KONTRADIKSI DAN DILEMA POLITIK MALAYSIA KINI
Oleh: Kassim Ahmad
28 November, 2010
sidangruh@gmail.com
Bukan pada tahun 2008, apabila Barisan Nasional gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan hilang kuasa di empat buah negeri, tetapi lama sebelum itu, ahli-ahli UMNO sendiri teleh mengutuk pemimpin-pemimpin mereka sendiri, kerana korupsi dan penyelewengan. Tentunya bukan semua yang korup dan seleweng. Tetapi, seperti kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!
Lumrahlah yang berkuasa terlalu lama akan lupa daratan, lupa akan amanah yang mereka pikul, dan mengundang kemarahan rakyat. Demikianlah gerakan reformasi bermula di Indonesia dan menjatuhkan Suharto. Penyingkiran dan penahanan Anwar Ibrahim menyebabkan gerakan reformasi tumbuh dan berakar-umbi di Malaysia. Aliran politik baru ini berkembang selaras dengan tumbuhnya sentimen di kalangan pengundi untuk mengadakan sistem dwi-parti di negara kita, satu “barisan alternatif” untuk menggantikan Barisan Nasional. Inilah yang melahirkan Pakatan Rakyat, yang sebelum ini gagal diwujudkan di antara parti-parti pembangkang.
Setelah berkuasa selama dua tahun, Pakatan Rakyat menghadapi masalah-masalah dalamannya sendiri. Tidak syak lagi, dengan kebolehan berpidatonya disertakan dengan strategi dan taktik yang licik, Anwar Ibrahim, “anugerah Tuhan kepada rakyat Malaysia” mengikut Presiden PKR, telah memainkan peranan yang utama bagi kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-12. Tetapi, harus diingat, kepimpinan yang baik tidak terletak kepada kebolehan berpidato dan strategi dan taktik yang licik. Ia terletak kepada visi dan falsafah yang utuh, kejujuran, kecerdikan dan kebijaksanaan.
Sedar atau tidak, sebuah parti atau sebuah gabungan parti-parti mesti tumbuh dan berdiri di atas suatu falsafah perjuangan yang jelas dan kukuh. Tanpa asas ini, ia tidak akan kekal. Kita tahu UMNO dan Barisan Nasional diwujudkan untuk mencapai dan mengisi kemerdekaan nasional kita. “Nasional” di sini ditakrifkan sebagai perkongsian kuasa di antara tiga komponen penting: Raja-Raja Melayu, Orang Melayu, dan Orang Bukan-Melayu. Ketiga-tiga komponen penting ini dan hak-hak mereka dilembagakan dengan kukuh dalam Perlembagaan negara.
Setelah lima puluh tahun lebih, di samping banyak kejayaan yang telah dicapai oleh semua kaum, banyak pula yang mula dipertikai, Dasar Ekonomi Baru khasnya. Orang Melayu tidak berpuas hati dengan kecapaian mereka; orang bukan-Melayu pun tidak berpuas hati dengan apa yang mereka peroleh berdasarkan kecapaian mereka. Ini menimbulkan kontradiksi antara kaum, yang mengakibatkan menebalnya rasa perkauman, dan melahirkan pertubuhan bukan-Kerajaan, seperti Perkasa dan lain-lain.
Kaum cendekiawan Melayu, khasnya, tidak berpuas hati dengan kecapain bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu. Mereka mengkritik Kerajaan kerana tidak tegas mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan kerana mengajar ilmu Matematik dan ilmu Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka bukan tidak sedar dan iktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa internasional dan bahasa ilmu yang penting. Mereka yakin tamadun bangsa mestilah diasaskan di atas bahasa kita sendiri.
Sejak Najib mengambil-alih pimpinan negara, beliau telah memperkenal dan melancarkan dasar-dasar transformasi dalam bidang-bidang ekonomi, Kerajaan, politik dan parti. Dalam keadaan krisis ekonomi dunia, dan tidak kurang keadaan kacau-bilau politik dunia dan dalam negeri, adakah beliau akan berjaya dalam pelbagai progrem transformasi ini? Saya harap beliau akan berjaya. Namun, banyak bergantung kepada pasukan kepimpinan beliau yang komited kepada tarnsformasi besar-besaran ini, serta pemantauan mereka pada setiap masa untuk membaiki proses transformasi ini.
