3. HADIS YANG BERCANGGAH DENGAN QURAN
1. Perkara yang berhubung dengan pegangan tauhid
Tajuk ini penting sekali, kerana iman atau pegangan tauhid ialah asas agama Islam.
Pendewaan terhadap Nabi Muhammad.
Sepertimana umat Nabi Isa, yang tiga ratus tahun setelah beliau wafat, telah mendewakan beliau sebagai Anak Tuhan, demikianlah umat Nabi Muhammad, mungkin secara tidak sedar, telah mendewakan beliau sebagai "kekasih Allah", "penghulu segala nabi", "maksum" dan sebagainya. Satu daripada tanda kongkrit pendewaan ini ialah kita melihat di kebanyakan mesjid dan rumah orang Islam di Malaysia, nama Muhammad diletak sama paras di samping Allah dengan tulisan yang sama besar. Kita tidak boleh meletak sesiapa pun di samping Allah. Jika kita hendak meletak nama Nabi, letaklah di bawah, seelok-eloknya bersama-sama nama nabi-nabi Allah yang lain, kerana Tuhan telah melantik banyak nabi dan rasul untuk menerima dan menyibarkan ajaran-Nya.
Hadis-hadis yang mendewakan Nabi Muhammad banyak, termasuk kalimah syahadah yang kedua, selawat kepada Nabi, dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh masyarakat kita bahawa Nabi Muhammad kekasih Allah dan penghulu segala nabi, Nabi Muhammad maksum dan mempunyai syafaat di Hari Kiamat. Hadis-hadis ini terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran yang melarang kita menyengutukan Tuhan dengan sesiapa atau apa-apapun, yang melarang kita mendewakan pemimpin, yang melarang kita daripada membezakan rasul-rasul dan nabi-nabi Allah [1], yang menyatakan Nabi Muhammad itu manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan manusia biasa dan yang menegaskan tiada siapa mempunyai kuasa syafaat pada Hari Kiamat, kecuali Allah.[2]
(i) Kalimah syahadah
Kalimah syahadah diberi dalam Quran dalam ayat-ayat berikut:-
Tuhan naik saksi tiada tuhan melainkan Dia, dan demikian juga para malaikat dan mereka yang berilmu.[3]
Perhatikan bahawa ayat ini memberi acuan kepada syahadah pertama, dan perhatikan bahawa syahadah kedua tidak ada dalam ayat ini. Malah syahadah kedua ditolak dalam ayat berikut:-
Apabila orang munafik datang kepadamu, mereka berkata, “Kami naik saksi engkau rasul Allah.” Allah tahu engkau rasul-Nya, tetapi Allah naik saksi orang munafik memang pendusta. Berselindung di sebalik topeng iman, mereka menyelewengkan manusia dari jalan Allah. Sungguh jahat apa yang mereka lakukan.[4]
Apa yang diajar dalam Quran tentang hal ini sungguh menasabah. Muhammad salah seorang rasul Allah, bukan satu-satunya rasul Dia. Apabila kita mengisytiharkan beliau saja sebagai rasul Allah, maka kita telah melanggar larangan Tuhan supaya tidak membezakan rasul-rasul-Nya. Perbuatan membezakan rasul-rasul Allah serta melebihkan seseorang rasul daripada yang lain hanya memecah-belahkan manusia. Hal ini ternyata dari konflik-konflik agama yang telah berlarutan dalam masyarakat manusia.
Tuhan juga telah memaklumkan kepada kita kecenderungan manusia untuk syirik dengan menyebut nama lain di samping Allah. Firman-Nya:
Apabila Tuhan saja disebut, hati mereka yang tidak beriman kepada Hari Kemudian kecut dan marah. Tetapi apabila disebut yang lain di samping-Nya, mereka gembira. [5]
(ii) Selawat kepada Nabi
Tidak syak lagi, Nabi Muhammad seorang pemimpin spiritual dan agama yang besar dalam sejarah manusia. Wajarlah kita menghormati dan memuliakan beliau serta menta`ati ajarannya dalam Quran. Namun demikian, menghormati dan memuliakan harus dibezakan dengan mendewakan. Kita dilarang mendewakan beliau. Hanya Tuhan Yang Esa yang kita dewakan.
