BAB II: PENOLAKAN TEORI AHLUL-HADIS
Quran Lengkap, Sempurna dan Terperinci
Dakwaan-dakwaan ini tidak berasaskan dan tidak benar. Dalam kenyataan-kenyataannya dan pada hakikatnya Quran adalah terpetinci. Perhatian ayat-ayat berikut:
Kami tidak meninggalkan sesuatu pun dari kitab ini. (6-38)
Apakah akan kucari selain Allah sebagai sumber undang-undang, sedangkan Dialah yang menurunkan kitab ini kepadamu dengan terperincinya? (6-114)
Perkataan Tuhanmu telah sempurnalah dengan benar dan adilnya. Tiada suatu pun yang boleh merubah kata-katanya. (6:115)
Kami telah mengadakan dalam Quran ini segala macam contoh untuk manusia supaya mereka beringat. (39:27)
Ayat-ayat di atas menerangkan bahawa Quran lengkap, sempurna dan terperinci, berlawanan dan dakwaan kaum ahlul-Hadis. Sifat-sifat Quran lengkap, sempurna dan terperinci boleh dibuktikan dengan kita mengkaji isi Quran itu sendiri.
Kajian demikian akan membuktikan bahawa tidak ada suatu masalah manusia dari sekecil-kecilnya, seperti disiplin kanak-kanak, kepada sebesar-besarnya, seperti pentadbiran negara atau lebih dari itu, yang tidak disebut dalam Quran, dan disebut pula dengan memberi jawapan-jawapan yang paling baik. Kajian ini juga menunjukkan dakwaan ahlul-Hadis bahawa Quran hanya mengajar prinsip-prinsip umum adalah tidak benar. Bila perlu, Quran memang memberi prinsip-prinsip umum dan tidak kaedah-kaedahnya, serti bila ia memperkatakan perkara-perkara sosioekonomi atau sosiobudaya, kerana bentuk-bentuk dan kaedah-kaedahnya berubah-ubah mengikut zaman dan tempat. Ajaran-ajaran Quran: “Kamu hendaklah taat kepada Allah, kamu hendaklah taat kepada rasul dan mereka yang berkuasa di antara kamu…”27 dan “urusan-urusan mereka diputuskan melalui muafakat di antara mereka…”28 adalah prinsip-prinsip politik di mana kaedah-kaedah pelaksanaannya tidak diperincikan, dan ditinggalkan supaya masyarakat itu sendiri menentukan mengikut tradisi atau kehendak mereka sendiri. Tetapi bila perlu, perintah-perintah yang terperinci diberikan, seperti dalam hal-hal hak individu, milik harta, peraturan-peraturan kahwin-cerai, undang-undang faraid, hukuman bagi setengah kesalahan, undang-undang kesaksian, undang-undang makanan dan kaedah wuduk.
Juga kita akan mendapati bahawa Quran kadang-kadang memberi kedua-dua prinsip dan kaedah. Hukuman-hukuman potong tangan untuk pencuri dan sebat seratus rotan untuk penzina adalah bentuk-bentuk hukuman yang boleh dirujukkan kepada sesuatu keadaan sejaraj tertentu, tetapi apakah prinsip atau prinsip-prinsip hukuman mengikut ajaran Quran?29 Quran memberi dua jawapan: pertama, tiap-tiap kesalahan mestilah dihukum dengan hukuman setimpal; dan kedua, hukuman ihsan, seperti ternyata dari ayat-ayat berikut:
Barangsiapa melakukan kejahatan akan dihukum. (4:123)
Mereka membalas kejahatan dengan balasan yang setimpal. Tetapi barangsiapa yang memaafkan dan berdamai mendapat balasan yang lebih baik daripada Tuhan. (42:40)
Cegahlah kejahatan dengan kebaikan. (
Ayat-ayat di atas menerangkan bahawa bentuk-bentuk hukuman yang disebut dalam Quran, seperti hukum potong tangan untuk pencuri dan seratus kali sebat untuk penzina, merupakan hukuman menurut prinsip pertama. Jika prinsip kedua digunakan, bermakna hukuman boleh diringankan hingga pengampunan.
