Thursday, January 17, 2008

PERANG ARMAGEDDON –

KERUNTUHAN SISTEM LIBERAL

Oleh: Kassim Ahmad

17 Januari, 2008

Kira-kira tiga minggu lalu, saya melihat sebuah program Astro saluran “Sejarah” bertajuk “Armageddon”. Mengikut cerita, Perang Armageddon ialah peperangan “Akhir Zaman” antara kuasa-kuasa baik dan kuasa-kuasa jahat, yang akan dimenangai oleh pihak pertama dengan diikuti dengan suatu zaman Kerajaan Tuhan selama seribu Tahun. Jesus Christ, yang dianggap anak Tuhan oleh umat Kristen, dipercayai akan turun kali kedua ke dunia (The Second Coming) serta mentabirkan dunia setelah Perang Armageddon ini. Orang Islam pun, anehnya, percaya bahawa Nabi Isa akan turun semula, walaupun Quran menyatakan Nabi Isa sudah wafat and tidak akan turun semula.[i]

Apakah makna cerita ini? Bolehkah kita fahaminya secara harfiah? Nyatlah semua kitab suci, termasuk Quran, menggunakan bahasa metafora dan bahasa kiasan. [ii] Kiamat atau “Akhir Zaman” kemungkinan besar bermakna keruntuhan suatu sistem hidup global (sistem liberal Barat) yang bakal diganti oleh suatu sistem hidup baru yang lebih adil. Bahawa sistem ini sedang runtuh di depan mata kita hari ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa lagi. Kelmarin saja Citibank, sebuah bank utama di Amerika, hilang berbilion ringgit A.S. Dari mula hingga sekarang , 3 trilion telah lesap!

Kapal Titanic yang didakwa oleh tuan dan keptennya tidak boleh ditenggelamkan oleh Tuhan Sendiri sedang tenggelam! Ia sedang tenggelam sekarang. Soal yang dihadapi oleh seluruh umat manusia ialah bagaimana hendak menyelamatkan diri mereka dan tamadun dari dihapuskan? Bagaimanakah sistem ini boleh diganti dengan suatu sistem lain yang lebih baik? Siapa yang boleh dan akan melakukan pergantian ini? Dalam tempoh berapa lama proses pergantian sistem ini akan berlaku? Inilah soalan-soalan yang sedang difikirkan oleh ahli-ahli ekonomi dan ahli-ahli politik di Barat dan di Timur.

Buat beberapa lama, orang tidak mahu mengaku wujudnya krisis besar ini. Orang takut untuk menghadapi realiti. Tetapi sekarang realiti menjegil ke muka kita dan berkata, “Hadapi aku, atau kamu akan musnah!”

Dalam keadaan ini, kebanyakan manusia akan mencari seorang penolong istimewa, seorang Ratu Adil, seorang Imam Mahdi, seorang Jesus Christ. Tetapi semua nabi dan rasul dari Tuhan Yang Maha Penyanyang, Nabi-nabi Noh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad (“penutup segala nabi”) telah datang dengan ajaran-ajaran mereka dan pergi. Yang tinggal kepada kita ialah kitab-kitab suci yang mereka bawa, khasnya kitab suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad, iaitu Quran.

Kita sedang hidup dalam keadaan kelam-kabut dan kacau-bilau yang besar ini sekarang. Kata Mao Zedong, huru-hara besar di Bumi Tuhan (Great Disorder under Heaven). Di satu pihak, kaum oligarki penindas, yang diketuai A.S. dan sekutunya tetap mahu mepertahankan sistem penindasan atau hegemoni mereka terhadap seluruh dunia, yang meliputi Dunia bukan-Barat (Rusia, China dan India) dan Dunia Islam. Mereka sudah menghancurkan Iraq, satu-satu negara Islam yang boleh mencabar Israel dan pakatan A.S.-Inggeris, melalui politik klasik “pecah-dan perintah” mereka dan sekarang mereka sanggup melancarkan Perang Dunia Ketiga dengan menyerang Iran, atas alasan Iran dengan senjata nuklier merbahaya kepada dunia. Seperti di Iraq, pakatan Barat tidak akan menang, tetapi kerosakan dan huru-hara besar akan berlaku bukan saja di Asia Barat, tetapi di seluruh dunia. Kaum oligarki Inggeris-A.S. sedar mereka akan tenggelam, tetapi mereka mahu menyeret seluruh dunia tenggelam bersama mereka!

