Friday, February 13, 2009

KEMELUT POLITIK DI PERAK:
MAKNA, IMPLIKASI DAN IKTIBARNYA

Oleh: Kassim Ahmad
13 Februari, 2009

Kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat dan kenaikan kembali Kerajaan BN di Perak melambangkan pergeseran sengit antara dua tenaga politik-sosial di negara kita untuk menguasai bangsa dan negara Malaysia. Aliran ini sudah bermula sejak Pilihanraya Umum ke-12 pada 28 Mac, 2008.

Sebelum ini, selama 50 tahum lebih, UMNO-Periktaan dan kemudian UMNO-Barisan Nasional, tidak pernah gagal menguasai Kerajaan Pusat dengan majoriti lebih dua-pertiga. Dalam masa ini, UMNO-Perikatan dan UMNO-BN hilang kuasa di negeri-negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Apakah yang menyebabkan kekalahan undi dua-pertiga di Pusat dan kekalahan di lima buah negeri oleh UMNO-BN dalam Pilihanraya Umum ke-12? Tiga faktor memainkan peranannya. Pertama, faktor kelemahan dalaman UMNO-BN sendiri kerana rasuah dan rebutan kuasa dalam UMNO-BN, termasuk kenaikan harga barang-barang keperluan. Kedua, faktor keruntuhan sistem kapitalis-liberal di pusatnya di Amerika dan Eropah Barat, dan keruntuhan ini melibatkan negara kita yang menjadi sebagian daripada sistem itu. Faktor ketiga: peranan Internet yang menawarkan sumber maklumat dan analisis yang bebas yang tidak diperoleh daripada media cetak yang terbatas oleh oleh undang-undang yang mengongkong.

Jelas sekali bahawa rakyat Malaysia mahukan perubahan yang dijanjikan oleh pakatan pembankang, sekarang terkenal dengan nama Pakatan Rakyat, terdiri dari PKR, DAP dan PAS. Keputusan dua pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu memperkuatkan lagi aliran perubahan ini.

Apa yang berlaku di Perak baru-baru ini tidak diduga oleh Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen dan ketua Pakatan Rakyat mengura-urakan pertukan parti oleh UMNO-BN kepada Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau menguasai Parlimen dan, dengan demikian, Kerajaan Pusat. Tiba-tiba, kebalikannya telah berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak apabila tiga anggotanya berpaling tadah dan seorang dari UMNO yang menukar kepada PKR kemudian berbalik kepada UMNO!

Oleh kerana Sultan Perak, berdasarkan kuasa yang diberi kepadanya oleh Perlembangaan Negeri Perak, telah melantik seorang Menteri Besar baru dengan barisan Exconya dari BN, maka wujud dua kerajaan Negeri. Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf kerajaan negeri yang baru dan mengaggap dirinya masih sah, kecuali ditumbangkan melalui suatu pilihanraya baru, atau undi tidak percaya.

Tindakan Raja Perak mungkin sah dari segi undang-undang, tetapi dari segi sentimen rakyat Perak pada waktu ini, tindakan ini tidak popular. Malah ia akan menarik simpati yang lebih kepada Pakatan Rakyat. Mungkin juga keputusan mahkamah mengenai saman Pakatan Rakyat terhadap kerajaan BN yang baru akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Jika ini berlaku, UMNO dan BN akan mengalami suatu kekalahan yang besar.

Apakah makna kemelut ini? Dan apakah implikasi dan iktibarnya?

Para pengundi Malaysia nyatalah mahukan perubahan apabila mereka mengundi dalam Pilihanraya Umum ke-12 itu. Satu aliran fikiran mahu melihat munculnya suatu sistem dwiparti di Malaysia yang boleh menawarkan perubahan kerajaan di Pusat dan juga di Negeri-negeri, seperti yang berlaku di dalam sistem-sistem demokrasi di Barat. Satu lagi aliran fikiran ialah yang menekankan satu “Harapan Baru” bagi Malaysia.

Kedua-dua aliran fikiran ini tidak sama. Pada umumnya, sistem dwiparti seperti di Barat, tidak menawarkan banyak perbezaan dari segi dasar, khansya dasar luar. Aliran “Harapan Baru” boleh ditafsirkan sebagai berbeza; bukan setakat mahu menawarkan suatu alternatif lain yang tidak banyak berbeza. Ia boleh ditafsirkan sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar akan memberikan hak-hask asasi rakyat, termasuk jaminan makanan dan perlindungan. Saya fikir inilah aliran yang dikehendaki oleh rakyat. Bolehkah Pakatan Rakyat memenuhi aspirasi ini?

