“KATAKANLAH YANG BENAR!”
PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SURATKHABAR
-- Ucaptama kepada Seminar Tokoh-tokoh Persuratkhabaran Malaysia
Dalam Abad Kedua Puluh pada 19-20 Ogos, 2005
Di Universiti Sains Malaysia –
Oleh: Kassim Ahmad
Telah disebut dalam Quran bahawa Tuhan mengajar manusia melalui pena. Setelah beribu tahun sejak manusia tahu menulis dan membaca, hari ini suratkhabar menjadi sebuah industri yang besar di seluruh dunia dan membentuk pemikiran global. Kaum wartawan telah menjadi salah seorang guru yang berpengaruh kepada kita. Malah suratkhabar dipanggil institusi berkuasa yang keempat, selepas Kaum Bangsawan, Kaum Agama dan Rakyat.
Di Malaysia suratkhabar-suratkhabar awal, seperti Jawi Peranakan, Utusan Melayu dan Lembaga Melayu, dan tokoh-tokoh akhbar, seperti Mohd. Eunos Abdullah, Syed Sheikh Al-Hadi, Abd. Rahim Kajai, A. Samad Ismail dan Said Zahari dan lain-lain, terpahat namanya dalam sejarah persuratkhabaran Malaysia. Mereka dan rakan-rakan wartawan mereka telah memainkan peranan mereka membentuk generasi-generasi mereka pada awal dan dalam abad kedua-puluh.
Kata arif, pena itu lebih kuat daripada pedang. Pedang hanya boleh meghapuskan jasad manusia, tetapi tidak fikiran mausia. Manusia satu-satunya makhluk yang berfikir dan fikiran itu kreatif dan boleh mengubah dunia, termasuk manusia itu sendiri. Fikiran manusia terdiri dari maklumat dan ajaran, termasuk agama, falsafah dan seni, yang dia terima pada sesuatu zaman.
Dengan demikian, suratkhabar memainkan peranan yang besar dalam kehidupan manusia.
Namun demikian, suratkhabar, kerana ia telah menjadi sebuah industri yang besar pada hari ini, boleh kita bahagikan kepada dua kategori pokok. Pertama, media perdana; kedua, media kecil atau bukan perdana. Media perdana dimiliki oleh beberapa syarikat besar, yang kerapkali berupa monopoli, dan yang dikuasai oleh golongan elit masyarakat itu. Media perdana pada umumnya menyokong kerajaan melalui jalinan hubungan antara golongan elit tadi. Nyatalah dari sini bahawa media itu tidak sebenarnya bebas. Ia berperanan dan bertindak menyokong sistem yang maujud dalam masyarakat itu.
Media kecil atau bukan perdana dimiliki dan/atau dikendalikan oleh golongan-golongan kecil dalam masyarakat, termasuk parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain. Masing-masing mengutarakan ideologi atau dasar masing-masing untuk mempengaruhi masyarakat.
Seperti yang kita tahu, Kesultanan Melayu Melaka berpecah dan dijajah oleh bangsa-bangsa Eropah dari awal abad kelima belas hingga abad kesembilan belas. Pada masa ini orang Melayu hidup di bawah dua kuasa: feudalisme Melayu dan kolonialisme Eropah. Suratkhabar Melayu yang pertama, Jawi Peranakan, dierbitkan pada 1876 di Singapura, diikuti dengan akhbar-akhbar dan majalah-majalah lain, seperti Bintang Timur, Al-Imam, Neracha, Al-ikhwan, Saudara dan Utusan Melayu, sesetengahnya diterbitkan di Pulau Pinang. Singapura dan Pulau Pinang merupakan dua kota besar yang ditadbirkan terus oleh Inggeris pada masa itu.
Suratkhabar dan majalah tersebut menumpukan kepada dua perkara: membaikai kedudukan pelajaran dan ekonomi orang Melayu dan pembaharuan agama, mengikut ajaran mujadid Sheikh Muhammad Abduh Mesir. Inilah dua tema yang diperjuangkan oleh akhbar dan majalah Melayu pada masa itu hingga pergolakan perjuangan kebangsaan rakyat Asia untuk kemerdekaan sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Pada waktu itu, tema-tema baru, iaitu kedaulatan bangsa Melayu dan pendaulatan bahasa Melayu, ditambah kepada tema-tema ekonomi dan pelajaran.
Pada waktu ini, suratkhabar-suratkhabar berbahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil lebih banyak menggambarkan kepentingan-kepentingan luar, iaitu Britain, China dan India.
Suatu kuasa baru, Komunisme, muncul di Asia dan di negara kita selepas Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, rakyat Malaysia berhadapan dengan dua blok: blok “Dunia Bebas” dan blok Komunis. Oleh kerana negara kita, pada 31 Ogos, 1957, merdeka dari tangan penjajah Inggeris dan oleh kerana Parti Komunis Malaya telah melancarkan perang terhadap pemerintahan Inggeris pada 1948, maka Kerajaan merdeka kita yang baru memilih untuk menyengutukan dirinya dengan blok “Dunia Bebas”. Hal itu kekal hingga hari ini, walaupun sistem komunis di Rusia Soviet sudah runtuh dan di China sudah berubah.
Media perdana kita menggambarkan perubahan-perubahan ini dan mengambil pendirian kerajaan kita memihak kepada “Dunia Bebas,” atau lebih tepat memihak kepada ideologi dan sistem neoliberalisme Amerika-Inggeris, yang menguasai seluruh dunia hari ini.
Peranan Akhbar
Soalan yang hendak saya ajukan ialah: Apakah peranan dan tanggungjawab akhbar, atau lebih luas, media? Adakah semata-mata menggambarkan realiti, atau apa yang wujud? Kita sudah tahu bahawa manusia, kerana sifat kreatifnya, boleh mengubah realiti. Kita sudah merdeka selama 47 tahun. Sebagai orang Islam yang mempunyai suatu cara hidup kita sendiri, tidak mungkinkah kita teroka cara hidup Islam pada waktu kita mencapai kemerdekaan 47 tahun dulu supaya sekarang kita boleh benar-benar hidup merdeka dari segi politik, ekonomi dan sosial, dan tidak menderita di bawah sistem liberal yang tidak adil?
Soalan ini harus kita fikir dengan serius sekarang, kerana sistem ini, oleh sebab ketidak-adilannya, juga sedang menghadapi krisis yang tenat dan sedang dalam tahap akhir keruntuhannya.
Quran menyebut Islam sebagai “jalan yang lurus” , iaitu sistem yang betul, yang tidak menyeleweng ke kanan atau kiri, ke atas atau ke bawah. Penyifatan sistem ini sebagai sistem yang lurus tidak berbeza dengan apa yang dipanggil oleh Aristotelis sebagai “the Golden Mean” (Jalan Tengah) atau “the Middle Path” (Jalan Tengah) dalam falsafah Buddhaiah. Mengapakah umat Islam pada waktu mereka dari penjajahan Eropah tidak sedar akan hal ini dan mencari “jalan yang lurus” yang “bukan Timur, bukan Barat” dari tradisi mereka sendiri untuk mengendalikan kehidupan baru mereka yang bebas? Perlembagaan Madinah patut dikaji dan dibincang, kerana ia bukan saja sebuah perlembagaan tertulis yang pertama dalam sejarah, tetapi juga, pada dasarnya bersifat moden, republikan dan demokratik yang boleh menjadi model kepada kita.
Islam sebagai suatu sistem atau cara hidup yang lengkap telah melalui dua fasa besar dalam sejarahnya. Pertama, zaman republikan-humanis di bawah pimpinan Nabi Muhammad dan empat khlifah, dan kedua, zaman feudal-kolonial. Dalam zaman pertama, umat Islam bangkit dan maju serta memegang ubor ilmu yang disibarkan ke seluruh dunia pada waktu itu. Dalam zaman kedua, zaman feudal-kolonial, Islam jatuh dan pemikiran umat Islam berubah menjadi beku dan kolot kerana telah diselewengkan dengan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad dalam Quran. Selama tujuh ratus tahun, pemikiran umat Islam tidak berkembang dan kekal beku selama tujuh ratus tahun! Pemikiran kritikal dan kreatif dibunuh. Pintu ijtihad ditutup. Walaupun ahli-ahli fikir yang cemerlang seperti Ibn Khaldun, Shah Waliuallah, Malek Bennabi, Mohammad Iqbal dan Ali Shariaati, Hamka, Zaaba dan Dr. Burhanuddin Al-Hilmy dalam masyarakat Islam, mereka golongan minoriti yang tidak dapat membawa perubhan besar dalam pemikiran umat Islam.
Demikianlah keadaan umat Islam pada akhir abad kesembilan belas apabila gerakan raksasa nasionalis-antikolonial mulai menggegar Asia. Islam tidak lagi menjadi agama yang hidup yang dipraktikkan dalam keseluruhan dan kesepaduannya. Islam hanya ritual atau adat. Kaum elit Melayu, di samping masih dikongkong oleh feudalisme Melayu, sekarang berada di bawah pengaruh ideologi-ideologi Barat, liberalisme dan komunisme. Oleh sebab itu akhbar-akhbar Melayu hanya menonjolkan masalah-masalah pembaikan ekonomi dan pelajaran orang Melayu, yang kemudian meningkat kepada masalah kedaulatan negara dan pendaulatan bahasa Melayu. Hingga sekarang, pada awal abad kedua puluh satu, masyarakat Islam masih gagal menggariskan dengan jelas falsafah ekonomi-politik Islam untuk menggantikan sistem neoliberal yang sedang runtuh.
Peranan dan tanggungjawab suratkhabar bukan semata-mata melaporkan berita dengan tepat, tetapi lebih penting membuat analisis berita yang kritikal. Lebih penting daripada itu ialah menyalurkan idea-idea baru yang bernas untuk membangunkan masyarakat. Ini bermakna wartawan kita mestilah tekun membaca dan menyiasat di sebalik timbunan berita yang datang ke meja mereka tiap-tiap hari. Ketiga-tiga peranan ini – melapor, menganalisis berita dan menyalorkan idea -- tidak boleh dilaksanakan kecuali wujud media yang melihat tanggungjawabnya kepada masyarakat dan bangsa melampaui kepentingan kewangan jangka pendek. Kerajaan juga perlu sedar bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan yang menyongkong media sehingga mereka gagal memainkan peranan mereka sebagai penyalur idea-idea baru yang kritikal dan bernas, lambat-laun akan merugikan mereka juga, kerana masalah-masalah tidak boleh diselesaikan dan mereka akan digantikan. Lihatlah bagaimana masalah-masalah rasuah, penyalah-gunaan kuasa dan kekolotan dan kebekuan fikiran umat Islam tidak dapat dipecahkan dalam masyarakat kita.
Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan supaya sekumpulan umat Islam yang sanggup menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan senantiasa wujud. Dengan demikian, barulah masyarakat boleh mengatasi apa juga masalah yang mereka hadapi dan akan berkembang dan maju.
Abad kedua puluh boleh kita katakan sebagai abad yang meruntuhkan segala kejahatan yang wujud. Sistem kolonial lama runtuh, digantikan dengan sistem negara- bangsa yang merdeka, walaupun sistem ini kemudian bertukar menjadi sistem neo-kolonial. Sistem komunis juga runtuh, kerana gagal menyelesaikan kontradiksi antara hak kolektif (yang diperjuangkan oleh kaum komunis) dengan hak individu yang sah. Sistem liberal juga sedang runtuh kerana kegagalannnya menyelesaikan hak orang ramai yang dihakiskan oleh kebebasan individu (yang diperjuangkannya). Selain daripada itu, abad ini juga menyaksikan kegagalan dan keruntuhan sistem teokrasi, iaitu pemerintahan berdasarkan kediktatoran suatu kumpulan agama yang mendakwa bercakap atas nama Tuhan.
Jadi abad kedua puluh menyaksikan empat sistem yang besar yang menyeleweng dari jalan yang lurus runtuh. Oleh kerana itu, dunia di akhir abad kedua-puluh juga sedang mecari suatu peganan hidup yang lebih baik. Mereka telah meletakkan agenda “Sebuah Dunia Baru Yang Adil” di atas meja perundingan – bukan semata-mata sebuah dunia baru, tetapi sebuah dunia baru yang adil.
Apakah iktibar yang boleh kita pelajari dari keruntuhan-keruntuhan ini? Iktibar yang pertama ialah semua sistem yang zalim, yang menyeleweng dari jalan yang lurus , lambat-laun akan musnah. Kedua, untuk mengelak keruntuhan yang pasti berlaku, sesuatu masyarakat mesti selalu berada pada jalan yang lurus. Ketiga, untuk memastikan masyarakat itu senantiasa berada di jalan yang lurus, mesti ada sekumpulan dalam masyarakat itu yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan. Frasa ini harus ditafsirkan dari segi falsafah, yakni dari segi maknanya yang luas dan sepadu, bukan dari pengertian harfiah yang sempit.
Kita perlu menyedarkan diri kita tentang harga yang mahal yang telah kita bayar untuk sistem kolonial, untuk sistem kapitalis, untuk sistem komunis dan untuk sistem teokrasi – semua sistem yang menyeleweng dari keadilan dan dari jalan yang lurus: dalam bentuk peperangan kolonial, pembunuhan beramai-ramai kerana konflik agama dan kaum , kebuluran, kemiskinan, wabak-wabak penyakit dan kemunduran, termasuk yang dilakukan oleh pemerintahan-pemerintahan yang zalim, yang disebabkan oleh riba, seperti amalan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, rasuah dan penyalah-gunaan kuasa dan sebagainya. Harganya terlalu tinggi. Oleh sebab itu, agama Islam menggalakkan kita berjuang dan berkorban di jalan Allah, yakni jalan kebaikan, kebenaran dan keadilan, kerana perjuangan dan pengorbanan ini akan mengelak kita dari terjerumus ke dalam kejahatan-kejahatan yang akan mengakibatkan keruntuhan besar yang telah saya sebutkan di atas.
Ambil contoh perancangan strategik negara kita, Wawasan 2020. Ini nyata suatu perancangan besar yang baik, tetapi adakah rakyat kita diajak berbincang tentang rancangan besar ini? Tahukah kita dengan jelas takrif negara maju? Antara lain, rancangan itu menghendaki kita menjadi sebuah negara yang bersatu-padu, yang demokratik, yang sistem ekonominya adil dan saksama, yang pemikiran rakyatnya rasional dan saintifik, yang moral dan spiritual bangsanya tinggi. Ini semua tentunya matlamat-matlamat yang sangat tinggi dan mulia, tetapi bolehkah kita capai di bawah dogma sistem liberal “pasaran bebas” yang kita anuti sekarang? Baru-baru ini dilaporkan 18,000 atau 80,000 graduan menganggur: jika 18,000 orang graduan yang mendapat pelajaran tertinggi dalam negara menganggur, bagaimana dengan bukan graduan?
Bagaimana dengan sistem pendidikan kita? Adakah ia melatih rakyat kita untuk berfikir secara rasional dan saitifik, di samping melahirkan individu yang berguna? Adakah kita berpuas hati dengan sistem pendidikan agama kita yang lebih banyak mengatakan “Jangan buat” daripada “Buat”, yang mengutamakan bentuk daripada isi dan yang mencampur-adukkan tahyul dengan ajaran yang benar? Bagaimana dengan sistem pengangkutan awam kita? Kereta persendirian begitu banyak di mana-mana sehingga di bandar-bandar dan kadang-kadang di taman-taman perumahan, tidak ada tempat yang lapang kecuali ada kereta diletak di sana! Bagaimana dengan moral bangsa kita dengan kejadian jenayah yang kian meningkat? Banyak soalan yang memerlukan jawapan dan penyelesaian.
Ambil contoh rasuah politik dalam parti politik utama dalam sistem politik kita. Rasuah politik bermakna kepentingan peribadi yang tidak sah menjadi matlamat seorang ahli politik, sedangkan ahli-ahli politik itu diamanahkan untuk memperjuangkan kepentingan dan cita-cita bangsa. Jika mereka terlibat dalam rasuah politik, bolehkah mereka melaksanakan amanah bangsa? Soalan besar yang memerlukan jawapan dan penyelesaian.
Pada hari ini dua isu besar antarabangsa ialah keruntuhan sistem liberal Inggeris-Amerika, yang dilambangkan oleh kejatuhan matawang dolar A.S., dan perang-perang pencerobohan yang hendak dilancarkan oleh kaum oligarki Inggeris-Amerika. Perang pencerobohan terhadap Afghanistan dan Iraq – yang mereka sifatkan sebagai perang terhadap keganasan yang berkepanjangan – mestilah dilihat dalam perancangan strategik kaum oligarki dunia untuk mempertahankan sistem bobrok mereka yang sedang runtuh dan dalam kerangka hasutan ahli ideologi Samuel Huntington “Pertembungan Tamadun”. Setelah Afghanistan dan Iraq, mereka akan meceroboh di Iran pula, dan kemudian di mana lagi? Gila kuasa yang tiada had! Hal-hal ini patut dilapor dan didedahkan dalam media kita supaya rakyat kita boleh berwaspada terhadap rancangan jahat mereka.
Perkara-perkara besar seperti ini patut menjadi perbincangan dalam forum-forum seperti perhimpunan-perhimunan agung parti-parti politik yang besar, dalam Parlimen, dalam seminar-seminar akademik dan juga dalam suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah kita. Parti yang memerintah, kerajaan dan masyarakat umumnya hendaklah menggalak dan membantu pertumbuhan fikiran yang rasional dan kreatif dalam masyarakat kita supaya bangsa kita boleh maju.
Saya perlu meminta maaf kerana dalam masa yang singkat yang diberi kepada saya untuk menyediakan ucapan ini, saya tidak sempat membuat penyelidakan tentang suratkhabar-suratkhabar bukan-Melayu. Oleh kerana Malaysia masyarakat majmuk, tidak syak lagi mereka juga telah memainkan peranan mereka dan memberi sumbangan mereka terhadap pembinaan sebuah negara-bangsa Malaysia baru yang merdeka.
Kemerdekaan ini sangat penting, kerana hanya dengan kemerdekaan kita boleh menentukan nasib kita sendiri. Kita tidak mahu campur tangan kolonialisme dan imperislisme dalam apa bentuk sekali pun dalam negara kita sekarang.
Peranan Internet
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyebut suatu unsur baru dalam komunikasi kita, iaitu Internet. Oleh kerana Internet tidak boleh dikawal oleh kerajaan mana pun, maka ia suatu kaedah komunikasi yang benar-benar bebas. Ia membolehkan kita menyatakan fikiran kita dengan bebas. Ini bermakna kebenaran tidak dapat dihalang lagi oleh pihak-pihak yang berkepentingan dari sampai kepada rakyat. Walaupun sekarang hanya sekumpulan kecil saja daripada rakyat yang boleh bermanfaat dari Internet, pada masa akan datang keadaan ini akan berubah. Lebih ramai rakyat boleh memasuki Internet. Namun demikian, dalam keadaan terbatas sekarang pun, kebenaran itu boleh disibarkan kepada rakyat melalui cetakan dan salinan bahan-bahan itu.
Kita tahu juga Internet dipenuhi dengan banyak maklumat dan bahan yang tidak berguna, malah berbahaya. Tetapi Tuhan mengajar kita bahawa kebenaran itu kebal. Ia boleh menghapuskan kepalsuan yang disibar oleh kaum oligarki dan agen-agen mereka dan menyedarkan rakyat kepada hal yang sebenar. Kesedaran rakyat yang telah celek akan mengubah dunia dan akan mewujudkan sebuah dunia baru yang adil.
Jadi sebagai kesimpulan, walaupun saya bimbang tentang masa depan bangsa kita, kerana masalah-masalah yang telah saya sebutkan di atas, saya juga merasa optimis, kerana hal-hal yang positif yang wujud sekarang untuk kita memperjuangakan sebuah dunia baru yang adil. Saya sebut ini semua dalam konteks peranan dan tanggungjawab suratkabar sebagai salah satu guru yang mengajar masyarakat kita. Saya beri tajuk “Katakanlah Yang Benar!” kepada ucapan ini, kerana, seperti kata Nabi Allah Isa, “Kebenaran akan membebaskan kamu.” Ia akan membebaskan kita dari khurafat, dari kepalsuan, dari kejahatan dan dari penyelewengan. Saya harap dan saya percaya ahli-ahli akademik dan cerdik pandai yang hadir dalam seminar ini dan akan mengambil bahagian yang aktif akan memberi perhatian berat kepada aspek ini dalam industri suratkhabar kita. Mudah-mudahan dengan demikian, kita boleh memecahkan lingkaran jahat yang menjerut kehidupan mental kita serta mengeluarkan masyarakat kita dari penjara yang kita buat sendiri dan mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih baik untuk anak-cucu kita.
19 Ogos, 2005.
80, Jalan Gajah, Tg. Bunga,
11200 Pulau Pinang.
TEL. 04-2645072
T/B 012-4291152
No comments:
Post a Comment