BEBASKAN MASYARAKAT KITA
DARI SEMUA BENTUK KOLONIALISME:
SUSUN SISTEM PEMERINTAHAN NASIONAL KITA SENDIRI
Oleh: Kassim Ahmad
kassim311@yahoo.com
13 April, 2011
Masanya sudah tiba untuk negara kita Malaysia menyusun sistem pemerintahan mengikut acuan nasional kita sendiri. Dunia, Timur dan Barat, sedang melalui aneka krisis: ekonomi-kewangan, politik, intelektual dan budaya. Tanda-tandanya nyata: sistem Euro yang bangkarut; dolar A.S. yang tiada sandaran ekonomi fizikal; sistem-sistem politik Barat yang sedang runtuh; dan kerana semua ini, seluruh sistem dunia diancam keruntuhan. Lambat-laun, suatu pembetulan perlu, sama ada dilakukan secara terancang oleh kepimpinan politik dunia yang berwawasan dan berani, atau dipaksa oleh aneka keadaan yang tidak terkawal. Apa yang berlaku kepada Jepun suatu amaran keras. Jika ia boleh berlaku kepada Jepun, mengapa tidak kepada Amerika Syarikat, atau Eropah? Suatu kuasa ekonomi besar boleh runtuh dalam sekedip mata!
Semua negara sekarang sedang menghuni sebuah Kampung Sejagat. Sama ada kita timbul bersama, atau kita tenggelam bersama! Jangan kita fikir kita sebuah negara kecil maka apa yang kita lakukan tidak akan ada kesan kepada dunia. Kecil-besar bukan perhitungan bagi Alam Semula jadi atau Mother Nature. Baik-buruk – itu perhitungan yang akan menentukan kelangsungan Manusia, Homo sapiens di Bumi ini.
Telah saya nyatakan di lokasi-lokasi lain bahawa sistem pemerintahan yang kita pakai sekarang kita tiru, pada prinsipnya, dari Barat – apa yang dipanggil sistem dwi-parti Kerajaan-Pembangkang. Sistem ini sebenarnya sistem yang primitif lagi membazir , berasal dari kejiwaan kebinatangan, dalam istilah Quran, nafs’ul-amarah, dirumuskan dalam falsafah politik Thomas Hobbes (1588-1679) dalam karya agungnya Leviathan bahawa masyarakat manusia itu medan perang “satu lawan semua”. Walaupun kejiwaan primitif ini disebut dalam Quran (Surah 2, ayat 36: “musuh antara satu sama lain”), nyata ini kejiwaan terendah dan manusia tidak harus kekal di situ. Logika boleh melihat ke mana falsafah “satu lawan semua” ini akan membawa kita – kemusnahan! Kita sudah berada di situ banyak kali dalam sejarah manusia, tetapi kali ini kemusnahan itu akan bersifat total.
Kita dilantik oleh Tuhan sebagai khalifah di Bumi. Ini bermakna kita raja. Kita boleh menentukan nasib kita sendiri. Kita boleh pilih sama ada mahu memberontak terhadap Tuhan, atau kita mahu patuh kepada Dia. Dalam sejarah manusia, pemberontak sudah banyak datang dan pergi, seperti mana pematuh sudah banyak muncul. Bezanya kerja-kerja kumpulan pertama hapus ditelan zaman; kerja-kerja kumpulan kedua kekal menjadi batu-bata tamadun. Kita boleh pilih kumpulan mana kita mahu masuki. Semuanya bergantung kepada kita. Tidak ada paksaan. Tetapi, ingat, pilihan kita membawa akibat. Jika kita pilih untuk patuh, kita menjadi pembina tamadun; jika kita pilih untuk memberontak, kita jadi abu! Sejarah menjadi saksi kepada hakikat ini.
Maka itu, saya syorkan, pada saat ini, pada saat Najib, anak kepada negarawan pematuh kita yang lalu, kita buat perubahan ini. Tinggalkan kejiwaan primitif Thomas Hobbes “satu lawan semua”, dan pindah kepada kejiwaan manusiawi bertamadun (nafs’ul lawwamah) “bekerjasama untuk kebaikan”. Rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai suku-bangsa dan agama, sebuah masyarakat plural, kata bijak-pandai sekarang. Kita boleh ada banyak parti, mewakil pelbagai kaum dan ideologi, tetapi sebagai suatu negara-bangsa Malaysia, kita harus dicirikan oleh suatu semangat cintakan bangsa dan negara, iaitu Patriotisme Malaysia.
Mengapa kita perlu ada pembangkang untuk menghancurkan kerja Kerajaan? Konon untuk sekat dan imbang, atau dalam bahasa Mat Salleh, cek and balance. Kita diberi Tuhan dua tangan, lalu kita gunakan yang satu untuk mebelasah yang lain! Ini bukan saja tidak logik. Ini bodoh! Kita boleh kritik dan buat koreksi dari dalam. Dalam sejarah negara kita, Tun Razak telah membuat koreksi nasionalis terhadap dasar pro-kolonial Tungku Abdul Rahman. Sekarang Najib sedang membuat koreksi itu lagi. Sekarang dengan kejiwaan yang lebih tinggi, kita gunakan kedua-dua belah tangan kita untuk membangunkan tamadun Malaysia Baru.
Dalam sistem ini, Pakatan Rakyat, pembangkang sekarang, harus duduk dalam sistem patriotik ini dan memainkan peranan mereka untuk membangun tamduan kita.
