Friday, April 11, 2008

Hadis: Satu Penilaian Semula #12

Bab II: Penolakan Teori Ahlul Hadus (Sambongan)

Hujah ‘Nabi Satu Teladan Baik’

Hujah pokok ahlil-Hadis yang keempat dan yang akhir ialah bahawa Nabi satu teladan yang baik bagi orang-orang mukmin, dan teladan ini perlu diikut oleh mereka dengan mengikut sunnah Nabi. Mereka mengemukakan ayat Quran berikut sebagai alasan:

Rasulullah satu contoh baik (uswah hasanah) bagi kamu; bagi sesiapa yang betul-betul mencari Tuhan dan akhirat serta kerap, mengingati Tuhan. (33:21)

Merujuk kepada ayat ini dan ayat:

Dan kamu dikurniakan watak yang agung. (68:4)

Mahmud Saedon berkata, ‘Rasulullah s.a.w. adalah insan kamil. Menjadi contoh dan ikutan yang paling utama di dalam semua aspek dan bidang, kecuali dalam perkara-perkara yang tidak boleh diikuti dan dicontohi…”21 Mengikut A.A. Azami, seorang sarjana hadis ortodoks moden, “Jika kita memandang Nabi sebagai teladan kepada ummah, maka orang-orang mestilah mengikut contohnya dalam semua hal…”22 Demikian juga Fazlur Rahman yang menegaskan adanya ‘contoh kelakuan Nabi Allah’.23

Walau bagaimanapun, jika kita meneliti konteks ayat 21 Surah 33 tersebut, nyatalah ia tidak merujuk kepada setiap gerak-geri dan kelakuan Nabi, seperti cara beliau makan, pakai, tidur dan sebagainya. Ia sebenarnya merujuk kepada keyakinan Nabi akan pertolongan dan kemenangan Tuhan. Ayat ini diletak di tengah-tengah cerita perang Al-Ahzab bila orang-orang mukmin betul-betul gementar dan menganggap Islam akan kalah dan luput. Namun demikian, tidaklah salah kalau kita menarik satu pengertian umum dari ayat ini bahawa Nabi merupakan satu contoh yang baik bagi orang-orang Islam. Contoh Nabi tidak lain ialah pegangannya yang teguh kepada Quran dan tidak lain daripada Quran.

Bahawa ungkapan uswah hasanah atau ‘contoh yang baik’ dalam ayat itu merujuk kepada pegangan, pendirian dan perjuangan, dan bukan kepada gerak-geri dan kelakuan dapat dibuktikan dengan penggunaan ungkapan itu juga, dua kali, untuk Nabi Ibrahim, yang memegang teguh kepada agama tauhid.

Satu contoh baik (uswah hasanah) telah diadakan untuk kamu oleh Ibrahim dan mereka yang menyertainya. Mereka berkata kepada kaum mereka: “Kami tidak mengakui kamu dan patung-patung yang kamu adakan di samping Tuhan. Kami menolak kamu, dan kau tidak akan melihat apa-apa daripada kami kecuali permusuhan dan pertentangan hingga kamu beriman kepada satu Tuhan saja.” (60:4)

Satu contoh baik (uswah hasanah) telah diadakan untuk kamu oleh mereka (Ibrahim dan pengikut-pengikutnya). (60:6)

Dua ayat di atas menjelaskan makna sebenar ungkapan uswah hasanah. Ini satu lagi contoh bagaimana Quran mentafsirkan dirinya.

Adalah tidak munasabah dan mustahil bagi Tuhan menyuruh umat Islam mengikut segala gerak-geri dan tingkah-laku Nabi, kerana gerak-geri dan tingkah-laku seseorang ditentukan oleh faktor-faktor seperti kebudayaan, pendidikan, masa dan tempat dan fe’el peribadi. Cara Nabi makan dan pakai mengikut kebudayaan Arab. Kandungan Islam dalam cara-cara ini semata-mata terletak pada makanan yang dihalalkan oleh Islam dan pakaian sopan yang menutupi aurat. Sekiranya Nabi lahir di kalangan bangsa Cina, tentulah beliau akan makan dan pakai mengikut kebudayaan Cina. Gerak-geri dan kelakuan ini sedikit pun tidak akan kena-mengena dengan akidah, pegangan, pendirian dan perjuangan seseorang.

Demikian juga dengan cara Nabi berperang atau mentadbirkan negara-kota Madinah. Kelengkapan yang digunakan oleh beliau, seperti pedang, tombak, anak panah, perisai dan kuda mengikut teknologi zaman itu. Sekarang zaman sudah berubah dan orang-orang Islam tidak boleh lagi menggunakan teknik-teknik perang Nabi, walaupun prinsip-prinsip perang masih juga sama.

Dalam pemerintahan, prinsip-prinsip pemerintahan Islam masih sama – pemerintahan berdasarkan undang-undang yang adil, kebebasan beragama, pemimpin-pemimpin yang layak dan pemerintahan berdasarkan perundingan dengan rakyat – tetapi kaedah-kaedahnya berubah-ubah mengikut keadaan masa. Kaedah-kaedah yang digunakan oleh Nabi dalam masyarakat Arab abad ketujuh tidak boleh kita gunakan lagi dalam masyarakat-masyarakat Islam abad kedua puluh.

Sebenarnya, sunnah Nabi ialah Quran.24 Beliau berpegang teguh kepada Quran dan mengikut perintah-perintah Tuhan. Dengan demikian, mengikut teladan atau sunnah Nabi bermakna mengikut Quran. Walau bagaimanapun, pendukung-pendukung Hadis mendakwa bahawa Quran umum dan tidak memberi ajaran-ajaran yang terperinci, dan Hadis memperincikan ajaran-ajaran umum Quran, seperti kaedah-kaedah ibadah. Mahmud Saedon menyatakan: “Hukum-hukum yang terkandung di dalam al-Quran keseluruhannya adalah secara umum dan berbentuk hukum-hukum prinsip; untuk memahami dan melaksanakannya, ia perlu kepada penjelasan dan penerangan lanjut daripada sunnah Rasulullah…”25 Fazlul Karim pula menyatakan: “Sebenarnya Quran tanpa Hadis tetap tidak dapat difahami dalam banyak hal dalam kehidupan harian seseorang.”26

Sambongan: Quran Lengkap, Sempurna dan Terperinci

1 comment:

Anonymous said...

"Pihak yang suka membesarkan perkara yang kecil
dan mengecilkan perkara yang besar."

"Pihak yang hanyalah tahu memuji perbuatannya sendiri,
tetapi tidak dapat mencari suatu keelokan daripada perbuatan lain-lain orang;"

"Bagaimana perpatah Melayu"

"Kuman di seberang nampak kepada matanya,
gagah ditepi matanya sendiri tidak kelihatan."

"UMNO ITULAH MELAYU
MELAYU ITULAH UMNO"

Dato Onn Jaafar -1946

UMNO itu bukanlah Mahathir
Mahatir bukanlah UMNO
Tiada UMNO Tiadalah Mahathir.