Sunday, November 28, 2010

KONTRADIKSI DAN DILEMA POLITIK MALAYSIA KINI

Oleh: Kassim Ahmad
28 November, 2010
sidangruh@gmail.com



Bukan pada tahun 2008, apabila Barisan Nasional gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan hilang kuasa di empat buah negeri, tetapi lama sebelum itu, ahli-ahli UMNO sendiri teleh mengutuk pemimpin-pemimpin mereka sendiri, kerana korupsi dan penyelewengan. Tentunya bukan semua yang korup dan seleweng. Tetapi, seperti kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!

Lumrahlah yang berkuasa terlalu lama akan lupa daratan, lupa akan amanah yang mereka pikul, dan mengundang kemarahan rakyat. Demikianlah gerakan reformasi bermula di Indonesia dan menjatuhkan Suharto. Penyingkiran dan penahanan Anwar Ibrahim menyebabkan gerakan reformasi tumbuh dan berakar-umbi di Malaysia. Aliran politik baru ini berkembang selaras dengan tumbuhnya sentimen di kalangan pengundi untuk mengadakan sistem dwi-parti di negara kita, satu “barisan alternatif” untuk menggantikan Barisan Nasional. Inilah yang melahirkan Pakatan Rakyat, yang sebelum ini gagal diwujudkan di antara parti-parti pembangkang.

Setelah berkuasa selama dua tahun, Pakatan Rakyat menghadapi masalah-masalah dalamannya sendiri. Tidak syak lagi, dengan kebolehan berpidatonya disertakan dengan strategi dan taktik yang licik, Anwar Ibrahim, “anugerah Tuhan kepada rakyat Malaysia” mengikut Presiden PKR, telah memainkan peranan yang utama bagi kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-12. Tetapi, harus diingat, kepimpinan yang baik tidak terletak kepada kebolehan berpidato dan strategi dan taktik yang licik. Ia terletak kepada visi dan falsafah yang utuh, kejujuran, kecerdikan dan kebijaksanaan.

Sedar atau tidak, sebuah parti atau sebuah gabungan parti-parti mesti tumbuh dan berdiri di atas suatu falsafah perjuangan yang jelas dan kukuh. Tanpa asas ini, ia tidak akan kekal. Kita tahu UMNO dan Barisan Nasional diwujudkan untuk mencapai dan mengisi kemerdekaan nasional kita. “Nasional” di sini ditakrifkan sebagai perkongsian kuasa di antara tiga komponen penting: Raja-Raja Melayu, Orang Melayu, dan Orang Bukan-Melayu. Ketiga-tiga komponen penting ini dan hak-hak mereka dilembagakan dengan kukuh dalam Perlembagaan negara.

Setelah lima puluh tahun lebih, di samping banyak kejayaan yang telah dicapai oleh semua kaum, banyak pula yang mula dipertikai, Dasar Ekonomi Baru khasnya. Orang Melayu tidak berpuas hati dengan kecapaian mereka; orang bukan-Melayu pun tidak berpuas hati dengan apa yang mereka peroleh berdasarkan kecapaian mereka. Ini menimbulkan kontradiksi antara kaum, yang mengakibatkan menebalnya rasa perkauman, dan melahirkan pertubuhan bukan-Kerajaan, seperti Perkasa dan lain-lain.

Kaum cendekiawan Melayu, khasnya, tidak berpuas hati dengan kecapain bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu. Mereka mengkritik Kerajaan kerana tidak tegas mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan kerana mengajar ilmu Matematik dan ilmu Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka bukan tidak sedar dan iktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa internasional dan bahasa ilmu yang penting. Mereka yakin tamadun bangsa mestilah diasaskan di atas bahasa kita sendiri.

