Saturday, December 29, 2007

KEKACAUAN BESAR DALAM DARUL-ISLAM

Oleh: Kassim Ahmad

29 Disember, 2008

Jangan bermula dengan pembunuhan Benazir Bhutto di Islamabad semalam. Atau dengan pencerobohan terhadap Iraq oleh Pakatan Barat pimpinan Bush. Atau dengan Perang Anti-Keganasan yang dimulakan oleh Bush selepas “peristiwa 9/11” di Afghanistan. Pergi kepada komplot kaum penjajah Barat dalam Perang Dunia Pertama dengan pemecahan Empayar Uthmaniah dan penciptaan negara-negara boneka Arab, termasuk Arab Saudi, Kuwait, Mesir dan Jordan. Ingatkan komplot Inggeris-Amerika mencipta negara Israel sebagai benteng kuasa Barat di rantau strategik Asia Barat. Kita boleh pergi jauh lagi dalam sejarah, kepada lapan Perang Sabil dalam abad-abad ke-11 hingga 13, atau kepada permusuhan tradisional kaum Yahudi-Kristen terhadap kebangkitan Nabi Muhammad.

Tetapi hanya selepas pemecahan Empayar Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama kuasa penjajahan Barat dapat mengatasi Dunia Islam. Dari titik itu, mereka tidak takut dan tiada hormat lagi kepada kuasa Islam. Islam sudah jatuh, dijatuhkan oleh orang Islam sendiri, berpunca dari penyelewengan mereka dari ajaran Tuhan yang sebenar kepada mereka dalam Quran.

Quran melarang mereka dari menyengutukan Dia dengan sesiapa pun, tetapi mereka telah mendewa-dewakan Nabi Muhammad dan kasta ulama sebagai dua autoriti lain (melalui gagasan-gagasan perundangan Hadis/Sunnah dan Ijmak ulama), di samping Allah. Quran melarang mereka membuat puak dalam agama, tetapi, selepas 250 tahun Nabi Muhammad wafat, mereka berpecah kepada dua puak besar, Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan Syiah dengan berpuluh-puluh pecahan lain lagi. Quran mengishtiharkan persaudaran orang Islam, tetapi mereka berperang dan membunuh satu sama lain, bermula dari Perang Unta dan Perang Siffin dalam zaman khalifah-khalifah Uthman dan Ali. Ingatkan Perang Iran-Iraq (1981-88) yang dihasut oleh Inggeris-Amerika-Zionis dengan Iran memasuki perangkap mereka. Tuhan menyuruh mereka memerintahn dengan adil dan melarang riba, pembaziran dan rasuah, tetapi di kebanyakan negara Islam dosa-dosa ini dilakukan dengan berleluasa.Tuhan memerintah kita membaca Quran untuk difaham dan diikut, tetapi ulama mengajar mereka melagukan Quran untuk mendapat pahala, tidak kira faham atau tidak! Tuhan mengisytiharkan kebebasan total dalam agama, tetapi, mereka, mengiku hadis yang palsu, mahu membunuh orang yang keluar dari Islam! Quran tidak memisahkan ilmu dunia dari ilmu agama, tetapi ulama mereka berbuat demikian dengan meminggirkan ilmu dunia. Tuhan menyuruh mereka memberi salam kepada semua orang, sama ada muslim atau bukan, tetapi ulama mereka melarang mereka berbuat demikian!

Senarai penyelewengan mereka terlalu panjang, dari penyelewengan yang terbesar. Kita hendak persalahkan siapa kalau kekacauan besar telah menimpa kita?

Musuh umat Islam ialah umat Islam sendiri. Kuasa Yahudi-Kristen Barat tidak akan berjaya, kecuali kerana penyelewengan-penyelewengan umat Islam sendiri dari ajaran-ajaran Tuhan kepada mereka.

Pakistan, barang diingat, lahir dari cita-cita untuk menubuhkan sebuah komuniti Islam di benua India, walaupun Quran tidak memerintahkan mereka berbuat demikian. Tuhan hanya menghendaki kita memerintah dengan adil, berdasarkan undang-undang yang adil dan berdasarkan muafakat dan musyawarah. Adakah ini susah hendak kita ikut? Tentu tidak! Jadi, apakah yang menghalang kita berbuat demikian? Tidak yakin kepada diri sendiri? Takut kepada orang lain? Apakah kita tidak takut kepada Tuhan?

