PENTINGNYA PENGAJIAN SEJARAH
Oleh: Kassim Ahmad
kassim311@yahoo.com
December 15, 2010
Failasuf Amerika George Santayanalah yang telah berkata, “Barangsiapa melupakan sejarah akan didera untuk mengulanginya.” Beliau merujuk kepada kesilapan. Namun demikian, sejarah pada umumnya merujuk kepada asal-usul. “Dari mana kita datang, dan ke mana kita hendak pergi” – hal ini penting sekali kita ketahui untuk mengerti siapa kita.
Penjajahan Barat sebagian dari sejarah Malaysia. Ia merobek sejarah kita selama 442 tahun. Sewaktu saya di sekolah menengah dulu, seorang pegawai tinggi Inggeris dari Jabatan Pelajaran Kedah datang ke sekolah serta bercakap di depan perhimpunan murid-murid di padang sekolah. Kata beliau, “ Sejarah Malaya sebenarnya bermula pada tahun 1874”! (Beliau merujuk kepada Perjanjian Pangkor apabila negeri-negeri Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu masuk ke dalam taklukan penjajahan Inggeris.) Saya tidak pernah lupa kata-kata beliau ini.
Hari ini penjajahan formal sudah hapus dari Malaysia. Malangnya, setelah 43 tahun merdeka, anak-buah penjajah masih ramai di kalangan rakyat kita. Bagi mereka Malaysia ciptaan penjajah Inggeris, bermula pada 1874, seperti dakwaan pegawai penjajah itu. Sebelumnya, Malaysia tidak pernah wujud sebagai sebuah tamadun!
Sebenarnya, Malaysia mengesan sejarahnya ke zaman Empayar Buddhist Srivijaya dalam abad ketujuh hingga kejatuhannya dalam abad ke-13. Tinggalan-tinggalan empayar ini telah dijumpai di Bujang, Kedah. Pada awal abad keenam-belas Kerajaan Melayu Melaka ditubuhkan oleh Parameswara yang datang dari Palembang, Sumatera. Beliau memeluk Islam dan mengambil nama Megat Iskandar Shah. Empayar Melayu-Islam Melaka jatuh ke tangan penjajah Protugis setelah bertahan selama seratus tahun pada 1511, kemudian diambil-alih silih-berganti oleh penjajah Belanda and penjajah Inggeris hingga Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan 1963.
Jelaslah dari fakta-fakta sejarah ini negara-bangsa Malaysia sekarang tidak lain melainkan kesinambungan dari Kesultanan Melayu Melaka. Dari fakta sejarah inilah maka negara-bangsa Malaysia sifatnya Melayu, dengan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaannya dan Islam sebagai Agamanya. Satu sifat baru yang Malaysia peroleh pada tarikh kemerdekaannya pada 31 Ogos, 1957 itu pemberian hak kewarga-negaraan kepada satu juta kaum-kaum pendatang Cina dan India berdasarkan prinsip jus solai. Pada ketika itu, Malaysia menjadi negara pelbagai kaum sebagai satu cita-cita, belum lagi sebagai hakikat. Proses negara kita bertukar daripada sifat Melayunya kepada sifat Malaysia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga generasi. Malaysia baru berusia 53 tahun.
Dua perkara yang berbeza inilah yang gagal difahami oleh rakyat kita, khasnya generasi muda. Dari hakikat ini juga maka parti-parti politik di negara kita mengambil bentuk kaum dengan UMNO sebagai parti politik bagi orang Melayu, MCA bagi orang Cina dan MIC bagi orang India. Hakikat ini sama sekali tidak bermakna parti-parti itu bersifat perkauman. Manusia dijadikan pelbagai bangsa oleh Tuhan. Itu natural, semula-jadi. Sesetengah orang kita, seperti Menteri Besar Kelantan Nik Aziz, tidak faham akan hakikat mudah ini pun!
Sesetengah orang kita berkata: “Saya Melayu dulu, kemudian Malaysia.” Sesetengah pula berkata: “Saya Malaysia dulu, Melayu kemudian.” Sebenarnya kita dalam perjalanan dari sifat kaum kita masing-masing kepada sifat bangsa Malaysia. Perjalanan ini tidak dapat tidak harus kita ambil. Mengapa kita tidak berkata saja: “Saya Melayu/Cina/India/lain-lain kaum dan Malaysia?”
