Tuesday, July 14, 2009

Masalah Pengajaran Sains dan Matematik

Oleh: Kassim Ahmad
14 Julai, 2009


Dalam masyarakat kita, ada tiga aliran fikiran berhubungan dengan tamadun Barat: tolak keseleruhan, terima keseluruhan, dan kritikal, yakni terima yang baik dan tolak yang buruk. Nyatlah, mereka yang menganjurkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tergolong ke dalam aliran kedua, yang perlu ditolak.

Untuk menyelesaikan masalah ini dengan betul, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada fikiran orang ramai, kerana ini soalan kebenaran. Soalan pokok yang mesti kita jawab ialah: Negara Malaysia ini apa? Adakah kita sebuah negara-bangsa yang merdeka dan berdaulat dengan sebuah wilayah, Bahasa Kebangsaan, sejarah, ekonomi dan budaya yang bersifat khusus (kerana ciri-ciri kebangsaan yang tersebut) dan, pada masa yang sama, universal (kerana kita sebagian dari dunia global)?. Atau kita hanya sebuah wilayah tanpa ciri-ciri kebangsaan dari dunia global yang dikuasai oleh kuasa besar Anglo-Amerika dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya?

Perpecahan di kalangaan rakyat kita tentang perkara ini membuktikan bahawa kita masih tidak pasti tentang perkara ini. PAS umpamanya menolak faham kebangsaan, kerana kononnya bersalahan dengan ajaran Islam. DAP pula hanya menerima Malaysia yang dicipta oleh Inggeris. Bagi mereka, Kesultanan Melayu Melaka, Alam Melayu atau Nusantara, dan Dunia Islam yang ada hubungan integral dengan Malaysia tidak wujud. Tetapi, nyatalah kita sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat dengan misi dan hak untuk membangunkan tamadun atau sub-tamadun kita sendiri dalam sebuah dunia global yang mengiktiraf hak nasional itu.

Kalangan yang menganjurkan dua mata pelajaran ini diajar dalam bahasa Inggeris mengandaikan bahawa Bahasa Kebangsaan kita tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam sains dan matematik. Implikasi dari pendirian ini ialah bahawa Bahasa Kebangsaan kita tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang, kerana Bahasa Kebangsaa kita tidak boleh menyamai, apalagi menandingi, bahasa Inggeris. Nyatalah fikiran ini sama sekali tidak logikal, kerana kedudukan bahasa Inggeris yang utama sekarang bukan kerana bahasa itu, tetapi kerana kreativiti bangsa Anglo-Amerika yang memakai bahasa Inggeris yang telah menjadi lingua franca dunia. Kita harus ingat bahawa sebelum bahasa Inggeris mencapai taraf ini, bahasa-bahasa lain, termauk bahasa Yunani, Latin dan Arab, memainkan peranan bahasa ilmu dunia. Implikasinya, bahasa Inggeris tidak akan terus memainkan peranan ini pada masa depan.

Kita harus berfikir secara persis dalam hal ini. Pertama, kita mahu membangunkan tamadun bangsa Malaysia kita sendiri. Ini mesti termasuk mengembangkan ilmu kita dalam sains dan matematik, yakni menjadikan Bahasa Kebangsaan kita bahasa ilmu dalam kedua-dua sabjek ini. Alasan bahawa kita tidak cukup buku dalam kedua-dua mata pelajaran ini tidak boleh dipakai.

Kedua, kita juga mahu rakyat kita pandai dalam bahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan dunia dan untuk mendapat manfaat dari gedung ilmu yang terdapat dalam bahasa Inggeris. Bukan pandai dalam bahasa Inggeris saja yang kita mahu; kita mahu ada sebilangan rakyat kita yang pandai dalam bahasa-bahasa antarabangsa yang lain juga, seperti Perancis, Jerman, Belanda, Jepun, Rusia, Arab, Mandarin, Tamil, dan lain-lain. Namun, dalam banyak bahasa antarabangsa ini, kita mahu bahasa Inggeris diberi keutamaan oleh kerana keluasaan kegunaannya di arena antarangansa dan kerana gedung ilmu yang terdapat di dalamnya. Kita haruslah mengambil langkah-langkah untuk membaiki pengjaran bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita.