Kita di Malaysia jangan fikir huru-hara besar ini tidak boleh berlaku di negara kita. Apa yang berlaku dan akan berlaku ialah akibat dari perbuatan kita sendiri. Perbuatan kita terbit dari fikiran kita. Apakah bezanya antara orang Islam di Pakistan dengan orang Islam di Malaysia dari segi fikirannya? Dulu ia berlaku di Palestin. Dulu ia berlaku di Afghanistan. Dulu ia berlaku di Iraq. Sekarang ia berlaku di Pakistan. Apa yang akan mengahalang ia berlaku di negara kita esok atau lusa?

Kita mesti menghalang musibah besar ini dari berlaku di negara kita. Bolehkah kita berbuat demikian? Tidak ada sebab kita tidak boleh buat, jika kita mahu. Kata pepatah, hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih. Kita kena jujur. Kita kena berani. Kita kena bertindak berdasarkan prinsip. Kita kena elak tindakan berdasarkan oporcunisme atau geopolitik. Tuhan akan bersama kita jika kita bertindak demikian, dan kita pasti berjaya. Oleh itu, kita cadangkan supaya pemimpin dan cerdik-pandai kita yang prihatin dan patriotik mengadakan perbincangang-perbincangan, tertutup kalau perlu, untuk mengkaji masalah-masalah kita dan masalah-masalah umat Islam supaya kita boleh keluar dengan seberapa segera dari kekacauan besar ini.

Sudah sampai masanya kita tidak bergantung kepada Barat. Sistem liberal Barat sendiri sedang runtuh. Kita perlu keluar dari kapal Titanic Amerika-Inggeris yang sedang tenggelam. Negara-negara di luar blok Barat, seperti Rusia, China, India dan sesetengah negara Amerika Latin juga sedang mencari jalan keluar dari keruntuhan besar ini. Kita perlu bergabung dengan mereka. Di Amerika dan Eropah sendiri terdapat kumpulan-kumpulan humanis dan demokratik, berbeza dengan puak fasis neokon George W. Bush, yang akan menyambut baik inisiatif seperti ini. Kita umat Islam bertuah kerana kita masih mempunyai kitab suci yang bebas dari korupsi manusia, iaitu Quran yang agung. Carilah dengan jujur jalan keluar kita dari mala-petaka besar ini dari kitab suci ini.

Kassim Ahmad seorang pengarang Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

2 comments:

Anonymous said...

Masa semakin suntuk bagi kita umat Islam. Suntuk kerana walaupun umat Islam - sebagaimana umat-umat yang lain juga - sentiasa diberi peluang untuk menjalankan tugas kekhalifahan sejujurnya, namun peluang itu disia-siakan untuk sekian lamanya, ratusan tahun, bahkan seribu tahun sudah berlalu.

Mungkin kiamat akan berlaku beratus-ratus tahun dari sekarang, mungkin juga ribuan, bahkan jutaan tahun lagi. Boleh jadi umur dunia ini masih terlalu panjang, walaupun sudah terlalu tua. Tetapi umur kita sampai ke mana? 60 tahun, 70 tahun, atau 100 tahun?.. Akhirnya kita kembali kepada Dia yang melantik kita sebagai khalifahNya...

Kepada siapa kita hendak tinggalkan dunia yang sudah dan semakin huru-hara dan rosak ini - dunia yang sudah dicabul haknya untuk diperintah dan ditakluk dengan benar, adil dan kasih sayang, sesuai dengan peraturan dan undang-undang alam. Tentulah kepada anak-anak cucu dan cicit serta keturunan kita sepanjang zaman.

Jika fitrah alam itu patah tumbuh hilang berganti, maka rosaknya pasti boleh diperbaiki. Walaupun masa kita semakin suntuk, tapi masih belum terlambat. Nasi belum menjadi bubur. Masih ada harapan untuk umat Islam memperbetulkan keadaan dan nasib mereka sendiri selagi hayat dikandung badan, kemudian memperbaiki dunia yang sedang rosak akibat tangan-tangan manusia.

