RANCANG DENGAN TELITI,
LAKSANAKAN DENGAN TEKUN
Oleh: Kassim Ahmad
6 Mac, 2007
Jika kata-kata saja boleh membuahkan hasil, nescaya negara kita telah menjadi negara yang termaju di dunia. Ambil kes kelemahan umat Islam. Dalam masa sebulan yang lalu saja, Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri dan Yang Di-Pertuan Agung telah bercakap tentang perlunya umat Islam membuat sesuatu untuk mengatasi perpecahan dan kelemahan di kalangan mereka. Malah Yang Di-Pertuan Agung menggesa supaya kita membuat suatu perancangan strategik.(Lihat Mingguan Malaysia, 21 Januari, 2007.)
Jika kita semak lembaran-lembaran akhbar kita sepuluh, dua puluh, malah tiga puluh tahun yang lalu, dekad apa yang dikatakan kebangkitan semula Islam, ucapan-ucapan seperti itu oleh pemimpin-pemimpin kita selalu kita baca.
Apa jadi kepada ucapan-ucacapn itu? Jika kita masih bercakap tentang perkara yang sama tiga puluh tahun kemudian, pastilah ucapan-ucapan dulu itu ucapan-ucapan kosong yang tidak dilaksanakan, atau pun rancangan-rancangan kita dalam hal ini gagal.
Kita pergi lebih jauh ke permulaan gerakan pembaharuan Islam yang dibawa oleh Sheikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani pada akhir abad ke-19 lebih seratus tahun dulu. Mengapakah gerakan pembaharuan ini terbantut? Sudahkah kita kaji sebab-sebabnya secara saintifik serta mengambil tindakan-tindakan untuk membetulkannya? Atau kita masih di titik yang lama? Kita bercakap saja, tetapi tidak disertakan dengan tindakan-tindakan yang berkesan.
Amalan perancangan bukan asing bagi kita. Kita sudah tahu dan pandai membuat perancangan dari sejak kita merdeka. Kita ada perancangan tiap-tiap lima tahun; malah kita ada perancangan untuk dua puluh tahun. Kita merancang untuk mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020. Tidakkah ke dalam rancangan-rancangan ini termasuk perancangan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan umah di Malaysia dan di seluruh dunia?
Kita ada parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan-Kerajaan yang memperjuanagkan cita-cita dan cara hidup Islam. Pertama sekali, adakah kita tahu punca-punca perpecahan dan kelemahan umat Islam? Kita bercakap tentang kemunduran kita dari segi ilmu pengetahun, sains dan teknologi dan kita telah merancang untuk mengatasi kemunduran ini dengan membaiki sistem pedidikan kita. Tetapi kita tahu juga bahawa pemikiran saintifik, dinamik dan kreatif masih lemah dalam masyarakat kita, malah pada tempat-tempat, masyarakt kita sekarang telah menjadi lebih teruk.
Kepercayaan kepada khurafat masih kuat. Kita memberi alasan Islam menuntut kita percaya kepada alam ghaib untuk mensahkan kepercayaan kita kepada khurafat. Tetapi alam ghaib yang disebut dalm Quran itu alam ghaib yang, bila tiba masanya, akan menjadi zahir, seperti Kiamat, Syurga dan Neraka. Tuhan itu ghaib, tetapi Dia bukan khurafat. Besok, tahun depan dan abad kedua puluh dua itu ghaib, tetapi bila sampai masanya, mereka akan zahir. Pendek kata, alam ghaib yang perlu kita percaya itu tidak bercanggah dengan hukum sains dan hukum kebenaran. Tetapi yang bercanggah itu khurafat yang perlu kita tolak. Sistem pendidikan kita, formal dan bukan formal, perlu menolak khurafat. Sanggupkah kita mengambil tindakan ini?
Sungguh aneh, agama Islam yang datang membawa sains dan tamadun yang hebat kepada dunia hari ini menjadi punca kelemahan dan kemunduran. Kita berkeras mengatakan Islam (dari segi ajarannya) tidak salah; kita yang salah, kerana, dakwa cerdik-pandai agama kita, kita tidak ikut Islam sepenuhnya. Jadi, apakah Islam sebenarnya? Apakah kitab suci Islam? Adakah kita ikut kitab suci ini?
Ini soalan pokok. Kita harus berani berdepan dengan soalan ini.
