Thursday, July 19, 2007

PERSOALAN ADAKAH TUHAN ATAU TIADA?

Oleh: Kassim Ahmad

19 Julai, 2007

Apakah perkara yang paling penting dalam kehidupan manusia? Kerjayanya? Mencari seberapa banyak wang dan menjadi jutawan? Mencari nama dan kuasa? Mencari agama yang benar, atau mencari Kebenaran? Jawapan kepada soalan ini bergantung kepada individu. Bagi kebanyakan orang, saya kira, kerjayanya – mahu ada suatu pekerjaan yang tetap yang dia suka buat dan yang boleh menyara kehidupan dia dan keluarganya. Bagi sesetengah orang lain pula, mencari nama dan kuasa. Bagi suatu golongan kecil, mencari agama yang benar, atau mencari Kebenaran (dengan K huruf besar).

Seorang ahli sains Inggeris berfahaman eteis, Richard Dawkins, baru-baru ini menerbitkan sebuah buku berjudul The God Delusion[1]. Dari nama buku ini nyata beliau menganggap kepercayaan kepada Tuhan itu suatu anggapan palsu. Bagi kita, dari segi apa pun ditimbang, anggapan ini tidak lain dari satu anggapan yang tidak berasas. Kita ingin mengajukan soalan kepada beliau: Mengapakah anda menulis dan menerbitkan buku ini? Jawabnya, dengan harapan bahawa sesetengah daripada pembacanya akan menerima saranan beliau dan menjadi ateis. Harapan beliau itu berdasarkan kepercayaan semata-mata. Sepertimana tiap-tiap pagi beliau bangun dan pergi bekerja di pejabat beliau dengan keyakinan bahawa tidak apa-apa yang buruk akan berlaku kepada beliau dan hari itu akan menjadi suatu hari yang bermanfaat kepada beliau. Ini membuktikan bahawa manusia hidup, bukan saja berpandukan pancaideran dan akalnya, tetapi juga kepercayaannya. Kita boleh mengatakan dengan tegas bahawa tiada manusia jika tidak ada keyakinan dalam dadanya. Ini suatu perkara yang sangat asas dan kita hairan bagaimana Dawkins dan ahli-ahli fikir yang tajam seperti dia boleh melupakan perkara ini!

Ini membawa kita kepada soalan epistemologi, atau kaedah mengetahui. Sains Barat mengiktirah hanya dua kaedah mengetahui, iatu melalui pencaindera dan melalui akal atau ilmu. Mari kita bawa suatu misalan. Ambil sebiji buah durian. Kita melihat buah durian itu di depan mata kita, lalu kita mengatakan, “Itu buah durian.” Kenyataan ini benar. Kemudian kita beredar setapak lagi lalu kita mengatakan, “Buah durian ini datang dari sepohon dunrian.” Kenyataan ini juga benar, walaupun kita tidak pernah melihat pohon durian, atau kita tidak melihat buah durian itu jatuh dari satu pohon durian. Kenyataan ini benar dari segi logika, atau dari segi ilmu, yakni kita tahu dari segi ilmu bahawa buah durian itu mesti berasal dari sepohon durian. Setakat ini, kita sudah melalui dua kaedah mengetahui. Tetapi, apabila kita bertanya seterusnya, “Dari mana pohon durian itu datang?”, jawapan epistemologi Barat ialah, “Ia datang dari bumi, dan bumi jadi sendiri; maka Tuhan tiada.” Demikian jawapan mereka, kerana mereka tidak melihat Tuhan menjadikan bumi dan epistemologi mereka tidak mengiktiraf alam rohaniah yang ghaib. Sebenarnya, ketidak-iktirafan mereka kepada alam rohaniah tidak berasaskan fakta, kerana fakta membuktikan kewujudan satu lagi kaedah manusia mengetahui, iaitu melalui ilham atau wahyu.[2] Ilham memang wujud dan ahli-ahli sains dan para pujangga mengalami ilham dalam karya-karya mereka dan merupakan suatu lagi cara mereka mengetahui.[3] Quran menyebut tiga kaedah mengetahui, melalui konsep-konsep ain ‘ul-yakin [4] (ketahui melalui pancaindera), ilmu’l-yakin [5] (ketahui melalui logika), dan haqq ‘al-yakin [6] (ketahui melalui ilham, wahyu). Apabila kita menggabungkan ketiga-tiga kaedah mengetahi ini, kita mendapat pengetahuan sepadu yang lengkap atau sempurna.

