Sunday, July 06, 2008

Hadis: Satu Penilaian Semula #18

Bab IV: Kritikan Terhadap Hadis (Sambongan)


Kelemahan Kritikan Isnad


Ahlul-Hadis mendakwa bahawa pengumpulan dan penapisan hadis telah dilakukan dengan begitu teliti dan rapi, khasnya oleh Bukhari dan Muslim, dua ‘sahih’ yang disanjung lebih daripada yang lain, melalui kritikan klasik terhadap isnad atau pelapor-pelapor hadis.16 Suatu ilmu khusus yang dinamakan Ilmu al-Jarh wa’t’Ta’dil, atau ilmu penerimaan dan penolakan pelapor-pelapor hadis di mana pelapor-pelapor diperiksa dari segi kewibawaan mereka.

Walau bagaimanapun, kita telah melihat bahawa kebanyakan hadis muncul dalam zaman tabi’in (penganti sahabat Nabi) dan zaman tabi’ tabi’in, (penganti-penganti sahabat) iaitu empat puluh atau lima puluh tahun ke atas selepas Nabi wafat,17 dan kritikan isnad hanya dimulakan setelah satu setengah abad selepas itu bila generasi-generasi pelapor pertama, kedua dan ketiga sudah mati dan tidak dapat ditemui dan diperiksa lagi.18 Oleh yang demikian, kepastian pelapor-pelapor pertama, kedua dan ketiga tidak dapat dijamin, malah boleh diandaikan mereka ini telah diada-adakan kemudian oleh golongan hadis.

Di samping itu, ahlul-Hadis akhir abad ketiga dan awal abad keempat telah membina satu benteng untuk pelapor-pelapor hadis yang pertama, di mana didakwa para sahabat terpelihara dari kesalahan bila mereka melaporkan hadis daripada Nabi.19 Konsep ini nyatalah tidak munasabah dan menyalahi kaedah saintifik.

Mari kita periksa beberapa contoh isnad:20

Nabi Nabi


1. Umar ibn Khattab A’ishah

2. Alqamah ibn Waqqas al-Laithi ‘Urwah ibn az-Zubair

3. Ibni Ibrahim at-Taimi Ibni Shihab

4. Yahya ibn Sa’id al-Ansari ‘Uqail

5. Sufyan Al-Laith

6. Abdullah ibn az-Zubair Yahya ibn Bukair

BUKHARI BUKHARI


Bila kritikan isnad timbul sebagai satu disiplin untuk menapis hadis pelapor-pelapor 1, 2 dan 3 telah tidak ada lagi. Apakah bukti-bukti yang kukuh yang tidak boleh disangsikan bahawa hadis-hadis yang disokong oleh isnad-isnad di atas benar-benar berasal daripada Umar ibn Khattab dan A’ihah? Bukti-bukti itu tidak ada. Yang ada hanyalah pendapat atau agakan. Inilah yang diterangkan dalam Quran:


Selanjutnya, kami mengadakan bagi tiap-tiap nabi musuh-musuh dari kalangan syaitan-syaitan manusia dan syaitan-syaitan jin yang merekakan dan menceritakan satu sama lain perkataan-perkataan indah-indah untuk memperdaya. Sekiranya Tuhanmu kehendaki, mereka tidak akan melakukannya. Kamu janganlah memperdulikan mereka dan rekaan-rekaan mereka… Adakah akan kucari selain Tuhan sebagai sumber undang-undang, sedangkan Dia telah mewahyukan kepada kamu buku ini dengan terperincinya?… Kalimah Tuhanmu lengkap dengan benar dan adilnya. Tiada suatu pun yang boleh memansuhkan kalimahNya… Jika kamu mentaati kebanyakan manusia di dunia, mereka akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah. Mereka hanya mengikut agakan, dan mereka hanya meneka. (6:112-116)

Kebanyakan orang hanya mengikut agakan, dan agakan tidak boleh menggantikan kebenaran… Tetapi Quran tidak boleh diciptakan oleh sesiapa selain daripada Tuhan. (10:36-37)

Konteks ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa Tuhan mensifatkan kitab-kitab manusia sebagai agakan dan tekaan. Bolehkah sesiapa menafikan bahawa Hadis merupakan salah sebuah kitab manusia?

Mengikut satu sumber, Bukhari mengutip 600,000 buah hadis, tetapi menerima hanya 7,275 buah ke dalam sahihnya.21 Nyatalah hal ini ditonjolkan untuk membuktikan betapa telitinya Bukhari memeriksa hadis-hadisnya hingga hanya 1.2 peratus sahaja lulus dari tapisannya. Tetapi satu perkiraan matematik yang mudah akan menunjukkan kepada kita bahawa hal ini mustahil boleh dilakukan oleh Bukhari. Jika sebuah hadis, hitung panjang, terdiri dari tiga ayat, bermakna beliau telah mencatat, menyemak dan menapis dalam masa 40 tahun 1,800,000 ayat, atau kira-kira 300 buah buku masing-masing setebal Quran!

