Friday, April 22, 2011

UCAPAN PRESIDEN MERASMIKAN
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN FORUM IQRA’ KE-9
PADA 23 APRIL, 2011, DI HOTEL ARMADA,
PETALING JAYA, SELANGOR, D-E.

Assalamu 'alaikum.

Saya mengalu-alukan kedatangan Sdr/i ke Mesyuarat Agung Forum Iqra' yang ke-9 di sini pada pagi yang permai ini.

1. Tujuan Forum Iqra’ Ditubuhkan

Pertubuhan Forum Iqra’ (Foriq) telah kita wujudkan selepas buku Hadis – Satu Penilaian Semula terbit pada 1986, tetapi baru didaftarkan dalam 2000. Sebelum itu pertubuhan tidak rasmi, Jema’ah al-Quran Malaysia (JAM), kita jadikan wadah kita untuk bergerak memberi penerangan kepada rakyat kita, Islam dan bukan-Islam, tentang perlunya kita kembali kepada ajaran Quran sebagai panduan dan sumber utama dalam kehidupan kita. Ini kerana Quran kitab suci Tuhan yang terakhir kepada kita dan dijamin oleh Tuhan Sendiri bebas dari korupsi manusia. Ia lengkap dan terperinci. Ia mensahkan dan mengatasi semua ajaran lain. Quran, 5: 48.

Saya sebut Quran sebagai “panduan dan sumber utama”. Ada dua sumber Quran, 4: 59 : pertama, Tuhan, yakni Quran. Quran boleh diumpamakan sebagai Perlembagaan sesebuah negara, undang-undang yang teringgi. Kedua, pihak yang berkuasa, yakni pimpinan, termasuk kalangan cerdik-pandai (ahli falsafah, ahli sains dan sarjana), yang mentafsirkan sumber pertama serta membuat undang-undang tambahan untuk melaksanakan panduan utama tadi.

Satu golongan yang menamakan diri mereka “golongan Quran saja” telah muncul di seluruh dunia, berikutan dengan pendirian Rashad Khalifa menolak semua hadis. (Lihat bukunya, Quran, Hadith, and Islam, Yucson, USA, 1982.) Mereka salah faham. Tuhan dan Manusia itu ada hubungan timbal-balik. Manusia itu (Ar., Khalifah, Latin, Homo sapiens) manifetasi tertinggi Tuhan di Alam Raya. Di dalam diri manusia dimasukkan secebis roh Tuhan (Ar. min ruhi). Dia raja yang, seperti Tuhan, boleh mencipta dan mengubah dunia. Sebab itu Quran, di samping disifatkan sebagai “kalimah Tuhan”, (kalimat’ul-Rabbik) disifatkan juga sebagai “perktaan rasul yang mulia”. (Quran, 69: 40; 81: 19)

Oleh kerana ini, kita tidak menolak semua hadis, kerana hadis, sebagai perkataan manusia, ada yang betul dan ada yang salah. Sikap kita kritikal, bukan anti-. Mereka yang mencop kita sebagai anti- itu membuat fitnah. Bagi kita, Quran itu Furqan, Penimbang, atau Neraca. Ia mengukur semua ajaran (falsafah, teologi dan sains): yang lulus, diterima; yang tidak lulus, ditolak. Pendirian ini jelas, logikal dan rasional.