Ayat mengenai selawat kepada Nabi ini telah disalah-tafsirkan hingga makna yang sebenar perktaan Arab 'selawat' (salla, yusalli = merestui) telah menjadi satu keistimewaan untuk Nabi Muhammad. Perhatikan ayat-ayat yang berhubung dengan perkara ini:-
Tuhan dan malaikat-malaikat-Nya membantu dan menyokong nabi. Hai kamu yang beriman, hendaklah kamu bantu dan sokong dia, dan hormati dia dengan kehormatan yang sewajarnya.[6]
Ayat di atas menerangkan bahawa Tuhan dan para malaikat-Nya merestui dan menolong Nabi dalam tugasnya untuk menyibarkan ajaran Tuhan di kalangan manusia. Lalu Tuhan memerintahkan orang beriman merestui dan menolong beliau dalam tugas ini serta menghormati beliau dengan kehormatan yang layak beliau terima sebagai nabi dan rasul Allah. Namun demikian restu dan sokongan ini tidak dikhaskan kepada Nabi Muhammad saja. Jika ayat ini dibaca bersama dengan ayat 33:43 sebelum itu, kita akan mendapat pemahaman yang lebih jelas.
Dialah Yang membantu dan menyokong kamu, bersama-sama dengan malaikat-malaikat-Nya, untuk membimbing kamu keluar dari gelap kepada terang.
Ayat di atas yang mendahului ayat pertama tadi memberitahu kepada kita bahawa Tuhan dan para malaikat-Nya merestui dan membantu orang mukmin. Ini menasabah sekali, kerana orang mukmin memang direstui dan dibantu oleh Tuhan dan malaikat-Nya, sepertimana Nabi Muhammad sebagai pemimpin orang mukmin direstui dan dibantu oleh Tuhan dan malaikat-Nya.
Untuk melengkapkan huraian ini, mari kita perhatikan sebuah ayat lagi, yang berbunyi:-
Ambillah sedekah dari wang mereka untuk membersih dan menyucikan
mereka dengannya. Restuilah mereka, kerana restumu menyenangkan mereka. [7]
Melalui ayat di atas Tuhan memerintahkan Nabi supaya memberi sokongan dan galakan kepada pengikut-pengikutnya, kerana sokongan dan galakan dari seorang pemimpin kepada pengikut-pengikutnya memang wajar dan perlu.
Apabila kita melihat penggunaan perkataan 'selawat' dalam konteks yang menyeluruh ini, kita akan mendapat pemahaman yang lebih tepat. Keseluruhannya bermakna (a) Tuhan dan malaikat-Nya menolong orang mukmin untuk mengeluarkan mereka dari kemunduran kepada kemajuan, (b) Tuhan dan malaikatnya menolong pemimpin orang mukmin (Nabi pada masa itu ialah pemimpin orang mukmin), dan menyuruh orang mukmin menolong pemimpin mereka, dan (c) Tuhan menyuruh Nabi memberi ransangan dan galakan kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka rela dan sanggup berjuang di jalan Allah. Dengan pemahaman yang menyeluruh ini, tidak timbul soal berselawat kepada Nabi secara khusus dengan kata-kata itu.
Hadis-hadis yang meletak Nabi Muhammad melebihi nabi-nabi lain dilarang dalam Surah 2, ayat 136 yang berbunyi:-
Katakanlah, “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada Ibarahim, Ismail, Ishak, Ya’akub dan keturunan; dan kepada apa yang diberi kepada Musa dan Isa, dan kepada semua nabi daripada Tuan mereka. Kami tidak membezakan seorang pun di antara mereka. Kepadanya-Nya kami muslim.”
