Saturday, December 23, 2006

Bahagian III

PERPADUAN BANGSA

Sejarah kita sendiri telah menunjukkan bahawa ada kalanya perpaduan bangsa kita kuat, ada kalanya rapuh. Pada waktu UMNO ditubuhkan dan Perikatan menang besar dalam pilihanraya pertama pada 1955, perpaduan kita kuat. Tetapi apabila rusuhan kaum berlaku dalam peristiwa berdarah Mei 13, perpaduan itu rapuh. Apabila Barisan Nasional ditubuhkan dan PAS dan banyak parti lain menganggotai Barisan Nasional, perpaduan kita menjadi kuat. Demikianlah perpecahan dan pengekuatan terus berlaku dalam UMNO melalui pengharaman dan penubuhan UMNO Baru dan penubuhan Semangat 46 dalam tahun 1987-88, dan kemudian dalam peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim dan penubuhan Parti Keadilan pada tahun 1998 dan penubuhan Puteri UMNO dalam 2001.

Perpaduan bangsa mestilah diasaskan di atas prisnsip-prinsip persamaan, kebebasan, keadilan, musyawarah dan saling hormat antara satu sama lain. Hikmah merupakan suatu sifat kepimpinan yang penting. Prinsip dan dasar perlu dilaksanakan dengan hikmah.

Pada waktu Malaya/Malaysia ditubuhkan, semua prinsip ini diiktiraf dan dilaksanakan. Namun demikian, oleh kerana tarikan kepentingan suku-kaum masing-masing, kadang-kadang batasan kewajaran dilanggar dan ketegangan kaum timbul. Namun apa yang disebut Kontrak Sosial Malaysia mengandung kemungkinan-kemungkinan untuk menimbulkan masalah bagi perpaduan bangsa. Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk menseimbangkan ekonomi Melayu dengan ekonomi suku-bangsa lain telah dan boleh disalah-gunakan dengan memperkaya segelintir orang Melayu saja atas nama bantuan untuk Bumiputera. Demikian juga dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Apakah yang dimaksudkan sebagai “agama rasmi”? Apakah ia terbatas kepada upacara-upacara rasmi negara, seperti pertabalan Yang Dipertuan Agung, perasmian Parlimen, dan sebagainya, atau lebih dari itu, seperti yang dikehendaki oleh PAS? Demikian juga dengan prinsip persamaan yang boleh ditarik untuk mendesak semua bahasa digunakan sebagai bahasa rasmi, dan dengan itu membatalkan kedudukan bahasa Melayu saja sebagai bahasa rasmi. Kemungkinan-kemungkinan ini telah dan akan terus mengusik dan mengganggu perpaduan bangsa kita, jika kita tidak menanganinya secara berprinsip.

Kebimbangan inilah yang telah menyebabkan UMNO Johor mempertikai konsep kebangsaan Malaysia baru-baru ini. Sikap ini juga tidak logik dan tidak realistik Dua tiga generasi, atau empat lima generasi akan datang kita pasti sampai ke destinasi itu. Fenomena ini timbul silih-berganti dalam sejarah. Tugas kita ialah memandu proses pembinaan banga kita yang “baru” ini mengikut landasan yang betul, bertitik-tolak dari Kontrak Sosial kita sekarang.

Sistem ekonomi-politik liberal yang kita pinjam dari Barat, pada dasarnya, ialah dasar sekular atau keduniaan dan merayu kepada naluri rendah manusia. Falsafah ekonomi-politik yang dianjurkan oleh Adam Smith, Jeremy Bentham, John Locke, Thomas Hobbes, David Hume dan lain-lain memproklamir dan mempropagandakan sistem ini bagi pihak kaum oligarki kewangan Inggeris-Belanda. Maka itu sumber-sumber alam tidak cukup, kerana rebutan yang sengit berlaku di kalangan manusia, dan yang kuat membolot sumber-sumber ini. Kerjasama tidak ada; undang-undang hutan-rimba berlaku!