Mengikut satu sumber lain, Ibn Hanbal telah menyatakan bahawa ada 7,000,000 hadis ‘sahih’.22 Jika laporan ini benar, bermakna dalam masa 23 tahun, bekerja pada kadar 18 jam sehari untuk mengeluarkan hadis, Nabi kenalah berbuat demikian pada kadar satu hadis untuk tiap-tiap 77 saat! Tidak perlulah diulas perkara yang mustahil seperti ini.

Nyatalah kritikan Hadis dari segi isnad semata-mata tidak memadai. Hadis perlu juga dikritik dan dinilai dari segi isinya atau matannya. Malah, hadis-hadis yang isnadnya sempurna tetapi yang matannya cacat haruslah dinilai sebagai hadis-hadis yang lemah dan tidak terpakai. Dari segi ini kita akan dapati bahawa banyak, mungkin kebanyakan, hadis di dalam enam kumpulan itu tidak dapat diterima.

Kelemahan Hadis dari segi matan dapat dianalisa dari tiga jurusan. Pertama, dari jurusan kontradiksinya dengan Quran. Kedua, dari jurusan kontradiksinya dengan sejarah, sains dan hukum akal. Ketiga, dari jurusan kontradiksinya sama sendiri, yakni antara hadis dengan hadis.


Sambongan: Teori Keselarasan Hadis

25 comments:

Anonymous said...

bukankah hadis itu penerang bagi quran, setiap kata2 nabi ialah hadis , masalah ialah tafsiran yg berbeza seperti mana kefahaman kita yang mengikut masa sekiranya kita berserah dan tak menyalahkan sesiapa dalam mencari ilmu

Anonymous said...

Saudara 'anonymous' Yth.,

Yang menerangi Al-Quran, adalah Al-Quran sendiri. Kenapa?.. Kerana Al-Quran itu sebuah kitab yang lengkap, sempurna, dan terperinci.

Memang setiap kata-kata nabi adalah hadis. Tetapi kebanyakan hadis sahih yang wujud pada hari ini bukan datang dari lidah nabi pun.

Tidak menyalahkan sesiapa dalam mencari ilmu adalah sikap yang baik. Tapi itu belum cukup. Kita sendiri harus mencari ilmu dengan pendekatan yang benar; secara rasional, saintifik, bukannya dengan bertaqlid buta dan minda tertutup.

Tafsiran Al-Quran yang berbeza-beza mengikut masa ada benarnya. Tapi perbezaan ini seharusnya tidak menyentuh soal-soal prinsip. Prinsip kekal sepanjang zaman, tetapi metod untuk menegakkannya boleh berubah-ubah.

Kembalilah kepada Al-Quran!

Terima kasih Dr. Kassim, kerana memberi peluang kepada saya untuk menjawab. :)

Anonymous said...

Satu alasan yang kelihatan munasabah - mungkin boleh atau sememangnya telah digunakan oleh ahlul-hadis - dalam mempertahankan kedudukan hadis ialah;

Walaupun pelapor hadis yang pertama hingga ke-3 sudah tiada ketika pengumpulan dan pembukuan hadis dibuat, tetapi kita masih boleh mempercayai dengan benar-benar yakin akan pelapor ke-4 dan seterusnya, yang masih hidup pada ketika itu, jika mereka dikategorikan sebagai memiliki kewibawaan. Jika mereka tidak berwibawa, masakan hadis yang dilaporkan pada mereka diterima begitu sahaja.

Kajian kes
Beberapa contoh isnad diberikan sebagai;
0. NABI 0.NABI
1. Umar ibn Khattab 1. A’ishah
2. Alqamah ibn Waqqas al-Laithi 2.‘Urwah ibn az-Zubair
3. Ibni Ibrahim at-Taimi 3. Ibni Shihab
4. Yahya ibn Sa’id al-Ansari 4.‘Uqail
5. Sufyan Al-Laith
6. Abdullah ibn az-Zubair 6.Yahya ibn Bukair
7. BUKHARI 7.BUKHARI

Ketika zaman Bukhari, pelapor hadis yang masih hidup pada ketika itu ialah pelapor-pelapor ke-4 hingga ke-6. Tetapi pada zaman Sufyan Al-Laith misalnya, pelapor ke-2 hingga ke-4 masih lagi hidup.

Pelapor terawal yang sempat ditemui Bukhari ialah pelapor ke-4. Tetapi yang terawal sempat ditemui Sufyan Al-Laith ialah pelapor ke-2.

Memandangkan Bukhari memutuskan bahawa Sufyan Al-Laith seorang yang berwibawa, maka pelapor ke-2 hingga ke-4 juga adalah berwibawa. Ini kerana Sufyan Al-Laith memutuskan untuk menerima hadis daripada pelapor-pelapor tersebut. Sudah pasti seorang yang berwibawa seperti Sufyan Al-Laith tidak akan menerima pelapor ke-2 hingga ke-4 jika mereka tidak berwibawa.

Pelapor yang ke-2 ialah ‘Urwah ibn az-Zubair, sebagai contoh. Dengan hujah yang sama seperti di atas, kita akan dapati bahawa pelapor pertama juga adalah seorang yang berwibawa (dan sememangnya dia berwibawa).


Jika inilah hujah yang digunapakai oleh ahlul-hadis, tidak ada sebab bagi mereka mendengar hujah kelemahan isnad - jika kelemahan isnad itu hanya disandarkan kepada ketiadaan wibawa pada diri seseorang pelapor - barangkali.

