Saturday, December 18, 2010

PLURALISME AGAMA KINI WUJUD DI MANA-MANA

Oleh: Kassim Ahmad

kassim311@yahoo.com

19 Disember, 2010

Semua orang tahu wujud banyak agama di negara kita sekarang. Demikian juga di kebanyakan negara lain di dunia. Di negara kita, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, dan agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut-penganutnya, terdiri dari orang-orang Buddhis, Hindu, Kristian, dan Sikh. Kebebasan beragama yang total ini diisytiharkan dalam Quran, 1431 tahun dulu, 1300 tahun lebih mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh P.B.B.! (Lihat Quran, 2: 256) Anehnya, teologi Islam konservatif mentafsirkan ayat yang jelas ini sebagai bebas untuk masuk Islam tetapi tidak bebas untuk keluar! Demikianlah jauhnya teologi kedua-dua puak Islam (Sunni dan Syiah) daripada Islam yang sebenar yang terdapat dalam Quran.

Pada asalnya, agama itu dua saja. Pertama, agama tauhid (Islam) yang diajar oleh semua nabi lagi rasul dari Adam hingga ke Muhammad. Kedua, agama syirik (menduakan Tuhan). Ayat Quran: “Bagimu agama kamu, bagiku agamaku,” (109:6) merujuk kepada keadaan dua agama ini. Namun demikian, agama tauhid Islam yang satu telah berpecah menjadi tiga: Yahudi, Kristian, dan Islam. Islam pula berpecah menjadi dua puak besar, Sunni dan Syiah. Demikianlah, dalam masa lima ribu tahun tamadun, satu agama tauhid berpecah menjadi banyak, yakni plural. Jadi, apakah salahnya kita mengiktiraf hakikat pluralisme agama ini?

Tidak salah kita mengakui fakta dan kebenaran. Menafikannya bermakna mengingkari fakta dan kebenaran. Yang menjadi masalah bagi umat Islam (yang membantah pluralisme agama ini) tidak lain melainkan kerana mereka keliru dan tidak boleh membezakan antara agama Islam yang sebenar dengan agama Islam yang telah menyeleweng!

Jika kita berfikir mendalam sedikit dan membaca Quran dengan teliti, kita tidak dapat tidak akan mendapati dalam semua masyarakat agama (termasuk Islam) terdapat orang-orang yang baik, orang-orang yang separuh-separuh, dan orang-orang yang jahat. Orang yang baik itu dalam istilah agama kita panggil ‘mukmin’, yakni mereka percaya kepada Tuhan dan mendukung kebaikan kerana mereka tahu Tuhan melihat dan menghukum mereka. Orang yang jahat itu, dalam istilah agama, kita panggil ‘kafir’; mereka tidak percaya kepada Tuhan dan mendukung kepalsuaan, kerana mereka sangka kejahatan mereka tidak akan diketahui dan tiada siapa akan menghukum mereka! Di tengah-tengah dua kumpulan ini terdapat mereka yang mendakwa mereka mahukan kebaikan, tetapi sebenarnya melakukan sebaliknya.


Cuba kita ingatkan kenyataan masyhur negarawan India, Mahatma Ghandi, tentang agamanya: “Saya Hindu; saya Yahudi; saya Kristian; dan saya juga Islam!” Tentulah beliau bermaksud: “Apa yang baik dalam semua agama ini saya pegang,” seperti dinyatakan dalam ayat suci di bawah.


“Pastilah mereka yang beriman, sama ada Yahudi, Kristian, atau Sabi’in (beragama di luar tradisi Nabi Ibrahim); barangsiapa yang beriman kepada Tuhan, kepada Hari Kemudian, dan berbuat baik akan menerima ganjaran daripada Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut, atau berasa sedih.” (Quran, 2: 62). Ayat ini jelas dengan sendirinya.

Orang-orang seperti inilah, dalam semua kumpulan agama, yang dimaksudkan dalam ayat suci di atas.