Dalam keadaan ini, tanggungjawab puak humanis (puak yang mahu menyelamatkan dunia dengan menciptakan suatu sistem dunia yang lebih baik) di dunia Barat dan di dunia bukan-Barat, termasuk dunia Islam, sangat besar. Mereka harus bergabung dan membuat suatu pakatan strategik untuk menghalang Perang Dunia Ketiga daripada berlaku, mewujudkan suatu sistem kewangan dunia yang lebih baik dan mewujudkan suatu sistem hubungan antarabangsa baru berdasarkan kerjasama dan pembangunan sebuah dunia baru berdasarkan sains dan teknologi dan berdasarkan sebuah ideologi universal yang bersifat humanis, dan bukan bersifat kolonial.

Inilah yang akan menyelamatkan manusia, dan bukan Jesus Christ yang turun kali kedua, atau Imam Mahdi. Melalui perjuangan gigih rakyat seluruh dunia yang hidup semula dengan satu semangat dan harapan baru -- inilah yang akan menyelamatkan manusia.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubunghi di kasmad172@yahoo.com/my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/




[i] “Tuhan berfirman, ‘Wahai Isa, Aku akan mewafatkan kamu dan mengangkat kamu kepada-Ku dan membebaskan kamu dari mereka yang kafir.’ ” (Quran, 3: 55). Ayat-ayat lain (21: 34-35; 19: 33, dan 5: 117) membuktikan Nabi Isa sudah wafat dan tidak akan turun kali kedua.

[ii] “Dialah yang menurunkan kepada kamu kitab suci ini, yang mengandungi ayat-ayat yang terang dengan senirinya – intipati kitab ini – dan juga ayat-ayat kiasan. Mereka yang ada keraguan dalam hatinya akan mentafsirkan ayat-ayat kiasan untuk mewujudkan kekeliruan serta memberikan makna yang tertentu. Tiada siapa mengetahui maknanya yang sebenar, kecuali Tuhan dan mereka yang mendalami ilmu.” (Quran, 3: 7)

Wednesday, January 02, 2008

PEMBUNUHAN BENAZIR BHUTTO –

PENANGAN PUAK HURU-HARA PARVES MUSHARAF PERLU DISOKONG UNTUK MEMPERTAHANKAN INTEGRITI PAKISTAN

Oleh: Kassim Ahmad

2 Januari, 2008

Mengapakah sesetengah puak, baik dari dalam atau dari luar negeri, mahukan Presiden Pakistan Parves Musharaf menyerahkan keadaan kelam-kabut yang berlaku di Pakistan sekarang kepada keadaan kelam-kabut itu sendiri? Supaya Pakistan lebih tidak stabil? Apabila sebuah kapal sedang dilambung ombak besar dan mungkin akan karam, seorang kapten yang cekap mesti diberi kerjasama dan sokongan yang kuat untuk menyelamatkan kapal itu. Demikianlah hal Pakistan sekarang.

Amerika Syarikat dan Britain mempunyai kepentingan strategik yang besar di sana berkat Perang Anti-Keganasan. Rakyat Pakistan sendiri telah berpecah kepada beberapa puak. Ramai yang mahu menjatuhkan Musharaf; ramai juga yang menyokong beliau kerana beliau telah berjaya mempertahankan integriti negara Pakistan, mewujudkan kestabilan dan membawa pembangunan kepada Pakistan. Kepulangan dua orang bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif, untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya umum yang bakal diadakan dalam bulan Januari, walaupun tidak memeranjatkan, menjadikan keadaan lebih tidak stabil .

