Hadith: Jawapan Kepada Pengritik #3
Bab 1
PENGKRITIK-PENGKRITIK SAYA
Katakanlah, “Tunjuklah buktimu kepada kami, jika kamu benar.”
(Quran, 27:64)
SEJAK buku saya, Hadis – Satu Penilaian Semula, diterbitkan dalam bulan Mac 1986, tidak kurang daripada enam buah buku atau risalah telah ditulis oleh sarjana-sarjana Islam tempatan dan diterbitkan untuk menjawab buku itu. Mungkin ada lagi buku atau risalah yang telah ditulis dengan tujuan yang sama, tetapi yang tidak sampai ke tangan saya.
Dalam keadaan intelektual yang lebih bebas, seperti dalam zaman keemasan Abbasiyyah, khasnya di bawah pemerintahan-pemerintahan Al-Rashid dan Al-Ma’mun, perdebatan seperti ini akan mendatangkan faedah yang besar kepada perkembangan ilmu. Malangnya, keadaan itu seperti suatu impian yang tidak tercapai oleh masyarakat Islam sekarang. Sebaliknya, ia wujud dalam masyarakat-masyarakat Barat. Ini kerana masyarakat Eropah dan Baratlah yang telah mewarisi sains Islam yang tumbuh dan berkembang di Baghdad dan di Sepanyol dalam abad-abad kesembilan hingga kesebelas. Ini juga salah satu sebab mengapa negara-negara Barat lebih maju daripada negara-negara Islam.
Kita haruslah sedar bahawa kebebasan berfikir dan bersuara suatu syarat yang amat penting untuk kita mencapai kemajuan. Tanpa kebebasan ini, bagaimanakah boleh kita mengetahui dan mengatasi kelemahan-kelemahan kita? Telah dikatakan dengan benarnya bahawa pintu ijtihad telah ditutup dalam masyarakat Islam sejak abad kedua belas.
Sikap toleransi, malah sikap mahu menimbang dengan saksama pendapat-pendapat yang berbeza dan bertentangan dengan pendapat kita itu, satu sikap yang saintifik, rasional dan sihat. Allah s.w.t. Sendiri telah mengajar kita supaya mendengar semua pandangan dan mengambil yang paling baik.
Oleh kerana generasi-generasi Islam awal mengamalkan ajaran ini, maka mereka menempa kemajuan yang menakjubkan dalam bidang ilmu. Bintang-bintang falsafah dan sains, seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd, Ibn Khaldun, al-Razi, al-Battani, al-Biruni, al-Khwarizmi, Umar al-Khayyam, Abu Ma’shar, Jabir ibn-Hayyan, al-Jahiz, Yaqut ibn Abdullah dan banyak lagi menyinari langit Islam pada zaman itu. Selagi orang Islam berpegang kepada prinsip saintifik dan kreatif ini, mereka terus membuat kejayaan. Tetapi apabila mereka sedikit demi sedikit menghapuskan kebebasan berfikir dan bersuara, “menutup pintu ijtihad” dan memegang faham taqlid, maka keadaan mereka berubah. Mereka menjadi fanatik dan taksub kepada pemimpin dan mazhab, dan perkembangan ilmu terhenti. Inilah sebabnya menjelang abad ketiga belas kita melihat sains dan falsafah mulai merosot dalam masyarakat Islam.
Kesedaran terhadap kemunduran masyarakat Islam kerana penindasan dari luar (kolonialisme Eropah) dan dari dalam (feudalisme) mencetuskan gerakan anti-kolonial dan anti-feudal untuk kemerdekaan nasional dan kebebasan dalam abad-abad kelapan belas dan kesembilan belas. Dalam masa inilah gerakan pembaharuan agama oleh Muhammad Abduh (m.1905) berlaku. Di antara dasar-dasar yang diajarkan oleh beliau ialah penolakan taqlid dan pembukaan kembali pintu ijtihad. Walaupun ajaran ini sudah dibuat seratus tahun lebih, apakah taqlid sudah hapus dan kebebasan berijtihad wujud dalam masyarakat Islam sekarang? Jika jawapannya positif, buku penulis ini tentu dapat dibahaskan secara rasional dan sihat.
Namun begitu, keadaan masyarakat Islam yang tertindas dan mundur sekarang hanya boleh diubah oleh masyarakat Islam sendiri. Lambat-laun, masyarakat Islam akan membuat perubahan-perubahan yang perlu itu serta merebut kembali kedudukan mereka yang utama di dalam dunia. Kita ingin melihat perubahan-perubahan ini dilakukan oleh kita dengan segera.
Apakah perubahan-perubahan yang perlu kita lakukan itu? Dengan perkataan yang ringkas, perubahan kembali kepada ajaran-ajaran Quran. Dalam masa kira-kira seribu tahun yang lalu, banyak ajaran dan andaian yang bercanggah dengan Quran telah masuk ke dalam masyarakat Islam dengan pelbagai cara. Inilah punca kejatuhan umat Islam.
“Kembali kepada Quran” – itulah saranan yang saya anjurkan dalam buku itu. Jika kita membahaskan sasaran ini secara rasional, tanpa prasangka dan tohmahan, kita akan dapat mencapai kesimpulan-kesimpulan yang positif dan baik bagi masyarakat kita.
