Wednesday, June 11, 2008

Hadis: Satu Penilaian Semula #16


Bab III: Sumber, Sebab dan Kesan Hadis (Sambongan)


Kesan-Kesan Hadis: Faham Kepuakan


Seperti telah kita lihat, satu daripada akibat-akibat besar yang pertama ialah perpecahan masyarakat Islam awal kepada beberapa mazhab politik, teologi dan undang-undang, khasnya mazhab Sunni dan Syi’ah dengan fahaman-fahaman politik dan teologi masing-masing. Seperti telah kita lihat juga, punca perpecahan ini ialah Hadis. Puak Syi’ah yang ingin melihat Ali dilantik sebagai khalifah selepas Nabi wafat menciptakan hadis untuk membenarkan pandangan mereka. Mereka mendakwa Nabi telah berkata sebelum beliau wafat: “Barangsiapa mengiktiraf aku sebagai tuannya, bagi mereka Ali juga tuannya.”25 Kemudian hadis palsu ini ditentang oleh hadis palsu lain yang diciptakan oleh puak Bakriyah. Demikianlah hadis-hadis palsu muncul disebabkan oleh kepentingan politik.

Hadis-hadis demikian berfungsi untuk menegakkan ‘kebenaran’ atau fahaman puak masing-masing dan, dengan demikian, mencetuskan, mensahkan dan mengekalkan perpecahan. Sekiranya, institusi hadis tidak wujud dan masyarakat Islam pada waktu itu merujuk kepada Quran untuk menyelesaikan perselisihan pendapat mereka mengenai jawatan khalifah, mereka akan dapat menyelesaikannya atas asas persaudaraan mukmin melalui perundingan dan muafakat. Tetapi oleh kerana mereka telah mementingkan puak lebih daripada persaudaraan Islam dan lebih percaya kepada hadis daripada Quran, dan oleh kerana Hadis membenarkan faham kesukuan dan kepuakan yang masih kuat dalam masyarakat Arab pada waktu itu, maka perpecahan itu tidak dapat diselesaikan dan berterusan hingga ke hari ini.


Anti-Intelektualisme

Kita telah melihat juga bahawa punca perpecahan kepada empat mazhab di kalangan kaum Sunni ialah perbezaan pendapat di antara aliran Imam Abu Hanifah (m.150/767) yang mengutamakan fikiran kreatif dan aliran Imam Malik (m.179.795) yang menitik-beratkan sunnah, yakni amalan penduduk-penduduk Madinah dan amalan para sahabat. Oleh kerana masyarakat Islam pada waktu itu, khasnya pemerintah, tidak dapat menyelesaikan perbezaan pendapat ini dengan merujuk kepada Quran, maka perbezaan pendapat ini akhirnya ‘diselesaikan’ oleh teori perundingan Islam Imam Shafi’i (m.204/820) yang menjadikan Hadis/Sunnah sebagai satu sumber perundangan yang utama di samping Quran. Dengan diterimanya teori ini dan dijadikan pegangan kaum ortodoks atau apa yang dikatakan Ahli Sunnah wal-Jama’ah, maka perpecahan yang telah ditimbulkan oleh Hadis dihalalkan dan diinstitusikan, dan Hadis menggantikan serta menekan fikiran kreatif dalam Islam. Inilah puncanya fikiran kreatif merosot dan terus mati dalam masyarakat Islam sekitar abad-abad kesebelas dan kedua belas selama seribu tahun lebih, dan obor ilmu pengetahuan diambil-alih oleh Eropah moden.

Sebenarnya, seperti telah dikatakan, fikiran kreatif digalakkan dan diberi tempat tinggi dalam ajaran Quran. Peranan manusia sebagai khalifah Tuhan di dunia dan penerimaan peranan ini secara sukarela oleh manusia menunjukkan betapa pentingnya peranan kreatif manusia ini. Oleh kerana masyarakat Islam awal memahami serta mengamalkan ajaran-ajaran Quran ini, dalam masa yang singkat di antara seratus hingga dua ratus tahun saja, mereka telah mencapai mercu kejayaan pelbagai bidang pada zaman itu.

