BARAH PEMBAZIRAN
Oleh: Kassim Ahmad
7 Disember, 2007
Satu daripada arahan penting dalam mengendalikan kehidupan kita supaya berjaya ialah mengelak daripada pembaziran. Seorang pembazir dikatakan saudara kepada syaitan, iaitu seorang jahat. Pembazaran satu penyakit masyarakat yang parah – penyakit barah!
Mengapakah seseorang, atau sesebuah pertubuhan, termasuk Kerajaan, dilarang keras daripada membazir? Jawabnya, dari segi ilmu ekonomi, pembaziran akan merampas hak orang lain daripada menikmati kehidupan yang wajar. Dalam masyarakat, masing-masing anggota masyarakat mendapat habuan dari hasil-hasil masyarakat itu, dari tanah, laut dan udaranya, dan dari hasil usaha masyarakat itu, tidak kira sama ada dia kuat atau lemah, pandai atau bodoh, cacat atau sempurna anggotanya, sihat atau sakit. Ini kerana tiap-tiap manusia dijadikan Tuhan dengan taraf yang mulia dengan hak-haknya yang dijamin oleh Tuhan, atau apa yang kita dikatakan, natural law, dalam bahasa Inggeris . Jika undang-undang ini dilanggar oleh manusia, maka berlakulah kezaliman dan kerosakan. Sebab itu sejarah memberitahu kepada kita banyak kes keruntuhan dan kemusnahan masyarakat-masyarakat dulu.
Mengapakah pembaziran timbul? Apakah bentuk-bentuk pembaziaran itu?
Pembaziran timbul kerana watak manusia yang lemah. Sesetengah manusia, apabila mereka kaya dan berkuasa, mereka lupa daratan dan menjadi tamak dan bakhil, tidak mahu mengeluarkan zakat atau cukai yang dikenakan kepada mereka dan yang gagal bersedekah dari kekayaan mereka. Mereka membazirkan kekeyaaan mereka dengan gaya hidup yang mewah dan jahat. Oleh kerana tamak dan haloba mereka, masyarakat dan negara tidak dapat membangun – dari semua segi, material, intelektual, seni, budaya, moral dan rohaniah- termasuklah membantu fakir-miskin yang wujud dalam masyarakat itu dan membasmi kemiskinan. Dalam masa jangka panjang, masyarakat dan negara itu, termasuk golongan yang kaya-raya tadi, akan musnah. Kemusnahan ini berlaku kerana negara tiada wang untuk membangun dan kerana pemberontakan dari kalangan rakyat yang putusa asa dan marah.
Pembaziran berlaku dalam pelbagai bentuk. Perbezaan pendapatan yang terlalu besar: di satu pihak, satu golongan kecil dalam masyarakat mendapat pendapatan yang terlalu tinggi dan satu golongan kecil di bawah mendapat pendapatan yang terlalu rendah; di antaranya, satu golongan yang agak besar mendapat pendapatan yang boleh dikatakan tidak cukup. Di negara kita, kita boleh memberikan contoh begini: 5% tertinggi mendapat pendapatan bulanan lebih dari RM 30,000. (seisi rumah berdasarkan 5 orang serumah); 20% mendapat pendapatan kurang dari RM 2,000 sebulan (yang boleh dikira miskin); dan 20% mendapat pendapatan sederhana antara RM 6,000 hingga RM 20,000, dan baki 55 % mendapat pendapatan rendah antara RM 2,500 hingga RM 6,000.
Sepatutnya, dengan belanja hidup kita hari ini yang memerlukan pendapatan RM 3,000 sebulan hetong panjang bagi sekeluarga lima orang, tidak ada isirumah di Malaysia yang mempunyai pendapatan kurung dari RM 3,000 sebulan. Ini kita panggil garis kemiskinan. Sepuluh garis lebih tinggi dari garis kemiskinan ialah RM 30,000 . Jika kita bahagikan pendapatan kita mengikut garis ini, tidak akan ada kemiskinan dalam negeri kita, dan semua orang boleh hidup dengan selesa. Tidak akan ada pencuri dan perompak, dan tidakakan ada belia yang perlu lari ke alam khayal dengan menghisap dadah. Mungkin juga kita tidak perlukan tempat-tempat hiburan dan sebagainya, seperti sekarang, kerana kita ada banyak bentuk hiduran yang lebih sihat.
