Wednesday, September 18, 2013

KEMATIAN CHIN PENG




KEMATIAN CHIN  PENG:
BAGAIMAN KITA MENILAI PERJUANGANNYA?

Oleh: Kassim Ahmad
18 Septmber, 2013


            “Tunjukilah kami jalan yang lurus; jaln mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang Engkau murkai, atau mereka yang sesat.” – Quran, 1: 6-7.
            Dari perspektif yang mutlak, Parti Komunis Malaya (PKM) tidak lain dari satu cabang gerakan komunis internasional yang tidak ada masa depan. Ia sebuah ideologi antarabangsa yang ajalnya telah ditetapkan. Chin Peng sebagai ketua PKM telah salah pilih ideologi ini sebagai ideologi perjuangannya. Malah dia degil dan tidak mahu menerima nasib yang menimpa ideologi ini apabila ideologi ini menemui ajalnya dalam tahun-tahun 1989-1991.
Orang-orang seperti beliau tidak sedar bahawa mereka bertindak, seperti binatang mengikut naluri, bukan akal. Manusia makhluk istimewa, Homo sapiens, mengikut istilah saintifiknya, kerana ia mempunyai akal rasional. Dia muncul di dunia kira-kira satu juta tahun dulu.  Dalam bahasa Quran, ia khalifah, makhluk yang  yang boleh menentukan nasibnya sendiri.
            Inilah makna dua ayat suci dalam surah Fatihah yang kita petik di atas.
            Manusia belajar mengikut kaedah jatuh bangun. Tidak ada jalan lain. Dia harus elak jalan yang silap apabila dia sedar jalan itu silap. Inilah kelebihan manusia daripada binatang. Dia makhluk rasional.
            Sesetengah orang menganggap PKM pejuang kebebasan, kerana ia menentang penjajah Jepun dalam Perang Dunia II dan menentang penjajah Inggeris selepas Pihak Berikat menang dalam Perang Dunia II. Orang-orang ini lupa bahawa PKM menentang Jepun dan Inggeris bukan kerana hendak membebaskan Malaya dari penjajahan. Ia hendak menubuhkan sebuah republik komunis di Malaya untuk diletakkan di bawah penjajahan China Komunis  atau Rusia Soviet.  Dengan kata-kata lain, dari suatu penjajahan ke suatu penjajahan lain. Terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau, seperti kata pepatah.
            Kita tahu dalam sejarah telah wujud pelbagai penjajahan. Kerajaan Melayu Melaka mula-mula telah dijajah oleh Portugis, kemudian oleh Belanda, kemudian oleh Inggeris. Dalam Perang Dunia II ia dijajah oleh Jepun.  Portugis tidak menawan Melaka untuk membebaskan Melaka dari taklukan orang Melayu, kerana orang Melayu anak negeri yang mendirikan Melaka. Demikianlah Belanda, Inggeris dan Jepun  itu penjajah.
            Oleh kerana manusia dijadikan Tuhan makhluk yang bebas, keadaannya yang sebenar itu kebebasan. Keadaan perhambaan itu bukan fitrahnya dan tidak natural. Kalimah syahadah kita “Tidak tuhan melainkan Allah” itu bermakna kita mengisytiharkan pembebasan yang total dari semua tuhan palsu kecuali Tuhan yang Sebenar, Pencipta sekalian alam. Demikianlah besar dalam dalamnya erti syahadah itu.  Dua yata suci yang kita petik di atas memerintahkan kita mencari jalan yang lurus dari dua jalan yang menyeleweng, iaitu jalan yang Tuhan murkai (jalan mereka yang memberontak terhadap Tuhan: kaum komunis termasuk ke dalam golongan ini),  dan mereka yang sesat. Mereka yang sesat merujuk kepada mereka yang tidak memberontak melawan Tuhan, tetapi mereka yang ingin mencari jalan yang lurus tetapi tidak menemuinya.
            Coba lihat kesan pemberontakan terhadap Tuhan. Dalam Rusia Soviet dan Eropah Timur berapa besar kekejaman yang berlaku di bawah rejim-rejim mereka. Demikian juga di dalam negara China Komunis. Lebih dekat, coba lihat apa yang berlaku di Indonesia dalam zaman Sukarno apabila Parti Komunis Indonesia dibenarkan sebagai sebuah parti yang bergerak bebas. Begitu juga di negara kita. Kita sudah tentang kekejaman PKM.
            Adakah ini bermakna kita memang tidak boleh membenarkan ideologi komunisme bebas dalam negara kita? Bukankah ini menafikan hak asasi untuk kaum komunis dan bertentangan dengan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu? Tetapi satu perkara kita mesti ingat. Hak kebebasan kolektif tidak boleh menafikan hak kebebasan individu. Kedua-duanya wujud dalam satu kesatuan yang harmonis.
 ------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.