Sunday, May 08, 2011

SURAT KEPADA SORAYA TENTANG PENGAJIAN AL-QURAN

Oleh: Kassim Ahmad
kassim311@yahoo.com

9 Mei, 2011.

1. Papa bangga dengan Sor kerana keinginan kuat Sor untuk memahami ajaran Quran. Teruskan, tetapi kerja harian kita juga (bekerja, buat kerja rumah dan mungkin belajar juga) mesti dilakukan.
2. Quran itu kitab suci Tuhan yang akhir kepada manusia. Ia mengandungi 90% lebih daripada kitab-kitab dulu. Ia juga dipelihara oleh Tuhan Sendiri dari korapsi manusia melalui apa yang dipanggil Kod 19.
3. Orang yang beriman dengan Tuhan itu terdiri daripada (a) Muslim, yakni tunduk kepada Tuhan, walaupun tanpa mengetahui, (b) Mukmin, yakni dia beriman secara sukarela.
4. Kita beriman kepada ajaran-ajaran Quran sepenuhnya, walaupun banyak ajaran itu kita tidak faham sekarang. Kefahaman kita akan bertambah dengan pertambahan pendidikan dan penglaman kita, sedikit demi sedikit.
5. Manusia terdiri dari dua unsur: (a) nafs/diri/hayat/ego, dan (b) roh (dari roh Tuhan). Semua manusia berasal dari satu nafs saja, walaupun individu banyak. Nafs mati bila sampai masanya (ajal). Roh tidak mati. Dia kembali kepada Tuhan, seperti lampu letrik yang kita tutup suisnya kembali ke matahari.
6. Manusia melalui tiga peringkat kejiwaan: (a) nafsul-amarah - nafs kebinatangan, (b) nafsul-lawwamah, -- nasf yang mengiktiraf kebaikan orang lain, dan (yang paling tinggi) nasful-mutmainnah. Inilah nafs yang menghuni syurga. Syurga dan neraka bukan tempat, tetapi keadaan jiwa kita. Ia wujud sekarang dan terus-menerus hingga seluruh Alam Raya musnah berbilian tahun lagi.
7. Manusia akan menghuni angkasa lepas apabila kita mempunyai teknologi itu, mungkin 100 tahun lagi, atau lebih awal.
8. Teknologi moden juga boleh menyembuh penyakit dan mengatasi umur tua.Manusia boleh menjadi senantiasa muda.
9. Dunia atau Alam Raya bersifat material dan spiritual sekaligus. Spiritual itu Alam Ketuhanan; material itu alam nyata. Alam Raya itu manifestasi Tuhan, yakni bayangan Tuhan. Alam Raya tidak wujud secara mutlak; ia pinjam kewujudan daripada Tuhan. Hanya Tuhan wujud secara mutlak (Wujud Wajib: Necessary Being). Manusia itu wujud mungkin (Contingent Being).
10. Apa yang disebut "Akhirat" itu perubahan besar. Dunia sudah berubah banyak kali, dari zaman manusia primitif hidup bercawat dalam gua hingga bertamadun sekarang. Dunia dan manusia akan terus berubah meningkat tangga evolusi hingga ia kembali kepada Tuhan.
11. Kita tidak boleh melihat Tuhan, kerana dia Roh, sepertimana kita tidak boleh melihat roh dalam badan kita. Kita tahu roh ada dalam badan kita. Kalau dia tidak ada, kita tidak boleh berfikir dan mencipta. Tetapi Tuhan melihat kita.
12. "Akhirat" itu dunia yang datang kemudian. Sekarang ia terlindung daripada kita. Kita sebut "ghaib". Tiap-tiap manusia akan hidup selama-lamanya dalam generasi mendatang. Tetapi secara individu dia fana, tidak kekal, dan mati. Secara kolektif, dia hidup selama-lamanya.
13. Tiada suatu yang berlaku di dunia ini tanpa diketahui oleh Tuhan (dengan izin Tuhan). Hukuman Tuhan berlaku terus-menerus. Itu Sunnatullah atau Natural Law. Hanya kerahiman Tuhan boleh membatalkan undang-undang ini.
14. Manusia bebas menentukan nasibnya sendiri. Itulah makna "khalifah" -- Raja.
15. Inilah pemahaman Papa setelah mengkaji Quran serta pelbagai bidang ilmu (falsafah, sains, sejarah, dll) lebih daripada 50 tahun. Ini semua telah Papa ungkapkan dalam buku Papa ("Islam - the Religion of Divine Unity") yang, insya Allah, akan terbit sebelum akhir tahun ini. Sor bacalah dengan teliti. Kalau tak faham, buatlah soalan.
16. Papa sekarang sedang menyambung terjemaham Quran ke dalam bahasa Melayu yang telah Papa mulakan pada 1995. Papa sangat tidak berpuas hati dengan terjemahan-terjemahan Quran dalam bahasa Melayu, kerana (a) pengaruh nahu Aran, dan (b) kerana fikiran sabjektif penterjemah yang dimasukkkan ke dalam teks. Insya Allah, kerja ini akan siap sebelum akhir tahun ini.
Papa akan salin surat ini kepada kawan-kawan Papa yang berminat.
Sekian dulu. Jaga diri baik-baik.

