Sunday, May 27, 2007

AGAMA, LOGIK DAN AKAL

Kassim Ahmad

21 Mei, 2007

Bolehkah agama, di satu pihak, dan logik dan akal, di pihak lain, wujud dalam suatu dunia yang sama? Inilah yang dipertikai oleh ramai manusia dari dulu hingga sekarang. “Agama sesuatu yang dipercayai tanpa sebab yang logikal atau rasional, sedangkan akal menduduki tempat yang menolak kepercayaan tanpa sebab yang logikal atau rasional.” Perkara ini telah membahagikan manusia kepada dua golongan: orang agama yang fanatik kepada agamanya atau yang ikut agama nenek-moyang tanpa soal, dan orang yang menolak agama dan kewujudan Tuhan, yakni ateis. Walau bagaimanapun, wujud suatu lagi kumpulan yang menerima agama dan kewujudan Tuhan Yang Esa dan, pada masa yang sama, menerima juga logik dan akal. Mereka dikenal sebagai monoteis atau pemeluk agama tauhid. Dalam Quran, mereka disebut mukmin, yakni mereka yang mengiktiraf kewujudan Tuhan Yang Esa, dan muslim, yakni mereka yang tunduk kepada sistem agama tauhid ini.

Kehidupan beragama wujud dari awal dalam masyarakat manusia, kerana manusia, sebagai makhluk sosial, tidak boleh hidup tanpa adat berhubung dengan kelahirannya, kehidupan hariannya dan akhirnya kematiannya. Adat ini termasuklah agama, yang mengendalikan kehidupan spiritualnya: hubungannya dengan alam spiritual atau alam kudus. Tergabung dalam agama ini ialah mitos atau mitos-mitos yang memberikannya maklumat tentang kejadian alam ini dan hubungannya dengan alam ini.

Semua agama meliputi perkara-perkara berhubung dengan seorang tuhan atau banyak tuhan, dengan kuasa-kuasa tertentu, bagaimana manusia meminta pertolongan tuhan-tuhan ini untuk melawan dan menewaskan musuh-musuh mereka, dan cara-cara untuk memohon pertolongan ini supaya pertolongan ini dimakbulkan dan juga kepercayaan kepada dunia selepas mati atau akhirat. Oleh itu, agama meliputi kepercyaan, adat kelahiran, perkahwin, kematian dan adapt-adat lain, undang-undang dan cara-cara menyembah tuhan, atau ibadah agama.

Oleh kerana keterbatasan dan sifat evolusi pengetahuan manusia, manusia tidak boleh menegtahui banyak perkara, khasnya masa depannya. Umpamanya, alam akhirat itu ghaib bagi manusia, sehingga ia menjelma. Demikian juga Tuhan. Jadi kepercayaan-kepercayaan kepada yang “ghaib” ini juga rasional, kerana alam kejadian yang wujud ini menjadi tidak rasional jika tiada Tuhan yang menjadikannya. Demikian juga akhirat sebagai kesinambungan bagi dunia yang wujud sekarang adalah rasional, kerana ia sambungan bagi dunia ini. Oleh itu, kepercayaan, atau lebih tepat dibahasakan pengiktirafan, kepada alam akhirat atau pengiktirafan kepada kewujudan Tuhan itu logik dan rasional.

Namun, ada banyak perkara dalam kepercayaan manusia bersifat mitos dan tidak benar. Umpamanya, kepercayaan yang mungkin berasal dari agama Hindu bahawa dunia ini berada di atas tanduk lembu. Kepercayaan ini telah masuk ke dalam mitos bangsa-bangsa lain. Walaupun mitos, kepercyaan-kepercayaan ini telah memainkan suatu fungsi sosial kepada masyarakat-masyarakat manusia. Begitu juga mitos tentang Ratu Adil atau tentang Imam Mahdi dan kedatangan kedua Nabi Isa, dan banyak lagi. Cerita-cerita atau dogeng-dongeng ini memeng tidak benar dan dengan kemaraan ilmu pengetahuan, mereka akan hapus dengan sendirinya.

Harus diperhatikan pada peringkat awal ini bahawa agama tergolong kepada dua kumpulan yang besar: pertama agama wahyu atau samawi, yang dibawa oleh nabi-nabi Allah, seperti Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad; dan kedua, agama bukan wahyu, seperti animisme, shamanisme dan sebagainya. Kumpulan agama pertama ini ialah agama yang berpaksikan kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa, atau agama tauhid, atau monoteisme. Kumpulan kedua ialah agama-agama yang berpaksikan kepercayaan kepada banyak tuhan. Walaupun agama-agama Yahudi dan Kristen berasal sebagai agama tauhid, namun kira-kira 300 tahun selepas Nabi Musa dan Nabi Isa, agama-agama ini telah berubah menjadi bersifat khusus dengan kepercayaan-kepecayaan khusus yang tidak ada dalam agama tauhid yang asal. Demikian juga yang telah berlaku kepada agama Islam pada zaman Nabi Muhammad. (Harus diingat bahawa agama yang dibawa oleh nabi-nabi Allah Ibrahim, Musa dan Isa juga Islam, tetapi pada zaman masing-masing.) Islam ini juga telah berubah, seperti agama-agama Yahudi, Kristen dan lain-lain. Sebab itu kita boleh bercakap tentang orang mukmin dari kalangan orang Yahudi, Kristen dan agama-agama lain, termasuk Islam.[1]