Sebenarnya, kita semua dari pelbagai bangsa; pada masa yang sama kita manusia, anak-cucu Adam, Homo sapiens. Tidak ada kontradiksi dalam ayat ini. Hakikat ini telah kita iktiraf dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pada umumnya, orang muda itu idealistik. Idealisme itu memang bagus. Tetapi idealisme itu cita-cita yang ingin kita capai pada masa depan. Untuk merealisasi idealisme kita, kita kena ada kaedah yang realistik. Tanpa realisme, idealisme tidak lebih daripada sebuah tin kosong!
Ingat kembali sejarah kita. Mengapa dalam tahun 1946 orang Melayu dalam UMNO menolak cadangan presiden mereka yang pertama Dato’ Onn Jaafar untuk membukan pintu UMNO kepada suku-bangsa lain? Adakah orang Melayu dalam UMNO pada ketika itu bersikap perkauman? Kalau mereka bersikap perkauman, mengapa mereka bekerjasama dengan MCA dan MIC? Dilihat dari satu hujung yang lain, kita ambil contoh DAP. Semua orang tahu DAP berwatak ke-Cinaan, walaupun ia mebuka keanggotaannya kepada kaum lain. Ambil kes PKR. Mereka dakwa parti itu bersifat pelbagai kaum. Tetapi watak Melayunya tetap ketara. Sebenarnya, kita tidak boleh mengelak hakikat ini sehingga satu masa apabila watak “perkauman” masyarakat kita secara automatik hapus.
Kerana sebab-sebab di atas maka sejarah kita penting kita kaji dan fahami. Jika tidak, seperti kata failsasuf George Santayana, kita akan dihukum. Dari segi sejarah inilah maka konsep ketuanan Melayu harus difahami. PKR, dalam mesyuarat agungnya yang baru lalu, mengisytiharkan “perang” terhadap konsep ketuanan Melayu. Mereka hendak menggantikannya dengan gagasan “ketuana rakyat”. Pada kulitnya, gagasan ini nampak lebih progresif. Kritikan segera daripada Sultan Selangor menampakkan bahayanya.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
6 comments:
Sejarah itu penting kerana ia memberi satu jalur objektif bagaimana peristiwa atau gerakan itu mempengaruhi pembentukan sesebuah komuniti. Biasanya yang berkuasa sama ada kuasa manusia atau yang datangnya dari wahyu/dewa/ syaitan/jin/intelektual/kuasa dogeng mempunyai kesempatan untuk mempastikan sesuatu itu benar. Misalnya tiada dokumen atau catan jelas mengenai 'Ketuanan Melayu' dalam Perlembagaan namun pihak berkuasa akan tetap mengatakan itulah pegangan yang seharusnya diterima oleh semua rakyat Malaysia termasuk orang Penan, Asli, orang 'pendatang lama dan baharu',jika tidak negara akan lingkup atau kononnya orang bumi akan jadi seperti orang Palestin.Mengikut panglima Ketuanan Melayu orang yang menentang konsep itu adalah mereka yang tidak mengenang budi, baik balik ke negara asal, tak faham Perlembagaan, tak faham asas usul sejarah negara yang cuma bermula dari Kesultanan Melayu( Parameswara adalah orang Hindu asalnya, yang lari dari Indonesia. Dengar cerita raja-raja asal mereka adalah lanun!
Pemimpin UMNO tidak tahu sejarah yang banyak golongan yang berjuang untuk memerdekakan negara, yang mereka pertahankan bahawa orang UMNO saja yang sibuk ke hulu hilir bagi mengistiharkan Kemerdekaan bukannya sebelumnya berjuang menentang penjajahan. Ramai pejuang tulen kemerdekaan masih tidak diktiraf oleh UMNO. Bagi mereka Tungku, Abdul Razak, Mahathir itu sebenarnya wira dan jaguh negara. Selepas itu UMNO yang mempunyai kuasa mula menanamkan melalui propaganda akademik yang orang UMNOlah yang memperjuangkan merdeka. Namun rakyat yang semakin cerdik mula mempersoalkan akan hakikat itu. Ini tidak menyenangkan mereka kerana ada unsur 'distortion' fakta' yang tak akan diterima olehnya termasuk kaum inteleknya ( Profesor Kang Kung di banyak IPTA), agamawan UMNO yang memang suka membodek dan tidak suka berpendirian lebih objektif.