Bila Hadis dan ijmak ulama diberikan peranan mutlak untuk memutuskan perkara-perkara yang berhubung dengan masyarakat dalam teori ortodoks ini, maka dengan sendirinya dan secara automatis, peranan fikiran kreatif masyarakat ditekan. Hadis menjadi saluran dan media segala macam tahyul dan prasangka dalam masyarakat. Hal ini diterangkan dengan begitu jelas dan tepat dalam sepotong ayat Quran berbunyi: “Patutkah kami perlakukan orang-orang mukmin seperti orang-orang berdosa? Betapakah hal kamu? Bagaimanakah kamu menghukum? Adakah kamu sebuah buku lain yang kamu pakai? Yang memberi kepada kamu apa-apa yang kamu kehendaki.”26 “Buku lain” di sini merujuk kepada buku-buku lain yang digunakan oleh umat Islam dan umat Muhammad selain daripada Quran sebagai panduan asas. Bolehkah kita sangkal bahawa sebuah daripada buku-buku lain yang telah dipakai oleh umat Islam selama seribu tahun lebih ialah Hadis? Buku Hadis memberikan kita segala macam hal, termasuk perincian bagaimana kita patut tidur, makan dan pakai!

Kebekuan dan Oportunisme Politik

Di antara pelbagai macam khurafat yang telah masuk ke dalam Hadis ialah mitos Imam Mahadi27 yang konon akan muncul di akhir zaman untuk membela dan menyelamatkan umat Islam dan manusia dari pemerintahan-pemerintahan yang zalim, dan mitos orang-orang Islam boleh masuk syurga semata-mata dengan mengucap dua kalimah syahadat di saat sakratu’l maut!28 Kedua-dua hadis ini terang-terang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran dan dengan hukum akal. Quran senantiasa menggesa orang-orang mukmin menyeru kepada kebaikan dan melarang kajahatan, yakni berjuang di jalan Allah, tiap-tiap saat tanpa menunggu kedatangan seorang Imam Mahadi, dan hukum akal tidak menerima bahawa sesuatu perubahan akan berlaku kepada masyarakat Islam kecuali masyarakat Islam sendiri melakukan perjuangan.

Hadis kedua di atas juga secara langsung bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran yang menentukan hukuman-hukuman Tuhan bagi semua kejahatan dan dosa. Hadis ini, nampaknya, secara sihir ingin menghapuskan hukuman-hukuman Tuhan dengan dua potong ayat saja!

Kedua-dua hadis di atas adalah dua contoh yang nyata di antara berpuluh-puluh yang boleh dikemukakan – hadis-hadis yang membuahkan dan menggalakkan sikap politiko-sosial yang beku, pasif dan oportunis yang telah menyebabkan kemunduran dan kejatuhan umat Islam.

Di sini saya ingin memetik beberapa hadis yang nyata telah diciptakan dalam keadaan peperangan saudara dalam pemerintahan-pemerintahan Ali dan khalifah-khalifah Umawiyah untuk menanam sikap pasif, malah perasingan diri, dalam pergolakan-pergolakan politik yang sedang berlaku pada waktu itu. Hadis-hadis ini dikatakan diriwayatkan oleh sahabat Nabi, Hudhayfah, dan dikutip oleh Bukhari dan Muslim. Mula-mula Hudhayfah, bermula dengan melaporkan bahawa, kononnya, Nabi telah menceritakan segala sesuatu yang bakal berlaku hingga hari kiamat.

Nabi pada satu waktu berucap kepada kami hingga beliau tidak meninggalkan suatu pun (yang penting) yang bakal berlaku hingga, hari kiamat. Mereka yang mengingatinya ingat, dan ada yang telah lupa…Ada beberapa perkara yang telah saya lupa, tetapi bila saya tersua dengan perkara-perkara ini, saya teringat seperti seseorang teringat (secara samar-samar) akan wajah seorang yang tidak ada, tetapi bila dia berjumpa lagi dengannya, dia kenal orang itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)29