Inilah soalan yang perlu diberi perhatian utama oleh kedua-dua tenaga politik-sosial yang sedang bertembung hebat di negara kita sekarang. Sudah lebih setengah abad, sejak tamat Perang Dunia Kedua, manusia mencari suatu sistem politik-ekonomi yang adil. Sekarang kita sudah tahu akan kegagalan sistem komunis-marxis dan sistem kapitalis-liberal. Kita juga tahu akan kegagalan sistem teokrasi kedua-dua di Eropah dan di Asia. Kita kena tanya diri kita: Apakah bentuk dan rupa sistem yang kita cari? Bagaimanakah boleh kita wujudkan sistem itu di negara kita?

Pertama sekali, pengalaman manusia selama setengah abad ini mengajar kita bahawa sistem yang kita mahu mestilah bersifat sekular. (Tuhan itu Maha Kaya dan tidak memerlukan apa-apa, termasuk taat-setia atau amal-ibadat manusia kepada-Nya.) Ini tidak bermakna sistem ini anti-agama. Ia tidak juga bermakna ia amoral atau tidak menghiraukan perhitungan moral. Ia mengutamakan aspirasi manusia, kemanusiaan, apa yang diperlukan oleh manusia dan yang boleh membawa kebahagian kepada kehidupan manusia, seperti yang termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia yang dibuat oleh PBB. Terhadap agama, sistem ini netral. Ia mengiktiraf kebebasan bergama dan hak semua orang untuk memilih dan menganut agama masing-masing. Terhadap moral, sistem ini mendukung slogan “memerintahkan kebaikan dan melarang kejahatan”, seperti yang diungkapkan dalam Quran.

Kedua, sistem ini bersifat demokratik. Pemerintahan mestilah bertunjangkan persetujuan dan kehendak rakyat, dalam kata-kata Abraham Lincoln yang masyhur itu: “sebuah kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”. Juga pemerintahan ini mestilah berdasarkan undang-undang, dan bukan berdasarkan kehendak seorang autokrat atau sekumpulan elit agama atau politik.

Ketiga, sistem ini mestilah boleh memberi kebahagian kepada rakyat dengan hak-hak asasi dalam bidang-bidang spiritual, moral, intelektual, material dan fizikal terjamin, seperti yang dirumuskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia PPB itu.

Di samping itu, sistem ini hendaklah bersifat nasional, yakni dicorak oleh budaya bangsa Malaysia, yang berasal dari dan bertunjangkan, budaya bangsa Melayu dari sistem Kesultanan Melayu Melaka, sebelum intervensi sistem penjajahan Eropah (Protugis, Belanda dan Inggeris). Dari warisan inilah kita memperoleh sistem Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Apa yang dipanggil “Ketuanan Melayu”, yang telah disalah-ertikan sekarang, berasal dari warisan sistem ini.

Namun demikian, kita mesti iktiraf bangsa Malaysia sebagai suatu anggota dari keluarga besar bangsa manusia, anak-cucu Adam. Oleh itu, bangsa Malaysia tidak ada keistimewaan, kecuali sifatnya sebagai suatu bagsa yang takwa, yakni yang “merintahkan kebaikan dan melarang kejahatan” dalam kehidupan nasional dan internasionalnya.

Tiada siapa boleh menafikan jasa besar UMNO kepada suku-bangsa Melayu dan negara Malaysia. UMNO telah memainkan peranan utama dalam perjuangan menentang komplotan “Malayan Union” penjajah Inggeris selepas Perang Dunia Kedua dan mencapai kemerdekaan. Dalam perjuangan ini, UMNO disertai oleh dua parti lain yang mewakili masyarakat Cina dan India, iaitu MCA dan MIC, dalam gabungan Perikatan. Gabungan ini kemudian diperluas untuk meliputi beberapa parti lain, termasuk di Sabah dan Sarawak, yang menyertai Malaysia pada 16 September, 1963, oleh Tun Abdul Razak, presiden UMNO yang ketiga (dikira dari Dato’ Onn yang kemudian meletak jawatan) dan Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Dari tarikh 31 Ogos, 1957 hingga 1976 apabila Tun Razak secara tiba-tiba meninggal kerana penyakit leukemia, Malaysia membuat banyak kemajuan dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan, pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, pembangunan luar bandar dan dasar luar.

