Thursday, July 19, 2007

PERSOALAN ADAKAH TUHAN ATAU TIADA?

Oleh: Kassim Ahmad

19 Julai, 2007

Apakah perkara yang paling penting dalam kehidupan manusia? Kerjayanya? Mencari seberapa banyak wang dan menjadi jutawan? Mencari nama dan kuasa? Mencari agama yang benar, atau mencari Kebenaran? Jawapan kepada soalan ini bergantung kepada individu. Bagi kebanyakan orang, saya kira, kerjayanya – mahu ada suatu pekerjaan yang tetap yang dia suka buat dan yang boleh menyara kehidupan dia dan keluarganya. Bagi sesetengah orang lain pula, mencari nama dan kuasa. Bagi suatu golongan kecil, mencari agama yang benar, atau mencari Kebenaran (dengan K huruf besar).

Seorang ahli sains Inggeris berfahaman eteis, Richard Dawkins, baru-baru ini menerbitkan sebuah buku berjudul The God Delusion[1]. Dari nama buku ini nyata beliau menganggap kepercayaan kepada Tuhan itu suatu anggapan palsu. Bagi kita, dari segi apa pun ditimbang, anggapan ini tidak lain dari satu anggapan yang tidak berasas. Kita ingin mengajukan soalan kepada beliau: Mengapakah anda menulis dan menerbitkan buku ini? Jawabnya, dengan harapan bahawa sesetengah daripada pembacanya akan menerima saranan beliau dan menjadi ateis. Harapan beliau itu berdasarkan kepercayaan semata-mata. Sepertimana tiap-tiap pagi beliau bangun dan pergi bekerja di pejabat beliau dengan keyakinan bahawa tidak apa-apa yang buruk akan berlaku kepada beliau dan hari itu akan menjadi suatu hari yang bermanfaat kepada beliau. Ini membuktikan bahawa manusia hidup, bukan saja berpandukan pancaideran dan akalnya, tetapi juga kepercayaannya. Kita boleh mengatakan dengan tegas bahawa tiada manusia jika tidak ada keyakinan dalam dadanya. Ini suatu perkara yang sangat asas dan kita hairan bagaimana Dawkins dan ahli-ahli fikir yang tajam seperti dia boleh melupakan perkara ini!

Ini membawa kita kepada soalan epistemologi, atau kaedah mengetahui. Sains Barat mengiktirah hanya dua kaedah mengetahui, iatu melalui pencaindera dan melalui akal atau ilmu. Mari kita bawa suatu misalan. Ambil sebiji buah durian. Kita melihat buah durian itu di depan mata kita, lalu kita mengatakan, “Itu buah durian.” Kenyataan ini benar. Kemudian kita beredar setapak lagi lalu kita mengatakan, “Buah durian ini datang dari sepohon dunrian.” Kenyataan ini juga benar, walaupun kita tidak pernah melihat pohon durian, atau kita tidak melihat buah durian itu jatuh dari satu pohon durian. Kenyataan ini benar dari segi logika, atau dari segi ilmu, yakni kita tahu dari segi ilmu bahawa buah durian itu mesti berasal dari sepohon durian. Setakat ini, kita sudah melalui dua kaedah mengetahui. Tetapi, apabila kita bertanya seterusnya, “Dari mana pohon durian itu datang?”, jawapan epistemologi Barat ialah, “Ia datang dari bumi, dan bumi jadi sendiri; maka Tuhan tiada.” Demikian jawapan mereka, kerana mereka tidak melihat Tuhan menjadikan bumi dan epistemologi mereka tidak mengiktiraf alam rohaniah yang ghaib. Sebenarnya, ketidak-iktirafan mereka kepada alam rohaniah tidak berasaskan fakta, kerana fakta membuktikan kewujudan satu lagi kaedah manusia mengetahui, iaitu melalui ilham atau wahyu.[2] Ilham memang wujud dan ahli-ahli sains dan para pujangga mengalami ilham dalam karya-karya mereka dan merupakan suatu lagi cara mereka mengetahui.[3] Quran menyebut tiga kaedah mengetahui, melalui konsep-konsep ain ‘ul-yakin [4] (ketahui melalui pancaindera), ilmu’l-yakin [5] (ketahui melalui logika), dan haqq ‘al-yakin [6] (ketahui melalui ilham, wahyu). Apabila kita menggabungkan ketiga-tiga kaedah mengetahi ini, kita mendapat pengetahuan sepadu yang lengkap atau sempurna.