2. Perkembangan dan Kemajuan

Dari tarikh penubuhan JAM hingga sekarang, iaitu 25 tahun, kita telah melalui banyak pengalaman, pahit-maung, suka-duka, gagal dan berjaya, dan alhamdulillah, pada umumnya, perjuangan kita meningkat naik. Sudah ramai rakyat kita, cerdik-pandai dan rakyat biasa, yang sedar akan kelemahan Hadis dan perlunya kita balik kepada Quran. Jangan kita lupa kepada perintah Tuhan: “Hendaklah ada di antara kamu suatu kumpulan yang mengajak kepada kebaikan, dan memerintahkan yang baik dan menghalang yang jahat.” (Quran, 3: 104). Kita tidak perlu menunggu pilihanraya umum tiap-tiap lima tahun untuk membuat perubahan. Kita hanya perlu ada 30% daripada anggota masyarakat (mukmin) untuk “menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan” untuk menghasilkan anjakan paradigma. Hanya ciri ini dalam masyarakat kita yang boleh mengelak masyarakat kita daripada hukuman Tuhan yang, bila datang, pantas dan dahsyat. Lihat mala-petaka-mala-petaka besar yang berlaku di mana-mana dalam masa sedekad yang lalu, khasnya tusnami di Acheh (2002: 230,000 mati) dan gempa bumi dan tsunami di Jepun baru-baru ini (15-16 Mac, 2011: anggaran mati: 100,000). Sesetengah hukuman Tuhan ini tidak memilih mangsanya, kecil atau besar, tua atau muda. Ini kerana kejahatan kolektif yang dilakukan oleh masyarakat generasi demi generasi. Ingat kepada hukuman-hukuman Tuhan kepada kaum Lot dan kaum-kaum lain pada zaman lampau. Negara kita sendiri telah mengalami mala-petaka besar apabila sebuah Menara Tanah Tinggi di Hulu Kelang, Selangor runtuh dalam Disember, 1993: 48 orang mati.

Kita harus berwaspada terhadap hukuman Tuhan. Kita hidup dan mati; mati dan hidup, generasi demi generasi, hingga suatu masa apabila kita akan kembali kepada Tuhan. Nilai kita sebagai insan, bukan pada bilangan dan kekuatan, tetapi kepada kebaikan yang kita lakukan. Kebaikan ini terdiri dari tiga unsur yang penting: falsafah hidup tauhid, bertanggungjawab atas semua perbuatan kita, dan mengamalkan kehidupan yang baik. (Quran, 2: 62) Manusia akan dihukum jika mereka menyengutukan Tuhan dan melakukan kerosakan di dunia.

3. Makna Kitab Suci Quran kepada Mukmin dan Manusia

Walaupun kita memiliki kitab suci Quran, ia bukan milik umat Islam khusus. Quran itu milik seluruh dunia. Siapa yang mengamalkannya, tidak kira bangsa dan agama formalnya, mereka berjaya. Dulu umat Islam di zaman Nabi Muhammad serta pewaris-pewarisnya yang menyambung perjuangan itu berjaya menciptakan sebuah tamadun moden yang agung, dari abad ke-7 hingga abad ke-15. Apabila umat Islam menyeleweng dari “Jalan Lurus” yang diperintahkan Tuhan, mereka diganti oleh bangsa-bangsa Eropah untuk meneruskan kerja-kerja tamadun, dari abad ke-15 hingga ke abad ke-20. Dari Perang Dunia Pertama (1914-1918) hingga sekarang, masyarakat manusia menemui jalan buntu. Mereka sekarang berada di antara dua kemungkinan: kemusnahan total (melalui suatu peperangan nuklier), atau perubahan paradigma yang besar yang akan menyelamatkan mereka serta membolehkan mereka terus maju mendaki tangga evolusi.
Kita sudah tahu kelemahan-kelemahan tamadun tradisional Timur, termasuk Islam: berat dengan tradisi, ringan dengan modenisasi. Tradisi yang baik harus kita teruskan; di samping itu, modenisasi juga perlu. Modenisasi perlu kerana manusia sifatnya terus berkembang. Hidup bermakna berkembang. Beku bermakna mati. Makhluk-makhluk yang telah hapus, seperti dinosour, hapus kerana mereka gagal menyesuikan diri mereka dengan persekitaran yang berubah.
Namun demikian, acuan modenisasi kita menjadi masalah. Barat sekarang menemui jalan buntu, kerana individualisme yang melampau, liberalisme yang melampau, dan materialisme yang melampau. Ketiga-tiga keterlampauan ini menyebabkan Barat menjadi binatang buas – kuasa hegemoni, yakni ia menjadi kuasa penindas. Hegemoni Barat (baca ketamakan) telah membawa kita kepada kebuluran dan kemiskinan yang meluas di Dunia Ketiga. Hegemoni Barat telah membawa kita kepada kediktatoran dalam Majlis Keselamatan, P.B.B. Hegemoni Barat telah menjadikan peperangan Bisnes Besar. Akibatnya: obsesi manusia dengan apa yang di panggil ‘Akhir Zaman’. Tetapi ‘Akhir Zaman’ itu sebenarnya kehancuraan sebuah dunia lama yang bobrok, apbila sebuah dunia baru yang adil sedang muncul.

