Monday, September 08, 2008

Janji Nasional Yang Menuggu Untuk Ditunaikan

Kassim Ahmad
6 September, 2008

Sekarang Pakatan Rakyat, sama ada ia menjadi Kerajaan Pusat atau tidak menjelang 16 September ini, (pembelian wakil rakyat mestilah dielak) mestilah menunaikan janji mereka kepada rakyat Malaysia. Janji mereka ialah untuk melahirkan sebuah negara Malaysia baru yang demokratik, telus dan adil. Walaupun kemenangan mereka dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac, 2008 tidak dijangka oleh mereka sendiri dan juga oleh lawan mereka, Barisan Nasional, rakyat Malaysia telah menunjukkan penolakan mereka terhadap politik elit Barisan Nasional yang bankrap itu dan memberikan Pakatan Rakyat mandat dan harapan untuk suatu politik baru yang demokratik, telus dan adil.

Kemenangan Pakatan Rakyat menguasai lima buah negeri kemenangan yang mudah dibandingkan dengan kerja dan perjuangan yang ada di depan mereka. Kerja dan perjuangan itu ialah memantapkan kerjasama di antara mereka serta merumuskan sebuah falsafah politik yang boleh memimpinkan mereka melaksanakan janji itu. Ini kerja yang lebih berat dibandingkan dengan kerja memenangi pilihanraya dulu. Pemimpin-pemimpin mereka haruslah bersedia untuk berdepan dan melaksanakan kerja yang lebih berat ini.

Satu kerja berat yang harus ditangani para pemimpin atasan Pakatan dengan segera ialah “mendamaikan” ideologi parti yang bercanggah dalam gabungan ini. Mereka hendaklah berjiwa besar serta meletak kepentingan rakyat dan bangsa Malaysia mengatasi ideologi kepartian masing-masing. Konsep-konsep “Negara Islam” dan “Hukum Hudud” hendaklah dikesampingkan, kerana konsep-konsep ini akan memecahkan gabungan ini, sedangkan tujuan positif konsep-konsep ini boleh dicapai melalui kaedah bijaksana yang dapat diterima oleh ketiga-tiga parti dalam gabungan ini. Dalam Islam, Tuhan memerintahkan penganut-penganutnya, apabila memerintah, supaya memerintah dengan adil. Oleh itu, dengan menggunakan istilah madani “pemeritahan yang adil”, tujuan PAS dapat dicapai.

Demikian juga dengan konsep undang-undang Islam. Dua prinsip hukuman dalam Islam ialah keadilan dan ihsan. Prinsip-prinsip ini akan diterima dengan tangan terbuka oleh DAP and juga PKR. Inilah kaedah yang harus digunakan oleh PAS, iaitu mencapai tujuan positif parti dengan menyesuaikan dirinya dengan kehendak bahasa madani kontempora. Begitu juga dengan keberatan PAS untuk menerima sekularisme. Islam tidak memisahkan antara dunia dan akhirat. Dunia dan akhirat suatu pasangan yang kait-mengait antara satu sama lain. Kita mahukan kedua-dua dunia dan akhirat. Tidak harus timbul masalah sekularisme.

Kita boleh merumuskan perkara-perkara di atas dalam suatu kerangka falsafah politik “Nasionalisme/Patriotisme, Humanisme, Demokrasi dan Keadilan.” Kita harus bersifat nasionalis/patriotik, kerana nasioanlisme Malaysia ialah tunggak negara kita yang pertama. Tanpa negara-bangsa Malaysia, di mana kita hendak berpijak dalam dunia antarabangsa? Kita harus bersifat humanis, kerana bangsa Malaysia ialah bangsa manusia dengan hak-hak yang sama. Kita harus bersifat demokratik, kerana kita mahukan rakyat memainkan peranan yang aktif, kreatif dan dinamik untuk menggubal dan melaksanakan dasar negara. Kita mesti bersifat adil, kerana pemerintahan yang adil itu dikehendaki oleh semua kaum di negara kita.

Falsafah politik inilah yang harus membimbing pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat berbilang kaum di negara kita untuk melahirkan sebuah Malaysia baru yang aman, progresif, demokratik dan adil.

Ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian segera oleh pimpinan nasional Pakatan Rakyat. Perkara-perkara ini ialah kemiskinan, rasuah, pembaziran dan penyelewengan, sistem pendidikan kebangsaan, peranan cerdik-pandai, peranan media cetak, sistem pengakutan awam dalam bandar, pertambahan jenayah dan juga reformasi Islam.

Setelah 51 tahun diperintah oleh UMNO/Perikatan dan kemudian UMNO/Barisan Nasional, kita masih belum dapat menyelesaikan masalah perkauman. Di samping itu, kita masih menghadapi masalah kemiskinan dan pengangguran. Rasuah, penyelewengan dan pembaziran bukan mengurang, tetapi makin bertambah. Kalau kita kira bagi dua puluh tahun yang lalu, nilai kewangannya makan mata puluhan bilion Ringgit Malaysia. Kita mesti menghapuskan kejahatan-kejahatan ini serta menyelamatkan wang yang banyak itu untuk digunakan bagi menghapuskan kemiskinan, menaikkan gaji bagi kakitangan awam supaya selaras dengan belanja hidup semasa, menggunakan sumber-sumber fizikal dan manusia negara kita (umpamanya tanah-tanah terbiar, latihan semula bagi kakitangan awam yang berlebihan untuk sektor-sektor ekonomi yang lain, dan sebagainya) untuk membangunkan sebuah ekonomi yang sihat dan berdaya saing.

Kita harus memperbaiki sistem pendidikan nasional dengan memperkukuh asas-asas nasionalnya (bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda di peringkat permulaan rendah) dan meningkatkan mutu pendidikan serta meluaskan skop pengajaran bahasa-bahasa antarabangsa dan skop pengajaran sains. Kita mesti menggalakkan cerdik-pandai kita menghasilkan karya-karya sains, falsafah dan seni. Selama ini falsafah dipandang serong oleh masyarakat kita, kerana sebab-sebab tertentu dalam sejarah kita. Keadaan ini harus diubah segera kerana ilmu falsafah itu ibu segala ilmu. Cerdik-pandai dalam masyarakat kita suatu kumpulan yang penting. Mereka harus diberi, dan memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Malaysia yang baru.

Pakatan Rakyat mesti membangunkan parti-parti mereka untuk menjadi jentera bagi melahirkan sebuah masyarakat Malaysia berbilang kaum yang bersatu, aktif, dinamik, kreatif and progresif. Tugas mereka bukan saja dalam pilihanraya, tetapi sepanjang masa, mendidik, memimpin dan membantu rakyat dalam semua bidang kehidupan.

Oleh kerana Malaysia sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama, pimpinan Pakatan Rakyat harus menubuhkan badan-badan berwibawa yang bersifat antara-agama dan antara-kaum yang boleh membincang dan menyelesaikan konflik agama dan kaum secara secara rasional dan aman. Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan pelbagai agama ingin melihat toleransi dan hubungan yang sihat antara agama. Suruhanajaya Antara-Agama yang telah dicadangkan beberapa tahun dulu, dan yang telah ditolak oleh Kerjaan Abdullah Badawi, patut dihidupkan balik dan diterima.

Media cetak dan media elektronik memainkan peranan yang besar mendidik dan membangunkan pemikiran rakyat supaya menjadi rasional, kreatif, progresif dan dinamik. Ini harus menjadi dasar media Kerajaan Pakatan Rakyat.

Bilangan kereta persendirian sudah menjadi terlalu banyak di negara kita. Ini menyebabkan kesesakan di bandar-bandar, seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh. Orang ramai terpaksa membeli kereta persendirian kerana sistem kenderaan awam yang tidak sempurna di bandar-bandar. Kerajaan patut mengeluarkan antara ¼ hingga 1/3 bilangan kenderaan persendirian dari dalam bandar, dan dengan itu melapangkan jalanraya untuk memboleh lebih banyak bas dan kenderaan awam beroperasi. Tempat-tempat penting, seperti hospital, tempat kerja, bank, pusat memberi-belah dan taman-taman perumahan patut ada bas pergi-balik 15 minit sekali. Ini akan menjimatkan banyak wang dan masa.

Kita telah meletakkan perkara reformasi Islam akhir, tetapi sebenarnya ia perkara yang sangat penting. Namun demikian, oleh sebab perkara ini agak kompleks, pimpinan nasional Pakatan Rakyat perlu memikirkan strategi dan kaedah yang sesuai untuk kita melaksanakan reformasi ini serta mencapai tujuan-tujuannya dalam satu jangka masa yang tidak terlalu lama. Yang perlu direformasi ialah sistem pelajaran agama, undang-undang perkahwinan dan perceraian, undang-undang faraid, undang-undang kewangan, dan lain-lain.