Berbalik kepada contoh buah durian tadi, kita sudah sampai kepada kaedah yang ketiga, yang ditolak oleh epistemologi saintifik Barat, tanpa alasan yang kukuh, seperti yang sudah kita lihat. Dalam epistemologi yang lebih sempurna, durian itu datang dari bumi, dan bumi tidak jadi sendiri, tetapi dijadikan oleh Tuhan. Epistemologi saintifik Barat menolak konsep bumi dijadikan, kerana, mengikut mereka, logika ini akan menghadapkan kita dengan rentetan yang tidak berkesudahan. Jika bumi dijadikan oleh Tuhan, siapa pula yang menjadikan Tuhan? Soalan ini nyata bodoh dan mustahil, kerana jika Tuhan dijadikan, maka dia bukan Tuhan lagi! Tuhan mustahil dijadikan, kerana Dia Berdiri Sendiri. [7]

Tidakkah menghairankan bahawa epistemologi Barat yang boleh menerima konsep “Bumi jadi sendiri”, tidak boleh menerima konsep “Tuhan jadi sendiri”? Mereka juga tidak melihat dunia ini jadi sendiri. Anggapan bahawa dunia jadi sendiri tidak lebih dari anggapan yang tidak berasaskan penglihatan. Dakwaan bahwa epistemologi Barat lebih saintifik tidak berasas sama sekali.

Kita boleh faham bahawa Eropah, setelah melalui Reformasi Agama dalam abad ke-16 dan memisahkan Agama dari Negara dan menganut cara hidup sekular, mahu membebaskan minda orang Eropah dari khurafat-khurafat yang datang dari agama, atau leih tepat, dari salah tafsir agama. Kesuburan sains dan teknologi di Barat dan kepimpinan Barat dalam sains dan teknologi membuktikan kemujaraban cara hidup ini, dibanding dengan cara hidup bangsa-bangsa Asia yang masih dikongkong oleh fahaman-fahaman agama yang kolot. Inilah hujah yang paling kuat untuk menolak fahaman-fahaman agama yang menyeleweng dari agama tauhid (Islam yang sebenar, yang akan kita huraikan nanti).

Namun demikian, penolakan Barat terhadap khurafat dan tahayul yang datang dengan fahaman-fahaman agama yang menyeleweng (fahaman Tritunggal dalam agama Kristen tidak diajar oleh Nabi Isa, tetapi diperukunkan menjadi asas teologi Kristen dalam Majlis Nicaea pada 325 Masehi melalui undi!). Maka penolakan sebagian agama membawa kepada penolakan total agama, dan ini bercampuir dengan faham materialisme yang sedia ada dalam falsafah Yunani berkembang menjadi benih yang subur dalam tamadin Barat. Ia berakhir dengan fahaman nihilisme Friedrich Nietzche (“Tuhan sudah mati”). Falsafah inilah yang merintis jalan bagi penggunaan bom atom dan bom nuklier pada pertengahan dan akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21. Dakwaan Dawkins bahawa fahaman ateisme tidak membawa kepada kejahatan yang lebih banyak daripada yang telah diakibatkan oleh agama tidak boleh dipertahankan, berhadapan dengan dua peperangan dunia yang dahsyat, yang menyebabkan kematian puluhan juta orang, termasuk orang awam dari kanak-kanak dan orang tua, dan kerosakan harta-benda yang banyak.

Mustahillah Alam Raya yang begitu besar yang telah terjadi berbilion-bilion tahun lamanya, yang beredar mengililingi satu sama lain, yang diatur dengan begitu teratur, teliti dan harmonis, terjadi dari peringkat terendah ke peringkat tertinggi, dari yang paling mudah dan yang paling kecil kepada yang paling kompleks, terjadi tanpa dijadikan oleh suatu kuasa yang maha kuat, maha bijak, dan maha mengetahui! Kita ingin bersikap murah hati kepada Dawkins dan ahli-ahli sains yang masyhur, seperti Einstein, Carl Sagan, Steven Weinberg dan Stephen Hawking, bahawa mungkin kita bercakap mengenai perkara yang sama, tetapi bahasa kita berbeza. Bahasa menjadi masalah di antara kita.