4. Konsep Manusia sebagai Khalifah Tuhan di Bumi

Manusia, yang muncul di Bumi kira-kira satu juta tahun dulu, suatu makhluk yang unik dan istimewa. Dia berbeza daripada makhluk-makhluk dulu, kerana akal rasionalnya, yang boleh mengetahui semua perkara dalam alam raya ini. Tiada makhluk lain yang memiliki kebolehan ini. Inilah makna perlambangan perintah Tuhan kepada malaikat sujud kepada Adam. (Quran, 2: 34) Tuhan memerintah kita supaya kita tidak sujud kepada sesiapa kecuali Dia. Dengan perbuatan ini, manusia mencapai kebebasan total, kecuali kepada Kuasa Yang Sebenar, yang kita panggil Tuhan. Dengan kebebasan total inilah manusia boleh menentukan destininya sendiri. Dengan perkataan lain, dia raja.
Ingatkan perlambangan tawaran yang dibuat oleh Tuhan kepada semua makhluk untuk memerinthan dunia, yang ditolak oleh semua makhluk lain, kecuali manusia. (Quran, 33: 72) Manusia menerima tawaran hebat ini. Tawaran ini sangat merbahaya. Ia boleh merosakkan tamadun. Perhatikan kehancuran-kehancuran yang telah disebabkan oleh dua peperangan dunia.

5. Perkembangan Tamadun

Pendek kata, mengamalkan ajaran Quran tidak semudah yang kita jangkakan. Quran mengajak kita mencipta sebuah tamadun yang baik bagi semua manusia. Mudahkah kerja ini? Tentu tidak mudah. Manusia yang memiliki kejiwaan haiwan (nafs’ul-amarah) (Quran, 12: 53) tidak boleh melakukan kerja ini. Kaum oligarki di Barat dan anak-buahnya di merata dunia memang memiliki kejiawan haiwan ini. Mereka harus digantikan dengan kaum humanis dengan kejiwaan manusiawi (nafs’ul-lawwah) (Quran, 75: 2) . Kalau saya tidak silap, kebangkitan rakyat yang sedang berlaku sekarang di Asia Barat persis bertujuan untuk mencapai perubahan paradigma besar ini. Ia tidak terbatas kepada rantau itu saja. Ia meliputi seluruh dunia. Proses ini, dalam perkiraan saya, bermula dengan Perang Dunia Pertama apabila kepimpinan Barat kepada dunia mulai retak dan pecah. Proses ini sudah berlaku hampir seratus tahun, dikira dari 1914 apabila pecah Perang Dunia Pertama. Ia akan mengambil sedikit masa sebelum selesai. Saya jangka dalam masa satu atau dua dekad lagi, proses ini akan tamat dan sebuah dunia yang aman dan adil akan lahir.