Dalam konteks negara kita Malaysia, yang nasibnya berada di hujung tanduk, setiap warganya harus berperanan dalam menyumbang ke arah negara yang baik dalam segenap segi (baldatun thoyyibah) – pendidikan, politik, budaya, ekonomi dan lain-lain. Jangan kata negara kita stabil hanya berdasarkan fakta-fakta nombor di bursa saham. Ekonomi semata-mata tidak dapat menjamin keamanan dan ketenteraman negara di masa-masa yang mendatang.

Mungkin kasta ulama bukan sebab pertama yang menyumbang ke arah kekacauan di Malaysia suatu hari nanti (jika tidak dibendung dari sekarang). Punca utama ialah setiap individu muslim itu sendiri, yang sanggup membiarkan pemikiran mereka dicorak oleh orang lain, sebaliknya membelakangkan ajaran Al-Quran, ajaran dari Tuhan. Daripada pemikiran, lahirlah ucapan dan perbuatan. Umumnya, daripada perbuatan umat Islam inilah nampaknya lahir segala macam kekacauan di ‘darul Islam’. Kekacauan ini boleh datang secara langsung dari kalangan mereka sendiri, dan boleh juga secara tidak langsung – melalui percaturan puak Inggeris-Amerika-Yahudi yang bukan humanis dan demokratik (rata-rata individu muslim pada hari ini, hidup sebagai buah-buah catur puak fasis neokon, di segenap peringkat – daripada sekecil-kecil pawn kepada sebesar-besar King).

Namun, oleh kerana pengaruh kasta ulama begitu lama menjiwai manusia yang asalnya dilahirkan merdeka, nampaknya untuk memperbetulkan keadaan, perlu ada segolongan umat Islam yang senantiasa bekerja keras menyeru ke arah kebebasan berfikir, keberanian menyatakan fikiran sendiri serta keterbukaan dalam mendengar apa jua pendapat, lalu memilih pendapat yang terbaik. Iaitu golongan yang menyeru ke arah kebaikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar dengan rasa kasih terhadap sesama agama, juga sesama manusia yang lain.

Jika puak-puak terbesar umat Islam adalah Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan Syiah, puak yang kecil seumpama Muktazilah tidak harus dilupakan kewujudannya. Harus diingat bahawa Muktazilah bukan suatu puak yang memulaukan puak-puak lain. Malangnya, merekalah yang dipulaukan oleh kasta ulama kerana bersikap rasional dan memilih pendekatan saintifik dalam urusan dunia mahupun akhirat. Bahkan label ‘Muktazilah’ itu diberikan oleh orang lain [1].

Maka saya berpendapat, umat Islam yang pada dasarnya sanggup menghayati perjuangan ‘Muktazilah’ dalam kehidupan hari ini, mampu menewaskan pengaruh kasta ulama – suatu kasta yang telah berjaya menewaskan Wasil bin Atha’a dan pengikut-pengikutnya hingga ke hari ini. Inilah golongan yang dapat menghentikan kekacauan dalam ‘darul Islam' - golongan yang dinyatakan dalam perenggan ke-tujuh.


[1] I’atazala Washil ‘anna adalah kata-kata Imam Hasan Al-Basri selepas perdebatannya dengan muridnya Wasil bin Atha’a tentang suatu persoalan agama gagal mencapai persefahaman. Dari kata-kata inilah Muktazilah mendapat gelaran.

Kassim Ahmad said...

Terima kasih kerana komen Sdr.
Kaum rasionalis moden tidak ada jalan lain, kecuali menyeru umat Islam kembali kepada Quran, yang ditafsirkan sacara saintifik, untuk menebus balik maruah ummah.
Ambil kes perbalahan kita dengan kumpulan-kumpulan agama lain tentang penggunaan perkataan "Allah". Apakah logiknya kita berebut perkataan "Allah"? Adakah ia menununjukkan kita di jalan yang benar? Tidak! Kerana kita sudah meninggalkan ajaran Tuhan yang sebenar. Kita tidak tahu hendak membezakan antara isi dengan bentuk. "Allah" sama erti dengan Tuhan. Jadi, kita hanya membuang masa dalam kerja sesia, dan di samping itu, membuat orang lain marah kepada kita!