PEMBUNUHAN BENAZIR BHUTTO –
PENANGAN PUAK HURU-HARA PARVES MUSHARAF PERLU DISOKONG UNTUK MEMPERTAHANKAN INTEGRITI PAKISTAN
Oleh: Kassim Ahmad
2 Januari, 2008
Mengapakah sesetengah puak, baik dari dalam atau dari luar negeri, mahukan Presiden Pakistan Parves Musharaf menyerahkan keadaan kelam-kabut yang berlaku di Pakistan sekarang kepada keadaan kelam-kabut itu sendiri? Supaya Pakistan lebih tidak stabil? Apabila sebuah kapal sedang dilambung ombak besar dan mungkin akan karam, seorang kapten yang cekap mesti diberi kerjasama dan sokongan yang kuat untuk menyelamatkan kapal itu. Demikianlah hal Pakistan sekarang.
Amerika Syarikat dan Britain mempunyai kepentingan strategik yang besar di sana berkat Perang Anti-Keganasan. Rakyat Pakistan sendiri telah berpecah kepada beberapa puak. Ramai yang mahu menjatuhkan Musharaf; ramai juga yang menyokong beliau kerana beliau telah berjaya mempertahankan integriti negara Pakistan, mewujudkan kestabilan dan membawa pembangunan kepada Pakistan. Kepulangan dua orang bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif, untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya umum yang bakal diadakan dalam bulan Januari, walaupun tidak memeranjatkan, menjadikan keadaan lebih tidak stabil .
Dalam keadaan kacau-bilau ini, pembunuhan yang telah berlaku itu boleh dijangka. Namun demikian, Musharaf bertanggungjawab atas keselamatan rakyatnya. Desakan supaya suatu pertubuhan luar melakukan penyiasatan terhadap pembunuhan ini, apalagi pertubuhan luar itu didalangi oleh A.S. dan Britain, tidak akan menyelesaikan masalah. Kerajaan Pakistan sekarang mesti diserahkan tugas itu, mengadakan pilihanraya umum yang telah dijanjikan oleh Musharaf dan mengembalikan Pakistan kepada pemerintahan sivil yang demokratik. Masuk campur kuasa atau kuasa-kuasa luar mesti ditolak.
Negara Pakistan, tidak kira politik “Anti-Keanasan” A.S., sebuah negara, di bawah Musharaf, mengamalkan dasar Islam “jalan tengah” (enlightened) di antara puak-puak Islam dari pelbagai jalur fahaman yang bertentangan. Perihal pimpinan Islam tidak dapat mendamaikan puak-puak yang bertentangan ini atas satu garis yang berwibawa menunjukkan bahawa Islam yang diprakktikkan sekarang di seluruh dunia Islam, bukan di Pakistan saja, sudah hilang kuasanya. Ini membuka jalan kepada kaum penjajah Inggeris-A.S. untuk membuat kacau-bilau dan memporak-perandakan Islam.
Nyatalah Perang Anti-Keganasan pakatan Barat sedang gagal. Nyatalah pakatan penceroboh A.S. di Iraq pun sudah gagal. Tetapi yang menyebabkan mereka panik sekarang ialah keruntuhan dolar A.S. dan sistem kewangan dan ekonomi dunia berdasarkan dolar A.S. Perangai seorang manusia yang sedang karam ialah meruntun semua orang tenggelam bersama-samanya. Persis inilah yang sedang dilakukan oleh puak fanatik sistem liberal Inggeris-Amerika.
Teori kacau-bilau (Chaos Theory) yang mereka ciptakan ialah untuk masa-masa seperti ini. Mengapa mereka enggan membuat pengubah-suaian dari sistem pasaran bebas yang tidak bebas kepada sistem pasaran yang adil? Ahli ekonomi Amerika, Lyndon H. LaRouche, yang mengepalai suatu kumpulan politik-falsafah humanis-Kristen di A.S. dan Eropah selama tiga puluh tahun, bergiat untuk membawa balik ke A.S. apa yang mereka panggil “Sistem Amerika” lawan “Sistem Inggeris-Belanda” yang boleh membawa bukan saja pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh sains dan teknologi, tetapi juga keadilan ekonomi kepada rakyat A.S. dan kepada dunia. Beliau elah meramalkan keruntuhan sistem ini sejak satu dekad lalu. Hari ini semua ahli ekonomi yang berwibawa, termasuk bekas Pengerusi Reserve Persekutuan Amerika, Allen Greenspan, mengakui keruntuhan ini tidak boleh dielak sekarang.