Perhatikan ayat ini pula: “Kami mewariskan kitab suci kepada sesiapa yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami. Jadi, di antara mereka ada yang membelakangkannya; ada yang berpegang separuh-separuh saja, sementara ada pula yang berkejar-kejar mendahului melakukan pekerjaan baik, dengan izin Allah. Inilah yang baik sekali.” (Quran, 35: 32)

Lagi perhatikan ayat ini: “Mereka bertindak seolah-olah mereka menolong engkau dengan memeluk Islam. Katakanlah, ‘Kamu tidak menolongiku apa-apa dengan memeluk Islam. Tuhanlah yang menolong kamu dengan memimpin kamu kepada iman, jika kamu jujur.’” (Quran, 49: 17)

Jelaslah ayat-ayat ini tidak mempedulikan dakwaan seseoranag atau sesuatu kaum. Nama ‘Islam’ nyata tidak boleh digunakan untuk mendapat ganjaran atau pujian. Praktik yang baik yang dilakukan dengan jujur – itulah yang dikehendaki. Kebaikan itu dengan sindirinya baik. Kebaikan dengan sendirinya mengundang kebaikan.

Dalam Quran, Islam disebut sebagai agama yang diredai Allah untuk manusia. (Lihat Quran, 3: 19). Di tempat-tempat lain Islam disifatkan sebagai agama kebenaran (din’ul-haq) dan agama Allah (din’ul-Lah). Dari segi ini, Islam istimewa dan unik, tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain. Namun demikian, jangan sesiapa atau sesuatu masyarakat agama menganggap mereka paling baik kerana beragama Islam. Mereka patut bersyukur kepada Tuhan kerana telah memandu mereka kepada Islam, tetapi bolehkah mereka berbangga kerana itu!

Sepatutnya, kita mengajak penganut-penganut agama lain kepada Islam dengan baik, dengan hujah-hujah yang rasional, dan dengan contoh budi-pekerti dan tindak-tanduk yang baik. Sombong dan angkuh bukan sesuatu sifat yang disukai Tuhan atau manusia.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

18 comments:

Anonymous said...

Salam sejahtera Pak Kassim,

Saya pun cukup hairan dengan isu pluralisme ni.

Cuba tanya kepada pakar2 'agama', Muhammad pengikut mazhab mana? Sunnah atau syi'ah?

Apakah Muhammad itu pengikut Imam Shafee atau Hanafi, Maliki atau Hanbali? Apakah mazhab sebenar Muhammad?

Yang sebenar-benarnya, Muhammad hanya mengikut Al-Quran sahaja.

Saya tak percaya Tuhan ajar agama. Al-Quran hanya mengajar manusia satu cara hidup yang harmoni. Tapi apabila adanya beberapa golongan yang sombong bodoh dan berlagak pandai, mereka mendakwa ajaran merekalah yang benar. Ditambah dgn kitab2 selain Al-Quran, tafsiran mereka sahajalah yang diiktiraf dan pihak lain adalah sesat, kafir dan bermacam-macam lagi. Akibatnya berpecah-belah dan berperang.

Kalaulah ajaran syi'ah yang terlebih dahulu tiba ke tanah Melayu 600 tahun dahulu, pasti orang Melayu pada hari ini akan memuja Ayatollah Khomeini Iran dan pengikut sunnah akan dihukum sesat dan lebih teruk diISAkan.

Cuba tanya kepada John Pope, adakah Jesus itu penganut ortodoks, protestant atau khatolic? Apakah mazhab sebenar Jesus?

Saya selalu berdebat dengan pakar2 'agama' di suatu forum. Apabila saya menggunakan ayat-ayat Al-Quran, mereka patahkan hujah saya dengan alasan ayat-ayat tersebut diturunkan kepada orang2 musyrik Mekah. Maka ayat itu tidak boleh dipakai merujuk kepada umat Muhammad zaman sekarang. Bukan satu tetapi berpuluh-puluh ayat mereka nafikan. Saya berdebat tentang perlunya umat Islam terutamanya bangsa Melayu mentafsir semula isi kandungan Al-Quran. Tapi bukan tanggungjawab saya menentukan kepercayaan mereka. Hidayah adalah milik Tuhan sahaja.

Masalahnya, suatu ajaran sesat tidak akan dianggap sesat selagi pengikutnya ramai. Ajaran Islam menyeleweng ini sudah menjadi satu 'BIG PARTY'. Tuhan pun berkata hanya sedikit sahaja manusia yg mengambil pengajaran dari Al-Quran itu.

