Hadith: Satu Penilian Semula #26 (Sambongan Akhir)
Bab V: Kesimpulan: Kembali Kepada Ajaran Nabi Muhammad Yang Asal – Quran
Dua Penyelewengan Umat Muhammad
Walau bagaimanapun, oleh kerana kebangkitan Eropah moden disebabkan juga oleh pemberontakannya terhadap kuasa Gereja yang telah menyeleweng dan seterusnya terhadap kuasa agama, maka hubungan sah antara ilmu dan agama telah terputus. Inilah yang menyebabkan cogan kata Zaman Keserlahan Eropah yang diberi oleh Kant berbunyi: “Beranilah mengetahui!” dan tidak seperti sepatutnya: “Beranilah mengetahui di bawah bimbingan Quran!” Oleh yang demikian, tamadun moden Barat tempang, terlalu berat di sebelah keduniaan, dan menemui jalan buntu di akhir abad kedua puluh ini.
Sebaliknya, dunia Islam dalam zaman taqlid dan kejatuhannya, telah mengambil satu jalan pelampau yang lain, yang menyeleweng dari “jalan lurus” al-Quran. Jalan lurus al-Quran ialah jalan luas yang meliputi dunia material dan dunia spiritual, sedangkan dunia yang dipilih oleh umat Islam setelah itu ialah dunia ‘spiritual’ semata-mata, menjadikan kehidupan mereka tempang dan berat ke atas ‘keagamaan’ saja.
Dapat dilihat bahawa baik masyarakat Islam mahupun masyarakat Eropah telah menyeleweng dari wahyu-wahyu Tuhan, tegasnya Quran. Inilah sebabnya Quran menceritakan kepada kita bahawa di akhirat kelak Nabi Muhammad akan mengadu kepada Tuhan bahawa umatnya telah membelakangkan Quran. Dengan perkataan ‘umatku’ yang digunakan oleh Nabi nyatalah ia bermakna seluruh manusia, kerana Muhammad ialah rasul Tuhan kepada seluruh dunia. Manakala Barat moden telah membelakangkan Quran dengan menggunakan kitab-kitab liberal dan Marxis sebagai panduan asas, dunia Islam telah membelakangkan Quran dengan menggunakan kitab-kitab Hadis dan kitab-kitab ulama. Untuk membetulkan penyelewengan ini, nyatakan seluruh dunia mesti kembali kepada Quran.
Dunia Sedang Kembali Kepada Quran
Tidak syak lagi, perkara ini sedang berlaku. Dalam Bab I kita telah menarik perhatian pembaca kepada keadaan “Kacau-bilau Agung” yang telah menimpa dunia abad kedua puluh di mana segala teori, falsafah dan sistem tradisional runtuh.27 Apakah yang akan muncul untuk menggantikan tempat teori, falsafah dan sistem tradisional yang telah runtuh itu? Jawapannya jelas: teori, falsafah dan sistem yang berdasarkan ajaran-ajaran Quran.
Walaupun aliran-aliran falsafah dominan di Eropah dalam masa dua ratus tahun yang lalu sama ada agnostik atau atheistik, seperti positivisme logika dan materialisme dialektika, satu aliran teisme yang kuat juga tidak pernah hapus. Aliran ini bertambah kuat dalam masa empat
“Demikain juga sengketa abad kesembilan belas antara sains dan agama telah berlalu … kewujudan Tuhan adalah andaian sains yang mutlak dan yang tidak dapat digantikan, dan jauh daripada adanya keterasingan sains dari agama di zaman moden, wujud secara tidak dapat tidak perhubungan semula yang paling rapat antara mereka sekiranya kedua-dua konsep sains dan agama ditafsirkan dengan betul.…”28
Seperti di Eropah moden, demikian juga di dunia Islam. Walaupun aliran fikiran yang dominan sejak abad kedua belas ialah taqlid, wujud satu aliran fikiran minoriti anti-taqlid yang kuat dari awal, khasnya di kalangan ahli-ahli falsafah dan ahli-sahli sains, seperti Ibn Rushd (m. 595/1198) dan Ibn Khaldun (m. 808/1406). Aliran fikiran ini bertambah kuat dan berpengaruh setelah munculnya gerakan islah Muhammad Abduh di akhir abad kesembilan belas. Pada pendapat saya, tidak syak lagi aliran fikiran islah anti-taqlid dalam masyarakat Islam akan bergabung dengan aliran fikiran teisme dalam masyarakat Eropah dan akan mengembalikan manusia kepada ajaran Quran dalam masa satu, dua atau tiga generasi akan datang. Inilah satu-satunya alternatif bagi umat Islam dan bagi umat manusia untuk keluar dari dilema “Kacau-bilau Agung” yang meliputi mereka sekarang. Tidak ada alternatif lain.