Anonymous said...

Alasan kedua yang boleh atau mungkin telah digunakan oleh ahlul-hadis dalam mempertahankan kesahihan hadis-hadis Bukhari.

Sumber-sumber mengesahkan bahawa jumlah keseluruhan hadis yang dikumpulkan oleh Bukhari ialah 600 000. Daripada sekian banyak pelapor hadis yang terlibat, seramai 1 080 orang masih atau sempat hidup di zaman Bukhari.

Jika Bukhari menggunakan masa 18 jam sehari untuk mengkaji kewibawaan para pelapor tersebut, dalam tempoh 40 tahun beliau telah manghabiskan masa selama kira-kira 14 hari untuk setiap orang pelapor.


Saya berpendapat, tempoh 14 hari (18 jam sehari) adalah mencukupi untuk kita menilai kewibawaan seseorang.

Berdasarkan kajian kewibawaan para pelapor di atas, seramai 289 orang (daripada 1 080 orang) telah terpilih untuk disenaraikan dalam Sahih Bukhari. Ini membawa kepada penerimaan terhadap 7 275 buah hadis ke dalam kitab tersebut.

Berdasarkan alasan pertama, dalam konteks penentuan kewibawaan seseorang pelapor, nampaknya teori(kritikan) isnad mematuhi hukum akal.

Alasan kedua pula menunjukkan bahawa Imam Bukhari telah menggunakan teori isnad dengan jayanya.

Anonymous said...

salam KA,

Saya baru selesai membaca tulisan terbaru saudara "Mencari Jalan Pulang"..Tahniah kepada saudara..

moloyue said...

Hadis bukanlah hanya kata-kata Nabi tetapi segala perkataannya, perbuatannya, diamnya terhadap sesuatu yang berlaku dihadapannya. Berikut adalah definasi hadis, "Columbia Encyclopedia: hadith
(hädēth') , a tradition or the collection of the traditions of Muhammad, the Prophet of Islam, including his sayings and deeds, and his tacit approval of what was said or done in his presence. The term, which literally refers to an individual tradition, is also used as a synonym of sunna, the normative custom of the Prophet and his companions, and as the name of a scholarly discipline. Hadith, as a discipline, consists of two branches, the first concerned with the validation of the individual traditions through the process of biographic examination of its chain of transmitters back to the Prophet (isnad), and the second concentrating on the actual content of the validated traditions (matn) as a source of religious authority. Since the formalization of Islam, this source of authority has been viewed as second only to the Qur'an. Hadith currently exists in two main sets of collections, corresponding to the Sunni and Shiite division within Islam. Sunni Islam recognizes as authoritative the collections of Bukhari and Muslim followed in importance by those of Abu Dawud, Tirmidhi, an-Nasai, and Ibn Maja. Shiite Islam accepts only traditions traced through Ali's family. The major Shiite collections are those of al-Kulini, al-Babuya al-Qummi, and al-Tusi."

Jadi kalau ramai yang merekodkan apa sahaja mengenai Nabi Muhammad s.a.w. tentulah terhasilnya beribu-ribu hadis sebab sesuatu perbuatan Nabi itu boleh disaksikan oleh lebih daripada satu orang.

Begitu kasih sahabat-sahabat terhadap Nabi maka diperhatikan mereka akan segala pergerakan Nabi dan selepas wafatnya Nabi mereka cuba mengikut segala perbuatan Nabi dan membincangkan dengan teliti akan semua perlakuan Nabi. Maka itulah terhasilnya penghimpunan hadis-hadis nabi.

Quran bolehlah dibandingkan sebagai perlembagaan sesebuah negara dan hadis sebagai undang-undang negara tersebut. Undang-undang mestilah selari dengan prinsip perlembagaan. Mahkamah-mahkamah tidak boleh hanya merujuk kepada perlembagaan sahaja untuk memutuskan sesuatu permasalahan.

Sebenarnya tidak adapun kontroversi mengenai hadis kecuali antara pengikut sunni dan syiah. Di kalangan ahli sunnah wal-jamaah tidak timbul masalah mengenai penggunaan hadis. Oleh itu apakah perlunya kita menilai semula penerimaan hadis. Kemunduran umat Islam sekarang? Adakah disebabkan oleh hadis. Malah sebaliknya kemunduran ini adalah disebabkan umat Islam tidak mengamalkan amalan Rasulullah s.a.w.
Sekian.

Anonymous said...

Segala perbuatan Nabi boleh difahami dengan mengkaji Al-Quran. Kajian sejarah menunjukkan bahawa hadis-hadis terhimpun bukan lantaran kasih para sahabat terhadap Nabi, tetapi akibat daripada;

1) Pertelagahan antara puak-puak seperti Bakriyah-'Aliah, Mua'awiah-Ahlul-Bait, dan Sunni-Syi'ah.
2) Perselisihan pendapat antara ahli-ahli fekah dan ilmu kalam.
3) Cita kebendaan sesetengah ulama'.
4) Jalan mudah yang dipilih untuk menyuruh kepada yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran.
5) Usaha untuk menerapkan unsur-unsur 'baik' daripada sumber-sumber bukan Islam ke dalam pemikiran umat Islam.

