Wednesday, June 11, 2008

Hadis: Satu Penilaian Semula #16


Bab III: Sumber, Sebab dan Kesan Hadis (Sambongan)


Kesan-Kesan Hadis: Faham Kepuakan


Seperti telah kita lihat, satu daripada akibat-akibat besar yang pertama ialah perpecahan masyarakat Islam awal kepada beberapa mazhab politik, teologi dan undang-undang, khasnya mazhab Sunni dan Syi’ah dengan fahaman-fahaman politik dan teologi masing-masing. Seperti telah kita lihat juga, punca perpecahan ini ialah Hadis. Puak Syi’ah yang ingin melihat Ali dilantik sebagai khalifah selepas Nabi wafat menciptakan hadis untuk membenarkan pandangan mereka. Mereka mendakwa Nabi telah berkata sebelum beliau wafat: “Barangsiapa mengiktiraf aku sebagai tuannya, bagi mereka Ali juga tuannya.”25 Kemudian hadis palsu ini ditentang oleh hadis palsu lain yang diciptakan oleh puak Bakriyah. Demikianlah hadis-hadis palsu muncul disebabkan oleh kepentingan politik.

Hadis-hadis demikian berfungsi untuk menegakkan ‘kebenaran’ atau fahaman puak masing-masing dan, dengan demikian, mencetuskan, mensahkan dan mengekalkan perpecahan. Sekiranya, institusi hadis tidak wujud dan masyarakat Islam pada waktu itu merujuk kepada Quran untuk menyelesaikan perselisihan pendapat mereka mengenai jawatan khalifah, mereka akan dapat menyelesaikannya atas asas persaudaraan mukmin melalui perundingan dan muafakat. Tetapi oleh kerana mereka telah mementingkan puak lebih daripada persaudaraan Islam dan lebih percaya kepada hadis daripada Quran, dan oleh kerana Hadis membenarkan faham kesukuan dan kepuakan yang masih kuat dalam masyarakat Arab pada waktu itu, maka perpecahan itu tidak dapat diselesaikan dan berterusan hingga ke hari ini.


Anti-Intelektualisme

Kita telah melihat juga bahawa punca perpecahan kepada empat mazhab di kalangan kaum Sunni ialah perbezaan pendapat di antara aliran Imam Abu Hanifah (m.150/767) yang mengutamakan fikiran kreatif dan aliran Imam Malik (m.179.795) yang menitik-beratkan sunnah, yakni amalan penduduk-penduduk Madinah dan amalan para sahabat. Oleh kerana masyarakat Islam pada waktu itu, khasnya pemerintah, tidak dapat menyelesaikan perbezaan pendapat ini dengan merujuk kepada Quran, maka perbezaan pendapat ini akhirnya ‘diselesaikan’ oleh teori perundingan Islam Imam Shafi’i (m.204/820) yang menjadikan Hadis/Sunnah sebagai satu sumber perundangan yang utama di samping Quran. Dengan diterimanya teori ini dan dijadikan pegangan kaum ortodoks atau apa yang dikatakan Ahli Sunnah wal-Jama’ah, maka perpecahan yang telah ditimbulkan oleh Hadis dihalalkan dan diinstitusikan, dan Hadis menggantikan serta menekan fikiran kreatif dalam Islam. Inilah puncanya fikiran kreatif merosot dan terus mati dalam masyarakat Islam sekitar abad-abad kesebelas dan kedua belas selama seribu tahun lebih, dan obor ilmu pengetahuan diambil-alih oleh Eropah moden.

Sebenarnya, seperti telah dikatakan, fikiran kreatif digalakkan dan diberi tempat tinggi dalam ajaran Quran. Peranan manusia sebagai khalifah Tuhan di dunia dan penerimaan peranan ini secara sukarela oleh manusia menunjukkan betapa pentingnya peranan kreatif manusia ini. Oleh kerana masyarakat Islam awal memahami serta mengamalkan ajaran-ajaran Quran ini, dalam masa yang singkat di antara seratus hingga dua ratus tahun saja, mereka telah mencapai mercu kejayaan pelbagai bidang pada zaman itu.