6. Sejarah Islam di Malaysia

Sejarah memberitahu kita Islam datang ke Alam Melayu dalam abad ke-13, dan Kesultanan Melayu Melaka memeluk Islam pada awal abad ke-15. Islam, walaupun bentuk yang sampai ke Melaka dan Dunia Melayu sudah berubah dari bentuk yang asal -- jaraknya 500 hingga 700 tahun setelah Nabi Muhammad wafat – ia masih merupakan suatu pegangan hidup yang jelas dan ringkas dengan tekanan kepada nilai individu. Ia menjadikan Dunia Melayu sebagai sebagian dari ummah yang besar. Ini menyebabkan Melaka berkembang menjadi sebuah kota pelabuhan perdagangan yang masyhur di seluruh dunia pada ketika itu.
Namun demikian, kelemahan-kelemahan yang telah masuk ke dalam Islam asal menyebabkan Dunia Melayu dijajah oleh penjajah-penjajah Eropah (Portugis, Belanda dan Inggeris) selama 446 tahun (dalam kes Melaka). Apabila kita merdeka pada 1957, kita menghadapi masalah-masalah menyambung semula kerja-kerja membina tamadun – tamadun bangsa Malaysia baru. Saya gunakan istilah ‘tamadun’ dan tidak ‘pembangunan’, kerana istilah ini lebih tepat, merangkumi semua bidang kehidupan: fizikal-material, mental-intelektual-budaya, dan moral-spiritual.
Sebagai orang Islam, kita tahu Quranlah satu-satunya kitab panduan yang kebal dan tidak terkalahkan untuk kita. Letakkan ia di atas sekali. Ajaran-ajaran lain (teologi, falsafah dan sains) duduk di tempat kedua. Yang selaras dengan ajaran Quran, terpakai; yang tidak selaras, tertolak. Inilah pendirian kita yang jelas, lagi logikal.
Seperti yang kita tahu, institusi Hadis yang masuk ke dalam masyakat Islam awal kira-kira 300 tahun setelah Nabi Muhammad wafat itu penyelwengan besar yang pertama yang dilakukan oleh umat Islam. Kita lihat gerakan tajdid moden yang bermula dengan Sheikh Muhammad Abduh (m. 1905) gagal membersihkan penyelewengan besar ini. Daki Hadis terlalu tebal! Pemimpin-pemimpin utama kita memperkenalkan pelbagai macam cara untuk membuang daki ini, termasuk mendukung nilai-nilai murni (Dr. Mahathir) dan “Islam Hadhari” (Abdullah Badawi) . Sekarang Perdana Menteri Najib memperkenalkan konsep utama “berfikir di luar kotak” untuk mengatasi perkara yang sama. Mungkin beliau akan lebih berjaya.
Praktik kembali kepada ajaran Quran akan membersihkan masyarakat kita daripada penyelewengan-penyelewengan besar dalam institusi-institusi Kerajaan dan bukan-Kerajaan.

7. Pemodenan Masyarakat Malaysia

Apakah makna pemodenan? Mengapa kita perlu memodenkan masyarakat kita? Bagaimana caranya kita memodenkan masyarakat kita?

Masyarakat kita terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Mereka yang menerima pembaratan secara total (jadi Mat Salleh, kata orang-orang kita!), mereka yang menolak secara total (yang jumud), dan mereka yang kritikal menerima yang baik dan menolak yang buruk. Kita mesti pilih cara yang ketiga, kerana inilah cara yang paling baik.

Ambil contoh kitab Bible, yang datang ke negara kita bersama-sama dengan tamadun Kristian-Barat. Patutkah kita baca kitab ini? Golongan pertama kata ‘Ya’, dan masukklah Kristian, keran ia lebih ‘maju’; golongan kedua kata, ‘Jangan’, nanti rosak akidah kita (lalu kita berkonflik dengan dunia luar); dan golongan ketiga kata,’Baca dengan kritikal’ dan ambil yang baik dan buang yang buruk. Jelas dari sini mengapa golongan ketiga benar. Inilah caranya kita memodenkan masyarakat kita: ambil yang baik dari semua tamadun, dan buang yang buruk.
Kita mesti memodenkan, kerana masyarakat manusia senantiasa berkembang. Ia tidak boleh beku. Beku bermakna mati. Hidup bermakna berkembang. Kalau dulu kita berjalan kaki di kampung-kampung, sekarang kita naik motosikal atau kereta. Kalau dulu rumah kita dibuat dari kayu; sekarang kita buat dari simen. Kalau dulu kita pakai mesin taip, sekarang kita pakai komputer. Apa yang akan datang, sepuluh, dua puluh atau tiga puluh tahun lagi, kita tidak tahu. Apa yang kita tahu, masyarakat kita akan terus berkembang. Kemungkinan besar lima puluh tahun lagi, kita akan menghuni angkasa lepas.