Di kalangan khulafa' al-rasyidin pula, terlalu sedikit mereka menggunakan hadis dalam kehidupan.
(Sila rujuk http://kassimahmad.blogspot.com/2008/05/hadis-satu-penilian-semula-15-bab-iii.html)

Kebanyakan kandungan hadis tidak selari dengan kandungan Al-Quran. Fakta ini boleh kita fahami setelah membaca tulisan Dr. Kassim Ahmad yang seterusnya, iaitu ''Teori Keselarian Hadis" (Coherent Theory of Hadith).

Oleh kerana hadis direka untuk memenuhi tuntutan kelima-lima perkara di atas, maka sudah tentu penggunaan hadis menimbulkan masalah di kalangan umat Islam, samada sunni atau syi'ah - Hadis timbul bukan di atas dasar kebenaran, sebaliknya di atas sikap mementingkan diri sendiri golongan yang terlibat dalam mereka hadis!

Berpegang kepada hadis yang timbul di atas dasar kebatilan, membawa kepada kemunduran umat Islam selama seribu tahun - Majoriti umat Islam tidak mengamalkan Islam sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran, sebaliknya mereka tertipu dengan kebanyakan hadis yang di'percayai' benar.

Terima kasih.

moloyue said...

Saya nak tanya kepada "melayu":
1. adakah kita hendak menilai semula hadith. Apa maksudnya menilai semula hadith, adakah maksudnya menapis semula hadis, menerima sebahagian dan menolak sebahagian lain?
2. Atau adakah kita hendak menolak semua hadis dan hanya berpandukan kepada Al-Quran sahaja?

Kalau kita nak menilai semula hadis saya ingat tidak ada masalah sebab Bukhari dan Muslim juga telah menilai dan menapis hadis-hadis. Tetapi, pertama sekali adakah keperluan masyarakat Islam terhadap penilaian semula hadis? Atau di sini kita henadak meyakinkan masyarakat Islam bahawa ini adalah perlu.

Kalau kita hendak tolak semua hadis, itu masalah besar. Hadis itu seperti keseluruhan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, semua perlakuan/perbuatan yang dibawa oleh Nabi sendiri. Jadi kalau kita tolak hadis kita juga perlu tolak Al-Quran sebab Al-Quran dibawa oleh Nabi Muhammad. Kalau kita tidak percaya kepada kata-kata Nabi mengapa kita percaya kepada Al-Quran yang juga keluar daripada mulut Nabi. Al-Quran bukan sebuah buku lengkap yang dibawa oleh Jibrail (mengenai Jibrail pun adalah hadis) dan diberi kepada Nabi dan disaksikan oleh orang ramai.

Sekian.

Anonymous said...

menilai kembali tu memang perlu kerana ada situasi yang telah berbeza antara sekarang dan para nabi tapi kepentingan/prisip sunnah itu mesti sama contoh ada hadis yang menyatakan memakai serban itu sunnah ... kalau nak kata sekadar adat, nabi tinggalkan adat yang tak betul mesti kita kena cari hakikat kenapa nabi pakai serban jangan nak jaja kata hadis palsu ,mungkin kaedah saitifik yang membenarkannya ..

Anonymous said...

Saya nak jawab soalan 'moloyue'..

Umat Islam diseru supaya menilai semula hadis-hadis yang mereka pegang selama ini, termasuklah hadis-hadis sahih yang terkandung dalam sunan sittah. Penilaian ini haruslah berdasarkan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran. Apabila ini dilakukan, kita akan dapati bahawa sebilangan besar hadis yang dipercayai sahih selama ini sebenarnya palsu. Hadis-hadis palsu inilah (diajarkan oleh ulama' ortodoks) yang menyebabkan kemunduran umat Islam selama ini - berpandangan sempit, suka bertaqlid buta, jumud, berfikiran kolot, dan mempercayai perkara-perkara tahyul dan khurafat. Selagi umat Islam tidak menyedari hakikat kepalsuan hadis ini, selagi itulah mereka tidak akan menolak hadis, dan selagi itulah mereka terus berada dalam kemunduran. Walaubagaimanapun, beberapa kerat hadis yang selari dengan Al-Quran harus kita terima kebenaran ajaran yang terkandung di dalamnya.

Ternyata sekali bahawa metod yang digunapakai oleh Bukhari dan Muslim dalam menilai dan menapis hadis-hadis tidak berjaya. Jika ia berjaya, maka apa yang akan berlaku pada hari ini adalah sebaliknya - kita akan dapati bahawa hampir 100% hadis-hadis 'sahih' dalam sunan sittah adalah benar.

Daripada penjelasan kedua-dua perenggan di atas, tidak syak lagi masyarakat Islam sememangnya wajib menilai semula hadis.

Hadis boleh menggambarkan peribadi Nabi jika ia benar-benar sahih. Jika ia palsu, maka kita akan mendapat gambaran yang salah tentang Nabi. Tetapi kita tidak perlu risau jika benar-benar ikhlas ingin mengenali peribadi Nabi, kerana peribadi beliau sebati dengan ajaran Al-Quran. Bacalah, kajilah, dan fahamilah ajaran kitab suci ini, nescaya Nabi dapat dikenali dengan benar.