Masing-masing bertanggungjawab terhadap penggunaan akalnya. Meletakkan kepercayaan kepada pakar2 'agama' tidak akan menjamin masa depan kita di Hari Pengadilan nanti. Tiada siapa yang dapat memberikan syafa'at kepada kita melainkan Tuhan Yang Maha Esa.

Saya ada satu soalan yang mencabar mana-mana 'ulamak', imam, ustaz, mufti,sufi, tok2 guru, tuan2 guru dsbg.

Katakan lagi 50 tahun, penerokaan angkasa lepas menjadi lebih murah. Ramai manusia berpeluang menjejakkan kaki ke Bulan. Perlancongan angkasa lepas menjadi murah seperti industri penerbangan komersial pada hari ini.

Bagaimana penganut sunnah dan syi'ah hendak bersembahnyang? Ke arah manakah mereka patut meletakkan dahi?

Semua orang tahu di Bulan tiada bangunan batu 4 segi seperti di Mekah. Jadi siapa yg hendak membinanya di Bulan?

Jika ini berlaku, ajaran Arab akan mula dipersoalkan dan saya yakin akan berlakunya satu revolusi pemikiran seperti COPERNICAN REVOLUTION. Al-Quran akan ditafsirkan semula secara kritikal dan ilmiah dan ramai manusia diseluruh dunia akan mengikutnya.

Manusia di seluruh glob akan bersatu dan objektif kerasulan Muhammad akan tercapai.

Saya percaya 100% bahawa objektif Al-Quran adalah mengajar umat manusia bersatu untuk.......???

Saya pun tak berani nak tulis kalau2 ada para pejuang hadis di sini menghentam komen saya.

Tapi saya bercadang menulis buku tentang kajian saya ini. Saya akan kemukakan bukti saintifik mengapa umat manusia akan bersatu untuk....???? Harap ianya tidak diharamkan macam buku2 tulisan Pak Kassim.

-skygyver@gmail.com-

Anonymous said...

Salam

Satu tulisan yg baik dari Pak Kassim...

Juang said...

Salam,

"Anon: Saya tak percaya Tuhan ajar agama. Al-Quran hanya mengajar manusia satu cara hidup yang harmoni. "

16:30. Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa, "Apakah yang Pemelihara kamu menurunkan?" Mereka berkata, "Kebaikan!" Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia, baik; dan sungguh, tempat kediaman akhirat adalah lebih baik; sangat baiknya tempat tinggal orang-orang yang bertakwa,

Bagi orang-orang bertakwa, Allah hanya mengajar kebaikan. Maka hiduplah untuk berbuat kebaikan tidak kira daripada keturunan yang menganuti kepercayaan apa sekali pun. Itulah cara hidup yang lurus.

Di sini kita nampak, akuan beragama Yahudi, Kristian atau Islam tidak memberi apa-apa nilai melainkan jika manusia itu menumpukan hidupnya untuk berbuat kebaikan.

Seterusnya kita akan nampak yang akan menghuni neraka nanti adalah mereka yang merasa ego dan bongkak kononnya hanya yang mengaku Yahudi sahaja layak masuk syurga, atau mereka yang mengaku Kristian sahaja layak masuk syurga atau mereka yang mengaku Islam sahaja layak masuk syurga.

Balasan Tuhan bukannya semudah akuan mulut menganut sesuatu agama. Apa yang tertanam di lubuk hati itulah akan membentuk keperibadian sebenar seseorang manusia. Dan hasil perbuatan yang terpancar daripada keperibadian itulah yang akan dinilai oleh Tuhan kelak.

Hati yang luhur akan menjana perbuatan yang mengeluarkan hasil yang bermutu. Hati yang kotor akan menjana perbuatan yang mengeluarkan hasil yang rendah kualitinya.

Apakah logik Tuhan akan beri tempat terbaik (syurga) kepada manusia yang menghasilkan nilai-nilai yang rendah?

Anonymous said...

Salam Juang,

Terima kasih atas komen anda. Dari ayat ini kita tahu siapakah yg memecah belahkan masyarakat.

