Wednesday, June 04, 2008

SENI DAN SAINS PEMERINTAHAN –

POLITIK BARU UNTUK MALAYSIA

Kassim Ahmad

30 Mei, 2008

I: Pertembungan Dua Sistem Yang Bertentangan

Termasuk esei ini, saya telah menulis dan menyiarkan dalam blog saya lima buah tentang kesan dan akibat Pilihanraya Umum Malaysia ke-12. Dalam esei saya yang ketiga bertajuk “Jalan Ke Hadapan: Politik Malaysia Pasca Pilihanraya Umum ke-12”, ditulis pada 18 Mac, 2008, saya berkata:-

“Dengan perubahan-perubahan yang telah dibawa oleh pilihanraya umum yang lalu, kita tersua dengan kemungkinan-kemungkinan dan harapan-harapan yang baru. Dalam dunia dalam masa lima puluh tahun yang lalu atau lebih, kita diperlihatkan dengan tiga contoh sistem pemerintahan yang besar, iaitu (a) sistem kapitalis liberal, (b) sistem sosialis komunis, dan (c) sistem teokrasi agama. Untuk masa lima puluh tahun yang lalu, pada dasarnya, kita mengamalkan sistem kapitalis liberal. Bagi kita, sistem ini sudah gagal. Sistem kedua dan ketiga juga sudah terbukti gagal di tempat-tempat lain. Pada saat ini, kita ada satu peluang keemasan dan bersejarah untuk meneroka satu jalan baru bagi kita. Kita mesti mencari “Jalan Yang Lurus”, bebas dari penyelewengan-penyelewangan yang disebut dalam ayat suci dalam surah Al-Fatehah (1: 6-7).”

Sesetengah orang akan melabel saya seorang idealis yang tidak berpijak di bumi nyata. Saya bukan idealis seperti itu. Idealisme saya berdiri di atas hakikat bahawa “Manusia itu makhluk berakal. Kita tidak perlu memenjarakan diri kita dalam sistem geopolitik liberal-imperialis ‘Kuat itu benar’. Kuat sebenarnya tidak benar. Yang benar itu ‘Benar itu kuat.’ Kita perlu tinggalkan alam kebinatangan dan memasuki alam kemanusiaan yang bersifat moral dan spiritual.”

Dalam sejarah masyarakat manusia, dari dulu hingga sekarang, sistem pemerintahan kedua inilah yang dipraktikan oleh para nabi, khasnya Nabi Muhammad, dan pewaris-pewaris mereka di seluruh benua, seperti Abu Bakr dan Omar Ibni Kattab di Semenanjung Arab, Abraham Lincoln, Franklin D. Rooservelt dan John F. Kennedy di Amerika Syarikat, Peter the Great dan Lenin di Rusia, Cromwell di Britain, Richelieu di Perancis, Kamal Attaturk di Turki, Shih Huang Ti, Sun Yat-sen dan Mao Tse-dung di China, Sukarno-Hatta di Indonesia, Mahatma Ghandi dan Nehru di India, Muzaffar Shah dan Tun Abdul Razak di Malaysia, Nasser di Mesir dan Saddam Hussein di Iraq.

Oleh kerana saya mahu negara kita yang tercinta maju (maju dari semua segi: fizikal, mental, moral dan spiritual) mengikut sistem yang diajar oleh Tuhan kepada kita, maka saya tulis esei itu. Dalam esei ini (dua bagian), saya mahu mengkaji perkara pemerintahan lebih jauh sedikit daripada apa yang pernah saya tulis dulu.

