Di bawah saya siarkan "Surat
Terbuka kepada Bangsaku" yang saya tulis pada 16 September, 2011. Surat
ini belum disiarkan di mana-mana. -- K.A.
SURAT TERBUKA KEPADA BANGSAKU
KITA SATU BANGSA YANG AGUNG,
YANG BOLEH MEMBAWA KEAMANAN,
KESEJAHTERAAN DAN KEBAHAGIAN KEPADA DUNIA
Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my
16 September, 2011.
(Mera’ikan Hari Malaysia Yang ke-48 dan Hari Kemerdekaan Yang ke-54)
1. Ucapan Najib Yang Paling Baik
Pada mulanya saya tidak bercadang hendak menulis esei ini, tetapi apabila saya
mendengar ucapan Perdana Menteri kita, hati saya berkembang dan melafazkan:
“Maha Suci Allah, Yang telah menjadikan langit dan bumi dan di antara keduanya,
yang telah memberi hidayat kepada Perdana Menteri kami untuk membuat ucapan
yang paling baik sejak beliau mengambil-alih tampuk negara!” Tidak ada
kebencian, petualang besar Anwar Ibrahim tidak disedbut; tidak juga Mat Sabu si
mulut celupar itu . Ucapan itu rinkas dan padat, dalam bahasa sastera yang
indah. Saya berasa hidup dan perjuangan warga Malaysia yang baik sudah terbela.
Perasaan kegembiraan inilah yang mendorong saya menulis esei ini.
2. Sumpah Seorang Anak Muda
Pada waktu saya muda, berumur 26 tahun, saya menulis:
bersama-sama, bersama-sama, kita mara, wahai saudara-saudaraku
seperti Tuah dan Jebat zaman dahulu
kita telah mengangkat tanah ini tanah tumpah darah kita
sendiri kita akan mengawal di pantai-pantainya
oleh itu, datanglah, wahai petualang-petualang yang sibuk.
(Kemarau di Lembah, Pulau Pinang,
1967; hlm. 46)
Pada tahun 1958, waktu saya berumur 24 tahun, saya menulis:
ada besok maka pasti ada suria
aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani
kian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam derhaka.
(Ibid., ; hlm. 48.)
Nyatalah saya seorang pemberontak, memberontak terhadap dunia lama yang
menyongkong untuk mencipta dunia baru yang bebas. Tetapi saya juga seorang
patriot. Hari ini, setelah saya memasuki tahun ke-78, pada 9 September, 2011
lalu, al-hamdulillah, saya bebas. Saya telah menyatakan hasrat yang ada di
lubuk hati saya. Dengan demikian, saya juga telah melafazkan cita-cita luhur
Bangsa Melayu. Saya telah melaksanakan misi hidup saya.
Saya ada dua tiga rancangan penulisan yang harus saya selesaikan. Insya Allah,
menjelang akhir tahun 2013 semua kerja saya akan selesai. Selepas itu, saya
siap untuk mengadap Tuan saya serta mempertanggungjawabkan kehidupan saya.
3. Kejelekan Sistem Dwi-parti Barat
Beberapa hari sebelum itu, puak pembangkang dan pengikut-pengikut mereka
secara terbuka mendabik dada akan menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum
ke-13. Dalam kebongkakan mereka, mereka lupa bahawa sistem dwi-parti
Pemerintah/Pembangkang itu satu kejelekan sejarah Eropah. Kanak-kanak pun tahu
untuk menggunakan kedua-dua belah tangannya apabila memegang botol susunya,
sedangkan sesetengah orang dewasa kita mahu jadi pengikut buta Barat
menggunakan sebelah tangan untuk merosakkan kerja sebelah tangan lain! //
Mereka sudah terpengaruh dengan ahli falsafah Liberal Inggeris Thomas
Hobbes yang menyifatkan masyarakat sebagai medan perang “semua lawan semua”
dalam karyanya Leviathan! Saya telah menulis tentang kedangkalan falsafah ini
pada banyak tempat, kerana ia bersifat primitif dan membazir. Primitif, kerana
itu perangai manusia pada tahap paling rendah – haiwan! Membazir, kerana satu
tolak satu jadi nol. Keadaan ini sudah pun kelihatan di Eropah sendiri dengan
banyak kerajaan mereka lemah dan tidak stabil.
Kita harus kembali kepada falsafah
Islam: “Bekerjasama untuk kebaikan.” Arahan tetap kepada orang baik dalam Quran
berbunyai: “Seru kepada kebaikan dan larang kejahatan.” Surah 3, ayat 110
berbunyi: “Kamu sebuah masyarakat yang paling baik yang telah dilahirkan di
antara manusia; kamu mengajurkan kebaikan dan melarang kejahatan, dan kamu
beriman keada Tuhan …” Tidak ada yang lebih jelas daripada itu.