Walaupun Tuhan menyatakan Nabi Muhammad itu rahmat kepada seluruh dunia, [8] kita dilarang daripada menganggap dia lebih dari seorang manusia biasa.[9] Pada Hari Kiamat, semua manusia sama di hadapan Tuhan. Tiada siapa yang boleh menolong orang lain, dan Nabi Muhammad tidak mempunyai syafaat pada hari, seperti yang didakwa dalam Hadis. Perhatikan ayat-ayat ini:
Katakanlah, “Tiada aku kuasa untuk menolong atau memudaratkan diriku, kecuali apa yang Tuhan kehendaki. Jika aku mengetahui masa depan, tentu aku akan dapat menambah kekayaanku dan tiada mudarat akan menimpaku. Aku tidak lebih daripada seorang pemberi amaran dan pembawa berita baik bagi mereka yang beriman.[10]
Katakanlah, “Aku sembah hanya Tuanku dan aku tidak pernah mengadakan berhala-berhala lain di samping-Nya. Katakan, “Aku tidak berkuasa untuk memudaratkan atau membimbing kamu. Katakan, “Tiada siapa boleh melindungku daripada Tuhan, dan tiada boleh aku mencari perlindungan lain di samping Dia.” [11]
(c) Pendewaan kepada pemimpin
Selain daripada pendewaan kepada nabi, manusia juga kerap mendewakan pemimpin-pemimpin agama, politik dan intelek mereka dengan bertaklid kepada ajaran-ajaran mereka. Ini dilarang, kerana sikap demikian akan meragut kebebasan berfikir yang perlu untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.
Mereka juga akan berkata, “Tuan kami, kami telah mentaati pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin kami, tetapi mereka telah menyesatkan kami. Tuan kami, gandakan azab mereka dan laknatilah mereka dengan laknat yang besar.” [12]
(d) Warisan Nabi -- satu atau dua?
Seperti dalam banyak hal, dalam hal ini juga Hadis bercanggah antara satu sama lain. Ada yang mengatakan Nabi meninggalkan satu perkara saja, iaitu Kitab Allah; ada pula yang mengatakan dua, iaitu Kitab Allah dan sunnah rasul-Nya.
Mari kita lihat hadis-hadis ini. Laporan Jabir bin Abdullah ada dua versi. Satu lagi laporan Malik bin Anas.
1(a) Jabir bin Abdullah melaporkan bahawa Rasulullah berpidato kepada rakyat dan berkata: "… dan aku telah meninggalkan kepadamu satu perkara; jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selepasku, iaitu kitab Allah. Kamu akan ditanya tentangku. Jadi, apa akan kamu kata?" Mereka menjawab: "Kami akan memperaku bahawa kamu sebenarnya telah menyampaikan dan menyempurnakan perutusan dan memberi peringatan." (Riwayat Muslim) [13] (Tekanan ditambah)
(b) Jabir bin Abdullah melaporkan bahawa Rasulullah telah berkata dalam Haj Akhir: "… dan aku telah meninggalkan di antara kamu satu perkara; jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selepasku -- kitab Allah dan apa yang kamu dapat daripadaku melalui soalan (Hadis). (Riwayat Muslim) [14] (Tekanan ditambah)
Malik bin Anas melaporkan sebuah hadis cacat bahawa Rasulullah berkata: "Aku meninggalkan kepamu dua perkara; selagi kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat -- kitab Allah dan sunnah rasul-Nya. (Muwatta) [15] (Tekanan ditambah)
Walaupun dua versi laporan Jabir bin Abdullah ada sedikit perbezaan, ia tetap menyatakan peninggalan Nabi Muhammad satu saja, iaitu kitab Allah. Namun, kebanyakan umat Islam hari ini berpegang kepada hadis laporan Malik bin Anas yang mengatakan dua, walaupun pelapornya menyifatkan hadis ini sebuah hadis cacat!
Ajaran bahawa Nabi Muhammad meninggalkan dua buah kitab dibantah oleh Quran, antara lain, dalam ayat-ayat berikut:-
Pada hari ini telah Aku lengkapkan agamamu untukmu dan sempurnakan nikmat-Ku bagimu dan telah Kupilih Islam bagimu sebagai agama.[16]
Ayat ini, yang turun lapan puluh satu atau lapan puluh dua hari sebelum Nabi wafat, menunjukkan bahawa agama Islam sudah lengkap pada ketika itu.