Di atas dua tonggak ini, kita bina sistem pendidikan kita. Di sini mungkin ada banyak perkara yang harus diperbaiki. Pertama, pengajaran Bahasa Kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda bagi tiga tahun pertama persekolahan. Tujuannya jelas. Kita mahu letak asas kebangsaan kita pada satu tempat yang cukup kukuh. Jika asas ini tidak kukuh, kita tidak boleh berkembang menjadi sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Kedua, pengajaran bahasa Inggeris bermula pada tahun keempat. Mutu pengajarannya mesti diperbaiki, seperti mengadakan guru-guru yang mahir dan memakai kaedah pengajaran yang lebih baik. Ketiga, anak-anak kita jangan diajar dengan kaedah menghafal. Ini tidak akan membangunkan daya kreatifnya. Sistem pendidiakn kita hendaklah bertujuan untuk menghasilkan para graduan yang bukan hanya boleh bekerja, tetapi, lebih penting, yang boleh berfikir kreatif dan kritikal. Inilah yang perlu untuk membangunkan tamadun kita, bukan bahasa Inggeris. Keempat, suatu sistem pengajaran bahasa-bahasa antarabangsa yang lain perlu diwujudkan, supaya pelajar-pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran mereka atau memilih kerjaya mereka, seperti bidang-bidang kesarjanaan atau diplomatik, boleh memperoleh manfaat dari sistem ini. Kelima, satu sistem pemberian biasiswa kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tanpa mengira kedudukan kewangan ibu-bapa mereka, dan kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tetapi tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran mereka tanpa biasiswa.

Tidak kira kita dari suku-bangsa apa dan tidak kira kita dari masyarakat bandar atau luar-bandar, sistem pendidikan kita mestilah bertujuan untuk menghasilkan rakyat yang berfikir, baik dan berguna.

Para pemimpin kita hendaklah berani membuat dasar berdasarkan prinsip, bukan berdasarkan kemudahan. Kritikan yang sihat untuk kebaikan mestilah dipraktikkan dalam semua institusi kita, dalam Parlimen, dalam Kabinet, dalam Perhimpunan Agung UMNO, dalam Majlis Tertinggi UMNO, dan lain-lain.

Adakah ini mustahil bagi kita? Jawabnya tidak ada yang mustahil. Apa yang kita mahu, kita buat.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

17 comments:

wakilrakyat said...

Tahniah atas tulisan yang menarik. Semoga diberi kesihatan untuk terus menulis.
PPSMI yang dimansuhkan oleh kerajaan adalah diharap akan memberi kesan yang positif kepada rakyat dalam menghadapi globalisasi. Suatu kaedah yang lebih baik harus digunakan untuk penguasaan BI di kalangan pelajar.

tq,
wakilrakyatblog.blogspot.com

Mohd Shubhi said...

Pak Kassim,
Tulisan yang amat menarik yang perlu di ketengahkan.

Al-Yasar said...

Salam,

Setelah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan dimansuhkan pada tahun 2012, kita mengharapkan bahasa Melayu akan dijadikan bahasa pengantar untuk kedua-dua mata pelajaran itu dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti.

Adakah hal ini akan berlaku? Nampaknya ada permintaan dari MCA dan pihak-pihak lain supaya bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar mata pelajaran itu pada peringkat menengah dan universiti.

Jika demikian, akan tercabar pula hasrat orang-orang yang mahukan bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu -- dijadkan bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran dari peringkat rendah hingga ke peringkat universiti.

Entah said...