Pasti anda masih ingat Steve Irwin? Crocodile Hunter. Ada orang pernah ckp kepada saya, kalau dia orang Islam pasti dah masuk syurga. Maksudnya dia masuk neraka?

Ini yg membuatkan saya tak berpuas hati. Mendiang adalah seorang saintis dan banyak membuat kebaikan kepada alam sekitar seperti menyelamatkan haiwan, mempromosikan kempen kesedaran alam, dan banyak lagi.

Saya cukup terharu apabila melihat satu episod corocodile hunter di mana mendiang telah menyelamatkan 2 ekor buaya yg terperangkap dalam sangkar yg sempit, kotor dan busuk selama berbelas2 tahun di Timor Timur.

Apabila dipindahkan ke kolam baru, buaya tersebut berguling sebagai tanda gembira kerana dibebaskan dr kolam yg sempit, kotor dan busuk ke kolam baru yg dibina oleh mendiang.

Saya percaya mendiang menemui ajal pada usia muda kerana Tuhan sayangkan beliau. Mendiang byk membuat kebaikan kepada alam sekitar dan mendidik manusia tentang keharmonian ekosistem.

Umat 'Islam' kita sekarang, bukan sekarang sejak dari dulu lagi dah menyimpang jauh dari ajaran Al-Quran sebenar. Di Malaysia kita ni pun masih berpecah belah. Byk isu berkaitan agama dan bangsa masih diperdebatkan walaupun dah 53 tahun merdeka. Mereka tak sedar bahawa penyelesaiannya ialah duduk sama2 mengkaji kitab Tuhan. Tp masing2 ego, sombong dan bersifat dendam peribadi dlm politik.

Tulisan2 Pak Kassim banyak menjawab persoalan2 yg timbul dalam diri saya berkaitan ajaran Islam yg sebenar. Tetapi terdapat beberapanya yg saya tidak sependapat.

Tp tulisan2 Pak Kassim berjaya membuka mata saya untuk berani mengkaji Al-Quran. Hasilnya amat menakjubkan.

Harap Pak Kassim meneruskan tulisan2 di blog ini untuk sama2 kita bincang dan fikirkan.

-skygyver@gmail.com-

Nirnama said...

Salam,
Ramai orang tidak dapat menerima hakikat kebebasan manusia berbanding makhluk-makhluk selain daripadanya yang tidak bebas untuk memilih sama sekali. Nampak jelas, Tuhan sendiri mengiktiraf kebebasan manusia untuk memilih, termasuklah dalam soal beragama.

Tetapi hakikat kebebasan beragama ini boleh membuatkan sesetengah orang berasa kecut perut, kononnya takut kalau-kalau nanti akan masuk api neraka kerana tersalah pilih agama. Lalu mereka pilih suatu agama yang mereka percaya benar (kerapkali atas nama logik masing-masing), dan kemudian setia dengan agama itu melalui pengakuan dan ritual-ritual tertentu yang dilaksanakan dengan sempurna dan jayanya, saling tak tumpah seumpama objek-objek langit yang tekun sekali "berenang-renang" di sepanjang orbit masing-masing. Segala tatacara hidup beragama yang diwarisi turun-temurun dipatuhi dengan penuh taat setia, bukan atas nama kebebasan, tetapi atas nama 'Kebenaran'. Ironinya, harapan mereka supaya dapat masuk syurga dengan cara menolak dan bersembunyi di sebalik kebebasan, sedangkan syurga di angkasaraya, atau jahanam itu hanya layak dimiliki oleh mereka yang membuat pilihan secara bebas.

Kerana kebebasanlah, maka ada di kalangan umat Islam, Kristian, Yahudi, Budha, Hindu, dan lain-lain lagi yang berjaya menikmati syurga suatu hari nanti. Dan kerana kebebasan jugalah, maka sebahagian daripada mereka ini akan merasai penderitaan kelak. Ini menunjukkan bahawa ganjaran baik atau buruk itu tidak berasaskan agama tertentu.

Sekian.

Unknown said...

Tulisan yang bermakna. Terima kasih Pak Kassim.

Juang said...