Perlu diingat bahawa sistem dwi-parti (Kerajaan/Pembangkang) ini sistem yang berasal dari Barat. Barat telah menjajah negara-negara Dunia Ketiga selama beratus tahun. Malaysia satu daripada banyak negara yang telah mereka jajah. Dengan sendirinya, tidak semua benda yang boleh dan patut kita tiru daripada mereka. Kita harus belajar sains and teknologi mereka. Kita harus belajar pemodenan masyarakat daripada mereka. Dengan semangat ini, boleh dan patutkah kita ambil-alih sistem pemerintahan dwi-parti mereka bulat-bulat?
Ahli falsafah Inggeris Thomas Hobbes (m. 1679) medefinisikan masyarakat sebagai sebuah medan perang – “satu lawan semua”. Jelaslah kejiwaan ini merujuk kepada kejiwaan binatang. Manusia tidak harus kekal pada peringkat gasar primitif ini! Mereka harus cepat-cepat meningkat kepada kejiwaan yang lebih sesuai dengan taraf mereka sebagai khalifah Tuhan di Bumi.
Teori sanggah dan imbang (check and balance) ini berpunca dari falsafah politik Hobbes. Walaupun manusia muncul dari alam binatang, dia tidak perlu beku di tahap itu. Ia perlu berhijrah ke tahap kejiwaan yang lebih tinggi, mencipta sebuah masyarakat bukan sebagai medan perang “satu lawan semua”, tetapi masyarakat sebagai medan kerjasama “saling membantu satu sama lain” untuk kebaikan masyarakat itu.
Teori “sanggah dan imbang” mengandaikan kritikan hanya boleh dibuat dari luar. Ia mendakwa sebuah parti pembangkang perlu untuk mengkritik penyeleweng Kerajaan. Dakwaan ini tidak benar, kerana kritikan boleh dibuat dari dalam. Dari permulaan tamadun manusia, tesis bertembung dengan anti-tesis untuk melahirkan sintesis. Demikian tamadun manusia berkembang.
Tuhan memberikan manusia dua tangan supaya kedua-dua tangan itu boleh dimanfaatkan. Tidak wajar sama sekali kita gunakan sebelah tangan saja, apalgi dengan sebelah tangan merungkaikan kerja taangan yang satu lagi!
Lihatlah apa yang telah dicapai oleh sistem pemerintahan Barat itu. Bolehkah mereka memberi keadilan kepada rakyat mereka sendiri? Bolehkah mereka memberi keselamatan dan keadilan kepada dunia? Nyata mereka gagal. Jadi, apakah sebabnya kita harus meniru mereka?
Ini tidak bermakna saya menganjurkan pemerintahan autokratik. Pemerintahan mesti adil, mesti dilakukan melalui musyawarah, dan anggota-anggotanya mestilah terdiri dari orang-orang yang layak (layak dari segi kebolehan dan moralnya). Saya menganjurkan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik daripada sistem Westminster. Pemikir-pemikir politik kita metilah menyusun sebuah sistem pemerintahan yang lebih sesuai dengan cita-cita rakyat kita. Parti-parti politik, mewakili pelbagai jalur ideologi atau kaum, boleh wujud, tetapi mereka mestilah berpegang kepada sebuah falsafah politik nasional yang disusun bersama dan yang akan membolehkan semua parti bekerjasama untuk membangunkan tamadun bangsa kita.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
16 comments:
Fahami maksud sistem itu sendiri kerana sistem tuhan adalah yg paling sempurna. Meletakkan raja di atas semua rakyat dgn melaksanakan hukum tuhan serta keadilan. Sistem politik adalah ciptaan manusia yg jelas di guna bagi menandingi sistem tuhan. Apakah sistem ini memberikan kebaikan bagi rakyat seluruhnya? Manusia sekian lama tertipu dgn sistem yg menjajah mereka sehingga gagal melihat betapa jauhnya mereka dari jalan tuhan.