8. Dunia Melayu dan Dunia Islam

Sejarah mengajar kita bahawa asal-usul orang Melayu dari Palembang. Kerajaan Melayu Melaka wilayahnya termasuk wilayah-wilayah di Sumatera. Apabila penjajah-penjahan Barat (Portugis, Belanda dan Inggeris) menakluk Dunia Melayu, Malaya ditadbir oleh Inggeris dan Indonesia oleh Belanda. Sekarang Dunia Melayu merdeka dalam bentuk negara-negara- bangsa Malaysia dan Indonesia. Jadi, Dunia Melayu itu hakikat pertama. Dunia ni dicirikan oleh dua sifat besar: pertama, kumpulan bangsa yang besar bernama Melayu-Polinesia; kedua, agama Islam.
Pada masa yang sama, Malaysia dan Indonesia sebagian daripada Dunia Islam, memiliki agama tauhid Islam. Ini hakikat kedua.
Oleh sebab itu, orang dari Indonesia dan dari Dunia Islam, apabila datang ke Malaysia dan berkahwin dengan perempuan Melayu, secara automatik jadi orang Melayu. Hakikat ini gagal difaham orang ramai orang, termasuk sesetengah pemimpin Melayu sendiri. Salah-faham ini harus diperbetulakan.

9. Sistem Pemerintahan Nasional

Sekarang ramai rakyat kita mahukan sistem dwi-parti dalam pemerintahan, yakni ada sebuah parti (atau gabungan parti) yang memerintah dan sebuah parti yang membangkang. Sistem ini kita tiru dari Barat. Kata mereka, parti pembangkang diperlukan untuk mengkritik penyelewengan. Istilah mereka, check and balance atau sekat dan imbang supaya masyarakat tidak rosak.
Betulkah teori ini? Pada satu tahap, ia betul; pada tahap lain, ia tidak betul. Waktu kita kanak-kanak, kita perlukan tunjuk-ajar daripada ibu-bapa dan guru, yakni dari luar diri kita. Pada tahap ini, tahap manusia primitif, kita perlukan satu kuasa luar untuk menyekat diri kita daripada membuat kerosakan. Apabila kita dewasa dan boleh berfikir secara matang, kita tidak perlukan kuasa luar ini: kita sendiri menghalang diri kita daripada membuat kerosakan. Tahap ini lebih tinggi daripada tahap pertama.
Jadi, sistem dwi-parti Barat itu sistem manusia primitif sebenarnya. Kita tahu Barat itu sejarahnya penjajah, sedangan sejarah kita kena jajah. Bolehkah sama? Lagipun, kita diberi Tuhan dua belah tangan. Logikkah dan bijakkah jika kita gunakan satu tangan untuk membelasah kerja satu tangan lain? Jadi, kita harus berpindah dari kejiwaan primitif (nafs’ul-amarah) kepada kejiwaan bertamadun (nafs’ul-lawwamah) dengan menyusun sebuah sistem pemerintahan yang boleh membuat koreksi dari dalam. Ini pun sudah berlaku dalam sistem Barisan Nasional. Tun Razak mengkroreksi dasar Tungku Abdul Rahman yang pro-kolonial kepada dasar nasionalis. Sekarang kita melihat Dato’ Seri Najib membuat satu koreksi lagi dari kepimpinan elitis kepada kepimpinan pro-rakyat dengan konsep-konsep “Rakyat didahulukan” dan “Pencapaian diutamakan”.
Bukan kita tidak nampak kelemahan falsafah politik Barisan Nasional. Kelemahan itu kelemahan falsafah pragmatisme dan utilitarisnisme. Pragmatisme bererti melihat kepentingan jangka pendek, dan mengabaikan kepentingan jangka panjang. Utilitarisnisme bermakna mementingkan kegunaan praktikal, dan mengabaikan unsur-unsur moral, estetika dan spiritual.
Oleh itu, kita ingin menganjurkan suatu sistem nasional kita sendiri yang jauh lebih baik daripada sistem dwi-parti Barat, yang sedang hancur di Barat sendiri. Sistem ini membenarkan jamak parti, terdiri dari pelbagai jalur ideologi, tetapi bersatu di atas suatu permuafakatan nasional berdasarkan falsafah politik patriotisme Malaysia. Ini bermakna Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) dimasukkan ke dalam sistem Barisan Nasional dan wakil-wakil dari Pakatan Rakyat diberi jawatan dalam Kerajaan Nasional yang baru ini. Ini akan menghasilkan sebuah sistem pemerintahan yang jauh lebih baik dan lebih kuat. Ia akan meningkatkan kita daripada kejiwaan primitif kebinatangan kepada kejiwaan kemanusiaan bertamadun yang lebih rasional. Sistem ini boleh menjaminkan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa mengikut acuan kebangsaan kita, bukan acuan anti-nasional penjajah.
Sekarang ini, ada kalangan rakyat kita yang mahu menangguk di air keruh kerana konsep “Rakyat Didahulukan” yang dibawa oleh Perdana Menteri Najib. Mereka mahu menafikan sejarah bahawa Malaysia sekarang berasal dari Kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15, dan bahawa mereka datang sebagai pendatang dengan ekonomi kolonila Inggeris. Peristiwa konflik di sekitar novel Saterawan Negara Abdullah Hussein, Interlok, yang telah dijadikan buku teks sekolah menengah, memperlihatkan kecenderungan ini. Kita tidak boleh memberi muka kepada golongan cauvinis-kolonial ini. Kita harus tegas mempertahankan hak patriotik rakyat pelbagai suku-bangsa, dan kita harus tegas mempertahankan kebenaran dan keadilan.

