Wednesday, October 13, 2010

BUANG PENGARUH NAHU ARAB DAN INGGERIS:
KEMBALI KEPADA WATAK BAHASA MELAYU YANG ASLI

Oleh: Kassim Ahmad
sidangruh@gmail.com
13 Oktober, 2010

Saya bukan seorang ahli bahasa, seperti Dr. Asmah Hj. Omar atau Dr. Awang Sariyan. Tetapi mengambil sempena Bulan Bahasa Kebangsaan sekarang, saya ada beberapa perkara untuk diketengahkan. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkannya oleh semua.
Bahasa Melayu memang satu bahasa yang cantik, dengan ayat-ayatnya yang ringkas dan padat dengan bunga-bunga dan simpulan bahasanya yang indah-indah pula. Ini dapat kita lihat daripada karya-karya pengarangnya yang agung, seperti Keris Mas, Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Ahmad, A. Samad Ismail, A. Samad Said dan ramai lagi. Jangan lupa pengarang agung Indonesia saperti Pramudia Ananta Tur. Membaca karya-karya mereka akan menyingkap keindahan bahasa Melayu.
Ini tidak bermakna saya mendewa-dewakan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris juga begitu. Saya fikir bahasa-bahasa lain juga begitu – satu daripada tanda kekayaan Ilahi!
Boleh jadi Dr. Asmah, Dr. Awang Sariyan atau mana-mana pakar bahasa Melayu yang lain telah menulis apa yang akan saya katakan ini di mana-mana terlepas dari pandanagn saya. Namun demikian, tidak mengapa, kerana perkara-perkara ini lambat-bangat perlu dinyatakan.
Pertama, saya hendak menyebut tentang kesilapan-kesilapan yang kerap dibuat. Bahasa Melayu tidak mempunya kopula, ‘ialah’, ‘adalah’ atau ‘merupakan’. Umpamanya, kita kata “Ibrahim seorang guru”, tidak “Ibrahin ialah/adalah/merupakan seorang guru” Dalam bahasa Inggeris, kita kata “Ibrahim is a teacher.” Perkataan ‘is’ di sini satu kopula. Jadi, penggunaan kopula ini pengaruh nahu Inggeris. Sangat janggal dan tidak elok bunyinya. Kesalahan ini banyak sekali dilakukan.
Kedua, kesalahan kerana pengaruh nahu Arab. Perhatikan ayat ini: “Mereka itu adalah di atas petunjuk Tuhan mereka.” Ada dua kesalahan di sini: penggunaan kopula ‘adalah’, dan penggunaan kata depan ‘di atas’. Kata depan ‘di atas’ yang tidak perlu di sini menunjukkan pengarauh nahu Arab. Sepatutnya ayat ini ditulis: “Mereka mendapat petunjuk Tuhan mereka.”
Kerapkali juga kita dengar frasa ‘kunjungan hormat ke atas Yang Dipertuan Agung”, nyata terjemahan harfiah frasa Inggeris, “to pay a visit on”. Mengapa tidak kata “mengadap “ atau “mengunjungi” saja?
Ketiga, salah-guna perkataan jamak ‘mereka’. Kerap sekalai kita dengar perkataan “mereka-meraka”. Sungguh dahsyat bunyinya! Perkataan ‘mereka’ itu jamak; tidak perlu dijamakkan lagi! Berhungan dengan kesalahan ini, kita juga tidak harus kata “ramai orang-orang perempuan datang melihat temasya itu.” Perkataan ‘ramai’ sudah bersifat jamak. Demikian dengan semua perkataan jamak, seperi ‘banyak’, ‘kebanyakan’, ‘semua’, ‘sesetengah’, dan sebagainya.
Keempat, salah-guna kata depan ‘dari’ dan ‘daripada’, ‘ke’ dan ‘kepada’. Tidak perlulah saya huraikan kesalahan ini
Kelima, perhatikan ayat, “Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka ...” Kesalahan ini tidak begitu ketara; walaupun bagaimana pun, kesalahan juga. Ada dua kesalahan di sini. Ayat ini sepatutnya ditulis, “Iaitu jalan orang yang telah Engkau kurniakan nikmat.” Kesalahan pertama: “Engkau telah kurniakan.” Yang betulnya: “telah Engkau kurniakan,” atau “jalan orang yang Engkau telah mengurniakan nikmat.” Kesalahan kedua: frasa ‘kepada mereka’ tidak perlu, kerana kertakerja ‘kurniakan’ sudah mengambil katanama ‘orang’ sebelum ini sebagai objeknya.
Sehubung dengan ini juga, lihat ayat: “Jalan orang-orang yang Engkau merahmati, bukan orang-orang yang ke atas mereka dimurkai ...” Ini terjemahan harfiah dari bahasa Arab. Bahasa Melayu menulis: “Jalan orang yang Engkau rahmati, bukan orang yang ditimpa kemurkaan-Mu.”
Inilah lima jenis kesalahan yang kerap dibuat oleh penulis-penulis bahasa Melayu. Kesalahan-kesalahan ini harus diperbetulkan segera. Bahasa Melayu jadi tidak idiomatik dan hodoh kerana kesalahan-kesalahan ini.
Memang semua bahasa berkembang. Perkataan seperti ‘ketidak-samaan’, ‘keterbukaan’ dan beratus-ratus lagi perkataan baru seperti itu menunjukkan perkembangan bahasa kita. Namun demikian, bahasa Melayu harus berkembang mengikut idiomnya, tidak boleh bersalahan dengan idiomnya.
Bahasa kebangasaan itu penting dalam pembangunan peradaban kita. Kita tidak boleh membangunkan peradaban kecuali dalam bahasa kita sendiri. Bila saya berkata demikian, maksud saya bukan untuk memperkecilkan nilai bahasa Inggeris. Rakyat kita perlu mengetahui bahasa Inggeris, kerana ia lingua franca dunia. Tetapi bahasa Inggeris tidak boleh menggantikan bahasa kebagsaan kita untuk membangunkan peradaban kita. Rakyat kita perlu juga mempelajari bahasa-bahasa lain (umpamanya, Arab, Perancis, Belanda, Jerman, Rusia dan lain-lain) mengikut keperluan kerjaya mereka.
Sebagai sebuah masyarakat nasional yang bersifat majmuk, rakyat kita juga perlu belajar bahasa-bahaya yang terdapat dalam negara kita, seperti Mandarin dan Tami, untuk mempermudah dan membaiki hubungan antara kaum.
Saya tidak harus lupa untuk menyatakan bahawa dalam pemakaian bahasa kebagsaan yang elok, pemimpin-peminpin kita harus menunjukkan contoh yang baik. Bila mereka bercakap dalam bahasa Melayu, hendaklah merekamenggunakan bahasa Melayu yang baik, sepertimana mereka juga harus bercakapa Inggeris yang baik, bila berucap dalam bahasa Inggeris.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliauwww.kassimahmad.blogspot.com