Salam...
Kassim Ahmad tulis...
Teori “sanggah dan imbang” mengandaikan kritikan hanya boleh dibuat dari luar. Ia mendakwa sebuah parti pembangkang perlu untuk mengkritik penyeleweng Kerajaan. Dakwaan ini tidak benar, kerana kritikan boleh dibuat dari dalam.
Komen:
Kritikan dari dlm kureng praktikal apatah lagi manusia ada sikap ego dan berkepentingan, apa jadi pada Tun Dr. Mahathir apabila beliau mengkritik Tunku Abdul Rahman?? Apa jadi kepada Zaid Ibrahim yg mengkritik Anwar Ibrahim?? Cheh karut-marut
Masa Tun Dr Mahathir memerintah dahulu mana ada orang berani kritik dari dalam secara ikhlas... membodek ada la - membodek budaya orang Melayu - takde pendirian... kita tengok sahajalah akan datang apa akan jadi samada Najib meneruskan agenda projek Menara Warisan beliau atau akur dengan tegoran ramai rakyat berkenaan project itu...
Kalau sdr tidak autokratik sila ke... http://doktrinisasi.blogspot.com ... baca mengenai sistem pengangkutan awam...
Salam,
Saya pula nampak kritikan dari pembangkang juga ada kelemahannya. Bila pihak pembangkang merasakan kerja mereka adalah mengkritik penyelewengan kerajaan, maka mereka lalai untuk melihat penyelewengan diri sendiri. Yalah, kerana sibuk mencari keburukan orang lain, diri sendiri bergelumang dengan najis pun tidak disedari.
Sebaik-baiknya kalau pihak luar kerajaan hendak mengkritik, biarlah pihak yang tiada kepentingan politik (badan bebas) yang mengkritik agar kritikan tidak berat sebelah.
Golongan pertengahan inilah yang mengimbangi kerajaan dan pembangkang. Seperti mana ketika orang Yahudi kritik orang Nasrani tiada apa-apa, dan orang Nasrani kritik orang Yahudi tidak ada apa-apa, maka Rasulullah menjadi golongan pertengahan di antara mereka iaitu mengajak mereka kembali kepada Kitab Allah yang ada pada mereka.
Jadi sistem mana yang paling baik? Sistem 'Islam' kalau dibicarakan sebagai unggul ironinya tiada satu negara 'Islam' yang boleh menjadi contoh kerana mereka pun tak tahu apa itu Islam selain daripada mengerjakan ritual ibadah Islam, malahan negara Islamlah yang mempunyai rekod rasuah yang buruk. Jadi kita terpaksa pilih sistem sekular yang berteraskan keadilan, urus tadbir yang baik, kekayaan negara diagihkan secara adil sebolehnya dan jangan masukkan agama dalam pentadbiran negara walaupun sistem sekular ini harus menghormati sesiapa boleh menganut apa saja agama asalkan tidak membawa kesulitan dan ketidaksenangan pada agama lain.
Sistem sekular ini pun bukan sempurna dan apa pilihan terbaik lagi? Mengikut sejarah orang beragama banyak berperang dan di samping itu kerajaan yang nampak maju dan memikat pada zaman ini dengan segala kekurangnya adalah dari orang 'kapir'. Lihat negara orang 'kapir' maju tapi sekular-moden, teratur, bersih, tinggi budaya ilmu/membaca, tinggi tingkat sains dan teknologinya. Masyarakat Islam apa contoh yang nak diberikan, mungkin banyak beribadah dalam bahasa yang mereka sendiri tidak dapat menghayatinya dan paling parah miskin dari segi idea pembangunan, banyak menghimbau kepada zaman kegemilangan Islam dan bagi orang Melayu pula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu yang dipelopori oleh seorang keterunan Hindu tapi dimasuk Islam oleh pedangan Arab.Ataupun kita akan terus benggong dengan kedua-dua pilihan kerana jika ambil yang satu tidak bawa kemana(tiada contoh) dan satu lagi mungkin baik tapi tidak percaya pada Sang Khalid.