10. Masalah Gejala Sosial

Akhir-akhir ini, gejala buang bayi dan pesta sex bebas menjadi masalah besar kepada masyarakat kita. Apa yang harus kita buat untuk mengatasi masalah-maslaha ini? Kita harus sedar bahawa dunia sekarang sudah banyak berubah. Kita sedang hidup dalam apa yang dipanggil Kampung Sejagat. Internet menghubungkan kita dengan budaya seluruh dunia, yang baik dan yang buruk. Jadi, kita sudah sampai ke tahap kita sendiri mesti mendisiplinkan diri kita. Dengan kata-kata lain, kita mesti membangunkan kekuatan dalaman untuk menghalang keburukan dan kerosakan. Dalam pada itu, ibu-bapa mesti memainkan peranan yang sepenuhnya untuk mendidik anak-anak mereka.

11. Keamanan Dunia

Ahli falsafah Inggeris Thomas Hobbes (1588-1679) dalam karyanya Leviathan menyifatkan masyarakat segabai medan perang “satu lawan semua”. Inilah yang saya sebut masyarakat primitif kebinatangan. Walaupun kita sudah memiliki sebuah Pertubuhan Antarabangsa (P.B.B.) untuk mencari muafakat antarabangsa dalam semua hal, kita masih gagal menghapuskan peperangan. Amerika Syarikat dan sekutunya sedang megendalikan tiga peperangan sekarang: di Afghanistan, Iraq dan Libya. Mengapa kita tidak boleh menghapsukan peperangan? Jawabnya, kerana kuasa-kuasa besar masih berpegang kepada falsafah primitif Thomas Hobbes bedebah itu! Lagi pun, falsafah ini mendatangkan laba yang besar! Perang itu Bisnes Besar. Semua kuasa besar berdagang senjata serta mengaut laba yang besar. Ini yang menjadi punca peperangan. Jadi, untuk menghapuskan peperangan dari kehidupan manusia, kita mesti berpindah dari konsep primitif masyarakat sebagai medan perang “satu lawan semua” Thomas Hobbes kepada konsep kemanusiaan bertamadun naf’sul lawwamah kerjasama antarabangsa.