Demikian juga kaedah dan prinsip diberi untuk pembahagian harta pusaka. Perhatikan ayat-ayat berikut:
Lelaki berhak mendapat sebahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu-bapa dan kaum-kerabat, dan perempuan berhak mendapat sebahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu-bapa dan kaum kerabat, baik sedikit mahupun banyak, sebahagian yang ditetap. (4:7)
Tuhan memerintahkan apa yang kamu tinggalkan bagi anak-anak kamu: lelaki mendapat dua bahagian perempuan… (4:11-12)
Dapat dilihat bahawa ayat pertama menetapkan prinsip umum tanpa menetapkan bahagian masing-masing, sementara ayat-ayat berikutnya menetapkan bahagian-bahagian itu. Adalah munasabah dan logikal kita mentafsirkan bahawa ayat pertama menyatakan prinsip, iaitu harta si mati perlu dibahagi-bahagikan kepada anak-anak dan kaum kerabatnya, dan ayat-ayat yang kedua memberikan kaedah bagaimana prinsip itu perlu dilaksanakan dalam masyarakat Arab abad ketujuh dan masyarakat-masyarakat yang seumpama dengannya.
Lebih jauh dari itu, kita akan mendapati bahawa Quran juga membuat peruntukan bagi keadaan-keadaan luar biasa di mana perintah-perintah itu dibenarkan dikesampingkan buat sementara waktu hingga keadaan luar biasa itu tidak wujud lagi. Demikianlah makanan-makanan yang diharamkan dalam keadaan biasa menjadi halal jika terpaksa, kerana tidak ada makanan lain.30
Huraian di atas membuktikan dengan sepenuhnya dan dengan jelas bahawa Quran lengkap, sempurna dan terperinci. Bila Tuhan sengaja meninggalkan sesuatu perkara dalam Quran, seperti kaedah sembahyang dan banyak hal lain, itu mengandungi hikmatnya. Hikmat ini telah kita huraikan. Namun demkian, eloklah kita perhatikan ayat peninggalan ini dengan lebih teliti:
Wahai kamu yang beriman, janganlah bertanya tentang hal-hal yang jika diwahyukan kepada kamu akan menyusahkan kamu. Jika kamu menimbangnya dari segi Quran, kamu akan sedar bahawa Tuhan meninggalkannya untuk meringankan. Tuhan pemaaf, penimbang rasa. (5:101)
Muhammad Ali dalam tafsirnya mengulas ayat ini demikian: “Sepertimana Islam tidak menggalakkan amalan-amalan yang terlalu berat, seperti cara hidup rahib, ia juga melarang soalan-soalan mengenai perincian-perincian banyak perkara yang akan menjadikan amalan itu atau ini wajib, dan banyak ditinggalkan kepada kehendak seseorang atau kepada keadaan-keadaan masa dan tempat. Penggunaan pertimbangan akal mendapat tempat yang penting dalam Islam dan ini memberikan kebebasan yang luas kepada pelbagai bangsa dan masyarakat untuk mengadakan undang-undang mereka sendiri bagi menghadapi keadaan-keadaan baru yang sudah berubah.”31
Ayat peninggalan ini menjelaskan dua perkara. Pertama, yang perlu dipatuhi oleh orang-orang mukmin tanpa syarat ialah wahyu, yakni Quran. Jadi, jangan kita bertanya tentang hal-hal yang sengaja ditinggalkan oleh Tuhan dalam wahyu-wahyuNya, kerana jika hal-hal itu diperundang-undangkan dalam Quran, orang-orang mukmin mestilah mematuhinya. Kedua, setengah hal sengaja tidak ditentukan oleh Tuhan dalam Quran dengan tujuan untuk membolehkan manusia bertindak mengikut kehendak dan keperluan mereka masing-masing. Oleh yang demikian, ayat ini menolak buku-buku lain, selain daripada Quran, sebagai sumber undang-undang. Ini bermakna Hadis/Sunnah tertolak sebagai sumber undang-undang. Hal ini dapat dibuktikan secara langsung dengan keterangan banyak ayat Quran, di antaranya:
Apakah akan kucari selain Allah sebagai sumber undang-undang, sedangkan Dialah yang menurunkan kitab ini kepada kamu dengan terperincinya? (6:114)
Mereka yang tidak memerintah mengikut kitab Tuhan adalah zalim (