Mereka sendiri mengiktiraf kewujudan suatu struktur dan harmoni yang hebat pada Alam Raya [8], tetapi mereka enggan mengiktiraf kuasa lampau deria (supra-sensory)dan lampau rasional (supra-rational) yang wujud di belakang atau di dalamnya, yang bertanggunjawab kepada wujudnya Alam Raya ini dan evolusinya.

Apabila kita bercakap tentang agama, maksud kita bukan sembarangan agama, tetapi agama yang benar (din’ul-haqq) [9], agama Allah (din’ul-Lah),[10] yang juga dinamakan Islam dalam Quran.[11] Inilah yang dikatakan agama tauhid, monoteisme, yang bermula dari Nabi Adam, membawa kepada Nabi Ibrahim, melalui nabi-nabi Musa dan Isa, hingga kepada nabi yang terakhir, Nabi Muhammad. Agama tauhid yang dibawa oleh mereka sama, iaitu beriman kepada Tuhan Yang Esa dan menyembah Dia saja, dan tidak menyembah lain daripada Dia. Tetapi, apa yang telah berlaku ialah, lebih kurang tiga ratus tahun setelah nabi-nabi ini wafat, ajaran yang mereka bawa itu bertukar dari agama tauhid murni yang asal kepada agama banyak tuhan. Hal ini berlaku kepada kebanyakan pengikut-pengikut Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, dan termasuk Nabi Muhammad. Kita menekankan perkara pengikut-pengikut Nabi Muhammad, kerana, pada hari ini, kebanyakan mereka menganggap mereka mengikut agama yang betul, sedangkan mereka juga telah masuk perangkap yang sama! Oleh sebab itu, dalam Quran disebut mereka yang beriman dari kalangan orang-orang Yahudi, Kristen dan dari kalangan pengikut-pengikut agama-agama lain, termasuk agama Islam. [12] Tetapi, dalam kes pengikut-pengikut Nabi Muhammad, dan ini juga terpakai kepada pengikut-pengikut semua agama, kitab suci Quran, yang dibawa oleh Nabi Muhammad, satu-satunya kitab suci yang dijamin kemurniannya oleh Tuhan Sendiri,[13] berdiri sebagai hakim (furqan) kepada semua ajaran, agama, falsafah, sains, dulu dan kemudian. [14] Oleh yang demikian, keperluan manusia dalam Abad Ke-21 ini ialah mencari pedoman yang mujarab sekali untuk menyelamatkan mereka dari kehancuran total yang menunggu dan dekat, iaitu memeluk ajaran Quran, yang bukan saja rasional dan saintifik, tetapi merangkumi alam supra-rasional, yang juga rasional dan saintifik, dalam ertikata yang sebenarnya.

Kita tidak akan menutup esei ini, kecuali setelah kita jawab bantahan yang paling kuat, tetapi yang tidak ditimbulkan oleh Dawkins dalam buku ini, iaitu soal kejahatan. Kata mereka yang tidak beriman, “Jika Tuhan Maha Berkuasa, mengapa Ia tidak menghapuskan kejahatan? Oleh kerana Tuhan membiarkan kejahatan berleluasa dalam dunia, maka Ia tidak berkuasa menghapuskannya. Oleh itu, Dia bukan Tuhan. Jadi, Tuhan tidak ada.”

Jawapan kepada soalan ini mudah saja. Tuhan memberikan manusia kebebasan untuk menentukan hidupnya. Baik dibalas baik; jahat dibalas jahat. Yang baik itu daripada Tuhan; yang jahat itu akibat perbuatannya sendiri.[15] (Perhatikan ajaran Quran yang sangat menasabah ini bersalahan dengan fahaman kaum Asya’ariah yang memperukunkan bahawa “baik dan jahat itu dari Tuhan”.) Oleh kerana manusia sendiri gagal menghalang kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka (umpamamnya, pengeboman Hirishoma dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua, serangan dan penaklukan Iraq yang haram oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dalam 2003, dan banyak lagi jenayah), maka jenayah-jenayah ini berlaku, dan manusia harus terima akibat-akibatnya. Jenayah-jenayah ini tidak diperintahkan oleh Tuhan (seperti yang didakwa oleh George Bush dalam kes jenayahnya di Iraq), malah Tuhan melarangnya keras.

Kita juga ingin menarik perhatian Dawkins bahawa motivasi untuk berbuat baik dalam ajaran Quran bukan saja kerana balasan. Motivasi yang lebih tinggi dari balasan material (syurga) ialah kepuasan dari perbuatan baik itu sendiri. [16]

Satu lagi kekeliruan ialah perbezaan antara pengetahuan Tuhan dan perbuatan-Nya. Tuhan Maha Mengetahui; oleh itu, Dia tahu dari azali apa yang akan dilakukan oleh seseorang. Tetapi pengetahuan ini tidak bermakna kemestian bagi pelaku itu. Pelaku itu (manusia) tetap bebas melakukan apa yang dia hendak lakukan dan dengan demikian bertanggungjawan atas perlakuan itu. Walaupun Tuhan tahu, Tuhan tidak bertanggungjawab atas perlakuan itu.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com dan kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/




[1] Bantam Press, Great Britain, 2006. Disenaraikan sebagai 10 buah buku bukan fiksi terlaris dalam pasaran.

[2] Ada tiga cara Tuhan berkomunikasi dengan manusia, iaitu (a) melalui wahyu atau ilham, (b) dari sebalik tabir (hijab), seperti dalam kes percakapan Tuhan dengan Nabi Musa, dan (c) melalui seorang rasul. Lihat Quran, 42: 51.

[3] Archimedes, ahli sains Yunani, kononnya, telah melafazkan perkataan “eureka!”, kerana terlalu gembira mendapat suatu cara untuk mengukur keasliaan emas.

[4] Lihat Quran, 102: 7

[5] Lihat Quran, 102: 9.

[6] Lihat Quran, 69: 51.

[7] Lihat Quran, 2: 255.

[8] Sila rujuk kata-kata mereka pada hal. 12-19 dalam buku ini.

[9] Lihat Quran, 9: 33; 48: 28 dan 61: 8-9.

[10] Lihat Quran, 3: 82 dan 110: 2.

[11] “Agama yang diredai Allah ialah Islam.” (Quran, 3: 19)

[12] “Mereka yang beriman, sama ada orang Yahudi atau orang Kristen, atau orang Sab’in; sesiapa saja yang beriman kepada Tuhan, kepada Hari Kemudian dan berbuat baik akan mendapat ganjaran dari Tuannya. Mereka tidak perlu bimbang atau berdukacita.” (Quran, 2: 62). Orang Sab’in merujuk kepada pengikut-pengikut agama di luar Tradisi Ibrahim.

[13] Lihat Quran, 15: 9 dan 41: 41-42.

[14] “Kemudian Kami mengwahyukan kepada kamu kitab suci ini, dengan benarnya, mensahkan semua kitab suci dulu dan mengatasi mereka.” (Quran, 5: 48)

[15] Lihat Quran, 4: 79.

[16] “Sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah Tuan seru sekalian alam.” (Quran, 6: 162-63)

8 comments:

Sagaladoola said...

Hi Kassim Ahmad,

Saya juga telah membeli dan membaca buku ini. Richard Dawkins adalah seorang ahli biologi.

Beliau hanya dapat menjelaskan segala perkara menggunakan teori biologi dan evolusi genetik sahaja.

Namun, mengenai penciptaan alam semesta besertakan kandungannya tidak dapat dijelaskan oleh sains yang dipegangnya. Misalannya, dari segi contoh pokok durian yang digunakan saudara, Richard Dawkins boleh menjelaskannya secara terperinci dari segi saintifik bagaimana satu hidupan berubah menjadi pokok durian. Ini adalah kerana pokok durian adalah sejenis kehidupan seperti manusia dan haiwan.

Namun, kalau perkara yang bukan berkaitan dengan benda hidup tetapi semulajadi seperti batu, air, api dan bumi tidak akan dapat diterangkan oleh sains beliau.

Untuk pemahaman yang lebih lanjut tentan ciptaan alam semesta, kenalah baca buku Stephen Hawking, "A Brief History of Time"

Pada pendapat saya, konsep Tuhan adalah seperti satu Sains yang unggul namun tidak dapat difahami oleh manusia sejagat.

Sekian,
http://sagaladoola.blogspot.com

Anonymous said...

Assalamua'laikum.

Cuma nak komen kenyataan tuan pada para 5:

"Konsep Tuhan jadi sendiri"

Saya kira tidak betul kerana Allah tidak "jadi", sebab Dia tidak ada permulaan. ALLAH memang dah sedia ujud.

Anonymous said...

saya berpendapat ada kesalahan pada nota kaki:
[5] Lihat Quran, 102: 9.

surah 102 hanya ada 8 ayat.

adakah anda maksudkan 'ilmu yakin' pada ayat 102:5

the indie story said...

Dr. Kassim Ahmad yang dihormati, semoga dirahmati Allah swt sekeluarga hendaknya...

Izinkan hamba sekali lagi mencelah.

KEPADA SEMUA BLOGGER YANG DIKASIHI BERSERTA ORANG AWAM. Anda semua dijemput hadir ke :

"INTERNATIONAL ISLAMIC FAIR 2007 YANG AKAN BERLANSUNG ESOK DI PWTC,KL...DARI 27 -29 JULAI.

KEDATANGAN ANDA SEKELUARGA BERSERTA RAKAN TAULAN AMAT DIALU-ALUKAN. BERILAH SOKONGAN KEPADA SATU-SATUNYA PESTA ISLAM ANTARABANGSA YANG ADA DI BUMI MALAYSIA INI. SOKONGAN ANDA AMAT DIPERLUKAN UNTUK MENJAYAKAN PRODUK, PERKHIDMATAN DAN HIBURAN CARA ISLAM YANG KAMI ANJURKAN. PADA HARI SABTU MALAM AHAD NANTI PIHAK KAMI AKAN MENGADAKAN KONSERT CARA ISLAM BESAR-BESARAN DI MATRADE HALL, JALAN DUTA. KONSERT AKAN BERMULA PADA PUKUL 9 MALAM HINGGA 11 MALAM.

ANTARA ARTIS LUAR NEGARA YANG AKAN MEMBUAT PERSEMBAHAN ADALAH MUHAMMAD AL HUSAYAN DARI KUWAIT, MILOUD DARI FRANCE DAN AA'SHIQ AL RASUL DARI UK. KUMPULAN NASYID HIJJAZ JUGA AKAN TURUT SERTA. TIKET KONSERT BOLEH DIDAPATI DISANA ATAU DI PWTC REGISTRATION COUNTER. tq.

#Kepada Dr. Kassim, kedatangan Tuan Dr. ke PWTC bersama famili, saya anggap sebagai satu tanda sokongan. Saya secara peribadi amat berbesar hati...Jangan lupa singgah gerai SABA ISLAMIC MEDIA. buku bekas setiausaha politik Dr.M, tentang zionist pun kami ada jual.

Ayuh kesana! SOKONG ISLAM! macam-macam ada...

Brother Anwar Arabi

the indie story said...

Untuk keterangan lanjut sila layari http://sabapersonalalbum.blogspot.com/ (weblog tak rasmi)

atau boleh terus masuk ke : .IIF4ummah.com atau .IIFportal.com

Brother Anwar Arabi

the indie story said...

Syabas Dr. Kassim. Satu bentuk tulisan yang menawan keintelektualan saya. Sungguhpun secara peribadi saya tidak sehaluan dengan Dr. Kassim tentang penolakkan hadis2 bukhari, namun ini tidak pula bermakna saya menolak pemikiran bernas beliau dalam soal-soal lain.

Semoga Allah swt memberikan petunjuk kejalan yang lurus kepada Dr. Kassim dan kita semua.

Keterbukaan dan keintelektualan Dr. Kassim saya hargai walaupun saya tidak ikuti.

wallahua'lam.

*Dr Kassim kurangkan sedikit mengkritik ulama' salafus soleh yang terdahulu. Bukankah mereka juga banyak berjasa dalam pemikiran intelektualan islam?

Kassim Ahmad said...

Memang betul, Tuhan tidak "jadi". Dia senantiasa ada; tiada permulaan dan tiada kesudahan. Dia berdiri Seniri. Ini keterbatasan bahasa.
Berhung dengan mengkritik ulama, mengapa kita tidak boleh mengkritik mereka? Semua makhluk, termasuk pemimpin dan sarjana, ada kekuatan dan kelemahannya. Ciri-ciri yang bagus kita sokong; ciri-ciri yang buruk kita kritik.
Juga tidak ada kasta padri dalam Islam. Dalam masyarakat Islam sekarang, ulama sudah memainkan peranan paderi, mentafsir dan menentukan agama bagi masyarakat. Ini kita tiru dari Kristen, Yahudi dan Hindu.
Wassalam.

Anonymous said...

saya bagi contoh

Sekiranya saya percaya adanya tuhan, tetapi saya tidak menganut agama islam, adakah saya dikira tidak logik?

adakah ini bermakna saya akan mati seperti mana orang kafir yang disebut di dalam quran walau baik manapun saya?