Berbalik kepada contoh buah durian tadi, kita sudah sampai kepada kaedah yang ketiga, yang ditolak oleh epistemologi saintifik Barat, tanpa alasan yang kukuh, seperti yang sudah kita lihat. Dalam epistemologi yang lebih sempurna, durian itu datang dari bumi, dan bumi tidak jadi sendiri, tetapi dijadikan oleh Tuhan. Epistemologi saintifik Barat menolak konsep bumi dijadikan, kerana, mengikut mereka, logika ini akan menghadapkan kita dengan rentetan yang tidak berkesudahan. Jika bumi dijadikan oleh Tuhan, siapa pula yang menjadikan Tuhan? Soalan ini nyata bodoh dan mustahil, kerana jika Tuhan dijadikan, maka dia bukan Tuhan lagi! Tuhan mustahil dijadikan, kerana Dia Berdiri Sendiri. [7]

Tidakkah menghairankan bahawa epistemologi Barat yang boleh menerima konsep “Bumi jadi sendiri”, tidak boleh menerima konsep “Tuhan jadi sendiri”? Mereka juga tidak melihat dunia ini jadi sendiri. Anggapan bahawa dunia jadi sendiri tidak lebih dari anggapan yang tidak berasaskan penglihatan. Dakwaan bahwa epistemologi Barat lebih saintifik tidak berasas sama sekali.

Kita boleh faham bahawa Eropah, setelah melalui Reformasi Agama dalam abad ke-16 dan memisahkan Agama dari Negara dan menganut cara hidup sekular, mahu membebaskan minda orang Eropah dari khurafat-khurafat yang datang dari agama, atau leih tepat, dari salah tafsir agama. Kesuburan sains dan teknologi di Barat dan kepimpinan Barat dalam sains dan teknologi membuktikan kemujaraban cara hidup ini, dibanding dengan cara hidup bangsa-bangsa Asia yang masih dikongkong oleh fahaman-fahaman agama yang kolot. Inilah hujah yang paling kuat untuk menolak fahaman-fahaman agama yang menyeleweng dari agama tauhid (Islam yang sebenar, yang akan kita huraikan nanti).

Namun demikian, penolakan Barat terhadap khurafat dan tahayul yang datang dengan fahaman-fahaman agama yang menyeleweng (fahaman Tritunggal dalam agama Kristen tidak diajar oleh Nabi Isa, tetapi diperukunkan menjadi asas teologi Kristen dalam Majlis Nicaea pada 325 Masehi melalui undi!). Maka penolakan sebagian agama membawa kepada penolakan total agama, dan ini bercampuir dengan faham materialisme yang sedia ada dalam falsafah Yunani berkembang menjadi benih yang subur dalam tamadin Barat. Ia berakhir dengan fahaman nihilisme Friedrich Nietzche (“Tuhan sudah mati”). Falsafah inilah yang merintis jalan bagi penggunaan bom atom dan bom nuklier pada pertengahan dan akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21. Dakwaan Dawkins bahawa fahaman ateisme tidak membawa kepada kejahatan yang lebih banyak daripada yang telah diakibatkan oleh agama tidak boleh dipertahankan, berhadapan dengan dua peperangan dunia yang dahsyat, yang menyebabkan kematian puluhan juta orang, termasuk orang awam dari kanak-kanak dan orang tua, dan kerosakan harta-benda yang banyak.

Mustahillah Alam Raya yang begitu besar yang telah terjadi berbilion-bilion tahun lamanya, yang beredar mengililingi satu sama lain, yang diatur dengan begitu teratur, teliti dan harmonis, terjadi dari peringkat terendah ke peringkat tertinggi, dari yang paling mudah dan yang paling kecil kepada yang paling kompleks, terjadi tanpa dijadikan oleh suatu kuasa yang maha kuat, maha bijak, dan maha mengetahui! Kita ingin bersikap murah hati kepada Dawkins dan ahli-ahli sains yang masyhur, seperti Einstein, Carl Sagan, Steven Weinberg dan Stephen Hawking, bahawa mungkin kita bercakap mengenai perkara yang sama, tetapi bahasa kita berbeza. Bahasa menjadi masalah di antara kita.

Mereka sendiri mengiktiraf kewujudan suatu struktur dan harmoni yang hebat pada Alam Raya [8], tetapi mereka enggan mengiktiraf kuasa lampau deria (supra-sensory)dan lampau rasional (supra-rational) yang wujud di belakang atau di dalamnya, yang bertanggunjawab kepada wujudnya Alam Raya ini dan evolusinya.

