Saturday, October 02, 2010

MENGHAPUSKAN “ISLAMOPHOBIA” DI BARAT

Kassim Ahmad
29 September, 2010


Sejak akhir-akhir ini, khasnya selepas peristiwa serangan berani mati terhadap Amerika Syarikat pada 11 September, 2001 (dikenali sebagai 9/11), kebencian dan kemarahan di negara-negara Barat terhadap Islam meningkat. Kartun-kartun menghina Nabi Muhammad dan perbuatan-perbuatan lain seperti itu kerap berlaku. Bekas presiden A.S. George W. Bush menggunakan istilah ‘Perang sabil’ apabila melancarkan apa yang dipanggil ‘Perang Anti-Keganasan’ selepas 9/11. Gejala ini dipanggil Islamophobia, yang baru-baru ini minta dihapuskan oleh Perdana Menteri kita sewaktu berucap di New York.
Dalam artikel ini saya akan coba mengkaji punca penyakit Islamophobia ini dan bagaimana ia boleh diatasi.
Di satu pihak, ia muncul dari sikap prasangka tradisional Barat Judeo-Kristian terhadap Islam. Sikap ini telah dicatat dalam Quran dalam Surah Al-Baqarah, ayat 120, yang berbunyi: “Orang-orang Yahudi dan Kristian tidak akan suka kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka ....” Kita tahu orang-orang Ahlul-Kitab ini cemburu kerana bangsa lain (Arab) telah menerima wahyu daripada Tuhan. Lalu mereka membuat propaganda memperlekeh Nabi Muhammad dan kitab suci yang dibawanya. Lalu mereka melancarkan Perang Sabil selama dua abad terhadap Islam dari 1095 hingga 1291, yang terdiri dari lapan kempen yang besar.
Sikap prasangka ini reda sedikit selepas Reformasi Agama di Europa dalam Abad ke-16, khasnya selepas Kebangkitan Eropah dalam abad-abad ke-17 hingga ke-18. Namun demikian, sikap prasangkan ini tetap terus berleluasa sehingga empat lima dekad yang lalu apabila muncul penulis-penulis Orientalis yang lebih saksama, seperti W.M. Watt, A. J. Arberry, Annemarie Shimmel, Maxime Rodinson, dan lain-lain.
Kemaraan semula Islamophobia di Barat ialah kerana serangan-serangan berani mati golongan ekstremis Islam yang dinyalakan oleh kezaliman Barat mendukung rejim Zionist Israel, kezaliman Barat menyerang dan menawan Iraq, dan juga pembolotan terus-menerus senjata nuklier oleh kuasa-kuasa Barat yang menguasai Majlis Keselamatn P.B.B.
Bagaimanakah kita boleh mengatasi penyakit Islamophobia yang boleh mengancam keselamatan dunia ini? Perdana Menteri kita mensaran kepada P.B.B. supaya diwujudkan satu gerakan kesederhanaan global.
Tidak syak lagi, Islam menganjurkan cara hidup yang pertengahan. Frasa ummatan wasatan (Quran, 2: 143) bermakna‘umat pertengahan’, adil, tidak melampau, dan tidak berat sebelah. Jika semua bangsa bersifat dan bertindak demikian, pasti dunia akan aman. Masalah-masalah dunia, seperti konflik-konflik di Palestin, Iraq, Afghanistan, Semenajung Korea, dan Kashmir, termasuk masalah-masalah kebuluran dan kemiskinan, akan dapat diselesaikan dengan mudah.
Bolehlah kuasa-kuasa besar, seperti Amerika, Britain, Rusia dan lain-lain melepaskan secara sukarela sikap hegemoni mereka? Sikap ini berpunca dari nasionalisme yang melampau (cauvinisme: ‘bangsaku lebih baik daripada bangsamu’). Mereka tidak sanggup berlaku adil terhadap bangsa-bangsa lain.
Satu gerakan global untuk sebuah dunia yang lebih adil – inilah jawapannya. Gerakan seperti ini memang telah pun wujud. Gerakan inilah yang telah menyebabkan kelahiran negara-negara merdeka dari kolonialisme dalam abad ke-20. Gerakan ini juga yang telah menyebabkan kejatuhan kominisme. Sekarang kita sedang melihat kejatuhan sistem kapitalis pasaran bebas.
Gerakan sejagat rakyat yang sedar untuk membangunkan sebuah dunia baru yang adil – inilah yang akan mengahapuskan segala jenis ketidak-adilan dalam dunia sekarang, termasuk gejala Islamophobia.
Sepatutnya umat Islam sendiri patut mengepalai gerakan global ini, kerana inilah perintah Tuhan kepada kita. Persis inilah yang telah dilakukan oleh umat Islam awal, di bawah pimpinan Nabi Muhammad dan empat khalifah al-rasyidun. Malangnya, pada hari ini umat Islam sudah berpecah kepada pelbagai puak dan ideologi. Kehilangan Islam dari pentas dunia menyebabkan Kacau-Bilau Agung (istilah Mao Zedong) di dunia.
Dunia kacau-bilau agung ini termasuklah amukan umat Islam terhadap kezaliman Barat, yang telah saya sebutkan. Ternyatalah amukan tidak boleh menyelesaikan masalah umat Islam.
Ini dari satu segi. Dari segi lain, kerana kacau-bilau agung ini, sudah lahir satu kebangkitan baru dalam dunia, yang meliputi semua bangsa dan semua agama. Dalam kebangkitan besar ini, suara rakyat Malaysia (yang disuarakan oleh Perdana Menteri kita di P.B.B. sekarang) merupakan satu sumbangan yang tidak kecil. Rakyat kita boleh berbangga.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malayisa. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com dan http://www.stormloader.com.qsmjam

1 comment:

Juang said...

Salam,

Semoga suara kecil PM itu didengari dan dipertimbangan oleh masyarakat dunia demi kepentingan sejagat.

Konsep umat pertengahan itu boleh diterjemahkan dengan kedua-dua tamadun Barat dan Timur saling membenarkan mana yang benar yang datang daripada kedua-dua belah pihak (kerana semua itu datangnya daripada Allah juga).

Selagi orang-orang Barat merasakan apa yang ada pada mereka sahaja yang bagus dan benar, dan yang datang daripada Timur semuanya salah (begitu juga pihak sebaliknya), maka manusia akan terus dikuasai perasaan "ekstrim" yang diapi-apikan oleh syaitan.

Kita tidak boleh bersikap berat sebelah hanya mempertahankan apa yang diwarisi turun-temurun tanpa terbuka menerima nilai-nilai baik yang wujud di serata dunia. Kalau kita taksub dengan kepercayaan tradisi kita membuta-tuli, bangsa-bangsa lain pun boleh memiliki perasaan yang sama. Tetapi kalau kita mulakan dahulu untuk terbuka menerima segala nilai baik di serata dunia, maka orang lain pun boleh melakukan perkara yang sama.

Jadi setiap manusia di serata dunia harus mencari titik tengah tersebut jika mahu mencorakkan hidup yang lebih baik, sejahtera dan harmoni.