Thursday, December 16, 2010

POLITIK BARU DI MALAYSIA


Oleh: Kassim Ahmad

16 Disember, 2010


kassim311@yahoo.com


Sistem-sistem politik dunia


Telah saya katakan lama dulu bahawa kita jangan jadi pak turut kepada sistem dwi-parti Barat. Di Barat, setelah kejatuh sistem feudal dan bangkit sistem kerajaan perwakilan, dalam Parlimen mereka, ada parti atau gabung parti Kerajaan dan Pembangkang. Tugas parti atau gabungan parti Kerajaan itu memerintah, dan tugas Pembangkang membangkang Kerajaan dan mencadangkan dasar lain.


Biasanya jalur ideologi parti terbahagi kepada Konservatif, Liberal dan Buruh atau Sosialis. Di Eropah Tumur dan Timur, selepas terhapusnya sistem feudal, wujud sistem Marxis Komunis di Rusia, Eropah Timur dan China. Di wilayah-wilayah ini, sistemnya disebut demokratik juga, walaupun Kerajaan ditadbirkan oleh sebuah parti saja, iaitu Parti Komunis. Dalam istilah ahli-ahli teori mereka, Karl Marx-Engels-Lenin, pertadbiran ini dinamakan ‘kediktaoran proleter’. Apabila sampai masanya, sistem ini akan digantikan dengan sistem komunisme penuh, apabila parti dan kerjaaan tidak diperlukan lagi, yakni satu macam masyarakat Utopia, Nivana atau Firdaus akan wujud.

Kedua-dua sistem ini, yang kita panggil Demokrasi Liberal Barat dan Komunisme Marxis Timur, telah atau sedang runtuh di depan mata kita. Tidakkah ajaib kita yang hidup pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 menjadi saksi kepada dua keruntuhan yang besar, hebat dan menggerunkan ini? Bukankah ini yang disebutkan dalam istilah agama sebagai Akhir Zaman, Hari Pembalasan dan Hari Kebangkitan?


Apa itu parti?

Politik tidak lain dari sistem pentadbiran masyarakat. Kebanyakan rakyat Malaysia sekarang benci politik, kerana mereka samakan politik dengan penipuan, rasuah dan kezaliman. Itu politik kaum oligarki, yang kerjanya memang menipu. Contohnya Raja Firaun zaman Nabi Musa dan sekutunya, dan raja-raja zalim seperti dia zaman dulu dan zaman sekarang. Saya merujuk kepada politik kaum humanis, yang perjuangannya menegakkan kebenaran dan keadilan. Contohnya: Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad dalam zaman para nabi, dan Abraham Lincoln, Mahatma Ghandi dan negarawan-negarawan lain seperti beliau dalam zaman pasca-Nabi.

Dalam semua masyarakat wujud sekurang-kurang tiga aliran fikiran atau apa yang kita sebut ideologi. Di samping itu, seperti di Malaysia, boleh wujud parti berdasarkan kaum pula. Oleh sebab itu, Barisan Nasional gabungan 14 buah parti, sementara Pakatan Rakyat gabungan tiga buah saja.

Parti atau gabungan parti itulah kuasa yang menggerakkan masyarakat dan menubuhkan Kerajaan. Kuasa ini datang dari dalam masyarakat itu sendiri, seperti enjin kereta, atau kepala keretapi. Tanpa enjin ini masyarakat tidak boleh bergerak dan berkembang. Ia akan mati!

Parti lahir dari kesedaran anggota-anggota masyarakat itu untuk membentuk dan membangunakn masyarakat itu. Anggota-anggota masyarakat yang sedar menganggotai parti itu secara sukarela. Inilah bezanya antara parti dengan Kerajaan. Sementara Kerajaan di anggotai oleh anggota-anggota masyarakat yang digajikan, anggota-anggota parti memasuki parti secara sukarela. Parti pula merumuskan satu falsafah perjuangan kebangsaan yang menentukan tujuan-tujuan parti itu dibentuk serta dengan kaedah-kaedah untuk mencapai tujuan-tujuan itu. Semua ini termaktub dalam Perlembagaan parti itu. Parti juga akan menyusun Perlembagaan negara, yang menjadi Undang-undang Dasar negara itu.Daripada hakikat inilah terbit teori “Parti memerintah Kerajaan”, dan bukan sebaliknya.

Anggota-anggota parti mesti diajar falsafah perjuangan parti sebelum boleh diterima menjadi anggota. Tanpa pengetahuan ini, mereka tidak boleh menjalankan tugas-tugas parti kepada bangsa. Sebaliknya, mereka akan mencari kepentingan diri semata-mata dan membelakangkan perjuangan parti dan bangsa. Inilah yang telah terjadi kepada sesetengah anggota UMNO, setelah UMNO menjadi Kerajaan. Inilah sebab UMNO dan sekutunya ditolak oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12.