Mungkin 'moloyue' tidak faham, apa yang menyebabkan kepalsuan hadis. Kepalsuan hadis adalah kerana ia direka oleh orang lain tanpa kerelaan Nabi!

Tuhan mengakui bahawa Al-Quran sebuah buku yang lengkap, sempurna, dan terperinci. 'Moloyoe' pula mengakui bahawa Al-Quran bukan sebuah buku lengkap!

Sekian.

moloyue said...

Respon kpd sdra melayu:

Ok, terima kasih, saya sekarang lebih jelas akan pendirian/pendapat drpd penulisan-penulisan Sdra Kassim Ahmad jika sdra mewakili pemikiran beliau.

Pertama sekali saya hedak menegaskan saya tidak pernah membuat kenyataan bahawa Al-Quran itu tidak lengkap. Itu kesimpulan yg sdra buat sepertilah juga logic, ahmad makan pisang, monyet makan pisang, oleh itu ahmad adalah monyet! Saya lihat Sdra Kassim Ahmad juga mempunyai kecenderungan yang sama dalam membuat kesimpulan-kesimpulan.

Drpd pejelasan sdra perkara pokok drpd penulisan-penulisan Sdra Kassim Ahmad dlm blog ini ialah masyarakat Islam mundur disebabkan mereka berpandukan kepada hadis-hadis yang mana kebanyakannya adalah palsu. Oleh itu masyarakat Islam perlu menolak hadis dan hanya menggunakan Al-Quran sebagai panduan/rujukan.

Saya tidak boleh bayangkan bagaimana jadinya masyarakat Islam yang menolak hadis dan hanya menggunakan Al-Quran. Mungkin selepas satu zaman porak peranda masyarakat Islam akan menjadi seperti masyarakat Kristian. Akan timbul berpuluh-puluh mazhab atau aliran pemikiran kalau tidak beratus (dan satu drpdnya mungkin mazhab Kassimisma). Masing-masing membuat tafsiran masing-masing mengenai Quran. Ada mazhab-mazhab yang mengatakan kita tidak perlu sembahyang 5 kali sehari sebab tiada ayat Quran yang menyuruh manusia sembahyang 5 kali sehari. Liwat digalakkan untu mengelakkan hamil sebab Quran tidak melarang liwat. Dan berbagai-bagai lagi.
Mungkin masyarakat Islam akhirnya maju dari segi material tetapi ugama mereka, Islam, hancur. Quran akan tinggal, paling baikpun, hanya seperti “bible”.

Sekian.

Anonymous said...

Respon kepada komen 'moloyue'

Kata pepatah, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Untuk membuktikan bahawa 'moloyue' mengakui bahawa Al-Quran bukan sebuah buku lengkap, tidaklah memerlukan logika seperti tulisnya;

"..ahmad makan pisang, monyet makan pisang, oleh itu ahmad adalah monyet!"

Saya petik semula bulat-bulat, apa yang dinyatakan oleh 'moloyue' di hujung perenggan terakhir komennya yang kedua di atas;

"Al-Quran bukan sebuah buku lengkap yang dibawa oleh Jibrail (mengenai Jibrail pun adalah hadis) dan diberi kepada Nabi dan disaksikan oleh orang ramai."

Saya serahkan kepada para pembaca untuk mengadilinya, dan saya tidak tahu apakah lagi bentuk penafian 'moloyue' terhadap pengakuan di atas. Nampaknya cubaan untuk menyatakan kepentingan hadis dalam melengkapkan ajaran Al-Quran telah gagal.

Tidak sukar bagi kita untuk membayangkan bagaimana jadinya masyarakat Islam yang kembali kepada Al-Quran, dan menolak hadis sebagai sumber jurispruden (yang selama ini diletakkan setara dengan Al-Quran oleh ulama' ortodoks). Ini akan saya jelaskan dalam perenggan-perenggan di bawah.

Punca, sumber dan kesan hadis dalam sejarah umat Islam dihuraikan secara rasional, dengan dikemukakan bukti-bukti sejarah oleh Dr. Kassim Ahmad dalam bukunya 'Hadis - Satu Penilaian Semula'. Terutamanya dalam Bab III: Sumber, Sebab dan Kesan Hadis. Untuk memudahkan para pembaca, saya senaraikan rujukan untuk keseluruhan bab ini;

(1)http://kassimahmad.blogspot.com/2008/05/hadis-satu-penilian-semula-14-bab-iii.html
(2)http://kassimahmad.blogspot.com/2008/05/hadis-satu-penilian-semula-15-bab-iii.html
(3)http://kassimahmad.blogspot.com/2008/06/hadis-satu-penilaian-semula-16-bab-iii_11.html

Kita akan dapati, setelah membaca Bab III tersebut, bahawa perpecahan umat Islam menyumbang ke arah penciptaan hadis-hadis, dan rekaan-rekaan hadis pula mengekalkan perpecahan ini. Masing-masing puak dan mazhab ada hadis-hadis mereka sendiri. Contoh terbesar adalah perpecahan antara puak Sunni dan Syi'ah. Sunni mempunyai imam-imam hadis mereka sendiri. Begitu juga, Syi'ah dengan imam-imam mereka yang berbeza dengan Sunni. Sunni memiliki hadis-hadis 'sahih' untuk membenarkan pendirian mereka. Tetapi Syi'ah pun begitu juga - pendirian mereka dibela oleh kitab-kitab hadis 'sahih' mereka.