Salam
Anonymous tulis...
Ataupun kita akan terus benggong dengan kedua-dua pilihan kerana jika ambil yang satu tidak bawa kemana(tiada contoh) dan satu lagi mungkin baik tapi tidak percaya pada Sang Khalid.
Komen:
Berkenaan sekular ianya terjadi apabila orang barat memisahkan diantara sistem kehidupan mereka dengan teokrasi (pemerintahan berasaskan agama / gereja), jadilah apa yg dikatakan sekular... diorang bukan tak percaya Tuhan tetapi hidup dengan akal rasional... al-Quran tidak sebut pun apa yg dikatakan politik Islam, kalau ada orang kata dlm al-Quran ada menganjurkan politik... saya akan bertanya balik... berdasarkan tafsiran al-Quran siapa???
Wal hasil orang 'Islam' mundur dan bangan akan terus tercari-cari mana jalan yang patut diambil, antara jalan lurus 'sirotulmustaqim' atau jalan modern, demokratik, rasional, manusiawi, berpandukan sains dan teknologi alias jalan 'Barat' yang mereka fobia atau kekal mati-matian mempertahankan jalan berpandu 'wahyu' yang diturun lebih 1400 lalu. Dalam sistem politik Islam tiada pilihanraya cuma pakai musyuwarah dan konsep 'khalifah' dan ramai orang Islam khasnya intelektuanya akan tak habis-habis debat dengan nak harmoniskan kedua-dua konsep dengan fahaman zaman digital dan internet, iaitu zaman moden.
Salam,
Definasi yang berkaitan dengan Islam itu perlu diperbetulkan. Islam terletak pada kebenaran dan keadilan. Apa jua sistem yang benar dan adil, itulah Islam.
Tetapi apa yang berlaku hari ini, ada orang menganggap segala yang datang daripada Arab itulah Islam dan yang datang daripada Barat, dikatakan sekular. Akibatnya mereka sudah tidak memandang pada nilai benar dan adil yang banyak ditekankan di dalam Al Quran.
Salah faham begini hanya dapat diperbetulkan bila orang Islam berani mengkaji Al Quran tanpa menyandarkan kepada golongan ulamak semata-mata. Sikap menurut membuta-tuli itu sendiri bukan sifat-sifat Islam.
Kepada Sdr/i yang telah membuat komen:
1. Sistem pemerintahan Islam moden harus disusun oleh cerdik-pandai mereka berdasarkan prinsip-prinsip politik yang diajar dalam Quran. Prinsip-prinsip lain boleh dipakai sekirannya tidak bercanggah dengan ajaran Quran.
2. Kita jangan jadi pak turut sistem Barat Kerajaan/Pembangkang, kerana ini tidak selaras dengan ajaran Quran dan juga tidak logik.
Contoh yang diberi untuk menunjukkan tidak praktiknya kritikan dari dalam tidak tepat, kerana sistem yang kita pakai sistem Barat. Kita kena keluar dari sistem ini dan susun satu sistem lain yang membolehkan kritikan dari dalam, berdasarkan sebuah falsafah politik kebangsaan yang menyeluruh. Ambil contoh dari Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri.
3. Beberapa percubaan untuk melaksanakan sistem ini di Algeria dan di Iraq telah digagalakn melalui komplotan Yahudi-Kristian Barat yang dikepalai oleh Inggeris-Amerika. Tumbangnya Ben Bella di Algeria dan Saddam Hussein di Iraq disebabkan oleh komplotan ini.
4. Najib sedang mencuba untuk mereformasi sistem politik Malaysia. Saya harap dia berjaya. Namun demikian, masalah kasta paderi di kalangan umat Islam merupakan satu halangan besar. Mereka berkemungkinan menggagalkan percubaan ini, melalui ketaksuban umat Islam sendiri kepada kasta paderi ini.