Kassim Ahmad seorang penulis Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
8 comments:
Sdr menganjurkan sisten khalifah tetapi pada masa yang sama meminta rejim Najib diluweskan dan mengambil kira konsep patriotisme tanpa menyedari rejim Najib adalah sebuah sistem kesinambungan sistem pasar terbuka, mengkayakan segelintir elit dan meletakkan majoriti boleh hidup seada saja, boleh menggigit jari melihat Formula One, Menara Petronas, Empangan Bakun dan banyak lagi seperti gejala korap berskala mega yang Najib pandang sebelah mata saja. Sistem khalifah adalah satu sistem peralihan kuasa tanpa dipilih oleh massa dan sehingga kini tiada lagi contoh konkrit yang boleh menawan orang ramai.
Sudah dibukti rejim UMNO tak mu8ngkin boleh membawa ke jalan yang lurus melainkan menanamkan nilai korap baik dari segi agama mahupun sosial, tetapi orang Melayu majoriti di desa sama seperti orang Dayak di Sarawak lambat nak terima hakikat itu.
Lihat kebangkitan Arab kini, tiada lagi menyeru kembali kepada ajaran khalifah, mereka mahu reformasi politik, kebebasan demokratik, hapus rasuah, hapuskan pemerintahan kuku besi, hapuskan aparat keselamatan yang membantu dan membodek pemerintahan autoritarian bukan mendesak kepimpinan bersifat 'khalifah'. Para pecinta reformasi turun ke padang tanpa membawa al-Quran atau buku hadis!
salam
saya begitu mengkagumi pemikiran saudara, tetapi jika dilihat pada konteks perubahan yang diunjur tuan, seakan masih berpijak pada jalur jalur partisan, yang pasti tiada untungnya pada mereka yang bersifat non partisan.
asas idea yang dilontar cukup menyenangkan tapi implementasi pada susur idealisme politik rasisme seakan bukan yang sepatutnya terjadi, jelas kontradik dengan semangat idealisme saudara yang mengajak ke arah kesejagatan umat.
bagaimana?
Jika kerajaan hanya beri pendidikan kepada golongan elit sahaja, beri peluang perniagaan kepada golongan elit sahaja, beri subsidi pada golongan elit sahaja, barulah logik kita kata kerajaan hanya mengkayakan segelintir elit. Tetapi kita lihat, tokoh-tokoh pembangkang tidak kurang hebat juga kekayaan mereka. Ini menunjukkan peluang untuk menjadi kaya masih terbuka jika manusia itu rajin berusaha.
Sudah tentulah usaha ini berbeza-beza caranya. Ada yang mencari jalan supaya cepat kaya. Ada pula yang berusaha pada jalan yang jujur. Dan ada pula manusia tidak senang hati melihat orang lain cepat kaya daripada mereka.
1. Komen Anon terkeluar dari tajuk sama sekali. Saya sepatutnya menyekat siarannya, tetapi kadang-kadang ada baiknya kesilapan seperti ini didedahkan.
2. Sistem khalifah itu autokratik, sedangkan sistem yang saya anjurkan di sini tidak.
3. Anon begitu benci kepada UMNO hingga menafikan jasa besar yang dilakukan UMNO. Ini tidak adil sama sekali.
4. Saya sebutkan tentang koreksi yang telah dilakukan oleh Tun Razak dari dalam. Sekarang Najib sendiri sedang melakukan satu koreksi yang besar. Beliau patut disokong.
5. Ada tiga jenis manusia dalam dunia ini: (a) yang menyokong kebenaraan,(mukmin) (b) yang menentang kebenaran,(kafir) dan (c) yang berpura-pura menyokong kebenarana, tetapi sebenarya menentang (munafik).
6. Saya ingin menganjurkepada Anon supaya menulis namanya sendiri. Jangan buat semberangan di sebalik nama samaran!
7. Anjuran saya boleh dipraktikkan dengan syarat kita ubah kejiwaan kita dari nafs'ul amarah kepada nafs'ul lawwamah. Ini tidak mustahil dilakukan.
Islam selamanya menunjukan jalan yang benar dan selamat.
Cuma manusia yang melakukan kekeliruan terhadap ajaran yang suci ini.
Setiap kumpulan akan mendakwa mereka berada dilandasan yang lurus itu.
Sedang hasil yang dilihat sentiasa berlawanan antara satu sama lain.
Itu saja,wallahu 'alam.
Terimakasih dan salam semuanya.
Islam sejak awal dan selamanya jelas memberikan penyelesaian sebenar.
Pemahaman dan perlaksanaan yang berbagai itu menurut keupayaan manusia berinteraksi dengan teks.
Ada yang gagal dan ada yang berjaya.
Wallhu 'alam.
Terimakasih dan salam.
Bayangkan, tangan kanan hendak menyuap makanan ke mulut, tangan kiri menariknya. Bila tangan kiri hendak suap makan ke mulut, tangan kanan menariknya. Akhirnya, perut yang kelaparan.
Begitulah perumpamaannya sistem politik pemerintah-pembangkang yang wujud di negara kita. Rakyat jadi sengsara jika "tangan kanan" dan "tangan kiri" itu jatuh-menjatuh antara satu sama lain.
suatu bangsa itu dipandang tinggi jika mempunyai jati diri dan akhlak yang mulia. Saya telah masukkan link blog tuan pada blog list saya. Terima kasih.
Post a Comment