Walau bagaimana pun, agama-agama Yahudi dan Kristen telah melalui reformasi, dari Refomasi Agama di Europah yang bermula dalam abad ke-16. Reformasi ini bertujuan untuk membersihkan agama dari korapsi Gereja Katolik, khasnya institusi Paus. Hasil reformasi ini ialah pengasingan agama dari politik, pembebasan minda Eropah dari kongkongan gereja yang menindas, pembatasan kuasa Paus kepada isu-isu agama dan moral saja, dan munculnya sekularisme dalam kehidupan bangsa-bangsa Barat. Bagi dunia Islam pula, reformasi pemodenan ini berasal dari gerakan pemodenan Sheikh Muhammad Abduh (1849-1905 M) dan Jamaluddin al-Afghani (1839-1897 M). Walaupun gerakan ini sudah berusia seratus tahun lebih, kejayaannya terbatas. Malah pengarunh golongan ortodoks boleh dikatakan meningkat sejak kemenagan revolusi kaum agama di Iran pada 1979. Kaedah-kaedah Islam yang ditafsirkan secara liberal oleh Kerajaan kita di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad (nilai-nilai murni) dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Islam hadhari) telah berjaya membawa pemodenan yang terbatas masuk ke dalam masyarakat Islam kita, tetapi apakah kaedah ini akan berjaya secara total atau berapa lama kaedah ini boleh bertahan berhadapan dengan tekan-tekanan yang makin hebat dari kaum ortodoks tidaklah kita ketahui. Bagi penulis, kaedah yang paling baik ialah mengajak umat Islam kembali kepada ajaran Quran, seperti yang ditunjuk oleh Nabi Muhammad sendiri. [2]

Walau bagaimana pun, kita harus perhatikan perbezaan antara agama Islam dengan agama-agama lain. Agama Islam berbeza dari agama-agama lain dalam ertikata yang berikut. Kitab suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad, Quran, menyifatkan Islam sebagai agama yang selaras dengan fitrah manusia [3] dan yang direda oleh Allah sebagai agama untuk semua manusia.[4] Sementara agama-agama samawi lain, termasuk Yahudi dan Kristen, telah berubah untuk menyerapkan kepercayaan-kepercayaan dan adat-adat masyarakat-masyarakat dulu yang bersifat politeistik, Islam, seperti yang diajar dalam Quran, tetap kekal sebagai agama monoteis yang murni.[5] Walaupun Islam mengiktiraf alam ghaib, seperti kewujudan Tuhan dan Hari Pembalasan, dan memerlukan para penganutnya beriman kepada alam ini,[6] kepercayaan kepada alam ghaib ini tidak bersifat anti-logik dan anti-akal,[7] kerana alam ini wujud, meskipun manusia tidak dapat melihatnya, kerana ia belum zahir. Sebaliknya, wujud alam ghaib yang tidak benar, seperti iblis, syaitan, dan sebagainya; Islam tidak menyuruh kita percaya kepada alam ghaib yang palsu ini.

Jadi, Islam, seperti yang terkandung dalam Quran, bukan agama yang anti-logik dan anti-akal. Ia selaras dengan akal. Kita akan mengkaji sifat-sifat Islam ini dengan lebih mendalam.

Pertama, konsep tauhidnya amat jelas, tegas dan murni. Ia berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa semata-mata dan tidak bercampur dengan kepercayaan kepada tuhan-tuhan lain selain Allah, Tuhan Yang Esa ini. Pengiktirafan kepada Tuhan Yang Esa ini sangat penting. Sebab itu kalimah pengakuan itu bermula dengan penafian kepada semua tuhan (la ilah= tiada tuhan) dan selepas penafian total ini barulah diakui kuasa yang sebenar, iaitu Allah s.w.t. Ini bermakna manusia bebas dari segala kuasa yang palsu, iaitu segala bentuk berhala yang diwujudkan oleh masyarakat manusia untuk memperhambakan manusia, individu dan kolektif. Pada saat ini, manusia menjadi berdaulat. Dia boleh menentukan nasibnya sendiri.