Dalam Quran tiada blue print atau dirangkakan mekanisme bagaimana hendak mengurus urusan ekonomi bagi era moden yang mencabar ini melainkan disarankan buat kebaikan untuk umatKU agar kelak nanti menjadi kamu menjadi insan yang terbaik dan mungkin masuk syurga. Jelas tersirat manusia itu sendiri harus menanganinya mengikut zamannya, bukanlagi bergantung pada pada zaman 'kegemilangan Islam' satu ketika dulu. Jelas cerdik pandai Islam kita sehingga kini tidak mungkin lagi menyediakan satu kertas kerja bagaimana nak mengurus ekonomi negeri masing-masing apatah lagi ekonomi dunia melainkan mereka mengingatkan dan seterusnya menegaskan yang kononnya semuanya sudah ada dalam Al-Quran walaupun al-Quran/wahyu itu sudah berusia lebih dari 1400 dan mungkin dah tak sesuai/secocok bagi keadaan bagi zaman moden. Buktinya ekonomi Islam di negara Islam pada ketika ini adalah mundur dan ada yang primitif kalau ada yang baik pun, segelintir elit Islam yang menikmatinya dan pada intinya mekanisme Islamnya masih mirip ekonomi barat atau kapitalis walaupun dinamakan bank islamlah, insuran islamlah dan berbagai-bagai lagi 'islamlah'.
Dah buntu maka dipersalahkan orang Yahudi, Pembangkanglah, Baratlah dan akhir sekali tidak mengikut Al-Quran dan Sunnah.
Pendeknya ramai mahu kembali pada sunnah dan al- quran tetapi apabila banyak ilmu modern/sekular/manusiawi/demokrasi diambil maka mulalah dituduh cara pemikiran itu sudah tidak ikut jalan 'sirotulmustaqim' dan putaran ini akan berterusan dan menjadi modal bagi cendekiawan 'Islam' untuk berwacana selama-lamanya.
Salam,
"PK: Kita kena keluar dari sistem ini dan susun satu sistem lain yang membolehkan kritikan dari dalam, berdasarkan sebuah falsafah politik kebangsaan yang menyeluruh. Ambil contoh dari Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri."
Hendak membina sistem yang membolehkan kritikan daripada dalam bermula apabila orang Islam terbuka dikritik tentang kepercayaan tradisi mereka. Hari ini orang Islam amat sensitif dan cepat melenting bila disentuh pasal amalan tradisi mereka biarpun yang sampaikan peringatan itu orang Islam sendiri. Sedangkan Nabi Muhammad dahulu pun tidak teragak-agak mengkritik kepercayaan kaum Arabnya sendiri. Sebab itulah baginda dapat membina sistem yang terbuka menerima kritikan daripada dalam kerana baginda sendiri terbuka menerima kritikan tentang kepercayaan kaumnya dan baginda menjadi pengkritik dalam kaumnya sendiri.
Najib seorang tidak mampu membawa transfomasi ini jika majoriti orang Melayu lain mempunyai dada yang sempit dan cepat melenting bila diajak memikirkan kepercayaan yang diamalkan secara membuta-tuli selama ini.
Kita harus menyediakan masyarakat yang berfikiran kritis dan kreatif jika mahu sistem politik yang lebih matang dan boleh dipercayai.
Benar, sistem kasta dalam agama orang Islam hari ini perlu diruntuhkan. Itulah barah yang merosakan sistem politik kita.
Salam
Anonymous 5:24 PMsaid...
Dalam Quran tiada blue print atau dirangkakan mekanisme bagaimana hendak mengurus urusan ekonomi bagi era moden yang mencabar ini melainkan disarankan buat kebaikan untuk umatKU agar kelak nanti menjadi kamu menjadi insan yang terbaik dan mungkin masuk syurga. Jelas tersirat manusia itu sendiri harus menanganinya mengikut zamannya...
Komen:
Ya, memang benar al-Quran tidak ada blue print mekanisme pengurusan ekonomi dan pemerintahan atau politik/siasah, sy setuju... Al-Quran hanya memberikan garis panduan mengenai nilai2 moralnya sahaja... itu pointnya..
