Wednesday, March 14, 2012

SAINS DAN SENI MEMBACA

Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

14 Mac, 2012

Saya menulis esei ini, kerana, dalam pengalaman saya, ramai pembaca (katalah antara 60-70%) tidak membaca dengan teliti. Dengan itu mereka tidak mungkin memahami apa yang mereka baca dengan sepenuhnya. Mereka membaca prasangka mereka, yakni apa yang ada dalam khayalan mereka, dan bukan realiti yang wujud dalam tulisan-tulisan yang mereka baca.
Wahyu pertama yang turun kepada Nabi Muhammad berbunyi: “Bacalah, dengan nama Tuanmu yang menjadikan.” (Quran, 96: 1) Nyatalah arahan ini memerintah kita membaca semua jenis bacaan (falsafah, teologi, sejarah, dll.) dengan kritikal: ambil yang baik dan buang yang buruk. Arahan ini amat jelas. Namun demikian, kebanyakan manusia mendapatinya sukar untuk dipraktikkan.
Mengapa?
Kebanyakan manusia benci kepada kebenaran. (Quran, 23; 70) Kejahatan itu diperhias bagi mereka sehingga nampak baik bagi mereka. (Quran, 35: 8) Jadi, amatlah penting bagi kita mebezakan antara yang baik dan yang jahat. Dengan kata-kata lain, kita kena ada panduan moral dan spiritual, dan panduan ini hanya diberi oleh Tuhan. “Inilah kitab yang tidak diragui hidayah kepada mereka yang bertakwa.” (Quran, 2: 1). Tiada siapa yang boleh memberi hidayah kecuali Tuhan. (Quran, 28: 56)
Kita juga diperintahkan Tuhan berlaku adil dalam semua perbuatan kita. “Lakukanlah terhadap orang lain, seperti yang hendak kamu dilakukan oleh orang lain terhadap kamu,” kata arif. Jadi, untuk mengelak kesalahan dan kezaliman, kita hendaklah selalu berwaspada dan membaca dengan kritikal.
Ambil contoh kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat manusia kerana kecenderungannya untuk mendewa-dewakan pemimpin. Boleh dikatakan semua pemimpin telah didewa-dewakan, dari Aristote, Plato, Buddha, Brahma, Fir’aun, dan Nabi Isa dalam zaman purba, hingga ke Nabi Muhammad, Imam Sfafi’e, Imam Ghazzali, Maharaja Jepun Hirohito, Stalin, Hitler, Mussolini, Churchille, Mao Tes-Tung dan Imam Khomeini dalam zaman moden.
Kerana pendewaan ini kezaliman berlaku. Kezaliman inilah yang menyebabkan tamadun manusia, yang bermula di Ur (Iraq moden) 5,000 tahun dulu, bergerak lambat. Perhatikan tamadun manusia mengambil masa 3,000 tahun lebih untuk mencapai penubuhan P.B.B., yang melambangkan kenaikan tahap kejiwaan terendah manusia nafs’ul-amarah, yakni tahap kebinatangan, ke tahap lebih tinggi nafs’ul-lawwamah, yakni tahap boleh bekerjasama antara satu sama lain!
Mengapa manusia mengambil masa begitu lama untuk meningkat dari tahap binatang hingga ke tahap manusia? Jawabnya, kerana mereka tidak diajar oleh kasta pederi mereka (‘ulama) untuk membaca dan mengkaji Quran. Kasta pederi ini membaca kitab-kitab yang ditulis lebih 1,000 tahun dulu dan yang tidak pernah dikemaskini. Pengemaskinian ini tidak dilakukan kerana kita sudah diajar mendewa-dewakan pemimpin, dan ajaran pemimpim-pemimpin ini didakwa sudah lengkap dan sempurna dan tidak boleh diperbaiki lagi!
Jadi, apabila kita membaca, hendaklah kita baca dengan teliti. Fahami intisari tulisan itu. Lebih-lebih lagi, bacalah dengan kritikal, supaya kita boleh mengambil yang baik dan menolak yang buruk.
Jangan sekali-kali mendewa-dewakan pemimpin. Semua pemimpin harus diletak di bawah neraca kritikan Dia Yang Maha Tahu.

Itulah makna, “Baca dengan nama Tuanmu yang menjadikan.”

-------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

17 comments:

Anonymous said...

Kebanyakan manusia benci kepada kebenaran. (Quran, 23; 70) -- Maka jika lebih ramai manusia yang bencikan kebenaran seperti yang ditegaskan oleh al-Quran kenapa pula diminta/digesa/himbau manusia pula 'membaca'?
Sama halnya jika manusia suka mendewa-dewakan pemimpin yang nyata boleh memberi mereka habuan(konkrit atau maya), yakni pemimpin nyata atau ada 'semblance' nyata manusia berkenaan akan terus mendewa-dewakan kerana cara/strategi itu pasti memberinya habuan. Mendewa-dewakan pemimpin yang tidak mempunyai kuasa nyata tidak mungkin berlaku atas sifat ramai manusia yang belum bebas daripada belenggu penindasan minda.Lazimnya pemimpin yang sudah berjaya menguasai minda masyarakat akan mahu menerus lestarikan kuasanya dan salah satu caranya ialah hidupkan gejala mendewa-dewakan mereka dengan apa cara sekalipun dan yang membuat kerja-kerja itu pasti dapat ganjaran.

Anonymous said...

PakKassim, bila nak terbit buku baru dalam Bahasa Melayu?
Saya dah baca buku Islamic Renaissance, tapi tak 'puas'.
Nak jugak dalam bahasa Melayu kalau boleh

Kassim Ahmad said...