Salam,

"Anon: Pasti anda masih ingat Steve Irwin? Crocodile Hunter. Ada orang pernah ckp kepada saya, kalau dia orang Islam pasti dah masuk syurga. Maksudnya dia masuk neraka?"

Jika orang yang berkata begitu adalah orang yang mengaku Islam, maka kita akan nampak yang orang itu hanyalah "Islam akuan mulut". Jika dia seorang yang memerhatikan ayat-ayat Al Quran, dia tidak akan berani berkata begitu kepada Steve Irwin. Hanya orang-orang yang angkuh sahaja berani menghukum mana-mana individu itu tak layak masuk syurga.

2.62. Sesungguhnya orang-orang amanah, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Saabi'in, siapa saja di antara mereka yang benar-benar amanah kepada Allah, hari Akhir, mereka akan menerima balasan dari Tuhan mereka, tidak ada ketakutan kepada mereka, dan tidak mereka bersedih hati.

Seseorang yang dikurniakan minat kepada haiwan-haiwan, kemudian dia menggunakan minatnya itu untuk menjaga alam Allah ini dengan baik berdasarkan pengetahuan yang Allah ajar kepadanya, itulah orang yang amanah terhadap apa yang Tuhan berikan.

Macam kita ada anak yang minat kepada komputer, kemudian kita belikan dia sebuah komputer. Dengan komputer itu si anak menggunakan ia untuk kerja-kerja kebaikan, sudah pasti anak itu seorang yang amanah dan boleh dipercayai.

Tetapi jika si anak itu gunakan komputer untuk membuat virus, menipu penguna bank untuk curi duit, maka sudah pasti si anak itu seorang yang khianat.

Di antara anak yang amanah dan anak yang khianat, yang mana satu yang layak dapat balasan baik?

Begitulah perumpamaannya untuk kita fahami bagaimana Tuhan membalas terhadap apa yang manusia kerjakan.

Hidup ini bukannya setakat cukup mengaku "Akulah Islam". Nak berpura-pura memang senang. Buktikan bahawa kita seorang yang amanah terhadap apa jua kepercayaan yang diberikan.

Nirnama said...

Salam,
Kebebasan beragama juga jelas terpancar dalam ayat Bagimu agama kamu, bagiku agamaku (109:6). Ini bererti, orang-orang kafir tidak berhak mengenakan paksaan terhadap Nabi Muhammad dalam soal agama, dan begitu pula sebaliknya. Agama, dan apa sahaja, mestilah diasaskan di atas kebebasan individu. Kebebasan itu tidak terpagar dengan sendirinya oleh agama tertentu. Itulah sebabnya Al-Quran mengisytiharkan kebebasan beragama. Jika tidak, perisytiharan itu tanpa asas yang benar, dan oleh itu tidak sah, tetapi ini adalah mustahil.

Harus pula diingat bahawa, kebebasan individu bergantung sepenuhnya kepada kebebasan manusia lain, dan begitu pula sebaliknya.

Suatu perkara yang barangkali harus diperhatikan juga ialah, pluralisme agama mencabar takrifan sosio- dan geo-politik terhadap mana-mana agama.

Sekian.

Anonymous said...

Salam Pak Kassim,
Sungguh bahagia saya membaca tulisan Bapak tentang ini dan komentar dari beberapa teman2 tentang kebebasan beragama. Saya sudah lama juga berfikiran demikian, apakah mentang-mentang kita sudah mengucapkan syahadat, lalu Tuhan mengampuni kita meskipun tidak ada kebajikan yang kita berikan kepada umat manusia atau alam semestta, kecuali hanya menyibukkan diri beribadah di bilik atau mesjid saja. Sama hal nya juga dengan pengikut Kristen dengan mengakui Jesus Kristus lalu mereka akan diampuni sebesar apapun dosanya. Sungguh saya tidak bisa menerima sikap egois macam begini. Tuhan itu Maha Adil, Dia akan membalas kebajikan dengan kebajikan pula, padi ditanam ya padi yang tumbuh, itulah Sunnatullah. Saya yakin, tidaklah Allah menyianyiakan kebajikan orang dari manapun dan apapun agamanya..

Pemuda said...