Wassalam.
Papa.

------------------------------
Kassim Ahmad penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

32 comments:

Anonymous said...

Salam Pak Kassim,

Boleh Pak ulas lebih lanjut mengenai syurga & neraka? Maksud Pak syurga & neraka itu bukan tempat fizikal tetapi spiritual?

asyMok_Aambo said...

:) Maka Berjayalah orang-orang Mukminuun.

Kassim Ahmad said...

Sdr Anon,
1. Syurga dan neraka itu keadaan kejiwaan, bukan tempat. Ia bermula dari sekarang.
2. Hidup kita bersambung-sambung dari generasi ke generasi. Mati jadi hidup, jadi mati dan jadi hidup lagi, dan setersunya mendaki tangga evolusi terus-menerus buat satu masa yang amat panjang.
3. Alam material dan alam spiritual wujud serentak. Jasad kita (nafs/material) akan mati; roh kita (dari Roh Tuhan) tidak akan mati. Bila jasad kita mati, roh kita kembali ke alam ketuhanan.
4. Syurga ada peringkat-peringkatnya, rendah ke lebih tinggi.
5. Neraka suatu proses pembersihan jiwa. Ia tidak kekal. Akan tiba masanya bila ahli neraka akan dikeluarkan dari neraka.

arya said...

Pak Kasim..Assalamualaikum.
Satu perkara yang selalu saya renungkan..tentang terjemahan Al Quran yang banyak tokok tambah.
Contohnya ayat berikut.Surah Al Qiamah:ayat 36-37.
Patutkah manusia menyangka bahawa ia akan ditinggalkan terbiar(enggan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan). Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan( ke dalam rahim).Ini satu daripada contoh.
Penterjemah tidak berniat jahat menokok tambah seperti ayat dalam kurungan.Tapi kesan psikologinya amat negatif pada pandangan saya.
Penterjemah tidak yakin dengan kesempurnaan ayat dan maksudnya tanpa tokok tambah tersebut. Penterjemah bimbang tanpanya pembaca akan terkeliru dan mungkin tersesat.
Bagi pihak pembaca awam mereka tentu beranggapan yang ayat tokok tambah dalam terjemahan berkenaan memang terdapat padanannya dalam Al Quran.
Apa pendapat Pak Kasim?

Fauzi said...

Saya tak setuju dgn huraian Pak Kassim berkenaan syurga dan neraka.

Alam semesta akan hancur. Alam semesta bermula dr Big Bang. Seperti belon yang ditiup dan akan meletup akhirnya (kiamat).