Bila Hadis dan ijmak ulama diberikan peranan mutlak untuk memutuskan perkara-perkara yang berhubung dengan masyarakat dalam teori ortodoks ini, maka dengan sendirinya dan secara automatis, peranan fikiran kreatif masyarakat ditekan. Hadis menjadi saluran dan media segala macam tahyul dan prasangka dalam masyarakat. Hal ini diterangkan dengan begitu jelas dan tepat dalam sepotong ayat Quran berbunyi: “Patutkah kami perlakukan orang-orang mukmin seperti orang-orang berdosa? Betapakah hal kamu? Bagaimanakah kamu menghukum? Adakah kamu sebuah buku lain yang kamu pakai? Yang memberi kepada kamu apa-apa yang kamu kehendaki.”26 “Buku lain” di sini merujuk kepada buku-buku lain yang digunakan oleh umat Islam dan umat Muhammad selain daripada Quran sebagai panduan asas. Bolehkah kita sangkal bahawa sebuah daripada buku-buku lain yang telah dipakai oleh umat Islam selama seribu tahun lebih ialah Hadis? Buku Hadis memberikan kita segala macam hal, termasuk perincian bagaimana kita patut tidur, makan dan pakai!

Kebekuan dan Oportunisme Politik

Di antara pelbagai macam khurafat yang telah masuk ke dalam Hadis ialah mitos Imam Mahadi27 yang konon akan muncul di akhir zaman untuk membela dan menyelamatkan umat Islam dan manusia dari pemerintahan-pemerintahan yang zalim, dan mitos orang-orang Islam boleh masuk syurga semata-mata dengan mengucap dua kalimah syahadat di saat sakratu’l maut!28 Kedua-dua hadis ini terang-terang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran dan dengan hukum akal. Quran senantiasa menggesa orang-orang mukmin menyeru kepada kebaikan dan melarang kajahatan, yakni berjuang di jalan Allah, tiap-tiap saat tanpa menunggu kedatangan seorang Imam Mahadi, dan hukum akal tidak menerima bahawa sesuatu perubahan akan berlaku kepada masyarakat Islam kecuali masyarakat Islam sendiri melakukan perjuangan.

Hadis kedua di atas juga secara langsung bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran yang menentukan hukuman-hukuman Tuhan bagi semua kejahatan dan dosa. Hadis ini, nampaknya, secara sihir ingin menghapuskan hukuman-hukuman Tuhan dengan dua potong ayat saja!

Kedua-dua hadis di atas adalah dua contoh yang nyata di antara berpuluh-puluh yang boleh dikemukakan – hadis-hadis yang membuahkan dan menggalakkan sikap politiko-sosial yang beku, pasif dan oportunis yang telah menyebabkan kemunduran dan kejatuhan umat Islam.

Di sini saya ingin memetik beberapa hadis yang nyata telah diciptakan dalam keadaan peperangan saudara dalam pemerintahan-pemerintahan Ali dan khalifah-khalifah Umawiyah untuk menanam sikap pasif, malah perasingan diri, dalam pergolakan-pergolakan politik yang sedang berlaku pada waktu itu. Hadis-hadis ini dikatakan diriwayatkan oleh sahabat Nabi, Hudhayfah, dan dikutip oleh Bukhari dan Muslim. Mula-mula Hudhayfah, bermula dengan melaporkan bahawa, kononnya, Nabi telah menceritakan segala sesuatu yang bakal berlaku hingga hari kiamat.

Nabi pada satu waktu berucap kepada kami hingga beliau tidak meninggalkan suatu pun (yang penting) yang bakal berlaku hingga, hari kiamat. Mereka yang mengingatinya ingat, dan ada yang telah lupa…Ada beberapa perkara yang telah saya lupa, tetapi bila saya tersua dengan perkara-perkara ini, saya teringat seperti seseorang teringat (secara samar-samar) akan wajah seorang yang tidak ada, tetapi bila dia berjumpa lagi dengannya, dia kenal orang itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)29