Lihat ayat ini, yang menyindir mereka yang mahukan sebuah kitab lain yang boleh mensahkan kemahuan mereka yang tidak sah itu:-
Patutkah Kami perlakukan orang muslim seperti orang berdosa? Betapakah hal kamu? Bagaimana kamu menghukum? Adakah kamu sebuah buku lain yang kamu gunakan, dan memberi kepada kamu apa-apa yang kamu kehendaki? [17]
Lihat ayat ini lagi, yang mendedahkan mereka yang mahu sebuah Quran yang lain atau yang sudah diubah:-
Tetapi bila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata, berkatalah mereka yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, “Bawalah sebuah Quran yang lain daripada ini, atau ubahlah.” Jawablah, “Aku tidak boleh mengubahnya mengikut kemahuanku sendiri. Aku hanya mengikut apa yang diwahyukan kepadaku. Aku takut akan siksaan pada hari yang dahsyat, jika aku derhaka kepada Tuanku.”[18]
Akhir sekali, ayat berikut membuktikan dengan jelas bahawa kitab yang perlu dipegang oleh umat Islam ialah Quran.
Rasul berkata, 'Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini.' Demikianlah Kami mengadakan bagi tiap-tiap nabi musuh dari dari kalangan penjenayah. Tuanmu cukup sebagai pembimbing dan pembantu.[19]
Tidak syak lagi, Quran juga mengajar kita supaya menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh, supaya mendengar semua pendapat dan ikut yang paling baik, supaya mengkaji sejarah dan supaya membaca, berfikir, menyiasat dan mengkaji alam tabi`i dan alam manusia untuk mendapat ilmu yang sahih.
Seperti yang telah saya katakan di atas, saya tidak menafikan bahawa hadis-hadis wujud dari zaman awal lagi, yang berupa buku-buku nota atau sahifah, sebelum kumpulan-kumpulan Bukhari, Muslim dan lain-lain yang dibuat secara rasmi selepas perisytiharan Imam Shafi`e bahawa Hadis/Sunnah juga perlu dipegang oleh umat Islam. Malah sejarah membuktikan wujudnya beberapa dokumen yang ditulis oleh Nabi Muhammad, seperti Piagam Madinah, Perjanjian Hudaibiyah dan surat-surat beliau kepada pembesar-pembesar Kristen pada waktu itu. Namun demikian, bagi umat Islam kitab panduan yang utama ialah Quran, bukan Quran dan Hadis.
(e) Sembahyang tiang agama.
Walaupun sembahyang itu satu ibadah penting yang diperintahkan kepada orang mukmin, di samping puasa, zakat dan naik haji, sembahyang bukanlah tiang agama, seperti yang diajar dalam Hadis. Seperti yang kita tahu, tiang agama Islam ialah tauhid, iaitu iman kepada Tuhan Yang Esa.[20] Tanpa iman kepada Tuhan, segala perbuatan kita sesia. Malah Tuhan mengutuk orang yang bersembahyang tetapi tidak berbuat baik.[21]
Ibadah sembahyang itu suatu kaedah yang ditetapkan bagi manusia untuk membersihkan jiwanya serta mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Ia bukan matlamat. Matlamat kita Tuhan. Jiwa yang kotor tidak akan mencapai Tuhan. Jadi, Tuhan mengajar kita kaedah untuk membersihkan jiwa kita melalui ibadah-ibadah agama, seperti sembahyang, puasa, pemberian zakat dan naik haji, tetapi Tuhan melarang kita daripada bertengkar tentang kaedah.[22]
[1] “Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Tuhan dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ishak, Ya`akub dan keturunannya, dan yang diberi kepada Musa, Isa dan nabi-nabi dari Tuan mereka. Kami tidak membezakan di antara mereka. Kepada-Nya kami tunduk.’ “ (3: 84)
[2] “Kami tidak mengirim mana-mana rasul sebelummu, kecuali dengan wahyu kepadanya bahawa ‘Tiada tuhan kecuali Aku; oleh itu, sembahlah Aku saja.’ Namun demikian, mereka berkata, ‘Yang Maha Pemurah telah mengadakan seorang anak!’ Maha Suci Dia. Mereka semua hamba yang mulia. Mereka tidak bercakap mengikut kehendak mereka sendiri; mereka mengikut perintah-Nya. Dia mengetahui masa depan mereka dan masa yang lalu. Mereka tidak memberi syafaat kecuali bagi mereka yang telah diterima oleh-Nya, dan mereka bimbang tentang diri mereka sendiri.” (21: 25-28)
[3] Quran, 3:18.