Orang biasa bertanya kepada Nabi tentang kebaikan, sedangkan saya bertanya tentang kejahatan, kerana saya bimbang kejahatan itu akan menimpa saya. Lalu saya berkata, ‘Wahai rasul Allah! Kami sebelum ini dalam keadaan kejahilan dan kejahatan, lalu Tuhan mendatangkan kebaikan kepada kami. Akan berlakukah kejahatan lagi selepas kebaikan ini?’ ‘Ya,’ jawab Nabi. ‘Dan adakah kebaikan akan kembali lagi selepas kejahatan ini?’ saya bertanya. Nabi menjawab, ‘Ya, tetapi ia bercampur-baur dengan kejahatan.’ ‘Apakah kejahatan itu?’ saya bertanya. Nabi menjawab, ‘Setengah orang akan mengikut selain daripada sunnahku dan akan memimpin mereka ke jalan lain daripada jalanku. Setengah perbuatan mereka baik, setengah jahat.’ Saya bertanya, ‘Adakah akan wujud kejahatan lagi setelah kebaikan (campuran) ini?” Beliau menjawab, ‘Ya, pendakyah-pendakyah yang berdiri di pintu neraka; barangsiapa mendengar mereka kan mereka campakkan ke dalamnya.’ ‘Terangkanlah kepada kami sifat-sifat mereka, wahai rasul Allah!’ saya meminta. Nabi berkata, ‘Mereka dari bangsa kita dan bercakap bahasa kita.’ Apakah perintahmu kepadaku jika aku berada di dalam keadaan itu?’ saya bertanya. Nabi berkata, ‘Ikutlah puak majoriti orang-orang Islam dan pemimpin mereka.’ ‘Tetapi jika mereka tidak ada puak majoriti atau seorang pemimpin?’ saya bertanya. Nabi menjawab, ‘Jika demikian, tinggallah semua puak walau kamu terpaksa berpaut kepada akar pokok hingga kamu mati.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)30

Akan wujud peperangan-peperangan saudara: pada waktu itu duduk di dalam rumah lebih baik daripada berdiri di luar; berdiri di luar lebih baik daripada berjalan; dan berjalan lebih baik daripada berlari…(Riwayat Muslim)31

Tinggallah di rumahmu dan kawal lidahmu; ambil apa yang kamu ketahui sebagai baik dan tinggalkan apa yang kamu ketahui sebagai tidak baik; jagalah urusanmu sendiri dan jauhilah urusan-urusan umum. (Riwayat Tirmidhi)32

Hadis-hadis mengenai Imam Mahadi dan hadis-hadis di atas mengajar umat Islam bukan semangat berjihad atau berjuang di jalan Allah, tetapi semangat pasif, beku dan pengunduran diri dari perjuangan. Hadis-hadis ini, seperti kata Fazlur Rahman, menggambarkan pendirian kaum ortodoks Ahli sunnah wa’l-Jama’ah terhadap peperangan-peperangan politik dan kontroversi-kontroversi teologi dan dogma yang mengikutinya.33 Mereka menggunakan Hadis untuk merumuskan “satu definisi Islam yang meluas untuk melenyapkan faham-faham Khawarij dan Mu’tazilah”, dan dengan itu, mengikut beliau “menyelamatkan Ummah daripada membunuh diri.”34

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa hadis-hadis tersebut telah diwujudkan oleh kaum ortodoks untuk dijadikan jambatan untuk menghubungkan pelbagai puak yang bersengketa dan mengekalkan perpaduan ummah, nyatalah jambatan ini jambatan yang tidak kukuh. Bolehkah kebekuan politik dan pelepasan perjuangan menjaminkan kestabilan, perpaduan dan keadilan? Seperti telah kita katakan, ajaran ini terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran. Sejarah Islam kemudian, apabila semangat kebekuan politik menjadi pegangan masyarakat melalui ajaran-ajaran kaum ortodoks ini, menunjukkan bagaimana pemerintah-pemeringah yang zalim dan korup dengan senang diterima oleh masyarakat Islam. Inilah punca kejatuhan umat Islam.

Seperti telah dikatakan, ajaran pasifisme politik kaum ortodoks ini amat bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. Oleh yang demikian, timbul soalan bagaimana hendak mengatasi percanggahan ini? Cara yang paling baik ialah dengan mematikan semangat intelektualisme di kalangan umat Islam. Fikiran kreatif tidak boleh digalakkan di kalangan rakyat. Hanya satu golongan tertentu saja yang boleh mentafsirkan Quran dan yang boleh menghuraikan agama, iaitu kelas ulama. Inilah yang menyebabkan timbulnya hadis-hadis anti-intelektual yang menekan fikiran kreatif dan yang menonjolkan kelas ulama, umpamanya:

Ulama pewaris para nabi… (Riwayat Abu Daud dan Tirmidhi)

Abn Abbas melaporkan bahawa rasul Allah berkata ‘Barangsiapa mentafsirkan Quran mengikut fikirannya sendiri, bersedialah mencari tempatnya dalam api neraka.(Riwayat Tirmidhi)35

Anehnya, tafsiran mengikut fikiran sendiri, walaupun betul, adalah salah, mengikut sebuah hadis lain:

Jundub melaporkan rasul Allah berkata, ‘Barangsiapa mentafsirkan Quran mengikut fikirannya sendiri dan tafsiran itu betul, maka dia berdosa.’ (Riwayat Tirmidhi dan Abu Daud)36

Tidak hairanlah kalau selama kira-kira seribu tahun umat Islam berpegang kepada khurafat dan bid’ah jahat seperti ini keadaan mereka daif dan mundur seperti yang telah kita lihat dalam Bab I. Jika gerakan kebangkitan Islam sekarang ingin mencapai tujuannya, ia tidak dapat tidak mesti membenteras khurafat dan bid’ah jahat yang berpunca dari Hadis/Sunnah.

Sambongan: Bab IV: Kritikan Terhadap Hadis

Wednesday, June 04, 2008

SENI DAN SAINS PEMERINTAHAN –

POLITIK BARU UNTUK MALAYSIA

Kassim Ahmad

30 Mei, 2008

I: Pertembungan Dua Sistem Yang Bertentangan

Termasuk esei ini, saya telah menulis dan menyiarkan dalam blog saya lima buah tentang kesan dan akibat Pilihanraya Umum Malaysia ke-12. Dalam esei saya yang ketiga bertajuk “Jalan Ke Hadapan: Politik Malaysia Pasca Pilihanraya Umum ke-12”, ditulis pada 18 Mac, 2008, saya berkata:-

“Dengan perubahan-perubahan yang telah dibawa oleh pilihanraya umum yang lalu, kita tersua dengan kemungkinan-kemungkinan dan harapan-harapan yang baru. Dalam dunia dalam masa lima puluh tahun yang lalu atau lebih, kita diperlihatkan dengan tiga contoh sistem pemerintahan yang besar, iaitu (a) sistem kapitalis liberal, (b) sistem sosialis komunis, dan (c) sistem teokrasi agama. Untuk masa lima puluh tahun yang lalu, pada dasarnya, kita mengamalkan sistem kapitalis liberal. Bagi kita, sistem ini sudah gagal. Sistem kedua dan ketiga juga sudah terbukti gagal di tempat-tempat lain. Pada saat ini, kita ada satu peluang keemasan dan bersejarah untuk meneroka satu jalan baru bagi kita. Kita mesti mencari “Jalan Yang Lurus”, bebas dari penyelewengan-penyelewangan yang disebut dalam ayat suci dalam surah Al-Fatehah (1: 6-7).”

Sesetengah orang akan melabel saya seorang idealis yang tidak berpijak di bumi nyata. Saya bukan idealis seperti itu. Idealisme saya berdiri di atas hakikat bahawa “Manusia itu makhluk berakal. Kita tidak perlu memenjarakan diri kita dalam sistem geopolitik liberal-imperialis ‘Kuat itu benar’. Kuat sebenarnya tidak benar. Yang benar itu ‘Benar itu kuat.’ Kita perlu tinggalkan alam kebinatangan dan memasuki alam kemanusiaan yang bersifat moral dan spiritual.”

Dalam sejarah masyarakat manusia, dari dulu hingga sekarang, sistem pemerintahan kedua inilah yang dipraktikan oleh para nabi, khasnya Nabi Muhammad, dan pewaris-pewaris mereka di seluruh benua, seperti Abu Bakr dan Omar Ibni Kattab di Semenanjung Arab, Abraham Lincoln, Franklin D. Rooservelt dan John F. Kennedy di Amerika Syarikat, Peter the Great dan Lenin di Rusia, Cromwell di Britain, Richelieu di Perancis, Kamal Attaturk di Turki, Shih Huang Ti, Sun Yat-sen dan Mao Tse-dung di China, Sukarno-Hatta di Indonesia, Mahatma Ghandi dan Nehru di India, Muzaffar Shah dan Tun Abdul Razak di Malaysia, Nasser di Mesir dan Saddam Hussein di Iraq.

Oleh kerana saya mahu negara kita yang tercinta maju (maju dari semua segi: fizikal, mental, moral dan spiritual) mengikut sistem yang diajar oleh Tuhan kepada kita, maka saya tulis esei itu. Dalam esei ini (dua bagian), saya mahu mengkaji perkara pemerintahan lebih jauh sedikit daripada apa yang pernah saya tulis dulu.

Pemerintahan suatu seni, kerana ia banyak bergantung kepada kebijaksanaan seorang pemimpin atau sesuatu pimpinan. Ia tidak boleh dipelajari seperti kita pelajari sesuatu mata-pelajaran di sekolah. Namun demikian, pemeritahan itu suatu sains, yang boleh dan harus dipelajari. Jika tidak dipelajari atau dipandu oleh sesuatu sains, maka pemerintahan itu merosot menjadi kacau-bilau dan akahirnya hancur. Kita boleh melihat kenaikan dan kejatuhan sesuatu empayar atau pemerintahan silih-berganti dalam sejarah. Apabila pemerintahan adil, maka negara atau tamadun itu meningkat menjadi maju; sebaliknya, apabila ia zalim, pemerintahan itu merosot dan jatuh. Ini undang-undang yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan kita tidak boleh mengelaknya.