Dasar dan falsafah inilah yang menyebabkan perpaduan kita goyah, seperti yang diakui oleh Perdana Menteri kita sendiri baru-baru ini. Tidak syak lagi, kita mesti mengubah falsafah dan dasar ekonomi-politik kita dari dasar liberal yang bersifat kehaiwanan kepada dasar yang bersifat kemanusiaan. Bukan saja dasar liberal itu sudah bankrap, tetapi ia sedang membawa mala-petaka yang besar kepada dunia. Di sinilah Islam boleh memberi jalan keluar, tetapi bukan Islam seperti yang kita warisi dari nenek-moyang dengan fahaman mazhab dan teologi yang jumud dan mengongkong.

Semua rakyat kita dari semua suku-bangsa mesti memainkan peranan masing-masing untuk membawa perubahan ini. Ini termasuk parti-parti pembangkang, khasnya PAS dan DAP. Kita mesti membawa suatu perjuangan politik baru ke dalam negara kita. Tujuan pokok kita ialah kemajuan, kebajikan dan kesejahteraan bangsa dan negara, bukan kuasa kepada parti semata-mata, seperti yang telah berlaku selama ini, di bawah riayah dasar dan sistem demokrasi Barat ini.

Cuba lihat Afrika. Kebuluran, kemiskinan, kemunduran dan wabak penyakit berleluasa di sana. Ini bukti kegagalan tamadun Barat, jika bukti dikehendaki. Barat, yakni Eropah dan Amerika, dengan sains dan teknologi yang mereka miliki, boleh menukar bumi Afrika menjadi jelapang gandum dan padi dunia yang boleh menyarai seluruh dunia, bukan Afrika saja, di samping mengangkat Afrika keluar dari lembah kemunduran dan kehinaan dalam masa dua puluh lima tahun saja. Mengapakah Eropah dan Amerika liberal tidak berbuat demikian? Tidak lain dan tidak bukan, kecuali kerana falsafah dan dasar mereka bukan hendak menolong, tetapi merompak!

Namun, tidak cukup bagi kita untuk mengkritik saja. Kita mesti bersedia untuk membuat perubahan. Inilah cabaran yang menghadapi kita sekarang.

Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh buat. Kita ada pemimpin dan cerdik-pandai yang ramai dan yang berkebolehan. Kita juga ada sumber-sumber kekayaan yang cukup. Yang kita tiada ialah sebuah falsafah kemanusiaan republikan dan demokratik untuk menggantikan falsafah liberal kehaiwanan Adam Smith dan kumpulannya untuk membolehkan kita bekerjasama membangunkan sebuah bangsa Malaysia baru dan sebuah dunia baru untuk anak-cucu kita dan untuk semua manusia. Apabila kita sudah membuat komitmen ini dan melaksanakannya secara berterusan, tidak ada apa pun yang boleh menghalang kejayaan kita.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com

2 comments:

Anonymous said...

Amatlah sukar bagi sebahagian daripada rakyat Malaysia untuk mula memikirkan masa depan bangsa sendiri secara optimis dan aktif setelah sekian lama hanyut, tenggelam timbul dalam arus liberalisme barat. Lebih–lebih lagi pada saat ini, bilamana dunia tanpa sempadan seolah-olah membiarkan arus ini mengalir dengan lebih deras ke dalam pemikiran mereka, sehingga menyebabkan kebanjiran yang melumpuhkan kebebasan anak-anak bangsa untuk membebaskan bangsa ini daripada belenggu pemikiran sendiri.

Bagi mereka, mengangkat bangsa ini ke martabat insan yang sebenar, yang mampu menegakkan prinsip-prinsip pembangunan sesebuah tamadun dengan memenuhi tuntutan takdir Tuhan ke atas manusia, adalah perbuatan yang mustahil dilaksanakan pada masa dan situasi seperti sekarang, dan hanya sekadar seruan retorik yang tidak berpijak di alam nyata! Mengapa ini terjadi?... kerana mereka mabuk dalam arus liberalisme barat.