“Kembali kepada Quran” – inilah cogankata yang tepat sekali bagi umat Nabi Muhammad, kerana Quranlah perutusan yang dibawa oleh beliau, dan kerana inilah jawapan yang paling wajar kepada komplain beliau yang masyhur dalam Quran. Tetapi, sekali lagi kita ulang, kembali kepada Quran tidak bermakna kita perlu membakar kitab-kitan Hadis dan kitab-kitab ulama, dan kita tidak akan memakai ulama lagi. Ia hanya bermakna kita akan menggunakan Quran semata-mata sebagai sumber bimbingan dalam semua hal, dan kita akan menggunakan budibicara kita untuk menerima atau menolak tafsiran, huraian dan saranan kitab-kitab lain, sama ada kitab Hadis atau kitab ulama, sama ada kitab liberal atau kitab Marxis, mengikut sama ada tafsiran, huraian dan saranan itu sesuai dengan ajaran-ajaran Quran dan dengan keperluan-keperluan masyarakat moden kita atau tidak. Ulama kita yang selama ini hanya terdidik dan mengetahui ilmu-ilmu agama (Zaman Pertengahan) mestilah menguasai ilmu-ilmu sekular yang penting supaya kesepaduan ilmu wujud dalam diri mereka. Demikian juga harus dilakukan oleh cerdik pandai kita yang berpendidikan sekular: mereka perlu menguasai ilmu-ilmu agama yang penting.
Saranan ini mengemukakan tiga tugas besar kepada orang-orang mukmin. Pertama, menilai semula secara kritikal keseluruhan warisan tamadun Islam; kedua, mengasimilasikan secara kritikal tamadun moden Barat; dan ketiga, membina asas tamadun baru Islam yang akan menyelamatkan dunia dari kehancuran nuklear. Ketiga-tiga tugas ini kait-mengaiat antara satu dengan lain. Pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai Islam yang tulen mestilah menggabungkan tenaga dan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai agama-agama lain “yang beriman kepada Tuhan dan hari kemudian dan mengerjakan kebaikan”29 untuk melaksanakan tugas-tugas besar manusia di akhir abad kedua puluh dan dalam abad kedua puluh satu. Tidak ada Imam Mahdi dan tidak ada ‘kedatangan kedua’ Nabi Isa – kedua-duanya tahyul-tahyul besar yang telah dimasukkan ke dalam Hadis – untuk menyelamatkan manusia dari mala petaka agung akibat penyelewengan-penyelewengannya sendiri.30 Berpandukan Quran, manusia mestilah mengubah dirinya, yakni jiwa, hati dan fikirannya, dan melakukan perjuangan untuk menyelamatkan dirinya.31
Jika tugas-tugas ini nampak terlalu besar, orang-orang mukmin di seluruh dunia haruslah mengambil inspirasi, galakan dan keberanian dari firman-firman Tuhan:
Telah Kujadikan tugasKu untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin. (30:47)
Dialah yang menghantar rasulNya dengan bimbingan dan agama yang benar supaya ia mengatasi semua agama. (48:28)
Dan katakanlah, “Kebenaran telah datang dan kepalsuan hapus. Kepalsuan pasti akan hapus.” (17:81)
Tuhan telah menetapkan, “Aku, dan rasul-rasulKu, senantiasa akan menang.” (58:21)
Muhammad, s.a.w., dan generasi-generasi Muslim yang awal percaya penuh kepada janji-janji Tuhan di atas, berpegang teguh kepada wahyu-wahyuNya, iaitu Quran, dan mencapai kejayaan yang gilang-gemilang. Mengikut beliau dan generasi-generasi Muslim yang awal, kita juga boleh mencapai kejayaan demikian.
Nota:
27. The Reconstruction of Religious Thought in Islam, h. 7.
28: Lihat 25:30
29: Lihat di atas, Bab I, h. 14-15.
30: Errol E. Harris, Nature, Mind and Modern Science, h. 451-52.
31: Quran, 2:62. Lihat juga 5:69 dan 2:25.
“Korupsi telah berlaku di seluruh daratan dan lautan, kerana pekerjaan rakyat. Oleh yang demikian, Dia menyebabkan mereka merasai akibat-akibat setengah pekerjaan mereka supaya mereka kembali.” (Quran, 30:41)
“Tuhan tidak mengubah keadaan sesuatu bangsa kecuali mereka mengubah diri mereka.” (Quran,