1. Buku "Islamic Renaissance" akan diterjemahkan ke dalam BM, insya Allah.
2. Kita digesa membaca dengan nama Allah yang menjadikan supaya kita mendapat menfa'at. Keadaan kejahilan kita boleh kita ubah dengan usaha kita.

Juang said...

Salam,

1. Apakah pemimpin (atau mana-mana manusia) yang didewa-dewakan itu akan menjawab untuk kita di hadapan Tuhan kelak?

2. Seorang pelajar yang suka meniru ketika membuat kerja rumah akan menghadapi kesukaran menduduki peperiksaan sebenar. Begitulah manusia yang suka meniru sesuatu amalan tanpa mengetahui apa yang ditirunya itu pasti akan menghadapi kesukaran bila bersoal-jawab depan Tuhan nanti.

3. Manusia kena berdikari dalam mencari kebenaran, bukannya menumpang hasil usaha orang-orang terdahulu yang mereka sendiri tidak kenali.

arya said...

Apabila kita membaca kita perlu prihatin dengan response emosi kita
kerana ia yg akan mengawal pandangan kita seterusnya dan bukannya intelek kita.
Kalau kita menyukai seseorang penulis dan menyukai karyanya, kita akan terus membaca dengan perasan lega dan suka.
Keburukannya kita cuba ketepikan.Kita tak ingin langsung memikirkannya.
Namun kalau kita tidak menyukai seseorang penulis dan juga tidak menyukai karyanya, kita terus sahaja berasa panas hati dan membenci.
Kebenaran yg di bawanya kita
cuba ketepikan.
Apabila ini berlaku kita tidak mampu lagi bersikap adil dan jujur.
Kemarahan dan kebencian,atau pendewaan dan pemujaan kita boleh membutakan kita kepada isu yg sebenar.

Begitu juga apabila kita menyanjung seseorang dan juga karyanya, kita hanya nampak kebaikannya dan melupakan sahaja
keburukannya.
Penting sekali kita memberi perhatian serius kepada keadaan emosi kita semasa membaca.

Kassim Ahmad said...

1. Kita kena disiplin diri kita untuk menggunakan akal rasional.
2. Emosi harus selaras dengan akala rasional.

Buntu said...

Mengapa dikala krisis ekonomi yang teruk hari ini, cendekiawan2 islam masih diam membisu dalam mengemukakan alternatif kepada sistem ekonomi?

Kassim Ahmad said...

1. Islam yang diamalkan sekarang Islam yang korup. Tiada beza antara Islam korup ini dengan agama-agama lain.
2. Islam yang sebenar terdapat dalam kitab suci al-Quran, dan yang dipraktikkan oleh Nabi Muhammad. Kita harus berbalik ke situ. Barulah kita akan bangkit balik dan menjadi pemimpin dunia.

Radzi bin Osman said...

"...hingga ke ke..."

Hanya 'Baginda' didewakan.

Kassim Ahmad said...

1 Terima kasih kerana pembetulan.
2. Istilah 'baginda' itu feudal. Tidak pantas digunakan untuk Nabi Muhammad.

aziz said...

very nice...i like this article. it makes me realize before reading, we must always start with 'in the name of God, Most Gracious, Most Merciful'.
I believe this would help us to get the right guidance from Allah to give us the best knowledge from the reading. There are many books on the shelves in MPH and etc, that sells unbelievable books regarding religions. Sometimes, I wonder why they (JAKIM) or whatever you call them, ban all books that bringing us back to the original teaching of Quran but yet allow 'other' books that may lead us astray.

Haiy said...

@aziz

Buku Islamic Renaissance diban di Malaysia ke?

Kassim Ahmad said...

Buku IR dicetak di A.S. dan tidak diban di Malaysia.

aziz said...

Mungkin buku ini tidak diban di Malaysia. Saya belum membaca atau membelinya lagi. InsyAllah bila ada kesempatan nanti, saya akan beli dan baca. Tetapi maksud saya mengenai Quran yang diterjemahkan oleh Rashad Khalifa dibankan di Malaysia, sedangkan buku yang mengajar tentang akidah yang salah (Atheism) boleh dijual di Malaysia. Buku yang menidakkan kekuasaan Allah dan mengatakan Allah tidak wujud diluluskan oleh kerajaan dengan hanya kerana memberi peluang kepada semua agama untuk mengamalkannya di Malaysia. Walaupun ini salah dalam akidah Islam. Tetapi saya tidak khuatir akan tindakan kerajaan memberikan peluang kepada sesetengah pihak dan menutup peluang kepada sesetengah pihak, kerana dunia sekarang dunia IT. Oleh itu, setiap maklumat boleh didapati di mana2 sahaja dengan internet connection and pc.

Anyway, Pak Kassim, keluarga saya kenal rapat dengan pak kassim. mungkin satu hari nanti, kalau tiba masanya, insyallah saya ingin bertemu pak kassim untuk berkongsi cerita dan pendapat. Insyallah.

terima kasih.

Kassim Ahmad said...

1. Dibanding dengan 10 tahun dulu, keadaan kebebasan di negara kita, saya fikir, lebih luas.
2. Mengharamkan buku suatu amalan primitif dan tidak rasional. Perintah Tuhan, "Baca dengan nama Tuanmu yang menjadikan."
3. Masyarakat boleh menilai semua buku melalui cendekiawan mereka.

Kassim Ahmad said...

Tambahan:Ya, bila-bila pun kita boleh bertemu.

Anonymous said...

mendewa-dewakan Nabi Muhammad tak boleh ke?