Inilah sebabnya kita harus memilih dan mendirikan pemerintahan yang berdasarkan falsafah “Benar itu kuat” dan menolak pemerintahan yang berdiri di atas falsafah “Kuat itu benar.”

Ada dua pihak yang besar dalam sesuatu sistem pemerintahan. Di satu pihak, pemerintah itu sendiri, terdiri dari seorang atau satu barisan pemimpin dan pembantu-pembantu mereka. Di pihak lain, rakyat yang diperintah. Di antara kedua-dua pihak ini, senantiasa berlaku satu proses pengaruh-mempengaruhi, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Dalam zaman moden, apabila ilmu pengetahuan telah berkembang jauh dari zaman pra-sains, bukan saja pemerintah, tetapi juga yang diperintah, mesti tahu seni atau sains pemerintahan. Kata pepatah, sesuatu rakyat memperoleh kerajaan yang padan dengan mereka. Jika mereka baik, mereka dapat sebuah pemerintahan yang baik. Jika mereka jahat, mereka dapat sebuah pemerintahan yang jahat. Dengan demikian, mereka yang diperintah mesti tahu bagaimana hendak bertindak untuk memperoleh kerajaan yang mereka mahu, mengikut pepatah Melayu: “Raja adil raja disembah; raja zalim raja disanggah.” Ini satu ajaran yang demokratik dan revolusioner, bertentangan dengan fahaman feudal yang reaksioner: “Adat Melayu pantang derhaka.” Kaedah yang dijar dalam Quran ialah: “Memerintahkan kebaikan dan melarang kejahatan”. Ini juga satu ajaran yang demokratik dan revolusioner.

Pada teorinya, dalam mana-mana sistem pemerintahan, rakyatlah yang memegang kedaulatan, melalui konsep manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi. Pada akhirnya, Tuhan (Pencipta dan Pentadbir Alam) inilah yang berdaulat, tetapi Dia telah menyerahkan kedaulatan ini kepada manusia melalui konsep tersebut. Konsep ini telah melahirkan parti-parti politik, apa yang disebut sistem dwi-parti yang timbul di Eropah, yang menggambarkan perpecahan masyarakat kepada beberapa aliran ideologi, dari Kanan ke Kiri. Di bawah pemerintahan Nabi Muhammad, perpaduan dan kesatuan ummah/ masyarakat dipertahankan dan perpecahan ideologi tidak berlaku. Namun demikian, tidak lama setelah itu, timbul apa yang kemudian dipanggil parti Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dan parti Syi’ah.

Apa yang hendak saya tegaskan di sini ialah hakikat bahawa rakyatlah yang memerintah sebenarnya. Pemerintah ialah manifestasi dari kehendak rakyat, dan rakyat boleh mengubah pemerintahan. Dalam frasa moden, kita katakan “Parti menguasai Kerajaan”, dan bukan sebaliknya “Kerajaan menguasai parti,” walaupun biasanya ini yang kerap berlaku. Apabila Kerajaan menguasai parti, falsafah perjuangan parti hilang dalam elitisme selegelitir kaum elit, yang menimbulkan gejala-gejala kronisme, rasuah, penyelewenagn dan pembaziran Inilah yang telah terjadi kepada UMNO dalam masa dua tiga dekad yang lalu dan menyebabkan gabungan yang ia pimpin menderita kehilangan undi dan kuasa di lima buah negeri dalam pilihanraya umum yang lalu.

II: Konsep Parti Revolusioner

Untuk membuktikan kuasa parti, kita ambil contoh parti UMNO. Katanya, sekarang UMNO memiliki 3.2 juta ahli. Nyata ini tidak benar. Ia hany wujud dalam rekod Ibu Pejabat UMNO. Mutu tiap-tiap ahli ini langsung tidak terjamin. Ramai yang masuk tanpa kesedaran dan ramai lagi yang menjadi ahli tanpa mengetahui falsafah perjuangan parti UMNO. Malah kita tidak pasti apakah wujud apa yang boleh kita panggil falsafah perjuangan UMNO, sedangkan ini sangat penting. Kalau seperempat saja daripada bilangan 3.2 juta itu, iaitu 800,000, memasuki UMNO secara sedar serta menghayati falsafah perjuangan parti (falsafah ini mestilah beradasarkan tiga tonggak: kebangsaan Melayu, kebangsaan Malaysia dan pandangan hidup tauhid Islam), UMNO memang akan menjdi kebal dan tidak boleh dikalahkan.