Liberalisme barat sesungguhnya menjadi racun dalam pemikiran bangsa. Masa depan bangsa kita bergantung kepada kesanggupan kita dalam mencari dan menyelami falsafah yang benar, yang dapat menjadi penawar kepada racun ini, dan menjanjikan dunia yang lebih baik untuk didiami.


Tuntutan Takdir Tuhan ke Atas manusia

Apa yang ditakdirkan oleh Tuhan, sebagaimana yang tersimpul dalam Al-Quran yang mulia, dan dikupas oleh pendeta Za’aba dalam bukunya “Falsafah Takdir” [1], adalah sebagaimana berikut;
(1) Setiap benda kejadian, termasuk manusia, dicipta dengan tujuan yang khusus untuk dirinya sendiri dan tujuan yang umum untuk alam ini.
(2) Di dalam setiap benda kejadian, termasuk manusia, terpendam kelayakan dan potensi yang sesuai dengan tujuan ia diciptakan.
(3) Setiap benda kejadian, termasuk manusia, harus melaksanakan prinsip-prinsip Tuhan untuk menyempurnakan tujuan ia diciptakan, sesuai dengan kelayakan dan potensi yang ada dalam dirinya.

Maka takdir yang diajarkan oleh agama Islam tidaklah lain daripada takdir yang dinyatakan dalam firman Tuhan:

Dan (Dia) yang telah mentakdirkan, kemudian ditunjukkan jalan. (87:3)

Perhatikanlah bahawa dalam ayat ini mengandungi kalimah qaddara (mentakdirkan, menentukan) dan fahada (ditunjukkan jalan, memberi petunjuk). Amat mustahak bagi kedua-dua kalimah ini untuk berada dalam ayat yang sama, kerana di dalamnya terkandung hikmat yang amat besar dalam mencerahkan pemikiran manusia.

Kita percaya bahawa takdir itu tidak dapat dielak sama sekali, samada kita rela menerimanya ataupun enggan, ia tetap mengenai kehidupan setiap kejadian manusia. Bahkan segenap benda kejadian yang lain juga tidak terlepas daripada ketentuan Tuhan, dari sekecil-kecil zarah (quarks) sehinggalah sebesar-besar alam buana ini. Sayang sekali jika kita hanya memahami prinsip ini secara taklid dan membuta tuli, memahami pengertiannya dengan cara yang menyimpang daripada falsafah takdir itu sendiri.

Ayat 87:3 di atas menjadi dalil bahawa Tuhan tidak sekali-kali menciptakan sesuatu kejadian, termasuk kejadian manusia, melainkan disertakan takdir bersama-sama dengannya. Tetapi bukan setakat itu sahaja, kerana takdir yang ditentukan itu pula disertakan juga bersama-sama dengannya jalan untuk menyempurnakannya. Kejadian itu pula mestilah memiliki kelayakan dan potensi untuk itu, kerana mustahil Tuhan menzalimi ciptaannya - mencipta sesuatu kejadian dengan ditakdirkan sesuatu yang diluar kemampuannya untuk menyempurnakan takdir itu, kemudian dijatuhkan hukuman ke atas kejadian itu.


Prinsip-prinsip Tuhan

Adapun prinsip-prinsip Tuhan ke atas manusia itu - sebagaimana dinyatakan dalam “Falsafah Takdir” - adalah;
(1) Menakluk dan memerintah segala benda kejadian dalam alam ini.
(2) Memperlakukan sesama manusia dengan adil dan saksama.
(3) Menyerah diri dengan tunduk dan patuh kepada Allah, Pencipta alam semesta.