Pemerintahan suatu seni, kerana ia banyak bergantung kepada kebijaksanaan seorang pemimpin atau sesuatu pimpinan. Ia tidak boleh dipelajari seperti kita pelajari sesuatu mata-pelajaran di sekolah. Namun demikian, pemeritahan itu suatu sains, yang boleh dan harus dipelajari. Jika tidak dipelajari atau dipandu oleh sesuatu sains, maka pemerintahan itu merosot menjadi kacau-bilau dan akahirnya hancur. Kita boleh melihat kenaikan dan kejatuhan sesuatu empayar atau pemerintahan silih-berganti dalam sejarah. Apabila pemerintahan adil, maka negara atau tamadun itu meningkat menjadi maju; sebaliknya, apabila ia zalim, pemerintahan itu merosot dan jatuh. Ini undang-undang yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan kita tidak boleh mengelaknya.

Inilah sebabnya kita harus memilih dan mendirikan pemerintahan yang berdasarkan falsafah “Benar itu kuat” dan menolak pemerintahan yang berdiri di atas falsafah “Kuat itu benar.”

Ada dua pihak yang besar dalam sesuatu sistem pemerintahan. Di satu pihak, pemerintah itu sendiri, terdiri dari seorang atau satu barisan pemimpin dan pembantu-pembantu mereka. Di pihak lain, rakyat yang diperintah. Di antara kedua-dua pihak ini, senantiasa berlaku satu proses pengaruh-mempengaruhi, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Dalam zaman moden, apabila ilmu pengetahuan telah berkembang jauh dari zaman pra-sains, bukan saja pemerintah, tetapi juga yang diperintah, mesti tahu seni atau sains pemerintahan. Kata pepatah, sesuatu rakyat memperoleh kerajaan yang padan dengan mereka. Jika mereka baik, mereka dapat sebuah pemerintahan yang baik. Jika mereka jahat, mereka dapat sebuah pemerintahan yang jahat. Dengan demikian, mereka yang diperintah mesti tahu bagaimana hendak bertindak untuk memperoleh kerajaan yang mereka mahu, mengikut pepatah Melayu: “Raja adil raja disembah; raja zalim raja disanggah.” Ini satu ajaran yang demokratik dan revolusioner, bertentangan dengan fahaman feudal yang reaksioner: “Adat Melayu pantang derhaka.” Kaedah yang dijar dalam Quran ialah: “Memerintahkan kebaikan dan melarang kejahatan”. Ini juga satu ajaran yang demokratik dan revolusioner.

Pada teorinya, dalam mana-mana sistem pemerintahan, rakyatlah yang memegang kedaulatan, melalui konsep manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi. Pada akhirnya, Tuhan (Pencipta dan Pentadbir Alam) inilah yang berdaulat, tetapi Dia telah menyerahkan kedaulatan ini kepada manusia melalui konsep tersebut. Konsep ini telah melahirkan parti-parti politik, apa yang disebut sistem dwi-parti yang timbul di Eropah, yang menggambarkan perpecahan masyarakat kepada beberapa aliran ideologi, dari Kanan ke Kiri. Di bawah pemerintahan Nabi Muhammad, perpaduan dan kesatuan ummah/ masyarakat dipertahankan dan perpecahan ideologi tidak berlaku. Namun demikian, tidak lama setelah itu, timbul apa yang kemudian dipanggil parti Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dan parti Syi’ah.

Apa yang hendak saya tegaskan di sini ialah hakikat bahawa rakyatlah yang memerintah sebenarnya. Pemerintah ialah manifestasi dari kehendak rakyat, dan rakyat boleh mengubah pemerintahan. Dalam frasa moden, kita katakan “Parti menguasai Kerajaan”, dan bukan sebaliknya “Kerajaan menguasai parti,” walaupun biasanya ini yang kerap berlaku. Apabila Kerajaan menguasai parti, falsafah perjuangan parti hilang dalam elitisme selegelitir kaum elit, yang menimbulkan gejala-gejala kronisme, rasuah, penyelewenagn dan pembaziran Inilah yang telah terjadi kepada UMNO dalam masa dua tiga dekad yang lalu dan menyebabkan gabungan yang ia pimpin menderita kehilangan undi dan kuasa di lima buah negeri dalam pilihanraya umum yang lalu.