Sejak Najib mengambil-alih pimpinan negara, beliau telah memperkenal dan melancarkan dasar-dasar transformasi dalam bidang-bidang ekonomi, Kerajaan, politik dan parti. Dalam keadaan krisis ekonomi dunia, dan tidak kurang keadaan kacau-bilau politik dunia dan dalam negeri, adakah beliau akan berjaya dalam pelbagai progrem transformasi ini? Saya harap beliau akan berjaya. Namun, banyak bergantung kepada pasukan kepimpinan beliau yang komited kepada tarnsformasi besar-besaran ini, serta pemantauan mereka pada setiap masa untuk membaiki proses transformasi ini.

Perlu diingat bahawa sistem dwi-parti (Kerajaan/Pembangkang) ini sistem yang berasal dari Barat. Barat telah menjajah negara-negara Dunia Ketiga selama beratus tahun. Malaysia satu daripada banyak negara yang telah mereka jajah. Dengan sendirinya, tidak semua benda yang boleh dan patut kita tiru daripada mereka. Kita harus belajar sains and teknologi mereka. Kita harus belajar pemodenan masyarakat daripada mereka. Dengan semangat ini, boleh dan patutkah kita ambil-alih sistem pemerintahan dwi-parti mereka bulat-bulat?

Ahli falsafah Inggeris Thomas Hobbes (m. 1679) medefinisikan masyarakat sebagai sebuah medan perang – “satu lawan semua”. Jelaslah kejiwaan ini merujuk kepada kejiwaan binatang. Manusia tidak harus kekal pada peringkat gasar primitif ini! Mereka harus cepat-cepat meningkat kepada kejiwaan yang lebih sesuai dengan taraf mereka sebagai khalifah Tuhan di Bumi.

Teori sanggah dan imbang (check and balance) ini berpunca dari falsafah politik Hobbes. Walaupun manusia muncul dari alam binatang, dia tidak perlu beku di tahap itu. Ia perlu berhijrah ke tahap kejiwaan yang lebih tinggi, mencipta sebuah masyarakat bukan sebagai medan perang “satu lawan semua”, tetapi masyarakat sebagai medan kerjasama “saling membantu satu sama lain” untuk kebaikan masyarakat itu.

Teori “sanggah dan imbang” mengandaikan kritikan hanya boleh dibuat dari luar. Ia mendakwa sebuah parti pembangkang perlu untuk mengkritik penyeleweng Kerajaan. Dakwaan ini tidak benar, kerana kritikan boleh dibuat dari dalam. Dari permulaan tamadun manusia, tesis bertembung dengan anti-tesis untuk melahirkan sintesis. Demikian tamadun manusia berkembang.

Tuhan memberikan manusia dua tangan supaya kedua-dua tangan itu boleh dimanfaatkan. Tidak wajar sama sekali kita gunakan sebelah tangan saja, apalgi dengan sebelah tangan merungkaikan kerja taangan yang satu lagi!

Lihatlah apa yang telah dicapai oleh sistem pemerintahan Barat itu. Bolehkah mereka memberi keadilan kepada rakyat mereka sendiri? Bolehkah mereka memberi keselamatan dan keadilan kepada dunia? Nyata mereka gagal. Jadi, apakah sebabnya kita harus meniru mereka?

Ini tidak bermakna saya menganjurkan pemerintahan autokratik. Pemerintahan mesti adil, mesti dilakukan melalui musyawarah, dan anggota-anggotanya mestilah terdiri dari orang-orang yang layak (layak dari segi kebolehan dan moralnya). Saya menganjurkan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik daripada sistem Westminster. Pemikir-pemikir politik kita metilah menyusun sebuah sistem pemerintahan yang lebih sesuai dengan cita-cita rakyat kita. Parti-parti politik, mewakili pelbagai jalur ideologi atau kaum, boleh wujud, tetapi mereka mestilah berpegang kepada sebuah falsafah politik nasional yang disusun bersama dan yang akan membolehkan semua parti bekerjasama untuk membangunkan tamadun bangsa kita.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com