Bayangkanlah, jika umat Islam kembali kepada Al-Quran sahaja sebagai panduan hidup, proses perpecahan ini boleh diterbalikkan! Jika Sunni dan Syi'ah benar-benar ikhlas ingin kembali kepada ajaran Al-Quran sahaja, masing-masing akan memperbetulkan segala kesilapan yang telah dilakukan selama ini berdasarkan Al-Quran. Tiada lagi perpecahan. kenapa?.. Kerana punca perpecahan - hadis-hadis rekaan manusia - sudah dilenyapkan, dan kerana manusia kembali mentauhidkan Tuhan.

'Moloyue' menyatakan bahawa, jika umat Islam menolak hadis dan menjadikan Al-Quran sahaja sebagai rujukan hidup, maka akan muncul beratus-ratus mazhab. Pernyataan ini sungguh luar biasa anti-logiknya.

Berkenaan dengan solat (contact prayer), Al-Quran mengajarkan bahawa solat itu ada lima waktu. Dan Al-Quran melaknat perbuatan liwat.(Nampaknya 'moloyue' benar-benar menggambarkan Al-Quran sebagai sebuah buku yang tidak lengkap.)

Umat Islam yang membelakangi Al-Quran pasti akan hancur!!

Sekian.

Anonymous said...

Bila hadis ternyata palsu, maka apakah lagi kepentingan prinsip di dalamnya? Janganlah kita nak jaja kebatilan, dengan mengajak orang ramai untuk mempercayai majoriti hadis 'sahih' yang ternyata palsu.

Berkenaan serban sebagai sunnah Nabi, kita dapat fahami melalui kajian sejarah dan budaya Arab. Jubah dan serban adalah pakaian tradisional masyarakat Arab, sebagaimana baju melayu dan destar adalah pakaian tradisional masyarakat Melayu.

Pendekatan saintifik yang digunakan dalam mengkaji sejarah dan kebudayaan sesuatu bangsa amatlah tepat. Ini dapat mengelakkan kita daripada menjadi taksub dengan sesuatu budaya, sehingga mempercayai pemakaian serban misalnya, adalah lebih baik daripada songkok, topi dan sebagainya. Setiap jenis pakaian, ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Maka pemakaian jubah, serban, baju melayu dan destar - yang berasaskan budaya dan tradisi sesuatu bangsa - bukanlah melambangkan amalan Islam di sisi Tuhan, dan tidak harus dianggap sebagai usaha untuk mendapatkan keredhaan Tuhan.

Oleh kerana itu kita dapati, musuh-musuh Islam pada zaman Nabi juga memakai jubah dan serban. Contohnya Abu Lahab, Abu Jahal, Abdullah bin Salul, dan lain-lain lagi. Jika pemakaian ini adalah suatu bentuk pengabdian kepada Tuhan, maka tidaklah mereka memakainya, kerana mereka mengingkari Tuhan dan Rasulnya - paling tidak pun, mungkin Abdullah bin Salul sahaja yang memakainya, kerana dia seorang munafik.

Sememangnya adat memakai serban itu tidak ada salahnya. Mana-mana pakaian pun dalam dunia ini yang menepati prinsip kesopanan adalah setara kedudukannya dengan serban, dari sudut moral dan etika.

Anonymous said...

Tun Dr. Mahathir explains true islamic theory of jurisprudence;

14. Didalam Quran terdapat banyak penekanan terhadap keadilan. Berulangkali (sekurang-kurangnya 43 ayat) didalam Quran menyeru "bila kamu menghukum, hukumlah dengan adil."

15. Syariah itu bukanlah sekadar proses membuat penghakiman dan menjatuhkan hukuman. Undang-undang syariah bertujuan untuk memastikan keadilan dilaksanakan. Akan menjadi satu ketidakadilan jika orang yang menjadi mangsa dihukum (kerana gagal mengemukakan empat orang saksi) manakala orang yang melakukan penganiayaan lepas bebas. Ini adalah satu ketidakadilan yang ketara. Pastinya tidak mungkin undang-undang Islam mengabaikan keadilan dan cuma tumpu kepada perbicaraan dan hukuman.

16. Diriwayatkan didalam Quran mengenai Zulaikha yang cintanya kepada Nabi Yusof dan dianya dipercayai mengejar Yusof kerana baju Yusof koyak dibahagian belakang.

17. Amat jelas Quran menerima bukti-bukti bersandarkan kepada keadaan (circumstantial evidence) walaupun tidak disokong oleh saksi-saksi. Ini kerana Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada keadilan. Proses yang diambil didalam membuat sesuatu penghakiman adalah untuk memastikan keadilan tercapai. Proses itu tidak boleh disalahgunakan dan diperalatkan untuk menyekat keadilan.


Source; http://test.chedet.com/che_det/2008/07/the-anwar-debate.html#more

moloyue said...

