Saturday, October 30, 2010

BERMAKNANYA KEHIDUPAN
Oleh: Kassim Ahmad


Sebuah tajuk yang berat yang telah kita pilih untuk bincang. Kebanyakan penulis hari ini akan menganggap tajuk ini tidak relevan. Tetapi nyatalah bahawa manusia telah menanyakan soalan ini sejak awal kehidupan mereka di muka bumi. Kewujudan agama, seni dan falsafah menjadi saksi kepada pencarian makna ini. Namun demikian, adakah kita semakin dekat dengan jawapannya berbanding dengan ahli-ahli teologi, seniman dan falsafah pertama di Timur Tengah, Yunani, India, Parsi atau China? Nampaknya, tidak demikian. Sebaliknya, melihat kepada keadaan huru-hara di dunia kini, kita tidak lebih dekat kepada jawapan rahsia kehidupan daripada mereka. Oleh kerana itu, kita harus cuba dan cuba lagi hingga kita capai pengertian yang lebih jelas.

Alija Ali Izetbegovic, sekarang presiden Bosnia-Herzergovina, dalam bukunya yang bernas (1) telah mengingatkan kita bahawa Islam itu jalan tengah antara faham pertapaan atau asetisme, atau agama dalam ertika kata sempit, dan materialisme. Islam suatu gabungan harmonis antara roh dan benda. Ia tidak menolak dunia, seperti asetisme, atau roh, seperti kaum materialis. Beliau berkata:
Terdapat tiga pandangan sepadu tentang dunia: pandangan keagamaan, materialis dan Islamik. Mereka menggambarkan tiga kemungkinan -- kata hati (conscience), alam dan insan, tiap satu menjelmakan dirinya sebagai faham Kristen, Materialisme dan Islam. Semua jenis ideologi, falsafah dan ajaran dari zaman purba hingga sekarang boleh digolongkan ke dalam salah satu daripada tiga pandangan hidup asas ini. Yang pertama bertolak dari kewujudan roh, yang kedua dari kewujudan jirim, dan yang ketiga dari kewujudan kedua-dua roh dan jirim sekaligus. Jika jirim saja yang wujud, falsafah materialisme sajalah falsafah yang wajar. Sebaliknya, jika roh wujud, maka insan juga wujud, dan kehidupan insan tidak bermakna tanpa agama atau moraliti. Islam itu nama bagi kesatuan roh dan jirim, yang kemuncaknya ialah insan. Kehidupan insan hanya lengkap jika ia meliputi kedua-dua kehendak fizikal dan spiritual manusia. Semua kegagalan manusia sama ada kerana penafian kehendak-kehendak biologi manusia oleh agama, atau penafian kehendak-kehendak rohaniah manusia oleh faham materialis.(2)
Gagasan materialis, dengan menolak roh, menafikan suatu aspek kehidupan yang penting dan dengan itu mengubahnya. Oleh yang demikian, suatu sistem sosial berdasarkan falsafah materialis, sepertimana komunisme, mestilah menafikan moraliti, kekreatifan dan kebebasan, kerana ini semua milik dunia kerohanian. Ini surat perintah kematiannya sendiri, dan kematian sistem komunisme memang suatu kenyataan sekarang. Liberalisme kapitalis tidak kurang materialaisnya daripada komunisme. Malah, kedua-duanya anak kembar, yang dilahirkan dari ibu-bapa falsafah materialis yang sama. Tetapi, oleh kerana liberalisme Barat telah disederhanakan sedikit dengan tanggungjawab sosial negara, suatu warisan dari Revolusi Amerika, ia dapat memanjangkan hayatnya. Walau bagaimanapun, individualisme tidak terbatas, yang menjadi intisari liberalisme, lambat-laun, lebih cepat daripada lambat, akan membawanya kepada keruntuhannya. Masa sekarang dalam sejarah dunia nampak kepada kami sebagai saat sakratulmaut bagi liberalisme -- suatu lonjakan nekad untuk terus hidup bagi suatu sistem yang telahpun terkubur. (3)
Keruntuhan Marxisme dan liberalisme, walau bagaimanapun, bukanlah disebabkan oleh apa-apa kitaran kehidupan dan kematian bagi sesuatu masyarakat atau tamadun, seperti yang dihuraikan oleh Ibn Khaldun (4) dan Arnold Toynbee (5). Kedua-dua mereka mengemukakan gagasan dan menceritakan kitaran kelahiran, perkembangan dan kemerosotan masyarakat dan tamadun. Kelahiran dan perkembangan itu disebabkan oleh semangat kreatif yang wujud dalam masyarakat itu; kemerosotan dan kematiannya keranan kehilangan semangat kreatif itu. Liberalisme dan Marxisme dua buah falsafah materialis zaman moden dan keruntuhan mereka tetap dan pasti, disebabakan oleh kelemahan dalamannya. Ia bukan disebabkan oleh salah urus atau keletihan. Oleh yang demikian, tidak akan berlaku kebangkitan semula liberalisme atau komunisme, kecuali dalam ertikata suatu langkah ke belakang dalam sejarah yang bersifat sementara kerana tiada pilihan yang lebih baik. Apabila Quran menyebut sesuatu tempoh bagi tiap-tiap bangsa (6), ia merujuk kepada fenomenon kitaran sejarah. Fenomenon kedua ini merujuk kepada kesilapan dalam tanggapan falsafah.

Oleh itu, apakah kehidupan? Apakah tujuan kita berada di dunia ini? Dengan menolak roh, kaum materialis tidak percaya kepada apa-apa tujuan. Seorang ahli falsafah materialis moden, Bertrand Russell, mengisahkan ketidakertian ini dengan penuh rasa hampa dan puitis pula:

Demikianlah, ringkasnya, tetapi malah lebih tidak bertujuan, lebih kosong dari segi makna, ialah dunia yang diajukan oleh sains untuk kepercayaan kita. Di tengah-tengah sebuah dunia yang demikian, kalau pun ada, cita-cita kita mesti mencari rumahnya. Bahawa Manusia itu hasil sebab-sebab yang tidak mengetahui apakah keperluan yang ditujuinya; bahawa asal-usulnya, perkembangannya, harapan dan kebimbangannya, kasih-sayangnya dan kepercayaannya adalah akibat perlagaan zarah; bahawa tiada obor, tiada kewiraan, tiada kehebatan kerja berzaman-zaman, semua tumpuan, semua cita-cita, semua kegemilangan cahaya siang yang dihasilkan oleh otak manusia akhirnya akan hilang dalam suatu kematian tatasuria yang maha besar, dan keseluruhan tugu kejayan Manusia semestinya dan tidak dapat tidak akan terkambus di bawah timbunan sampah-sarap sebuah alam semesta yang hancur berkecai -- semua ini, jika pun tidak begitu pasti, namun sudah hampir pasti, hingga tiada falsafah yang menolaknya boleh harap untuk bertahan. Hanya dalam rangka aram-aram kebenaran-kebenaran itu, hanya di atas asas keteguhan putus asa yang kukuh itu boleh dibina dari sekarang tempat penghunian roh.(7)
Sebaliknya, Islam mengajar perihal bermaknya kehidupan. Dalam sebuah kenyataan yang paling jelas, Quran mengisytiharkan:

Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala sesuatu di antaranya untuk bermain-main. Jika Kami menghendaki hiburan, Kami boleh melakukannya tanpa ini semua, jika itulah yang Kami kehendaki. Sebaliknya, tujuan Kami ialah untuk menyokong kebenaran melawan kepalsuan serta mengalahkannya.(8)

Oleh itu, seluruh alam semesta telah diciptakan Tuhan mengikut undang-undang kebenaran dengan demikian cara bahawa semua kepalsuan yang meliputi kehidupan buat sementara akhirnya akan didedah dan dikalahkan. Manusia, dengan itu, mempunyai tanggungjawab moral untuk melawan kejahatan dan kepalsuan untuk mewujudkan kebaikan dan kebenaran (9) mengikut rancangan Ilahi untuk menegakkan kebenaran. Apabila kita mengkaji keseluruhan sejarah manusia, kita boleh melihat evolusi masyarakat manusia, dengan pastinya memaju, kalaupun kerapkalinya sangat lambat, kadangkala mundur ke belakang, namun dengan pastinya bergerak ke hadapan dari satu peringkat ke satu peringkat: dari masyarakat primitif ke masyarakat tamadun, terhad kepada ke sesuatu kawasan pada mulanya dan menuju ke arah pembentukan sebuah masyarakat antarabangsa berasaskan sains dan teknologi dalam abad ke-20. Falsafah-falsafah yang memimpim peringkat-peringkat ini sama saja: sama ada materialis, esitik atau Islamik. Apabila unsur falsafah Islamik menguasai atau kuat, evolusi itu cepat; kalau tidak, ia lambat dan masyarakat malah boleh mundur ke belakang. (10)

Orang yang tidak beriman dan peragu kerap mengadu bahawa seorang insan atau kanak-kanak yang menderita tidak minta untuk dilahirkan ke dunia: mengapakah Tuhan menjadikan dia serta meletakkannya dalam penderitaan? Untuk menjawab soalan ini, kita mestilah mentakrifkan konsep penderitaan. Dua jenis penderitaan perlu dikenalpasti, iaitu penderitaan lahir dan penderitaan batin. Jika seseorang itu miskin dari segi benda, dia mungkin menderita kerana tiada cukup benda, seperti kelaparan atau ketiadaan barangan material lain. Namun demikian, penderitaan batin, seperti perasaan kesunyian, ketiadaan tujuan, putus asa dan hampa tentulah lebih perit. Seorang yang kuat jiwanya bukan saja tidak akan menderita dari segi rohaniah; dia juga tidak akan menderita dari segi material, kerana kekuatan jiwanya akan membolehkan dia mencari nafkah hidup. Sebuah masyarakat yang kuat dari segi rohaniah boleh memelihara anggota-anggotanya yang lemah, seperti fakir miskin dan orang cacat. Oleh yang demikian, masalah penderitaan sebenarnya tidak timbul.

Berhubung dengan persetujuan manusia untuk dilahirkana ke dunia, tiada orang yang enggan mengambil manfaat dari nikmat-nikmat dunia, seperti kekayaan, kedudukan, kuasa, kasih-sayang, persahabatan, membaca, makanan, perbualan, musik, kesusasteraan, kehidupan berkeluarga dan sebagainya. Sungguhpun sesetengah insan yang terlalu spiritual, seperti Buddha dan Nabi Isa, mungkin menolak sesetengah daripada nikmat-nikmat ini, kebanyakan mereka tidak; bukan pula lazim bagi manusia berbuat demikian. Oleh itu, kita boleh membuat kesimpulan, sebagai perumpamaan, bahawa manusia bersetuju untuk dilahirkan ke dunia ini dan suka duduk di dalamnya, walaupun dalam keadaan-keadaan tertentu sesetengah anak Adam sanggup membunuh diri.

Ini membawa kita berhadap dengan soal kematian atau kelansungan manusia. Jika kehidupan seseorang insan berakhir dengan kematiannya, maka kehidupan tidak bermakna. Sebaliknya, insan meneruskan zuriatnya dari segi fizikal, intelektual, moral dan rohaniah. Anak-cucunya bukan saja meneruskan kehidupan fizikalnya tetapi juga kehidupan intelektual, moral dan rohaniahnya. Terdapat kesinambungan terus-menerus. Sebaliknya, maut hanya mengambil insan fizikalnya; rohnya tidak mati bersama jasadnya, kerana roh menghuni alam ilahiah. (11) Mengikut Quran, roh ini akan dibangkitakan dalam sebuah dunia lain pada Hari Pembalasan. Roh ini akan mendapat sebuah jasad baru serta meneruskan perjalanan hidupnya. (12) Ini akan berlaku terus-menerus sehingga rancangan Tuhan untuk mengasingkan kebenaran dari kepalsuan dan memenangkan kebenaran tercapai sepenuhnya.