Kemudian Dr. Mahathir, presiden UMNO yang kelima dan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, meletakkan Malaysia di persada dunia dengan dasar peridustriannya dan dasar-dasar lain yang merupakan lompatan bagi kemajuan Malaysia. Namun demikian, dalam zaman beliau (22 tahun) UMNO berpecah dua kali dan apa yang dipanggil “politik wang” (amalan membeli dan menjual undi) bermula dalam UMNO. Amalan demokrasi kian terbatas hingga Perhimpunan Agung UMNO tidak lagi menyuarakan hasrat anggota-anggota UMNO, khasnya, dan orang Melayu, umumnya. Kronisme, rasuah dan pembaziaran menjadi berleluasa. Dari sinilah masalah UMNO bermula, dan ia membawa kepada tersisihnya UMNO dari sebagian anggota-anggotanya sendiri dan juga dari orang Melayu.

Walaupun UMNO, dengan menubuhkan sayap-sayap puteri dan pemuda, berjaya memperoleh sokongan generasi muda dalam pilihanraya-pilihanaya, hal ini tidak kekal. Ini berlaku kerana keanggotan UMNO yang meningkat 3.2 juta orang hanya hebat pada zahir saja. Pada batinnya ia tidak hebat, kerana UMNO tidak menyelenggarakan kursus-kursus politik yang saintifik bagi anggota-anggota. Dengan lain perkataan, anggota-anggota UMNO tidak tahu perjuangan mereka. UMNO tidak menggariskan falsafah politiknya yang jelas dan anggota-anggotanya tidak tahu falsafah politik ini. Akibatnya, mereka tidak boleh menjadi pendidik dan pengawas kepada bangsa dan parti. Penyelewengan dari peringkat atas hingga ke bawah tidak dapat dicam dan dihalang oleh anggota-anggota parti, kerana mereka tidak mempunyai ilmu politik. Umumnya, mereka masuk parti kerana mahukan habuan material, kerana ini telah menjadi budaya dalam UMNO pada waktu ini. “Kalau aku tidak ambil, orang lain akan ambil!” Korapsi material memperanakkan korupsi mental!

Pada waktu beliau hendak meletak jawatan, Dr. Mahathir menangis serta mengaku beliau gagal mengubah minda Melayu. Saya tidak fikir minda Melayu tidak boleh diubah. Ia boleh diubah dengan ilmu yang saintifik. Budaya saintifik mesti ditanam dalam UMNO dan dalam masyarakat Melayu.

Ramai orang meramalkan pimpinan UMNO yang ada sekarang tidak boleh memulih dan menyelamatkan UMNO. Kemerosotannya sudah terlalu jauh, kata mereka. Saya fikir tidak ada yang mustahil bagi manusia. Yang perlu ialah kehendak dan tindakan. Tindakan tidak akan dapat dibuat jika tidak ada kehendak. Kehendak tidak berguna jika tidak diikuti dengan tindakan. Pimpinan UMNO sekarang mesti ada kehendak untuk membuat reformasi dalam UMNO. Kehendak ini kemudian hendaklah diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.

Perubahan-perubahan yang perlu dilakukan meliputi semua bidang: organisasi, politik dan pimpinan. Dalam bidang organisasi, UMNO tidak memerlukan bilangan anggota yang terlalu ramai. Apa yang diperlukan ialah anggota-anggota yang cerdik, aktif dan dinamik. Mereka harus diberi kursus politik yang saintifik. Kursus harus dibahagikan kepada tiga peringkat: kepada anggota-anggota baru, kepada kader-kader muda (untuk memegang jawatan di peringkat cawangan), dan kepada kader-kader kanan (untuk memegang jawatan-jawatan di peringkat bahagian dan pusat).

Dalam bidang politik, UMNO perlu melaksanakan dasar-dasar yang boleh memberikan kebahagian kepada rakyat, seperti yang telah kita huraikan di atas. Pembaziran, rasuah dan segala bentuk penyelewengan mesti dihapuskan, atau setidak-tidaknya, diminimumkan. Wang yang diselamatkan dari pembaziran, rasuah dan segala bentuk penyelewengan, sebagiannya hendaklah diperuntukkan bagi menaikkan gaji kakitangan awam di peringkat-peringkat bawah, supaya tidak ada rakyat yang pendapatnya tidak cukup untuk menyara keluarganya. Tindakan ini akan menghapuskan rasuah, dan, di samping itu, membantu menghapuskan jenayah yang sekarang kian meningkat.

Pembaziran boleh dihapuskan dengan mengurangkan bilang pekerja dalam perkhidmatan awam. Mereka ini boleh diberikan latihan-latihan yang sesuai untuk memasukkan mereka ke dalam bidang pertanian yang masih luas skopnya, dan, dengan itu, meningkatkan penghasilan negara kita.

Kesesakan jalanraya di bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, perlu diatasi dengan mengurangkan kereta persendirian dalam bandar-bandar besar itu serta membaiki sistem kenderaan awam di sana.

Dalam bidang pimpinan, anggota-anggota UMNO mesti memastikan orang yang paling layak saja yang diberi jawatan. Mereka mesti mensyaratkan prestasi yang tertinggi bagi pemegang-pemegang jawatan.

Rakyat yang patriotik mestilah membantu UMNO membuat perubahan-perubahan ini. Jangan kerana perasaan benci, maka kita tidak berlaku adil kepada UMNO dan melupakan jasa-jasanya. Namun demikian, UMNO harus ingat ia perlu melakukan perubahan-perubahan ini, jika ia mahu terus memainkan peranan asalnya sebagai pejuang dan pembela bangsa.

Demikian juga bagi Pakatan Rakyat. Harus diingat bahawa Anwar Ibrahim dan sebagian besar dari anggota PKR ialah bekas anggota-anggota UMNO yang keluar dari UMNO bersama gerakan reformasi Anwar Ibrahim setelah beliau disingkirkan dari UMNO. Seperti yang telah saya katakan, setakat mahu mewujudkan sistem dwiparti seperti di Barat, tidaklah mencukupi. Rakyat mahu suatu perbuahan besar, suatu “Harapan baru”, slogan yang diciptakan oleh Anwar. Bolehkah PAS dengan kecenderongan teokrasinya, dan DAP dengan dasar “Malaysian Malaysia”-nya yang tidak berpijak ke bumi nyata, dan PKR yang terselit di tengah-tengah, melaksanakan “Harapan Baru” ini. Mereka harus menyelesaikan percanggahan ideologi ini dengan segera serta melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan slogan “Harapan Baru” mereka.

Kita tidak perlu mengikut sejarah Barat dengan mengadakan sistem dwiparti. Kita perlu menggabungkan tenaga bangsa untuk memajukan bangsa kita, mengikut acuan kita sendiri.

Rakyat mahukan perubahan, bukan mahukan Pakatan Rakyat. Mereka akan melihat bagaimana kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri-negeri di bawah kuasa mereka. Jika mereka tidak boleh menunaikan janji mereka, mereka akan ditolak, dan rakyat akan membuat pilihan lain. Inilah undang-undang pergantian, yang merupakan natural law atau sunnatullah.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com Laman web beliau

16 comments:

Suhaimi Said said...

Bung Kassim, saya bersetuju dengan sesetengah pandangan Bung, tapi tak bersetuju dengan sesetengah perkara. Saya dah tulis melalui Blog Anwar Ibrahim, rojoklah disana.

Suhaimi Said, Temerloh.

Yusmir Yusop said...

Pak Kassim,saya melihat pemimpin pilitik di malaysia lebih ghairah mengamalkan politik rendah dengan menonjolkan persepsi bahawa sosok tertentu sebagai pembawa harapan sedangkan sosok tersebut dikongkong oleh sekelilingnya.

Malah,populariti menjadi 'gula-gula' politik sebagai pemancing undi.Terus-terang saya katakan di Malaysia,baik oposisi mahupun pemerintah,sudah jarang kita melihat wisdom walaupun ada di antaranya punya kelulusan Ph.D dan sebagainya.

Pada pandangan saya,rakyat yang harus dimatangkan fikiran mereka dengan kursus-kursus saintifik politik ini agar bisa memilih pemimpin yang benar-benar tulen.

Masih kita lihat pertembungan David and Goliath ini sebagai isu peribadi dan bukan semata-mata kerana rakyat.Alangkah sedih mata-mata pejuang kemerdekaan dulu dan alangkah gembiranya musuh-musuh kita di luar sana!

Kassim Ahmad said...

Sdr Suhaimi Yth.,

Saya cuba pergi ke blog A.I, tetapi tidak berjaya.
Wassalam.

bahazain said...

SALAM KASSIM.
APA KHABAR? BARU-BARU INI JUMNPA TUN DAIM , DAN TERSEBUT JUGA NAMA SDR SEWAKTU BERSEMBANG. ITULAH SAYA JENGUK BLOG SDR . MENARIK PEMBICARAAN TENTANG UMNO. NAMPAKNYA SDR BERPENDAPAT 22 TAHUN MAHATHIR BERKUASA MENINGGALKAN BEBAN TERUK UNTUK UMNO HARI INI. INI BUKAN SALAH MAHATHIR SAHAJA KERANA SEMUA SUDAH JADIKAN UMNO TELAGA EMAS TEMPAT KOREK UNTUNG ("umno parti businessmen" MACAM MCA JUGA). APA PUN BEBAN BUSUK YG MAHATHIR TINGGALKAN PADA SAAT AKHIR IALAH MENYINGKIRKAN BAHASA MELAYU 6 BULAN SEBELUM DIA TOLAK KERUSI. NAH! SEKARANG KELOMPOK BUDAYA/IMUWAN/PENULIS /PELAJAR YG APOLITICAL BERSAMA-SAMA SERENTAK MENOLAK PEMIMPIN UMNO KERANA DIANGGAP SEBAGAI PAGAR MAKAN PADI.
SANGATLAH MALANG. SAYA BERGIAT DAN BERJUANG MEMBANGUNKAN BM SELAMA 50 TAHUN DAN AKHIRNYA SAYA BERASA DIKHIANATI' JENGUKLAH (bahazain.blogspot) dan harap dapat pandangan tentang isu PPSMI

Kassim Ahmad said...

Sdr Baha yang budiman,

Salam.
Saya sudah lawati blog Sdr. Rajin Sdr menulis di blog. Apa kata Pak Lah apabila Sdr menyerahkan warkah itu kepadanya? Sudah dia jawabkah?
Walaupun saya tidak setuju penggunaan BI bagi Sains dan Matematik, saya tidak anggap ini perkara utama. Perkara utama ialah sistem pendidikan kita seluruhnya dan kedudukan BM dalamnya.
Betul saya kurang sihat. Penyakit jangkitan paru-paru yang tumbuh dari penyakit bronchitis saya yang lama. Jarang sekali saya pergi ke mana-mana.
Jadi, saya gunakan baki hidup saya untuk menulis buku yang besar kemungkinan ialah buku akhir saya. Minat utama saya ialah falsafah - makna hidup kita. Tajuk sementara buku ini: "Islam -- the Religion of Divine Unity". Saya harap saya boleh selesaikan buku ini sebelum saya dipanggil mengadap!
Pada mulanya saya jangka buku ini boleh saya selesaikan bulan Mei ini. (Saya sudah memulakan September tahun lalu.) Tetapi semakin lama saya menulis, semakin banyak saya kena baca. Saya harap selewat-lewatnya bulan September.
Wassalam.

Anonymous said...

salam hangat dari saya,

Anonymous said...

mohon komentar dan follow di blog saya, makasih

Suhaimi Said said...

Bung Kassim,

Saya lebih tertarik dengan kupasan Scientific Socialism, saya belajar dari Bung dulu.

Ada ketegasan dalam politik dan tindakan. Kita betul-betul dapat identify perjuangan kita yang dapat dibezakan dengan feudalism dan capitalism.

Kita golongan sosialis. Perjuangannya dalah untuk kaum pekerja, petani, nelayan, berjuis kecil dan golongan intelektuil yang progresif dan individu-individu yang mahu berjuang untuk rakyat.

Kita jelas menentang Imperialisme dan kita jelas menyokong gerkan rakyat di seluruh dunia.

Kita jemu dengan ideologi yang sosialis tidak, kapitalis tidak, kebangsaan tidak, Islam tidak -- cacamurba, yang berakhir dengan kepentingan diri sendiri. Asal aku senang, aku kaya, aku peduli apa orang lain and at the same time menjadi penipu kononnya memperjuangkan rakyat (shit!).

Bung boleh ikuti tulisan saya dalam http://lubokkawah.blogspot.com.

