Tuesday, August 11, 2015

KEMELUT KEPIMPINAN NAJIB SEKARANG





KEMELUT UMNO DI BAWAH PIMPINAN NAJIB SEKARANG
Oleh: Kassim Ahmad
12 Ogos, 2015

            Sejak terdedahnya isu 1MDB dalam akhbar dan sejak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir menuntut supaya P.M. Najib diganti oleh  timbalannya Tan Sri Muhiyuddin Yassin, politik Malaysia menjadi begitu kecamuk hingga orang ramai menjadi keluh-kesah. Naiib menggunakan belantannya untuk mencantas, antara lain,  timbalannya Muhiyuddin dan Peguam Negara Gani Patail.
            Pertumpahan darah ini nyata tidak memperkukuh kedudukan Najib sebagai P.M. Sebaliknya, ia menunjukkan kelemahannnya. Tidak syak lagi, Muhiyuddin telah digalakkan oleh bekas P.M untuk menggugat kedudukan Najib.
Pada fikiran saya, ini tindakan silap. Muhiyuddin sepatutnya membahas isu 1MDB dalam kabinet dan juga majlis tertingga UMNO. Mungkin tuntutan Tun Mahathir masuk dalam perhitungan singkat Muhiyuddin.
Sekarang Najib sudah menunjukkan taringnya, dan dia mengatasi – sekurang-kurangnya buat sementara waktu.
            Apa akan berlaku seterusnya?
Kalau saya di tempatnya Najib, saya akan memanggil suatu Perhimpunan Agung Khas UMNO dengan serta-merta untuk menyelesaikan isu ini. Saya akan memberi taklimat yang sepenuhnya dan sejujurnya kepada perwakilan dan mempertaruhkan nasib saya sepenuhnya kepada perwakilan. Kalau perwakilan mendapati saya bersalah, saya akan menjawab saya manusia biasa, dan saya mohon maaf dan berjanji akan membetulkan kesilapan saya. Kalau mereka terima, bagus; kalau tidak, sayonara! Habis cerita!
Itu tindakan orang yang berani. Saya jangka kalau Najib berbuat begini, dia akan mendapat mandat yang lebih kuat. Titik.
Sebaliknya, kalau saya di tempat Mohiyuddin, saya akan berkempin untuk memanggil satu Perhimpunan Agung Khas UMNO juga. Dalam ucapan saya, saya akan menghuraikan denga terperinci kesilapan-kesilapan Najib: perihal ia tidak mahu mendengar teguran saya dalam kabinet dan majlis tertinggi, dan bagaimana ia bertindas keras dan ganas untuk membuang saya dan mereka yang  beliau fikir anti kepada beliau.
Saya akan serahkan penyelesain isu ini kepada perwakilan. Habis cerita!
Dengan demikian, isu ini akan selesai segera. Rakyat kita dan negara Malaysia akan selamat, bukan? Ayuh, buatlah!  Jangan berdolak-dalik.

KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com