II: Konsep Parti Revolusioner

Untuk membuktikan kuasa parti, kita ambil contoh parti UMNO. Katanya, sekarang UMNO memiliki 3.2 juta ahli. Nyata ini tidak benar. Ia hany wujud dalam rekod Ibu Pejabat UMNO. Mutu tiap-tiap ahli ini langsung tidak terjamin. Ramai yang masuk tanpa kesedaran dan ramai lagi yang menjadi ahli tanpa mengetahui falsafah perjuangan parti UMNO. Malah kita tidak pasti apakah wujud apa yang boleh kita panggil falsafah perjuangan UMNO, sedangkan ini sangat penting. Kalau seperempat saja daripada bilangan 3.2 juta itu, iaitu 800,000, memasuki UMNO secara sedar serta menghayati falsafah perjuangan parti (falsafah ini mestilah beradasarkan tiga tonggak: kebangsaan Melayu, kebangsaan Malaysia dan pandangan hidup tauhid Islam), UMNO memang akan menjdi kebal dan tidak boleh dikalahkan.

Apakah tugas parti? Ringkasnya, parti ialah permimpin rakyat, dalam semua bidang kehidupan: ekonomi, politik dan kemasyarakatan, dari peringkat cawangan hingga ke peringkat Pusat. Parti ibarat kepala keretapi. Tanpa kepala keretapi, walaupun ia pendek, keretapi, yang boeh jadi panjangnya setengah batu, tidak boleh berjalan. Tanpa parti, tanpa kumpulan masyarakat yang melakukan perjuangan kebangsaan ini secara sukarela dan sedar, masyarakat tidak akan dan tidak boleh bergerak. Demikianlah pentingnya parti.

Malangnya, dalam masyarakat kita, untuk kira-kira tiga puluh tahun yang lalu, parti sudah tidak memainkan peranan kreatif dan dinamiknya lagi. Parti tidak berkuasa dan memimpin lagi; yang berkuasa dan meminpin ialah Kerajaan. Kerajaan menguasai parti.

Setelah 50 tahun, kemiskinan masih wujud. Banyak kampung masih tiada bekalan air dan elektrik dan jalan tar. Ramai penduduk masih buta huruf dan ramai belia di kampung tiada pekerjaan. Kita tahu di tiap-tiap kampung, ada cawangan UMNO. Mengapa cawangan-cawangan ini tidak diarahkan oleh Ibu Pejabat untuk mendaftarkan penduduk kampung yang miskin, yang tiada pekerjaan, yang buta huruf dan mendaftar kampung-kampung yang tiada kemudahan-kemudahan asas yang tersebut supaya parti dan Kerajaan boleh mengatasi perkara-perkara ini secepat mungkin? Hal ini diberitahu oleh Menteri Luar Bandar yang baru baru-baru ini dalam satu wawancara beliau dengan televisyen Malaysia.

Kita tahu di kampung-kampung bukan saja ada cawangan-cawangan UMNO. Ada banyak badan lain lagi, seperti Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Agama dan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Mengapakah institusi-institusi parti dan Kerajaan ini tidak boleh diarah bekerjasama untuk menyelesaikan masalah-masalah yang kita sebut tadi. Malah, soal kekurangan peruntukan, yang ditimbulkan Menteri tersebut dalam wawancaranya juga boleh diselesaikan melalui konsep gotong-royong. Mengapa ini tidak dilakukan? Ini menunjukkan bahawa parti tidak berfungsi, kecuali dalam masa pilihanraya. Ini tidak menunjukkan konsep parti sebagai pemimpin rakyat dan masyarakat.

Untuk melayakkan parti menjalankan peranan dan tugasnya, pemimpin-pemimpin parti mestilah menjalani kursus dari semasa ke semasa. Dengan demikian, mereka bukan saja boleh memimpin parti; mereka juga boleh memimpin rakyat dalam semua bidang, termasuk bidang yang paling penting, iaitu mengubah minda rakyat, daripada minda yang terkongkong zaman feudal-kolonial kepada minda bebas zaman demokratik-saintifik-humanis.