Oleh kerana manusia mati di bumi ini dan akan dibangkitkan semula dari bumi ini (13) dan oleh kerana Syurga itu sama luasnya dengan alam semesta (14), bolehlah kita andaikan bahawa dalam dekad-dekad mendatang, tiga dekat lagi selewat-lewatnya, manusia akan hidup di planet-planet lain dan di angkasa lepas. Sepertimana perubahan-perubahan di dunia dilakukan dengan peneyertaan manusia, demikianlah kita boleh menganggap perubahan-perubahan akan datang, termasuk Hari Pembalasan, akan dibuat dengan penyertaan manusia. (15)
Dengan demikian, nampak jelas bahawa kehidupan tidak boleh diertikan sebagai kehidupan singkat di bumi. Kehidupan di bumi, walaupun penting, cuma suatu tahap dalam perjalanan seseorang insan yang jauh untuk sampai kepada Tuhan, Penciptanya, dan berkongsi dalam kesempurnaan dan kebebasan-Nya. Kehidupan keduniaan ini suatu masa persediaan yang penting untuk tahap-tahap yang akan datang dalam kehidupannya yang hampir-hampir tidak berpenghujung. (16)

Pada titik ini, patutlah kita timbulkan soal masa dan ruang. Tamadun, sepanjang yang kita ketahui, berusia kira-kira lima ribu tahun, dan manusia kira-kira sejuta tahun. Adakah aliran masa ini tetap? Bolehkah ia berlaku lebih cepat? Jika boleh, apakah faktor-faktor yang menentukannya? Sejak Einstein dan Heisenberg, kajifizik telah menjawab bagi kita bahawa kedua-dua masa dan ruang tidak tetap atau beku; kedua-duanya relatif dan menganjal. (17) Quran telah menyingkap rahsia ini kepada kita lama dulu. (18) Oleh itu, manusia telah boleh maju dari semua segi dalam masa yang lebih singkat dengan penderitaan dan kesangsaraan yang jauh lebih sedikit daripada yang telah dilaluinya. Syarat-syaratnya ialah manusia mestilah berusaha, mula-mula dari segi moral dan rohaniah, dan tentunya, juga dari segi mental dan fizikal untuk menjadikan dunia ini lebih selamat dan baik untuknya. Keseluruhan alam semesta telah diciptakan untuknya. (19) Bumi dan seluruh alam semata sekaligus suatu ujian bagi kesetiaannya kepada Tuhan dan juga suatu medan perang untuk mencapai potensinya sebagai khalifah Tuhan sepenuhnya. (20)

Marilah kita buat suatu tinjau ringkas tentang masa dan ruang. Kita tahu tentang perkembangan sistem pengangkutan yang lambat dari zaman purba hingga baru-baru ini. Mula-mula kita bergerak menggunakan dua kaki kita serta membawa barang-barang dengan pengandar; kemudian kita menggunakan binatang-binatang yang telah dijinakkan, seperti kuda, unta dan anjing, serta menggunakan kereta tarik dan andur; kita juga menciptakan rakit; kemudian datang suatu rekaan yang besar: roda dan penggunaan jalan; kita juga menangkap kuasa angin dan menciptakan kapal layar. Semua ini mengambil masa dari awal hingga baru-baru ini, iaitu sekitar dua ratus tahun lalu. Kemudian dari kapal asap, ke enjin, ke lokomotif dan ke kapal laut bertenaga nuklier dan kapal roket, perkembangannya sangat cepat, hanya sekitar seratus lima puluh tahun. Lima puluh hingga seratus tahun akan datang akan melihat perkembangan-perkembangan yang malah lebih menakjubkan. Manusia bukan saja telah menguasai bumi; dia telah mulai mengusai angkasa lepas! Semua ini sedang berlaku, tentunya, mengikut bahasa Quran, "dengan izin Tuhan", yakni mengikut undang-undang-Nya atau kehendak-Nya. (21
)
Dari awal-awal lagi, manusia telah memeras otaknya untuk menjawab soalan kebebasan dan ketidakbebasan. Sejauh manakah kita bebas atau tidak bebas dalam tindak-tanduk kita? Berkaitan dengan soal ini ialah soal Kejahatan. Jika Tuhan maha berkuasa, mengapakah kejahatan wujud? Bagaimanakah Tuhan yang maha penyayang membenarkan genosid di Bosnia, umpamanya? Tentunya kita tidak boleh menaruh fikiran salah orang-orang yang tidak beriman yang menganggap bahawa ini dalil muktamad tentang ketidakwujudan Tuhan. Tetapi kita mestilah memberi penjelasan yang memuaskan tentang kesulitan-kesulitan ini.
Bahawa manusia, sedikit sebanyaknya, mempunyai kebebasan terbukti dari kebolehannya bertindak dengan bebas dalam keadaan-keadaan tertentu. Umpamanya, dia boleh memilih tempat tinggalnya, pekerjaan atau profesionnya, makanan dan pakaiannya, pasangan hidupnya dan banyak perkara lagi. Tetapi seorang insan, khasnya seorang insan biasa, tanpa pengaruh dan kuasa, boleh dikatakan tidak berdaya untuk menghalang peperangan dan wabak penyakit dan tidak boleh menentukan jenis pemerintahan atau sistem politik-ekonomi yang ia mahu bagi negaranya, walaupun perkara-perkara ini penting bagi dirinya secara peribadi. Walau bagaimanapun, fikiran-fikiran ini mencadangkan kepada kita dua tenaga kreatif yang ada di tangannya untuk menjadikan dia bebas menentukan hal-hal ini. Tenaga-tenaga itu ialah tenaga gabungan dari insan-insan yang bertindak bersama, dan tenaga sains dan teknologi.
Tenaga kreatif yang ada pada insan sebagai individu telah kita ketahui, iaitu akal atau otaknya. Menggunakan akalnya untuk bergabung dengan individu-individu lain untuk mencapai tujuan yang sama melalui tindakan bersama, atau melalui hasil-hasil penyelidikan saintifik, dia boleh mencapai kebebasan yang lebih besar daripada jika dia bertindak bersendirian atau melalui tenaga tulang empat kerat. Umpamanya, orang-orang Tiga Belas Tanah Jajahan, dengan bergabung tenaga, melancarkan Revolusi Amerika yang agung itu terhadap Empayar Inggeris serta menciptakan republik moden yang pertama. Melalui penggunaan akalnya dan penyelidikan saintifik , manusia menguasai udara dan boleh terbang lebih baik daripada burung. Dengan demikian, akalnya, dan melalui penggunaan akal rasionalnya untuk menemui undang-undang alam semesta, iaitu sains -- akalnya dan sains -- inilah sumber-susmber kuasanya yang boleh dikatakan tidak terbatas dan yang memberikannya kebebasan. Oleh itu, kebebasan bukanlah statik dan tidak diberi terlebih dulu kepada manusia. Dia hendaklah berjuang untuk mencapai kebebasan setapak demi setapak. Tetapi, dalam ertikata mutlak, manusia itu bebas.

Ini tidak bermakna bahwa tidak ada takdir atau determinisme. Kebebasan dan takdir tidak harus ditanggap sebagai pertentangan. Semua makhluk wujud berpasangan, sepertimana yang diterangkan dalam Quran. (22) Untuk lelaki, kita ada perempuan; untuk jirim, kita ada roh; untuk baik, ada jahat; untuk tinggi, ada rendah; untuk warna putih, ada warna hitam. Undang-undang ini mengena kepada semua benda. Demikian juga untuk kebebasan dan takdir. Tuhan menciptakan dunia mengikut undang-undang; oleh itu, Dia mengetahui segala-galanya, termasuk kejatuhan sehelai daun. (23) Sebaliknya, undang-undang ini meliputi semua perkara, termasuk tindakan bebas seseorang.
Ambil contoh tindakan seseorang pada hari besok. Kita tidak boleh tahu persisnya apa yang akan kita lakukan besok, walau bagaimana telitipun kita rancang, kerana kita mungkin membuat keputusan sambil kita hendak tidur, atau pun pagi-pagi sambil kita bangun, ataupun malah membatalkan atau mengubahsuai sesetengah daripadanya pada awal hari, mengikut keadaan. Tetapi Tuhan mengetahui persis apa yang akan kita buat. Oleh itu, melihat dari sudut pandangan Tuhan, semuanya sudah ditetapkan (keputusan-Nya termasuk membenarkan kita membuat perkara-perkara tertentu yang kita hendak buat dan tidak membenarkan kita membuat perkara-perkara tertentu yang lain, semuanya mengikut kebijaksanaan-Nya yang tidak terbatas); tetapi, melihat dari sudut pandangan kita, sesetengah tindakan harian kita bebas sepenuhnya.

Pengertian seperti itu tentang masalah ini akan mengecuali dan menolak faham takdir yang kaku, suatu sumpahan, biarlah kita katakan, di kalangan orang Islam setelah kekalahan falsafah rasionalis kaum Mu’tazzilah dan munculnya doktrin kompromi bebas-tak-bebas kaum Asya`ariyah dalam abad ketiga Islam (24). Sekali lagi, kebebasan ini tidak harus ditanggap sebagai kacau-bilau. Ia kebebasan yang berundang-undang, atau kebebasan di dalam kerangka undang-undang keadilan, kebenaran dan kerahiman Ilahi. (25)

Bahawa kejahatan, dengan huruf kecil, itu wujud memang nyata. Tetapi untuk percaya kepada Kejahatan (dengan huruf besar), sebagai suatu kuasa menyaingi kuasa Tuhan, sepertimana yang dipercayai oleh kaum Mani * -- itu suatu kesesatan. Tuhan menerangkan kepada kita dalam Quran bahawa Dia tidak menciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyembah-Nya. (26) Oleh yang demikian, syaitan, yang mewakili kejahatan dalam dunia, berperanan untuk melaksanakan tujuan-tujuan Tuhan, meskipun hal ini nampak bercanggah. Harus diingat pada peringkat awal kita telah menyatakan bahawa tujuan Tuhan menciptakan seluruh alam semesta ialah untuk mendedahkan kepalsuan dan menegakkan kebenaran. Bagaimanakah manusia boleh mengetahui kebenaran jika tiada kepalsuan dan kejahatan untuk menentang kebenaran dan kebaikan? Demikianlah kejahatan dan kepalsuan didedah dan dikalahkan.

Pada permulaannya, seluruh alam semesta tunduk kepada Tuhan, Pencipta dan Raja-Nya, tetapi di kalangan makhluk-makhluk Tuhan, daripada kebebasan moral yang diberi kepada manusia, suatu prinsip pemberontakan timbul. Pemberontakan terhadap Tuhan bermakna kejahatan, dilambangkan oleh watak pemberontak atau syaitan. Inilah punca kejahatan. Melalui contoh jahat, syaitan, dengana kerana penentangannya terhadap insan yang bermoral, mendedahkan insan yang tidak bermoral dan dengan demikian membuat insan yang tidak bermoral itu lemah. Inilah makna kenyataan Quran bahawa para jin juga berkhidmat kepada Tuhan.

Oleh yang demikian, Tuhan tidak boleh disalahkan kerana kewujudan kejahatan, yang kadangkala meluas, di dunia. Manusialah yang salah. Di satu pihak, manusia mahukan kebebasan bertindak, tetapi, di pihak lain, dia tidak menggunakan kebebasan itu untuk melawan kejahatan, walaupun dia mengadu bila kejahatan menimpanya! Kejahatan yang berleluasa yang terlalu nyata kita lihat dalam dunia pasca Perang Dingin (pencerobohan pakatan pimpinan Inggeris-Amerika yang dahsyat terhadap Iraq dan sekatan P.B.B. yang berterusan terhadap negara itu, genosid Serbia anjuran Inggeris terhadap Bosnia, untuk menyebut dua peristiwa saja) berlaku kerana keadaan kebutaan rohaniah dan kekakuan moral manusia kini. Namun demikian, walaupun berhadapan dengan kekejaman-kekejaman yang keterlaluan ini, insan bermoral boleh dikatakan telah berdiri teguh dan mengalahkan musuhnya, kedua-dua di Iraq dan di Bosnia. Ini bukti bagi perlindungan Tuhan yang senantiasa diberi kepada undang-undang moral yang menjadi asas penciptaan-Nya akan alam semesta. (27) Ini memberikan kita harapan untuk melihat ke depan dan bekerja untuk kebaikan manusia pada masa depan. Jika kita ingat betul-betul, kita patut tahu bahawa Tuhan telah memberikan kita pengakuan ini bila Dia menceritakan kepada kita kisah penciptaan. (28)

Walaupun pada mulanya kita mengatakan bahawa buku Izetbegovic itu amat bernas, sesetengah isinya juga menakutkan. Satu daripadanya tentang masalah pesimisme moden. Pengarangnya, walapun seorang Muslim yang berpendirian kukuh, nampaknya seorang pesimis yang teruk ( hal ini, walau bagaimanapun, tidak terbayang dalam perjuangannya yang berani dan gigih untuk Bosnia). Pada akhir bukunya, kita menemui pernyataan-pernyataan yang menakjubkan:

Dengan demikian, untuk mengerti kedudukan kita yang sebenar di dunia bermakna tunduk kepada Tuhan, mencari kedamaian, bukan bermula melakukan suatu usaha yang lebih positif untuk meliputi dan mengatasi segala-galanya, tetapi sebaliknya usaha negatif untuk menerima tempat dan masa kelahiran kita, tempat dan masa yang menjadi nasib kita dan kehendak Tuhan. Tunduk kepada Tuhan itulah satu-satunya jalan keluar manusia secara terhormat daripada rahsia tidak bermaknanya kehidupan, jalan keluar tanpa pemberontakan, kecewa, putus asa dan bunuh diri. Bukan perasaan kewiraan seorang wira, tetapi seorang insan biasa yang telah menjalankan tanggungjawabnya dan telah menerima nasibnya.