12. Merancang Masa Depan

Sebagai makhluk yang berakal, kita mesti merancang masa depan kita. Bukan untuk lima tahu, tetapi untuk 30 tahun, iaitu satu generasi. Perancangan ini harus berterusan. Yang penting kita merancang mengikut panduan Quran, kitab suci yang kebal.
Dunia kita akan kekal lama lagi. Ia tidak akan kiamat pada 2012, seperti yang diramalkan dalam sebuah filem. Ini sinario orang kecewa mahu mati. Ramai orang sangka dunia akan kiamat tidak lama lagi. Ini tidak benar. Apa yang akan berlaku, dunia lama yang bobrok akan runtuh dan musnah. Ia pun sedang runtuh dan musnah di depan mata kita sejak Perang Dunia Pertama. Perang Dunia Pertama menandakan keretakan dan keruntuhan sistem Eropah yang muncul dalam abad-abad ke-13 hingga ke-15dari gerakan Kebangkitan Eropah. Perang Dunia Kedua, Perang Dingin dan sekarang Perang Anti-Keganasan membawa kita hampir kepada keruntuhan total sistem ini. Inilah yang melahirkan perasaan pesimis di sesetengah kalangan manusia. Ini pula menyebabkan timbulnya sinario ‘Akhir Zaman’ atau kemusnahan alam.

Alam ini, mengikut perkiraan ahli-ahli sains, akan kekal 100 bilion tahun lagi. (LIhat Frank J. Tipler, The Physics of Immortality, New York, 1994.) Manusia akan menghuni angkasa lepas tidak lama lagi (Quran, 3: 133; 57: 21) dan terus hidup, generasi demi generasi, hingga satu masa apabila tenaga Alam Raya kehabisan dan runtuh menjadi tiada. Pada ketika itu, seperti asalnya, hanya Tuhan saja yang ada. (Quran, 28: 88)
Akhir kata, dalam ucapan saya, saya telah menyentuh semua hal yang penting dalam kehidupan kita sekarang untuk membuktikan relevannya Quran sebagai panduan kepada kita, dan bagaimana kita harus rancang kehidupan kita, sebagai individu dan sebagai negara-bangsa, sekarang dan akan datang. Dengan lafaz Bismillah, dengan nama Allah, saya merasmikan Mesyuarat Agung kita yang ke-9. Selamat bersidang!

KASSIM AHMAD
Presiden
23 April, 2011,
Petaling Jaya, Selangor, Darul-Ehsan.