Konsep manusia sebagai khalifah, yang disebut dalam Quran, [8] selaras dengan perisytiharan syahadah yang pertama ini – seorang manusia yang bebas dari semua kuasa palsu. Salah satu makna “khalifah” ialah raja. Jadi, manusia itu, individu dan kolektif, makhluk berdaulat yang diberi kuasa untuk menentukan nasibnya sendiri. Ia makhluk yang berakal yang diberi kebolehan untuk mengetahui segala sesuatu yang ada di alam ini. Kerana kemampuan ini, ia melebihi para malaikat, dan, oleh itu, Tuhan memerintah para malaikat sujud kepada Adam,[9] yakni manusia. Ini simbol yang menunjukkan bahawa seluruh alam ini dijadikan untuk kegunaan manusia. [10]

Konsep kedaulatan manusia nampak seolah-olah bercanggah dengan konsep kuasa dan kedaulatan Ilahi. Dalam Quran, kekuatan dikatakan milik Allah semata-mata.[11] Namun demikian, kita harus faham bahawa Tuhan Sendiri telah memberikan kuasa ini kepada manusia melalui konsep khalifah. Tuhan di samping melampaui alam juga di dalam alam. Malah ada beberapa hal lain, selain taraf khalifah, yang menyebabkan manusia memiliki sifat-sifat ketuhanan. Satu daripadanya ialah dalam diri seorang manusia itu telah dimasuki secebis daripada Ruh Tuhan, [12] sedangkan makhluk-makhluk lain tidak memiliki sifat ini. Cebisan Ruh Tuhan dalam diri manusia inilah yang menyebabkan dia menjadi kreatif dan boleh mengubah dunia dan sseterusnya alam ini mengikut kehendaknya. [13] Selain itu, Quran menyebut ada kalanya tindakan manusia itu tindakan Allah sebenarnya. [14]

Demikianlah hebatnya taraf dan kedudukan manusia dalam ajaran Quran. Tidak hairanlah bangsa yang dirangsangkan dengan semangat ini tidak dapat dikalahkan oleh musuh dan kemaraan mereka tidak terhalang oleh sesiapa pun. Itulah yang berlaku kepada bangsa Arab setelah mereka menganut Islam, sehingga mereka berubah dan kembali menganut tahayul dan khurafat yang dulu, di bawah pimpinan Nabi Muhammad dan bimbingan al-Quran, telah mereka buang. Apa yang terjadi kepada agama-agama lain terjadi juga kepada Islam. Sebenarnya, bahaya ini telah dibayangkan dalam Quran dalam banyak ayat. [15]

Nabi Muhammad meneruskan ajaran agama yang satu, iaitu agama tauhid. [16] Tetapi setelah kira-kira tiga ratus tahun kemudian, agama yang satu ini berpecah menjadi dua puak yang besar, Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan Syiah. Walaupun masing-masing puak mendakwa mereka mengikut Nabi Muhammad, kita tahu bahawa dalam zaman Nabi Muhammad tidak ada puak dan beliau tidak mengikut puak. Malah beliau melarang membuat puak.[17] Beliau mengikut agama yang Tuhan ajar kepadanya, iaitu Islam, seperti yang disempurnakan dalam Quran.[18] Dalam pada itu, kita berpecah kepada beberapa mazhab fikah pula. Adakah ini ajaran Quran? Adakah ini amalan Nabi Muhammad?

Adakah Nabi Muhammad membawa dua buah kitab, Quran dan Hadis, seperti yang didakwa dalam Hadis? [19] Tetapi, Quran menyatakan dalam banyak ayat bahawa Nabi Muhammad mengikut Quran.[20]

Dalam pada itu, suatu kelas ulama, dengan tugas dan peranan seperti kaum paderi dalam agama Kristen, telah muncul dalam masyarakat Islam. Mereka menjadi pentafsir dan penentu dalam hal-hal agama bagi masyarakat Islam, sedangkan Quran meletakkan kepimpinan masyarakat di tangan mereka yang berkuasa.[21] Merekalah yang menentukan semua hal dalam masyarakat Islam mengikut kaedah perundingan, berdasarkan ajaran Quran.[22]

Juga telah timbul dalam masyarakat Islam suatu bentuk mistisme yang dipanggil tasawwuf. Nyata Nabi Muhammad bukan seorang mistik atau ahli tasawuf.[23] Agama Islam, seperti yang diajar dalam Quran, ialah sebuah agama yang aktif, praktikal, kritikal dan dinamik. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada sinar cahaya dan untuk mencari kebahagian. Kebahagian ini dari semua segi, iaitu jasad, fikiran dan emosi. Tetapi, berselindung di sebalik tujuan kerohanian, mistisme ialah suatu pelarian dari realiti yang gagal ditangani dengan baik. Aliran tasawuf atau mistisme --pelarian dari dunia nyata, menyebabkan umat Islam jadi mundur dari segi sains dan teknologi dan dari segi ekonomi, malah dalam semua bidang kehidupan.

Oleh kerana kesilapan pendewaan terhadap pemimpin-pemimpin agama, maka apa yang diajar oleh pemimpin-pemimpin agama ini diterima tanpa soal oleh masyarakat. Maka timbullah masalah terkongkong dengan ajaran-ajaran yang salah yang tidak dapat kita selesaikan, seperti apa yang dipanggil Hukum Hudud.[24] Hukum Hudud ini satu daripada banyak contoh yang boleh kita berikan sebagai bukti terperangkapnya kita akibat kesilapan kita mendewakan pemimpin-pemimpin agama.

