Thursday, July 07, 2005

FORIQ:310804


SEKULARISME DARI SUDUT ISLAM
Kassim Ahmad

Bagi pihak Forum Iqra’, saya mengalu-alukan kedatangan saudari-saudari ke majlis forum kami yang tidak seperti ini pada malam ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli panel kita, Dr. Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, sekarang Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan Dr. Fadzlullah Jamil, seorang ahli sejarah kita dan bekas pensyarah sejarah di USM, yang sudi mengmabil bahagian dalam forum ini. Kedua-dua mereka ialah sarjana-sarjana kita yang terkenal. Dua orang lagi, Dato’ Haji Ahmad Nakha’ie, Yang Dipertua YADIM dan Dr. Ahmad Atory, seorang sarjana sains politik, Dekan Sekolah Pembangunan UUM, malangnya, pada saat akhir, memohon maaf menyatakan tidak dapat hadir. Kata pepatah, tiada rotan akar pun jadi. Oleh itu, terpaksalah saya mengisi tempat mereka.

Kami telah memilih tajuk ini untuk dibahaskan oleh ahli-ahli panel pada malam ini kerana konsep sekularisme menjadi satu punca kekeliruan dalam masyarakat Islam. Baru-bari ini sebuah parti politik mendakwa mereka kalah dalam pilihanraya umum yang lalu kerana kebanyakan orang Melayu telah menjadi “sekular”. Malah beberapa orang cerdik-pandai kita yang berpengaruh telah mengecam dan menolak “sekularisme” dalam tulisan-tulisan mereka. Seterusnya, pemodenan masyarakt Islam itu sendiri – yakni pengindustrian, penggunaan sains dan teknologi dan penggunaan kaedah saintifik – dianggap “sekular” oleh puak ini. Yang menjadi masalah kepada kita ialah umat Islam perlu bangkit semula dari tidur mereka yang lama untuk membangunkan sebuah tamadun Islam yang baru (dengan menggunakan segala kaedah dan peralatan yang berguna yang telah dihasilkan oleh tamadun Barat dalam masa tiga ratus tahun yang lalu), tetapi suatu puak dari umat Islam menentang usaha ini dengan melabelkan usaha ini sebagai “sekular”. Oleh yang demikian, kami fikir masalah ini patut kita kaji dengan lebih teliti. Kami harap perbahasan kita pada malam ini boleh menolong kita memahami masalah ini dengan lebih jelas.

Tidak syak lagi, kebangkitan orang Eropah dan tamadun moden Barat sejak abad-abad ke-15 dan ke-16 suatu peristiwa yang amat penting bagi dunia. Dari banyak segi, mereka mewarisi tamadun Islam yang memuncak dalam abad-abad ke-13 hingga ke-15. Tamadun ini telah membangkitakan semula umat Islam dari tidur mereka yang lama. Selama seratus tahun lebih, umat Islam menghadapi masalah, “Apakah sikap mereka terhadap tamadun Barat?” Sikap mereka terbahagi kepada tiga golongan: yang menolak secara keseluruhan, yang menerima secara keseluruhan, dan yang kritikal, yakni menerima dan menolak mengikut kesesuaian tamadun itu dengan ajaran Islam.

Sekularisme satu daripada aspek tamadun Barat yang penting. Perkataan ‘sekular’ berasal dari perkataan Latin, bermakna ‘sekarang’ dan ‘di sini’ atau ‘dunia ini’, yang boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai ‘keduniaan’, atau ‘kehidupan duniawi’. Pada satu masa dulu, sebelum zaman moden, kehidupan manusia dipengaruhi oleh unsur-unsur magik dan keajaiban. Alam ditadbirkan oleh suatu kuasa-kuasa magik dan ghaib yang tidak menentu sifatnya, dan manusia perlu menyemah atau mengambil hati kuasa-kuasa ghaib ini dengan pelbagai cara. Dalam dunia seperti ini, kemanusiaan ditengelam atau dipinggirkan dan patung-patung atau tuhan-tuhan palsu berkuasa. Dunia magik dan ajaib ini mulai hapus dengan munculnya pandangan hidup saintifik (yang sebenarnya datang dengan ayat “Iqra’” dengan wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad) dan yang kemudian disibarkan ke seluruh dunia oleh tamadun Barat.

Soalnya: Adakah sekularisme yang dibawa oleh Barat ditolak oleh Islam? Jika ya, apakah makna sekurlarisme dalam Islam. (Nyata Islam tidak menolak kehidupan dunia, seperti yang terbukti dalam beberapa ayat Quran. Lihat 2:201 & 28:77) Inilah antara beberapa perkara yang saya minta ahli-ahli panel kita bahas.

Namun demikian, Quran juga mengecam kehidupan duniawi sebagai permainan dan kebanggaan kosong yang tidak bernilai. seperti yang terbukti dari ayat-ayat ini. (Lihat Quran, 29:64 & 87:16-17) Jadi, apakah terdapat kontradiksi dalam ajaran Quran? Tentu tidak. Oleh yang demikian, kita harus menghuraikan kedua-dua kumpulan ayat ini (yang mengiakan kehidupan duniawi dan yang menidakkannya) dengan cara yang betul dengan memberi makna yang betul kepada konsep-konsep kehidupan duniawi dan kehidupan ukrawi dalam Quran.

Tidak syak lagi, Alam Semesta yang Tuhan ciptakan terdiri dari banyak alam (Rabbul ‘Alamin= Tuan sekalian alam), tetapi wujud dalam satu kesatuan. Dunia dan akhirat tidak boleh dipisahkan secara mutlak. Demikian juga kehidupan agama dan kehidupan politik wujud dalam satu kesatuan, tetapi secara relatif, boleh dipisahkan. Ayat suci Surah 22, Ayat 67 dan Piagam Madinah menunjuk kepada perpisahan antara agama (dalam ertika ibadah-ibadah agama yang khusus kepada masing-masing kumpulan agama) dengan dasar negara (yang berlaku kepada seluruh warganegara). Sekularisme, pada pendapat saya, dibenarkan dalam Islam, dalam ertikata politik dipisahkan dari ritual agama, tetapi politik tidak boleh dipisahkan daripada moraliti atau ukuran baik dan jahat. Umpamanya, membeli undi dan ekonomi yang berdasarkan riba, yang dibenarkan dalam sistem liberal Barat, tidak dibenarkan dalam sistem yang diperintahkan oleh moraliti, seperti dalam sistem Islam.

Seperkara lagi yang harus kita perhatikan ialah tamadun Barat itu bukan homogen atau seragam. Sistem politik-ekonomi kaum liberal atau oligarki yang dipelopori oleh Adam Smith, John Locke, Thomas Hobbes dan lain-lain dan yang diamalkan dalam pemerintahan George W.Bush dan Tony Blair tidak boleh disamakan dengan sistem kaum humanis dan republikan yang dipelopori oleh Gottfried Leibniz, Benjamin Fraklin, Abraham Lincoln, Alexander Hamilton, Carey dan lain-lain dan yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat seperti Franklin D. Roosevelt, John F. Kennedy dan yang sekarang diwakili oleh aktivis dan pemikir politik Lyndon H. LaRouche.

Sebagai Presiden Forum Iqra’, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pekerja-pekerja kami yang telah bekerja keras untuk mengatur dan menjayakan forum ini.

Sekian dulu sedikit pendahuluan tentang forum ini dari saya. Mudah-mudahan kita mendapat taufik dan hidayah daripada Tuhan.


George Town,
4 September, 2004.


Nota ayat-ayat Quran

1. “Tuan kami, berilah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akirat dan lindungilah kami daripada siksaan Neraka!” (2: 201)
2. “Jangan bangga; Tuhan tidak suka mereka yang bangga. Tetapi carilah dari apa yang Tuhan berikan kamu Kediaaman Akhirat, dan jangan lupa bahagianmu di dunia. Buatlah baik sepertimana Tuhan telah buat baik kepadamu, dan jangan buat kerosakan di dunia. Tuhan tidak suka kepada perosak.” (28:77)
3. Kehidupan dunia ini tidak lain daripada suatu kealpaan dan keseronokan. Kediaman Akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, jika mereka tahu. (29:64)
4. Tidak, tetapi kamu memilih kehidupan sekarang, sedangkan dunia akan datang lebih baik dan kekal. (87:16-17)
5. Bagi tiap-tiap umat, Kami wujudkan uapacara ibadah yang mereka lakukan. Jangan kamu diajak bertengkar tentang perkata itu. Serulah kepada Tuanmu. Kamu di atas jalan yang benar. (22:67)
6.

2 comments:

Anonymous said...

perkelahian anda dengan PAS hanyalah dari sudut pentakrifan sahaja..
hakikatnya anda dan PAS sama-sama mahu ayat-ayat quran dijadikan panduan hidup..
ruginya anda dan PAS berkelahi..
lebih baik cari titik persamaan.

Anonymous said...

Assalamualaikum..

Terima kasih kerana menjelaskan konsep tamadun barat dgn jelas sekali.