[4] Quran, 63:1-2.
[5] Quran, 39:45.
[6] Quran, 33:56.
[7] Quran, 9:103.
[8] Lihat Quran, 21:107.
[9] Lihat Quran, 18:110.
[10] Quran, 7:188.
[11] Quran, 72:20-22.
[12] Quran, 33:67-68.
[13] Fazlul Karim, Mishkat-ul-Masabih, Jil. III, h. 584-90, No. 46.
[14] Ibid., Jil. I, h. 172, No. 118.
[15] Ibid., Jil. I, h. 1173, No. 120.
[16] Quran, 5:3.
[17] Quran, 68:35-38.
[18] Quran, 10:15.
[19] Quran, 25:30-31.
[20] Seperti yang diterangkan dalam 116, Surat 4, Tuhan mengampuni segala dosa lain, jika Ia kehendaki, tetapi Ia tidak mengampuni dosa syirik. Iman kepada Tuhan Yang Esa itulah tiang agama. Ayat 124, Surah 4, menerangkan bahawa segala perbuatan baik, jika tidak ditunjangi oleh iman, tidak diterima.
[21] “Tidakkah kamu melihat mereka yang mendustakan agama? Dialah orang yang mengasari anak yatim! Yang tidak menganjur memberi makan kepada orang miskin! Celakalah mereka yang bersembahyang! Yang tidak sedar akan sembahyang mereka! Mereka hanya ingin menunjuk dan melarang bersedekah!” ( Quran, 107:1-7)
[22] Lihat ayat 22:67 yang berbunyi, "Bagi tiap-tiap masyarakat, Kami telah mewujudkan ibadah yang mereka lakukan. Jangan kamu diajak bertengkar tentang perkara itu. Serulah kepada Tuanmu. Kamu di jalan yang benar."
7 comments:
Pak Kassim adalah salah seorang pemikir dan cendikiawan Islam yang berani, pernah dilahirkan oleh negara. Pendapat serta pandangan tuan mampu menarik minat masyarakat untuk berfikir panjang dan/atau menarik nafas panjang . Maka bersesuaian dengan sikap tuan yang sederhana, terbuka dan rasioanal, mau rasanya saya berkongsi/bertukar pandangan dengan tuan. Insyaallah saya akan cuba.
Bukankah Al-Quran itu merupakan sebuah NASKAH dari Allah SWT yang paling hebat, hingga tak ada taranya dan tak ada yang mampu melebihinya, yang diberikan kepada kaum Mukmin? Sedangkan naskah Prof Dr Einstein saja yang pada awalnya hanya dapat difahami oleh beberapa ahli sains di dunia, namun setelah diolah oleh Dr Niels Bohr, ternyata mampu menghasilkan energi yang dahsyat yang dikenali sebagai Tenaga Atom dan Nuklear! yang mampu ‘mengkiamatkan’ benua-benua di dunia dalam beberapa saat saja! Kita tak akan lupa akan kesannya yang amat mengerikan yang masih terasa sehingga kehari ini tentang malapetaka Hiroshima-Nagasaki kira-kira 70 tahun yang lalu yang membuatkan Jepun terpaksa ‘berlutut tanpa syarat’ dalam beberapa hari saja.
