Friday, October 31, 2014

TAKRIF ULAMA DALAM QURAN





ULAMA SEBAGI PARA SAINTIS SEPERTI YANG DITAKRIFKAN DALAM QURAN
DAN ULAMA AS SEBAGAI SATU KASTA PADERI –
BAGAIMANA DAN BILA YANG KEDUA TIMBUL

Oleh: Kassim Ahmad
25 Oktober, 2014

            Quran menyifatkan orang yang berilmu sebagai ‘alim’ (jamak: ‘ulama) sebagai ahli-ahli sains. Biar saya perturunkan ayat itu sepenuhnya, “Tidakkah engkau melihat bahawa Tuhan menurunkan dari langit air, dan dengan itu Kami hasilkan buah-buahan dari pelbagai warna. Gunung-ganang pun dari pelbagai warna; puncaknya putih, atau merah atau dari warna yang lain, dan ada juga yang hitam-legam. Demikan juga di antara manusia dan binatang-binatang yang melata dan binatang-binatang ternakan, ada yang pelbagai warna. Oleh sebab itu, mereka yang benar-benar takut kepada Tuhan hanyalah mereka yang berilmu (Ar. ulama).” (Quran, 35: 27-28)
            Perlembagaan Malaysia mengisytiharkan Islam sebagai agama Persekutuan. Tidak lama dulu Perdana Menteri Najib menyatakan beliau akan mengubah perisytiharan itu kepada Ahli Sunnah Wal-Jama’ah (ASWJ). Saya fikir ramai rakyat Malaysia, termasuk saya, tidak rela beliau   berbuat demikian dan mengirim surat daftar A.R. untul melahirkan perasaan mereka. Alhamdulillah, selepas itu belaiu tidak menyebut lagi perkara ini.
            ASWJ satu puak – puak majority – (puak minority Syia’h) yang muncul antara 250-300 tahun setelah Nabi Muhammad wafat. Sayugia diingat Nabi Muhammad penutup segala nabi, dan beliau melengkap dan menyempurnakan Islam sebagai agama yang Tuhan reda.[1] Misi beliau tidak lain kecuali menyampaikan Quran. Apabila sarjana Imam Shafi’e datang 135 tahun setelah Nabi wafat, beliau memperkenalkan satu doktrin baru bahawa Quran dan Hadis/Sunnah dua sumber utama undang-undangan Islam dengan Qias, Ijmak dan Ijtihad sebagai sumber-sumber sampingan. Apbila doktrin Shafi’e yang baru ini diterima oleh masyarakat Islam, maka barulah muncul Imam Bukhari dan lain-lain untuk mengumpul dan memilih hadis-hadis yang mereka anggap sahih. Enam pengumpul Hadis kaum Sunni ini muncul antara 238 dengan 283 tahun setelah Nabi wafat. Sebelum Shafi’e, hanya Quran saja yang ada, walaupun sedikit hadis telah muncul; tetapi selepas Shafi’e beribu-ribu hadis sudah wujud. Bukhari dilaporkan mengumpul 600,000 hadis dan memilih hanya 7,275 hadis yang beliau anggap sahih, [2] yakni beliau menolak 98.8 %. Beliaulah orang anti-Hadis yang pertama dalam sejarah!  Shafi’e, walau bagaimanapun, pedakyah Hadis yang pertama! Ini meletakkan ASWJ pro Shafi’e dan anti Bukhari! Mereka harus menghukum Bukhari dan memberi pingat kepada Shafi’e!
            Tuhan melarang orang Islam membuat puak dalam agama.[3] Tetapi persis inilah yang telah berlaku setelah kira-kira 250 tahun kewafatan Nabi Muhammad. Mengapa? Apabila kita mengkaji sesuatu tamadun atau agama, kira-kira 250 hingga 300 tahun setelah pengasasnya meninggalkan mereka, segala amalan khurafat masuk balik ke dalam tamadun atau agama itu. Persis inilah yang telah berlaku.
Dalam diri manusia ada dua tenaga: yang satu menolaknya naik dalam evolusinya, dan yang satu lagi meruntunnya ke bawah. Dalam fahaman saya, yang menolak kita naik itu tenaga yang baik, iaitu  malaikat; yang meruntun kita ke bawah itu tenaga jahat, iaitu Iblis. Pada ketika ini, para saintis yang dulu memainkan peranan ulama dalam ertika yang asal, merosot menjadi populis yang mahu nama dan pengaruh. Dulu merekalah yang mengibarkan bendera intelektualisme: belajar, menyiasat dan mengkaji, berdiskusi dan berdebat, dan mengasas dan memajukan ilmu dalam pelbagai bidang, termasuk falsafah dan logika. Tetapi setelah mereka membuat puak dan menjadi kaum Sunni, semua ini dimusnahkan dan hilang dari perbendaharan intelektualisme Islam buat selama-lamanya.[4]
            Islam hari ini tidak lebih dari agama ritual. Sebagai satu cara hidup yang revolusioner, mendukung kehidupan dan tidak gentar untuk menghadapi kesusahan dan kematian – deen ini sudah mati! Inilah sebab utama kejatuhan umat Islam. Kita harap para pemimpin dan cerdik-pandai Islam sedar akan hal ini dan berusaha untuk mengatasinya.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com 
             
    
             


[1] Lihat Quran, 3: 19. Lengkap dan sempurnanya Islam dinyatakan dalam Quran, Surah 5, ayat 3, yang berbunyia: “Pada har ini Aku lengkapkan bagi kamu agama kamu, sempurnakan nima-Ku kepada kamu dan Aku reda Islam sebagai agama kamu….”  
[2] Lihat Kassim Ahmad, Hadis – Satu Penilaian Semula (Petaling Jaya: 1986); hlm. 93
[3] Lihat Quran, 6: 159.
[4] Lihat kenyataan Dr. Syed Farid Al-Atas mengenai Universiti Al-Azhar dalam Wikepedia.