Apabila kita bercakap tentang agama, maksud kita bukan sembarangan agama, tetapi agama yang benar (din’ul-haqq) [9], agama Allah (din’ul-Lah),[10] yang juga dinamakan Islam dalam Quran.[11] Inilah yang dikatakan agama tauhid, monoteisme, yang bermula dari Nabi Adam, membawa kepada Nabi Ibrahim, melalui nabi-nabi Musa dan Isa, hingga kepada nabi yang terakhir, Nabi Muhammad. Agama tauhid yang dibawa oleh mereka sama, iaitu beriman kepada Tuhan Yang Esa dan menyembah Dia saja, dan tidak menyembah lain daripada Dia. Tetapi, apa yang telah berlaku ialah, lebih kurang tiga ratus tahun setelah nabi-nabi ini wafat, ajaran yang mereka bawa itu bertukar dari agama tauhid murni yang asal kepada agama banyak tuhan. Hal ini berlaku kepada kebanyakan pengikut-pengikut Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, dan termasuk Nabi Muhammad. Kita menekankan perkara pengikut-pengikut Nabi Muhammad, kerana, pada hari ini, kebanyakan mereka menganggap mereka mengikut agama yang betul, sedangkan mereka juga telah masuk perangkap yang sama! Oleh sebab itu, dalam Quran disebut mereka yang beriman dari kalangan orang-orang Yahudi, Kristen dan dari kalangan pengikut-pengikut agama-agama lain, termasuk agama Islam. [12] Tetapi, dalam kes pengikut-pengikut Nabi Muhammad, dan ini juga terpakai kepada pengikut-pengikut semua agama, kitab suci Quran, yang dibawa oleh Nabi Muhammad, satu-satunya kitab suci yang dijamin kemurniannya oleh Tuhan Sendiri,[13] berdiri sebagai hakim (furqan) kepada semua ajaran, agama, falsafah, sains, dulu dan kemudian. [14] Oleh yang demikian, keperluan manusia dalam Abad Ke-21 ini ialah mencari pedoman yang mujarab sekali untuk menyelamatkan mereka dari kehancuran total yang menunggu dan dekat, iaitu memeluk ajaran Quran, yang bukan saja rasional dan saintifik, tetapi merangkumi alam supra-rasional, yang juga rasional dan saintifik, dalam ertikata yang sebenarnya.

Kita tidak akan menutup esei ini, kecuali setelah kita jawab bantahan yang paling kuat, tetapi yang tidak ditimbulkan oleh Dawkins dalam buku ini, iaitu soal kejahatan. Kata mereka yang tidak beriman, “Jika Tuhan Maha Berkuasa, mengapa Ia tidak menghapuskan kejahatan? Oleh kerana Tuhan membiarkan kejahatan berleluasa dalam dunia, maka Ia tidak berkuasa menghapuskannya. Oleh itu, Dia bukan Tuhan. Jadi, Tuhan tidak ada.”

Jawapan kepada soalan ini mudah saja. Tuhan memberikan manusia kebebasan untuk menentukan hidupnya. Baik dibalas baik; jahat dibalas jahat. Yang baik itu daripada Tuhan; yang jahat itu akibat perbuatannya sendiri.[15] (Perhatikan ajaran Quran yang sangat menasabah ini bersalahan dengan fahaman kaum Asya’ariah yang memperukunkan bahawa “baik dan jahat itu dari Tuhan”.) Oleh kerana manusia sendiri gagal menghalang kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka (umpamamnya, pengeboman Hirishoma dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua, serangan dan penaklukan Iraq yang haram oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dalam 2003, dan banyak lagi jenayah), maka jenayah-jenayah ini berlaku, dan manusia harus terima akibat-akibatnya. Jenayah-jenayah ini tidak diperintahkan oleh Tuhan (seperti yang didakwa oleh George Bush dalam kes jenayahnya di Iraq), malah Tuhan melarangnya keras.

Kita juga ingin menarik perhatian Dawkins bahawa motivasi untuk berbuat baik dalam ajaran Quran bukan saja kerana balasan. Motivasi yang lebih tinggi dari balasan material (syurga) ialah kepuasan dari perbuatan baik itu sendiri. [16]

Satu lagi kekeliruan ialah perbezaan antara pengetahuan Tuhan dan perbuatan-Nya. Tuhan Maha Mengetahui; oleh itu, Dia tahu dari azali apa yang akan dilakukan oleh seseorang. Tetapi pengetahuan ini tidak bermakna kemestian bagi pelaku itu. Pelaku itu (manusia) tetap bebas melakukan apa yang dia hendak lakukan dan dengan demikian bertanggungjawan atas perlakuan itu. Walaupun Tuhan tahu, Tuhan tidak bertanggungjawab atas perlakuan itu.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com dan kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/




[1] Bantam Press, Great Britain, 2006. Disenaraikan sebagai 10 buah buku bukan fiksi terlaris dalam pasaran.

[2] Ada tiga cara Tuhan berkomunikasi dengan manusia, iaitu (a) melalui wahyu atau ilham, (b) dari sebalik tabir (hijab), seperti dalam kes percakapan Tuhan dengan Nabi Musa, dan (c) melalui seorang rasul. Lihat Quran, 42: 51.

[3] Archimedes, ahli sains Yunani, kononnya, telah melafazkan perkataan “eureka!”, kerana terlalu gembira mendapat suatu cara untuk mengukur keasliaan emas.

[4] Lihat Quran, 102: 7

[5] Lihat Quran, 102: 9.

[6] Lihat Quran, 69: 51.

[7] Lihat Quran, 2: 255.

[8] Sila rujuk kata-kata mereka pada hal. 12-19 dalam buku ini.

[9] Lihat Quran, 9: 33; 48: 28 dan 61: 8-9.

[10] Lihat Quran, 3: 82 dan 110: 2.

[11] “Agama yang diredai Allah ialah Islam.” (Quran, 3: 19)

[12] “Mereka yang beriman, sama ada orang Yahudi atau orang Kristen, atau orang Sab’in; sesiapa saja yang beriman kepada Tuhan, kepada Hari Kemudian dan berbuat baik akan mendapat ganjaran dari Tuannya. Mereka tidak perlu bimbang atau berdukacita.” (Quran, 2: 62). Orang Sab’in merujuk kepada pengikut-pengikut agama di luar Tradisi Ibrahim.

[13] Lihat Quran, 15: 9 dan 41: 41-42.

[14] “Kemudian Kami mengwahyukan kepada kamu kitab suci ini, dengan benarnya, mensahkan semua kitab suci dulu dan mengatasi mereka.” (Quran, 5: 48)

[15] Lihat Quran, 4: 79.

[16] “Sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah Tuan seru sekalian alam.” (Quran, 6: 162-63)

Monday, July 09, 2007

SATU LAGI PELAJARAN UNTUK UMAT ISLAM

SEKARANG DARI ISLAMABAD

Oleh: Kassim Ahmad

9 Julai, 2007

Apabila pentadbiran neo-kon Bush di Washington mengisytiharkan Perang Anti-Keganasan di seluruh dunia selepas peristiwa 9/11 tahun 2001, ramai orang melihat perang ini sebagai suatu muslihat puak neo-kon untuk menjatuhkan Presiden Saddam Hussein, menawan Iraq dan mendominasi kawasan Asia Barat yang strategik itu. Setelah lima tahun lebih, walaupun kes Iraq jelas suatu muslihat untuk menjatuhkan Saddam ternyata benar, suatu kalangan kecil dari orang Islam telah bangkit untuk memberontak, malah mangamuk, terhadap kuasa-kuasa Barat dan sekutu mereka . Pemberontakan dan amukan ini telah bermula lebih satu dekad yang lalu. Peristiwa 850 pelajar Pakistan, termasuk 600 pelajar wanita, yang berlindung dalam Masjid Merah di Islamabad, di bawah hasutan seorang mullah dengan tujuan hendak memaksa Kerjaan Pakistan melaksanakan pertadbiran a-la Taliban di bandar itu merupakan suatu lagi bukti bahawa golongan ini sanggup menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat mereka. Mereka ini bersenjatakan raifal Kalashnikov dan lebih dari 16 orang pelajar dan seorang asykar sudah terbunuh.

Bolehkah umat Islam sendiri membenarkan perkara ini berlaku? Tentu tidak. Bukan saja kerana cara kekerasan tidak dibenarkan dalam Islam, tetapi sebagai agama dan satu cara hidup yang mengutamakan kedamaian, Islam sendiri tidak mensahkan matlamat ini.

Jadi, apakah matlamat Islam sebenarnya? Mengapakah wujud kumpulan militan yang sanggup memaksakan undang-undang syari’ah (konsep undang-undang syari’ah juga berbeza di kalangan orang Islam sendiri) dalam sesebuah negara Islam, seperti Pakistan?

Walaupun kita fikir umat Islam sudah terlewat untuk menanyakan soalan-soalan ini serta mengambil langkah-langkah untuk membetulkannya (Lihat bagaimana kuasa-kuasa Barat yang menentukan nasib orang-orang Islam), kita masih percaya kepada kata-kata hikmah, “Tiada yang terlewat.”