Jadi, kita kenalah susun suatu sistem pemeritahan yang selaras dengan falsafah
ini. Semua parti yang ada dalam masyarakat kita, mewakili pelbagai jalur
suku-banga dan ideologi, boleh bekerjasama dalam sutau permuafakatan besar
untuk kebaikan rakyat kita yang berbilang kaum dan agama. Nyatalah ini suatu
sistem yang jauh lebih baik. Nasihat, teguran dan kritikan untuk mengatasi
pelbagai penyelewengan (rasuah, pembaziaran dan sebagainya) boleh dibuat dari
dalam, sementara masyarakat sendiri, melalui media dan pelbagai pertubuhan lain
boleh juga memainkan peranan ini.
4. Kategori Bangsa Sunnatullah, Bukan Rasisme
Sesetengah rakyat kita salah sangka bahawa kelompok suku-bangsa, seperti
Melayu, atau Cina, atau India, atau lain-lain suku-bangsa yang ada dalam
Malaysia bercanggah dengan konsep Malaysia. Oleh itu, apabila Timbalan Perdana
Menteri kita berkata dia “Melayu dulu”, orang-orang ini menuduh beliau rasis!
Tidakkah mereka tahu bahawa Malaysia itu sebuah keluarga besar yang terdiri
dari pelbagai suku-bangsa? Tidak ada kontradiksi di antara kedua-dua kategori
ini. Pertubuhan Bangsa-bangsa Berstau (PBB) dianggotai oleh 192 bangsa – China,
India, Rusia, Indonesia, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Manusia suatu keluarga besar yang terdiri dari pelbagai bangsa. Quran dalam
Surah 49, ayat 13 mengisytiharkan: “Wahai manusia, telah Kami ciptakan kamu
dari seorang lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku
supaya kamu kenal satu sama lain. Yang paling baik di antara kamu di sisi Tuhan
itu mereka yang bertakwa.”
5. Bangsa Melayu Satu Bangsa Yang Agung
Sudah tiba masanya kita meningkatkan jiwa kita menjadi jiwa yang besar. Bangsa
Melayu yang mendiami Gugusan Pulau-pulau Melayu, khasnya Malaysia dan Indonesia,
mempunyai banyak ciri yang sama. Kita satu bangsa – Melayu, yang menutur bahasa
Melayu (bahasa Indonesia itu berasakan bahasa Melayu) dan yang beragama Islam.
Jumlah bangsa Melayu yang beragama Islam 220 juta, keempat terbesar dalam dunia
dan terbesar dalam dunia Islam.
Saya sebut perkara ini bukan kerana saya lebihkan bangsa Mealyu daripada
bangsa-bangsa lain di dunia. Tidak sama sekali. Semua bangsa sama. Tiap-tiap
bangsa ada kekuatannya dan kelemahannya. Dalam sejarah kita melihat tamadun
Mesopotamia di Iraq, tamadun Mesir, tamadun Yunani dan tamadun Romawi naik jatuh
silih-berganti. Dalam zaman moden, tamadun Arab-Islam melalui Turki-Islam kemudian
diganti oleh tamadun Eropah Yahudi-Kristian. Sekarang tamadun Liberal Eropah
(Amerika Syarikat itu lanjutan Eropah) nyata sedang runtuh, setelah sistem
Komunis-Marxis runtuh di akhir abad ke-20.
6. Dunia Melayu Harus Pimpin Dunia
Ini menyebabkan kita berfikir tentang sistem ganti yang pasti akan muncul dalam
dua tiga dekad yang akan datang. Oleh kerana kita orang Islam, dan kita tahu
Islam itu agama yang direda oleh Tuhan (Quran, 3: 19). Kita yakin hanya deen
Islam atau cara hidup Islam saja yang boleh membawa kemananan, kebahagiaan dan
kesejahteraan kepada dunia. Kita yakin kerana Islam itu “Jalan yang lurus”
(Quran, 1: 6) di antara dua penyelewengan besar Liberalisme dan Komunisme.
Berdasarkan keyakinan yang logik ini, maka kita ingin membuat saranan supaya
Bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia bergabung tenaga untuk memimpin dunia
kepada keamanan dan kesejahteraan dalam Abad Ke-21.