Orang biasa bertanya kepada Nabi tentang kebaikan, sedangkan saya bertanya tentang kejahatan, kerana saya bimbang kejahatan itu akan menimpa saya. Lalu saya berkata, ‘Wahai rasul Allah! Kami sebelum ini dalam keadaan kejahilan dan kejahatan, lalu Tuhan mendatangkan kebaikan kepada kami. Akan berlakukah kejahatan lagi selepas kebaikan ini?’ ‘Ya,’ jawab Nabi. ‘Dan adakah kebaikan akan kembali lagi selepas kejahatan ini?’ saya bertanya. Nabi menjawab, ‘Ya, tetapi ia bercampur-baur dengan kejahatan.’ ‘Apakah kejahatan itu?’ saya bertanya. Nabi menjawab, ‘Setengah orang akan mengikut selain daripada sunnahku dan akan memimpin mereka ke jalan lain daripada jalanku. Setengah perbuatan mereka baik, setengah jahat.’ Saya bertanya, ‘Adakah akan wujud kejahatan lagi setelah kebaikan (campuran) ini?” Beliau menjawab, ‘Ya, pendakyah-pendakyah yang berdiri di pintu neraka; barangsiapa mendengar mereka kan mereka campakkan ke dalamnya.’ ‘Terangkanlah kepada kami sifat-sifat mereka, wahai rasul Allah!’ saya meminta. Nabi berkata, ‘Mereka dari bangsa kita dan bercakap bahasa kita.’ Apakah perintahmu kepadaku jika aku berada di dalam keadaan itu?’ saya bertanya. Nabi berkata, ‘Ikutlah puak majoriti orang-orang Islam dan pemimpin mereka.’ ‘Tetapi jika mereka tidak ada puak majoriti atau seorang pemimpin?’ saya bertanya. Nabi menjawab, ‘Jika demikian, tinggallah semua puak walau kamu terpaksa berpaut kepada akar pokok hingga kamu mati.’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)30

Akan wujud peperangan-peperangan saudara: pada waktu itu duduk di dalam rumah lebih baik daripada berdiri di luar; berdiri di luar lebih baik daripada berjalan; dan berjalan lebih baik daripada berlari…(Riwayat Muslim)31

Tinggallah di rumahmu dan kawal lidahmu; ambil apa yang kamu ketahui sebagai baik dan tinggalkan apa yang kamu ketahui sebagai tidak baik; jagalah urusanmu sendiri dan jauhilah urusan-urusan umum. (Riwayat Tirmidhi)32

Hadis-hadis mengenai Imam Mahadi dan hadis-hadis di atas mengajar umat Islam bukan semangat berjihad atau berjuang di jalan Allah, tetapi semangat pasif, beku dan pengunduran diri dari perjuangan. Hadis-hadis ini, seperti kata Fazlur Rahman, menggambarkan pendirian kaum ortodoks Ahli sunnah wa’l-Jama’ah terhadap peperangan-peperangan politik dan kontroversi-kontroversi teologi dan dogma yang mengikutinya.33 Mereka menggunakan Hadis untuk merumuskan “satu definisi Islam yang meluas untuk melenyapkan faham-faham Khawarij dan Mu’tazilah”, dan dengan itu, mengikut beliau “menyelamatkan Ummah daripada membunuh diri.”34

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa hadis-hadis tersebut telah diwujudkan oleh kaum ortodoks untuk dijadikan jambatan untuk menghubungkan pelbagai puak yang bersengketa dan mengekalkan perpaduan ummah, nyatalah jambatan ini jambatan yang tidak kukuh. Bolehkah kebekuan politik dan pelepasan perjuangan menjaminkan kestabilan, perpaduan dan keadilan? Seperti telah kita katakan, ajaran ini terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran. Sejarah Islam kemudian, apabila semangat kebekuan politik menjadi pegangan masyarakat melalui ajaran-ajaran kaum ortodoks ini, menunjukkan bagaimana pemerintah-pemeringah yang zalim dan korup dengan senang diterima oleh masyarakat Islam. Inilah punca kejatuhan umat Islam.

Seperti telah dikatakan, ajaran pasifisme politik kaum ortodoks ini amat bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. Oleh yang demikian, timbul soalan bagaimana hendak mengatasi percanggahan ini? Cara yang paling baik ialah dengan mematikan semangat intelektualisme di kalangan umat Islam. Fikiran kreatif tidak boleh digalakkan di kalangan rakyat. Hanya satu golongan tertentu saja yang boleh mentafsirkan Quran dan yang boleh menghuraikan agama, iaitu kelas ulama. Inilah yang menyebabkan timbulnya hadis-hadis anti-intelektual yang menekan fikiran kreatif dan yang menonjolkan kelas ulama, umpamanya:

Ulama pewaris para nabi… (Riwayat Abu Daud dan Tirmidhi)