Islam tidak memperoleh namanya dari undang-undang, perintah, atau larangannya, tidak juga dari usaha-usaha jasad dan roh yang menjadi miliknya, tetapi dari sesuatu yang meliputi dan mengatasi semua itu: dari suatu titik pengetahuan, dari kekuatan roh untuk menghadapi zaman, dari kesanggupan untuk menanggung segala yang ditawarkan oleh kehidupan, dari kebenaran berserah kepada Tuhan.(29)

Anehnya, pengarang nampaknya menyamakan tamadun dengan bertambahnya perasaan kekecewaan di kalangan manusia. Beliau menyatakan:
Keselesaan itu ciri luaran dan ketiadaan makna ciri dalaman -- itulah citra kehidupan dalam tamadun. Dalam bahasa dialektik: lebih banyak keselesaan dan kemewahan, lebih banyak perasaan kekosongan dan kehampaan. Sebaliknya, masyarakat-masyarakat primitif mungkin miskin dan terjejas dengan perbezaan-perbezaan sosial yang ketara, tetapi segala yang kita tahu tentang mereka menunjukkan suatu kehidupan yang diwarnai oleh rasa perpaduan dan kerjasama . Sastera rakyat -- "sastera masyarakat primitif" -- boleh menunjukkan dalam cara yang jelas akan kesegaran tenaga hidup manusia primitif. Perasaan permusuhan dan putus asa asing bagi masyarakat miskin itu.(30)
Tentunya ini suatu pengertian yang silap tentang tamadun. Kajian-kajian agung tentang masyarakat dan tamadun manusia oleh Ibn Khaldun dan A.J. Toynbee dan lain-lain yang mengikur jejak-langkah mereka merujuk kepada kitaran sejarah: kelahiran, perkembangan dan kemerosotan. Kelahiran dan perkembangan itu disebabkan oleh letusan kekreatifan dalam masyarakat atau tamadun itu, dan kemerosotan disebabkan oleh matinya kekreatifan itu. Adakah kesinambungan dan perkembangan? Kajian-kajian yang terbaru, khasnya oleh ahli falsafah sejarah Amerika, Sorokin, menunjuk kepada apa yang beliau sebutkan perkembangan aneka garis, bukan tunggal garis. (31) Ini bermakna masyarakat dan tamadun manusia berkembang, tetapi tidak mengikut garis yang lurus; ia berkembang mengikut suatu garis bulatan yang berulang-ulang. Sejarah berulang, tetapi dengan perbezaan bahawa gerakan itu meningkat naik.

Inilah cara yang betul untuk melihat masyarakat dan tamadun. Semua masyarakat dan tamadun mengandungi kedua-dua idea dan amalan yang baik dan buruk. Apabila yang baik mengatasi yang buruk, masyarakat dan tamdun itu berkembang. Sebaik saja yang buruk menguasai dan tiada tindakan yang diambil oleh anggota-anggotanya untuk membendung dan mengalih aliran itu, masyarakat dan tamadun itu akan binasa, dan masyarakat-masyarakat dan tamadun-tamadun yang baru lahir untuk mengambil-alih dari yang lama. Demikianlah kita melihat tamadun-tamadun tua Mesopotamia dan Mesir melahirkan tamadun Yunani, kemudian Romawi; kemudian bangsa Arab di bawah ilham agama Islam mengambil-alih, mewarisi dari semua tamadun pada masa itu, termasuk dari Parsi, India dan China. Kemudian Eropah moden menggantikan bangsa Arab di sekitar abad kelima belas dan mengibarkan panji-panji tamadun ke seluruh dunia melalui perdagangan dan penjajahan. Dalam abad kedua puluh tamadun itu menghadapi keruntuhan sekali lagi kerana telah mundur dari segi moral dan rohaniah, dengan dua peperangan dunia yang telah berlaku dan suatu lagi peperangan dunia menjelang.

Adakah dunia akan dibinasakan, bersama-sama dengan apa yang kita panggil tamadun moden, seperti yang diramalkan oleh Bertrand Russell? (33) Dalam keadaan pesimisme dan putus asa yang meluas sekarang, mudah bagi kita untuk bersetuju dengan Russell. Alija Izetbegovic yang budiman itu telah terpukau dengan pesimisme pasca perang yang telah kita sebutkan itu sebelum beliau berjihad akan jihad yang besar untuk Bosnia-Herzergovina dan, biarlan kita nyatakan, untuk kemanusiaan, sepertimana rakyat Iraq dan lain-lain yang gagah berani telah bangun melawan kekuatan teknologi Jalut ** moden. Tidak! Moraliti dan akal rasional tidak boleh bersetuju dengan ramalan kekecewaan ini. Sejarah itulah bukti kita. Jika nasib manusia tiada lain kecuali untuk dimusnahkan, maka dia sepatutnya telah dimusnahkan lama dulu. (34) Sudah berapa kali dalam sejarah nasib manusia terumbang-ambing antara kesinambungan dan kehancuran total? Kenyataan bahawa manusia telah berjaya mengatasi bakal-bakal kehancuran yang datang dari kejadian-kejadian banjir, gempa bumi, ribut taufan dan api yang besar-besar dan wabak-wabak penyakit yang berleluasa dalam zaman-zaman purba dan pertengahan, apabila sains dan teknologi moden belum lagi berada di tangannya merupakan bukti yang cukup akan wujudnya suatu Rancangan Agung ilahiah untuk manusia. Sekarang ini apabila manusia mempunyai pengertian yang lebih kukuh daripada dulu terhadap undang-undang alam dan sejarah, kecillah lagi kemungkinan bahawa ia menjadi sasaran untuk kemusnahan total.

Dalam hal ini, kehidupan di dunia itu sendiri suatu keajaiban atau mukjizat, seperti yang ditunjukkan oleh sains. Kemungkinan ia berlaku begitu kecil hingga lebih mudah untuk sains menghuraikan ketidakwujudannya daripada kewujudannya. (35) Oleh yang demikian, tidak dapat tidak kita mesti membuat kesimpulan bahawa manusia mempunyai masa depan yang melampaui dan lebih besar daripada apa yang boleh diketahui oleh mana-mana insan atau generasi manusia. Dengan itu, amatlah penting manusia memahami perkara ini dan menyediakan dirinya untuk bekerja bagi masa depan ini; dengan perkataan lain, untuk berkhidmat kepada Tuhan. (36)

Sebenarnya, kita mesti tahu bahawa wujud dua rancangan untuk dunia: Rancangan Agung Tuhan dan rancangan jahat syaitan. Rancangan Tuhan ialah untuk meletakkan manusia di dalam Syurga-Nya, manakala rancangan syaitan untuk menghumbankannya ke dalam Neraka. Kedua-dua rancangan ini menjalin dan melilit struktur sejarah kehidupan manusia di dunia. Sejauh mana dia meletakkan dirinya dalam perkhidmatan Tuhan serta melaksanakan rancangan-Nya, dia berjaya; sejauh mana dia gagal dan meletakkan dirinya dalam perkhidmatan syaitan, dia menderita. Kejayaan-kejayaan manusia semakin bertambah; kesengsaraan-kesengsaraannya sementara, walaupun kerapkali berulang. Akhirnya, Rancangan Agung Tuhan akan menang, kerana fitrah moral alam semesta dan manusia itulah asas kewujudan, seperti yang telah kita lihat. Peranan manusia, dengan menggunakan kebebasannya, ialah untuk mencapai Rancangan Agung Tuhan dengan penderitaan sesedikit mungkin dan dalam masa sesingkat mungkin. Dalam sebuah alam semesta yang terikat dengan moral, Tuhan memberikan manusia kebebasan dan membiarkan dia menentukan nasibnya.

Kebenaran asasi ini digambarkan dengan jelasnya dalam cerita Yusuf dan abang-abangnya, tatkala abang-abangnya merancangkan kejahatan untuknya manakalah Tuhan merancangkan kebaikan untuknya. Bahagian pertama cerita itu mendapati Yusuf ditimpa kemalangan demi kemalangan, memuncak dengan dia dituduh hendak mencemari kehormatan isteri gavenor Mesir yang cantik di dalam rumah tempat dia menjadi pembantu rumah yang dipercayai, dan dipenjarakan kerana fitnah itu! Bahagian akhir cerita mendapati Yusuf dibebaskan dari penjara, diberikan kedudukan yang mulia dalam kerajaan Mesir dan disatukan dengan bapanya Ya`akob yang sudah tua dan dengan abang-abangnya yang dulunya cemburu tetapi sekarang sudah bertaubat. (37)

Di sini kita bersua dengan soal kejadian mukjizat dan wahyu Tuhan. Bagaimana kita menghuraikan mukjizat secara saintifik, sedangkan mukjizat bermakna kejadian-kejadian `di luar undang-undang sains’ ? Bagaiamana kita menghuraikan Quran dan kitab-kitab suci lain? Adakah Quran karangan Muhammad, sepertimana kata sesetengah orientalis Barat? Jika bukan, adakah Muhammad semata-mata penerima pasif perutusan itu? Tuhan masuk campurkah dalam proses-proses alamiah? Jika Dia berbuat demikian, tidakkah ini menempelakkan undang-undang-Nya Sendiri? Apakah undang-undang? Dan, akhirnya, apakah Tuhan?

Semua soalan di atas tidak syak lagi berkaitan. Kita tidak boleh menjawab sesetengah dan meninggalkan sesetengah yang nampak sukar bagi kita. Tetapi kita tidak boleh menegakkan prinsip-prinsip taakulan dan sains kecuali kita cuba menjawabnya. Kita mesti cuba menjawabnya seboleh-bolehnya. Mari kita ambil soalan-soalan mukjizat dan wahyu ilahiah dulu.

Apa yang kita panggil `alamiah’ berlawanan dengan `lampau alamiah’ ialah semata-mata apa yang penglihatan kita (melalui pancaindera dan taakulan) nyatakan kepada kita akan keadaan yang wujud, atau apa yang kita panggil tata alamiah. Tetapi tata alamiah kita tergolong ke dalam suatu ketagori makhluk yang khusus, iaitu dunia material dengan dimensi ruang-masanya. Masa dan ruang wujud bagi kita, tetapi tiada wujud bagi Tuhan. Bagi kitapun, semasa tidur atau tidak sedar, kita tidak sedar akan masa dan ruang. Masa dan ruang, dengan itu, bukanlah hakikat-hakita yang mutlak. Mereka hanya wujud dalam keadaan-keadaan tertentu, tetapi tidak wujud dalam keadaan-keadaan tertentu lain. Sebaik saja kita memahami kebenaran ini, kita menghapuskan pemisahan yang ketat antara dua ketagori `alamiah’ dan `lampau alamaiah’. Dengan demikian, apabila tongkat Musa bertukar menjadi ular, itu terjadi kerana masa telah dipendekkan: jirim tongkat (melambangkan dunia tumbuhan-tumbuhan), bertukar menjadi jirim ular (melambangkan dunia haiwan yang datang selangkah selepas itu), tanpa melalui masa perantaraannya.

Sekarang, jika tongkat boleh bertukar menjadi ular, apakah yang akan menghalang apa saja daripada berlaku? Bolehkah musuh kita merosakkan kita hanya dengan bernazar? Bolehkah kita mendapat sesuatu kebaikan hanya dengan bernazar? Dengan kata-kata lain, adakah dunia bertindak sewenang-wenang atau mengikut undang-undang? Ini soalan pokok. Manusia terpaksa menjawab soalan ini dari awal lagi. Kerana untuk hidup dan terus hidup, insan-insan pertama, seperti semua insan, harus percaya bahawa hidup ini bermanfaat. Kepercayaan ini, dari satu segi, tidak berasakan taakulan. Dasarnya perasaan naluri manusia bahawa dunia ini baik, dan di sebalik dunia baik ada seorang Pencipta yang baik dan penyayang. Perasaan asas ini semula jadi pada manusia. (38) Inilah asas agama yang benar bagi manusia, seperti yang dinyatakan dalam ayat suci berikut:

Oleh itu, hendaklah kamu hadapkan wajahmu sepenuhnya kepada agama yang benar. Inilah fitrah yang Tuhan letakkan dalam diri manusia. Penciptaan Tuhan tidak berubah. Inilah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui. (39)

Dengan itu, walaupun tiada tiada pemisahan yang mutlak antara yang alamiah dan yang lampau alamiah, alam semesta tidak bertindak sewenang-wenang, tetapi mengikut undang-undang, dicipta dan ditadbirkan oleh suatu kuasa, Tuhan, yang berpegang kepada undang-undang, yang rasional, baik dan penyayang. Oleh itu, kewujudan kejahatan di dunia sekaligus tidak bebas dan tidak kekal. Ia tidak bebas kerana ia bergantung kepada pemberontakan manusia terhadap Tuhan, dan tidak kekal kerana ia akan hapus apabila kebanyakan manusia bangun berjuanag melawan kejahatan. Apabila manusia berhenti memberontak terhadap Tuhan serta melawan kejahatan, kemenangan manusia mengatasi kejahatan menjadi pasti dan lengkap. Apabila keadaan ini tercapai, Akhirat akan muncul dengan Syurganya (Kerajaan Tuhan) dan Nerakanya (pembuangan dari Kerajaan Tuhan).

Fenomenon wahyu tidak boleh dihuraikan kecuali dalam konteks sebuah alam semesta yang rasional dan bermoral. Tidak juga boleh ditanggap bahawa nabi-rasul, di antaranya yang agung antara mereka -- Ibrahim, Musa, Isa dan Muhamamad (sejahtera kepada mereka semua) -- bahawa mereka ini penerima-penerima wahyu yang pasif. Oleh kerana Tuhan Maha Penyayang, Dia senantiasa menghantar perutusan kepada masyarakat-masyarakat manusia dari zaman-zaman awal untuk membimbing mereka. (40) Tentulah Dia mesti pilih pembawa-pembawa perutusan-Nya dari kalangan individu-individu yang kuat moralnya dalam sesuatu masyarakat. Muhammad, yang riwayat hidupnya kita tahu, suatu contoh baik bagi seorang individu yang kuat iltizam moralnya untuk dipilih bagi membawa perutusan-Nya yang akhir. Dengan demikian, sifat-sifat moral dan intelektual Muhammad melayakkan dirinya menerima perutusan agung itu.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa, dengan Muhammad, Tuhan berhenti berhubung dengan manusia. Kepercayaan yang demikian membataskan sifat kerahiman Tuhan yang mengatasi segala. (41) Quran memberitahu kepada kita dengan tegas bahawa Muhammad itu

nabi yang akhir. (42) Ini hanya bermakna bahawa zaman nubuah, yang bermula dengan Adam, mewakili masyarakat-masyarakat manusia yang terawal, berakhir dengan Muhammad, tatkala manusia memasuki peringkat masyarakat antarabangsa dan Zaman Sains yang sebenar, ketika para nabi tidak lagi diperlukan. (44) Kita diberitahu bahawa Tuhan senantiasa aktif dan senantiasa campur tangan dalam urusan dunia. (45) Cuma sekarang, apabila manusia mencapai tahap kedewasaan rohaniah, dia mestilah lebih banyak bergantung kepada akal rasionalnya dan sains untuk meneruskan perjalanannya. Meskipun begitu, dia memiliki kitab suci Tuhan yang akhir, Quran Besar, untuk membimbingnya maju dalam perjalanannya. (46)

Ada suatu pendapat bahawa manusia, dengan menggunakan akalnya semata-mata, boleh mencapai pengertian yang betul tentang undang-undang alam semesta dan, dengan demikian, bererti bimbingan Tuhan tidak perlu. (47) Walau bagaimanapun, kenyataan tidak membuktikan hal ini. Sekarang ini umum telah sepakat bahawa apa yang disebut Zaman Taakulan abad kelapan belas itu suatu kegagalan. Ia tidak mencapai harapan-harapan tinggi yang telah dijanjikannya. Sebaliknya, ia membawa kepada kolonialisme, peperangan-peperangan kolonialisme dan memuncak dalam abad kedua puluh dengan dua peperaangan imperialisme dunia yang dahsyat. Dekad-dekat penutup abad kedua puluh menyaksikan suatu minat baru dalam agama persis kerana kegagalan-kegagalan spiritual dan moral tamadun moden Barat.

Taakulan sebenarnya gergaji bermata dua. Adakah taakulan akal, atau taakulan jasad? Ahli-ahli falsafah apa yang disebut Zaman Penyerlahan Eropah
(European Enlightenment), khasnya Adam Smith, Thomas Hobbes, John Locke dan Thomas Malthus mengerti dan menganalisis taakulan sebagai taakulan jasad. Yang lain, seperti Descarte, Spinoza, Leibniz, Kant dan Hegel menanggapnya sebagai taakulan akal. Walau bagaimanapun, pentakrifan pertama menang dan mendaratkan Eropah, dan dunia bersamanya, dalam lembah kerja-kerja jahatnya!

Pada titik ini, mungkin kita patut memeriksa fenomenon apa yang dipanggil hukuman Tuhan. Hukuman hendaklah dikawankan kepada anugerah. Yang satu tidak boleh wujud tanpa yang lain. Oleh kerana dunia ini sebagian daripada alam semesta yang rasional, berdasarkan undang-undang dan moral, kita yakin penuh bahawa perbuatan baik akan dibalas sepenuhnya dengan kebaikan dan perbuatan jahat dengan kejahatan dalam kehidupan ini dan di Akhirat (yang berdiri sebagai kehidupan kita akan datang yang tidak terbatas). Kita tahu bahawa undang-undang manusia tidak selalunya adil dan penjenayah tidak selalunya ditangkap dan dihukum dengan secukupnya di dunia. Sebaliknya, di dunia perbuatan baik tidak selalunya atau secukupnya dibalas dengan kebaikan. Oleh yang demikian, wajarlah kita menjangkakan bahawa hukuman yang sepenuhnya akan dilaksanakan di Akhirat. (48)

Setakat ini perkara itu jelas. Tetapi bagaimana dengan apa yang dipanggil
"bencana alam", seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir, kebakaran, wabak penyakit dan penyakit, yang telah menelan korban banyak ribu, malah berjuta-juta, nyawa, termasuk mereka yang tidak berdosa? Bagaiamana dengan peperangan, khasnya dua peperangan dunia? Serentak dengan soalan kita, jawapannya nampaknya mula timbul. Jawapannya: kegagalan manusia bertindak berdasarkan moraliti dan berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan. (49)
Ambil peristiwa Perang Teluk baru-baru ini, dengan akibat-akibatnya yang membawa kepada kelaparan bagi seluruh rakyat Iraq. Adakah Saddam Hussein dan pemerintahan Iraq saja yang harus dipersalah kerana apa yang disebut pencerobohan terhadap Kuwait, apabila kita tahu bahawa peperangan itu boleh dielak sekiranya kaum neoimperialis Inggeris -Amerika dihalang daripada melaksanakan komplot mereka? Mengapakah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyertai dua anggota mereka yang kuat itu? Mengapakah Pertubuhan Negara-Negara Islam gagal memainkan peranannya mencari penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak? Mengapakah Rusia dan China, kedua-duanya anggota dengan kuasa pembatal, tidak menghalang peperangan itu, sedangkan mereka berkuasa berbuat demikian? Mengapakah Arab Saudi membenarkan buminya digunakan untuk melancarkan pencerobohan Inggeris-Amerika terhadap Iraq? Mengapakah Iran, Mesir, Syria dan Turki, empat kuasa rantau yang penting, tidak bergabung untuk menghalang peperangan itu? Soalan-soalan ini mencadangkan jawapannya: kegagalan masyarakat antarabangsa bertindak secara bermoral berdasarkan prinsip.

Demikian juga kita harus memahami apa yang dipanggil bencana alam. Tuhan menceritakan kepada kita dalam Quran cerita-cerita orang-orang kafir zaman dulu, kaum Nuh, kaum Hud, kaum Fi`aun Mesir di antaranya, yang telah dibinasakan melalui
"bencana-bencana alam" ini. Kejadian-kejadian ini tidak kurang atau tida k lebih semula jadi daripada hukuman-hukuman Tuhan kerana pelanggaran-pelanggaran mereka terhadap perintah-perintahNya. Jika tiap-tiap benda yang ada di langit dan di bumi tunduk kepada Tuhan, bertasbih kepada-Nya dan taat kepada perintah-perintah-Nya, seperti yang dinyatakan dalam Quran (50), kita mestilah membuat kesimpulan bahawa tenaga-tenaga alamiah perusak ini memang bertindak persis sepertimana yang dikehendaki oleh Tuhan, apabila mereka berlaku. Pendek kata, mereka itu hukuman dari Tuhan kerana tindak-tanduk kita yang salah untuk membuat kita ingat dan kembali mentaati-Nya. (51)
Soalan yang timbul ialah mengapa mangsa-mangsanya patut termasuk mereka yang tidak berdosa, khasnya kanak-kanak dan orang tua-tua. Untuk menjawab kesulitan ini, kita mesti menimbang beberapa perkara. Pertama, walaupun nyawa seseorang itu diisytiharkan kudus oleh Tuhan, nyawa itu hendaklah diperhamba dan dikorbankan untuk tujuan-tujuan menegakkan kebenaran dan keadilan. Oleh yang demikian, kebenaran dan keadilan itu lebih tinggi daripada nyawa individu supaya prinsip mengorbankan nyawa untuk tujuan-tujuan mulia ini betul dan penting sekali. Sebenarnya, pengorbanan inilah yang akan menjamin kelansungan kehidupan. (52) Inilah yang menyebabkan timbulnya konsep mati syahid. Kedua, kedua-dua baik dan jahat itu alat-alat Tuhan untuk menguji kesetiaan manusia kepada-Nya. Dengan demikian, mereka harus dilihat dalam konteks yang relatif ini dan bukan yang muktamad. Ketiga, manusia itu bukan saja seorang individu; dia juga suatu kolektif. Manakala dia harus memikul beban tanggungjawab perbuatan-perbuatannya, dia juga bertanggunjawab terhadap perbuatan-perbuatan kolektif.

Umpamanya, suatu tata sosioekonomi yang baik akan menguntungkan anak-anak dan keturunannya, sepertimana suatu yang buruk akan merugikan mereka. Dari perspektif ini, beberapa generasi manusia terikat dalam suatu rangkaian tanggungjawab. Apa yang dilakukan atau gagal dilakukan oleh generasi tua, hasilnya akan dipetik oleh generasi muda.
Dilihat dari perspektif ini, keluarga manusia itu satu. Sama ada mereka melakukan kebaikan bersama, atau mereka akan menderita bersama. Tiada individu yang bebas dari kolektif dan tiada individu yang bebas sama sekali dari dosa. Ini akan menghuraikan perlunya pengorbanan yang harus dibuat oleh anggota-anggota keluarga manusia yang relatifnya tidak berdosa untuk dosa-dosa anggota-anggota lain dalam proses mencapai kesejahteraan untuk keluarga manusia itu sendiri. Pengertian ini akan menggalakkan manusia memahami betapa pentingnya kesetiaannya kepada Tuhan dan amalan kehidupan bermoral dan berdasarkan prinsip.

Oleh itu, manusia mestilah, pertamanya, percaya bahawa alam semesta ini bergerak atas landasan undang-undang sebelum akalnya boleh digembelingkan untuk menghuraikan tanggapan ini. Dengan perkataan lain, manusia mestilah beriman kepada Tuhan dulu dan iman ini selaras dengan akal tingginya. Inilah sebabnya agama, sebuah tanggapan lampau rasional, telah wujud dari awal zaman. Ini kerana tiap-tiap masyarakat terdiri dari individu. Kolektif, di satu penghujung, dan individu, di penghujung lain, wujud seiring, tiap-tiap satu bertindak terhadap dan mempengaruhi yang lain.
Untuk menciptakan sebuah masyarakat baik, individu-individu mestilah baik dulu. Oleh kerana Tuhan sumber segala kebaikan, individu mestilah melahirkan di dalam dirinya sifat-sifat kebaikan. Inilah tujuan dan fungsi sebenar ibadah-ibadah agama Islam sembahyang, puasa, zakat dan naik haji ke Mekah: untuk membersihkan diri seseorang dari segala kotoran dan untuk mendekati Tuhan. (53) Oleh kerana individu boleh rosak melalui penghayatan sifat-sifat buruk, demikian juga masyarakat. Oleh itu, masyarakat-masyarakat yang rosak mestilah di perbaiki atau diubah oleh individu-individu yang sudah diperbaiki atau berubah. Inilah kebenaran yang kadang-kadang kita lupa. Kita fikir untuk mengubah masyarakat, kita mesti mengubah sistem. Kita lupa bahawa sistem itu sendiri wujud melalui tindakan-tindakan kreatif kita. (54) Dengan demikian, tindakan kreatif individu yang berdaulat itu amat penting dalam mengubah masyarakat.

Di tengah-tengah kesibukan harian beliau, Nabi Muhammad disuruh memuji Tuhan dan bersembahyang kepada-Nya; dia selanjutnya disuruh melakukan sembahyang sunat tahajjud pada tengah malam. Mengapa? Kerana manusia berkemungkinan dihisap ke dalam urusan-urusan keduniaannya hingga tiada masa baginya untuk berfikir dan bertafakur tentang tujuan-tujuan kehidupan yang lebih besar. Dalam keadaan ini, dia akan lupa kepada Akhirat, yang sebenarnya dunia yang lebih penting baginya.

Sembahyang lima waktu tiap-tiap hari dalam Islam benar-benar merupakan suatu keindahan gabungan bentuk dengan jiwa. Pertama, masa-masanya sangat sesuai, menggabungkan disiplin, kesegaran dan peraturan. Bangun awal dan segar pada waktu subuh, perkara yang pertama kita lakukan ialah salat harian kita yang pertama. Kemudian ke tempat kerja. Kemudian berhenti untuk makan tengah hari, kita melakukan salat kita yang kedua, dan kemudian terus bekerja lagi. Salat ketiga di sebelah petang sebelum kita pergi untuk permainan atau apa-apa senaman lain. Kemudia salat keempat sebelum makan malam. Sebelum kita masuk tidur, kita melakukan salat yang akhir. Masa-masanya menggambarkan disiplin dan peraturan yang sangat cantik. Demikian juga geraknya: setelah beruduk dan berpakaian bersih, kita berdiri dengan khusyuk mengadap Baitullah di Mekah, dan kita rukuk dan sujud kepada semata-mata Dia yang layak dirukuk dan disujud. Sekali lagi, isi kandungan sembahyang itu sendiri
, Al-Fatihah (55) sebuah keindahan. Sembahyang itu perkembalian seseorang individu kepada Tuannya.
Kita boleh bersembahyang seorang diri di rumah, atau anda boleh berjemaah di mesjid yang berdekatan, kecuali sembahyang Jumaat mingguan. Sembahayang ini, yang dilakukan secara berjemaah, dilakukan pada hari Jumaat pada waktu dan menggantikan sembahyang zuhur. Sembahyang ini gabungan antara sembahyang dengan perjumpaan sosial, dengan khutbah memainkan peranan sebagai perbincangan dan perbahasan tentang isu-isu sosial. Dengan demikian, sembahyang dalam Islam bukan saja menyediakan cara bagi rakyat menemui Tuan dan Pencipta mereka, tetapi juga diri mereka sendiri. Dengan demikian, unsur-unsur peribadi dan sosial digabungkan dengan indah.

Seperti dalam sembahyang, demikian juga dalam ibadah-ibadah puasa, zakat dan haji. Tujuannya kedua-dua pembersihan peribadi dan perjumpaan sosial yang perlu untuk memupuk sebuah masyarakat baik. Umpamanya, pada hari ini perhimpunan besar orang-orang Islam yang mengerjakan haji di Baitullah di Mekah, Rumah Tuhan, yang dibina semula oleh Ibrahim dan Ismail, untuk mengingati pengorbanan Ibrahim dan Ismail, menarik kehadiran tahunan sekitar dua juta orang dari seluruh pelusuk dunia. Ia merupakan suatu perjumpaan manusia yang amat besar serta menyediakan suatu peluang keemasan untuk mengembang, menyibar dan mendalamkan semangat internasionalisme, kemanusiaan dan kerjasama antara bangsa-bangsa.

Malangnya, haruslah dicatat secara serius di sini bahawa ajaran-ajaran cantik agama tauhid guru-guru agung agama yang benar -- Musa, Isa dan Muhammad di antaranya -- telah selalunya dipesongkan oleh pengikut-pengikut mereka kemudian. Orang Yahudi menolak kenabian Isa dan Muhammad serta menganggap diri mereka Kaum Pilihan Tuhan dan dengan itu menganut faham rasis. Orang Kristen menolak kenabian Muhammad serta mempertuhankan Isa lalu menganggap diri mereka lebih baik dari bangsa-bangsa lain. Mengikut jejak langkah mereka, orang Islam mendewakan Muhammad, menukar beliau menjadi kekasih Tuhan dan nabi yang terbesar dan meletak beliau di samping Tuhan (54), dan berakhir dengan pandangan hidup eksklusif yang sama. Dengan demikian, ajaran universal tauhid asal yang satu (57) menjadi tiga, tiap-tiap satu mendakwa memiliki kebenaran sementara yang lain tidak, dan semua bermusuhan antara satu sama lain.

Selama lebih empat puluh tahun dunia menyaksikan sebuah masyarakat Kristen yang menyeleweng menyengutukan dirinya dengan sebuah masyarakat Yahudi yang menyeleweng dalam sebuah negara kolonial Israel, yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk menekan sebuah masyarakat Arab Islam yang menyeleweng! Suatu segitiga kekusutan yang hebat! Semuanya berasal dari ajaran tauhid yang satu! Tentunya, kacau-bilau seperti ini tidak boleh menjadi titik penghujung bagi sejarah, seperti yang dikehendaki kita percaya oleh ahli ideologi liberalisme kapitalis, Francis Fukuyama.
Esei kita yang membuat andaian tentang bermaknanya kehidupan tidak boleh ditutup pada titik waktu yang mungkin paling kacau dalam sejarah manusia, zaman pasca Perang Dingin. Sambil manusia meraba-raba mencari cahaya dalam tahun-tahun akhir Abad Kedua Puluh, dia tidak dapat tidak mesti menjangka dia akan dihukum keras kerana sekali lagi pelanggarannya setelah deraan yang teruk dalam dua peperangan dunia. Bolehkah manusia ragu bahawa penyelamatnya ialah Tuhan, Yang Maha Penyayang? Deraan kali ketiga ini pasti akan mengembalikannya kepada Tuhan dan kepada sebuah dunia yang lebih adil dan aman, memandang bahawa dia telah cukup lama bereksperimen dengan pandangan-pandangan hidup materialisme dan esitisme, dan gagal. Jalan terbuka luas sekarang untuk pandangan hidup Islam, bukan Islam ulama, tetapi Islam para nabi (58), yang ajaran-ajarannya dilengkap dan disempurnakan dalam Quran Besar. Tidak syak lagi, tentulah manusia boleh mengelak banyak kesengsaraan dan penderitaan yang lalu bagi dirinya sekiranya dia mendengar seruan Tuhan supaya mengikut Quran lebih awal dalam perjalanannya melalui dunia. Sudah sampailah masanya dia berbuat demikian sekarang untuk menyelamatkan dirinya dari mala petaka yang lebih besar serta membangunkan sebuah tamadun yang lebih gemilang daripada tamadun-tamadun yang lalu.

NOTA
1. Islam Between East and West, American trust Publication, Indianapolis, U.S.A., 1984.
2. Ibid., h. 1.
3. Kemenangan muktamad liberalisme yang diisytiharkan oleh Francis Fukuyama setelah keruntuhan komunisme pada 1989 hanya bayang-bayang. Sistem ini sedang dilanjutkan hayatnya semata-mata melalui riba dan kelesuan moral masyarakat-masyarakat Barat. Lihat bukunya, The End of History and the Last Man , Penguin Books, New York, 1992.
4. The Muqaddimah, 3 jilid., 1958 (terjemahan F. Rosenthal).
5. A Study of History, 10 jilid., 1934, 1939 & 1954. Edisi pendek dibuat oleh D.C. Somervell, 1960.
6. "Bagi tiap-tipa masyarakat ada suatu tempoh. Apabila tempoh mereka tiba, sesaat pun tidak boleh mereka tunda, atau percepat." (Al-A’raf: 34) Tempoh ini merujuk kepada kejatuhannya. Ini berlaku apabila sesuabuh masyarakat, setelah melalui tahap-tahap pertumbuhan dan kemewahan, lupa akan hukum moral dan lupa daratan, seperti kerapkali berlaku.
7. Bertrand Russell, Mysticism and Logic, Allen and Unwin, London, 1910; h. 41.
8. Al-Anbiya: 16-18.
9. "Insan itu sesungguhnya senantiasa dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan berbuat baik, menyuruh satu sama lain kepada kebenaran dan menyuruh satu sama lain kepada ketabahan." (Al`Asr: 2-3)
10. "Dialah Yang menciptakan maut dan hayat untuk menguji siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya." (Quran, Al-Mulk: 2)
11. Manusia berbeza dari semua makhluk lain kerana cetusan roh ilahiah, melambangkan akal kreatif, dalam dirinya. Kerana ini dia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk lain, termasuk malaikat. "Tuanmu berkata kepada para malaikat, `Aku akan menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, seperti lumpur pembuat periuk-belanga. Apabila Aku sempurnakan dia dan meniupkan ke dalamnya dari Roh-Ku, hendaklah kamu sujud kepadanya." (Al-Hijr: 28-29) Daripada semua makhluk, hanya manusia mempunyai cetusan roh ilahiah dalam dirinya. Ini membuat dia jadi khalifah di bumi dan seluruh alam, termasuk malaikat, diperintahkan oleh Tuhan untuk berkhidmat kepadanya.
12. "Hari Kami menggulung langit laksana menggulung kertas tulis. Sebagaimana Kami memulakan penciptaan pertama, Kami akan mengulangnya. Inilah janji Kami. Pasti Kami laksanakan." (Quran, Al-Anbiya: 104)
13. "Kata-Nya, `Di situ kamu hidup, di situ kamu mati dan dari situ kamu akan dikeluarkan.’ " (Quran, Al-A’raf: 25)
14. "Hendaklah kamu berlumba-lumba mendapatkan keampunan daripada Tuanmu dan Surga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang menjalankan tugasnya." (Quran, Ali-Imran: 133)
15. Penglibatan manusia dalam kerja kreatif ilahiah untuk menyempurnakan dunia boleh disimpulkan dari konsep Quran tentang peranan manusia sebagai khalifah di bumi dan juga konsep penundukan tenaga-tenaga universal oleh Ilahi kepada tujuan manusia. (Lihat nota-nota 11 dan 19). Hukuman manusia terhadap dirinya sendiri pada Hari Kiamat dibayangkan dalam ayat-ayat seperti ini: "Kami telah merakamkan nasib setiap insan, digantung pada lehernya. Bacalah rakamanmu! Pada hari ini cukuplah kau sendiri sebagai penghisab terhadap dirimu." (Bani Israil: 13-14)
16. "Hai insan! Kamu sedang mendaki ke arah Tuanmu, dan kamu akan menemui-Nya." (Quran, Al-Insyiqaq: 6) Ayat ini bersama-sama dengan ayat-ayat lain tentang perjalanan kehidupan manusia menunjukkan evolusinya.
17. Prinsip ketidaktentuan nampaknya memperkenalkan suatu keadaan manusia tidak boleh mengukur alam. Hal-hal tidak tentu yang telah kita nyatakan itu boleh jadi kerana kejahilan dan boleh bertukar menjadi ketentuan sekali dengan pertambahan pengetahuan. Berbahaya untuk membangunkan sebuah falsafah kebebasan kehendak atas asas ini. Tetapi ... karya Schrodinger dan Bohr menunjukkan bahwa wujud ketidaktentuan dalam sifat alam. Ketidaktentuan yang bertukar-ganti bahawa, jika kita cuba mengira kedudukan suatu elektron, kecepatannya tidak boleh dikira, dan jika kita hendak menetapkan kecepatannya, kedudukannya menjadi tidak tentu, telah dianggap oleh sesetengah sebagai membuktikan bahawa, dalam perkiraan muktamad, hujah saintifik untuk ketentuan jatuh. Tetapi yang lain menyatakan bahawa ketidaktentuan ini hanya melambangkan ketidaksempurnaan sistem pengiran kita untuk menangani masalah-masalah di luar alam fizik." (W.C. Dampier, A History of Science, Cambridge University Press, Cambridge, 1968; h. 48-81.)
18. Ayat-ayat berikut menunjukkan kerelatifan masa dan ruang. "Mereka mencabarmu mendatang balasan, dan Tuhan tidak pernah mungkir janji. Sehari bagi Tuanmu sama seperti seribu tahun bagi kamu." (Al-Hajj: 47) "Malaikat dan Roh naik kepada-Nya dalam sehari yang sama lamanya dengan lima puluh ribu tahun." (Al-Ma’rij: 4) "Perintah-perintah Kami dilaksanakan dalam sekedip mata." (Al-Rahman: 50)
19. "Tidakkah kamu melihat bahawa Tuhan telah menundukkan untukmu segala yang ada di langit dan di bumi, dan telah melimpahkan kepadamu nikmat-Nya, yang lahir dan tersembunyi?" (Luqman: 20)
20. "Kami telah menetapkan maut bagimu. Tiada yang boleh menghalang Kami daripada mengubah sifat-sifatmu dan menukar kamu menjadi sesuatu yang kamu tidak tahu." (Al-Waqi`ah: 60-61)
21. "Siapakah yang boleh memberi syafaat di depan-Nya, kecuali dengan izin-Nya?" (Al-Baqarah: 255)
22. "Maha Suci Dia Yang menciptakan segala sesuatu berpasang-pasangan dari bumi dan diri mereka sendiri dan benda-benda lain yang tiada mereka ketahui." (Ya Sin: 36)
23. "Pada-Nya terdapat kunci kepada segala rahsia; tiada siapa yang mengetahuinya, kecuali Dia. Dia mengetahui segala yang ada di daratan dan di lautan. Tiada sehali daun jatuh tanpa diketahui-Nya. Tiada juga sebiji bijiran dalam kegelapan bumi, sama ada basah atau kering, yang tidak tercatat dalam sebuah buku yang terang." (Al-An`am: 59) "Tiada suatupun yang ada di langit dan di bumi itu ghaib. Semuanya tercatat dengan terang." (An-Naml: 75) "Tiap suatu yang Kami ciptakan telah diukur dengan persis." (Al-Qamar: 49)
24. Kaum Mu’tazilah, mazhab teologi rasionalis zaman awal Islam, berpegang kepada kebebasan bertindak manusia dan dengan itu kepada tanggungjawabanya, dan menolak faham fatalisme kaum Asya`ariah kemudiasn. Oleh kerana keadaan-keadaan khusus pada masa itu, mereka kalah kepada apa yang dipanggil parti ortodoks kaum Asy`ariah dalam abad-abad keempat dan kelima Islam. Walau bagaimanapun, aliran rasionalis ini berkembang terus melalui ahli falsafah, pemikir dan pembaharu di semua negara Islam, seperti Ibn Khaldun, Syah Waliullah, Muhammad Abduh, Muhammad Iqbal, malek Bennabi, Ali Shari`ati, untuk menyebut beberapa nama saja, hingga ke hari ini. (Lihat Kassim Ahmad, Teori Sosial Moden Islam, Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya, 1984; h. 85-88.)
25. Keadilan, kebenaran dan kerahiman sebagai asas undang-undang Tuhan disebut dalam banyak ayat suci. Di antaranya: "Katakanlah, `Tuanku memerintahkan keadilan dan supaya kamu berdiri mengkhusukkan dirimu di setiap tempat beribadat. Kamu hendaklah menyeru kepada-Nya semata-mata. Sebagaimana Dia menciptakan kamu, demikianlah akhirnya kamu kembali." (Al-A’raf: 29) "Kehendak Tuhanlah untuk menegakkan kebenaran dengan kalimah-Nya dan mencabut orang-orang kafir sampai ke akar-umbinya supaya Ia mensahkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, sekalipun tidak disukai oleh kaum penjenayah. (Al-Anfal: 7-8) "Dia telah memperundang-undangkan kerahiman terhadap Diri-Nya." (Al-An`am: 12)
* Mani, seorang tokoh agama yang mengasaskan gerakan agama dualis yang dikenal dengan nama faham Mani atau Manicianisme di Parsi dalam abad ketiga. Intisari ajaran beliau ialah pertentangan antara roh dan jasad, Baik dan Jahat, Cahaya dan Kegelapan.
26. "Aku tidak menciptakan jin dan insan kecuali untuk menyembah Daku." (Al-Dariyah: 56)
27. "Segala yang ada di langit dan di bumi memohon kepada-Nya. Setiap hari Dia mengawal." (Al-Rahman: 29) "Kerajaan-Nya meliputi langit dan bumi, dan tiada Ia merasa letih mentadbir kedua-duanya." (Al-Baqarah: 255) Jadi, aduan orang pesimis bahawa Tuhan tidak hadir di dunia patutlah dihadapkan kepada manusia yang mengharapkan kebaikan tanpa sanggup bekerja untuk memperolehnya!
28. Dalam Surah Al-Baqarah, ayat-ayat 30-33 memberitahu kepada kita tentang masa depan manusia yang agung yang menanti mereka, walaupun dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada mereka.
29. Izetbegovic, Op.cit.; h. 226.
30. Ibid.; h. 59-60.
31. Istilah-istilah asalnya: multilinear, not unilinear, development. Lihat P.A. Sorokin, Modern Historical and Social Philosophies, h. 291-92.
32. Undang-undang sejarah ini, bahawa idea-idea dan amalan-amalan yang baik diteruskan kepada generasi-generasi baru, dinyatakan dalam Quran demikian: "Dia menurunkan hujan dari langit, menyebabkan lembah-lembah dinaiki air. Arus-arusnya membuat buih mengambang di permukaan. Demikianlah apabila mereka menggunakan api untuk melebur logam untuk membuat perhiasan atau perkakas, buih keluar. Demikianlah Tuhan membuat perumpamaan tentang yang benar dan yang batil. Buih itu akan menghilang sebagai sampah, tetapi apa yang berguna kepada manusia akan menetap di atas bumi. Demiukianlah Tuhan membuat perumpamaan." (Al-Raad: 17)
33. Lihat nota 7.
** Dalam tradisi Yahudi-Kristen, namanya Goliah, seorang gergasi dari kaum Filistin, yang dikalahkan oleh Nabi Daud dalam perlawanan seorang sama seorang dalam abad ke-11 sebelum Masehi. Lihat Quran, Al-Baqarah: 249-51.
34. "Jika Tuhan hendak menghukum manusia kerana kejahatannya, Dia akan menghapuskan tiap-tiap makhluk di bumi. Tetapi Dia menempohkan mereka ke suatu waktu yang ditetapkan. Apabila sampai waktunya, sesaat pun mereka tidak boleh tangguh atau percepatkan." (Al-Nahl: 61)
35. Ramai ahli biologi moden yang telah menumpukan bertahun-tahun kepada kajian tentang fenomina hayat telah membuat kesimpulan bahawa hayat itu suatu mukjizat. Manusia tidak boleh menciptakan hayat. (Lihat A. A. Izetbegovic, Ibid., h. 22-31.) Quran memberitahu kepada kita bahawa hanya Tuhan yang boleh menciptakan hayat lama dulu: "Hai manusia, ini suatu misalan yang harus kamu timbang dengan teliti. Mereka yang kamu seru selain Tuhan tidak boleh menciptakan seekor lalat, walaupun mereka bergabung untuk membuat itu. Selanjutnya, jika lalat itu mencuri sesuatu daripada mereka, mereka tidak boleh mendapatkannya kembali. Lamahlah yang mengejar dan yang dikejar." (Al-Hajj: 73)
36. Bahawa seluruh hidup manusia perlu ditumpukan kepada Tuhan semata-mata dirumuskan dengan padat dalam ayat ini: "Katakanlah, `Sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan mataiku semuanya milik Tuhan, Tuan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya. Inilah yang telah diperintahkan kepada-Ku dan akulah yang mula-mula berserah.’ "(Al-An`am: 162-63)
37. Quran, Yusuf: 4-102.
38. "Ingatlah bahawa Tuanmu memanggil semua keturunan Adam dan membuat mereka bersaksi terhadap diri mereka sendiri: `Bukankah Aku Tuanmu?’ Mereka semua berkata, `Ya, kami bersaksi.’ Dengan demikian, kamu tidak boleh berkata pada Hari Kiamat, `Kami tidak tahu-menahu tentang hal ini. Juga kamu tidak boleh berkata, `Ibu-bapa kami yang dulu yang menyembah berhala, dan kami hanya mengikut jejak-langkah mereka. Apakah Kau hendak membinakan kami kerana dosa-dosa pendusta?’ Demikianlah Kami huraikan wahyu untuk membolehkan mereka kembali." (Al-A’raf: 172-74)
39. Al-Rum: 30.
40. "Bagi tiap-tiap masyarakat ada rasulnya. Setelah rasul mereka datang, mereka akan dihukum dengan adilnya tanpa sedikit pun aniaya." (Yunus: 47)
41. "Kata-Nya, `Balasan-Ku menimpa sesiapa yanag Aku suka, tetapi kerahiman-Ku meliputi segala.’ "
(Al-A’raf: 156)
42. "Muhammad bukanlah bapa kepada mana-mana lelaki di antara kamu. Dia seorang rasul Tuhan dan penutu segala nabi." (Al-Ahzab: 40)
43. "... Nabi Islam nampaknya berdiri di antara dunia lama dan dunia moden. Dari segi sumber wahyunya, dia milik dunia lama; dari segi semangat wahyunya, dia milik dunia moden. Pada beliau kehidupan menemui sumber-sumber pengetahuan yang lain yang sesuai dengan haluan barunya. Kelahiran Islam ... menandakan kelahairan akal induktif. Pada Islam kenabian sampai ke kemuncaknya dan menemui keperluan untuk dihapuskan ...." ( The Reconstruction of Religious Thought in Islam, h. 126)
44. Pengangkat segala darjat, Tuan segala takhta, Dia menghantar inspirasi membawa perintah-perintah-Nya kepada siapa yang Dia suka di antara hamba-hamba-Nya untuk mengingatkan Hari Pertemuan." (Al-Mukmin: 15
45. Lihat nota 27.
46. Untuk memahami Quran, manusia tentu memerlukan bimbingan Tuhan. Walaupun Quran itu sama seperti yang digunakan oleh Muhammad dan para Sahabatnya, pemahamannya dalam konteks moden semestinya berbeza. Inilah yang dimaksudkan sebagai hikmah, atau kebijaksanaan dalam Quran, iaitu suatu pentafsiran perutusan itu secara rasional. Walaupun tafsir klasik telah meletakakan peranan pentafsiran kepada Nabi, ini bukan makna yang tepat bagi nas-nas itu. Suatu pemahaman yang menyeluruh akan merujuk kepada Tuhan sebagai guru Quran yang muktamad. (Lihat Quran, Al-Rahman: 1-2; Al-Mudathir: 19 dan Al-Ra`ad: 2). Dibaca dengan ayat-ayat lain yang berkenaan, ayat-ayat ini bermakna Tuhan akan menghuraikan makna perutusan-Nya melalui orang-orang yang Dia pilih dari tiap-tiap generasi.
47. Kita merujuk kepada sebuah hikayat falsafah yang ditulis oleh ahli falsafah Islam, Ibn Tufail (1109-1185). Watak utamaanya, Hayy ibn Yaqzan, terdampar di sebuah pulau yang tiada penduduk, telah menemui Tuhan semata-mata melalui taakulannya. (Lihat The Journey of the Soul: The Story of Hai bin Yaqzan (terj. Riad Kocache), The Octagon Press, London, 1982.
48. "Inilah hari mereka akan didedahkan sepenuhnya; tiada seorang pun boleh menyembunyikan apa-apa daripada Tuhan. Kepada siapakah terletak kerajaan pada hari itu? Kepada Tuhan, Yang Esa, Yang Agung. Pada hari itu, setiap orang akan dibalas mengikut usahanya. Tiada kezaliman pada hari itu. Tuhan sunggah cepat membuat perhitungan." (Al-Mukmin: 16-17)
49. "Apa-apa kebaikan yang berlaku kepadamu itu daripada Tuhan, dan apa-apa keburukan yang menimpamu itu akibat perbuatanmu sendiri. (Quran, Al-Nisa’: 79) Ayat ini tidak harus diertikan bahawa ada benda-benda yang wujud di luar ciptaan Tuhan. Kejahatan itu akibat daripada perbuatan manusia menderhaka kepada Tuhan, mengikut undang-undang-Nya. Ayat ini saja banyak menerangkan tentang kejadian apa yang dikatakan bencana alam. Selanjutnya, perhatikan ayat-ayat ini: "Katakanlah, `Siapakah yang menyelamatkan kamu dari mala petaka di darat dan di laut?’ Kamu menyeru-Nya dengan kuat dan dengan perlahan: `Sekiranya Dia selamatkan kami kali ini, kami tentu akan bersyukur.’ Katakanlah, `Tuhan menyelamatkan kamu kali ini dan pada waktu-waktu lain juga, kemudian kamu terus mempersekutukannya.’ Katakanlah, `Dia berkuasa mengirim kesiksaan kepadamu, dari atasmu atau dari bawah tapak kakimu, atau memmecahmu kepada beberapa puak dan mebuat kamu merasai keganasan satu sama lain.’ Lihatlah bagaimana Kami menjelaskan wahyu supaya mereka mengerti." (Al-An`am: 63-65)
50. "Bertasbih memuji-Nya tujuh petala langit dan bumi dan segala sesuatu yang ada di dalamnya. Tiada suatu pun yang tidak bertasbih memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti pujian mereka. Dia Lembut, Pengampun. (Bani Israil: 44) "Singahsana-Nya meliputi langit dan bumi, dan mentadbirnya bukanlah berat bagi-Nya. Dia Maha Tinggi, Maha Besar." (Al-Baqarah: 255) Tiap-tiap satu di langit dan di bumi bertasbih kepada Tuhan termasuklah bagian-bagian badan manusia yang, nasib baik, tidak dikuasainya, seperti perjalanan anggota-anggota badan, khasnya otak, hati, paru-paru dan anggota-anggota lain yang penting.
51. "Kami menguji mereka dengan kemewahan dan kesusahan supaya mereka kembali." (Al-A’raf: 168)
52. Quran kerapkali menyatakan hal ini. Perhatikan ini: "Hai kamu yang beriman, hendaklah kamu sambut seruan Tuhan dan rasul apabila dia memanggil kamu kepada yang menghidupkan kamu." (Al-Anfal: 24) Surah ini berhubung dengan Perang Badr, peperangan yang pertama Muhammad dan kumpulan pengikut-pengikutnya yang kecil terpaksa lakukan. Tetapi, dari segi misi Muhammad, ini pertempuran yang amat penting dan menentukan, apabila sebuah pasukan kecil seramai 313 orang yang tidak terlatih dan yang kekurangan kelengkapan mengalahkan suatu pasukan 1,000 asykar yang lebih besar dan lebih kuat dari segi ketenteraan. Peperangan itu membuktikan kelebihan kekuatan moral daripada kekuatan material. Oleh yang demikian, peperangan ini juga disebut dalam Quran sebagai Hari Pembezaan (Ayat 41). Dengan itu, ayat yang telah kita petik di atas bermakna berperang dan mati di jalan Tuhan, iaitu di jalan keadilan dan kebenaran itu samalah seperti berperang untuk menyelamatkan nyawa manusia. Penyataan prinsip ini yang paling jelas diberikan dalam ayat ini: "Tuhan telah membeli daripada para mukmin jiwa dan harta mereka dengan Syurga. Dengan demikian, mereka berjuang di jalan Tuhan, sanggup membunuh dan dibunuh. Demikianlah janji-Nya yang benar dalam Tauarat, Injil dan Quran, dan siapakah yang lebih setia pada janjinya melainkan Tuhan? Bergembiralah dengan pertukaran yang telah kamu buat dengan-Nya. Inilah kemenangan yang terbesar." (Al-Taubah: 111)
53. "Sesungguhnya, sembahyang mencegah seseorang daripada kerja-kerja jahat dan keji, dan ingatan kepada Tuhan itulah perkara yang terbesar." (Al-`Ankabut: 45)
54. Undang-undang sejarah ini dinyatakan dalam Quran demikian: "Tuhan tidak menukar nikmat yang Dia berikan sesuatu kaum, kecuali mereka sendiri berubah." (Al-Anfal: 53) "Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri berubah." (Al-Ra`ad: 11)
55. Surah pertama, bertajuk Al-Fatihah, diterjemahkan sebagai "Pembuka" atau "Anak Kunci", seluruhnya sebuah doa yang ringkas, padat dan cantik, terdiri dari tujuh ayat dan mengandungi dua bagian: pujian kepada Tuhan dan permohonan untuk pertolonggan, bimbingan dan nikmat-Nya.
56. Kebanyakan orang Islam akan menafikan bahawa mereka telah mendewakan Nabi Muhammad, kerana mereka telah melakukan itu tanpa sedar. Bukan saja apa yang dikatakan hadis memuji dan memuja beliau sebagai kekasih Tuhan dan nabi yang terbesar, bertentang dengan perintah Tuhan supaya jangan membeza-bezakan antara rasul-rasul-Nya, tetapi beberapa ayat Quran telah disalahguna dan disalahtafsirkan untuk mencapai tujuan ini. Ayat 56 Surah 33, yang menyeru orang Islam menyokong dan merestui Nabi (perkataan Arab salla yang biasanya diterjemahkan sebagai `merahmati’) ialah kaedah yang utama untuk pendewaan ini. Diambil dalam konteksnya yang wajar, ayat ini hanya bermakna seoran g pemimpin yang berjuang di jalan Tuhan mendapat restu dan sokongan Tuhan dan para malaikat-Nya dan menjadi tanggungjawab pengikut-pengikutnya menyokong dan menghormati beliau. Untuk mendapat pengertian ini, kita patut membaca ayat ini bersama-sama dengan ayat 43 surah yang sama (di sini Tuhan dan para malaikat-Nya merestui dan menyokong orang-orang Islam) dan ayat 103 Surah 9 ( di sini Nabi disuruh sokong dan restui pengikut-pengikutnya).
57. Kebanyakan orang Islam silap anggap bahawa Muhammadlah nabi Islam. Sebenarnya, semua nabi, dari Adam, melalui Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa, berakhir dengan Muhammad, mengajar agama Islam (yang ajaran pokoknya ialah: `Tiada tuhan melainkan Allah; sembahlah Allah saja.’) Undang-undang dan ibadah berbeza, mengikut masa dan tempat, tetapi ajaran pokoknya sama: "Kami tidak mengirim rasul sebelummu, kecuali dengan inspirasi kepadanya bahawa tiada tuhan selain Aku dan sembahlah Aku." (Al-Anbia: 25) Berhubung dengan adanya kepelbagaian dalam undang-undang dan ibadah: "Bagi setiap kamu Kami tetapkan undang-undang dan kaedah masing-masing. Jika Tuhan kehendaki, Dia boleh menjadikan kamu suatu jemaah, tetapi Dia menguji kamu melalui wahyu-wahyu-Nya kepada kamu. Oleh itu, hendaklah kamu berlumba-lumba kepada kebaikan." (Al-Maidah: 48)
58. Kebanyakan orang Islam, kira-kira tiga ratus tahun selepas kewafatan Nabi Muhamamad, menyelweng daripada ajaran Quran untuk mengikut ajaran-ajaran para sarjana agama mereka, persis seperti orang-orang Yahudi dan Kristen dulu. Inilah sebab utama kejatuhan mereka. Sekarang mereka mestilah kembali kepada Quran untuk mengikuti agama Islam para nabi, jika sekiranya mereka ingin merebut kembali kehormatan dan tempat mereka yang wajar di dunia.