Sama ada pergantian dari suatu sistem yang sudah mati kepada suatu sistem baru yang lebih adil akan dapat diuruskan oleh satu gabungan negara-negara di luar blok Inggeris-Amerika, iaitu Rusia, China, India dan lain-lain hanya masa akan menentukan. LaRouche mahu A.S. “yang sudah berubah” menyertai gabungan ini. Tetapi suatu puak fanatik dalam sistem liberal Inggeris-Belanda ini lebih suka melihat kacau-bilau besar berlaku dan tamadun moden runtuh daripada menyelamatkannya.
Inilah makna pembunuhan Benazir Bhutto.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/
11 comments:
Apakah pandangan DR. Kassim terhadap amalan ibadah umat islam di MALAYSIA.
Saya perlukan jawapan intelek daripada DR. jikalau tidak menyusahkan.
Sekadar pertanyaan ikhlas.
Rukun Islam yang lima merujuk kepada ibadah. Rukun pertama mengucap dua kalimah syahadah itu sudah silap. Yang betul berdasarkan ayat 3:19 "Saya naik saksi tiada tuhan melainkan Allah."
Yang lain sembahyang sehari semalam lima waktu diterima. Berpuasa dalam bulan Ramadan diterima. Naik haji sekali seumur hidup, jika mampu dari segi kewangan dan kesihatan.
Ibadah ini semua mestilah dilakukan dengan ikhlas kepada Tuhan Yang Esa.
Lihat risalah saya "Dilema Umat Islam -- Antara Hadis dan Quran"
Terima Kasih Dr. Kassim semoga terus diberi kesihatan yang baik oleh Allah swt.
Tanpa melihat risalah tersebut terlebih dahulu, saya ingin lanjutkan pertanyaan. "Apakah menjadi satu kesalahan jikalau umat islam menyambung perkataan "Muhammad Rasulullah" dibelakang kalimah syahadah. Semua ulama' tabiin, para tabi' tabiin juga menyebut begitu. Apakah Dr. ingin mengatakan bahawa semua ulama tersebut sudah tersalah, dan DR. sahaja dipihak yang paling benar.Sedangkan Dr. bukan ulama'?
Maaf jika pertanyaan saya ini jika menyinggung perasaan Dr. Kassim yang saya hormati. Namun saya benar-benar ingin mengerti. Dan saya harap Dr. mempunayi jawapan yang agak logik boleh diterima.
terima kasih.
Jawapan saya bukan fikiran saya, tetapi jawapan dalam Quran. Jika kita sebut nama Nabi Muhammad, bagaimana nabi-nabi sebelum Muhammad, seperti Ibrahim, Musa dan Isa, bersyahadah?
Walaupun kita menghormati para sarjana, tiada sarjana yang sunyi dari kesilapan. Kaum Muktazilah (kaun rasionalis)yang awal pegangan mereka demikianlah. Tetapi mereka sudah ditekan. Harus kita sedar bahawa kebenaran keprapkali di pihak minoriti.
Saya seringkali tertarik untuk terjebak sama dalam perbincangan antara Dr. Kassim Ahmad dengan pihak-pihak yang ragu dengan pendiriannya. Terasa bagaikan desakan untuk mengganggu perbincangan beliau ini sukar dielakkan. Dan desakan seperti inilah yang membawa kepada terhasilnya dua buah tulisan saya yang pernah disiarkan dalam majalah AL-ISLAM dua tahun yang lalu.
Rukun Islam seharusnya tidak ditentukan oleh para sarjana. Kerana rukun Islam itu adalah ketentuan Tuhan. Tanggungjawab para sarjana muslim tidak lebih daripada menyenaraikan isi kandungannya beserta dengan kupasan yang rasional dan saintifik. Bukannya menokok tambah terhadap ajaran Tuhan tentang rukun Islam. Segala makhluk tidak berhak mengubahsuai ajaran Islam, kerana Islam itu agama Tuhan.
Bahawasanya agama di sisi Allah ialah Islam (Q3:19)
Tetapi kenyataan ini tidak harus disalahtafsirkan sebagai “Islam adalah agama yang jumud (tidak fleksibel)”. Bahkan Islam adalah agama yang praktikal di segenap ruang-masa. Manusia selaku ‘khalifah’ seharusnya menyesuaikan pelaksanaan ajaran Islam di sepanjang paksi ruang dan masa, tetapi pada masa yang sama tidak berhak untuk mengubahsuai prinsip-prinsip Tuhan yang terkandung dalam Al-Quran. Ini adalah berdasarkan prinsip
Mengenalpasti prinsip dan kaedah, lalu mengutamakan prinsip berbanding kaedah **
Berbeza dengan kaedah, prinsip kekal tidak berubah. Sebagai contoh, pemerintahan dalam sesebuah negara harus dijalankan dengan adil - dengan apa jua cara yang benar dan di atas dasar kerahiman. Dengan peredaran zaman dan di segenap pelusuk dunia, keadilan dalam pemerintahan tidak boleh diabaikan, meskipun cara untuk sesebuah kerajaan menegakkan keadilan itu berbeza-beza. Ini kerana ‘keadilan’ itu prinsip, ‘cara menegakkan keadilan itu’ kaedah.
Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam pada hari ini benar-benar dahsyat. Berpandukan kepada ajaran kasta ulama, prinsip Al-Quran Mengenalpasti prinsip dan kaedah, lalu mengutamakan prinsip berbanding kaedah dilanggar oleh ramai individu muslim! Salah satu daripada pelanggaran ini ialah dalam soal kalimah syahadah.
Penyaksian ‘tiada Tuhan melainkan Allah’ adalah suatu prinsip. Oleh kerana itu, ia tidak boleh diubahsuai – berbeza dengan kaedah untuk menegakkan sesuatu prinsip berdasarkan keadaan. Sedihnya, penyaksian ini telah diubahsuai.
Ini baru tentang kesalahan sikap ambil mudah kita terhadap prinsip Al-Quran, sehingga gagal membezakannya dengan jelas berbanding kaedah menegakkan prinsip, belum lagi tentang kesalahan kita bertengkar tentang kaedah tanpa mengutamakan prinsip. Dan ini baru tentang rukun Islam yang diubahsuai, belum lagi tentang rukun Iman yang menghadapi nasib yang sama. Kita telah jauh tersesat!...
** Q22:67, Q2:67-71
Saya secara peribadi mengharapkan Dr. Kassim yang dikasihi akan terus berjuang secara intelek.
Biarpun saya mengkagumi Dr. Kassim, namun ada beberapa perkara saya kurang bersetuju dengan Dr.
Sikap saya jelas. Saya menerima kepelbagaiaan pendapat dengan hati dan pemikiran yang terbuka.
Dr Kassim mengemukakan pertanyaan "bagaimana nabi-nabi sebelum Muhammad, seperti Ibrahim, Musa dan Isa, bersyahadah?"
Jawapan saya " tiada tuhan melainkan ALLAH..." Cuma mungkin Dr. Kassim seakan terlupa bahawa Muhammad saw. itu penutup segala Rasul dan Nabi. Dan Dengan Wahyu terakhir AL Qur'an diturunkan maka lengkaplah agama untuk umat manusia. Islam agam yang diredhai.
Ini menunjukkan bahawa...perkataan "Muhammad Rasullah..." itu pelengkapnya. Apakah berdosa besar menyebut perkataan ini? Kenapa kita sebagai umat islam harus bertelagah tentang perkataan "Muhammad Rasulullah"? Sedangkan pada masa ini umat islam sudah cukup berpecah dengan pelbagai Mazhab dan Politik?
Saya juga ingin tahu, apakah buktinya kaum Muktazilah ditekan? Mengikut pengamatan saya bahawa Imam-Imama 4 Mazhab lah yang sebenarnya ditekan dan ditindas. Malah ada diantaranya dipenjarakan dengan zalim.
Memang benar kebenaran kerapkali berada dipihak minoriti. Akan tetapi pada zaman ini, ia tidak boleh dijadikan hujah? Apakah Dr. Kassim cuba mengatakan bahawa majoriti akhirnya berakhir dalam kesesatan dan masuk neraka?
Mungkin Dr. Kassim sedikit keliru, mungkin majoriti dikalangan umat manusia...bukan ia bermaksud majoriti dikalangan umat islam.
banyak pengikut tarekat...minoriti...tapi ada yang sesat juga (bukan semua). Al ArQam juga minoriti...sesat juga. Ayah Pin juga sama.
Nabi saw. mungkin bermula dengan minoriti...tetapi berakhir dengan majoriti....
Moga kita saling berhujah secara rasional. Terima Kasih Dr. Kassim. Semoga kita sama-sama mendapat petunjuk kejalan yang lurus.
Wallahualam.
Sdr Moderator Yth.,
Nabi dan rasul ada banyak. Banyak yang tidak disebut namanya dalam Quran. Tuhan melarang kita membezakan di antara rasul-rasulnya. Mengapa kita harus melanggar perintah Tuhan serta meletakkan nama Nabi Muhammad selepas syahadah pertama itu? Tentu orang-orang Yahudi, Kristen dan lain-lain memandang serong kepada kita kerana tidak mengiktiraf tokoh-tokoh agama mereka.
Kedua, Nabi Muhammad penutup segala nabi, bukan penutup segala rasul.
Ketiga, kaum Muktazilah memang ditekan, melalui "ijmak". Ini fakta sejarah.