Misi Al-Quran ialah menyatu-padukan umat manusia untuk berperang dengan musuhnya iaitu Syaitan dan Jin.

Mereka hadir dalam tamadun terdahulu dan mencipta sistem agama utk menyesatkan manusia. Ajaran agama berubah dari generasi ke genarasi tetapi persamaannya ialah proses doktrinisasinya kepada masyarakat. Agama ialah perangkap Iblis agar manusia masuk ke dalam Api bersamanya.

-skygyver-

Fauzi said...

Kaum Ibrahim memuja Syaitan.
Kajian saya ialah Ibrahim tinggal di kalangan bangsa Sumeria. Orang Sumeria menyembah Oannes, 'Manusia Ikan' yang turun dari bintang Sirius (19:44).

Al-Quran menceritakan terdapat segolongan Syaitan yang bekerja dengan Raja Sulaiman. Syaitan2 ini bekerja sebagai penyelam (21:82).

Al-Quran menceritakan Musa bertemu dengan syaitan yang berbentuk ikan (18:63).

April lepas, ahli astronomi menemui sebuah planet yang penuh dengan lautan di bintang Sirius. Boleh cari di space[dot]com.

Tak cukup dengan itu saya cadangkan Pak Kassim baca buku Robert Temple, 'The Sirius Mystery'

Al-Quran membuktikan orbit bintang Sirius ialah 49.9 tahun (53:9&49)

Fauzi said...

3 cara Iblis, Syaitan & Jin memusuhi manusia:-

1. Mencipta sistem agama utk menyesatkan dan memecah-belahkan manusia.
2. Mental Telepathic (bisikan).
3. Peperangan (dalam masa terdekat ini)

Wernher von Braun pernah memberi amaran umat manusia harus bersatu untuk menghadapi ancaman mahkluk pintar dari angkasa lepas.

JFK, Nixon, R. Reagan, Bush Sr. dan Clinton juga pernah menyuarakan pendapat yg sama.

Injil menyebut sebagai Armageddon, Lucifer(Iblis) akan turun ke Bumi untuk membunuh semua anak Adam.

Fauzi said...

Injil juga salah satu kitab Tuhan dan kita wajib mempercayainya (sebahagian isi kandungannya sahaja).

Dalam Al-Quran ada menceritakan tentang kuda perang tetapi tidak mengenai kuda terbang Nabi Zulkifli (Ezekiel's Chariot). Ezekiel's Chariot diceritakan dalam Injil.

Saya percaya Al-Quan dan Injil (sebahagian ajarannya sahaja) saling memerlukan. Banyak rahsia yang masih belum terbongkar.

Sekadar pendapat saya sahaja......

-Skygyver-

Aslam Abdullah said...

Pak Kassim Yth.,

(1) Syurga yang dicari oleh manusia sentiasa berada di sini, sekarang.
(2) Minda dan jasad terikat dengan kitaran kelahiran-kematian. Penghuni alam ketuhanan bebas daripada ikatan ini. Dia abadi.
(3) Ahli neraka menyalahi kehendak Tuhan, tidak bertanggungjawab, dan melihat dirinya sebagai 'mangsa' keadaan.

Pada pandangan Pak Kassim, apakah kaedah paling efektif untuk masuk ke samudera ketuhanan?
Terima kasih.

