Wednesday, August 03, 2005

SEPARUH JALAN MENUJU WAWASAN 2020
(Kertas Kerja Seminar Media & Wawasan 2020
pada 1 & 2 Ogos, 2005)

Oleh: Kassim Ahmad

Seperti yang diketahui, perancangan jangka panjang untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dari semua segi, material, moral dan spiritual, dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya kepada Majlis Perdagangan Malaysia di Kuala Lumpur pada 28 Februari, 1991. Kertas yang bersejarah itu bertajuk “Malaysia – Melangkah Ke Hadapan” Inilah kali yang pertama seorang pemimpin negara kita memasukkan idea perancangan jangka panjang ke dalam agenda negara, walaupun sebelumnya kita sudah mempunyai perancangan tiap lima tahun dalam siri rancangan-rancangan Malaysia dari yang pertama pada 1965-1970 hingga sekarang memasuki Rancangan Malaysia Ke-9.

Tidak syak lagi, sebagai makhluk yang berakal, kita harus mempunyai impian untuk membangunkan negara dan masyarakat kita menjadi sebuah negara dan masyarakat yang baik, baik dalam ertikata ia aman, selamat, maju, makmur dan bahagia. Namun demikian, kita mempunyai masalah dengan istilah “negara maju” – apakah maknanya yang sebenar dan negara manakah yang boleh kita istilahkan sebagai maju?

Umumnya, Tun Dr. Mahathir mensasarkan negara-negara industri yang kaya, Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun sebagai negara-negara maju, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pendapatan purata dan taraf hidup rakyat yang tinggi dengan sistem-sistem pendidikan, kesihatan, pengankutannya dan jalanrayanya yang baik. Tetapi kita tahu di semua negara ini pengangguran wujud dan golongan miskin juga wujud dengan sebilangan rakyat tidak mempunyai rumah untuk kediaman mereka. Kadar jenayah juga tinggi, seperti di Amerika Syarikat. Walaupun negara-negara ini mencatatkan pendapatan purata yang tertinggi dan tingkat kemajuan sains dan teknologi yang juga tertinggi, bolehkah kita istilahkan mereka sebagai negara maju, yang boleh menjadi contoh kepada kita?

Wajar sekali matlamat yang kita tujukan ialah kemajuan dari semua segi, bukan dari segi ekonomi atau material saja, tetapi juga dari segi-segi moral dan spiritual. Apakah yang kita maksudkan dengan kemajuan dari segi moral dan spiritual? Jawapan yang ringkas dalam bahasa Quran ialah kita menjadi manusia yang sanggup memperjuangkan kebaikan dan melarang kejahatan[1] dan bahawa kita menjadi manusia yang sanggup memaafkan kesalahan dan kesilapan dan memikirkan tentang bagaimana hendak mencari kebaikan.[2] Dari segi ini, walaupun kita tidak berhasrat untuk memberi angka yang banyak (kerana angka boleh dipilih-pilih dan mengelirukan), nyatalah masyarakat kita telah merosot. Kejadian jenayah telah meningkat dan keselamatan dan ketenteraman telah mengurang.

Ini satu masalah besar. Mengapakah kemajuan dari segi ekonomi dan material tidak seimbang dengan kemajuan dari segi moral dan spiritual? Keadaan ini bukan saja terdapat di negara kita, tetapi terdapat di seluruh dunia. Kita mesti mencari jawapan kepada masalah ini dan semak semula sistem kehidupan kita sekarang.

Untuk menjawab soalan ini, kita kena siasat wujud berapa sistem hidup dalam dunia dan sistem manakah yang harus kita pilih. Quran memberitahu kita bahawa dalam kehidupan manusia dalam semua zaman wujud sistem “jalan yang lurus” dan sistem-sistem yang menyeleweng.[3] Umpamnya, pada zaman silam, Firaun atau Raja Mesir yang memerintah dalam zaman Nabi Musa, Ramses II, ialah seorang pemerintah yang sangat zalim. Ia menindas rakyatnya dan melakukan kezaliman terhadap mereka. Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya bangun untuk menentang raja yang zalim ini. Akhirnya, raja ini tenggelam dalam Laut Merah. Dalam zaman Nabi Muhammad di Semenanjung Arab, suatu kumpulan oligarki (kaum Kuraisy) memerintah suku-suku Arab dengan zalim juga dan Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya bangun untuk melawan sistem oligarki Arab ini hingga mereka menang dan mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil di bawah pimpinan Nabi Muhammad. Demikianlah dalam dunia lama, dua kumpulan, kaum oligarki bertarung dengan kaum humanis atau republikan (untuk menggunakan istilah politik-falsafah moden) untuk menguasai dan membangunkan masyarakat.

Zaman moden, iaitu zaman sains dan teknologi menentukan kehidupan manusia, sebenarnya bermula dengan kebangkitan Nabi Muhammad dan gerakan agama-politik-falsafahnya.[4] Tetapi oleh kerana gerakan kebangkitan Arab ini tidak boleh bertahan lama, kerana penyelewengannya dari “jalan yang lurus”, maka ia diganti oleh Europah dalam abad ke-16. Sejak itu, dunia dikuasai oleh tamadun Eropah, dan zaman moden dikira dari tarikh kebangkitan Eropah.

Sepertimana dalam semua tamadun, tamadun Eropah mengandungi dua kecenderungan atau potensi: kecenderungan kepada sistem oligarki (feudal-kolonial-kapitalis) dan kecenderungan kepada sistem humanis-republikan. Kecenderungan pertama telah membawa Eropah sebagai kaum penjajah yang menjajah seluruh dunia, dan kecenderungan kedua telah membawa budaya humanis-republikan ke seluruh dunia. Penulis Melayu yang terkenal dalam abad ke-19, Abdullah Munsyi, yang kerapkali dianggap pro-penjajah oleh sesetengah masyarakat kita, hendaklah dilihat sebagai hasil budaya humanis-republikan Eropah ini dengan fikirannya yang anti-feudal dan anti fahaman agama jumud.[5]

Malaya dan kemudian Malaysia merdeka lahir dari sistem liberal atau neo-liberal Inggeris dan sistem feudal kesultananan Melayu. Sistem liberal ini berasal dari falsafah ekonomi-politik Syarikat Inggeris Timur India (British East India Company) dan Syarikat Belanda Timur India (Dutch East India Company). Falsafah inilah yang melahirkan sistem ekonomi kapitalis dan sistem penjajahan Eropah di Asia dan Afrika. Falsafah ini membuat anggapan bahawa, berdasarkan sifat tamak seorang individu, ia akan berusaha untuk kepentingan dirinya dan, dengan itu, melalui mekanisma persaingan, akan mencipta kebaikan untuk umum. Inilah teori dan falsafah liberal yang, sejak Keynes, dengan menambah konsep kebajikan, bertukar menjadi neo-liberal. Dalam persaingan dan pertembungannya dengan sistem komunisme-Marxis, sistem neo-liberal ini telah menang dengan kejatuhan Kesatuan Rusia Soviet pada 1989-90. Francis Fukuyama telah merayakan kejatuhan ini dengan bukunya yang bertajuk The End of History and The Last Man (1992).
Sistem ini juga sarat dengan kontardiksi dalamannya yang tidak terungkai – kontradiksi antara kepentingan individu dengan kepentingan kolektif. Segelintir golongan yang terlalu kaya di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun wujud di samping jutaan manusia yang miskin dan kebulur di Afrika dan di poket-poket di Asia. Pengangguran bahkan wujud di negara-negara kaya A.S., Eropah dan Jepun. Sistem ini juga, seperti sistem komunis dulu, akan hancur kerana kontradiksi dalaman ini. Tanda-tandanya, kebangkarutan Orange County, keruntuhan LTCM (Long Term Credit Management), dan kejatuhan syarikat-syarikat gergasi Enron dan General Motors, telah pun kita lihat, menunjukkan bahwa yang kita hadapi bukan putaran kembang-kuncup yang lalu-lalu, tetapi keruntuhan sistem itu seluruhnya.

Malaysia sebagian dari sistem neo-liberal ini dan kita terima dan bersetuju dengan falsafah ekonomi neo-liberal. Falsafah ini tidak bertujuan untuk membangunkan manusia sebagai khalifah yang bersifat moral atau spiritual. Sebaliknya, ia memupuk haiwan yang rakus yang mahu membolot kuasa dan kekayaan untuk diri dan kumpulannya – pendek kata, kaum oligarki.

Lima atau enam dekad dulu, Malaysia sebagian dari Asia yang bergelora dengan semangat nasionalisme anti-kolonial. Seluruh rakyat Asia bangun untuk menuntut kemerdekaan dari kuasa-kuasa penjajah Eropah: Inggeris, Belanda dan Perancis. Tenaga-tenaga nasionalis anti-kolonial Asia ini terbahagi kepada banyak jalur, dari kiri ke kanan. Ada jalur komunis, ada jalur sosialis, ada jalur agama dan ada jalur liberal. Dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka bersatu, seperti di Vietnam. Dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka berpecah, seperti di Malaysia. Kejatuhan sistem komunis di Rusia, Eropah Timur dan di China menyebabkan sistem kapitalis-liberal menguasai ekonomi dunia dari Barat ke Timur dari dekad 90-an hingga sekarang. Pada waktu inilah Perdana Menteri Dr. Mahathir melancarkan gerakan Wawasan 2020 bagi Malaysia. Penekanan Dr. Mahathir tentang ekonomi, terasing dari kerangka sebuah falsafah ekonomi-politik yang sepadu, menyebabkan beliau mengabaikan faktor falsafah sebagai faktor penentu untuk membangunkan individu khalifah ini.

Kita tidak melupakan kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia di bawah pimpinan pragmatik Dr. Mahathir: menyatu-padukan rakyat berbilang bangsa dan agama, meningkatkan taraf hidup dan menurunkan kadar kemiskinan[6], meningkatkan ekonomi Malaysia menjadi sebuah ekonomi perindustrian; memasukkan teknologi-teknologi baru dan tinggi ke dalam ekonomi Malaysia; mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik; mengawal inflasi; mengatasi dengan cepat krisis ekonomi tahun 1997-98; mengadakan prasarana pendidikan nasional, kesihatan awam dan jalanraya yang baik; dan mewujudkan suatu kumpulan pengusaha dan peniaga Melayu yang lebih besar. Ini semua boleh dikira sebagai pencapaian-pencapaian yang baik. Tidak banyak negara membangun yang bernasib baik seperti Malaysia.

Namun demikian, matlamat-matlamat kita untuk mencapai pembahagian pendapatan yang lebih adil dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan penyayang dengan nilai-nilai moral dan rohaniah yang tinggi masih jauh. Kemiskinan masih wujud. Rasuah makin menjadi-jadi. Kejadian ketagihan dadah di kalangan remaja teruk. Kejadian jenayah tidak mengurang, malah mungkin bertambah. Mengapakah wujud jurang antara kemajuan ekonomi dengan kemajuan dalam bidang-bidang moral dan spiritual?

Sebenarnya, kita mengamalkan sistem dualis dalam kehidupan kita: dari segi keduniaan kita dikandung falsafah neo-liberalisme; dari segi akhirat, kita mengamalkan fahaman Islam yang jumud dan beku. Oleh sebab itu wujud ketegangan antara golongan agama dengan golongan sekular. Apa yang sepatutnya berlaku ialah kesepaduan antara kedua-dua kehidupan ini supaya kehidupan kita menjadi satu kesepaduan yang harmonis.

Nyatalah bahawa fahaman yang menolak kehidupan dunia itu salah, kerana tanpa dunia, tidak akan ada akhirat. Dunia itu jembatan kepada akhirat. Sebelum kita boleh berbuat baik, yakni mengamalkan kehidupan bermoral, kita mesti hidup dalam dunia material tempat kita dilahirkan dulu, dan sebelum kita boleh hidup dalam alam spiritual dengan jiwa yang bersih, kita mesti melampaui dan menguasai jiwa yang “kotor” yang kita bawa dari dunia material yang awal. Ini bermakna kita sebenarnya hidup dalam dunia yang tunggal, tetapi dunia yang tunggal itu mempunyai jamak peringkat.

Inilah masalah kita. Dunia material kita ialah neo-liberalisme atau sistem kapitalis; dunia akhirat kita ialah Islam jumud atau Islam tradisional. Kita mesti cari dunia yang sah bagi kita, manusia rasional yang diciptakan Tuhan sebagai khalifah di dunia. Dunia yang sah ini, dalam istilah Quran, ialah “jalan yang lurus”. Apakah jalan yang lurus di antara jalan-jalan yang menyeleweng? Jawab Quran lagi, “bukan Timur, bukan Barat”[7] – cahaya Tuhan, dengan kata-kata lain, kebenaran. Inilah jalan yang harus kita cari dan ikut untuk menyudahkan perjalanan kita ke “negara maju”, yang lebih suka saya panggil “negara yang aman, selamat, adil, makmur dan bahagia”.

Orang skeptik, agnostik dan sinis akan mengatakan ini sebuah dunia utopia, sebuah impian yang tidak mungkin dicapai di dunia ini; ia hanya boleh dicapai di akhirat. Soalannya bukankah ini propaganda kaum oligarki untuk menghalalkan sistem penindasan mereka terhadap lapan puluh peratus rakyat biasa yang mereka tindas dan jadikan hamba? Apakah makna hidup jika kita tidak boleh berlaku adil terhadap satu sama lain, atau dengan perkataan lain, terhadap diri kita sendiri?[8]

Sudah tentu kita boleh mewujudkan sebuah dunia yang adil. Tidak ada sebab mengapa manusia tidak boleh mencapai matlamat dan impian lama ini. Malah pada masa-masa lampau, banyak masyarakat telah mencapai matlamat ini, seperti dalam zaman Nabi Muhammad dalam masyarakat Arab abad ketujuh. Dengan tahap kecapaian sains dan teknologi sekarang, menurut seorang ahli ekonomi A.S.,[9] kita boleh menampung kehidupan 25 bilion jiwa, sedangkan dunia sekarang hanya ada 6 bilion penduduk. Soalnya bukan sumber kehidupan yang terbatas, seperti yang didakwa oleh ahli-ahli ekonomi liberal, tetapi penggunaan sains dan teknologi untuk membaiki taraf hidup semua manusia, dan pembahagian sumber secara saksama dan adil. Yang perlu ialah kesedaran rakyat akan hak mereka untuk hidup sebagai makhluk yang mulia [10] dan khalifah di bumi ini.[11]

Yang menghalang kita mencapai matlamat ini ialah kaum oligarki. Siapakah kaum oligarki? Pada akhirnya mereka ini kita juga, seperti dalam kisah dua beradik anak Adam, Habil dan Qabil. Yang seorang membunuh yang lain, saudaranya sendiri, kerana hendakkan kuasa, pengaruh dan kemuliaan bagi dirinya saja.[12] Apakah ini sifat manusia semula jadi – “tamak” dan “jahat”? Inilah yang didakwa oleh ahli-ahli teori kaum oligarki. Adam Smith menunjuk kepada “tangan yang tersembunyi” (the invisible hand). Kita tidak mempunyai alasan untuk mengatakan wujud sesuatu yang boleh kita namakan human nature atau fitrah manusia. Apa yang boleh kita buktikan ialah wujud dua kecenderungan dalam diri manusia: kecenderungan ke arah kebaikan dan kecenderungan ke arah kejahatan. Manusia bebas untuk memilih perbuatan atau nasibnya. Oleh sebab itu dia digelar khalifah. Dia raja. Yang akan menetukan pilihannya ialah akalnya dan jiwanya. Apabila jiwanya meningkat dari tahap kebinatangan ke tahap moral dan spiritual yang lebih tinggi, dia akan memilih yang baik dan lebih baik. Apabila jiwanya kekal pada tahap primitif kebinantangannya, dia akan memilih perbuatan yang selaras dengan jiwa primitif kebinatangan itu. Demikianlah Habil memilih untuk membunuh adik kandungnya Qabil kerana jiwa primitifnya mahukan demikian, tetapi dia tidak ditakdirkan membuah pilihan itu. Dia boleh memilih untuk bertindak adil kepada adiknya.

Makhluk haiwan tidak memiliki sifat kreatif ini. Hanya manusia memilikinya, kerana dia memiliki kuasa kreatif yang diberikan Tuhan kepadanya untuk menciptakan nasibnya sendiri.[13] Oleh sebab itu, dikatakan manusia hanya mendapat apa yang dia usahakan.[14] Jika dia mengusahakan kebaikan, dia akan mendapat kebaikan itu. Sebaliknya, jika dia mengusahakan kejahatan, dia akan mendapat kejahatan itu.

Pemimpin-pemimpin kita kerap bercakap tentang perubahan minda masyarakat kita. Kita telah melancarkan “revolusi-revolusi mental”, penerapan nilai-nilai Islam atau nilai-nilai murni dan cogankata perkhidmatan awam “cekap, bersih, amanah”. Sekarang kita mahukan rakyat kita mendukung “Islam Hadhari”. Semua usaha ini bertujuan untuk mengubah minda masyarakat kita dari pasif, lemah dan beku supaya menjadi aktif, dinamik dan progresif. Tetapi apa yang kita boleh lihat ialah bahawa minda masyarakat kita telah berubah dalam masa tiga atau empat dekad yang lalu. Generasi dulu, walupun lahir dan besar dalam zaman kolonial, mempunyai etika kerja yang lebih baik, mempunyai semangat perjuangan kebangsaan yang lebih tinggi, dan tindak-tanduk mereka lebih terikat kepada pegangan moral yang lebih tinggi. Hal ini nampak aneh, tetapi sebenarnya tidak. Generasi dulu, khasnya golongan elit, tidak diserapkan secara langsung, dengan falsafah neo-liberalisme; mereka berpegang kepada fahaman lama feudal dan Islam tradisional. Sejak merdeka, khasnya sejak Dasar Ekonomi Baru, nilai-nilai ekonomi liberal “pasaran bebas” diterapkan sepenunhya. Manusia Malaysia, khasnya kaum elit, menjadi rakus dan berlum-lumba untuk “naik ke atas”. Nilai-nilai “ekonomi” dan “kewangan” diutamakan dan nilai-nilai kemanusiaan (minat terhadap falsafah, sastera dan seni) diabaikan.

Hal ini membuktikan perubahan minda telah berlaku, tetapi bukan perubahan kepada yang lebih baik, seperti yang kita mahu, kerana kita mengamalkan falsafah ekonomi-politik neo-liberal yang bercanggah dengan humanisme Islam.

Peranan media membanyangkan perubahan ini. Media perdana menyibar dan mempropagandakan ideologi kaum elit kepada masyarakat. Media tidak bebas dari ideologi pemilik media itu dan elit politik dan ekonomi yang menentukan dasar Kerajaan. Jika kita secara serius hendak mencapai matlamat wawasan 20020 – menjadi negara maju dari semua segi --, masyarakat kita mesti melahirkan sekumpulan pemimpin dan cerdik pandai yang memperjuangkan perubahan minda masyarakat dari ekonomi-politik neo-liberalisme dan faham keagamaan tradisional kepada fahaman humanis-republikan yang meletakkan manusia di pusat perjuangan kita, manusia sebagai khalifah di muka bumi, yang layak diletakkan pada taraf yang mulia dan tinggi, bukan di tahap haiwan, seperti yang berlaku di bawah sistem oligarki dunia sekarang, dengan Malaysia menjadi sebagian daripada sistem itu.

Tidak syak lagi sistem itu sedang runtuh dengan cepat. Lihat krisis-krisis yang sedang berlaku: penentangan kepada sistem ini secara militer di Iraq, Afghnistan, Palestin, Ireland dan lain-lain, penentangan politik di seluruh dunia, termasuk di A.S. dan di Britain sendiri. Lihat kebuluruan yang meluas di Afrika dan kemiskinan yang teruk di Afrika dan di Asia, dan penganguran di semua negara, termasuk di A.S. dan negara-negara Eropah dan di Jepun. Pengganti kepada sistem ini juga sedang diketengahkan oleh ahli ekonomi dan pemimpin politik Lyndon H. LaRouche dan kumpulannya di A.S., apa yang dipanggil “Sistem ekonomi-politik Amerika” – persis “sistem pertengahan”, bukan kapitalis dan bukan komunis. Inilah sistem yang sedang kita cari dan yang boleh membangunkan kembali dunia bobrok kita menjadi sebuah dunia, yang bukan saja aman dan selamat, tetapi juga adil, makmur dan bahagia dalam Abad Kedua Puluh Satu.

Inilah pembetulan atau pengubah-suaian yang harus kita lakukan pada pertengahan jalan menuju Wawasan 2020, sebuah negara dan mesyarakat yang maju dari semua segi, yang aman, selamat, adil, makmur dan bahagia.


******




[1] “Kamu suatu umat yang terbaik yang telah dibangkitkan di kalangan manusia: kamu memerintahkan kebaikan dan melarang kejahatan, dan kamu beriman kepada Tuhan.” (Quran, 3:110)
[2] “Lawanlah kejahatan mereka dengan kebaikan.” (Quran, 23:96) “Walaupun balasan terhadap kejahatan ialah balasan yang setimpal, barangsiapa yan memaafkan dan berbuat baik diberi ganjaran oleh Tuhan.” (Quran, 42: 40)
[3] “Tunjukilah kami jalan yang lurus – jalan mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang dimurkai dan bukan mereka yang menyeleweng.” (Quran, 1: 6-7)
[4] Dalam bukunya, Reconstruction of Religious Thought, ahli falsafah Pakistan, Muhammad Iqbal, berkata, “… Nabi Islam nampaknya berdiri di antara dunia purba dan moden. Dari segi sumber wahyunya, dia milik dunia purba; dari segi semangat wahyunya, dia milik dunia moden. Pada diri beliau, kehidupan menemui sumber-sumber pengetahuan lain yang sesuai bagi arahnya yang baru. Kelahiran Islam … ialah kelahiran akal induksi. Di dalam Islam, kenabian mencapai kesempurnaannya dengan menemui keperluan untuk pemansukhannya.” (Hal. 126)
[5] Lihat Kassim Ahmad, “Intelektualisme dan Pemikiran Islam di Malaysia” dalam Ahmad Adam, Kassim Ahmad & Rustam A. Sani, Intelektualisme Melayu: Satu Polemik, Kertas Kadangkala, Bil. 5, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989; hal. 51-54.
[6] Kadar kemiskinan pada tahun 1999 ialah 8.1% atau 409,300 isirumah, dibandingkan dengan 19.3% pada 1987 dan 49.3 % pada 1970.
[7] Dalam Surah Al-Noor, ayat 35, Tuhan diumpamakan sebagai cahaya di langit dan di bumi, yang datang dari sebuah lampu yang minyaknya terbit dari sebatang pokok yang bukan dari timur atau barat. Bermakna ilmu Tuhan bersifat universal, bukan sectarian.
[8] “Yang Lain” itu sebenarnya kita juga, kerana manusia dijadikan dari satu nafs atau diri. Lihat Quran, 4:1.
[9] Lyndon H. LaRouche (lahir 1922 di Rochester, New Hamshire, U.S.A.), seorang ahli falsafah dan aktivis politik yang terkenal di A. S., tetapi yang selama ini ditekan dan dipinggirkan oleh kaum oligarki A.S.-Inggeris. Beliau menubuhkan sebuah kumpulan politik-falsafah dan aktif dalam politik A.S. selama 30 tahun lebih dan menerbitkan majalah politik mingguan Executive Intelligence Review, majalah budaya suku-tahunan, Fidelio, dan majalah sains suku-tahunan 21st Century Science and Technology. Beliau mempelopori apa yang dipanggil “Sistem Ekonomi-politik Amerika” yang dibezakan dari sistem-sistem liberal dan komunis. Pengaruh beliau di A.S. dan di seluruh dunia makin meningkat sejak kebelakangan ini, kerana analisis beliau tentang ekonomi A.S. dan ekonomi dunia dan program-progrem yang beliau kemukakan untuk A.S. dan dunia keluar dari kemelut yang besar ini menarik minat dan perhatian banyak pihak.
[10] “Telah Kami muliakan anak-anak Adam dan mewujudkan bagi mereka kenderaan-kenderaan di daratan dan di lautan. Kami mewujudkan bagi mereka makanan-makanan yang baik dan Kami lebihkan mereka melebihi kebanyakan makhluk Kami.” (Quran, 17:70)
[11] Lihat Quran, 2: 30-34.
[12] Lihat Quran, 5: 27-32.
[13] “Apabila Aku telah sempurnakan dia serta menghembus ke dalamya secebis dari ruh-Ku, hendaklah kamu semua jatuh sujud kepadanya.” (Quran, 15:29). Dalam ayat ini, Tuhan memerintahkan para malaikat sujud kepada manusia, kerana ruh kreatif yang dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia.
[14] “Baginya keuntungan dari apa yang dia usahakan, dan baginya kerugian dari apa yang dia usahakan.” (Quran, 2: 286)

2 comments:

Anonymous said...

Your twisted translation as mentioned in your point 13 is Islamically wrong.

It would lead to shirk and may take someone out of Islam and therefore threatening that person to be consigned to hell forever. This sort of translation is exactly what the agnostic sufi ( the likes of Al Hallaj and Ibn Arabi- may ALLah save this ummah from falling into believing the shirk ideas of the 2 persons above), nefarious shiahs and other devious groups wanna belive namely that the ruh that reside in man is part and parcel of Allah- may ALLAH save us from this sort of shirk interpretation.

The correct understanding is that

The creator ( ALLAH) and the created is separate and not equal ( 112:4; 59:7)

Allah is above the heavens separate from the creation ( 6:54; 20:5)

When ALLah mention about HIS ruh the meaning is that the roh that reside inside the human is a creation just like the body of the human being; only that the ruh is a separate creation just like an apple and a orange.

The Ruh IS IN NO WAY part of the ALLAH and to say that ALLAH blew HIS RUH, meaning part of HIMSELF ( HIS DZAT) is shirk, abominable idea and diametrically opposing the teaching of the prophet Muhammd (saw), a teaching which ALLAH taught him via the angel Jibril.

My advise- please discard your intention of translating the Quran for you obviously have no knowledge of the pristine Quran and you will only lead others astray, ( sesat lagi menyesatkan).

It would be better if you were to just write about something that you are familiar with like history of Che Guevera, Karl Marx and the reason for his long beard, Lenin and his jewish origin or Stalin and his sychopantic liking of small boys etc etc.

This would have been better. Pls don’t translate the Quran. I see one translation of yours of one ayat and I shudder with contempt.


Baju

Anonymous said...

baju, you have done reasonable, right minded thinking people great injustice. somehow you regard yourself as alone being the true intellectual, as alone having the right to the truth - which you are not willing to share with us, but only to insult the intelligence of those who choose to express themselves.

such arrogance.