Apakah tugas parti? Ringkasnya, parti ialah permimpin rakyat, dalam semua bidang kehidupan: ekonomi, politik dan kemasyarakatan, dari peringkat cawangan hingga ke peringkat Pusat. Parti ibarat kepala keretapi. Tanpa kepala keretapi, walaupun ia pendek, keretapi, yang boeh jadi panjangnya setengah batu, tidak boleh berjalan. Tanpa parti, tanpa kumpulan masyarakat yang melakukan perjuangan kebangsaan ini secara sukarela dan sedar, masyarakat tidak akan dan tidak boleh bergerak. Demikianlah pentingnya parti.

Malangnya, dalam masyarakat kita, untuk kira-kira tiga puluh tahun yang lalu, parti sudah tidak memainkan peranan kreatif dan dinamiknya lagi. Parti tidak berkuasa dan memimpin lagi; yang berkuasa dan meminpin ialah Kerajaan. Kerajaan menguasai parti.

Setelah 50 tahun, kemiskinan masih wujud. Banyak kampung masih tiada bekalan air dan elektrik dan jalan tar. Ramai penduduk masih buta huruf dan ramai belia di kampung tiada pekerjaan. Kita tahu di tiap-tiap kampung, ada cawangan UMNO. Mengapa cawangan-cawangan ini tidak diarahkan oleh Ibu Pejabat untuk mendaftarkan penduduk kampung yang miskin, yang tiada pekerjaan, yang buta huruf dan mendaftar kampung-kampung yang tiada kemudahan-kemudahan asas yang tersebut supaya parti dan Kerajaan boleh mengatasi perkara-perkara ini secepat mungkin? Hal ini diberitahu oleh Menteri Luar Bandar yang baru baru-baru ini dalam satu wawancara beliau dengan televisyen Malaysia.

Kita tahu di kampung-kampung bukan saja ada cawangan-cawangan UMNO. Ada banyak badan lain lagi, seperti Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Agama dan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Mengapakah institusi-institusi parti dan Kerajaan ini tidak boleh diarah bekerjasama untuk menyelesaikan masalah-masalah yang kita sebut tadi. Malah, soal kekurangan peruntukan, yang ditimbulkan Menteri tersebut dalam wawancaranya juga boleh diselesaikan melalui konsep gotong-royong. Mengapa ini tidak dilakukan? Ini menunjukkan bahawa parti tidak berfungsi, kecuali dalam masa pilihanraya. Ini tidak menunjukkan konsep parti sebagai pemimpin rakyat dan masyarakat.

Untuk melayakkan parti menjalankan peranan dan tugasnya, pemimpin-pemimpin parti mestilah menjalani kursus dari semasa ke semasa. Dengan demikian, mereka bukan saja boleh memimpin parti; mereka juga boleh memimpin rakyat dalam semua bidang, termasuk bidang yang paling penting, iaitu mengubah minda rakyat, daripada minda yang terkongkong zaman feudal-kolonial kepada minda bebas zaman demokratik-saintifik-humanis.

Bukan setekat cawangan UMNO saja yang perlu melakukan peranan dan tugas ini. Parti-parti lain juga, termasuk “parti pembangkang” (saya letakkan istilah ini dalam koma, kerana kita tiru amalan ini dari Eropah, yang tidak boleh dianggap universal). Mengapakah tugas nasional ini tidak boleh dilakukan oleh semua pihak? Pembasmian kemiskinan, mengadakan sifar pengangguran, mengadakan kemudahan-kemudahan asas bagi semua kawasan, membasmi buta-huruf dan melaksanakan perubahan minda – semua ini tugas semua parti politik dan semua institusi Kerajaan. Kita boleh dan perlu melakukannya.

Sesebuah parti atau Kerajaan yang baik mestilah memerintah dengan adil. Mereka juga perlu memilih pemimpin daripada “mereka yang layak” untuk menjadi pemimpin. “Layak” di sini bermakna berkebolehan dari segi ilmu dan pengalamannya dan baik dari segi akhlaknya. Parti dan Kerajaan perlu menjalankan tugas mereka melalui kaedah perundingan. Di sini “perundingan” bermakna lebih dalam dari konsep demokrasi Barat. Perundingan bermakna berbincang tentang baik dan buruknya sesuatu perkara (dasar atau calon untuk sesuatu jawatan) sebelum membuat keputusan. Perbincangan haruslah saksama dan adil; lobi-melobi dan tekanan dengan menggunakan wang tidak dibolehkan.