3 comments:

Unknown said...

Terima kasih atas perkongsian ilmu daripada tuan.

Saya amat menyetujui bahawa kita sebagai rakyat Malaysia perlu mempelajari bahasa lain seperti mandarin dan Tamil.

Jika mereka mampu memahami bahasa kita, ia satu kelebihan kerana mereka juga dapat manfaat dari segi ilmu...sedangkan orang kita rugi kerana tidak mahir berbahasa mereka dan kurang arif mengenai ilmu yang disampaikan dalam bahasa ibunda mereka.

Sekali lagi terima kasih atas perkongsian maklumat tuan itu.

Anonymous said...

setuju dengan tulisan tuan...

kita harus membangun peradaban sendiri dengan bahasa ibunda. kesilapan remeh harus diperbetul untuk memberi penjelasan yang tepat akan sesuatu isi (pengertian).

membetulkan yang biasa, membiasakan yang betul.. inilah yang septutnya.

Anonymous said...

sangat setuju dgn entri ini , mmg banyak yg kena dikemaskan bahasa dan nahu melayu ini spt contoh 'be' - ialah adalah atau 'ala' ke atas , kalau bahasa indonesia mereka nampak terus langsung ikut suka agar bahasa mereka lebih terus kepada makna yang dimaksudkan jadi bahasa melayu ini mesti diusahakan sesuatu agar lebih keterlangsungan ucapannya , kadang-kadang terlalu dgn bahasa inggeris atau arab sampai saya tak tahu apa kalimat yang lebih tepat dan sesuainya , ketika berbicara kepada orang dari sumber bahasa arab - payah sekali untuk menterjemahnya dengan lebih lansungnya ... malah saya tidak jelas imbuhan an , ke , dsbnya - bagaimana penggunaannya yang betul