Apakah masyarakat seperti ini di Malaysia suatu utopia? Apakah halangan-halangannya? Dalam dunia global hari ini, kita harus bersaing dengan negara-negara lain. Gaji di negera-negara Eropah, di Amerika Syarikat dan di Singapura jauh lebih tinggi daripada gaji di negara kita. Oleh itu, ramai dari golongan yang berpendapatan tertinggi akan lari meninggalkan Malaysia. Tetapi golongan ini segelintir saja, mungkin tidak sampai 5% peratus yang saya anggarkan di atas. Tetapi golongan ikhtisas, seperti peguam, doktor dan lain-lain juga mungkin meninggalkan negara kita. Mereka lebih ramai.
Kita ada dua pilihan bagi gologan-golongan ini. Biarkan mereka meninggalkan Malaysia, dengan kita mengadakan program-progrem kilat untuk melatih dan menggantikan tempat yang mereka bakal tinggalkan. Kedua, kita cuba memberi sebagian pertimbangan kewangan kepada mereka. Dalam kedua-dua keadaan, kita boleh membetulkan ketempangan yang wujud sekarang dalam jurang pendapatan di antara pendapatan yang tertinggi dengan pendapatan yang terendah.
Pembaziran juga berlaku dalam Kerajaan, kerana sifat-sifat tamak dan haloba tadi, melalui salah-guna kuasa, peneyelewengan dan rasuah. Salah-guna kuasa dan penyelewengan berlaku apabila harga barang-barang yang ditempah oleh Kerajaan dinaikkan dua tiga kali ganda dan dengan demikian meniakkan perbelanjaan Kerajaan. Ada kalanya perbelanjaan-perbelanjaan yang ditanggung oleh Kerajaan untuk pegagawai-pegawai tingginya, seperti bercuti tahunan keluar negara terlalu tinggi dan boleh dikurangkan. Ini boleh dikira salah-guna kuasa atau penyelewengan. Kerapkali banyak masa yang dibazirkan oleh kakitangan Kerajaan, termasuk pegawai-pegawai tingginya, dengan tidak memberi tumpuan selama lapan jam kepada tugas-tugas mereka. Ini bermakna kerja mereka yang boleh dihabiskan dalam masa sebulan akan mengambil masa dua bulan. Dengan itu, mereka menambah perbelanjaan Kerajaan. Malaysia mempunyai bilangan kakitangan Kerajaan yang besar, 1.2 juta orang. Mungkin kita patut mengurangkan bilangan ini sebanyak ¼ atau 1/3. Hal-hal ini menghendaki rakyat yang berwatak tinggi, yang tidak dikuasai oleh perasaan tamak haloba, dan sebalinya mempunyai sifat-sifat jujur, ikhlas dan bermanah tinggi. Tiap-tiap rakyat memerlukan pendapatan yang cukup dan agak selesa untuk menampung kehidupan keluarga masing-masing. Jika pendapatan minimum ini dapat diwujudkan, tiada sebab sesiapa pun di negara kita merungut tentang kehidupannya!
Bagi mereka yang berusaha untuk menaikkan pendapatannya melibihan RM 3,000 sebulan, tiada halangan bagi mereka. Mereka bebas berbuat demikian, sama ada melalui perniagaan, atau melalui peningkatan pendidikan mereka dengan mendapat pekerjaan-pekerjaan yang lebih lumayan pulangannya. Masyarakat hanya mahu Kerajaan bertindak membetulkan ketimpangan dalam masyarakat dari segi kewangan dengan memberi bantuan yang cukup bagi golongan-golngan yang miskin dan yang cacat anggota mereka dengan memperuntukkan sebagian dari kekayaan negara (melalui cukai yang berpatutan) untuk itu.
