UMAT ISLAM MENGIDAP
PENYAKIT APA?
Oleh: Kassim Ahmad
10 Julai, 2013
Sejak kejatuhan kota Baghdad pada
1258 di Timur dan kejatuhan kota Toleda pada 1492 di Barat, Islam idak pernah
bangkit-bangkit lagi. Pada abad-abad ke-16 dan ke-17 berlaku Kebangkitan Eropah
mengambil-alih pimpinan tamadun dari Islam.
Seperti yang diketahui, Islam atau deen’ul-Lah, sebuah ideologi atau
pandangan hidup Ilahiah, dibanding dengan ideologi-ideologi Liberalisme dan
Marxisme yang bersifat insaniah. Seperti yang diketahui juga, ideologi Marxisme
sudah runtuh. Ideologi Liberalisme masih bertahan di Eropa Barat dan di Amerika
Syarikat, tetapi dia juga sakit tenat.
Apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang
hanya ulangan apa yang telah berlaku di Pakistan, Algeria, Tunisia, Afghanistan
dan lain-lain.
Mengapa dengan Islam? Inilah soalan
yang berlegar di kepala kita.
Ingat kembali sejarah. Islam itu
agama yang dibawa oleh semua nabi dari Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad (yang
menamatkan siri para nabi), untuk menyebut
beberapa nama besar saja. Apabila Nabi Muhammad menamatkan siri ini
dengan memperkenalkan kepada dunia Islam yang lengkap dan sempurna, dalam masa
60 tahun bangsa Arab yang dulunya tidak terkenal melonjak naik dari kuasa nol ke kuasa nombor
satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar Banzantium, dua kuasa
besar dunia pada ketika itu. Beberapa sejarawan Eropah, seperti Robert Briffault,
George Sarton dan Philip K. Hitti telah mencatat peritiwa sejarah yang
menakjubkan ini. Pada waktu itu, Islam merupakan sebuah ideologi revolusioner, tidak
takut mati dan mendukung hidup yang aktif, dinamik dan kreatif. Dalam masa
lapan ratus tahun, Islam menciptakan sebuah tamadun yang hebat dan besar.
Tetapi itu sejarah sekarang.
Sementara itu apa sudah jadi?
Dalam kemelut di Mesir sekarang, dua
puak besar bertelagah: puak Ikhwan’ul-Muslimin yang berideologikan agama dan
puak sekular yang mahu menampung semua jalur ideologi.
Tidak syak lagi, Mohamad Morsi,
presiden Mesir dari puak Ikhwan memenangi pilihanraya dan berhak mentadbir
Mesir hingga tamat tempohnya. Namun demikian, dalam masa setahun ia telah
mencetuskan penentangan terhadapnya dalam bilangan yang ramai sehingga
menyebabkan kebuntuan. Untuk merungkai kebuntuan ini, tentera Mesir telah
bertindak mengambil-alih kuasa dengan janji akan mengadakan pilihanraya dan
mengembalikan kuasa kepada pihak sivil secepat mungkin. Ini jelas tidak dapat
diterima oleh puak Ikwan dan mereka bersumpah akan menentang hingga ke titisan
darah yang akhir.
Inilah krisis Mesir. Bolehkah
ideologi Islam mengatasinya?
Telah kita sebutkan kes-kes
kegagalan Islam: di Pakistan, Algeria, Tunisia, Syria, Afghanistan dan sekarang
Mesir. Mengapa?
Jawapannya yang ringkas, kerana
perpecahan Islam. Perpecahan kepada dua mazhab besar, Sunni dan Syiah, itu
perpecahan klasik. Perpecahan sekarang dari kiri ke kanan, dan masing-masing
puak taksub kepada puaknya.
Inilah penyakit Islam. Bolehkah ia diobati? Kata arif, tidak ada
penyakit yang tidak ada obatnya.
Umat Islam semuanya hendaklah kembali
kepada Quran. Quran itu perlembagaan bagi umat Islam. Ia duduk di tempat yang tertinggi.
Tidak ada sumber lain yang sama dengan Quran. Sumber lain (hadis, teologi, falsafah
dan sains) duduk di tempat kedua. Yang selaras denga Quran, terpakai; yang bercanggah,
tertolak. Inilah formula yang harus dipakai oleh semua orang Islam. Melalui formula
ini, Islam akan kembali menjadi ideologi yang relevan dan kuat. Pada ketika itu
pasti umat Islam akan bangkit semula.
KASSIM AHMAD
seorang penulis bebas Malaysia. Lama webnya www.kassimahmad.blogspot.com
1 comment:
Post a Comment