Kemajuan tamadun madiah barat yang tidak bertuhan sekarang ini berlaku bilamana materialisme bermaharajalela. Aliran falsafah materialisme, khususnya liberalisme berpegang teguh pada prinsip (1) di atas, tetapi secara jelas dan nyata tidak menghiraukan prinsip (2) dan (3). Mereka yang terpengaruh dengan aliran ini cenderung untuk mendaulatkan ilmu sains semata-mata untuk memuaskan nafsu tamak terhadap kebendaan. Pencapaian ilmu pengetahuan sains mereka gagal dimanfaatkan secara universal. Produk-produk teknologi sekadar menjadi alat untuk kepuasan sendiri, tanpa menghiraukan betapa kebulurnya sebilangan rakyat dunia yang masih membangun - walhal mereka cukup berkemampuan untuk menyelamatkan dunia dengan pencapaian ilmu sains dan teknologi ini. Bahkan produk teknologi ketenteraan pula dijadikan alat untuk memecah-mecahkan perpaduan di sesebuah kawasan, bermula daripada perpecahan antara negara-negara berjiran, sehinggalah perpecahan di dalam negara itu sendiri. Tujuannya tidak lain, untuk memuaskan nafsu tamak terhadap kebendaan dan mengenyangkan perut sendiri, tanpa menghiraukan nilai-nilai moral dan spiritual.

Bencana besar bagi kemanusiaan ini bukan berpunca daripada pencapaian sains dan teknologi, kerana pencapaian sains dan teknologi itu merupakan takdir Tuhan untuk manusia penuhi. Punca bencana ini adalah manusia yang membelakangkan prinsip keadilan dan kesaksamaan sesama manusia serta kufur pada Tuhan.

Kemunduran sebahagian besar umat Islam, khususnya di kebanyakan negara membangun pula disebabkan pengaruh falsafah mistik, yang kononnya patuh pada prinsip (3) (dan mungkin juga prinsip (2)), tetapi menolak prinsip (1). Hakikatnya mereka jahil, kerana tidak memahami prinsip (3), sebagai ‘kunci’ kehidupan sempurna seorang manusia sebagai khalifah (wakil) Tuhan di alam buana ini [2]. Betapa punahnya kehidupan sesebuah kaum mistik (dan mereka yang terpengaruh dengan kaum ini), kerana pengabaian terhadap tanggungjawab menegakkan prinsip (1) bererti membiarkan diri hidup dalam kemunduran dan kemelaratan. Mereka tidak layak membangunkan mana-mana tamadun sekalipun. Mustahil sesebuah tamadun terbina di atas kemunduran dan kemelaratan manusia, yang menjadi unsur terpenting di dalamnya. Maka kaum mistik beserta pengikut-pengikutnya sekali adalah golongan yang tewas sebelum berjuang.

Muslim sejati tidak berdaya untuk mengabaikan prinsip (1) dan (2), kerana mematuhi prinsip ‘kunci’ (3). Mereka tergolong ke dalam aliran falsafah Islam, yang mampu mengubah tamadun moden kepada yang lebih baik, tamadun yang mampu dikongsi oleh segenap manusia di seluruh pelusuk dunia. Apabila datang saat ini, kezaliman terhapus, keadilan tertegak, kepalsuan lenyap, kebenaran pun menyinar. Tiada lagi neo-kolonialisme Amerika-Imperialis dan sekutu-sekutu mereka. Kejahatan hanya akan bersifat setempat, tidak lagi menerobos negara-negara dunia yang tidak bersempadan secara berleluasa dan tanpa kawalan seperti hari ini.

Memandangkan Materialisme dan Mistisisme masing-masing berpegang kepada prinsip (1) dan (3), adakah ini bermakna Islam menyokong kedua-dua aliran ini? Tentu sekali tidak. Kerana perbuatan berpegang pada sebahagian prinsip (seperti prinsip (1) dan (2)) sahaja dan menolak prinsip-prinsip yang lain bukanlah ajaran Islam. Islam tegak di atas ketiga-tiga prinsip di atas.

Walaubagaimanapun, method yang digunakan Barat dalam meneroka ilmu sains dan teknologi selama ini wajar dicontohi. Begitu juga dengan ketekunan kaum mistik dalam mengeratkan hubungan mereka dengan Tuhan melalui ritual-ritual agama, wajar dicontohi.