Andaikata sebuah missile nuklear dilepaskan oleh negara super power, pastinya ia akan menghancurkan segala-galanya, dapat ‘mengkiamatkan’ benua-benua, termasuk menghancurkan kaum Muslimin, Mekah ‘Kaabah’ dan Madinah dalam beberapa detik saja! Dan belum ada tenaga fizik apapun yang mampu menyekat tenaga raksasa yang saperti ‘syaitan’ itu…KECUALI yang dapat memusnahkannya
ialah Energi Kalimatullah dan Energi dari Ayat-Ayat Teknologi Al-Quran yang disalurkan melalui metodnya. Sesuai dengan rumusan matematiknya:-
[Bom Atom + Nuklear]divided by OC = Zero(0)
OC/Infinity ialah Tenaga Tak Terhingga dari Kalimah Allah dan dari Ayat-Ayat Al-Quran yang disalurkan melalui Wasilah dengan Metod yang tertentu.
Al-Quran adalah NASKAH dari Allah SWT yang mengandungi Energi Maha Dahsyat, walaupun habis lapan lautan dakwat dan seluruh kalam di rimba untuk menuliskannya, namun rahmatNya tak akan habis ( maksud Surah Luqman: 27)
Islam itu tinggi ilmiah dan amaliahnya “Al Islaamu ilmiyyun wa amaliyun”; Islam itu tinggi sekali ilmiahnya dan tidak ada yang melebihinya “Al Islaamu ya’luu wa laa yu’ laa alaihi” (H.R Bukhari)
Insyaallah, jumpa lagi. Wassalam.
Mac 31 2007
Surah Al Maidah, Ayat 35:
“Yaa ayyuhal ladziina aamanut taqullaaha wabtaghuu ilaihil WASIILATA wajaahiduu fii sabiilihi la’allakum tuflihuun”.
Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah pada Allah dan carilah WASILAH [Saluran, Channel, Frekuensi] (bukan PERANTARA) untuk mendekatkan diri pada Allah, dan berjihadlah [beramal/berjuang secara intensif pada jalanNya] supaya kamu mendapat kemenangan.
Surah Al-Kahfi, Ayat 17:
“May-yahdillaahu fahuwal muhtad wa may yudhlil falan tajida lahuu waliyyam MURSYIDAA”
Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah dialah orang yang mendapat petunjuk dan siapa yang dibiarkanNya sesat, maka tidak ada seorang Mursyid (Pemimpin) yang memberinya petunjuk.
……………………………………………………………………………………………
Tiada Aku utuskan engkau ya Rasul ke dunia, melainkan untuk membawa rahmatKu keseluruh alam, LANGSUNG (direct) dariKu (maksud Surah Al-Anbiyaa:107)
Dalam bahasa teknologinya: Tidak aku masukkan engkau wahai kawat (wayar) ke dalam rumahku, melainkan untuk menyalurkan rahmat Elektrik keseluruh rumahku ~langsung dari Janakuasa Pusat. Dan jika aku sambungkan terus kawatku ke kawat-kawat di rumah jiran, mereka juga akan mendapat rahmat Elektrik ~ langsung dari Janakuasa Pusat yang sama. Bukan dengan perantaraanku dan bukan pula dengan perantaraan rumahku, hanya secara kebetulan Elektrik itu melalui/via rumahku, namun ia tetap LANGSUNG dari Janakuasa Pusat itu sendiri.
H.R Abu Daud: “Barangsiapa belum beserta Allah, besertalah ia dengan orang (Ruhnya) yang beserta Allah. Ruh orang itulah (yang berisi Wasilah Allah) yang menghubungkan (ruh) engkau LANGSUNG dengan Allah”.
Begitu juga Elektrik dari Janakuasa Pusat, yang berkapasiti ribuan kiloWatts yang dimasukkan ke dalam sebuah ‘Transformer’, guna untuk menyesuaikan (adjust) tenaga Elektrik mengikut apa yang diperlupakai di rumah-rumah, maka semua rumah yang berhubung dengan Travo tersebut dinamakan LANGSUNG berhubung dengan Janakuasa Pusat itu sendiri. Bukan dengan PERANTARA Travo, hanya melalui/via Travo tersebut.