(TAMAT)

28 comments:

Juang said...

Salam,

Katakan kita memiliki sebuah ruang yang dilengkapi bermacam-macam peralatan yang canggih untuk memudahkan kehidupan. Tetapi jika bilik itu tidak dilengkapi dengan bekalan tenaga elektrik dan tidak disinari cahaya lampu, apa yang kita nampak hanyalah kekosongan (kegelapan). Peralatan itu semua tidak memberi apa-apa makna.

Begitulah perumpamaan dalam kehidupan kita. Biarpun Allah sediakan manusia ilmu-ilmu sains yang terselindung di sebalik alam yang kita lihat ini, tetapi jika manusia tiada tenaga untuk mengkajinya dan tidak disuluh cahaya kebenaran, pastilah hidup ini terasa kekosongan dan tidak ada makna.

Diturunkan Al Quran itu sebagai petunjuk dan cahaya.

Al Mahadaya said...

Al Quran memperkatakan ttg agama nabi Ibrahim yg dianuti oleh semua nabi2 dan para rasul. Menurut al quran, manusia hendaklah beriman kpd nabi2 dan kitab2nya. Ini bermakna utk memahami agama tuhan perlu membaca dan memahami firman2 yg dibawa nabi2 dan para rasul. Kitab yg di turunkan kpd nabi Musa berupa hukum2 yg perlu dipatuhi. Jadi, di dlm al quran kita mengandungi hukum2 agama yg lengkap kerana kita perlu mempercayai kitab Musa yg menyatakan hukum2. Jadi, al quran dibawa nabi yg menganut agama nabi Ibrahim dan bukan agama baru iaitu Islam. Inilah penipuan musuh2 tuhan sejak dahulu bagi menghilangkan kehebatan agama tuhan supaya mereka dpt menguasai dunia dgn hukum2 ciptaan mereka sendiri.

zulia said...

Oleh kerana manusia akan kembali kepada Allah dan bukan nya tinggal di angkasa lepas, maka bertaubat dan kembalilah kepada Islam.

Nirnama said...

Salam,
JIKA manusia dicipta untuk menyembah Tuhan, kenapa ramai orang derhaka kepadaNya? Jawabnya, kerana kewujudan manusia tidak mempunyai tujuan khusus, di mana setiap orang mencipta tujuan hidupnya sendiri; orang menyembah atau menderhakai Tuhan berdasarkan pilihan mereka sendiri. Tindakan mereka tanggungjawab mereka.

Kalau manusia wujud untuk menyembah Tuhan, nescaya seluruh umat manusia menyembah Tuhan. Mereka terlepas daripada sebarang tanggungjawab, kerana telah diprogram terlebih dahulu sebelum lahir ke dunia ini.

Oleh yang demikian, kehidupan tidak berMakna, atau lebih tepat lagi, kehidupan memiliki banyak makna. Makna-makna itu tidak mendahului kewujudan manusia, sebaliknya manusialah yang menentukannya sendiri.

Nyatalah, setiap orang terbiar bersendirian, tidak boleh berbuat apa-apa kecuali bertindak atas pilihan sendiri, sebagai khalifah.

Barangkali ibadat yang dimaksudkan dalam Al-Dzariyat: 56 itu act with authenticity.
Wassalam.

"... Apabila Aku sempurnakan dia dan meniupkan ke dalamnya dari Roh-Ku, hendaklah kamu sujud kepadanya." (Al-Hijr: 29)

zulia said...

Yang mencipta manusia ialah Tuhan , manusia tidak boleh mencipta manusia. Hakikat ini telah menjelaskan makna kehidupan itu sendiri. Kehidupan bukan didunia sahaja kerana ramai yang beranggapan begitu.

Pemuda said...

Manusia bukan seperti robot! Maka ia tidak diprogram sebelum lahir ke dunia ini. Jika manusia seperti robot, dia tidak perlu tahu bahawa dia dicipta untuk menyembah Tuhan. Ini kerana, dia tetap menyembah Tuhan - samada disuruh atau tidak - selaras dengan program itu.

Oleh yang demikian, bila Tuhan berfirman dalam Ad-Dzariyat 57, ini bermakna kebebasan manusia diiktiraf. Terpulang kepada manusia untuk sembah atau sembah derhaka kepada Tuhan. Dia tidak dapat lari daripada tanggungjawab, kerana membuat pilihan sendiri.

Buntinglazer said...

(1) Tuhan mencipta manusia supaya mereka menyembahNya, dan mengiktiraf kebebasan manusia.
(2) Ada sekumpulan manusia, dengan kebebasan yang mereka miliki, memilih tujuan hidup mereka untuk menyembah Tuhan.
(3) Ini bermakna, mereka hidup dengan cara yang selaras dengan kehendak Tuhan.
(4) Mereka juga bertanggungjawab di atas pilihan ini.
(5) Kerana tanggungjawablah, maka seseorang itu layak menerima ganjaran, bahagia atau celaka.

Kassim Ahmad said...

Sdr/Sdr Lia,

Mengapa Sdr/Sdri minta saya bertaubat? Apa kesalahan saya? Hidup di angkasa lepas akan datang itu disebut dalam Quran. Perkembangan sains dan teknologi sekarang pu sudah menunjuk ke arah itu.

Juang said...

Salam,

Mari kita renungkan, bagaimana matahari boleh begitu tekun untuk berfungsi sebagai sumber cahaya kepada cakrawala? Bagaimana bumi begitu tekun mengelilingi matahari dan berputar pada paksinya? Kenapa bulan tidak jemu-jemu mengelilingi bumi? Apakah mereka semua itu robot? Bukankah ketekunan mereka itu tanda mereka bersujud kepada Allah yang menetapkan mereka agar berfungsi sedemikian rupa? Agar sistem semesta ini stabil menurut KehendakNya mencipta segala sesuatu?

Makhluk-makhluk itu boleh engkar jika mereka mahu, tetapi sebab mereka mempunyai rasa takut kepada Allah yang amat sangat menyebabkan mereka hidup menurut fitrah kejadian mereka yang telah Allah tetapkan.

Tetapi ramai manusia lalai daripada fitrah mereka sebagai manusia yang dilantik sebagai khalifah. Bila Tuhan kurniakan mereka akal, ramai di antara mereka lebih suka menurut membuta-tuli daripada menyelidik dan mengkaji sendiri. Setelah kita nampak keengkaran manusia untuk berfungsi menurut kejadian mereka, fahamlah kita kenapa manusia itulah yang ramai disumbat ke Jahannam berbanding matahari, bulan, planet-planet dan makhluk-makhluk Allah yang lain.

Kalau kita cipta kalkulator untuk mengira semudah 1+1=2 dan kalkulator itu tidak mahu menurut fitrah kejadiannya, pasti kita pun humban kalkulator tu ke tong sampah.

Pemuda said...

Salam,
Matahari, bulan, dan segala cakrawala itu diprogram agar berfungsi, bertasbih, dan tekun sedemikian rupa. Ini pogram Tuhan. Maka objek-objek ini tidak akan diadili kelak, kerana mereka tidak bebas seperti insan.

Insan tidak diprogram, dia bahkan bebas, maka Tuhan akan menjatuhkan keputusan ke atas mereka suatu hari nanti.

Kalau mesin kira-kira tak pandai mengira, itu salah orang yang memprogramkannya. Dia yang patut masuk tong sampah dulu. Maha suci Tuhan daripada segala kekurangan.
Wassalam.

Nirnama said...

Saudara Pemuda(2:18 AM),
BUKANKAH nanti konsep kebebasan yang saudara maksudkan itu menelurkan konflik di antara Tuhan dan manusia? Di suatu pihak, Tuhan perintahkan manusia supaya menyembahNya. Di pihak yang lain pula, manusia berkuasa untuk membelakangi perintah itu.

Juang said...

Salam,

Jika konsep "kebebasan" yang Pemuda maksudkan direnung dengan mendalam, kita akan nampak nanti orang yang masuk Jahanam boleh mempersalahkan Tuhan kononnya mereka masuk neraka sebab Tuhan tidak programkan mereka seperti mana makhluk-makhluk lain diprogramkan? Maha Suci Tuhan daripada bertindak tidak adil.

Hakikatnya, kalau matahari tidak mahu pancarkan cahayanya sepanjang masa, boleh sahaja dia buat begitu. Tetapi kerana matahari bersujud kepada Tuhan, maka dia tidak sanggup mengkhianati amanah yang dipikulnya, iaitu sebagai pemancar cahaya itu. Begitu juga dengan makhluk-makhluk lain. Semuanya komited untuk memikul tanggungjawab mengikut spesifikasi kejadian masing-masing.

Sebaliknya ramai manusia lalai atau lupa dengan amanah yang mereka sendiri sanggup memikulnya. Mereka lalai memikirkan apa yang Tuhan mahu bila mencipta mereka sebagai manusia. Mereka buat hukum-hakam sendiri menurut persangkaan atau kepercayaan nenek moyang mereka. Itu yang melayakkan mereka dihumban ke Jahanam tanpa mereka boleh mempersoalkan balasan Tuhan di akhirat kelak. Sendiri buat sendiri tanggung.

Juang said...

Salam,

Kenapa kalkulator memberi jawapan 1+1=2 (berpegang teguh pada kebenaran)? Sebab mereka tunduk kepada perintah Tuhan untuk berfungsi mengikut spesifikasi mereka diciptakan sebagai alat mengira.

Tetapi kenapa ramai manusia gagal untuk berpegang pada tali kebenaran? Sebab mereka tidak tunduk kepada Tuhan untuk berfungsi mengikut spesifikasi mereka diciptakan sebagai manusia. Ramai yang perasan diri mereka setara dengan Tuhan untuk mengada-adakan hukum yang Tuhan tak pernah tetapkan. Jadi tidak hairanlah kenapa manusia yang disumbat ke neraka, bukannya kalkulator.

Pemuda said...

Salam,
Kerana kebebasanlah, maka ahli neraka tidak dapat mempersalahkan Tuhan di hari akhirat nanti. Dia menderhaka di dunia ini atas pilihan sendiri. Jika manusia diprogram seperti matahari, bulan, dan segala cakrawala, maka mereka tidak akan diadili kelak, syurga atau neraka bukan untuk mereka, dan barangkali, mereka akan mempersoalkan Tuhan kerana tidak masuk syurga.

Matahari diprogram sebagai objek yang bersinar-sinar. Isu pemberontakan matahari terhadap Tuhan tidak relevan, kerana ia tidak diprogram untuk memberontak.

Jikalau manusia diprogram seperti matahari, bulan, dan segala cakrawala, maka tidak timbul soal syurga dan neraka, apatah lagi perdebatan manusia dengan Tuhan gara-gara masuk neraka.

Mesin kira-kira pandai mengira kerana tunduk pada pemrogramnya, iaitu manusia yang memiliki akal kreatif.
Wassalam.

Pemuda said...

Saudara Nirnama(4:13 PM),
Sejak zaman ibubapa kita(Adam dan Hawa) lagi, konflik Tuhan-manusia tidak pernah lekang dalam liku-liku sejarah yang panjang, hingga ke hari ini. Cuba saudara ingat betul-betul, apa yang telah dilakukan oleh ibubapa kita di dalam syurga suatu ketika dulu. Mujurlah Tuhan itu Maha Pengampun dan Penyayang.

Nirnama said...

ADA orang berasa gundah-gulana dek kehidupan syurga di angkasa lepas setelah manusia dihidupkan semula suatu hari nanti. Walhal ini terkandung dalam Quran. Kenapa takut dan kecoh sangat ni?

Manusia akan dihidupkan semula dan dibangkitkan di bumi. Setelah penghitungan, ahli-ahli syurga akan dipindahkan ke segenap ceruk alam jagat. Sekutah buana ini tidak dicipta dengan sia-sia, bahkan semua ini ditundukkan untuk manusia.