Kelemahan umat Islam pada hari ini menghumbankan kita ke dalam kehinaan yang amat dahsyat. Musuh-musuh kita dari Barat dan Timur telah menguasai kita sepenuhnya. Palestin dijajah oleh orang Yahudi Zionis dengan bantuan kuasa-kuasa penjajah Barat Kristen dan kuasa kuasa bukan Islam. Iraq, pusat tamadun Islam, sudah ditakluk dan dijajah oleh kaum oligarki Kristen Inggeris-A.S. Mekah, tanah suci umat Islam, berada di bawah “perlindungan” tentera Kristen A.S. Nasib Palestin berada di tangan kuasa-kuasa besar yang bukan Islam.
Sekarang A.S. mengalih perhatiannya kepada Iran untuk dimusnahkan. Sebelum Perang Teluk pertama Saddam Hussein mencadangkan supaya diadakan pakatan strategik di antara Iraq dan Iran untuk menghalang kemaraan Amerika. Iran menolak. Sebelum Perang Iran-Iraq 1980-88) Saddam Hussein meminta perdamaian, tetapi ditolak oleh Ayatullah Khomeini.
Kita sebenarnya tidak boleh terlalu menyalahkan musuh-musuh Islam. Adat musuh memang mahu menghancurkan kita. Kita harus menyalahkan diri kita sendiri.
Adakah jalan keluar bagi kita? Tentu ada. Soalannya: adakah kita mempunyai komitmen untuk mengambil jalan itu dan mengikutnya hingga ke penghujung dengan tekun dan berani sampai kita berjaya?
Tepuk dada tanya selera!
Kassim Ahmad seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
1 comment:
Darkness is a term used by man to describe what happens when there is no light present!! Darkness does not exist . Darkness is in reality the absence of light. We can study light, but not darkness. In fact, we use Newton’s prism to break white light into many colors and study the various wavelengths of each color. A simple ray of light can break into a world of darkness and illuminate it. How can we know how dark a certain space is? Because we measure the amount of light present.
Oleh itu, berbagai keadaan huru-hara yang berlaku sekarang bolehlah dikatakan kerana ketidakhadiran ‘CAHAYA’ (the absence of ‘LIGHT’)!!
Dengan yang demikian, saya setuju dengan saranan tuan agar kita memeriksa kembali diri iaitu kesalahan dan kelemahan diri sendiri. Sesungguhnya penindasan musuh keatas kaum Muslim itu bukan kerana mereka kuat, tetapi kerana kita terlalu lemah~ bersengketa sesama sendiri, rasuah, salahguna serta perebutan kuasa dan sebagainya.
Muhammad SAW bersabda: “Pada awalnya Islam datang secara asing, dan akan kembali asing sebagaimana semula. Maka berbahagialah para ghuraba”. “Siapakah ghuraba itu, ya Rasulullah?”. “Itulah orang-orang yang melakukan kebaikan di waktu manusia berbuat kerusakan”.
Dalam situasi penuh fitnah, manusia suka mengikuti hawa nafsu dan tidak kembali kepada agama sehingga keadaan mereka menyerupai zaman jahiliyah. Jika ada seseorang secara sendirian di antara mereka berpegang teguh pada agama dan beribadah kepada Tuhannya, maka keadaan orang itu adalah setaraf dengan orang yang berhijrah, kepada Rasulullah SAW sambil beriman kepadanya dan mengikuti perintah-perintahnya (petikan hadis riwayat Muslim dari Ma’qal bin Yasar).
Ulama salaf menyatakan: “Orang yang berzikir kepada Allah di tengah orang-orang yang lupa laksana orang yang menjaga kelompok manusia yang lari kerana kalah perang. Sekiranya tidak ada orang yang berzikir kepada Allah sewaktu manusia lupa, maka hancurlah manusia”.
Abdullah bin Umar ra. menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang zikir kepada Allah ditengah orang-orang yang lupa adalah laksana orang yang berperang (dibanding orang yang lari dari perang). Orang yang berzikir di tengah orang-orang yang lupa adalah laksana lampu di rumah yang gelap. Orang yang berzikir di tengah orang-orang yang lupa adalah laksana sebatang pohon yang hijau di tengah pohon-pohon kering yang daun-daunnya berguguran…………………..dan Allah tidak akan memberikan siksa kepadanya untuk selamanya”.
Allah berfirman dalam hadis qudsi: “Manusia yang amat Aku cintai adalah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu, yang berjalan di muka bumi dengan membawa nasihat, yang berjalan dengan kaki mereka kepada jamaah, yang hatinya selalu terpaut ke masjid, dan yang setiap waktu memohon keampunan. Apabila Aku hendak menurunkan siksa kepada penduduk bumi, lalu Aku melihat mereka, Aku palingkan siksa itu dari penduduk bumi” (H.R Thabrani dalam kitab Al-Kabir).
Wassalam.
Post a Comment