Sebagai respon kpd sdra “Melayu”,
"Al-Quran bukan sebuah buku lengkap yang dibawa oleh Jibrail (mengenai Jibrail pun adalah hadis) dan diberi kepada Nabi dan disaksikan oleh orang ramai." Itu yang saya tulis tapi mungkin bahasanya kurang jelas. Apa yang saya maksudkan ialah Quran itu tidak diturunkan dalam bentuk sebuah buku yang diserahkan oleh Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan disaksikan oleh orang ramai. Tetapi Quran diturunkan beransur-ansur selama hampir 23 tahun. Mungkin sdra “melayu’ tidak mengetahui ini sebab dia tidak percaya hadis.
Saya ulang lagi: Kalau kita tidak percaya dengan hadis, termasuk kata-kata Nabi mengapa kita percaya Quran yang juga merupakan ayat-ayat yang keluar daripada mulut Nabi?
Kitab-kitab yang telah ditulis oleh ulama-ulama serta empat mazhab yang ada telah menggariskan semua hukum dan peraturan berdasarkan Quran dan hadis. Inilah yang menjadi panduan seluruh umat Islam sekarang (sama ada mereka melaksanakan atau mengikut dengan patuh, itu satu perkara yang berasingan). Jika kita buang semua kitab, mazhab dan hadis dan masing-masing membuat tafsiran masing-masing mengenai ayat-ayat Al-Quran tidakkah logic akan timbul bermacam-macam fahaman/mazhab. Saya anggarkan beratus-ratus. Apa yang tidak logic mengenai andaian ini? Sdra “melayu’ sedikit pun tidak jelaskan.
Kita lihat sahaja agama-agama lain seperti Hindu-Buddhisma, berapa banyak kumpulan (sect) yang wujud disebabkan masing-masing membuat tafsiran masing-masing. Begitu juga dengan Kristian, ada yang tidak setuju dengan Roman Katholik/Pope maka timbul bermacam-macam mazhab yang berbeza dari segi fundamentalnya kerana masing-masing membuat tafsiran bible masing-masing. Mereka juga tidak mempunyai rekod mengenai hadis Jesus s.a.w. disamping bible yang berbagai-bagai versi dan bercampur-aduk.
Mengenai sembahyang 5 kali sehari, tolong berikan ayat mana yang jelas menyuruh orang Islam sembahyang 5 kali sehari berserta dengan waktu-waktunya, jika ada.
Mengenai liwat juga saya minta sdra tolong berikan ayat mana yang melaknat orang yang meliwat. (Liwat jelas terlarang berdasarkan hadis dan mazhab Shafie).
Umat Islam yang meninggalkan Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. pasti akan hancur.
Sekian.

Anonymous said...

Respon kepada 'moloyue'

Nampaknya bersungguh-sungguh saudara 'moloyue' menafikan bahawa saudara mengakui Quran bukan sebuah buku lengkap.

Ayat-ayat Quran keluar daripada mulut Nabi. Tetapi sebahagian besar hadis ternyata palsu, dan ini bermakna bahawa hadis-hadis ini bukan keluar daripada mulut Nabi pun. Sebab itu tidak mempercayai hadis tidak menghalang kita daripada mempercayai Quran.

Saudara menyatakan bahawa, jika umat Islam menolak hadis dan menjadikan Quran sahaja sebagai rujukan hidup, maka akan muncul beratus-ratus mazhab. Pernyataan ini sungguh luar biasa anti-logiknya. Saya sudah jelaskannya dengan panjang lebar dalam komen sebelum ini.

Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, sempurna dan terperinci, mengandungi ayat-ayat yang menjelaskan dan mentafsirkan ayat-ayat yang lain. Maka kita tidak perlu kepada hadis/sunnah untuk mentafsirkan Quran.

Quran tidak seperti bible - Quran dijamin oleh Tuhan bahawa Dia sendiri akan menjaganya. Bible seperti kenyataan 'moloyue', mempunyai "berbagai-bagai versi dan bercampur-aduk". Ini membawa kepada perpecahan dalam Kristian. Tetapi Quran yang dipelihara sendiri keasliannya oleh Tuhan, tidaklah berversi-versi dan tidak bercampur-aduk seperti bible. Kerana itulah umat Islam yang kembali kepada Quran sahaja akan dapat bersatu semula.

Saudara - yang bersungguh-sungguh menafikan bahawa saudara mengakui Quran bukan sebuah buku lengkap - mula meminta bukti berkenaan solat 5 kali sehari, dan juga bukti mengenai liwat daripada Quran. Sepatutnya soal bukti sebegini tidak lagi dibangkitkan, kerana saudara menerima hakikat bahawa Quran adalah sebuah buku yang lengkap. Takkanlah Quran sebagai sebuah buku yang lengkap tidak mengandungi bukti-bukti ini. Permintaan saudara ini samalah seperti halnya seorang peguambela yang mencabar pendakwaraya supaya mengemukakan bukti-bukti bahawa si tertuduh tidak bersalah! Perbuatan ini tidak masuk akal sama sekali.

Berkenaan ayat-ayat Quran yang diturunkan secara beransur-ansur, kita dapat mengetahuinya melalui kajian sejarah.

Sekian.

LazerJuan said...

The problem among Muslims today (reserve judgment Muslims of the past) is the `Holier than thou' mentality.