Unknown said...

Testing.. 1.. 2.. 3..

"Maka berilah khabar kegembiraan buat hamba-hambaKu. Iaitu mereka yang mendengarkan pendapat, lalu dituruti mana yang terlebih baiknya. Itulah mereka yang dikurniai hidayah oleh Allah, dan itulah orang-orang yang berfikiran dalam." - 39:17-18

Juang said...

Salam,

Mari kita renung ayat ini;

22:18. Tidakkah kamu melihat bagaimana kepada Allah sujud segala yang di langit, dan segala yang di bumi, dan matahari, dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-gunung, dan pokok-pokok, dan haiwan-haiwan, dan ramai daripada manusia? Dan ramai, wajarlah azab ke atas mereka; dan sesiapa yang Allah menghinakan, maka tiadalah yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah buat apa sahaja yang Dia mengkehendaki.

Seperti mana manusia, makhluk-makhluk lain pun bersujud kepada Allah. Bila makhluk-makhluk lain pun dikatakan bersujud kepada Allah, itu menunjukkan mereka pun ada kemungkinan untuk tidak mahu bersujud kepada Allah (seperti manusia juga). Jadi itu menunjukkan mereka bukannya seperti robot, tetapi mereka seperti manusia juga yang ada pilihan. Bezanya mereka takut dan tekun pegang apa yang diamanahkan kepada mereka sedangkan ramai manusia yang khianat dan melampaui batas.

Manusia juga akan pandai mengira bila tunduk kepada Penciptanya Yang Bijaksana. Tetapi mengapa ada manusia yang punyai otak yang sihat, tetapi tidak tahu mengira? Itulah yang menunjukkan kenapa manusia layak dihumban ke neraka, iaitu kerana mereka sudah diciptakan berspesifikasi mampu melakukan sesuatu perkara yang bermanfaats, tetapi mereka sendiri tidak mahu tunduk kepada Pencipta mereka untuk tunduk kepada unsur-unsur negatif dalam diri mereka sendiri.

Pemuda said...

Salam,
Kalau segala cakrawala itu bebas untuk memilih, maka undang-undang alam tidak berguna lagi.

Hanya sebahagian manusia yang memilih untuk menyembah Tuhan sahaja, sujud kepadaNya.

Sungguh mengejutkan dan mendukacitakan, sebahagian manusia sanggup menyamakan dirinya dengan cakrawala. Walhal sekalian malaikat diperintahkan untuk sujud kepada bapa kita Adam, bukan cakrawala. Apa pun, ini adalah pilihan mereka sendiri.

Renungkanlah seluruh ayat suci al-Quran. Salah satu daripada prinsip penafsiran saintifik ialah; "Ayat-ayat Quran yang saling menjelaskan."
Wassalam.

Al Mahadaya said...

Dunia diciptakan dlm 6 hari dan 1 hari bersamaan 1,000 tahun. Dari Adam ke banjir besar jaraknya 1,656 tahun. Dari nuh ke hijrah Musa kira-kira 900 tahun. Dari Musa ke Raja Iskandar kira-kira 2,000 tahun. Dari Raja Iskandar ke masa kini kira-kira 2310 tahun. Sebenarnya kita kini berada di tahun 5,998 sejak Adam. Kebanyakan manusia melalaikan perjumpaan ini. Biarkan mereka bersenang2 dan kelak kami akan mengazab mereka dgn azab yg pedih.

Unknown said...

Salam,
Melihat kehangatan perdebatan yang sihat antara Juang dengan Pemuda, yang saya kira sudah selesai, suka saya menyalin semula nota kaki dalam tulisan Pak Kassim ini, sebagai renungan untuk para pembaca yang budiman;

Kaum Mu’tazilah, mazhab teologi rasionalis zaman awal Islam, berpegang kepada kebebasan bertindak manusia dan dengan itu kepada tanggungjawabanya, dan menolak faham fatalisme kaum Asya`ariah kemudian. Oleh kerana keadaan-keadaan khusus pada masa itu, mereka kalah kepada apa yang dipanggil parti ortodoks kaum Asy`ariah dalam abad-abad keempat dan kelima Islam. Walau bagaimanapun, aliran rasionalis ini berkembang terus melalui ahli falsafah, pemikir dan pembaharu di semua negara Islam, seperti Ibn Khaldun, Syah Waliullah, Muhammad Abduh, Muhammad Iqbal, Malek Bennabi, Ali Shari`ati, untuk menyebut beberapa nama saja, hingga ke hari ini. (Lihat Kassim Ahmad, Teori Sosial Moden Islam, Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya, 1984; h. 85-88.)

Wassalam.
"Manusia bukan seperti robot!"

con skaltsas said...

boleh tuan terangkan kenapa arab islam di palestin dikatakan menyeleweng? mereka selalu dipaparkan oleh media sbg golongan tertindas.

Juang said...

Salam

"Pemuda: Kalau segala cakrawala itu bebas untuk memilih, maka undang-undang alam tidak berguna lagi."

Mari kita fikirkan, jika dikatakan undang-undang alam tidak berguna lagi hanya kerana cakrawala bebas memilih, kenapa pula undang-undang pada manusia masih berguna walaupun manusia bebas memilih? Umpamanya Allah tetapkan undang-undang kepada manusia agar menggunakan akal untuk memahami sesuatu ilmu. Adakah undang-undang itu tidak berguna lagi semata-mata kerana manusia ada pilihan nak guna akal atau tidak?

Gunakanlah konsep-konsep yang Allah tetapkan di sekitar kita untuk memahami sesuatu perkara. Lihat bagaimana kisah Allah turunkan burung gagak untuk mengajar konsep menyempurnakan mayat seorang anak Adam. Bukannya Allah jadikan manusia itu burung gagak, tetapi konsep yang gagak itu guna boleh terpakai dalam kehidupan manusia.

Begitu cara Allah jadikan kehidupan manusia itu sesuatu yang bermakna, kerana setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita ada makna-makna yang tersembunyi yang boleh difahami jika manusia itu mahu memikirkan.

Nirnama said...

NYATALAH saudara Juang mengiktiraf kebebasan bertindak segala cakrawala. Maka cakrawala-cakrawala ini bertanggungjawab di atas setiap tindakan yang mereka ambil. Oleh itu, jika mereka taat pada Tuhan, mereka layak masuk syurga. Memandangkan mereka semua taat pada Tuhan, maka kesemuanya akan masuk syurga, dan berkongsi kebahagiaan hidup yang abadi dengan orang soleh. Andaikata ada sebuah cakrawala yang engkar, maka ia akan menanggung azab sengsara yang pedih di akhirat kelak, bersama-sama dengan orang kafir.

Nampaknya syurga itu bukan sahaja untuk manusia, tetapi juga untuk dinikmati oleh cakrawala yang beramal soleh. Dan cakrawala juga mempunyai perasaan suka dan duka, kerana jika tidak, maka syurga tidaklah berguna bagi mereka.

Dalam konteks ini, maka manusia dan cakrawala sama saja. Inilah kepercayaan saudara Juang, barangkali.

Juang said...

Salam,

Dalam ayat 24.41, dikatakan semua yang ada di langit dan bumi bertasbih dan tahu solat masing-masing, dan Allah Mengetahui apa yang mereka lakukan.

Jika manusia beramal soleh dibalasi setimpal apa yang mereka kerjakan, takkanlah makhluk-makhluk lain tidak diberi apa-apa balasan di atas ketaatan mereka? Tak logik Allah itu tidak dapat berlaku adil kepada semua makhluk-makhlukNya?

Nirnama said...

MANUSIA yang beramal soleh dikurniakan syurga kerana mereka memilih tujuan hidup mereka untuk menyembah Tuhan.

Bulan, bintang, matahari, dan segala cakrawala tidak akan diberi apa-apa balasan, kerana mereka tidak memiliki kebebasan bertindak, sebaliknya diprogram untuk bertasbih dan bersolat.

Tidak ada sepotong ayat Quran pun yang menjanjikan sebarang balasan, baik atau buruk, kepada objek-objek langit itu. Mereka tidak layak menerima sebarang balasan. Tetapi manusia akan mendapat ganjaran syurga atau neraka, kerana kebebasan bertindak, dan oleh itu, tanggungjawab yang mereka miliki. Demikianlah keadilan Tuhan, kalau mahu bicara soal keadilan.

Keyakinan tegar saudara Juang terhadap kebebasan bertindak segala cakrawala menelurkan kesimpulan bahawa, mereka juga layak mendapat ganjaran baik di atas ketaatan mereka, sebagaimana manusia yang beramal soleh mendapat balasan baik suatu hari nanti, kononnya atas nama 'keadilan' Tuhan! Dalam konteks ini, sekali lagi, cakrawala dan manusia sama saja. Tidak begitu?...

Unknown said...

Salam,
Isu kebebasan bertindak manusia dan 'kekakuan' makhluk-makhluk lain itu bukan isu baru, tetapi telah disentuh hampir sealaf setengah yang lalu, jika mahu jadikan Quran sebagai titik rujukan.

Rahsia kebebasan ini tersingkap bilamana Tuhan sendiri mengakui bahawa Dia telah menitipkan roh ketuhanan/ilahiah ke dalam diri manusia - titipan yang mengangkat darjat manusia ke tingkatan khalifah di sekutah buana yang satu ini, titipan yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhluk selain daripada manusia.

Maka manusia beraksi di pentas kehidupan sebebas-bebasnya, kecuali mereka yang pengecut, yang menolak bahkan berselindung di sebalik kebebasan kurniaan Tuhan yang Maha Bebas itu. Oleh kerana cetusan roh ketuhanan/ilahiah atau akal kreatif itu hanya diberikan kepada manusia, dan tidak kepada makhluk-makhluk yang lain, maka manusia berbeza dengan makhluk lain yang tidak mempunyai kebebasan bertindak sama sekali.

Izinkan saya memaparkan semula seperenggan daripada nota kaki dalam tulisan Pak Kassim ini (sesetengah tempat dihitamkan sebagai penekanan);

Manusia berbeza dari semua makhluk lain kerana cetusan roh ilahiah, melambangkan akal kreatif, dalam dirinya. Kerana ini dia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk lain, termasuk malaikat. "Tuanmu berkata kepada para malaikat, `Aku akan menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, seperti lumpur pembuat periuk-belanga. Apabila Aku sempurnakan dia dan meniupkan ke dalamnya dari Roh-Ku, hendaklah kamu sujud kepadanya." (Al-Hijr: 28-29) Daripada semua makhluk, hanya manusia mempunyai cetusan roh ilahiah dalam dirinya. Ini membuat dia jadi khalifah di bumi dan seluruh alam, termasuk malaikat, diperintahkan oleh Tuhan untuk berkhidmat kepadanya.

Wassalam.
Manusia bukan seperti robot,
dan hanya manusia memiliki kebebasan bertindak!...

Ismail M Latiff said...

Salam Pak Kassim dan orang lain:

1. Tuhan dan agama itu adalah ciptaan nafsu ammarah [manusia].
2. Allah itu bukan tuhan, tetapi Zat yang hidup lalu dia berbuat kerana yang hidup itu berkehendak malah berkuasa utk melaksana.
3. Allah itu kaya, maka dia tak perlu disembah-sembah. Kalimah ibadah bukan bermaksud sembah.
4. Segala kejadian adalah perbuatan zat yang hidup dan tiada satu pun yang salah. Salah itu hanyalah pada tanggapan nafsu ammarah.
5. Minda ammarah tidak mengenal zat yang hidup lalu dia menyembah berhala yang diciptanya sendiri, lalu dipanggilnya Allah.
6. Zat yang hidup itu ahad [wholesome], maka ia tidak boleh dipisah atau dibahagikan [cannot be separated, chopped up nor divided]. Setiap zarah bersambung antara satu dengan yang lain sehingga sampai kepada alam ghaib. Quantum physics telah menemukan hakikat ini. Kerna itu Zat yang hidup itu mengkhabarkan bahawasanya Dia dekat.
7. Segala sesuatu itu Allah yang buat. Innallaha 'ala kulli syai'in qodir.
8. AlQuran/AlHaq itu perlu dibenarkan atau disahkan melalui kehidupan peribadi. Ia tidak boleh diikuti secara melulu [taqlid].
9. Dalam menempuh kebenaran, akal insan harus fana dan diganti dengan hati nurani. Inilah hakikat ibadah.
10. Ahlul kitab merujuk kepada golongan manusia yang menafsir secara literal [akal]. Hari ini makruh, esok boleh jadi haram ...sedangkan kebenaran itu tetap, tiada berubah.
11. Untuk menjamah AlHaq, harus kembali kepada fitrah diri kerana yang lainnya adalah superficial. Yang fitrah itu sudah sempurna. Tidak perlu ditokok atau dikurangi.
12. Firman Allah: Jika kau bersyukur kepada KU, maka sesungguhnya kau bersyukur kpd dirimu sendiri.
13. Islam itu bukan ugama, tetapi keadaan jiwa. Iman itu bukan percaya melulu, tetapi keadaan jiwa. Dan ihsan itu bukan melihat Allah, tetapi evolusi/metamorfosis jiwa yang dikenali sebagai nafsu mutmainnah.
14. Kebenaran tidak akan dapat diugamakan mahupun diinstitusikan atau dijabatankan. Rukun Islam, Iman dan Ihsan berkisar kepada insan [diri individu]. Tiada struktur organisasi didalamnya.
15. Etc.