Abn Abbas melaporkan bahawa rasul Allah berkata ‘Barangsiapa mentafsirkan Quran mengikut fikirannya sendiri, bersedialah mencari tempatnya dalam api neraka.(Riwayat Tirmidhi)35

Anehnya, tafsiran mengikut fikiran sendiri, walaupun betul, adalah salah, mengikut sebuah hadis lain:

Jundub melaporkan rasul Allah berkata, ‘Barangsiapa mentafsirkan Quran mengikut fikirannya sendiri dan tafsiran itu betul, maka dia berdosa.’ (Riwayat Tirmidhi dan Abu Daud)36

Tidak hairanlah kalau selama kira-kira seribu tahun umat Islam berpegang kepada khurafat dan bid’ah jahat seperti ini keadaan mereka daif dan mundur seperti yang telah kita lihat dalam Bab I. Jika gerakan kebangkitan Islam sekarang ingin mencapai tujuannya, ia tidak dapat tidak mesti membenteras khurafat dan bid’ah jahat yang berpunca dari Hadis/Sunnah.

Sambongan: Bab IV: Kritikan Terhadap Hadis

16 comments:

Unknown said...

Hello,

my name is Martin Vengadesan, a journalist at the star.

I am looking for Mr. Kassim Ahmad, former PSRM president, in order to conduct an interview with him.

I can be contacted at 012-220-6781 or martinvengadesan@gmail.com

Thank you.

Anonymous said...

Assalamualaikum.
Dr. Kassim Ahmad Yth.,

Adakah lagi buku yang akan Dr. tulis setelah "Mencari Jalan Pulang - Dari Sosialisme Kepada Islam" diterbitkan?

Apakah perancangan Dr. seterusnya?

Bagimanakah Dr. melihat nasib pemuda pemudi Melayu dalam tempoh 5 hingga 10 tahun yang akan datang?

Terima kasih.

Anonymous said...

salam
kalau pak kassim nak tulis buku lagi tulislah tampa merujuk kepada apa2, luahkan dari sanubari alquran yang telah ada dalam diri pak kassim .. tafsirkan quran mengikut pendapat pak kassim tak payahlah lagi nak salahkan hadis tu hadis ni .. kalau dah tahu jalan pulang maknanya kita dah yakin tak ada lagi kesalahan di mata kita kecuali sunnah allah ..mudah-mudahan memberi manafaat dari menyalahkan hadis ..wassallam

Anonymous said...

Luahan dari sanubari Al-Quran?.. Cukup indah!

Tetapi Al-Quran juga mengajarkan kita supaya mendengar pendapat-pendapat, lalu dituruti mana yang terbaik. Begitulah caranya untuk mendapat hidayah Tuhan, dan menjadi seorang pemikir.

Al-Quran harus ditafsirkan dengan pemikiran rasional dan kaedah yang saintifik. Kaedah ini terbukti sekali dalam melahirkan pendapat yang bernas.

Sebagai contoh, seorang tokoh Mu'tazilah di zaman pemerintahan Abbasiah - zaman keemasan Islam - namanya An-Nazzam, dalam mempertahankan aqidah 'tauhid dan keadilan' sebagaimana yang terluah dari sanubari Al-Quran, mampu menghasilkan teori tafrah. Teori Al-Nazzam ini telah digunapakai dalam doktrin quantum jump Mekanik Kuantum , seribu tahun kemudian!

Al-Quran juga mengajarkan supaya kita sentiasa menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran. Apakah cara yang lebih baik untuk menjalankan tugas ini, daripada menggunakan pendekatan rasional dan saintifik? Dengan kaedah ini, kebenaran kan bersinar, dan kebatilan kan lenyap dengan sendirinya. Samada manusia rela atau tidak dengan kelenyapan ini, ia tetap kan lenyap! Ini adalah sunnah Tuhan.

Hadis yang mutlak kebenarannya adalah hadis Tuhan.

Terima kasih.

Anonymous said...

salam, boleh saudara buktikan ada ayat quran yg menyuruh kita mendengar pendapat2 yang lain? lalu di buat kesimpulan ...

Anonymous said...

salam

hadis mengucap ketika datang maut

bukankah sifat allah itu kasih sayang dan allah juga membuka pintu taubatnya sepanjang masa walau apa jua kesalahan yang telah dilakukan oleh hambanya , kita mestilah yakin kuasa allah itu melebihi sebarang kuasa , saya tak rasa hadis ni palsu kerana istilah mengucap itu luas tafsiran dia ...

Anonymous said...

Saudara 'anonymous' yang ingin tahu;

Komen saya berbunyi begini,

Tetapi Al-Quran juga mengajarkan kita supaya mendengar pendapat-pendapat, lalu dituruti mana yang terbaik. Begitulah caranya untuk mendapat hidayah Tuhan, dan menjadi seorang pemikir.

Maksud firman Tuhan dalam surah Az-Zumar,

Maka berilah khabar kegembiraan buat hamba-hambaKu. Iaitu mereka yang mendengarkan perkataan-perkataan, lalu dituruti mana yang terlebih baiknya. Itulah mereka yang dikurniai hidayah oleh Tuhan, dan itulah orang-orang yang berpemikiran dalam (39:17-18)

Komen Tambahan;
Di penghujung ayat 18 di atas, ialah frasa ulul-albab. Mujaddid bangsa Melayu Za'aba, menterjemahkannya sebagai "orang-orang yang mempunyai fikiran dalam".

Kalau saudara baca buku karangan beliau, Falsafah Takdir, awal-awal lagi ayat ini dipersembahkan kepada bangsa Melayu - agar mereka berpandangan luas, dan berfikiran rasional dan saintifik. Inilah luahan sanubari Al-Quran.

Terima kasih.

Anonymous said...

jadi kita jangan jaja hadis palsu sebagai modal untuk berdakwah secara rasional dan saintifik .. banyak idea2 pak kassim yang saya kagumi jadi saya berpendapat luahan sanubari alquran beliau itu di terjemah secara lebih beradap tanpa merujuk kepada kepalsuan hadis kerana majoriti masyarakat melayu sukar nak terima rugi saya rasa...wassallam

Anonymous said...

Saudara 'anonymous',

Saya tak fikir Pak Kassim menjaja hadis palsu. Bahkan beliau menentang kebanyakan hadis yang ternyata palsu. Ini adalah perbuatan yang benar.

Pendekatan yang beliau ambil dalam menyampaikan kebenaran, saling tak tumpah seperti yang digunakan oleh Za'aba - mengajak bangsa Melayu supaya berpandangan luas, dan berfikiran rasional dan saintifik.

Pak Kassim berusaha untuk membuka mata kaum Melayu, supaya tidak tertipu dengan kebanyakan hadis. Ini kerana ramai di kalangan kita yang berpandangan sempit, bertaqlid buta dan mempercayai perkara-perkara khurafat lantaran tertipu dengan hadis-hadis.

Menyembunyikan kebenaran semata-mata kerana majoriti masyarakat tidak menyukainya adalah sikap yang merugikan bangsa, kerana bangsa kita akan terus hanyut dalam kebatilan. Bahkan ia adalah suatu sikap pengecut!

Saudara 'anonymous' tidak harus mengagumi Pak Kassim semata-mata kerana idea-idea beliau, tetapi juga kerana keberanian beliau mendedahkan kebenaran.

Sungguh ironi.. Orang yang membela kebatilan sering dianggap mulia, orang yang mendedahkan kebatilan sering dianggap biadap.

Wassalam.

Anonymous said...

Mengucap ketika datang maut

Memang benar bahawa Tuhan itu Pengasih dan Penyayang. Tuhan juga Adil. Dia menciptakan manusia, dan tidak meninggalkannya terkapai-kapai begitu sahaja di dunia ini. Manusia dikurniakan Al-Quran dan akal sebagai pedoman.

Manusia juga dikurniakan kebebasan, iaitu kebebasan untuk memilih jalan hidupnya sendiri. Kebebasan ini pula disertai dengan tanggungjawab - manusia harus bertanggungjawab di atas setiap pilihan yang dibuat.

Maka Tuhan akan membalas setiap kebaikan hamba dengan kebaikan, dan membalas kejahatan dengan keburukan. Hamba yang beriman dengan Tuhan dan hari akhirat, dan mengerjakan amal-amal soleh dalam hidupnya, akan dimasukkan ke dalam syurga. Jika dia kufur dan mengerjakan kejahatan, dia akan menjadi ahli neraka.