Dalam keadaan kacau-bilau ini, pembunuhan yang telah berlaku itu boleh dijangka. Namun demikian, Musharaf bertanggungjawab atas keselamatan rakyatnya. Desakan supaya suatu pertubuhan luar melakukan penyiasatan terhadap pembunuhan ini, apalagi pertubuhan luar itu didalangi oleh A.S. dan Britain, tidak akan menyelesaikan masalah. Kerajaan Pakistan sekarang mesti diserahkan tugas itu, mengadakan pilihanraya umum yang telah dijanjikan oleh Musharaf dan mengembalikan Pakistan kepada pemerintahan sivil yang demokratik. Masuk campur kuasa atau kuasa-kuasa luar mesti ditolak.

Negara Pakistan, tidak kira politik “Anti-Keanasan” A.S., sebuah negara, di bawah Musharaf, mengamalkan dasar Islam “jalan tengah” (enlightened) di antara puak-puak Islam dari pelbagai jalur fahaman yang bertentangan. Perihal pimpinan Islam tidak dapat mendamaikan puak-puak yang bertentangan ini atas satu garis yang berwibawa menunjukkan bahawa Islam yang diprakktikkan sekarang di seluruh dunia Islam, bukan di Pakistan saja, sudah hilang kuasanya. Ini membuka jalan kepada kaum penjajah Inggeris-A.S. untuk membuat kacau-bilau dan memporak-perandakan Islam.

Nyatalah Perang Anti-Keganasan pakatan Barat sedang gagal. Nyatalah pakatan penceroboh A.S. di Iraq pun sudah gagal. Tetapi yang menyebabkan mereka panik sekarang ialah keruntuhan dolar A.S. dan sistem kewangan dan ekonomi dunia berdasarkan dolar A.S. Perangai seorang manusia yang sedang karam ialah meruntun semua orang tenggelam bersama-samanya. Persis inilah yang sedang dilakukan oleh puak fanatik sistem liberal Inggeris-Amerika.

Teori kacau-bilau (Chaos Theory) yang mereka ciptakan ialah untuk masa-masa seperti ini. Mengapa mereka enggan membuat pengubah-suaian dari sistem pasaran bebas yang tidak bebas kepada sistem pasaran yang adil? Ahli ekonomi Amerika, Lyndon H. LaRouche, yang mengepalai suatu kumpulan politik-falsafah humanis-Kristen di A.S. dan Eropah selama tiga puluh tahun, bergiat untuk membawa balik ke A.S. apa yang mereka panggil “Sistem Amerika” lawan “Sistem Inggeris-Belanda” yang boleh membawa bukan saja pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh sains dan teknologi, tetapi juga keadilan ekonomi kepada rakyat A.S. dan kepada dunia. Beliau elah meramalkan keruntuhan sistem ini sejak satu dekad lalu. Hari ini semua ahli ekonomi yang berwibawa, termasuk bekas Pengerusi Reserve Persekutuan Amerika, Allen Greenspan, mengakui keruntuhan ini tidak boleh dielak sekarang.

Sama ada pergantian dari suatu sistem yang sudah mati kepada suatu sistem baru yang lebih adil akan dapat diuruskan oleh satu gabungan negara-negara di luar blok Inggeris-Amerika, iaitu Rusia, China, India dan lain-lain hanya masa akan menentukan. LaRouche mahu A.S. “yang sudah berubah” menyertai gabungan ini. Tetapi suatu puak fanatik dalam sistem liberal Inggeris-Belanda ini lebih suka melihat kacau-bilau besar berlaku dan tamadun moden runtuh daripada menyelamatkannya.

Inilah makna pembunuhan Benazir Bhutto.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/