Manusia perlu ber"ijthihad" menurut kesesuaian situasi zaman mereka. Tidak salah jika mengambil sistem dari barat jika terdapat kebaikan... al-Quran ada menyebut orang yg beriman, Yahudi, Nasrani, Sabien, siapa sahaja yg percaya dgn Tuhan dan melakukan kebaikan, maka dpt ganjaran dari Tuhan, oleh itu hujah teori konspirasi sy tolak...
Maka itu kita kena cari pakar ilmu ekonomi yang rasional, ilmiah dan saintifik. Jika nak tahu akan perihal astronomi kita rujuk kepada pakarnya seperti Stephen Hawking, Albert Einstein dan ramai lagi. Sama juga jika nak tahu toeri kemiskinan dan penindasan oleh apa saja rejim( baik kafir atau yang percaya Tuhan) kita rujuk misalnya pada Karl Marx), jangan kita rujuk pada ulama Islam, mereka tiada teori saintifik cuma teror menghafal al-Quran dan Hadis dan melalak saban hari agar kita semua kembali pada al-Quran dan Hadis dan mempunyai berburuk sangka yang pakar ilmu ilmiah yang mempunyai kaedah sains adalah orang tidak mempercayai Tuhan/Allah/The Creator lantas tak boleh pakai tesis mereka. Tok guru mereka yang hebat sains adalah 'syaitan' bukannya dari yang berakar-umbi sains yang objektif.Tetapi orang 'Islam' segan dan berat nak menerima analisis dari orang demikian lantas berpanjangan lagi debat mencari kaedah terbaik untuk memberi kesejahteraan hidup kepada umat. Lihat kumpulan ulama/mufti/ustaz/imam/agamawan kita, tiada langsung peduli dengan kesengsaraan kehidupan 60% isi keluarga saudara kita yang mengharung hidup meskipun kita kaya dengan sumber alam. Mereka tak peduli langsung gejala rasuah yang menggeroti negara. Mereka tak berani tegur pemerintah kerana dilihat Najib sebagia hero atau dewa yang akan menyelamatkan mereka. Mereka tak nampak sistem ekonomi kita hanya menguntungkan segelintir elit saja.Kalangan pemikir agamawan kita obses dengan har ritualisme agama keran nak membawa semua ke syurga yang mengalirnya air susu dan lumayan dengan bidadari. Mereka sangat sensitif dan artikulatif terhadap masalah kesusilaan, tetapi anehnya menjadi bisu dan kelu terhadap isu-isu korupsi dan pelanggaran hak asasi manusia ang berskala besar.Yang bangun menentang kemungkaran adalah golongan 'sekular', bersikap rasional dan saintifik. Mana dia cendekiawan Islam yang berani menetang sistem ekonomi yang lebih mementingkan segelintir elit daripada masyarakat majoriti? Cendekiawan Islam kita berdengung atau melonta-lonta mencari sebuah teori Islam bagi menyelesaikan masalah dunia, tetapi tiada keberanian menegur kerajaan yang mengamalkan sistem ekonomi yang menindas walaupun disedari sistem ekonomi kita jauh berbeda dari apa yang diamalkan 1400 dulu.
Salam,
Melihat senario politik tanahair, kewujudan pembangkang hanya sebagai tempat mengumpulkan orang-orang yang tak berpuas hati dengan kerajaan. Bagi si pemimpin/wakil rakyat, bila mereka tidak dapat tempat sesuai dalam kerajaan, mereka pun keluar parti dan buat/masuk parti pembangkang. Bagi si rakyat, jika kerajaan naikkan harga barang (contohnya), mereka pun sokong pembangkang.
Perasaan tidak puas hati, kalau tidak ditangani dengan baik akan membawa kepada penyakit hati yang lebih serius seperti iri hati, hasad dengki dan dendam kesumat. Maka membiarkan wujudnya perkumpulan manusia dalam keadaan tidak berpuas hati itu bukan suatu yang terbaik bagi mewujudkan masyarakat aman sejahtera.