Marilah kita lihat hujah-hujah yang telah diajukan oleh pengkritik-pengkritik saya dalam enam buah buku itu. Saya akan menyenaraikan semua sepuluh hujah mereka dan menjawab semuanya. Hujah-hujah mereka seperti berikut:
1. Quran sendiri memerintahkan kita berpegang kepada Hadis/Sunnah dengan memerintahkan kita taat kepada rasul;
2. Tugas Nabi Muhammad bukan semata-mata menyampaikan Quran tetapi juga menghuraikannya. Huraian ini terkandung di dalam Hadis/Sunnah;
3. Kita tidak boleh melakukan ibadah-ibadah agama, khasnya salat, jika kita berpandukan Quran semata-mata. Kita memerlukan petunjuk dari Hadis/Sunnah untuk melakukan ibadah-ibadah ini;
4. Oleh kerana semua gerak-geri Nabi Muhammad dipelihara oleh Tuhan, maka Hadis/Sunnah juga wahyu, dan wajib dipegang oleh orang Islam;
5. Hadis telah ditulis dan dirakamkan dari awal, dan tidak 200 tahun setelah Nabi Muhammad wafat, seperti yang dinyatakan oleh penulis;
6. Penentang-penentang Hadis sebenarnya suatu komplot untuk membawa umat Islam menolak Quran dan Islam;
7. Masalah yang dibawa oleh penulis telah lama dulu diselesaikan. Tidaklah perlu perkara itu dibuka kembali;
8. Metodologi penulis lemah, kerana beliau “tidak menggunakan pendekatan dan kaedah-kaedah berhubung dengan kajian ilmu Islam.. .”
9. Penulis menggunakan sumber-sumber yang tidak berwibawa, termasuk sumber-sumber Orientalis untuk membuat kajiannya. Oleh itu, kajian beliau tidak boleh diterima ; dan
10. Penulis tidak tahu bahasa Arab dan, oleh itu , kajian beliau tidak boleh diterima.
Kebanyakan hujah ini, termasuk (1),(2),(3) dan (4) telah saya jawab dan tolak dalam buku itu. Mengapa pengkritik-pengkritik saya mengulang hujah-hujah ini sebenarnya satu perkara yang membingungkan. Mustahillah mereka tidak faham jawapan-jawapan saya. Adakah mereka sengaja tidak mahu faham? Ini juga mustahil. Walau bagaimanapun, saya akan menjawab sekali lagi dengan cara yang lebih baik.
Jawapan kepada hujah-hujah (1), (2), (3) dan (5) akan saya bincang dalam bab-bab lain. Dalam bab ini, saya akan menjawab hujah-hujah yang baki itu. Di samping itu, pengkritik-pengkritik saya langsung tidak menjawab perkara-perkara perpecahan, kelemahan dan kemunduran umat Islam. Adakah mereka berfikir agama Islam semata-mata untuk Akhirat dan tidak kena-mengena dengsn kehidupan di dunia? Ini mustahil. Jadi, kegagalan mereka untuk menghubungkan Islam dengan kehidupan praktik ummah, suatu kegagalan yang menonjol. Perkara ini saya bincang dalam bab-bab 8, 9 dan 10.
Sambongan: Hujah: ‘Perkara Ini Telah Lama Diselesaikan’ (Hujah 7)
1 comment:
Saya terpandang mengenai hal ini lama dulu, namun ketika itu hanya main turut arus kerana pertamanya merasakan jemaah yang diikuti berada pada kedudukan yang benar pada pandangan majoriti, kedua inilah yang dipusakai dari mereka yang terdahulu, ketiga saya meletakkan diri sebagai hanya pengikut yang setia kerana takut berdosa kiranya mempersoalkan ttg apa yang telah selama ini dilakukan seperti yang mereka ajarkan. Keempat, 'title' mereka yang hebat-hebat berjaya menenggelamkan curiga kita terhadap apa yang sepatutnya dipraktikkan. Kelima takut dikatakan kafir kerana ingkar perintah Nabi Muhammad SAW, serta banyak lagi momokan-momokan yang ternyata jika saya terus menumpang 'rakit ' ini akhirnya akan lingkup terbarai bila sampai kejurang 'air terjun' yang ganas! Ini kerana 'tali' yang mengikat rakit itu sebenarnya 'tali' palsu(immitation).
Namun setelah mendekati komputer, yang saya percaya antara ciptaan manusia dari apa yang ALLAH ilhamkan yang memang terdapat pengkisahannya secara metafora didalam Al-Quran, sedikit demi sedikit hati saya mula bergoncang, keluh dan kesah, risau dan gelisah mengenai apa yang selama ini saya perbuatkan. Bila diri ini dengan Hidayah ALLAH mula mendekati sendiri Al-Quran dan mula cuba-cuba memahami sendiri intipati Al-Quran walaupun hanya melalui terjemahan BM kemudian pada peringkat seterusnya terjemahan BI untuk perbandingan dan sekarang ini cuba untk mula berjinak dengan huruf serta perkataan Arab Quraish(Klasik-Al-Quran), bukan Arab Kontemporari, maka sedikit demi sedikit kemu'jizatan Al-Quran mula dipertunjukkanNya kepada saya sehingga kini saya benar-benar dengan sesungguhnya memegang dengan utuh serta penuh yakin tentang Al-Quran memang Kalam ALLAH dan sudah cukup untuk dijadikan sebagai sesatunya panduan tentang syari'at dan juga sebagai panduan untuk Perjalan Hidup yang ALLAH kehendaki.
akhir kata:
AL-QURAN, KITAB ESA DARI YANG MAHA ESA.
Post a Comment