Kalau tak faham, it is the attitude yang aku ni lebih Islam dari kau, Islam aku lebih suci dari Islam kau...evident in the Melayu vs Moloyue...what started out as a freindly intelectual discourse berubah menjadi gelanggang `better than you'!!!

Bloody hell!! do not ever impose your beliefs on others. Each of us are striving for Jannah. Talk, discuss..if you do not agree, walk away and pray that God will enlighten the wrong one...it could be you!!

Humility is absolutely lacking among Muslims today.

moloyue said...

Sdra Kassim Ahmad @melayu kata, "Al-Quran mengajarkan bahawa solat itu ada lima waktu. Dan Al-Quran melaknat perbuatan liwat" Susah sangat ke nak berikan ayat-ayat Quran yg menyebut begitu kalau sdra sendiri yang mengatakan begitu.
Tiada ayat yg menyatakan demikian itu sebabnya sdra tak dapat nak berikan ayat berkenaan.
Saya nak buktikan satu perkara sahaja iaitu adalah mustahil bagi seseorang untuk hidup sebagai seorang Islam jika hanya menggunakan Quran sebagai pedoman kecuali manusia seperti sdra Kassim Ahmad dan orang-orang yang sehaluan dgnnya. Itu sebab saya teringin nak tahu bagaimana amalan-amalannya sebagai seorang Islam.
Dia tak panggil solat tapi "contact prayer".

Kassim Ahmad said...

1. Soalan salat.
Salat diturunkan kepada Nabi Allah Ibrahim dan diwariskan kepada nabi-nabi kemudian hingga ke Nabi Muhammad. (Lihat Quran, 2: 128) Ia juga disebut dalam Quran (4:103; 17: 78; 20: 130; & 2: 238-39)
2. Soalan Liwat.
Kota Sodom yang dibinasakan Tuhan ialah kerana penduduknya mengamalkan liwat. Lihat Quran, 15:61-79.
Nasihat saya: Kalau kita tidak tahu, belajarlah. Jangan sombong.

Anonymous said...

Alhamdulillah..

Dr. Kassim Ahmad Yth.,
Tentu sekali Dr. Kassim tidak mengenali diri saya, tetapi sudah tiga tahun saya mengenali Dr. melalui tulisan-tulisan yang penuh daya inspirasi. Terutamanya buku Hadis: A Re-Evaluation yang telah mengubah corak pemikiran saya hingga ke saat ini.

Saya mengenali Dr. secara jauh, tidak pernah bertemu apatah lagi bertentang mata. Walaupun demikian, dan jika ada di antara komen-komen saya yang tidak Dr. persetujui sekalipun, Dr. adalah guru besar bagi saya.

Semoga Dr. terus berjuang di atas shirat al-mustaqim sepanjang hayat. Saya tidak sabar-sabar menunggu dan membaca dua buah lagi buku yang Dr. akan siapkan.

Ketenangan dan ketabahan Dr. dalam menghadapi tentangan dahsyat golongan ulama' oligarki - ulama' ortodoks - tentunya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda Melayu yang dahagakan pengertian tentang kebenaran, sehingga saya sendiri misalnya, dapat melihat kebenaran kata-kata kebenaran itu pahit, tetapi Kebenaranlah yang membebaskan kamu!. Peribadi Dr. ini mengingatkan saya akan pantun Pak Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup tentang jatidiri pejuang kebenaran menghadapi ancaman dan kekalutan disekelilingnya;

Biarkan bumi berkalang kabut,
Huru-hara meliputi alam,
Aku tenang tidak ku ribut,
Hati tetap jiwaku tenteram.

Allah bersamamu.

Sekian, salam hormat dari saya.

Kassim Ahmad said...

Sdr Melayu yang budiman,
Terima kasih. Sokongan Sdr amat saya hargai. Insya Allah, jika kesihatan saya baik, saya akan selesaikan beberapa tulisan lagi.
Wassalam.

gibril said...

Benar alquran itu wajib dikuti,jika alquran itu dikuti bagaimaana pula dengan tauladan rasul yang disaran oleh Allah supaya manusia mengikutinya?boleh pak kasim jelaskan apa yang dimaksudkan dengan tauladan rasul?

Anonymous said...

saya budak baru setahun jagung.tapi apa yang saya faham, umat islam wajib berpegang kepada Al-Quran dan Hadis.Bahkan Rasulullah S.A.W sendiri mengatakan (lebih kurang macam ni) "Aku tingggalkan kamu dengan 2 perkara yang jika kamu berpegang kepadanya, tidak akan sesat binasa hingga akhirat, iaitu Al- Quran dan Hadis(sunnah)"..*atau mungkin hadis ini juga dianggap palsu?*

upsikit said...

umati--umatti... ikutlah al-quran dan sunnah ku (perbuatan Rasullullah segala amalan nabi saw)bermakna dari lidah Rasullulah saw... rasullullah menerima al-quran dari lidah jibril a.s..turunkan ke rasulllullah saw... dan 4 khalifah Abu bakar omar,osman dan ali,,, itu lah yang sahih,,,

Anonymous said...

selagi tak kenal hati roh dan malaikat berlajar ilmu ikut-ikutan