3. Kaedah demokrasi dan perundingan

Demokrasi, pemerintahan mengikut kehendak rakyat, bukan pemerintahan mengikut kehendak raja (sistem feudal) atau satu golongan atasan (oligarki), -- itulah kaedah yang paling baik untuk mentadbirkan sesebuah institusi. Institusi itu boleh jadi masyarakat, atau parti, atau Kerajaan, ataupun organisasi yang paling kecil dalam masyarakat. Demokrasi berasal dari kaedah pentadbiran kota purba, Athens, di Yunani tua. Quran tidak menyebut konsep demokrasi. Sebaliknya, ia menyebut konsep perundingan, musyawarah, sebagai kaedah pentabbiran yang paling baik

Quran mengajar kita kejiwaan manusia ada tiga peringkat. Pertama, kejiwaan binatang (nafs’ul-amarah = diri yang selalu memarahi orang lain). Kedua, kejiwaan diri yang sedar akan nilai orang lain (nafs’ul-lawwamah = diri yang adil). Akhir sekali, ketiga, diri yang tenang dan aman (nafs’ul-mutmainnah = diri penghuni Firdaus atau Syurga). Malangnya, kebanyakan manusia hari ini masih di peringkat kejiwaan yang terendah. Kejiwaan kebinatangan inilah yang menyebabkan rebutan kuasa, peperangan, pelbagai konflik, kezaliman dan kesengsaraan – pendekata inilah punca segala kejahatan dalam masyarakat kita dan dalam dunia seluruhnya. Inilah makna metafora bantahan para malaikat kepada Tuhan apabila Dia mengisytiharkan mahu menciptakan suatu makhluk baru di dunia, Homo sapiens, manusia, seorang khalifah. (Lihat Quran, 2: 30)


4. Kesilapan UMNO-BN

UMNO sebuah parti yang terbesar di Malaysia, dengan keanggotaannya sekarang mencecah 3.2 juta orang. (Ingat bilangan ramai tidak bermakna apa-apa, kecuali mutunya baik. Sebab itu saya menganjurkan kursus politik diberi kepada anggota dan kader) Bersama-sama dengan rakan-rakannya dalam B.N., ia telah memerintah Malaysia selama 53 tahun. Ini di antara rekod yang terbaik di seluruh dunia! Namun demikian, seperti yang kita tahu, ia telah melalui banyak krisis. Setelah mengalami kekalahan besar dalam Pilihanraya Umun ke-12, tanpa hilang kuasa di Pusat, Presiden barunya, Najib, telah melancarkan pelbagai program transformasi untuk memulihkan balik daya juang UMNO dan rakan-rakannya dalam B.N.

Apakah penyakit UMNO dan BN? Ringkasnya, kerana terlalu lama berkuasa, mereka lupa daratan dan menjadi golongan elit, terpisah daripada rakyat. Ramai pemimpinnya, di semua peringkat, tidak lagi menjadi pejuang bangsa. Sebaliknya, mereka mengutamakan kepentingan diri, membina kekayaan, membina rumah-rumah besar, memiliki kereta-kereta besar, sombong lagi! Inilah yang menyebabkan kejatuhan mereka. Bolehlah mereka bangkit balik? Tiada perkara yang mustahil. Tetapi kerja memulihkan UMNO dan BN boleh diibaratkan sebagai kerja orang kuat legenda Yunani purba, Herculis, untuk membersihkan kandang kuda negaranya yang kotor!


5. Kelemahan Pakatan Rakyat

Dengan korupsi dalam UMNO dan BN, maka timbulkan Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN. Tetapi teori puak ini (sistem dwi-parti – Kerajaan dan Pembangkang -- itu tidak lebih daripada sistem puak) tidak boleh dipakai. Ia merujuk kepada tahap kejiwaan manusia terendah, yang telah saya sebut di atas. Rakyat Malaysia perlu berhijrah kepada tahap kejiwaan yang lebih tinggi, kejiwaan yang adil. Pada tahap ini, semua parti boleh bekerjasama, dalam acuan sebuah falsafah politik kebangsaan yang menyeluruh, untuk membangunkan tamadun Malaysia baru.

Kepalsuan teori Barat sistem dwi-parti ini ketara sudah belum pun lima tahun Pakatan Rakyat memerintah di negeri-negeri yang mereka kuasi. PKR, parti Anwar Ibrahim, yang menjadi tulang belakang Pakatan Rakyat, seperti retak menanti belah, kerana kepimpinan yang tidak berdasarkan kejujuran dan kebenaran. PAS, yang telah lama memerintah Kelantan, tidak punyai pengertian tentang masyarakat moden. Mereka terperangkap dalam teologi kolot dan jumud mereka tanpa memperlihat suatu jalan keluar yang boleh menyelamatkan mereka. DAP lebih mantap dari segi ideologinya, tetapi ia perlu bebaskan dirinya dari acuan ke-Cina-annya dan dari horizon kolonialnya dan mencari tapak yang kukuh di bumi Malaysia, dengan sejarahnya yang utuh melampaui zaman penjajahan Barat yang merobek sejarah kita.