Kata pepatah, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Pangkal jalan kita ialah bimbingan Tuhan dalam kitab suci al-Quran. Kita patut bersyukur kepada Tuhan, kerana kita ada kitab ini di tangan kita. Inilah satu-satunya buku yang kesahihannya dijaminkan oleh Tuhan Sendiri.[25] Kita perlu kembali kepada kitab ini untuk mencari pedoman hidup kita dalam zaman moden yang dicorakkan oleh sains dan teknologi.

Memang kita perlukan sains dan teknologi. Quran sendiri mengajar kita untuk meneroka sains dan teknologi untuk membahagiakan kehidupan kita. Malah kita boleh berkata bahawa Quranlah yang membuka jalan kepada Zaman Sains dan Teknologi dalam sejarah manusia. Kita boleh berbangga bahawa, sejak merdeka, kita telah mengambil satu sikap yang progresif untuk menggalakkan perkembangan sains dan teknologi di negara kita. Namun demikian, kita tidak boleh berpuas hati; kita perlu melipatgandakan usaha kita untuk membuat kemajuan dalam bidang ini, kerana kita dan umat Islam seluruhnya masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara Barat.

Tiga bidang ilmu yang penting dalam kehidupan manusia ialah Agama, Sains dan Falsafah. Agama tangani alam rohaniah; Sains alam fizikal; dan Falsafah alam mental. Oleh kerana alam semesta atau dunia ini satu kesatuan, maka agama, sains dan falsafah semestinya satu kesatuan juga dan tiada percanggahan di antara satu dengan yang lain. Percanggahan yang kita nampak sekarang ialah kerana kekurangan atau kesilapan pengetahuan kita. Walau bagaimana pun, pada awal abad kedua puluh satu ini, kita sudah melihat tanda-tanda keselarasan ketiga-tiga bidang ini dengan adanya pertindihan di antara ketiga-tiga bidang ini.

Sains tidak boleh menolak kewujudan Tuhan, kerana sains sendiri diasaskan atas suatu praandaian bahawa Alam ini rasional dan ditadbirkan mengikut suatu undang-undang yang rasional.[26] Agama tidak boleh menolak kewujudan Alam ini sebagai realiti, kerana Alam ini, termasuk manusia, adalah karya Tuhan. Falsafah tidak boleh menolak kewujudan Tuhan, kerana akal dan logik yang menjadi kaedah falsafah adalah juga kaedah kejadian dan evolusi Alam ini. Tidak syak lagi, pada masa depan, ketiga-tiga bidang ilmu ini akan menemui titik kesepaduan untuk membimbing manusia mencari kebahagian dalam kehidupannya.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

[1] Hal ini terbukti dari beberapa ayat Quran. Satu daripadanya berbunyi, “Sesungguhnya, mereka yang beriman, sama ada Yahudi, Kristen atau Sab’in; sesiapa saja yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, dan berbuat baik akan menerima ganjaran dari Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut; mereka tidak perlu berdukacita.” (2: 62). Sab’in bermaksud mereka yang beragama samawi lain di luar kumpulan keluarga Ibrahim.

[2] Pada zaman ini, kita memerlukan satu kaedah tafsir yang saintifik. Kaedah tafsir yang lama perlu disesuikan dengan perkembangan ilmu dan peredaran zaman. Lihat Kassim Ahmad, Hadis – Jawapan Kepada Pengkritik, Media Indah, Kuala Lumpur, 1992; Bab 7.

[3] “Oleh itu, hendaklah kamu hadapkan wajah kamu dengan benarnya kepada agama, Demikianlah fitrah yang dijadikan Allah cocok dengan fitrah manusia. Penciptaan Tuhan yang demikian tidak akan berubah. Inilah agama yang benar, tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui.” (Quran, 30: 30)

[4] “Agama yang diredai Allah ialah Islam.” (Quran, 3: 19)

[5] Islam pada zaman nabi Muhammad tetap kekal seperti asal, kerana kitab sucinya, Quran, terpelihara dari sebarang korapsi oleh manusia. “Sesungguhnya, ia sebuah kitab yang kebal. Kepalsuan tidak boleh mendatanginya dari depan atau belakang; sebuah wahyu daripada Yang Maha Bijaksana, lagi Terpuji.” (Quran, 41: 41-42)

[6] Lihat Quran, 2: 3.

[7] “Tiada siapa boleh beriman kecuali dengan izin Allah dan Dia menghalang mereka yang tidak menggunakan akal.” (Quran, 10: 100)

[8] Lihat Quran, 2: 30-34.

[9] Lihat Quran, 2: 34.