Tuesday, April 12, 2011

BEBASKAN MASYARAKAT KITA
DARI SEMUA BENTUK KOLONIALISME:
SUSUN SISTEM PEMERINTAHAN NASIONAL KITA SENDIRI


Oleh: Kassim Ahmad
kassim311@yahoo.com

13 April, 2011

Masanya sudah tiba untuk negara kita Malaysia menyusun sistem pemerintahan mengikut acuan nasional kita sendiri. Dunia, Timur dan Barat, sedang melalui aneka krisis: ekonomi-kewangan, politik, intelektual dan budaya. Tanda-tandanya nyata: sistem Euro yang bangkarut; dolar A.S. yang tiada sandaran ekonomi fizikal; sistem-sistem politik Barat yang sedang runtuh; dan kerana semua ini, seluruh sistem dunia diancam keruntuhan. Lambat-laun, suatu pembetulan perlu, sama ada dilakukan secara terancang oleh kepimpinan politik dunia yang berwawasan dan berani, atau dipaksa oleh aneka keadaan yang tidak terkawal. Apa yang berlaku kepada Jepun suatu amaran keras. Jika ia boleh berlaku kepada Jepun, mengapa tidak kepada Amerika Syarikat, atau Eropah? Suatu kuasa ekonomi besar boleh runtuh dalam sekedip mata!
Semua negara sekarang sedang menghuni sebuah Kampung Sejagat. Sama ada kita timbul bersama, atau kita tenggelam bersama! Jangan kita fikir kita sebuah negara kecil maka apa yang kita lakukan tidak akan ada kesan kepada dunia. Kecil-besar bukan perhitungan bagi Alam Semula jadi atau Mother Nature. Baik-buruk – itu perhitungan yang akan menentukan kelangsungan Manusia, Homo sapiens di Bumi ini.
Telah saya nyatakan di lokasi-lokasi lain bahawa sistem pemerintahan yang kita pakai sekarang kita tiru, pada prinsipnya, dari Barat – apa yang dipanggil sistem dwi-parti Kerajaan-Pembangkang. Sistem ini sebenarnya sistem yang primitif lagi membazir , berasal dari kejiwaan kebinatangan, dalam istilah Quran, nafs’ul-amarah, dirumuskan dalam falsafah politik Thomas Hobbes (1588-1679) dalam karya agungnya Leviathan bahawa masyarakat manusia itu medan perang “satu lawan semua”. Walaupun kejiwaan primitif ini disebut dalam Quran (Surah 2, ayat 36: “musuh antara satu sama lain”), nyata ini kejiwaan terendah dan manusia tidak harus kekal di situ. Logika boleh melihat ke mana falsafah “satu lawan semua” ini akan membawa kita – kemusnahan! Kita sudah berada di situ banyak kali dalam sejarah manusia, tetapi kali ini kemusnahan itu akan bersifat total.
Kita dilantik oleh Tuhan sebagai khalifah di Bumi. Ini bermakna kita raja. Kita boleh menentukan nasib kita sendiri. Kita boleh pilih sama ada mahu memberontak terhadap Tuhan, atau kita mahu patuh kepada Dia. Dalam sejarah manusia, pemberontak sudah banyak datang dan pergi, seperti mana pematuh sudah banyak muncul. Bezanya kerja-kerja kumpulan pertama hapus ditelan zaman; kerja-kerja kumpulan kedua kekal menjadi batu-bata tamadun. Kita boleh pilih kumpulan mana kita mahu masuki. Semuanya bergantung kepada kita. Tidak ada paksaan. Tetapi, ingat, pilihan kita membawa akibat. Jika kita pilih untuk patuh, kita menjadi pembina tamadun; jika kita pilih untuk memberontak, kita jadi abu! Sejarah menjadi saksi kepada hakikat ini.
Maka itu, saya syorkan, pada saat ini, pada saat Najib, anak kepada negarawan pematuh kita yang lalu, kita buat perubahan ini. Tinggalkan kejiwaan primitif Thomas Hobbes “satu lawan semua”, dan pindah kepada kejiwaan manusiawi bertamadun (nafs’ul lawwamah) “bekerjasama untuk kebaikan”. Rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai suku-bangsa dan agama, sebuah masyarakat plural, kata bijak-pandai sekarang. Kita boleh ada banyak parti, mewakil pelbagai kaum dan ideologi, tetapi sebagai suatu negara-bangsa Malaysia, kita harus dicirikan oleh suatu semangat cintakan bangsa dan negara, iaitu Patriotisme Malaysia.
Mengapa kita perlu ada pembangkang untuk menghancurkan kerja Kerajaan? Konon untuk sekat dan imbang, atau dalam bahasa Mat Salleh, cek and balance. Kita diberi Tuhan dua tangan, lalu kita gunakan yang satu untuk mebelasah yang lain! Ini bukan saja tidak logik. Ini bodoh! Kita boleh kritik dan buat koreksi dari dalam. Dalam sejarah negara kita, Tun Razak telah membuat koreksi nasionalis terhadap dasar pro-kolonial Tungku Abdul Rahman. Sekarang Najib sedang membuat koreksi itu lagi. Sekarang dengan kejiwaan yang lebih tinggi, kita gunakan kedua-dua belah tangan kita untuk membangunkan tamadun Malaysia Baru.
Dalam sistem ini, Pakatan Rakyat, pembangkang sekarang, harus duduk dalam sistem patriotik ini dan memainkan peranan mereka untuk membangun tamduan kita.

Kassim Ahmad seorang penulis Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com