Kamu hendaklah menghukum mengikut kitab Tuhan, dan janganlah mengikut idea-idea mereka, dan jagalah kalau-kalau mereka menyelewengkan kamu dari setengah wajyu-wahyu Tuhan kepadamua. Jika mereka berpaling tadah, kamu haruslah mengetahui bahawa Tuhan ingin mendera mereka kerana dosa-dosa mereka. Sebenarnya , ramai orang jahat. Undang-undang zaman jahiliahkah yang ingin mereka ikut? Undang-undang siapakah yang lebih baik daripada Tuhan bagi mereka yang teguh imannya? (5:49-50)
Mereka yang merekakan peraturan-peraturan agama tidak percaya kepada wahyu-wahyu Tuhan; merekalah sebenarnya pendusta. (16:105)
Patutkah kami perlakukan orang-orang beriman seperti orang-orang berdosa? Betapakah hal kamu? Bagaimanakah kamu menghukum? Adakah kamu sebuah buku lain yang kamu pakai? Yang memberi kepada kamu apa-apa yang kamu kehendaki? (68:35-38)
Bukan sahaja kita tidak boleh menggunakan buku-buku lain, selain Quran, untuk menghukum; malah berbuat demikian bererti menyeleweng. Ini bertentangan dengan pendapat ahlul-Hadis yang mendakwa barangsiapa tidak mengikut Hadis terkeluar dari Islam. Muhammad Thalib memetik pendapat ahlil hukum Ibn Hazm (m.1065): “…kalau ada yang berkata kami hanya berpegang kepada al-Quran saja, maka menurut ijmak ia telah menjadi kafir…”32 (tekanan ditambah) Sekiranya teori ahlul-Hadis betul, maka pendapat ini betul, dan orang-orang Islam mestilah berpegang kepada Hadis/Sunnah. Tetapi kita telah mengkaji teori mereka dengan terperinci dan teliti serta mendaptinya amat lemah dan tidak boleh dipakai.
Sebaliknya, menjadikan Hadis/Sunnah sebagai sumber undang-undang Islam bersama-sama Quran, seperti yang dianjurkan oleh ahlul-Hadis, disifatkan oleh Tuhan sebagai mempersekutukanNya. Perhatikan ayat-ayat berikut.
Mereka mengikut patung-patung yang menentukan bagi mereka undang-undang yang tidak pernah diluluskan oleh Tuhan. (42:21)
Siapakah yang lebih jahat daripada mereka yang merekakan dusta, kemudian menyatakan dikatakan oleh Tuhan, atau menolak wahyu-wahyuNya. Sesungguhnya, orang-orang jahat tidak pernah berjaya. Pada hari kami mengumpulkan mereka semua, kami akan bertanya kepada penyembah-penyembah berhala, “Di manakah berhala-berhala yang telah kamu ciptakan?” Mereka akan mendakwa, “Demi Allah Tuham kami, kami bukan penyembah berhala!” Perhatikan bagaimana mereka berdusta kepada diri mereka sendiri, dan berhala-berhala yang mereka wujudkan meninggalkan mereka. (6:21-24)
Bila Tuhan saja yang dianjurkan, hati mereka yang tidak beriman kepada hari kiamat kecut kerana benci. Tetapi bila berhala-berhala disebut bersamaNya, mereka gembira. (39:45)
Ini kerana bila diajak menyembah Tuhan saja, kamu tidak percaya, tetapi bila berhala-berhala dfisebut di sampingNya, kamu percaya. (40:12)
Tuhan menunjukkan contoh seorang dengan sekutunya yang bertentangan satu sama lain dan seorang yang berpegang kepada satu sumber yang tetap: adakah mereka sama? Segala pujian bagi Tuhan; kebanyakan tidak mengetahui. (39:20)
Ayat-ayat di atas cukup jelas dan tidak memerlukan huraian.
Sebagai kesimpulan, aspek teori Hadis ialah aspek terpenting dalam keseluruhan masalah Hadis. Walaupun kita telah menolak teori ini, dan dengan demikian menolak Hadis/Sunnah sebagai sumber perundangan dan teologi di samping Quran, ini tidak bermakna kita menolak Hadis sebagai satu catatan atau sumber sejarah yang boleh dirujuk oleh ahli-ahli sejarah, atau sebagai satu kumpulan kata-kata hikmah yang boleh diterima jika tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran, keterangan-keterangan sejarah dan sains dan hukum akal. Hal ini akan kita huraikan dalam bab akhir.
Sambongan: BAB III SUMBER, SEBAB DAN KESAN HADIS