Walaupun kita duduk dalam sebuah dunia global hari ini, kita tidak semestinya dihalang dari menyusun sebuah dasar ekonomi dan kewangan yang berbeza dan bebas. Hari ini kita tidak bebas menyusun dasar ekonomi dan kewangan kita kerana kita bergantung kepada negara-negara lain dalam beberapa keperluan kita yang penting, khasnya makanan ruji (staple) dan pertahanan. Untuk mengatasi perkara-perkara ini, kita mestilah menghasilkan makanan ruji yang cukup untuk penduduk kita, dan mengadakan sistem perdagangan antarabangsa yang lebih adil. Hari ini, oleh kerana Amerika Syarikat dan Eropah yang mempunyai sejarah kolonial dan imperialis yang lama mendominasi sistem perniagaan ini, maka perniagaan antarabangsa tidak adil bagi Dunia Ketiga dan dunia membangun. Tetapi keadaan sedang bertukar cepat dan, kalau kita pandai dan bijak, kita boleh mengubah sistem ini menjadi lebih adil. Dengan demikian, kita tidak perlu membeli barangan dan khidmat itu dengan harga yang mahal. Dengan itu, kita boleh mengurangkan bil import kita.
Mengikut teori ekonomi (liberal) klasik, Kerajaan tidak boleh masuk campur dalam urusan ekonomi; urusan ekonomi perlu ditinggalkan bebas untuk ditentukan oleh “kuasa pasaran”, seolah-olah kuasa pasaran ini netral dan bebas dari kehendak manusia! Ini nyata tidak benar. Oleh itu, teori neo-klasik memerlukan Kerajaan masuk campur. Kerajaan perlu masuk campur untuk membetulkan ketempangan yang boleh membawa kepada kerosakan masyarakat.
Saya tidak bersetuju dengan pendapat bahawa belanja hidup yang tinggi sekarang ialah kerana pemodenan masyarakat (kita perlukan institusi-institusi dan barangan tamadun moden, seperti kerajaan yang moden, kota-kota yang moden, sistem kewangan yang moden, universiti, hospital, sistem kenderaan yang moden, dsb.). Semestinya institusi dan barangan ini membuat perbelanjaan kita meningkat, berbanding dengan cara hidup lama berdasarkan masyarakat pertanian yang lama. Tetapi bilangan rakyat kita juga bertambah dan ini bermakna hasil kerja dan pendapatan negara bertambah. Apa yang menyebabkan belanja hidup meningkat ialah kerana riba (yang menaikkan kos wang dan perniagaan, yang membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, yang bertanggunjawab menaikkan belnaja hidup) dan juga penyelewengan dan pembaziran dalam Kerajaan dan institusi-institusi negara yang lain. Kita mestilah menghapuskan riba (riba mesti dibezakan daripada faedah untuk menutup perbelanjaan bank untuk membayar gaji kakitangan; ini tidak memerlukan lebih dari 1%-2%). Jika kita menghapuskan riba, penyelewengan dan rasuah – jika semua orang boleh hidup dengan kadar selesa, apa perlunya penipuan dan rasuah? – kos perniagaan akan turun, dan harga barang-barang dan perkhidmatan akan turun. Ini akan menyebabkan belanja hidup turun, walau pun kita tetap boleh hidup dalam cara hidup moden.
Bolehlah kita katakan bahawa dunia sekarang (yakni sistem liberal Barat) sudah sampai kepada penghujungnya. Sistem ini perlu diganti dengan satu sistem yang lebih adil. Di merata dunia kita sedang melihat tanda-tanda yang jelas bahawa sistem itu sedang runtuh, termasuk di negara kita. Kita akan musnah kalau kita tidak segera membetulkan ketempangan ini.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment