Tuesday, December 11, 2007

PERKARA HINDRAFT: SELESAIKAN DENGAN

BIJAKSANA

Oleh: Kassim Ahmad

11 Disember, 2007

Api bila kecil jadi kawan; bila besar jadi lawan. – Pepatah Melayu.

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang? – Pepatah Melayu.

Mahukah negara kita bemandi darah sekali lagi? Tentu tidak!

Jadi, perkara yang ditimbulkan oleh Hindraft mestilah diselesaikan dengan baik dan bijaksana seberapa segera. Tuduhan oleh pihak Hindraft dan lawan tuduhan oleh pihak lain tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan. Tidak syak lagi, MIC memikul tanggungjawab besar dalam hal masyarakat India di negara kita. Tetapi parti-parti lain dalam Kerajaan, khasnya UMNO, tidak boleh lari dari tanggungjawab juga, kerana kebajikan rakyat kita, baik dari kaum nama pun, mesti diberi perhatian berat oleh Kerajaan dan parti untama dalam Kerajaan.

Katanya, sebuah Jawatankuasa Khas untuk perkara ini memang sudah ada dan Perdana Menteri sudah pun mengarahkan Ketua MIC mengendalikan perkara ini dengan segera. Walaupun wakil Hindraft enggan bertemu dengan Dato’Samy Vellu, kita harap beliau telah bertindak dan mememnggil ketua-ketua masyarakat India yang bukan dari MIC duduk dalam Jawatankuasa Khas ini dan mendengar dan mengkaji dengan serius dan teliti sungutan-sungutan yang dikemukan oleh Hindraft. Tidak perlulah kita ungkit siapa Hindraft dan mereka tidak mewakili masyarakat India di Malaysia. Yang kita ingin tahu dan selesaikan ialah masalah-masalah masyarakat India yang benar dan sah. Tidak perlu juga kita ungkit bahawa mereka telah berarak secara haram. Tiga puluh ribu orang, mungkin lebih, telah berdemonstrasi: tentu mereka ada masalah – siasat dan selesaikan!

Khalifah Abu Bakar, pemerintah Islam selepas Nabi Muhammad wafat, pada permulaan pemerintahannya, berkata: “Saya bukanlah yang paling baik di antara kamu. Jika saya betul, sokonglah saya. Jika saya salah, tegurlah saya.” Umar Ibni Khattab, khalifah yang kedua, menyiasat keadaan rakyatnya di kampung-kampung pada malam hari. Apabila beliau melihat ada rakyatnya yang tiada makan, beliau sendiri pergi mengambil makanan, lalu dibawa sendiri ke rumah yang malang itu. Beliau tidak bertanya: mengapa awak tidak bekerja? Inilah contoh-contoh pemerintahan yang baik dari sejarah kita yang silam. Ambillah contoh-contoh ini.

Saya harap Perdana Menteri kita sendiri akan menyiasat sungutan-sungutan Hindraft ini tanpa bergantung kepada pegawai-pegawainya. Jika pegawai-pegawainya telah membuat kerja mereka dengan baik selama ini, perkara ini tidak akan timbul.

Kita diperintah oleh agama kita supaya memerintah dengan adil. Jangan kerana marah kita gagal melakukan keadilan yang dituntut itu. Isu-isu lain tidak penting; yang penting sungutan mereka yang benar dan sah. Mungkin 75% peratus daripada tuntutan mereka tidak benar dan tidak sah, tetapi 25% yang benar dan sah mesti ditangani segera.

Saya orang Melayu. Saya sayang kepada orang Melayu. Tetapi saya tidak boleh sokong orang Melayu yang bersikap fanatik dan perkauman, kerana kita semuanya anak-cucu Adam, makhluk Tuhan yang Tuhan muliakan, sama ada kita Melayu, Cina atau India atau suku-kaum lain. Sebagai makluk Tuhan, kita layak dihormati. Kita pula rakyat Malaysia yang sedang membangunkan negara kita supaya maju dan dihormati di seluruh dunia.

Saya ingin merayu kepada saudara-saudara saya orang Melayu dan kepada pemimpin-pemimpin Melayu memegang teguh kepada janji kita menerima kehadiran rakyat kita dari kaum India dan kaum-kaum lain yang telah menjadikan Malaysia tanahair mereka. Saya juga merayu kepada saudara-saudara saya dari suku-kaum lain supaya mengikat persaudaraan yang teguh dan bekerjasama dengan orang Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu untuk menjadikan negara kita, seperti kata Perdana Menteri kita, “cemerlang, gemilang dan terbilang”.

Akhirnya, saya ingin merayu kepada Perdana Menteri kita supaya segera menangani masalah Hindraft ini dengan baik dan bijaksana. Kerajaan ada hak untuk melarang perhimpunan-perhimpunan yang tidak mendapat permit polis, tetapi Kerajaan juga ada tanggunjawab untuk mendengar dan menyelsaikan sungutan-sungutan rakyat bawahan yang sah. Kalau perlu, yakni kalau Dato’ Samy Vellu gagal menyelesaikan masalah ini dengan segera, beliau sendiri patut menemui wakil-wakil Hindraft. Berlembut tidak bermakna takut. Kebijaksanaan dan penyelesaian masalah Hindraft itu penting.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Lama web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

4 comments:

the indie story said...

Hai dr. Kassim, lama tidak menulis? Kenapa ya? Selalu juga saya masuk blog dr., namun selalu juga hampa. Saya harap dr. kassim akan selalu update dengan tulisan terkini.

Sekali sekala masuklah blog saya. Assalamualaikum.

Kassim Ahmad said...

Kira-kira selama tiga bulan saya sibuk menyudahkan memoir saya yang akan terbit insya Allah awal Februari, 2008. Dari sekarang, saya akan menulis kembali.

the indie story said...

Saya memang tidak sabar ingin memiliki buku memoir pejuang intelek seperti Dr. Kassim. Walaupun saya tidak menerima semua pandangan Dr. Kassim secara total, akan tetapi saya bersikap terbuka menerima kepelbagaian pendapat.

Saya pernah membaca Universiti Kedua...dari situ saya mula mengenal serba sedikit tentang Dr.

Boleh saya tahu dimana nanti boleh saya miliki buku memoir DR.?

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat Dr. Kassim sekeluarga...

Dr. Kassim, Prof Syed Hussien Al Attas, Tun Mahathir, Dato' Kadir Jasin, Prof Ungku Aziz...jikalau kalian pergi nanti, dimanakan ku cari ganti??? (kecuali Prof. Syed Hussien yang telah pun kembali kerahmatullah...)

Kassim Ahmad said...

Memoir saya dijangka dilancarakan di KL hujung bulan Januari, 2008. Firman Tuhan, "Dengar semua pendapat; ambil yang paling baik." Undang-undang alamiah memastikan patah tumbuh, hilang berganti. Jadi, jangan bimbang. Laksanakan kerja kita dengan baik.
Selamat tahun Baru!