Bukan setekat cawangan UMNO saja yang perlu melakukan peranan dan tugas ini. Parti-parti lain juga, termasuk “parti pembangkang” (saya letakkan istilah ini dalam koma, kerana kita tiru amalan ini dari Eropah, yang tidak boleh dianggap universal). Mengapakah tugas nasional ini tidak boleh dilakukan oleh semua pihak? Pembasmian kemiskinan, mengadakan sifar pengangguran, mengadakan kemudahan-kemudahan asas bagi semua kawasan, membasmi buta-huruf dan melaksanakan perubahan minda – semua ini tugas semua parti politik dan semua institusi Kerajaan. Kita boleh dan perlu melakukannya.

Sesebuah parti atau Kerajaan yang baik mestilah memerintah dengan adil. Mereka juga perlu memilih pemimpin daripada “mereka yang layak” untuk menjadi pemimpin. “Layak” di sini bermakna berkebolehan dari segi ilmu dan pengalamannya dan baik dari segi akhlaknya. Parti dan Kerajaan perlu menjalankan tugas mereka melalui kaedah perundingan. Di sini “perundingan” bermakna lebih dalam dari konsep demokrasi Barat. Perundingan bermakna berbincang tentang baik dan buruknya sesuatu perkara (dasar atau calon untuk sesuatu jawatan) sebelum membuat keputusan. Perbincangan haruslah saksama dan adil; lobi-melobi dan tekanan dengan menggunakan wang tidak dibolehkan.

Bolehkah dielak pengaruh wang ini dalam perundingan? Jawabnya, sukar jika mereka yang terlibat masih berada dalam tabi’i kebinatangan. Keseluruh sistem ini memerlukan manusia baru untuk berjaya. Bolehkah kita menghasilkan manusia baru ini? Mesti boleh, jika kita ada kemahuan untuk berbuat demikian, kerana “baru” di sini hanya bermakna bersifat manusia dan bukan binatang! Kaedahnya ialah melalui penghayatan pandangan hidup saintifik tauhid dan melalui didikan, yakni kursus, seminar dan sebagainya.

Tetapi, semua ini tidak boleh kita lakukan selagi kita memenjarakan diri kita dalam kerangkan fikiran politik Eropah. Ada banyak alasan yang boleh diberikan orang untuk kita ikut Eropah, seolah-olah Eropah itu acuan universal bagi kita. Acuan Eropah tidak universal. Ada banyak alasan yang boleh kita berikan untuk membenarkan pendirian kita. Satu daripada yang penting ialah kesemua parti besar di Eropah dan Amerika Syarikat menghalalkan penjajahan Barat terhadap Dunia Islam dan Dunia Ketiga. Ini suatu jenayah besar dalam sejarah manusia dan kita tidak boleh meniru contoh ini. Kita perlu meneroka “Jalan Lurus” atau “Jalan Pertengahan” (The Golden Mean). Inilah yang dikehendaki oleh sejarah daripada kita sekarang. Malah, kita boleh mengatakan ia suatu kemestian sejarah dalam keadaan keruntuhan total sistem pemerintahan liberalisme imperialis Inggeris-Belanda yang sedang berlaku di depan mata kita.

_______________________________________

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com . Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

6 comments:

Hamdan said...

Sudah lama saya terpanggil untuk memperkata sesuatu terhadap apa yang bapak tulis. Tetapi hanya sekarang saya lakukan kerana kerkerdilan diri terasa kerana menyedari bapak ketika itu adalah pemimpin besar sebuah parti dan saya hanya seorang budak sekolah yang tidak reti apa-apa.