Sekali lagi, tanpa melebihkan bangsa Melayu daripada bangsa-bangsa lain, bangsa
Melayu itu satu bangsa yang agung. Mereka mempunyai raja, pentadbir, ulama dan
sarjana, pengarang, ahli falsafah, pelukis, pelakun, penyanyi dan sebagainya
yang ramai. Biar saya sebut beberapa nama saja: Sultan Muzaffar Shah dan Sultan
Mansur Shah , Bendahara Tun Mutahir dan Tun Perak, dalam zaman Kesultanan
Melayu Melaka. Tun Abdul Razak, Tun Mahathir, Tun Daim Zainuddin (pentadbir),
Pendeta Za’aba, Prof. Ungku Aziz, Dr. Ahmad Ibrahim, Syed Hussein al-Attas,
Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Dr. Chandra Muzaffar, Dr. Hassan Ahmad (sarjana),
Prof. Ismail Hussein (budayawan), Tunku Abdul Rahman, Ishak Haji Muhammad, Dr.
Burhanuddin, Ahmad Boestamam (ahli politik), Hamzah Fansuri (ahli Sufi), Tun
Seri Lanang, Abdullah Munsyi, Raja Haji Ali, Syed Sheikh al-Hadi, Keris Mas,
Osman Awang/Tongkat Prof. Asmah Hj Omar, Takdir Alisjahbana (ahli tatabahasa
Melayu), Muhammad Yusoff Hashim (sejarawan), A. Samad Ismail (wartawan), Tun
Ismail Mohamed Ali, (jurubank), Seniman Agung P. Ramlee (pelakon/penyanyi),
Hetty Koes Endang (penyanyi keroncong), Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Hamka
(ahli falsafah), Syed Ahmad Jamal, Zakaria Ali (pelukis), dan Hijjas Kasturi
(juruukir).
Bangsa Melayu tidak akan dan tidak boleh menolak penyertaan sahabat-sahabat
kita dari suku-bangsa lain di Malaysia atau dari luar Malaysia yang secara
jujur ingin menyertai perjuangan besar ini. Ini perjuangan semua bangsa yang
mengiktiraf dan menjunjung perintah Tuhan untuk berjuang di jalan-Nya. Quran
menerangkan bahawa semua masyarakat telah dikirimi rasul-rasul-Nya untuk
mengajar intisari ajaran-ajaran-Nya kepada mereka. (10: 47). Saya percaya arus
ini akan bertemu menjadi satu arus besar yang pasti akan membawa perubahan
besar kepada dunia dalam Abad Ke-21.
7. Kaum Penentang
Tidak syak lagi, penentangan akan wujud dari dalam kalangan bangsa Melayu
sendiri untuk menggagalkan perjuangan besar ini. Ini sunnatullah. Wujudnya
undang-undang ini bertujuan untuk menguji siapa yang jujur siapa yang palsu.
Kedua-dua masyarakat Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak etnik dengan
pelbagai latarbelakang budaya. Namun demikian, mereka disatukan dalam satu
kesatuan Bangsa Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam. Ini menyebabkan kita
memilih Dunia Melayu untuk melaksanakan misi agung ini.
Kita mestilah mengurus penentangan ini dengan bijak supaya ia dapat dibataskan
kepada minimum. Tidak syak lagi, kemenangan akhir akan berada di tangan orang
Islam dan mukmin, kerana mereka memperjuangkan kebenaran Ilahi. Kemenangan
bukan bergantung kepada bilangan yang besar, tetapi kepada kebenaran perjuangan
ini. Kebenaran itu kebal. “Katakanlah, ‘Kebenaran telah datang dan kepalsuan
hapus. Kepalsuan senantiasa akan hapus.’ ” (Quran, 17: 81).
Pada waktu ini, Islam mempunyai dua musuh besar: puak Yahudi-Kristian Barat,
khususnya dilambangkan oleh negara kolonial Israel di Palestin dan pelindungnya
adikuasa tunggal Amerika Syarikat. (Quran, 2: 120), dan puak musyrikin di Timur
dan Barat (Quran, 25: 55). Namun demikian, kita harus ingat bahawa benteng
musuh Yahudi-Kristian Barat ini bukan 100% kukuh, kerana wujud kumpulan humanis
di antara mereka yang menentang permusuhan ini. Umpamanya, penubuhan negara
kolonial Zionis Israel di Palestin ditentang oleh tokoh-tokoh Yahudi terkenal
seperti Einstein dan Martin Bauber. Ini kerana kumpulan spiritual-humanis ini
terdiri daripada mereka yang berpijak kepada ajaran spiritual Ilahi agama
Yahudi. Begitu juga dalam puak musyrikin.
Oleh yang demikian, pimpinan Melayu-Islam kita mestilah bijak mencari kawan
yang ramai dan musuh yang sedikit berdasarkan pandangann hidup spiritual
Yahudi-Kristian dan tradisi-tradisi spiritual yang lain dalam Hinduisme,
Budhaisme dan agama-agama lain-lain.