Ketuanan Melayu menjadi mantra atau pegangan sakti dan sesiapa yang mengungkitnya boleh disaran ditahan di bawah ISA.UMNO mahu demokrasi tetapi mesti bersandarkan Ketuanan Melayu/ Islam konsevatif, satu idea yang miring dan mahu dipaksakan ke atas sebahagian rakyat yang sudah celik.
Akhirnyakita lihat dalam kepimpinan yang bertunjangkan Ketuanan Melayu, mutu orang Melayu yang dihasilkan amat sedih kerana ramai yang masih miskin, mutu graduan anak Melayu adalah tidak memuaskan, gejala rasuah di kalangan pemimpin Melayu adalah tidak menyenangkan dan dan ada setengah ihak mengatakan Ketuanan Melayu sudah 'screw-up jati diri oarang Melayu' dan sentiasa dalam mentaliti tidak yakin diri dan rasa tak selamat'. Mereka banyak suka mengiyakan, takut dan suka membodek pemimpin mereka.
Kajilah sejarah Malaka dan anda akan menemui bhw di zaman itu berbagai bangsa tinggal dgn aman menganuti satu agama iaitu agama Asalama dan bukan buddha spt yg ditipu penjajah. Melayu itulah yg memastikan keamanan di Nusantara dan di hormati dan diakui KETUANANnya. Hamba berjuang mengembalikan semula agama sebenar dan kegemilangan bangsa Melayu yg agung.
Salam,
Mutu orang Melayu disebabkan apa yang ditanam dalam diri mereka sendiri. Penyakit-penyakit hati yang merendahkan martabat Melayu bukannya wujud dalam UMNO semata-mata, malah wujud juga dalam parti yang menentangnya.
Jadi kalau kita salahkan UMNO, BN atau Kerajaan, ia tidak akan membawa apa-apa perubahan kerana kalau parti Melayu lain yang naik, penyakit tersebut tetap ada.
Jadi kalau kita betul-betul nak mengubah nasib Melayu, kita kena sama-sama berubah tanpa mengira ideologi politik apa sekali pun.
Buangkan sikap menunding jari menyalahkan pihak lain, sebaliknya sama-sama kita merenung kesilapan bangsa kita sendiri. Jadikan sejarah sebagai panduan agar mana yang baik kita jadikan pedoman, mana yang buruk kita jadikan sempadan. Bina hidup baru dan jangan terawang-awang dengan sejarah silam.
Di antara kesilapan terbesar orang Melayu hari ini sehingga mutunya rendah adalah penyakit ragu-ragu dengan keupayaan akalnya sendiri dan suka menurut membuta-tuli serta menjadikan pembesar-pembesar ugama sebagai tuhan-tuhan selain Allah. Selagi penyakit ini tidak dibuang tidak kiralah Melayu itu UMNO ke, PKR ke, PAS ke atau lain-lain, selagi itulah nasib mereka tidak akan maju.
Malang sekali kita tidak mempunyai sejarah rasmi.
Salam kpd Juang
"Di antara kesilapan terbesar orang Melayu hari ini sehingga mutunya rendah adalah penyakit ragu-ragu dengan keupayaan akalnya sendiri dan suka menurut membuta-tuli serta menjadikan pembesar-pembesar ugama...."
Saya sependapat dgn anda. Org2 Melayu masih belum berani untuk mencabar kepercayaannya selama ini.
Mereka perlukan satu pemimpin yg bukan parti keris, bulan purnama atau bulan sabit kembar. Pemimpin yg berani dan berjaya membuktikan bahawa Melayu boleh berubah demi kesejaheraan Malaysia.
-skygyver@gmail.com-
"Tanpa realisme, idealisme tidak lebih daripada sebuah tin kosong!
:) Sudah Cukup untuk menerangkan segalanya..Terima kasih Dr.Kasim Ahmad
Post a Comment