Dan BENTUK si Elektrik (yang ada pada Kawat pada saat ia mengalir di dalamnya) adalah sama dengan BENTUK si Kawat. Begitu juga dengan bentuk Api yang sedang berada pada Besi adalah sama dengan bentuk Besi itu sendiri; Begitu juga dengan bentuk Air yang sedang berada dalam Paip atau Cawan adalah sama dengan bentuk Paip/Cawan itu sendiri; Begitu juga dengan bentuk Cahaya Matahari yang memasuki Lubang pada dinding rumah kita adalah sama dengan bentuk Lubang itu sendiri.
Maka jelaslah pula bahawa Bentuk WASILAH ALLAH Yang Agung serupa dengan Bentuk Wajah Sang Mursyid itu sendiri. Dan Mursyid bukan Perantara, Mursyid adalah Pembawa/Penerus/Penyalur Wasilah dari Allah SWT. Wasilah yang disalurkan oleh Arwah Sang Mursyid yang diterimanya pula sambung-menyambung (saperti kawat elektrik) dari Arwahul Muqaddasah Rasulullah SAW melalui/via para Ahli Silsilah, para Aulia yang ‘terpilih’.
“Tidak dapat Bumi dan LangitKu menjangkau/memuat akan ZatKu (yang membawa AsmaKu/KalimahKu) melainkan yang dapat menjangkaunya/ memuatnya ialah HATI HAMBAKU YANG MUKMIN, SUCI, LUNAK dan TENANG”. (Hadits Qudsi R. Ahmad dari Wahab bin Munabbih).
Antara Elektrik dengan Kawat, yang berdayaguna adalah Elektrik, bukan Kawat. Namun di mana saja Kawat dipasang, langsung Elektrik yang bekerja. Bilamana Kawat disentuh, langsung Elektrik yang ‘menggigit’ bukan Kawat. Elektrik dengan Kawat tidak bersyarikat, hanya tersangat hampir atau saling beserta. Elektrik tidak akan menjadi Kawat, dan Kawat tidak akan menjadi Elektrik kerana kedua-duanya dari zat yang berlainan. Begitu juga antara Api dengan Besi, yang membakar adalah Api, bukan Besi. Namun di mana saja besi dihampirkan, saat itu juga Api yang membakar. Api adalah Api, Besi adalah Besi. Rumusan bagi Besi adalah Ferum (Fe), manakala Api tidak ada rumusan, kerana ia adalah TENAGA. Api dan Besi tidak akan bersyarikat, hanya tersangat hampir antara satu sama lain.
Begitu juga halnya dengan Isa Ibnu Maryam, kemana saja tangannya menyentuh, di situ orang yang sakit akan pasti sembuh. LANGSUNG disembuh oleh Energi Ketuhanan tersalur dari WASILAH Allah yang berada dalam dirinya (lihat Surah Maryam:30-31 dan Ali Imran:49).
Setakat ini, izinkan saya memberi pandangan mengenai amalan di kebanyakan mesjid dan rumah orang Islam di Malaysia, yang meletakkan nama Muhammad sama paras di samping Allah. Pada pandangan saya, mengikut adab dan protokol, adalah tidak wajar sekiranya gambar Sultan ( saya ambil sebagai perbandingan saja) diletakkan sama paras dengan gambar kita rakyat biasa kerana pangkat dan martabatnya yang berlainan, apalagi jika hendak disamakan antara Pencipta dengan CiptaanNya [kerana tidak ujud ‘carta organisasi’ yang sedemikian !!]. Walaubagaimanapun, adalah wajar jika ‘Watikah Perlantikan atau Keris Sultan ~yang merupakan sebagai Wasilah Sultan’ itu diletakkan sama/hampir dengan rakyat yang dipilih ‘empunya diri’. Maksud saya di sini, nama Allah yang dipamerkan harus membawa maksud kepada ‘Wasilah Allah’ [itulah yang disarankan kepada kita untuk mencari ~ Al Maidah:35] yang senantiasa berdampingan/berada dalam diri RasulNya, dan bukan dimaksudkan kepada ‘Allah yang bersemayam di Arasy’.