Saya tertarik dengan ungkapan `benar itu kuat' dan bukan `kuat itu benar.' Tetapi kalau dibanding lautan dengan harimau seekor, laut itu kuat dan laut itu benar. Berbanding dengan harimau yang juga kuat dan benar tetapi tidak berupaya menyatukan semua binatang dalam hutan.Jadi apa yang saya hendak katakan ialah dimensi `benar' ini amat banyak sekali. Justeru hanya yang kuat dan benar sahaja akan menjadi sesebuah organisasi itu lebih kuat dan bertahan lama. Tetapi kalau `benar' semata-mata tetapi tiada elemen bersatu, kuat itu tidak ada erti apa apa. Justeru `benar' tidak boleh berdiri sendiri sendiri. Dan `benar' pula mesti membawa elemen `time frame'. Jadi adalah salah kalau kita mengatakan organisasi itu akan mengalamai kegagalan sedangkan`time frame' yang menjadi asas analisis hanya 50tahun sahaja. Tidak juga kita salah kalau kita mengatakan bahawa sesebuah organisasi yang besar sentiasa berperang dengan dirinya sendiri yang sentiasa berdepan dengan persoalan 'saya kuat tetapi adakah saya benar? Dalam proses `perang, diperang dan memerangi' itulah maka akhirnya kita akan berdepan dengan kebenaran yang sebenarnya.Di sinilah letaknya kekuasaan Allah yang Maha Besar yang Maha mengetahui rahsia yang mana kita tidak tahu.

Maaf kepada bapak kerana saya hanya sekadar melepasakan pandangan yang mana saya pun tak tahu nilainya kepada bapak.

Salam hormat dari saya.

Kassim Ahmad said...

Sdr Tualang 3,
Salam
Kedua-dua ungkapan itu ialah peribahasa. Ini bermakna ada dua kumpulan yang bertentangan dalam dunia, dari dulu hingga sekarang: satu yang percaya bahawa "Kuat itu benar"; yang lain satu percaya bahawa "Benar itu kuat."
Ambil contoh kaum penjajah. Penjajah Inggeris terkuat dalam dunia pada satu waktu; sejak 1956-57 ia jatuh nombor dua kepada penjajah baru Amerika Syarikat. A.S pula, walupun nampak terkuat dari senjata canggihnya, sudah kalah di Iraq.
Kaum penjajah cuba menegakkan doktrin "Kuat itu benar", tetapi ini bersalahan dengan undang-undang Tuhan. Tuhan mengajar kita bahawa "Kekuatan itu milik Allah semata-mata." Ini kerana Tuhan itulah Kebenaran. Kaum penjajah pasti akan kalah.
Ambil satu contoh lagi: perjuangan Nabi Muhammad. Dari satu gerakan kecil yang lemah, ia menjadi kuat dan menang dalam masa 22 tahun. Ini kerana perjuangan beliau berdasarkan kebenaran.
Bilangan umat Islam hari ini 1.2 bilion. A.S. hanya ada 250 juta penduduk. Mengapa umat Islam tidak dapat mengatasi A.S.? Jawabnya, kerana umat Islam tidak berjuang di atas landasan kebenaran lagi.
Wassalam,
Kassim Ahmad

helwa said...

Salam hormat kepada Bapak yang sentiasa di ingatan,

Pada tulisan Bapak saya ketemu cahaya yang saya sangkakan sudah malap...terima kasih di atas ilmu yang Bapak sampaikan kepada diri yang penuh kekurangan dan kehausan ilmu ini...

Seorang guru saya pernah berpesan kepada saya 10 tahun yang lalu, "...di dalam kehidupan ini ada 3 perkara yang penting...'ilm. 'ilm, 'ilm..." beliau berpesan lagi, "jadilah seorang aktivis di dalam setiap apa pekerjaan yang kamu lakukan..." dan beliau juga turut mengeluarkan komentar, "kiblat dunia sekarang adalah Amerika Syarikat...kalau AS dapat diIslamkan maka seluruh dunia akan menjadi Muslim..Untuk melakukan itu perlu ada penghayatan ilmu yang sebenar-benarnya di kalangan umat Islam." Guru saya adalah seorang Muslim berbangsa Amerika.