Secara psikologi, perasaan tak puas hati dapat diredakan jika apa yang terbuku di hati mereka dapat disalurkan kepada pihak yang berkenaan dan suara mereka didengar. Maka sebagai pemimpin, pihak kerajaan seharusnya berubah ke arah keterbukaan mendengar suara-suara tak puas hati itu. Menyekat suara-suara yang berlawanan dengan pandangan kerajaan bukan satu tindakan yang bijak. Kalau rasa tak tahan mendengar pandangan yang berlawanan dengan kita, tak payahlah jadi pemimpin. Berikan kepada mereka yang terbuka mendengar kritikan.
Di pihak yang tidak berpuas hati pula, mereka kena belajar menyampaikan suara mereka dalam bahasa yang baik dan idea yang bernas. Jangan hanya menurut emosi dengan mencaci maki.
Bila dua perkara ini dapat dilakukan, maka konsep kritikan dari dalam dapat dibina. Ketika itu, pembangkang wujud bukan sebagai anti-kerajaan, tetapi sebagai setelit bagi kerajaan untuk membantu menunjukkan kelemahan-kelemahan yang tidak dapat dilihat oleh kerajaan. Barulah kita akan lihat satu sistem politik yang bijaksana, bukannya yang buas dan haloba.
Sdr Juang,
1. Apa yang Sdr katakan itu benar.
Ikut ajaran Quran, kita kena bersabar dan tekun bekerja di jalan kebaikan. Kita kena dengar semua pendapat dan ikut yang paling baik.
2. Kerjaan harus (i) terdiri dari mereka yang layak, (ii) harus memerintah berdasarkan perundingan, (iii) harus berlaku adil kepada semua, dan (iv) harus menganggap bahawa pemerintahan itu satu tanggungjawab dan amanah yang besar.
3. Masyarakt itu ibarat satu keluarga besar. Ada lebih dari satu pandangan dalam keluarga. Semua urusan diselesaikan melalui perundingan. Semua teguran boleh dibuat dari dalam. Tidak harus ada puak (Kerjaan/Pembangkang). Itu yang elok sekali.
4. Memang ada Iblis/syaitan dalam semua masyarakat. Dia mesti didedahkan melalui kritikan saintifik (konsep "yakmuruna bi'l makruf wa yanhauna ani'l munkar").
5. Boleh ada banyak parti mewakili jalur kaum dan ideologi, tetapi semua harus disatukan melalu suatu falsafah perjungan kebangsaan yang komprehensif.
6. Sekali lagi ingin saya mengingatkan: ambil contoh dari Piagam Madinah.
1. Melihat kepada perkembangan politik sekarang, suatu tenaga ketiga (antara BN & Pakatan) sedang muncul.
2. Perkembangan ini sihat dan logik.
3. Mereka perlu merumuskan sebuah falsafah politik kebangsaan yang menyeluruh yang boleh menyatukan semua jalur politik dalam negara kita, seperti yang telah saya anjurkan, untuk membangunkan tamadun Malysia baru.
Salam,
Saya juga setuju dengan pendapat Pak Kassim.
1) Kewujudan golongan pertengahan di antara BN dan Pakatan dapat meruntuh tembok pemisah di antara kedua-dua pihak.
2)Golongan atas pagar ini dapat memainkan peranan mengkritik kedua-dua pihak secara adil (kerana bukan untuk mendapatkan jawatan atau apa-apa projek - harapan mereka hanya sistem politik yang matang dan bersih).
3)Mereka mempunyai kuasa dalam menentukan undi (bila semakin ramai duduk di tengah-tengah).
4)Tidak dikuasai ketaksuban pada mana-mana pemimpin, sebaliknya menilai dengan masak-masak sebelum membuat keputusan memilih yang terbaik.
5)Dengan itu setiap pihak yang bertanding kena tunjukkan keupayaan intelektual yang tinggi, bukannya guna cara keji dan kotor untuk mempengaruhi pengundi.
Post a Comment