MENGKAJI DEMOKRASI DENGAN LEBIH MENDALAM
Kassim Ahmad
sidangruh@gmail.com
2 Oktober, 2010-10-02
Keputusan piihanraya umum yang ke-12 menimbulkan harapan bahawa akhirnya Malaysia akan mendapat sebuah sistem demokrasi dwi-parti, seperti di negara-negara Barat, untuk mengganti kerjaan di peringkat pusat. Apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR), khasnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, dalam masa dua tahun kebelakangan ini, telah menimbulkan keraguan terhadap perkembangan ini. Ini menimbulkan keperluan bagi kita untuk mengkaji sistem demokrasi Barat ini dengan lebih kritikal.
Abraham Lincoln menakrifkan demokrasi sebagai “sebuah pemerintahan rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat.” Takrifan ini ringkas, padat dan cantik. Namun demikian, kita harus mengkaji lebih mendalam makna konsep rakyat dalam takrifan ini.
Ada dua konsep rakyat dalam frasa itu. Perkatan ‘rakyat’ yang pertama dan ketiga merujuk kepada semua anggota dalam sesebuah negara-bangsa, sedangkan perkataan ‘rakyat’ yang kedua merujuk kepada sebilangan kecil anggota yang terbaik dalam masyarat itu. Rakyat yang tidak layak (dari segi kebolehan dan dari segi moral) tidak termasuk dalam konsep ini.
Dari segi sejarah, sistem dwi-parti ini timbul dari sejarah Barat, yang berbeza dengan sejarah kita. Britain, Belanda, Perancis, Itali, Portugis dan Sepanyol ialah negara-negara penjajah yang telah menjajah Dunia Ketiga, sementara kita termasuk ke dalam negara-negara yang telah kena di jajah oleh mereka.
Dari segi kewajaran, sistem dwi-parti ini tidak wajar. Ia menggambarkan masyarakat pada peringkat yang paling primitif, dalam frasa ahli falsafah Inggeris Hobbes (m. 1679), “suatu medan perang oleh semua terhadap semua.” Quran merujuk kepada peringkat ini dalam Surah al-Baqarah, ayat 36. Frasa “sebagai musuh satu sama lain” dalam ayat ini merujuk kepada sifat binatang. Kita harus berhijrah dari kejiwaan primitif ini kepada kejiwaan yang lebih tinggi, dari masyarakat sebagai medan berperang kepada masyarakat sebagai medan bekerjasama antara satu sama lain untuk membangunkan peradaban. Quran merujuk kepada kejiwaan ini dalam frasa nafsun lawwamah (Quran: 75:2); jiwa yang boleh bekerjasama untuk kebaikan. “... Hendaklah kamu bekerjasama antara satu sama lain untuk kebaikan ....” (Quran: 5:2)
Sistem dwi atau jamak parti ini juga kerpakali membawa akibat tiada satu parti yang cukup kuat untuk menubuhkan kerajaan yang stabil bagi menjalankan kerja-kerja peradaban yang penting. Jadi, amanah masyarakat dan amanah Tuhan tidak dapat dilaksanakan.
Dari segi kewajaran lagi, sistem dwi-parti tidak wajar. Tuhan memberikan kita dua tangan; mengapakah kita harus gunakan satu saja, apalagi yang satu untuk mematahkan kerja yang lain! Sebagai makhluk yang berakal, kita patut menggunakan kedua-dua belah tangan kita untuk membuat kerja tamadun. Itulah yang wajar. Aneh sekali apabila cerdik-pandai kita yang mengajurkan dwi-sistem ini. Ini menunjukkan kita tidak boleh berfikir sendiri; kita meniru Barat! Sekarang ini, frasa befikir di luar kotak sudah menjadi satu fesyen. Ya, ayuh, marilah kita berfikir di luar kotak dalam hal sistem pemerintahan ini.
Ini tidak bermakna saya menganjurkan sisem kediktatoran sebuah parti. Sama sekali tidak! Islam menganjurkan sistem pemerintahan berdasarkan perundingan, salah satu daripada prinsip yang perlu bagi sesebuah pemerintahan yang baik. Satu prinsip lagi, pemerintahan itu satu amanah, bagi pihak semua rakyat, pendeknya bagi pihak Tuhan. Bukan satu permainan atau satu keseronokan. Prinsip tambahan: pilihlah pemimpin-pemimpin yang layak, yang ada kebolehannya dan akhlak yang tinggi dan bukan playboy, pak lawak, tolol, dan apalagi penjenayah!
Kritikan terhadap pelbagai penyelewengan boleh didatangkan dari dalam, seperti dalam sebuah keluarga. Negara-bangsa itu tidak lain sebuah keluarga yang besar. Masyarakat antarabangsa juga sebuah keluarga yang lagi besar, keluarga sejagat Adam dan Hawa!
Jadi, sistem pemerintahan itu suatu falsafah yang serius. Susunlah satu falsafah politik nasional kita yang boleh menggabungkan semua parti atau jalur politik dan ideologi yang ada dalam masyarakat kita untuk bekerjasama melakukan kerja-kerja tamaddun. Bukan setakat pembangunan ekonomi dan pendidikan, tetapi juga intelek, akhlak, seni, falsafah dan kejiwaan.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com dan http://www.stormloader.com/qsmjam
2 comments:
Asm abang kassim.Sejarah pembangunan politik rakyat masih berevolusi dn dalam keadaan asas politik pelbagai kaum, pemikir2 politik kena cari jalan cadangkan cara terbaik membangunkan kesedaran politik rakyat yang mementingkan kebajikan dn kemajuan rakyat pelbagai kaum.
Salam. For a long time I had thought that Jebat rather than Tuah was the hero and only now discover that you had formulated this idea way back in the the 50s. Nice!Hope to have time to read your blog posts. Best regard. Kedah rules! Yay!
Post a Comment