Salam incik Kassim Ahmad,

Isu PPSMI ini berkaitan juga dengan permasalahan daya kognitif kanak2 dlm bhs Inggeris. Sejak awal2 lagi dan dirumah kanak2 berfikir dlm bhs ibunda masing2, memandangkan mata pelajaran matematik dan sains memerlukan daya kognitif utk memahami dan membina formula2 matematikal dan sainstifik... jika PPSMI dilaksanakan bagaimana dgn daya kognitif murid2, mampukah mereka jadi kreatif???...

Isu ini sedikit sebanyak diperkatakan juga didalam blog sy...

http://doktrinisasi.blogspot.com

Sekian, terima kasih...

Anonymous said...

Pandangan Pak Kassim sangat bernas. Saya sangat bersetuju.Saya ada membaca buku tulisan Hassan Ahmad yang mengupas mengenai permasalahan PPSMI iaitu "Ke Luar Jendela" dan ia memberi impak yang sangat mendalam terhadap saya.

Detguaq said...

Salam Tuan Kassim,

Adakah anda sendiri bersedia untuk menjadi penterjemah kepada ilmu sains dan metamatik atau hanya sekadar melontar ilham dan mengharapkan orang lain melakukannya.

Saya sedang menunggu sebuah penterjemahan lengkap mengenai ilmu kajisaraf tubuh dari seorang cendikiawan bernama Kassim Ahmad kerana saya tidak mamnpu dan amat berharap kepada Tuan Kassim. Atau saya hanya boleh berharap satu lagi terjemahan novel sastera berat bahsa inggeris ke bahasa melayu dari Tuan Kassim Ahmad yang semakin nampak dengan jelas apa yang perlu dilakukan......

ANTI MELAYU INGGERIS said...

Salam Pak Kassim,

Bukankah cadangan menggunakan Bahasa Inggeris bagi pengajaran Sains dan Matematik ini datang daripada SAHABAT BAIK PAK KASSIM sendiri yg bernama TUN DR. MAHATHIR.

Jadi apa pandangan Pak Kassim?

Kassim Ahmad said...

Kepada saudara2 yang bertanya;

1. Maaf, saya tidak ada masa untuk melakukan terjemahan itu. Tanya Dewan Bahasa atau Institute Terjemahan Negara.
2. Kawan tidak bermakna selalu sependapat dalam semua hal.

Anonymous said...

Buat Detguaq,
Sila buat terjemahan sendiri. Jangan terlampau mengharapkan orang lain. Anda perlu belajar sendiri Bahasa Inggeris dengan baik untuk memahami karya Bahasa Ingeris. Jangan terlalu mengharap orang lain untuk mencari ilmu. Sudahkah anda membaca karya-karya hebat Bahasa Melayu seperti Hikayat Hang Tuah? Renungkan diri sendiri terlebih dahulu.

Juang said...

Bahasa Melayu akan dimartabatkan jika orang Melayu memartabatkan akalnya.

Ketika orang Arab suatu ketika dahulu memartabatkan akal mereka, bahasa Arab pernah menjadi bahasa yang meluas.

Kini, orang Inggeris telah memartabatkan akal mereka, sehingga bahasa mereka meluas.

Jadi, jika orang Melayu memartabatkan akalnya sehingga mampu memikirkan sesuatu yang bangsa lain tidak terfikir (idea-idea baru yang kreatif), tidak mustahil bahasa Melayu akan diperluaskan penggunaannya.

Usaha ke arah melahirkan ramai tenaga kreatif lebih patut ditekankan dari pada melahirkan ramai orang yang boleh berbahasa Inggeris.

Kreativiti bukan terletak pada penguasaan sesuatu bahasa asing, tetapi sejauh mana manusia itu mengasah mindanya melakukan kerja-kerja yang berdaya-cipta.

Anak-anak dari kecil perlu dilatih otaknya untuk berkreativiti dalam bidang-bidang yang mereka minati.

tok janggut said...