6. Jalan keluar bagi bangsa kita

Kecewa dengan gabungan BN dan kecewa lagi dengan gabungan Pakatan Rakyat, suatu “tenaga ketiga” (Zaid Ibrahim dan parti barunya, dan Raja Petra Kamaruddin dan peguam Haris Ibrahim dengan parti baru mereka) sedang muncul untuk memberi nafas baru kepada politik Malaysia. Pada perhitungan jangka panjang, masyarakat kita, dengan kekuatan 28 juta orang, kecil-besar, tua-muda, lelaki-perempuan, jangankan berpecah kepaga tiga puak, kedua dua pun tidak boleh! Bilangan, kecil atau besar, bukan faktor penentu. Kejujuran, kebenaran dan keadilan kita -- nilai-nilau sejagat yang utama – di situ mesti kita cari rumah kita yang sebenar. Di situlah terletak kekuatan kita dan nilai sejagat kita dalam masyarakat antarabangsa yang sudah menjadi Kampung Sejagat, menuju ke sebuah dunia baru yang aman dan adil.

Inilah destini bangsa kita. Semua puak, BN, PR dan “tenaga ketiga” mesti bekerjasama (hidupkan jiwa besar dan singkirkan faham kepuakan masing-masing) dan cari suatu formula yang boleh menyatukan bangsa kita untuk melakukan kerja-kerja tamadaun – “meyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”, mencipta sebuah Malaysia baru yang aman dan adil dalam sebuah dunia baru yang aman dan adil dalam Abad Ke-21 ini.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau: www.stormloader.com/qsmjam dan www.kassimahmad.blogspot.com.

2 comments:

Anonymous said...

Apa kata humban UMNO/BN yang selama 53 tahun tidak membela rakyat majoriti. UMNO beri kita Menara Kembar Petronas, Formula One, Putrajaya, hilangkan Singapura, dan ratusan rasuah mega yang membuat rakyat majoriti boleh hisap jari aja dan menikmati kemiskinan.. Tapi masih ada yang mahu UMNO memerintah walaupun dah ada cop rasuah. UMNO perlu disuntik dengan konsep perjuangan nasionalis lapuk bertopengkan 'Islam' konservatif dan terus memelihara institusi Raja kononnya itulah salah satu karektor 'Melayu'. Parti alternatif jangan diberi peluang kerana mereka tiada pengalaman memerintah dan hidup mereka berpura-pura baik antara DAP/PAS/PKR walaupun mereka tidak rasuah dan mereka cuba menerapkan ciri-ciri urus tadbir yang baik walaupun tak dapat dana pusat sepenuhnya dan baru 2 tahun saja memerintah, tak boleh lawan 53 tahun memerintah oleh UMNO.BN.
Sepatutnyanya jika cuba memberi peluang PR memerintah untuk dua penggal kemudian humbankan mereka jika tidak 'perform' ini tidak asyik nak menghuru-harakan PR dengan klise biasa DAP kuda PAS, PAS kuda PKR dan PKR kuda DAP dan seterusnya, janji mesti hantam PR tapi mahu cari alternatif. Alternatif terbaik adalah PR tapi nanti dicari kekurangannya seperti tak ikhlaslah, tak ikut ajaran Islam sepenuhlah,tak boleh bersatulah,tak berjuang untuk Ketuanan Melayulah dan macam-macam lagi. Yang baik, dulu, kini dan selamanya adalah UMNO/BN walaupun sudah terbukti ia adalah paling 'corrupt' selama-lamanya dan inilah yang disanjung oleh pembodek-pembodeknya yang bertenggek di banyak persada organisasi.

Juang said...

Salam,

Jika memilih pembangkang pula, tidak mustahil setelah lama mereka memerintah, mereka pun akan korup juga. Ini kerana mentaliti dan attitude orang kita masih sama tidak kira parti apa pun.

Dahulu ketika UMNO/BN mula-mula memerintah, mereka juga mahu memerintah dengan baik dan tidak korup. Samalah macam cakap-cakap pembangkang hari ini ketika masih belum cukup berkuasa lagi.

Di sini kita nampak kaedah dwi-parti dalam sistem politik kita tidak sesuai kerana penukaran puak/parti tidak menjamin korupsi dapat dibasmi.

Jangan jadi seperti kata perpatah, keluar mulut buaya, masuk mulut harimau.

Jadi cadangan Pak Kassim wajar kita fikirkan iaitu untuk menyatukan semua parti-parti itu dan mewujudkan satu sistem yang boleh menegur dari dalam atau konsep musyuwarah.

Ambil pedoman kisah Nabi Musa. Adakah dia mewujudkan satu kumpulan yang membangkang Firaun dan berusaha menjatuhkan Firaun? Tidak, tetapi dia dan saudaranya pergi terus menegur Firaun dari dalam. Namun kerana tidak boleh ditegur daripada dalam, akhirnya Firaun menjatuhkan dirinya sendiri kepada kebinasaan.

Tetapi kenapa hari ini, parti yang mengaku perjuangkan Islam itu tidak mahu memikirkan pedoman kisah Nabi Musa itu? Bayangkanlah yang ada title ulamak/ustaz yang belajar di institusi pengajian agama pun tak mahu renung kisah tersebut, apatah lagi orang awam yang suka menurut membuta-tuli itu.