Dalam hal ini, kita harus juga mengkaji masalah “ajaran sesat” di kalangan masyarakat Islam. Walaupun kita menganut mazhab Shafi’e dari puak Ahli-Sunnah wal-Jamaah, tidak salah kalau kita mengkaji balik ritual amal-ibadah kita dengan tujuan untuk meringkaskannya. Tuhan Sendiri menyatakan bahawa agama Islam itu bukan untuk menysahkan kita. Agama Islam itu juga jalan pertengahan. Kita dilarang dari pelampauan dalam semua hal yang kita lakukan. “Ajaran sesat” harus ditangani dengan bijaksana, menggunakan kaedah bijaksana dan rasional dari kaedah menekan, seperti yang diamalkan sekarang.

Rakyat Malaysia berbilang kaum menaruh harapan besar kepada Pakatan Rakyat. Mereka telah memberi masa yang lama kepada Kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional. Malangnya, mereka telah membazirkan masa ini dan telah menghampakan harapan kita. Sekarang kita menemui suatu peluang baru. Kita harap peluang ini akan menemui para pemimpin yang akan menyambut peluang ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Rakyat Malaysia berhak untuk melihat janji ini ditunaikan.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com. Laman web beliau: http://www.kassimahmad.blogspot.com/

4 comments:

The Eugenist said...

Salam Dr..satu artikel yang amat padat, ringkas tetapi penuh informasi.

Namun, jika difikirkan daripada satu aspek yang berbeza, saya berpendapat rata-rata rakyat Malaysia masih sayangkan BN.

Mungkin mereka sengaja mengundi pembangkang bagi bertujuan untuk “mengajar” BN terutamanya UMNO supaya jangan terus bongkak dan riak.

Kenyataan terbaru wakil UMNO dari Pulau Pinang itu (rujuk www.malaysiakini.com) boleh dianggap sebagai pembakar semangat benci di kalangan Melayu dan dalam masa yang sama, memberikan kesedaran kepada kita bahawa selama ini sikap kita yang terlalu bertolak ansur ini ada kesannya.

Namun yang demikian, kita harus melihat kembali dan berfikir sejenak tentang keadaan politik Negara yang semakin meruncing. Apakah ia memberikan satu kesedaran supaya masyarakat kita meletakkan ketepi sikap “nasionalisme” melampau atau mula berfikir balik bahawa kita sebenarnya tinggal di Negara yang bukan terdiri daripada satu bangsa sahaja.

HESMEL FAZNEE FAISAL

p.s – Dr, harap dapat sediakan “link” laman web Facebook Kassim Ahmad ke blog sini.

ajip said...

artikel bernas dari pak kassim

semoga pemimpin pakatan membacanya

mungkin pak kassim boleh hantar di ruang letter malaysiakini/malaysia-today

Kassim Ahmad said...

Kawan-kawan yang dihormati,

1. Saya amat sedih membaca tulisan-tulisan menghasut benci dalam akhbar Melayu sejak PRU12. Inikah pencapaian cerdik-pandai Melayu selama 51 tahun merdeka?! Sungguh sedih dan memalukan!
2. Tuhan telah memberi kepada kita 51 tahun untuk membina sebuah negara yang aman, selamat dan adil. Kita sudah bazirkan masa itu. Kita sudah jadi satu bangsa yang tidak bermoral. Apa hak kita untuk memimpin?
3. Bolehkah UMNO pulihkan moral orang Melayu, sementara mereka menghasut kebencian dalam masyarakat?
4. Cerdik-pandai kita yang waras dan rasional harus berfikir dan bertindak membetulkan kecelaruan fikiran ini.
Wassalam.

hafiz said...

pak kassim, bagi saya utusan melayu a.k.a utusan malaysia adalah akhbar yang menjadikan minda melayu mati, tertutup, jumud dan kecil! berbanding akhbar2 cina, inggeris, ia amat-amat berbeza!

sebagai seorang anak muda. BN dan UMNo bagi saya sudah tiada apa2 erti lagi. Perkara lama sudah dibelakang, sekarang ini, perkara lama tetap perkara lama. saya tetap benci rasis! sebagai rakyat malaysia. Tak kira siapa kita, cina melayu india...kita harus pandang kedepan!

apa guna melaungkan HIDUP MELAYU tetapi setelah 51 tahun merdeka melayu punya peratus tinggi kemiskinan!? apa yang pemimpin UMNO buat!!!! slogan hidup melayu hanyalah retorik yang hanya boleh mempergunakan pakcik makcik dikampung...orang seperti saya takkan sama sekali termakan dengan slogan ini hahaha umno amat keji dan jelek. saya malu menyebutnya!

silalah kunjungi blog saya!