Masalah kita memang tidak boleh diselesaikan, kecuali kita ketahui puncanya. Semua orang Islam tahu, diperturunkan dari ajaran Empat Imam Besar, bahawa sumber undang-undang Islam ialah dua yang utama, iaitu Quran dan Hadis/Sunnah, dengan tiga lagi sumber sampingan, iaitu Ijmak, Qias dan Ijtihad. Mengkaji sejarah Islam awal dan mengkaji kitab suci Quran, kita akan mendapat tahu bahawa sumber utama dalam Islam ialah Quran (yang, walaupun wahyu daripada Tuhan, dibawa oleh Nabi Muhammad; oleh itu, frasa “taatilah Allah dan taatilah rasul” dalam Quran bermakna “ikutlah Quran”, bukan “ikut Quran dan Hadis/Sunnah”). Sumber undang-undang yang kedua ialah “pihak yang berkuasa” (ulil-amr). “Pihak berkuasa ini” boleh meliputi konsep-konsep klasik Hadis/Sunnah, Ijmak, Qias dan Ijtihad. Nabi Muhammad sendiri, sebagai pemimpin kepada masyarakat Arab pada waktu itu, melakukan ijtihatnya dalam banyak hal, yang tidak disebut secara langsung dalam Quran. Umpamanya, Piagam Madinah yang masyhur itu ialah ijtihad Nabi Muhammad.

Sesetengah kalangan dalam Islam akan menuduh kita menyeleweng, kerana telah tidak mengikut ajaran ulama yang muktabar. Saya ingin bertanya: “Adakah salah kita membuat tafsiran yang baru, yang sesuai dengan tuntutan zaman kita, dan yang tidak bercanggah dengan ajaran Quran? Sebaliknya, tidakkah mereka yang taksub kepada Empat Imam Besar sudah membuat kesilapan besar mendewakan mereka?

Pada awal abad Islam, lebih kurang pendirian inilah dibawa oleh puak Muktazillah, puak rasionalis dalam masyarakat Islam awal. Malangnya, mereka telah kalah kepada puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dan teologi puak kedua ini diterima oleh generasi-generasi Islam kemudian hingga ke hari ini. Tetapi, kita harus ingat, dalam hal kebenaran, bilangan ramai tidak semestinya betul, dan bilangan kecil tidak semestinya salah.

Penulis ini telah menganjurkan penilaian semula prinsip-prinsip undang-undang syari’ah ini sejak tahun 1986, apabila bukunya Hadis – Satu Penilaian Semula terbit. Dua puluh satu tahun sudah berlalu, dan kita disuakan dengan “Islam hadhari” oleh pepmimpin kita yang baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bolehkah kita menyelesaikan masalah ini dengan preskripsi Islam hadhari? Orang akan bertanya: Mengapa Islam hadhari? Mengapa tidak Islam saja? Kepada soal ini tidak ada jawapan yang memuaskan. Oleh yang demikian, Islam hadhari tidak boleh menyelesaikan masalah kita. Pemimpin-pemimpin kita mestilah berani berhadapan dengan realiti dan mengambil tindakan-tindakan yang sesuai untuk mengatasi masalah ini dengan segera.

Reformasi pelajaran agama, mereformasi dan memodenkan golongan ulama dan membuat golongan umara menghayati pandangan hidup Islam – ini semua kita telah buat dan patut diteruskan, tetapi ini semua bukan soalan pokok. Soalan pokok ialah: sumber utama bimbingan kita. Sumber utama bimbingan kita ialah Quran, dengan sumber-sumer lain mengambil tempat kedua. Apa jua ajaran yang selaras dengan ajaran Quran boleh dan wajib dipakai; apa jua ajaran yang bercanggah dengan ajaran Quran (secara terang-terang), tidak boleh dipakai.

Perkara ini sepatutnya kita selesaikan antara kita sendiri lama dulu, sebelum campur-tangan kuasa-kuasa Barat di Afghanistan dan di Iraq. Tetapi kita semua tahu pertubuhan OIC dalam kocek Amerika Syarikat. Tidak ada negara Islam yang bebas sepenuhnya. Ini semua kesilapan kita sendiri. Kita tidak sedar bahawa Islam itu bermakna pembebasan dari segala bentuk perhambaan. Kebanyakan orang Islam mengaggap agama sebagai ibadah semata-mata, ibadah dalam ertikata yang sempit. Kita perlu tukar sikap kita dan kembali menghayati Islam sebagai suatu cara hidup yang direstu oleh Allah s.w.t. Pada waktu itu umat Islam akan keluar dari kemelut besar ini dan bangkit semula membina sebuah dunia yang aman, adil dan bahagia, bukan saja untuk umat Islam, tetapi untuk semua manusia.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@stremyx.com and kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com