[10] Dia telah menundukkan kepada kamu semua yang di langit dan di bumi, semuanya daripada Dia. (Quran, 45: 13)

[11] “Tiada siapa memiliki kuasa, kecuali Allah.” (Quran, 18: 39) “Jangan kau berdukacita kerana kata-kata mereka. Semua kekuasaan milik Allah semata-mata. Dia Maha Pendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Quran, 10: 65)

[12] “Tuanmu berkata kepada kepada para malaikat, ‘Aku hendak mencipta seorang manusia dari tanah liat kering, dari lumpur yang diberi bentuk. Setelah Aku sempurnakan kejadiannya dan meniupkan ka dalamnya dari ruh-Ku, hendaklah kamu sujud kepadanya.’” (Quran, 15: 28-29)

[13] “Tuhan telah membeli dari orang mukmin nyawa dan wang mereka dengan Syurga. Mereka berjuang di jalan Allah, sanggup membunuh dan dibunuh. Demikian janji-Nya yang benar dalam Taurat dan Injil dan Quran – dan siapakah yang menunaikan janji-Nya lebih dari Allah? Hendaklah kamu bergembira dengan pertukaran ini. Inilah kemenangan yang terbesar.” (Quran, 9: 111). Ayat ini menunjukan jika manusia mahukan kehidupan bahagia di akhirat kelak (yakni Syurga), mereka mestilah berjuang untuk melakukan kebaikan di dunia. Oleh kerana dunia ini bercampur-baur dengan kejahatan, maka mereka mestilah sanggup mengorbankan nyawa dan harta-benda mereka. Oleh kerana orang yang sanggup berbuat demikian hanyalah orang mukmin, maka perkataan ‘mukmin’ digunakan.

[14] Dalam Surah Al-Anfal (8), ayat 17 berbunyi, “Bukan kamu yang membunuh mereka; Tuhanlah yang membunuh mereka. Bukan kamu yang melontar; Tuhanlah yang melontar.” Surah ini membicarakan Perang Badar (2 H/624 M ) dan ayat ini menyamakan tindakan pejuang-pejuang mukmin sebagai tindak-tanduk Tuhan. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan-keadaan tertentu perbuatan manusia boleh disamakan dengan perbuatan Tuhan, yakni ketuhanan ada dalam diri manusia, selaras dengan apa dinyatakan dalam ayat tentang secebis ruh Tuhan ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Lihat nota 10 di atas.

[15] Sebagai contoh, lihat ayat 25: 31 yang menyatakan bahawa Tuhan menyebabkan musuh-musuh menganggu ajaran semua nabi. Ini bertujuan untuk menguji orang mukmin sejauh mana keimanan mereka.

[16] “Katakanlah, ‘Saya tidak membawa sesuatu yang baru. Saya membawa perutusan yang sama dengan rasul-rasul dulu.” (Quran, 46: 9) “Kami tidak mengutus mana-mana rasul sebelummu, kecuali dengan mewahyukan kepadanya: ‘Tiada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku saja.” (Quran, 21: 25)

[17] Lihat Quran, 3: 103.

[18] Lihat ayat yang masyhur (5: 3) yang turun 81 atau 82 hari sebelum Nabi Muhammad wafat yang mengisytiharkan lengkap dan sempurnanya agama Islam pada waktu itu. Hadis, yang mendakwa Nabi meninggalkan dua warisan, Quran dan Hadis, hanya dibukukan dalam kitab-kitab rasmi Bukhari, Muslim dan lain-lain kira-kira 250-300 tahun kemudian, setelah Imam Shafie (m. 204/820 ) berjaya membuat kebanyakan umat Islam menerima Hadis sebagai sumber yang wajib sama dengan Quran.

[19] Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran (September, 2002); hal. 14-17.

[20] Umpamanya, lihat 7: 158 dan 2: 285. Lihat juga Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam - Antara Hadis dan Quran, hal. 14-17.

[21] Quran, 4: 59. Ayat ini menyebut “mereka yang berkuasa di antara kamu” tanpa mengkhususkan mana-mana satu kumpulan.

[22] Kaedah perundingan untuk menyelesaikan semua amasalah dianjurkan dalam ayat-ayat 42: 38 dan 3: 159. Jika mereka berbalah, hendaklah mereka berbalik kepada ajaran Quran, mengikut ayat 4: 59.

[23] Mistisme atau cara hidup pertapaan ditolak dalam Quran dalam ayat yang berbunyi, “Selepas mereka, Kami mengutus rasul-rasul Kami. Kami utus Isa, anak Maryam dan Kami berikan dia Injil dan Kami letakkan dalam dada pengikut-pengikutnya perasaan murah hati dan kasih-sayang. Tetapi mereka adakan mistisme yang tidak pernah Kami perintahkan untuk mereka.” (57: 27) Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan, “Sekali selepas Nabi menyampaikan syarahan tentang kepastian Hari Pembalasan dan perbicaraan di depan Tuhan, sebilangan sahabat berhimpun di rumah ‘Uthman bin Maz’un dan menyatakan tekad mereka untuk berpuasa tiap-tiap hari, bersembahyang tiap-tiap malam, tidak akan tidur di atas katil, tidak akan makam daging atau lemak, tidaka akan mengadakan hubungan dengan wanita atau menggunakan air wangi; hanya memakai pakaian-pakaian yang kasar, dan pada dasarnya untuk menolak dunia. Nabi mendengar perkara ini lalu berkata kepada mereka, ‘Saya tidak diperintahkan oleh Tuhan untuk mengikut cara hidup ini. Jasad kamu tetap ada hak-haknya ke atas diri kamu: jadi, berpuasalah, tetapi juga berhentilah dari berpuasa; bersembahyanglah pada malam hari, tetapi juga tidur. Saya berpuasa tetapi saya juga tidak berpuasa. Saya makan daging dan juga lemak, dan juga berkahwin. Barang siapa yang beralih dari jalanku bukanlah dari kumpulanku.”