Anonymous said...

kuda terbang juga diceritakan dlm mitos greek di mana perseus (demi god) menaiki pegasus (kuda terbang) utk terbang ke mount olympus utk bertemu dgn zeus (tuhan).
asimilasi mitos kuda terbang ini boleh dikatakan ada dlm kebanyakan agama di mana perlukan kendati haiwan utk naik apabila ingin berjumpa dgn "tuhan".
dlm agama islam, peristiwa "dongengan" israk mikraj dikatakan muhammad menaiki "burak" yakni binatang yang berkepala wanita, bertubuh kuda dan bersayap.
mitos2 ini adalah sandiwara sekadar hiburan cari makan daripada zaman greek hinggalah zaman skrg.
sekadar pendapat saya juga...
lucifer (iblis) sebenarnya ada dalam diri kita masing2 jika kita renungi secara halus, begitu juga dgn syurga dan neraka...
dongengan lucifer akan turun, maka pasti ada seorg messiah yakni penyelamat akan muncul menyelamatkan keadaan. yakni Isa...
kenapa Isa dan bukan Musa. alang2 peperangan mutakhir armageddon, wajiblah muncul the ultimate hero of mankind utk memenggal kepada lucifer ini...
khayalan mitos2 melemahkan umat islam menunggu2 mahdi atau messiah watak ciptaan musuh2 islam.
tiada sesiapa pun suka memperihalkan zulkarnain wp disebut dlm Q.
sekian, dongengan karut drp saya....

Ariji said...

@Fauzi, apakah maksud awak al-Quran memerlukan Injil sebagaimana al-Quran memerlukan kitab Bukhari?

@Kassim,

"5. Neraka suatu proses pembersihan jiwa. Ia tidak kekal. Akan tiba masanya bila ahli neraka akan dikeluarkan dari neraka."

72/23 menerangkan tinggal di Neraka 'feeha abada'. Apakah maksud sebenar 'abada'?

Peace.

Kassim Ahmad said...

1. Tidak ada yang kekal kecuali Tuhan Yang Esa. 'feeha abada' bermakna 'lama', bukan 'kekal'.
2. Ayat 119 Surah 11 menyatakan Tuhan menciptakan manusia kerana kerahimannya.
3. Ayat 108, Surah 11 menyatakan syurga itu suatu anugerah yang tidak akan diraik balik.

Juang said...

Salam,

Dalam ayat 65:11, orang yang membuat kerja kebaikan dimasukkan ke dalam syurga selama-lamanya (fiha abada).

Dalam ayat 11:108 pula, tempoh selamanya itu untuk yang masuk syurga adalah selama adanya langit dan bumi. Maksudnya, ia bukan suatu yang kekal. Begitu juga balasan neraka.

Hanya Allah yang kekal.

Aslam Abdullah said...

Segala-galanya abadi. Bentuk mereka sahaja berubah-ubah. Kerana Dia abadi, dan segala-galanya manifestasiNya.

'Kewujudan' dan 'ketiadaan' hanyalah "dua sisi syiling yang sama".

Dia.

Kassim Ahmad said...

1. Alam Raya mustahil abadi, kerana ia manifestasi Tuhan. Ia wujud mungkin saja (wujud pinjaman).
2. Hanya Tuhan Wujud Wajib.
3. Bolehkah Tuhan tidak memanifestkan Dirinya? Boleh, kerana Tuhan melakukan apa yang Dia kehendak.
4. Bila tiba masanya, segala-gagala akan musnah, kecuali Wajahnya (illa-wajhahu).
5. Ini pengertian saya.

arya said...

Ganti nama 'kami' dalam Al Quran dikatakan merujuk kepada Allah.
Jibril adalah perantara antara Allah dengan Nabi Muhammad. Adakah Jibril ibarat sebuah pita yang telah dirakamkan dan mengeluarkannya kepada Nabi Muhammad tanpa menokok tambah atau mengurangkan satu patah perkataan pun? Atau Jibril menyampaikannya dengan caranya tersendiri dengan izin Allah ?
'Kami' merujuk kepada dirinya Jibril dan Allah.
Jibril merujuk kepada Allah dengan gantinama pihak ketiga 'Dia'. Tidak mungkin Allah merujuk kepada dirinya dengan 'Dia'.
Tentang kiamat. Apabila kiamat berlaku adakah yang musnah hanya planet bumi sahaja atau seluruh sistem suria atau pun seluruh alam yang dikatakan mengandungi 120 bilion galaksi?