Saya mengertikan ilmu yang dimaksudkannya adalah ilmu yang membawa kita untuk berpegang kepada apa yang Bapak katakan "Benar itu Kuat". Ilmu ini datangnya dari semangat yang padu, jiwa yang tawadhu', fikiran yang terbuka dan hati yang ikhlas. Mungkinkah kerana sekarang ini status ilmu sudah menjadi satu komoditi dagangan yang dinilaikan dengan wang-ringgit, maka kebekuan hati dan jiwa melanda umat Islam yang seramai 1.2 bilion ini? Ilmu di'beli' untuk menjamin status dan kedudukan sosial di dalam masyarakat...Sepertimana ciri-ciri masyarakat hadhari yang diperkatakan Ibnu Khaldun di dalam Muqaddimah di mana tubuh fizikal menjadi malas kerana terbuai dengan dunia material, mungkinkah otak umat Islam sekarang sudah menjadi terlalu berlemak dan susah untuk berfungsi? Umat Islam menjadi lemah kerana tidak lagi menyanjung ilmu, malahan menjadi buta terhadap orang yang benar-benar ikhlas mencari dan menyebarkan ilmu. Inikah sebenarnya Islam 'Hadhari' yang dilaung-laungkan?

Seorang lagi guru yang mengajar Tassawuf pernah berkata..."The greatest challenge faced by a Muslim is the humanization of the Quran..." Maksudnya, penghayatan Quran itu perlu dimanifestasikan di dalam setiap inci kehidupan seorang Muslim kerana Al-Quran itu sumber rujukan ilmu...bukan hanya sekadar untuk dibaca pada Malam Jumaat ataupun pada saat-saat menanti ajal...

Saya amat bersetuju dengan Bapak bahawa membersihkan Islam dari bidaah-bidaah jahat itu amatlah perlu sekarang ini. Mungkinkah ini jihad yang sesuai dengan zaman ini? Kita lemah kerana tidak menghayati keindahan Islam yang sebenarnya. Keikhlasan menuntut ilmu yang membawa kepada "Benar itu Kuat" sudah tergadai dengan kesenangan dunia material di mana kereta yang bersiri-siri dan pangkat yang berjela-jela menjadi ukuran kehidupan yang berjaya. Ilmu hanyalah setakat sesuatu untuk dicicipi tetapi bukan diselami...

Bukanlah Imam Mahdi yang diperlukan oleh Umat Islam sekarang tetapi yang diperlukan adalah lebih ramai orang seperti Bapak.

Allah mengurniakan Bapak dengan rahmat dan cahaya di dunia dan akhirat.

Anonymous said...

saudara, cahaya di dunia dan akhirat tu nabi muhammad .. ini dah terlebih kassim nih

Anonymous said...

Buat Bapak Kassim yang memperjuangkan Kebenaran dengan keyakinan bahawa 'benar itu kuat', dan kepada Ibu Intan Asyiqin yang berani berbeda pikiran dan menyatakan pikiran;

"Semoga Tuhan mengkaruniai kalian dengan rahmat dan cahaya di dunia dan akhirat"..

helwa said...

Salaam..

Let me correct myself ..."Semoga Allah mengurniakan Bapak cahaya dan rahmatNya di dunia dan akhirat..." :)

Muhammad s.a.w was just a man (as he had constantly stressed upon in his teachings)...this was a man given the heavy responsibility by Allah to bring the message of the Din through Al-Quran to mankind. He was the living personification of the Quran, light upon darkness. We too, may find the light when we properly lead the Quranic way of life.

May Allah bless us all seekers of light with 'Ilm, Ihsan, Ikhlas and wisdom...