Keempat, memang Quran menyatakan kebanyakan manusia tidak beriman. Di antara yang beriman pun, kebanyakan menyengutukan Tuhan. Kebanyakan bererti 51% ke atas.
Kelima, memang Tuhan menyuruh kita mendengar semua pendapat dan mengambil yang paling baik.
Keenam, acuan syahadah terdapat dalam Quran (Surah 3: Ayat 18).
Ketujuh, kebanyakan kita tidak sedar bagaimana "public opinion" menentukan cara hidup kita. Tidak ada kasta ulama dalam Islam. Ini kita tiru dari Yahudi, Kristen dan Hindu.
Kelapan, fahaman tauhid saja yang boleh beri kepada kita kejayaan dalam kehidupan kita, dunia dan akhirat. Ketiadaan fahaman ini kita akan hilang kedua-duanya.
Wassalam.
Assalamualaikum DR. Kassim,
Dr. pernah memberitahu saya akan melancarkan memoir peribadi pada hujung bulan Januari di KL nanti. Boleh saya tahu diamakah lokasi buku tersebut akan dilancarkan? Saya ingin membeli buku dan mendapat autograf Dr. sendiri. Berapakah harga buku itu nanti? Saya tidak sabar untuk menghadiri majlis pelancaran buku tersebut.
Dan jika tidak menyusahkan, bolehlah kiranya jika Dr. Kassim membawa juga buku Universiti Kedua dan Hadis satu penilaiaan semula sekiranya masih terdapat lebih dalam simpanan peribadi kerana saya belum dapat memilikinya. Kali terakhir saya pinjam dari sebuah perpustakaan ialah UNiversiti Kedua. Saya teringin juga membaca buku tersebut. Saya tidak mahu dengar dari hanya sebelah pihak yang melontarkan tuduhan terhadap Dr.
Oh Ya saya juga ingin menyatakan pendapat saya :
1. Mengapakah kita perlu risau dengan pandangan serong orang kristian dan yahudi sedangkan didalam Al Qur'an sendiri ada menyatakan bahawa penganut Kristian dan Yahudi tidak akan selamanya berpuas hait sehinggalah umat islam murtad dengan mengikut agama mereka? Mengapa perlu risau pandangan orang yang memushi Allah dan Rasul? Sepatutnya kita lebih risaukan pandangan umat islam sendiri. BUkan sepatutnya begitu?
2. Dr. Kassim ada menyatakan bahawa "Nabi Muhammad penutup segala nabi, bukan penutup segala rasul". JIka tidak menjadi keberatan Dr...bolehkah diberi penjelasan dengan lebih terang dan jelas. Saya sedikit tertanya apakah perbezaan diantara keduanya. Apakah masih lagi terdapat Rasul dizaman ini?
Terima kasih, wassalam. Selamat Pagi.
Sdr yang budiman,
Saya sendiri belum tahu tarikh pelancarannya, kerana sedang diuruskan oleh penerbit. Jadualnya hujung bulan Januari di DBP. Dijadualkan Tun Dr. Mahathir melancarkannya.
Buku-buku HSPS dan "Universiti Kedua" tiada lagi pada saya, kecuali naskah saya.
Makna "nabi" ialah seorang yang menerima kitab dari Tuhan, sedangkan "rasul" orang yang menyampaikan risalah itu. Muhamad nabi lagi rasul, seperti Musa dan Isa juga. Selepas Nabi Muhammad tiada lagi nabi, kerana manusia sudan memasuki suatu zaman sains dan teknologi yang dilancarkan oleh Quran.
Kita tidak risau tentang apa kata orang lain. Tetapi kita tentu kena risau kerana kita melanggar perintah Tuhan!
Bukan semua kumpulan Kristen dan Yahudi memusuhi Islam.
Wassalam.
Assalamualaikum Dr. Kassim,
Selamat Menyambut Maal Hijrah. Semoga tahun baru ini akan turut memberi kita kekuatan untuk semakin dekat memperjaungakan agama ALLAH swt.
Saya ingin membuat sedikit pertanyaan lagi. Apakah pandagan Dr. kassim tentang aliran yang cuba dibawa oleh Mufti Perlis Dr. Asri? Apakah Dr. bersetuju dengan beliau atau tidak bersetuju dengan pemikiran dan cara beliau?
terima kasih.
Pada dasarnya, saya setuju. Beliau mengambil pendekatan yang rasional. Namun demikian, penggunaan hadis yang banyak mengelirukan pembaca dan meninggalkan kesan bahawa hadis sama penting dengan Quran. Ini tidak betul. Quran nombor wahid. Tiada yang sama dengan Quran.
Post a Comment