Bolehkah dielak pengaruh wang ini dalam perundingan? Jawabnya, sukar jika mereka yang terlibat masih berada dalam tabi’i kebinatangan. Keseluruh sistem ini memerlukan manusia baru untuk berjaya. Bolehkah kita menghasilkan manusia baru ini? Mesti boleh, jika kita ada kemahuan untuk berbuat demikian, kerana “baru” di sini hanya bermakna bersifat manusia dan bukan binatang! Kaedahnya ialah melalui penghayatan pandangan hidup saintifik tauhid dan melalui didikan, yakni kursus, seminar dan sebagainya.

Tetapi, semua ini tidak boleh kita lakukan selagi kita memenjarakan diri kita dalam kerangkan fikiran politik Eropah. Ada banyak alasan yang boleh diberikan orang untuk kita ikut Eropah, seolah-olah Eropah itu acuan universal bagi kita. Acuan Eropah tidak universal. Ada banyak alasan yang boleh kita berikan untuk membenarkan pendirian kita. Satu daripada yang penting ialah kesemua parti besar di Eropah dan Amerika Syarikat menghalalkan penjajahan Barat terhadap Dunia Islam dan Dunia Ketiga. Ini suatu jenayah besar dalam sejarah manusia dan kita tidak boleh meniru contoh ini. Kita perlu meneroka “Jalan Lurus” atau “Jalan Pertengahan” (The Golden Mean). Inilah yang dikehendaki oleh sejarah daripada kita sekarang. Malah, kita boleh mengatakan ia suatu kemestian sejarah dalam keadaan keruntuhan total sistem pemerintahan liberalisme imperialis Inggeris-Belanda yang sedang berlaku di depan mata kita.

_______________________________________

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com . Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

Sunday, June 01, 2008

Hadis: Satu Penilaian Semula #16

Bab III: Sumber, Sebab dan Kesan Hadis


Pembukuan Hadis


Di sekitar masa ini juga hadis-hadis dari segenap pelosok dunia Islam dikumpul, ditapis dan diwujudkan apa yang dipanggil Enam Buku hadis-hadis ‘sahih’ oleh kaum Sunni, iaitu Sahih Bukhari (m.256/870), Sahih Muslim (m.261/875), Sunan Ibn Majah (m.273/886), Sunan Abu Daud (m.275/888), Jami’ al-Tirmidhi (m.279/892) dan Jami’ al-Nasa’i (m.303/915). Kaum Syi’ah pula mempunyai kumpulan-kumpulan hadis mereka sendiri iaitu kumpulan al-Kulaini (m.328/9 H.), kumpulan Ibn Babuwayh (m.381 H.) dan dua kumpulaan Ja’afar Muhammad al-Tusi (m.411 H.).

Dengan kemenangan dan penerimaan teori perundangan Shafi’i di mana Hadis diberi tempat yang utama bersama-sama Quran, penggunaan fikiran kreatif atau ijtihad, pada praktiknya, tidak diperbolehkan lagi. Inilah yang kemudiannya dikenal dengan ungkapan masyhur ‘penutupan pintu ijtihad’ dan permulaan zaman taqlid yang berlanjutan hingga akhir abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh.

Boleh dilihat dari apa yang telah dihuraikan di atas bahawa pertentangan di antara aliran fikiran kreatif dengan aliran Sunnah (dalam kedua-dua ertikata tradisi masyarakat dan amalan Nabi) dalam masyarakat Islam awal telah dimenangi oleh aliran Sunnah. Jika tujuan Imam Shafi’i ialah untuk menggabungkan dan mendamaikan kedua-dua aliran ini, dan dengan itu membendung perpecahan dalam masyarakat Islam, nyatakanlah beliau tidak berjaya. Perpecahan teologi dan undang-undang terus berlaku. Malah, dengan menginstitusikan Hadis untuk mencapai apa yang beliau takrifkan sebagai ijmak, beliau sekaligus telah membunuh pemikiran kreatif masyarakat Islam. Seperti kata Fazlur Rahman.19

Jelas bahawa pengertian ijmak Shafi’i amat berbeza dengan pengertian mazhab-mazhab awal. Tanggapan ijmak beliau ijmak yang formal dan menyeluruh; beliau menuntut persetujuan yang tidak membenarkan perbezaan…