Salam,
Mengajar subjek matematik dan sains dalam bahasa apapun tak timbul. Yang menjadi persoalannya ialah untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Adakah dengan menggunakan bahasa Inggeris, menyebabkan kemartabatan bahasa Melayu akan jatuh? Dan adakah dengan menggunakan bahasa Melayu boleh menaikkan martabat bahasa Melayu? Ini persoalan yang perlu kita tangani bersama.

Pada saya, gunalah bahasa apa pun dalam pengajaran matematik dan sains, Bahasa Melayu tetap hilang martabatnya. Kenapa? Sebab realitinya hari ini negara kita memang mementingkan bahasa Inggeris. Lihatlah dalam sektor mana sekalipun, bahasa perantara yang digunakan adalah bahasa Inggeris. Mahkamah, perbankan, hartanah(jual beli rumah) semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Kesian kepada orang kampung yang tak tahu bahasa Inggeris sering ditipu menggunakan perjanjjian dalam bahasa Inggeris.

Kalau betul nak memartabatkan bahasa Melayu, negara Malaysia ini perlu menggunakan bahasa Melayu dalam semua hal kecuali yang melibatkan orang asing sahaja. Sepatutnya ini yang harus diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bahasa, bukanya mempersoalkan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah.

Untuk makluman, di Brunei, Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar di semua peringkat sekolah. Namun begitu penggunaan bahasa Melayu mereka tak luntur pun.

Juang said...

Kalau negara kita tidak terlalu bergantung kepada kepakaran luar, memang bolehlah kita perluaskan bahasa Melayu.

Malangnya kita yang terpaksa bergantung kepada teknologi luar, sudah pasti menuntut kita belajar bahasa asing untuk memudahkan kita fahami kepakaran yang diimport.

Untuk memartabatkan bahasa Melayu, tidak cukup dengan memaksa penggunaan bahasa Melayu dalam semua hal. Kita kena ubah mentaliti orang kita terutama orang Melayu agar jadi bangsa yang bijak berfikir sehingga mempunyai keupayaan ilmu yang tersendiri. Barulah bangsa dan bahasanya dimartabatkan.

Contohnya macam orang Jepun, mereka tetap dengan bahasa mereka sebab tahap mentaliti mereka tinggi. Mereka boleh berdikari memiliki kepakaran sendiri. Mereka terkenal dalam penciptaan teknologi terutama dalam permotoran, elektronik dan robotik.

Tetapi orang kita malas untuk bijakkan diri macam bangsa Jepun. Kita kurang menguasai ilmu sains sehingga istilah sains banyak dalam bahasa Inggeris.

Bayangkan, jika orang Melayu banyak menemui hukum-hukum sains, sudah pasti setiap penemuan baru itu boleh menggunakan istilah bahasa Melayu seterusnya bahasa Melayu diperluaskan serta dihormati.

Tetapi yang kita nampak, bahasa Melayu hanya berkisar alam kesasteraan sahaja dan terpisah dengan alam sains. Sedangkan dengan cabaran globalisasi sekarang ini, ilmu sains itulah yang dipandang tinggi.

zaini zaa said...

salam pak kassim.
sewajarnya tulisan jawi dan bahasa tuturan iaitu Melayu menduduki tempat teratas di muka bumi semenanjung emas ini. bahasa menunjukan bangsa! pedulikan bangsa bahasa Melayu! siapakah yang mahu menyayanginya? melainkan diri kita, bangsa kita, keturunan Melayu yang berdaulat!

呉 和豪 said...

Salam Saudara Kassim Ahmad
Sebagai seorang pengajar di institute pengajiaan awan , saya sangat bersetuju dengan cadangan oleh PRESIDENT MCA Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mengekalkan pengajaran matapelajaran Sains dan Mathematiks di Sekolah Menangah Atas (Tingkatan 4 dan5). Berdasarkan pengalaman saya selama 12 tahun , penuntut KOLEJ yang pernah belajar Sains dan Matematiks , dapat mengikuti dan memahami matapelajaran teknikal dengan lebih baik. Jikalau seseorang penutut KOLEJ tak pernah pelajari Sains dan Matematiks dalam Bahasa Inggeris disekolah menengah , salah satu masaalah yang dia akan hadapi ialah kesukaran bagi dia untuk menulis lapuran Makmal dalam Bahasa Inggeris di kolej.

Sebagai seorang ayah kepada budak Malaysia , saya berpendapat Matapelajaran Sains dan Matematiks patut diajar dalam Bahasa bonda diperingkat sekolah rendah.Sebab utama nya ialah anak anak berkomunikasi dengan ibubapa dalam Bahasa Bonda sejak lahir. Dan berpandukan pemerhatian saya terhadap pertumbuhan kanak kanak saya dapati Bahasa Bonda sebenarnya bahasa yang digunakan oleh anak kecil untuk berkomunikasi dengan alam semesta, bagi kanak kanak yang bertumbuh dibawa SUASANA BAHASA BONDA, mereka dapat mempelajari perkataan baru , ayat baru tanpa diajar , malah jauh lebih cepat dari orang dewasa

Berdasarkan pengalaman saya sebagai penutut dan guru bimbingan , saya dapati pengajaran matapelajaran sains dan matematiks dalam Bahasa Kebangsaan pada peringkat Sekolah Menengah Rendah(Tingkatan 1 sampai Tingkat 3) adalah baik untuk semua penutut.Kerana kebanyakan daripada Penuntut adalah lebih cenderung kepada pengunaan Bahasa Melayu daripada Bahasa Inggiris.Lagi pun bukan lah semua keluarga berkemampuan untuk menghatar anak anak mereka ke Kelas Tuisyen

Selepas menamatkan pelajaran saya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China , saya meneruskan pelajaran saya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan China , masa itu kami mempelajari Matapelajaran Sains dan Matematiks dalam Bahasa inngiris pada permulaannya saya mengalami kesukaran untuk mengikuti sain dan matematiks , tetapi ibubapa saya sanggup bekerja keras untu membiayai belanjaan Tuisyen, kawan kawan saya yang kurang bernasib terpaksa meninggalkan sekolah disebabkan oleh penguasaan bahasa inggiris mereka yang lemak. Oleh yang demikian saya berpendapat bahawa penggunaan Bahasa Kebangsaan bagi mengajar Matapelajaran Sains dan Matematiks di sekolah Menengah rendah adalah baik unuk semua murid di Malaysia.

Kalau kita meneruskan pengajaran Matapelajaran Sains dan Matematiks dalam Bahasa Inggiris tanpa mengambil kira keadaan yang sebenar , dua kemungkinan akan berlaku , 1)murid murid terpaksa ambil

Kelas tuisyen yang banyak ,dan tidak ada masa untuk bermain dan seterus merasai ketegangaan

,2)Kes Cicir Sekolah dan LEPAKyang Tinggi.







Saya cintakan Bahasa Bonda Saya , Saya juga Cintakan Bahasa Kebangsaan , iaitu Bahasa Melayu. Seperti Bahasa utama yang lain seperti Bahasa Jepun, Bahasa Melayu adalah Bahasa yang Dinamik , perkataan Baru bertambah dari masa ke semasa , banyak terminology asing diserapkan . Oleh itu sebagai Bahasa yang Progressif Bahasa Melayu boleh digunakan untuk pengajaran sains dan Matematik s secara berkesan. Malah adalah tanggungjawab bagi kita untuk memperluas kan pengunaan Bahasa Malaysia. Ini tidak bermaksud kita mesti mengetepikan Bahasa Ingiriris , patut kita ingat buat masa ini kita masih bergantung kepada pengimportan Teknologi dari Luar Negara

Saya juga tak bersetuju yang murid murid yang gagal dalam matapelajaran Inggiris dan Matematiks tak akan diberikan SPM. Kerana seseorang manusia biasa mempunyai beberapa jenis Inetelek ,Intiligience Lingustic dan Inteligience Matematik Logik Cuma adalah dua dari inteligience yang setiap manusia ada.

Saya bukan lah pakar yang terkemuka dalam bidang pendidikan , Cuma nak berkongsi pendapat dengan semua. Pada pendapat saya system Pendikan Negara mesti lah dibina untuk memanfaatkan setiap rakyat dan membolehkan setiap orang untuk mengembangkan potensi mereka.

Anonymous said...

Salam,
Pak Kassim,saya berpendapat IPTS perlu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.Ini adalah kerana masalah penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar timbul sejak IPTS menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

1. Persaingan tidak adil wujud apabila graduan IPTS dan IPTA mencari pekerjaan. Ini adalah kerana kebanyakkan syarikat-syarikat mengambil graduan IPTS kerana kelebihan mereka mengusai bahasa inggeris. Walhal, syarikat-syarikat ini tidak berkaitan dengan sains dan matematik seperti syarikat hartanah, pemasaran dan sebagainya.
2.Aktiviti-aktiviti penyelidikan dan ilmiah yang dihasilkan di pusat pengajian tinggi akan mengandungi penyelidikan dalam BI dan BM. Hasil penyelidikan oleh IPTS dan IPTA penting di dalam membantu pembangunan negara. Penyelidikan seperti kertas kerja dan thesis sepatutnya dihasilkan di dalam Bahasa Melayu walaupun dari IPTS.
3. Pertarungan untuk mempertahankan Bahasa Melayu akhirnya melibatkan kuasa materialistik. Yakni, jikalau ingin lebih dikenali,lebih mudah mendapat kenaikan gaji, pendek kata, lebih kaya. Kita perlu menggunakan Bahasa Inggeris kerana faktor pekerjaan menitikberatkan penggunaan bahasa Inggeris. Golongan-golongan eksekutif hampir kesemuanya lahir dari IPTS dan IPTA. Jika mereka ditekankan dengan bahasa Inggeris sejak universiti lagi,tidak mustahil bahasa Melayu akan diketepikan.

*Celine Dion, warga Perancis hanya belajar Bahasa Inggeris setelah dewasa selama 3 bulan secara insentif untuk menembusi pasaran US. Dan dia berjaya.

EditorSemasa.Net said...

Saya setuju sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris sebab kita sememangnya belum berdikari dalam kedua-dua bidang itu. Kita perlu belajar dalam bahasa asal perkembangan ilmu berkenaan supaya kita dapat menguasainya dengan cepat. Selepas itu sebagai orang Melayu yang berpengetahuan terkini barulah dalam masa yang sama kita mampu menerapkan ilmu-ilmu berkenaan dalam bahasa kita sendiri secara organik. Orang Eropah dulu pun terpaksa belajar bahasa Arab untuk meneroka ilmu yang orang Arab terajui semasa mereka masih dalam kemunduran dan kegelapan ilmu. Orang Eropah tidak pula menjadi orang Arab sekarang. Jadi mana boleh kita kata belajar matematik dan sains dalam bahasa inggeris itu bermakna kita menerima semua yang datang dari barat?

Saya ada menulis mengenai isu PPSMI di laman saya http://www.semasa.net

呉 和豪 said...

Salam Dr.Kassim Ahmad dan Saudara yg mengusahakan semasa.net

We have.to persuade the education minister to reconsider the teaching of science and maths in english , as part of our effort to advance Malaysia towars High Income economic. After working as a part time tutor for months I realise that the teaching of Science and maths would not affect the full use of our national language,as all secondary student have to learn living skii(Kemahiran hidup) which is thaught in Malay