Wassalam
03 April 2007
Bg sy, tiada masalah jika di masjid diletakkan tulisan Mihammad sebaris dengan Allah selagi umat islam tahu bahawa Allah itu yang paling tinggi darjatnya.Tidak boleh disamakan dengan meletakkan gambar sultan dengan rakyat biasa.Kalau nak disamakan pun, kita perlu melihat gambar perdana menteri yang diletakkan sebaris dengan gambar Yang DIpertuan Agong.Hakikatnya kita tetap mengakui bahawa Yang Dipertuan Agong itu kedudukannya adalah Paling Tinggi di dalam negara.
Dalam soal hadis yang bertentang dengan quran.Kalau saudara kassim ada mempelajari ilmuu hadis, pasti saudara kassim akan dapat membezakan antara yang mana benar-benar sebuah hadis.Atau mungkin hanya sebagai kata-kata sahabat.Yang pasti, jika saudara kassim mempelajari dan mendalami ilmu hadis,tidak akan timbul masalah untuk memahami hadis ataupun mengenali hadis.Untuk itu, tidak wajarlah jika saudara mempersoalkan kedudukan hadis atau pun kedudukan nabi Muhammad.Jika saudara keliru sekalipun, janganlah sampai perkara ini diperdebatkan sebegini.Mungkin saudara boleh membincangkannya secara ilmiah dengan pakar dalam bidang berkaitan.Ingatlah,ini soal agama.Bukan soal kesultanan,tapi soal kerasulah.Harap lebih beradab.
Saya ingin bertanya kepada anda, bagaimana caranya anda solat? Contohnya dalam Tahyat Akhir tidakkah didalam Tahyat Akhir menghendaki anda bertasyhad dengan 2 kalimah syahadah? Ini termasuk rukun dalam sembahyang, jika anda tidak berbuat demikian maka terbatallah solat anda. Jangan pandai-pandai tafsir sendiri.
Ada benarnya juga pendapat kassim ahmad,dan tidak kurang silapny juga pendapatnya..bukankah kita ini manusia biasa?
bukankah selawat itu bermaksud mendoakan?apa yang menjadi masalah pada pak kassim dalam soal selawat ni?salah kah kita mendoakan kebaikan kepada Muhamamd?sebagai tanda terima kasih kepadanya?apakah mendoakan kebaikan kepada Allah untuk Muhammad beerti kita mendewakannya?
ULASAN YANG MENARIK..
“Bukanlah Nabi Muhammad itu menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
[ Q.S AL-AHZAB 33 : 40 ]
Apa yang diajar dalam Quran tentang hal ini sungguh munasabah. Muhammad SAW salah seorang rasul Allah, bukan satu-satunya rasulNya. Muhammad adalah Rasul Terakhir dan kesudahan para nabi ALLAH(33:40).
Sepatutnya Syahadah sekarang ini diubah menjadi...
LAA ILAAHA ILLALLAH
MUHAMMADUR RASULULLAHI WA KHATAMANNABIYYIN
TIADA TUHAN SELAIN ALLAH
MUHAMMAD ITU RASULULLAH DAN KESUDAHAN PARA NABI
Ini lebih lojik menurut kedudukan Nabi Muhammad yang berada di akhir zaman dan di akhir kenabian sebagai nabi terakhir yang diutus ALLAH kepada seluruh alam. Ini supaya kita tidak keliru dengan dakwah musuh-musuh Islam khususnya Kristian dan Yahudi yang mengatakan Islam hanya Nabi Muhammad SAW seorang sahaja. Padahal seluruh nabi ALLAH itu adalah Islam, hanya diberi nama agama ini pada zaman Nabi Terakhir dari Allah.
Post a Comment