Juang said...

1. Kewujudan Alam Raya masih bergantung pada kehendak Tuhan. Jadi ia tidak mungkin abadi.
2. Jika Alam Raya boleh mengabadikan dirinya, itu menunjukkan ia setara dengan Tuhan.
3. Proses kemusnahan alam itu pasti kerana ia lumrah suatu yang diciptakan. Cuma sama ada ia musnah sekali gus atau beransur-ansur.

Kassim Ahmad said...

1. Perkataan 'Kami' merujuk kepada Tuhan dan agen-agen-Nya.
2. Malaikat itu metafora untuk kecenderongan untuk kebaikan dalam diri manusia. Iblis metafora untuk kecenderongan kejahatan.
3. Tuhan membahasakan Diri-Nya sebagai 'Aku', 'Dia' dan 'Kami'.

Fauzi said...

Kpd Ariji,

Maaf, saya tak bermaksud Al-Quran perlu ditafsirkan dgn Injil tetapi terdapat beberapa isi kandungan Injil yg berkaitan hari kiamat tiada dlm Al-Quran.

-Skygyver-

Fauzi said...

Saya percaya Iblis dan Malaikat adalah makhluk. Bezanya jahat dan baik.

Saya percaya Syurga ialah destinasi/ganjaran(Forever Holiday). Kita semua akan mati dan dibangkitkan semula utk menebus ganjaran atas perbuatan kita semasa hidup di dimensi sebelumnya.

Manusia akan meneroka angkasa lepas. Tapi bukan menetap di atas sana untuk mencipta komuniti atau koloni. Sekadar menjalankan penyelidikan. Paling jauh pun mungkin ada penempatan di Bulan.

Manusia akan meneroka angkasa lepas kerana mereka akan menemui hakikat penciptaan mereka.

Manusia dijadikan bermusuhan kerana tanpa kemajuan teknologi senjata (kapak-pisau-pedang-anak panah-crossbow-pistol, senapang, meriam, artileri-peluru berpandu) manusia tidak akan mampu meneroka angkasa lepas (teknologi roket).

Seperti garapan Stanley Kubrick dlm 2001: A Space Odyssey.

Dengan penerokaan angkasa lepas ke planet lain, manusia akan menemui hakikat penciptaan mereka.

-Skygyver-

Kassim Ahmad said...

1. Kitab-kitab dulu hanya mengandungi 10% daripada Quran. Quran mensahkan dan mengatasi semua kitab dulu. Ia juga menjadi neraca kepada semua ilmu.
2. Bidang ilmu besar yang lain (falsafah, teologi dan sains) tidak lain daripada ulasan terhadap kandungan Quran.
3. Quran itu seperti laut yang amat dalam. Tiada siapa yang boleh menyelami semuanya!

arya said...

Tentang kematian...
Kita manusia terdiri daripada rohani dan jasmani.Apabila kita mati kita sebagai rohani akan meninggalkan jasmani yang akan reput menjadi tanah semula.
Ia boleh diibaratkan sebagai kita yang berada di dalam sebuah motokar, apabila motokar berkenaan rosak tak boleh bergerak lagi kita kena keluar dari dalam matokar berkenaan.
Begitu juga apabila badan kita rosak oleh sebab penyakit atau kecederaan yang tidak boleh diperbaik lagi kita mesti keluar meninggalkan badan.
Sebagai roh kita berada di dalam alam yang berlainan yang dinamakan alam barzah.

Fauzi said...

Ovum manusia tidak boleh berkembang/membesar dlm keadaan zero-graviti. Ini hasil eksperimen yg dijalankan di ISS.

Maknanya manusia tak boleh membiak di tempat lain melainkan di atas planet Bumi sahaja. Perempuan hanya boleh mengandung dgn tarikan graviti planet Bumi sahaja.

