Friday, January 17, 2014

DUA JENIS ISLAM




DUA JENIS ISLAM

Oleh: Kassim Ahmad
17 Januari, 2014


            Ramai orang tidak sedar bahawa ada dua jenis Islam. Pertama, Islam yang sebenar yang diajar oleh semua nabi dalam semua zaman, dan yang dilengkapkan oleh penyudah segala nabi, iaitu Nabi Muhammad dalam Quran. Kedua Islam baka, yakni Islam yang kita warisi daripada nenek-moyang, dan yang mengandungi banyak ajaran yang salah.
            Harus diperhatikan bahawa umat Islam hari ini, yang berjumlah 2.1 bilion orang, duduk di bawah dari umat Kristian di Eropah dan Amerika Syarikat, di bawah dari umat Konfusius di China dan juga di bawah dari umat Hindu di India. Bolehkah umat Islam, yang memeluk agama Islam yang Tuhan reda [1]  berkedudukan di bawah sekali?  Ini sama sekali tidak logikal.
Sejarah mencatat 60 tahun setelah Nabi Muhammad wafat dalam zaman Khalifah Uthman Ibni Affan, bangsa Arab yang dulunya tidak terkenal melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dunia mengalahkan Empayar Parsi dan menakluk sebagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Sejarawan-sejarawan  yang objektif mencatat peristiwa ini. Mereka termasuk Robert Briffault (Tha Making of Humanity, 1919)  George Sarton, A History of Science), Jil. 1 1970) , dan M. M. Shariff, (Muslim Thought: Its Origin and Achievements, 1951).
Itu kejayaan Islam yang sebenar, Islam tanpa mazhab, Islam tanpa penyelewengan-penyelewengan yang datang kemudian.
Apakah Islam baka? Ia Islam yang kita warisi dari nenek-moyang yang telah dimasuki penyelewengan-penyelewengan yang datang kemudian, seperti amalan selawat kepada Nabi Muhammad  dan syahadah kedua. [2]
Apabila kita menonton t.v. kita hairan mendengar ustaz-ustaz yang berbicara tentang Islam membuat kesilapan. Apakah mereka tidak tahu? Mengapa kita menggelar mereka ustaz kalau mereka tidak tahu? Adakah kebanyakan kita sudah terlalu jauh menyeleweng? Renunglah kata Quran bahawa kebanyakan manusia tidak suka, malah takut kepada kebenaran. [3] Mengapa? Ingat kembali bahawa manusia, Homo sapiens, itu dijadikan Tuhan khalifah di Bumi. Khalifah ertinya pengganti (kepada binatang), atau wakil raja yang bebas menentukan nasibnya sendiri dalam konteks undang-undang alamiah, atau natural law. Jadi, kebebasan memilih di antara pelbagai perbuatan itu sifat utama khalifah. Ayat Quran 2: 256 mengisytiharkan kebebasan mutlak untuk memilih agama. Perhatikan ayat ini datang persis selepas Ayat Kursi, yang menegaskan sifat-sifat Tuhan yang utama, iaitu Yang Hidup Senantiasa, Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui.
Bagaimana boleh timbul Islam baka? Bila subjektiviti (minda manusia) berinteraksi dengan objektiviti (alam), kerapkali alam bertukar menjadi herot-benyot, tidak seperti adanya. Ini kerana minda kita subjektif. Ia boleh meminda realiti mengikut kehendaknya. Oleh sebab itu, walaupun kita semua membaca Quran yang sama, pemahaman kita berlainan. Untuk mengelak herot-benyot ini, kita mesti ada suatu kaedah saintifik untuk memahami Quran. Dengan perkataan lain, kita harus membiarkan Quran menjelaskan dirinya sendiri. Dengan perkataan lain lagi, ayat menjelaskan ayat. Kita harus membaca dan memahami Quran secara keseluruhan. Dalam kaedah tradisional, Hadis menjelaskan Quran. Nyata kaedah ini batal, kerana Quran itu daripada pengetahuan Tuhan, sedangkan Hadis itu daripada akal manusia.
 
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman webnya: www.kassimahmad.blogspot.com     


[1] Lihat Quran, 3: 19.
[2] Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran, Forum Iqra’ Pulai Pinang, 2002.
[3] Lihat Quran, 23: 70 dan 43: 78.


1 comment:

Anonymous said...

ramai ayng mengaku baca QURAN bertahun2 tapi x fhm pa pun, x guna baca kalo x faham dan itu bukan tujuan QURAN sebenarnya sbb ia nya bukan buku lagu tapi petujuk, rahamt dan belas kasih dari ALLAH, tapi kalo setakat baca x fhm tiada guna nya...