Mengucap ketika masih hidup, disertai dengan amal soleh, takkan sama dengan mengucap ketika nyawa berada di halkum, sedangkan hidup dihiasi dengan penderhakaan, walau seluas mana pun istilah mengucap itu. Ucapan syahadah ketika maut tidak menjaminkan syurga bagi seseorang hamba - ketika maut, pintu taubat sudah tertutup.

Tuhan itu Pengasih, Penyayang, dan Adil adanya.

Terima kasih.

Kassim Ahmad said...

Pembaca-pembaca yang budiman,

Ayat yang menyuruh kita mendengar semua pendapat dan ikut yang paling baik ialah 39: 18.
Insya Allah, jika Tuhan panjangkan umur saya dan kesihatan saya baik untuk lima tahun lagi, saya ada dua tulisan yang ingin saya selesaikan, iaitu (a) tafsir saya, dan (b) buku tentang pandangan hidup tauhid.
Tentang apa yang dikatakan Hadis/Sunnah Nabi, ia tidak timbul secara rasmi, kecuali 250 tahun selepas Nabi wafat. Islam lengkap dan sempurna dengan Quran. (lihat Quran 5: 3) Malangnya, umat Islam diajar oleh ulama ortodoksnya mengikut Hadis. Buktinya kes kebebasan beragama yang yang diisytiharkan dalam Quran (2: 256) 1,400 mendahului Perisytiharan Hak Asasi Manusia oleh PBB! Dalam Hadis, yang diciplak dari Kitab Taurat, orang murtad dikenakan hukum bunuh!
Wassalam.

Anonymous said...

salam, adakah anda tahu bila nyawa anda berada di halkum, seminit lagi atau sejam lagi .. dan anda tahu bila masa anda lupakan tuhan .. adakah anda rasa anda lebih beriman sekarang dari 10 atau 30 tahun dulu .. mengucap juga bermakna anda tahu telah lebih cerdik dari dulu bukan sekadar perbuatan ..

Anonymous said...

salam pak kassim , quran itu akhlak nabi ,di tafsirkan dari sunnah nabi .. takkan terpisah quran dan sunnah dan hadis ,,,

quraan itu bacaan ,hadis itu fikiran dan sunnah itu perbuatan, fikiran itu bergerak,bacaan itu tetap tak berubah, sunnah itu makin maju ... wassalam

Anonymous said...

Salam hormat,

1. Akhlak Nabi dapat diketahui daripada Quran.

2. Quran adalah lengkap, sempurna, dan terperinci. Maka tidak timbul soal keperluan hadis/sunnah dalam mentafsirkan Quran.

3. Quran adalah hadis yang benar.

4. Sunnah Tuhan adalah salah satu konsep yang terkandung dalam Quran.

5. Quran bukan hanya untuk dibaca, tetapi juga untuk difikirkan, difahami, dan diamalkan, baik dari segi iktikad, ucapan mahupun perbuatan.

6. Metod dalam mengamalkan ajaran Quran haruslah maju bersama peredaran zaman.

Wassalam.

moloyue said...

Sdra Kassim sering sebut "ulamak orthodoks" yang telah menyesatkan umat islam supaya mengikut hadis. Ulamak ini tidak menyuruh umat Islam hanya ikut hadis. Mereka menulis kitab-kitab yang menjadi ikutan yang berdasarkan Quran dan Hadis. Kalau mereka ini disebut sebagai ulamak orthodoks, siapakah pula ulama-ulama moden? Sdra Kassim Ahmad ke? Tetapi sdra Kassim Ahmad ini memerlukan 5 tahun lagi untuk menghasilkan kitab beliau. Saya tak berminat nak menunggunya tetapi sebagai satu eksesais akademik bolehlah dinilai oleh sesiapa yang berminat dan yg panjang umur.

Kassim Ahmad said...

Saudara-saudara yang budiman,

1. Terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan.
2. Kepada Sdr Moloyeu: "Ulama ortodoks" ialah mereka yang menganjurkan teologi Asya'ari dalam puak Ahli Sunnah wal-Jama'ah, dan teologi Syiah dalam kaum Syiah.
Nyata kedua-dua kumpulan ini telah menyelewengkan umat Islam. Lihat perpecahan dan konflik antara mereka dari dulu hingga sekarang.
Jika umat Islam mahu selamat dunia dan akhirat, mereka perlu kembali kepada Quran, yang ditafsirkan dengan kaedah yang betul.
Wassalam.