.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd !!!
………………………………………………………………………………………………………….
Last but not least, dengan rasa rendah diri teringat saya akan amanat seorang GURU yang semboyannya:

*Beribadatlah kalian sebagaimana NABI BERIBADAT; **Berkaryalah sebagai PEMILIK; ***Berprinsiiplah sebagai PENGABDI; ****Berabdilah sebagai PEJUANG; *****Berjuanglah sebagai PERAJURIT.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd !!!