Ovum manusia hanya berkembang dalam keadaan graviti planet Bumi= 9.81 m/s. Jika kurang atau lebih atau zero, ovum manusia tak akan membesar utk membentuk zigot-embrio-bayi.

Ini merupakan ketetapan Tuhan utk menghadkan potensi sesuatu makhluk meneroka jauh dr planet habitatnya.

Mungkin terdapat hidupan di planet2 lain dan galaksi2 lain. Apa yg paling penting sesuatu spesis itu hanya perlu tahu hakikat kewujudannya dan patuh kepada perintah Tuhan.

-Skygyver-

Aslam Abdullah said...

Harus ada sekelompok manusia yang menyeru supaya kembali kepada ajaran semua kitab yang diturunkan Tuhan, dan yang saling melengkapi. Moga-moga mereka mengenal diri.
Wassalam.

maae said...

1.Boleh tuan terangkan kada' dan kadar ?

2.Alam barzah, bagaimana pula?

3.Tidak kah Ayat-Ayat Al Quran itu di sampaikan kepada Nabi Muhammad? Kemudian segala pengajaran dan isi nya yang muhkamat dan mutasyabihat di tafsirkan dari sabda-sabda Rasul Allah melalui Jibrail yang membawa wahyu / firman Allah ? Rasul Allah tidak bersabda selain dari apa yang di firmankan kepada nya. Ayat-ayat Mutasyabihat hanya Allah sahaja yang mengetahui. Tolong jelaskan.

4.Jika pemahaman tuan, syurga dan neraka itu dalam diri sahaja, boleh kah tuan jelaskan bagaimana bentuk rupa "sakit" ? Ada kah hologram saja?

5.Tuan seolah-olah menyebut hidup kita ada kelahiran semula atau inggeris "reincarnation". Maaf ini kefahaman dan anutan Buddha.

6.Tolong terangkan "kullu naphsin za ie kotul maut"

6.TIADA kelahiran semula dalam Islam. Terhenti nya nafas,di sebut mati - bercerai lah jasad dengan roh.Terputus-kekal dunia sehingga hari kebangkitan dan pertimbangan / pembalasan. Maka 'bekal' kita ialah amalan sewaktu di dunia (di catit raqib dan atid). Allah dengan jelas menyebut golongan kiri dan dan golongan kanan dalam Al Waqiah.

7.Roh kita, Allah nyatakan akan di bawa ke sijjin dan illiyin. Harap tuan jelaskan apa makna ini.

8.Percaya tak tuan bahawa semua ilmu terdapat di dunia ini bersumberkan Al Quran? Ilmu NYA Benar, tetapi penyampaian nya dari generasi ke generasi telah di pesongkan pemahaman nya ? Al Quran yang asli TETAP TERPELIHARA dengan jaminan janji Allah. Malah Ayat-ayat nya penuh dengan kemukjizatan, di kunci rapi sehingga satu huruf di cicirkan akan terserlah kecacatan dan makna jika di baca oleh para panghafaz / pentafsir Al Quran , dikenali juga wali Allah.

9.Doa dan zikir untuk apa? Maka doa lepas kita bertahajjud, harap tuan jelaskan.

Saya mohon maaf jika pertanyaan ini menyinggung tuan. Tujuan saya hanya ingin tahu jawapan tuan setelah mengakui 50 tahun mengkaji Al Quran Ilmu yang ada pada saya tidak seberapa hanya secalit cuma.

Mohon penjelasan.

shellymellybelly said...

reincarnation itu tidak mustahil. pengulangan itu akan berlaku sehingga hari kiamat ; dimana manusia diberi "tempoh"/ "tangguh" sehingga mereka mencapai keluruhan yang sesungguhnya. tidak mustahil setelah mati roh gagal menemui jalan kembali dan tersesat masuk ke dalam jasad binatang dan sebagainya. ada juga yang mengistilahkannya sebagai hukuman Tuhan.