Perbincangan saya dengan ramai orang Islam menunjukkan mereka tidak percaya bahawa orang-orang Kristian dan Yahudi boleh masuk syurga. Salah satu daripada alasan mereka, kesucian kitab-kitab Injil dan Taurat telah dicabul oleh tangan-tangan manusia. Tetapi mereka tidak pernah mahu meneliti ayat-ayat dalam kedua-dua kitab ini untuk mengambil pelajaran daripada daripada ayat-ayat yang selaras dengan ajaran Quran. Mereka enggan mematuhi Quran supaya mendengar semua pendapat terlebih dahulu, kemudian memilih yang terbaik. Mereka harus sedar, ayat 2:62 yang dibincangkan dalam artikel ini mengiktiraf orang-orang Kristian, Yahudi, dan Sabien yang beriman kepada Tuhan yang satu, hari kemudian, dan melakukan kerja-kerja kebaikan, sebagai ahli syurga. Jelaslah bahawa ketidakpercayaan di atas tidak berdasarkan Quran.

Irma said...

Tertuliskan dengan baik, Pak.

Juang said...

Salam,

"Pemuda: Perbincangan saya dengan ramai orang Islam menunjukkan mereka tidak percaya bahawa orang-orang Kristian dan Yahudi boleh masuk syurga."

Itu menunjukkan kebanyakan orang yang mengaku Islam hari ini tidak memahami Al Quran yang mereka imani (iman olok-olok). Jika mereka baca Al Quran dengan hati yang tulus dan ikhlas kerana Allah (bukan untuk ego dengan kepercayaan tradisi), pasti mereka nampak bahawa piawaian kelayakan seseorang manusia itu untuk mendapat balasan baik dari sisi Allah adalah mudah sahaja iaitu percaya kepadaNya, percaya pada Akhirat dan seterusnya berbuat kerja-kerja kebaikan.

Namun tahap kelayakan itu telah "perketatkan" oleh ulamak-ulamak agama dengan hukum karut-marut yang Al Quran sendiri tidak menyebut seperti yang mereka ada-adakan itu. Ini yang menyebabkan ramai orang Islam beranggapan asal sahaja manusia itu Yahudi atau Kristian, pasti tiada harapan masuk syurga.

Perasaan prejudis terhadap kaum yang tidak seagama terutama Yahudi dan Kristian telah digunakan oleh syaitan untuk menghasut ke arah permusuhan berpanjangan di antara penganut agama-agama ini.

Bunting_laser said...

(1) Ada yang menepis hujah Pemuda di atas dengan mempergunakan ayat "Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agama, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang yang rugi." (3:85)
(2) Islam bererti penyerahan; berserah diri hanya kepada Tuhan, dengan menjunjung ajaranNya yang termaktub dalam Al-Quran; berintipatikan tauhid, kewujudan hari kemudian, dan kerja-kerja kebaikan.
(3) Al-Quran mengisytiharkan kebebasan beragama; memilih agama tanpa sebarang paksaan. Al-Quran juga menyeru supaya memilih yang terbaik daripada analisis terhadap semua pendapat yang ada.
(4) Jelaslah, Islam bukan nama khusus sesuatu agama. Jika tidak, maka berdasarkan ayat 3:85, orang 'Islam' tidak bebas untuk keluar 'Islam', dan tidak bebas untuk mensintesis pandangan yang terbaik daripada kajian terhadap semua agama. Ini bertentangan dengan dengan semangat Al-Quran itu sendiri.
(5) Sifat Islam yang universal itulah menyebabkan Al-Quran tidak menamakan orang 'Islam' dalam ayat 2:62; ia hanya menamakan orang-orang Kristian, Yahudi, dan Sabien (mereka yang di luar tradisi agama Ibrahim), dan ini mencakupi seluruh agama.
(6) Oleh itu, ayat 3:85 sebenarnya membicarakan Islam dalam konteks ayat 2:62. Dengan lain perkataan, orang Islam ada dalam apa saja agama, asalkan mereka memenuhi syarat minimum, iaitu (i) beriman kepada Allah, yang Tunggal, (ii) beriman kepada Hari Akhirat, dan (iii) beramal soleh.
(7) Tafsiran ini selaras dengan prinsip penafsiran saintifik, khususnya prinsip-prinsip "niat yang baik", "kesatuan kandungan Quran" (di mana tiada pertentangan sesama ayat-ayat Quran yang suci daripada sebarang percanggahan), dan "ayat Quran yang saling menjelaskan".
(8) Maka tertepislah hujah mereka yang menelewengkan tafsiran ayat 3:85. Tidak syak lagi, orang-orang bukan 'Islam', sebagaimana orang-orang 'Islam' juga, mempunyai harapan yang cerah untuk masuk syurga, jika kena caranya.
(9) Jangan kita hanya tahu melaung-laungkan slogan "Islam agama universal". Kena tahu juga apa maknanya.
(10) Syabas Pak Kassim, di atas pandangan dan tulisan yang terbuka ini.

Kassim Ahmad said...

Terima kasih kerana penghargaan itu. Mudah-mudahan boleh membuka mata supaya mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Juang said...

Salam,

Seperti yang penganut agama "Islam" beranggapan apa yang ulamak-ulamak agama mereka ajar adalah suatu yang benar, dan apa yang bapa-bapa mereka amalkan adalah suatu yang betul, seperti itulah yang dianggap oleh penganut agama-agama lain tentang ajaran agama mereka.

Ketika hidup dalam keadaan menurut membuta-tuli seperti itu, seseorang itu belum dikira Islam yang sebenar. Namun, setelah dia mendapat kesedaran untuk mengkaji, menyelidik, memikirkan dan menilai apa yang dipercayai selama ini, dan dia mula berhijrah kepada satu cara hidup yang tidak terkongkong dengan kepercayaan tradisi untuk tunduk kepada apa yang Tuhan tetapkan, ketika itulah seseorang itu dikira Islam.

Oleh kerana semua penganut agama berpontensi untuk menyelidik kepercayaan tradisi masing-masing untuk berpegang kepada sesuatu yang bersifat universal, maka semua manusia sebenar berpontesi jadi Islam yang sebenar dan masuk syurga tidak kira mereka dari keturunan yang menganut agama apa sekali pun.

Al Mahadaya said...

Di dalam al quran menyebut tuhan mewariskan bumi ini untuk hambanya yg beriman. Jadi, siapakah yg beriman ini? Iman bermaksud percaya dan menurut serta patuh pada apa juga perintah tuhan tanpa mengambil kira pendpt manusia lain. Sebagai contoh di dlm surat al Naml tuhan menyatakan bhw "Dari kurma dan anggur kamu buat minuman yg memabukkan dan rezeki yg baik". Jadi, tuhan tidak mengharamkan arak malah mengatakan ianya rezeki yg dikurniakan tuhan. Jadi, agama mana yg mengharamkan arak jelas melanggar perintah tuhan dan menyesatkan kebanyakan manusia. Mereka merasa bhw mereka melakukan kebaikan tetapi mereka inilah musuh, waspadalah kamu.

Unknown said...

Ada yang berpendapat bahawa agama-agama lain tertolak dengan sendirinya setelah kedatangan Nabi Muhammad dan penurunan Quran. Rupa-rupanya pandangan ini tidak berlandaskan, bahkan menyanggah ajaran Quran. Inilah komen yang boleh saya buat setelah membaca dan meneliti tulisan Pak Kassim dan perbincangan sesama para pembaca di sini.

Juang said...

Salam Indera,

Itulah manfaatnya kita berbincang pasal agama secara terbuka di sini. Banyak perkara kita boleh belajar dan mudah faham setelah kita berfikir secara rasional setiap pendapat yang dikemukakan.

Cara ini juga baik untuk menjauhi pengongkongan minda dan monopoli agama oleh pihak-pihak tertentu. Semua kita berada di atas pentas yang sama. Tiada yang lebih tinggi daripada kita selain Allah.

Biar kita menjadi Islam berdasarkan pengetahuan hasil penyelidikan kita sendiri, bukannya beragama menurut membuta-tuli.

Kalau kita kisah orang-orang yang masuk Jahannam nanti, mereka adalah spesis yang suka hidup menurut membuta-tuli apa yang pembesar agama mereka tetapkan.