Jika liberal menyimpang ke kiri dan mistik menyimpang ke kanan, Islam pula berada di atara dua penyimpangan ini. Falsafah Islam, yang berada di antara kedua-dua falsafah ekstrim liberal dan mistik, itulah jalan yang lurus. Bayangkan betapa jauhnya manusia daripada jalan yang lurus ini, setelah sekian lama berada dan berjalan di atas kedua-dua jalan yang menyeleweng. Semakin lama semakin sesat, sehingga manusia menemui kebuntuan. Baru disedarinya bahawa dia berada di atas salah satu daripada dua jalan mati, kesedaran bahawa “aku telah sesat”, kesedaran yang merupakan satu peringkat menuju Kebenaran. Sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Inilah penjelasan tentang bagaimana sesuatu aliran yang batil itu boleh hancur dan lenyap bila tiba saatnya nanti.

Selagi bangsa kita tidak mahu sedar bahawa kita sebenarnya sudah jauh tersasar, selagi itulah kita terhalang daripada menemui jalan yang lurus. Bagaimana kita mampu menemui Kebenaran jika “kita sudah berada di atas jalan yang lurus” awal-awal lagi menjadi alasan untuk tidak bersama-sama memikirkan masa depan bangsa sendiri?? Dengan taubat dan keyakinan optimis bahawa manusia boleh mengetahui kehendak iradat Tuhan melalui penggunaan akal fikiran, tanpa keperluan wasitah atau perantaraan sesiapa, kita mampu kembali ke jalan yang lurus.

Jalan yang engkau kurniakan nikmat ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai, dan bukan pula jalan mereka yang sesat. (1:7)

[1] Buku ini pernah menjadi kontroversi pada zamannya, sehingga Za’aba dituduh oleh Residen British sebagai penderhaka kepada Sultan Perak.

[2] Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Bahawasanya Aku
hendak menjadikan khalifah di bumi.”
(2:30)
Dan Dia menundukkan untuk kamu sekalian apa yang ada di langit dan apa
yang ada di bumi semuanya, (sebagai ketentuan) daripadaNya.
(45:13)
Perhatikan bahawa ayat (45:13) mempunyai pertalian erat dengan prinsip (1).

Kassim Ahmad said...

Sdr Ibnu Abdillah Yth.,

Berbanyak terima kasih kerana komen Sdr yang panjang itu. Nyata fikiran Sdr dan fikiran saya boleh dikatakan sama dalam hal ini.
Memang Pak Za'aba seorang mujadid bangsa Melayu.
Mungkin perktaan 'takdir' yang digunakan untuk menterjemah perkataan Arab 'qaddara' = memperundang-undangkan, merancang, memutuskan, mengukur agak mengelirukan, kerana perkataan 'takdir' dalam bahasa Melayu bermaksud penentuan Tuhan terlebih dulu (Inggeris 'pre-determination'), untung nasib. Ia menggambarkan manusia sebagai penerima kaku tanpa peranan dinamik untuk membuat ketentuan itu.
Sunnatullah, atau undang-undang Tuhan, memang wujud sebagai sesuatu yang objektif. Tetapi operasinya berbeza di pelbagai peringkat hayat: (a) hayat yang tak bernyawa: tanah/logam, (b) hayat yang bernyawa tetai tidak boleh bergerak: pkok, (c) hayat bernyawa yang boleh bergerak tetapi tak boleh berfikir: haiwan, (d) hayat yang bernyawa, boleh bergerak dan boleh berfikir: manusia.
Manusia satu-satunya makhluk Tuhan yang diciptakan, tetapi, pada waktu yang sama, menciptakan. Khalifah membawa makna raja yang boleh menentukan nasibnya sendiri. Dia boleh menciptakan sebuah dunia baru yang adil dan bahagia (=jannah: Quran, 9: 111).
Kaum mistik mahukan kebahagian bagi dirinya saja, tetapi manusia seluruhnya dari nafs yang satu (nafsun wahidah). Mereka tidak ada matlamat hidup yang jelas. kaum materialis hidup serupa binatang saja.
Jadi, bangsa kita harus sedar bahawa mereka boleh, bersama-sama dengan bangsa-bangs lain, mengikut sunnatullah, menciptakan sebuah dunia yang aman dan adil buat mereka dan anak-cucu mereka.
Wassalam.
Kassim Ahmad.