Kassim Ahmad said...

1. Qada dan qadar dengan makna "untung baik dan untung jahat' daripada Tuhan itu silap sekali. Baik itu daripada Tuhan; jahat itu akibat perbuatan kita.
2. Syurga dan neraka itu ada. Ia bermula dari sekarang dari keadaan kejiwaan masing-masing (nafsul-amarah, nafsul-lawwamah dan naful-mutmainnah).
3. Manusia akan menghuni angkasa lepas, bila kita punyai teknologi yang cukup. (Lihat Quran, 57: 21)
4. Yang mati itu jasad (nafs/hayat). Roh tidak mati. Ia kembali kepada Tuhan.
5. Ini bukan kelahiran semula atau reinkarnasi.
6. Hukuman sunnatullah (natural law: baik dibalas baik, jahat dibalas jahat)berlaku terus-menerus. Hanya doa yang dimakbulkan boleh membatalkan undang-undang ini.
7. Quran harus difaham secara saintifik. Lihat buku saya "Hadis -- Jawapan kepada Pengkritik".

arya said...

Saya rasa qadak dan qadar itu lebih merupakan Hukum Alam yang mengawal suluruh perjalanan alam.
Dengan itu lebih sesuai kalau kita gunakna istilah positif dan negatif menggantikan untung baik dan jahat yang terlalu sempit maknanya.
Positif negatif menunjukkan pasangan. Untung rugi, kanan kiri, cantik buruk,sempurna cacat,luar dalam, ada tiada, dekat jauh, jantan betina, lelaki perempuan,
syurga neraka,khalik makhluk, sihat sakit,nyata ghaib, awal akhir,hidup mati, pahala dosa, pandai bodoh,dunia akhirat dan lain-lain pasangan yang tidak mampu kita kira banyaknya.
Perubahan berlaku dari positif ke negatif dan dari negatif ke positif.Berbagai faktor boleh menyebabkan dari untung berubah kepada rugi dan dari rugi berubah kepada untung.
Perubahan boleh berlaku luar daripada kawalan kita dan boleh berlaku dengan kawalan kita.
Kalau kita minum racun badan kita boleh berubah daripada sihat kepada sakit,daripada berada di rumah berubah kepada berada di rumah sakit, daripada tidak berbelanja kepada berbelanja membayar doktor dan membayar rumah sakit, daripada sempurna kepada cacat,daripada suka kepada duka,daripada untung berubah kepada rugi,daripada hidup berubah kepada mati.
Tetapi kalau kita kerugian kerana jahat atau lalai orang lain itu di luar kawalan kita.

Kassim Ahmad said...

1. Soal qada dan qadar bukan soal kewujudan berpasang-pasang.
2. Tuhan tidak pernah, dan tidak mungkin, mewujudkan kejahatan.
3. Tuhan itu Kebaikan Sempurna.
4. Kejahatan timbul daripada pemberontakan terhadap Tuhan, yang dilakukan oleh Iblis dan pengikut-pengikutnya dari kalangan manusia.

Juang said...

Salam,

Matahari hanya memancarkan cahaya agar ruang menjadi terang. Namun jika ada yang menghalang (melawan) cahaya itu, maka mereka akan ditimpa kegelapan. Mereka sendiri mewujudkan ruang yang gelap itu. Bukan salah matahari.

Begitulah perumpamaannya Kebaikan Sempurna yang Tuhan pancarkan. Ia menyinari seluruh ruang alam semesta ini. Namun bila ada yang menghalangkan Kebaikan Tuhan itu, mereka sendiri ditimpa kejahatan. Mereka sendiri yang wujudkan ruang yang jahat itu. Bukan salah Tuhan.

Aslam Abdullah said...

Tiada yang setara denganNya. Hanya Dia berkuasa melakukan segala-galanya.

Anonymous said...

Allah di Sanjung!!!

ProQuran@gmail.com