8. Seruan Kepada Kuasa Yahudi-Kristian Eropah
Berdasarkan ini, Bangsa Melayu mesti menyeru kepada kuasa Yahudi-Kristian Barat
supaya bersikap adil dan saksama terhadap umat Islam dan terhadap umat manusia
seluruhnya. Dalam zaman pasca Perang Dunia Kedua, mereka telah melakukan
kezaliman demi kezaliman terhadap Dunia Islam dan Dunia Ketiga. Mereka terus
memingggirkan, malah mengeksploitasi kedua-dua dunia ini. Negara
nasionalis-kolonial Israel di tengah-tengah Dunia Islam tetap melambangkan
kezaliman total yang selama 63 tahun masih tidak terurai. Penawanan mereka
terhadap Iraq, campur-tangan mereka di Afghanistan dan di Libya, dan penguasaan
mereka terhadap umat Islam dan umat manusia melalui Majlis Keselamatan PBB yang
anti-demokratik (mendustakan laungan demokrasi Barat!). Semua ini telah
menimbulkan kemarahan umat Islam. Sesetengah umat Islam, terdesak demikian,
beralih memberontak – satu pemberontakan yang bersebab!
9. Dunia Musuh Yang Gelap
Mengikut seorang sejarawan Barat, Eric Hobsbawn, dalam bukunya, The Age of
Extremes – A History of the World, 1914 – 1991 (London: 1994), masa depan
dunia gelap sekali. Kata beliau: “Kita tidak tahu ke mana kita hendak pergi.
Kita hanya tahu bahawa sejarah telah membawa kita ke sini, dan … mengapa. Walau
bagaimana pun, suatu perkara jelas. Jika kemanusiaan mahu ada suatu masa depan
yang boleh kita nampak, ia tidak boleh dengan memanjangkan masa lalu atau pun
masa sekarang. Jika kita coba untuk membangunkan millennium yang ketiga
berdasarkan itu, kita akan gagal. Dan harga kegagalan ini, yakni alternatif
sebuah masyarakat yang berbeza, hanya kegelapan.” (hlm. 585)
Orang kafir itu, kata Quran, dia tidak tahu, hidup dan makan seperti binatang.
(47: 12). Pesimime agung ini telah kita lihat dalam karya-karya penulis-penulis
Barat dalam dalam zaman di antara dua peperangan dunia itu: dalam karya-karya
Albert Camus, Jean –Paul Sartre, W.B. Yeats dan T.S. Eliot (Lihat Kassim Ahmad,
Hadis – Satu Penilaian Semula, 1986; hlm. 14-16.)
10. Amaran Keras kepada Musuh, Jaminan Persahabatan kepada Sekutu
Jadi, biarlah kita beri amaran keras kepada mereka. Mansukhkan semua
ketidak-adilanmu, wahai adikuasa A.S.! Kami tidak takut kepadamu. Kamu pun di
ambang kehancuran. Kamu bangsa bangkrup yang hutangya sekarang sebanyak DAS
54.856 ribu trilion! Daripada 317.8 juta rakyatnya, seorang terhutang sebanyak
DAS 175,800 dan DAS 666,593 per keluarga. Begitu juga dengan sekutumu di
Eropah. Kamu semua bangkrup; maka itu kamu menjadi perompak! Merompak di Iraq
dan di Libya!
Demikian juga kami beri amaran keras kepada bakal musuh kami dalam Malaysia.
Bangsa Melayu terkenal sebagai satu bangsa yang sopan terhadap tetamu – “the
gentlemen of the East”, kata seorang penulis Perancis. Kerapkali mereka
mengalah kepada tetamu, bukan kerana takut, tetapi kerana kemurahan hati
mereka. Tetapi apabila mereka terdesak ke tembok, mereka akan beralih dan
mengamuk, seperti Hang Jebat , seperti dalam Peristiwa Mei 13 (di Malaysia),
dan seperti dalam peritiwa berdarah 30 September , 1965 atau Gestapu (di
Indonesia).
Sejarah membuktikan bahawa Malaysia berasal sebagai negeri-negeri Melayu, dan
Cina dan India sebagai pendatang. Berkat kemurahan hati mereka, bangsa-bangsa
pendatang ini telah diterima menjadi warganegara gara Malaysia. Bangsa Melayu
akan menghormati perjanajian ini sampai bila-bila. Tetapi kami beri amaran
keras kepada mereka supaya jangan melampaui batas. Kami memberi jaminan kepada
sahabat-sahabat kami dari pelbagai suku-bangsa dan agama di Malaysia dan di
seluruh dunia bahawa kami hormat dan bersikap lembut kepada kamu. Kamu sekutu
kami dalam perjuangan besar ini. Ayuh, mara! Kejayaan besar di pihak kita.
-------------------------------------------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau