Tuesday, October 17, 2006

Hadith: Jawapan Kepada Pengritik #2

KATA PENGHANTAR

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

SAYA bersyukur ke hadzrat Allah s.w.t kerana telah selesai menulis buku jawapan kepada pengkritik-pengkritik saya. Sesetengah orang telah bertanya mengapa saya tidak menjawab lebih awal. Mengapa saya menunggu hingga hampir enam tahun?

Sebenarnya, saya telah menjawab secara langsung atau tidak langsung, dalam tidak kurang daripada lapan puluh rencana dan surat saya yang telah disiarkan dalam akhbar dan majalah tempatan dan luar negeri, baik dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Tetapi inilah kali pertama saya menjawab dengan sepenuhnya dalam sebuah buku.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada mereka yang telah berdiri teguh untuk meminta suatu perbahasan yang rasional dan sihat tentang perkara yang penting ini, khasnya kepada Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah sanggup menganjurkan sebuah seminar tentang Hadis atas permintaan saya (walaupun seminar ini kemudian dibatalkan kerana campur tangan Majlis Agama Islam Negeri Selangor) dan kepada sahabat-sahabat saya, Adibah Amin, A. Ghani Ismail, Baha Zain, Dr. Chandra Muzaffar dan Mohideen A. Kader yang telah menulis atau menggesa supaya pandangan saya diberi pertimbangan yang adil.

Saya juga berterima kasih kepada akhbar-akhbar tempatan kita yang telah berani berbuat demikian dalam rencana-rencana pengarang mereka, kepada Persatuan Ulama Malaysia yang telah menjemput saya mengadakan dialog dengan mereka sebelum buku saya diterbitkan, dan kepada penerbit saya Azran Abdul Rahman yang telah berana “mengibarkan panji-panji kebebasan intelektual.” Kerajaan kita di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad dengan dasar Islamnya yang sederhana dan progresif turut ingin membantu melihat suatu perbahasan yang sihat.

Malangnya, oleh kerana kongkongan taqlid masih kuat dalam masyarakat kita dan kegagalan cerdik pandai kita bangun menyuarakan yang hak, usaha-usaha positif ini tidak berjaya mencapai suasana perbahasan rasional dan sihat yang dikehendaki itu. Prinsip terpaksa ditundukkan kepada perhitungan-perhitungan sementara. Buku itu diharamkan setelah dibincang dengan hangat selama satu setengah bulan!

Ini tidak bermakna keadaan ini akan kekal selamanya begitu. Keadaan ini pasti akan berubah , mungkin lebih cepat daripada yang kita jangka, kerana penyelesaian masalah ini dituntut oleh keadaan dan selaras dengan undang-undang Ilahi.

Saya juga ingin menyebut tentang beberapa perbincangan yang telah saya adakan di pejabat pertubuhan ALIRAN dengan beberapa orang cerdik pandai kita, termasuk Dr. Chandra Muzaffar, A. Ghani Ismail dan Dr. Wan Abdul Manan Muda, tentang reformasi masyarakat umumnya dan perkara Hadis khususnya dalam tahun 1985, setahun sebelum saya menerbitkan buku itu. Saya berterima kasih kepada mereka kerana idea-idea yang bernas yang telah tercetus dalam sidang-sidang itu mengenai reformasi masyarakat. Tidak syak lagi, mereka tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kekurangan dan kesilapan yang terdapat dalam buku itu.

Sesetengah pembaca telah salah faham bila saya mengatakan saya membuat persediaan menulis buku itu dalam masa lapan bulan. Sebenarnya, buku itu hasil pencarian saya selama kira-kira tiga puluh tahun sejak saya mula berfikir tentang Islam dan politik ketika umur saya sekitar lapan belas tahun. Lapan bulan itu hanya tempoh saya menyusun bahan-bahan saya dan menulis.

Melihat kembali buku itu, saya mengaku ada beberapa perkara yang kurang terang. Perkara-perkara ini termasuk pendirian saya menerima hadis-hadis yang tidak bercanggah dengan Quran, konsep Quran sebagai sumber hukum, dan perbezaan antara sejarah dan Hadis. Ini mungkin kerana buku itu ( yang berasal dari suatu siri ceramah yang tidak jadi) telah disediakan dalam suasana yang tertekan. Saya harap perkara-perkara ini telah saya huraikan dengan lebih terang dalam jawapan ini.

Saya juga mengaku kritikan-kritikan saya mungkin terlalu keras dan bahasa saya di tempat-tempat tertentu mungkin kasar. Saya meminta maaf jika ia telah menyinggung perasaan mana-mana pihak. Tujuan saya bukan untuk menyinggung mana-mana pihak pun. Saya tetap percaya kritikan masyarakat Islam dapat membebaskan dirinya dari belenggu taqlid yang telah mengongkongnya selama seribu tahun lebih.

Tesis-tesis saya dalam buku itu ialah bahawa umat Islam telah membelakangkan Quran selama kira-kira 1,000 tahun dan ini telah menyebabkan kejatuhan mereka. Dan bahawa ajaran Hadis/Sunnah sebagai sumber hukum merupakan suatu perkembangan dan ajaran baru yang muncul kira-kira tiga ratus tahun setelah Nabi Muhammad wafat, tanpa izan Nabi, dan tidak mempunyai autoriti dalam Quran dan sejarah.

Oleh itu, saya menyarankan supaya umat Islam kembali kepada ajaran Quran, tanpa menolak Hadis/Sunnah, malah tanpa menolak apa-apa juga ajaran, yang tidak bercanggah dengan Quran. Saya masih berpegang kepada pendirian pokok ini, kerana pengkritik-pengkritik saya gagal memberikan hujah-hujah yang boleh menjatuhkannya.

Adakah apa-apa kesan yang baik dari buku itu? Saya fikir soalan ini masih agak awal untuk dijawab sepenuhnya. Walaupun buku itu telah diharamkan, perbahasan tentang perkara ini tetap terus berlaku. Ini kerana ia suatu perkara besar yang tidak akan mahu pergi-pergi selagi ia tidak diselesaikan dengan cara yang memuaskan. Malah ramai juga anggota masyarakat kita yang telah mula membaca tafsir-tafsir Quran sejak itu, serta mengkaji semula pegangan mereka terhadap Hadis. Kumpulan-kumpulan Quran telah timbul di banyak pusat di Malaysia dan Singapura dan kerap pula mengadakan muzakarah di antara mereka. Kita juga telah mula nampak tumpuan Kerajaan yang lebih kepada pengajian Quran di kalangan rakyat kita yang beragama Islam.

Ini semua tanda-tanda yang baik. Namun demikian, keadaan ini masih jauh dari apa yang dikehendaki , kerana kongkongan taqlid yang terus wujud. Dalam buku ini, saya mencadangkan suatu cara untuk menyelesaikannya. Saya harap cadangan ini berguna.

Masyarakat kita sedang melangkah masuk ke abad kedua puluh satu. Dekad akhir abad kedua puluh ini nyata merupakan satu dekad yang amat mencabar bagi bangsa kita khasnya dan bagi umat Islam umumnya. Ini zaman Pax Universalis, iaitu zaman kediktatoran kaum kafir penindas yang dipimpin oleh oligarki bangsa Anglo-Saxon terhadap seluruh dunia. Ini jelas dari penguasaan Majlis Keselamatan P.B.B. oleh mereka. Adakah bangsa kita dan umat Islam akan membiarkan keadan ini berlaku terus-menerus tanpa kita merancangkan satu strategi untuk mengalahkan mereka? Tentu sekali tidak.

Serentak dengan itu, masalah permodenan dan pengindustrian masyarakat kita merupakan masalah utama. Demi kebaikan anak-cucu kita sekarang dan akan datang, kita harus mencari suatu model permodenan dan pengindustrian yang baik yang berlandaskan undang-undang Ilahi. Kegagalan model komunis dan kegagalan model liberal Barat (walaupun masih belum begitu ketara) itu disebabkan oleh penyelewengannya dari undang-undang Ilahi. Tetapi apakah undang-undang Ilahi tentang masyarakat dan sejarah?

Jawapannya yang ringkas: cailah dalam Quran. Pemimpin dan cerdik pandai perlu membuat kajian-kajian yang saintifik terhadap ayat-ayat Quran yang berkenaan serta menarik kesimpulan-kesimpulan yang rasional sesuai untuk digunakan bagi pembangunan masyarakat dan dunia. Berpegang kepada Quran, umat Islam akan dapat membebaskan diri mereka dari kongkongan pandangan-pandangan hidup yang lemah, mundur dan sesat, dan, dengan itu, akan melayakkan diri mereka bukan saja untuk memimpin bangsa mereka semula tetapi untuk memimpin seluruh dunia. Inilah tanggungjawab umat Islam kepada diri mereka dan kepada dunia.

Tidak sedikit yang telah memberi sumbangan, secara langsung dan tidak langsung, kepada persediaan buku ini, dengan menarik perhatian saya terhadap perkara-perkara tertentu, dengan memberi kepada saya buku-buku dan dokumen-dokumen yang mustahak atau bersangkutan, dan dengan memberi sokongan serta galakan. Saya tidak dapat menyebut nama mereka semua. Namun demikian, saya akan menyebut nama sahabat-sahabat saya A. Halim Ali dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Allahyarham Dr. Rashad Khalifa dari Masjid Tucson, Arizona; penulis wanita terkenal Adibah Amin, Mohd. Heir Awang dari Universiti Malaya, Mansor Ahmad Saman dan Dr, Zakaria Ali dari Universiti Sains Malaysia, A. Manan Harun dan Syed Akbar Ali dari Kuala Lumpur dan Ahmad Kay Soon Poh dan Mohammed Kamaluddin dari Singapura. Kepada semua saya terhutang budi.

Adibah Amin dan Syed Akbar telah membaca dan mengulas kabanyakan bab manuskrip ini sebelum ia dicetak: tentunya mereka tidak bertanggungjawab terhadap kelemahan-kelemahan yang mungkin masih terdapat di dalamnya; Syed Akbar Ali telah membuat penunjuk dan Mohd. Abdullah Yusoff dan Cheah Poh Looi telah menaip sebahagian besar manuskrip ini. Kepada mereka ini: berbanyak terima kasih.

Akhir sekali tetapi tidak kurang besarnya terima kasih saya kepada isteri saya, Sh. Fawziah Yusoff, dan keluarga saya yang telah lama mengongsi cara hidup saya dengan segala risikonya dengan sabar dan dengan sokongan yang penuh. Tekanan terhadap saya dan mereka sejak buku itu diharamkan tidak perlulah saya ceritakan. Saya terima itu semua sebagai bayaran kepada perjuangan yang saya pegang dengan penuh rela. Untuk semua nikmat dan pahit-getir ini, saya bersyukur kepada Allah s.w.t.: kepada-Nya dipulangkan segala pujian dan segala urusan.

Kassim Ahmad
Bandaraya Tanjung,
Pulau Pinang.
1 Jun 1992.

Sambongan: Bab I: Pengritik pengritik Saya

1 comment:

Saleha Yusof said...

Assalamualaikum En Kassim, I recently read your book titled 'Mencari Jalan Pulang' which then led me to the translation of your 'Hadith- a Reevaluation'. After 48 year, I am determined to read (not recite) the Quran, thanks to Allah and your book. I would like to get hold of your 1992 book "Jawapan kepada pengkritik" May I know how I can get this book or any translation of it? Thank you very much for such an eye opener. May Allah bless you and your family. Salam, Saleha