[24] Sebenarnya, tidak ada konsep Hukum Hudud (undang-undang tetap) dalam Quran. Undang-undang semestinya berubah dari zaman ke zaman dan dari tempat ke tempat. Lihat Kassim Ahmad, Kontroversi Hukum Hudud (Julai, 2002)

[25] Lihat nota 5 di atas.

[26] Hal ini dinyatakan dengan jelas dan padat oleh seorang profesor falsafah, Errol E. Harris, dalam bukunya yang sangat baik , Nature, Mind and Modern Science, George Allen & Unwin, London, 1954. Kata beliau dalam buku ini tentang kewujudan Tuhan, “… The same tendency, owing to the divine character of the higher activities of the mind, leads to a denial by some of the objectivity (i.e.the reality) of values and even of the existence of thinking itself. But though God transcends the process of deveiopemnt – as must be the case if He is its fulfillment – He is also necessarily immanent in and throughout the process – or else it could not be a process of development at all. Consequesntly, the existence of God is the absolute and most indispensable presupposition of science, and so far from there being an alienation of science from religion in the modern era, there is and can only be the closest rapprochement between them if both scientific and religious concepts are rightly interpreted Such alienation as there has been was due to the influence of empiricism, which created for itself a nature vacuously actual and banished from its purview the mind as a ghost in which only the superstitious could believe. God had then to be imagined as the Supreme Ghost and all things religious as ghostly – and therefore non-existent. But empiricism, though it persists, is a relic of the past without scientific basis, and has itself proved to be, in this age of evolution, relativity and quanta, an outworn and outmoded superstition.” (hal. 452) [“ … kerana watak kegiatan minda yang lebih tinggi yang bersifat ilahiah, maka kecenderungan ini menyebabkan sesetengah orang menafikan keobjektifan (yakni, realiti) nilai, malah kewujudan fikiran. Tetapi walaupun Tuhan melampaui proses pertumbuhan – yang semestinya begitu jika Ia kemuncaknya – Dia juga semestinya berada di dalam dan pada seluruh proses itu – jika tidak, ia tidak boleh dikatakan proses pertumbuhan sama sekali. Oleh itu, kewujudan Tuhan ialah praandaian yang mutlak dan tidak boleh tidak bagi sains, dan jauh dari wujudnya permusuhan sains dengan agama dalam era moden ini, yang ada hanyalah persefahaman yang paling akrab di antara keduanya, sekiranya konsep-konsep sains dan agama ditafsirkan dengan betul. Permusuhan seperti yang wujud dulu terjadi kerana pengaruh empirisme, yang telah mencipta untuk dirinya sebuah alam yang kosong yang dinyahkan dari perkiraannya minda sebagai hantu yang dipercayai hanya oleh mereka yang percaya kepada tahayul. Maka Tuhan pun perlu dibayangkan sebagai Kepala Hantu dan semua perkara agama sebagai berhantu – dan dengan itu tiada. Tetapi empirisme, walaupun masih berpengaruh, hanyalah saki-baki tinggalan zaman tanpa asas saintifik, dan telah membuktikan dirinya dalam zaman evolusi, relitiviti dan kuanta ini, sebagai satu tahayul yang usang dan karut.” (hal. 452) – terjemahan penulis]

[1] Hal ini terbukti dari beberapa ayat Quran. Satu daripadanya berbunyi, “Sesungguhnya, mereka yang beriman, sama ada Yahudi, Kristen atau Sab’in; sesiapa saja yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, dan berbuat baik akan menerima ganjaran dari Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut; mereka tidak perlu berdukacita.” (2: 62). Sab’in bermaksud mereka yang beragama samawi lain di luar kumpulan keluarga Ibrahim.
[1] Pada zaman ini, kita memerlukan satu kaedah tafsir yang saintifik. Kaedah tafsir yang lama perlu disesuikan dengan perkembangan ilmu dan peredaran zaman. Lihat Kassim Ahmad, Hadis – Jawapan Kepada Pengkritik, Media Indah, Kuala Lumpur, 1992; Bab 7.
[1] “Oleh itu, hendaklah kamu hadapkan wajah kamu dengan benarnya kepada agama, Demikianlah fitrah yang dijadikan Allah cocok dengan fitrah manusia. Penciptaan Tuhan yang demikian tidak akan berubah. Inilah agama yang benar, tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui.” (Quran, 30: 30)
[1] “Agama yang diredai Allah ialah Islam.” (Quran, 3: 19)
[1] Islam pada zaman nabi Muhammad tetap kekal seperti asal, kerana kitab sucinya, Quran, terpelihara dari sebarang korapsi oleh manusia. “Sesungguhnya, ia sebuah kitab yang kebal. Kepalsuan tidak boleh mendatanginya dari depan atau belakang; sebuah wahyu daripada Yang Maha Bijaksana, lagi Terpuji.” (Quran, 41: 41-42)
[1] Lihat Quran, 2: 3.
[1] “Tiada siapa boleh beriman kecuali dengan izin Allah dan Dia menghalang mereka yang tidak menggunakan akal.” (Quran, 10: 100)
[1] Lihat Quran, 2: 30-34.
[1] Lihat Quran, 2: 34.
[1] Dia telah menundukkan kepada kamu semua yang di langit dan di bumi, semuanya daripada Dia. (Quran, 45: 13)
[1] “Tiada siapa memiliki kuasa, kecuali Allah. ” (Quran, 18: 39) “Jangan kau berdukacita kerana kata-kata mereka. Semua kekuasaan milik Allah semata-mata. Dia Maha Pendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Quran, 10: 65)
[1] “Dialah Yang Pertama dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin … Dia bersama kamu di mana juga kamu berada.” (Quran, 57: 3-5)
[1] “Tuanmu berkata kepada kepada para malaikat, ‘Aku hendak mencipta seorang manusia dari tanah liat kering, dari lumpur yang diberi bentuk. Setelah Aku sempurnakan kejadiannya dan meniupkan ka dalamnya dari ruh-Ku, hendaklah kamu sujud kepadanya.’” (Quran, 15: 28-29)
[1] “Tuhan telah membeli dari orang mukmin nyawa dan wang mereka dengan Syurga. Mereka berjuang di jalan Allah, sanggup membunuh dan dibunuh. Demikian janji-Nya yang benar dalam Taurat, Injil dan Quran – dan siapakah yang menunaikan janji-Nya lebih dari Allah? Hendaklah kamu bergembira dengan pertukaran ini. Inilah kemenangan yang terbesar.” (Quran, 9: 111). Ayat ini menunjukan jika manusia mahukan kehidupan bahagia di akhirat kelak (yakni Syurga), mereka mestilah berjuang untuk melakukan kebaikan di dunia. Oleh kerana dunia ini bercampur-baur dengan kejahatan, maka mereka mestilah sanggup mengorbankan nyawa dan harta-benda mereka. Oleh kerana orang yang sanggup berbuat demikian hanyalah orang mukmin, maka perkataan ‘mukmin’ digunakan. Perhatikan bahawa Syurga ini hasil kerja manusia sendiri.
[1] Dalam Surah Al-Anfal (8), ayat 17 berbunyi, “Bukan kamu yang membunuh mereka; Tuhanlah yang membunuh mereka. Bukan kamu yang melontar; Tuhanlah yang melontar.” Surah ini membicarakan Perang Badar (2 H/624 M ) dan ayat ini menyamakan tindakan pejuang-pejuang mukmin sebagai tindak-tanduk Tuhan. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan-keadaan tertentu perbuatan manusia boleh disamakan dengan perbuatan Tuhan, yakni ketuhanan ada dalam diri manusia, selaras dengan apa dinyatakan dalam ayat tentang secebis ruh Tuhan ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Lihat nota 10 di atas.
[1] Sebagai contoh, lihat ayat 25: 31 yang menyatakan bahawa Tuhan menyebabkan musuh-musuh mengganggu ajaran semua nabi. Ini bertujuan untuk menguji orang mukmin sejauh mana keimanan mereka.
[1] “Katakanlah, ‘Saya tidak membawa sesuatu yang baru. Saya membawa perutusan yang sama dengan rasul-rasul dulu.” (Quran, 46: 9) “Kami tidak mengutus mana-mana rasul sebelummu, kecuali dengan mewahyukan kepadanya: ‘Tiada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku saja.” (Quran, 21: 25)
[1] Lihat Quran, 3: 103.
[1] Lihat ayat yang masyhur (5: 3) yang turun 81 atau 82 hari sebelum Nabi Muhammad wafat yang mengisytiharkan lengkap dan sempurnanya agama Islam pada waktu itu. Hadis, yang mendakwa Nabi meninggalkan dua warisan, Quran dan Hadis, (yang dikelasifikasikan sebagai “cacat” dalam hadis itu sendiri), hanya dibukukan dalam kitab-kitab rasmi Bukhari, Muslim dan lain-lain kira-kira 250-300 tahun kemudian, setelah Imam Shafie (m. 204/820 ) berjaya membuat kebanyakan umat Islam menerima Hadis sebagai sumber yang wajib sama dengan Quran. (Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran (September, 2002); hal. 14-17.)
[1] Umpamanya, lihat 7: 158 dan 2: 285. Lihat juga Kassim Ahmad, DilemaUmat Islam – Antara Hadis dan Quran, hal. 14-17.
[1] Quran, 4: 59. Ayat ini menyebut “mereka yang berkuasa di antara kamu” tanpa mengkhususkan mana-mana satu kumpulan.
[1] Kaedah perundingan untuk menyelesaikan semua ,masalah dianjurkan dalam ayat-ayat 42: 38 dan 3: 159. Jika mereka berbalah, hendaklah mereka berbalik kepada ajaran Quran, mengikut ayat 4: 59.
[1] Mistisme atau cara hidup pertapaan ditolak dalam Quran dalam ayat yang berbunyi, “Selepas mereka, Kami mengutus rasul-rasul Kami. Kami utus Isa anak Maryam dan Kami berikan dia Injil dan Kami letakkan dalam dada pengikut-pengikutnya perasaan murah hati dan kasih-sayang. Tetapi mereka adakan mistisme yang tidak pernah Kami perintahkan untuk mereka.” (57: 27) Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan, “Sekali selepas Nabi menyampaikan syarahan tentang kepastian Hari Pembalasan dan perbicaraan di depan Tuhan, sebilangan sahabat berhimpun di rumah ‘Uthman bin Maz’un dan menyatakan tekad mereka untuk berpuasa tiap-tiap hari, bersembahyang tiap-tiap malam, tidak akan tidur di atas katil, tidak akan makam daging atau lemak, tidaka akan mengadakan hubungan dengan wanita atau menggunakan air wangi; hanya memakai pakaian-pakaian yang kasar, dan pada dasarnya untuk menolak dunia. Nabi mendengar perkara ini lalu berkata kepada mereka, ‘Saya tidak diperintahkan oleh Tuhan untuk mengikut cara hidup ini. Jasad kamu tetap ada hak-haknya ke atas diri kamu: jadi, berpuasalah, tetapi juga berhenti dari berpuasa; bersembahyanglah pada malam hari, tetapi juga tidur. Saya berpuasa tetapi saya juga tidak berpuasa. Saya makan daging dan juga lemak, dan juga berkahwin. Barang siapa yang beralih dari jalanku bukanlah dari kumpulanku.”
[1] Sebenarnya, tidak ada konsep Hukum Hudud (undang-undang tetap) dalam Quran. Undang-undang semestinya berubah dari zaman ke zaman dan dari tempat ke tempat. Lihat Kassim Ahmad, Kontroversi Hukum Hudud (Julai, 2002)
[1] Lihat nota 5 di atas.
[1] Hal ini dinyatakan dengan jelas dan padat oleh seorang profesor falsafah, Errol E. Harris, dalam bukunya yang sangat baik , Nature, Mind and Modern Science, George Allen & Unwin, London, 1954. Kata beliau dalam buku ini tentang kewujudan Tuhan, “… The same tendency, owing to the divine character of the higher activities of the mind, leads to a denial by some of the objectivity (i.e.the reality) of values and even of the existence of thinking itself. But though God transcends the process of deveiopemnt – as must be the case if He is its fulfillment – He is also necessarily immanent in and throughout the process – or else it could not be a process of development at all. Consequently, the existence of God is the absolute and most indispensable presupposition of science, and so far from there being an alienation of science from religion in the modern era, there is and can only be the closest rapprochement between them if both scientific and religious concepts are rightly interpreted Such alienation as there has been was due to the influence of empiricism, which created for itself a nature vacuously actual and banished from its purview the mind as a ghost in which only the superstitious could believe. God had then to be imagined as the Supreme Ghost and all things religious as ghostly – and therefore non-existent. But empiricism, though it persists, is a relic of the past without scientific basis, and has itself proved to be, in this age of evolution, relativity and quanta, an outworn and outmoded superstition.” (hal. 452) [“ … kerana watak kegiatan minda yang lebih tinggi yang bersifat ilahiah, maka kecenderungan ini menyebabkan sesetengah orang menafikan keobjektifan (yakni, realiti) nilai, malah kewujudan fikiran. Tetapi walaupun Tuhan melampaui proses pertumbuhan – yang semestinya begitu jika Ia kemuncaknya – Dia juga semestinya berada di dalam dan pada seluruh proses itu – jika tidak, ia tidak boleh dikatakan proses pertumbuhan sama sekali. Oleh itu, kewujudan Tuhan ialah praandaian yang mutlak dan tidak boleh tidak bagi sains, dan jauh dari wujudnya permusuhan sains dengan agama dalam era moden ini, yang ada hanyalah persefahaman yang paling akrab di antara keduanya, sekiranya konsep-konsep sains dan agama ditafsirkan dengan betul. Permusuhan seperti yang wujud dulu terjadi kerana pengaruh empirisme, yang telah mencipta untuk dirinya sebuah alam yang kosong yang dinyahkan dari perkiraannya minda sebagai hantu yang dipercayai hanya oleh mereka yang percaya kepada tahayul. Maka Tuhan pun perlu dibayangkan sebagai Kepala Hantu dan semua perkara agama sebagai berhantu – dan dengan itu tidak wujud. Tetapi empirisme, walaupun masih berpengaruh, hanyalah saki-baki tinggalan zaman tanpa asas saintifik, dan telah membuktikan dirinya dalam zaman evolusi, ralitiviti dan kuanta ini, sebagai satu tahayul yang usang dan karut.” (hal. 452) – terjemahan penulis]



















1 comment:

Anonymous said...

Segala Puji bagi Allah