Oleh itu, dengan menterbalikkan susunan wajar Ijtihad-Ijmak kepada Ijmak-Ijtihad, perhubungan sebatiannya terputus. Daripada satu proses dan satu benda yang melihat ke depan – muncul selepas satu Ijtihad bebas – Ijmak menjadi sesuatu yang beku dan melihat ke belakang. Daripada sesuatu yang akan dicapai, ia menjadi sesuatu yang telah dicapai di masa lalu. Genius al Shafi’i mewujudkan satu kaedah yang memberikan kestabilan kepada wajah sosio-agama zaman pertengahan kita, tetapi dengan membayar kerugian kehilangan daya kreatif dan keaslian dalam jangka panjang.

Proses penggantian Ijtihad dengan Hadis yang memakan masa dua ratus tahun lebih amatlah kompleks. Faktor-faktor sejarah dan sosial yang menyebabkannya masih belum begitu terang kepada kita. Namun demikian, memandang dari sudut zaman kita sekarang, kita hairan mengapakah, dengan anjuran dan gesaan Quran yang begitu terang kepada peranan kreatif manusia dan kepada kebebasan sesuatu masyarakat untuk mentadbirkan dirinya,20 tenaga-tenaga konservatif dan reaksioner dapat mengalahkan tenaga-tenaga dinamik dan progresif.

Kita menilai semula kesusasteraan Hadis bukan sebagai satu latihan akademik untuk mendapat ijazah. Satu aspek Hadis yang amat penting ialah kesannya kepada masyarakat Islam. Kita telah melihat bahawa pemalsuan hadis berlaku kerana perpecahan politik dan agama yang kemudian membawa kepada munculnya mazhab-mazhab. Kita juga telah melihat bahawa hadis-hadis telah dijadikan alat untuk menyalurkan pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat masyarakat pada waktu itu, dan kebanyakan pandangan dan pendapat ini merupakan tahyul dan bid’ah yang jahat.

Adalah wajar sekali kalau kita membuat andaian bahawa Nabi Muhammad tidak akan menyatakan atau berbuat sesuatu yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. Andaian ini kita buat kerana, sebagai rasul, beliau tentu amat faham akan ajaran-ajaran itu. Walau bagaimanapun, kita juga diberitahu oleh Tuhan dalam Quran bahawa Muhammad seorang manusia,21 dan beliau telah melakukan beberapa kesilapan sebelum beliau menjadi Nabi dan juga sesudahnya.22 Ini semua membuktikan kepada kita bahawa kelemahan yang kita dapati pada kebanyakan hadis yang dianggap sahih oleh kritikan klasik adalah kerana hadis-hadis ini palsu, yakni tidak sebenarnya berasal daripada Nabi, tetapi telah dikatakan berasal daripada Nabi. Mereka sebenarnya berasal daripada pelbagai puak dan golongan dalam masyarakat pada waktu itu, yang oleh kerana sebab-sebab yang telah kita lihat, memasukkan ke dalam hadis-hadis segala macam tahyul dan bid’ah jahat.

Quran memberitahu kepada kita bahawa Tuhan masih pengasih, sentiasa menghantar bimbingannya kepada manusia melalui rasul-rasulNya untuk membimbing manusia dengan wahyu-wahyuNya ke jalan selamat.23 Rasul-rasul ini bermula dengan Nabi Adam dalam zaman primitif membawa kepada Nabi Ibrahim hingga nabi terakhir dalam zaman moden, Nabi Muhammad. Penyelewengan daripada wahyu-wahyu Tuhan dan jalan selamat ini, yakni Islam (inilah makna ayat masyhur bahawa agama di sisi Tuhan ialah Islam)24 bermakna kerosakan dan kemusnahan bagi masyarakat manusia. Quran menceritakan kerosakan dan kemusnahan beberapa masyarakat dan tamadun dalam zaman purba akibat penyelewengan ini. Dalam zaman moden (moden di sini dikira dari kemunculan Nabi Muhammad) kita telah menyaksikan kerosakan dan kehancuran beberapa buah empayar Eropah. Oleh kerana hukum sejarah berlaku secara objektif bagi semua bangsa dan tamadun, kejatuhan umat Islam tidak dapat tidak mestilah berhubung dengan penyelewengan daripada wahyu-wahyu Tuhan yang telah mereka lakukan. Kita akan mengkaji secara ringkas peranan Hadis dalam penyelewengan ini.


Sambongan: Kesan-Kesan Hadis: Faham Kepuakan