Kenapa Lubok Kawah? Itu nama kampong saya. Kampong itu adalah Markas API, disitu berlaku pemberontakan terhadap Inggeris. Bercerita tentang PKMM, API, AWAS dan organisasi-organisai progresif menentang penjajahan adalah menceritakan sejarah Lubok Kawah.

Ayah saya adalah anggota API. Dia akhirnya ditahan beberapa tahun didalam penjara (kem tahanan Inggeris) dan keluar dari tahanan pada tahun 1953.

Semua saudara mara saya yang pada waktu itu berumur 18 tahun keatas kesemuanya ditahan oleh Inggeris.

Adakah perjuangan itu sudah tidak relevan kerana kita sudah Merdeka?

Rasanya perjuangan mereka itu masih relevan diatas sebab bahawa sesetengah perkara yang mereka perjuangkan itu masih tidak selesai hingga ke hari ini.

Demokrasi -- maasih tidak selesai?
Demokrasi Berparlimen -- masih belum selesai.
Raja Berperlembagaan -- masih belum selesai.
Penindasan -- masih belum selesai.
Rasuah -- jauh lagi dari selesai.
Kehakiman -- semakin teruk.
Pilihanraya -- lebih banyak penipuan.
MERDEKA? Mungkin Inggeris sudah tidak menjadi tuan kita, tetapi sudahkah kita benar-benar Merdeka?

Terima kasih Bung.

Anonymous said...

Pak Kassim,
Dapatlah saya fahami bahawa Pakatan Rakyat tidak akan menjadi pakatan rakyat yang sebenar melainkan PAS memperbetulkan pendirian mereka tentang 'negara Islam' dan mengenepikan 'hukum hudud', dan pada masa yang sama DAP menggugurkan kosep 'Malaysian Malaysia' daripada perjuangan mereka.

UMNO pula tidak akan kembali menjadi sebuah parti yang mampu membela nasib rakyat, kecuali jika politik perebutan kuasa dan penyelewengan dibanteras, dan isu-isu semasa dapat diselesaikan secara rasional dan saintifik.

Tentu sekali perubahan-perubahan di atas bersifat revolusi bagi kedua-dua belah pihak di atas. Pada pendapat peribadi Pak Kassim, secara relatifnya yang manakah lebih mudah tercapai:
pakatan rakyat yang sebenar antara PAS-DAP-KeADILan, atau
UMNO yang kembali membela nasib bangsa?

Wassalam.

Kassim Ahmad said...

Sdr Suhaimi,

1. Memang kita belum merdeka sepenuhnya dan demokratik sepenuhnya. Tetapi asas-asas kemerdekaan dan demokrasi itu sudah ada di tangan kita.
2. Tugas kita sekarang ialah menyempurnakan kedua-duanya dengan kehendak dan aktiviti kita sendiri.
3. PRU ke-12 membuktikan kita boleh buat No. 2. Namun demikian, kita baru di peringkat pertama dalam usaha itu. Kita harus meneruskan proses ini.
Wassalam.

Sdr. Ataturk,

1. Masa depan kita terbuka.
2. Bolehkah PR menjadi sebuah kerajaan baru yang adil kepada rakyat Malaysia? Jawabnya, boleh, dengan syarat. Apakah syarat-syarat itu? Seperti yang saya katakan dalam artikel itu.
3. Bolehkan UMNO memulih dan meningkatkan perjuangan asalnya? Jawabnya juga, boleh, dengan syarat. Syarat-syarat itu telah saya nyatakan dalam artikel itu.
4. Yang mana lebih baik, atau lebih mudah dicapai? Jawabnya, tidak ada yang mudah dicapai. Semuanya memerlukan perjuangan di jalan kebaikan.
5. Juga, kita tidak perlu tiru Barat. Sistem dwi-parti atau jamak-parti itu masih tidak memenuhi sistem "Jalan Yang Lurus" yang dianjurkan dalam Quran.
Wassalam.

Anonymous said...

Salam Pak Kassim,

Saya ingin dapatkan bahan pembacaan dari Pak Kassim, dimanakah boleh saya membelinya?

Saya sedih sekali, di zaman persekolahan, saya tidak dikenalkan dengan pejuang bahasa seperti Pak Kassim sebaliknya pejuang bahasa di Barat..

Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa menulis disini..saya berkesempatan untuk membacanya dan menghayati setiap tulisan Pak Kassim.

Salam hormat,

Nurul Rahman
www.nurulrahman.com/blog

Kassim Ahmad said...

Sdr Anonymous,

1. Kemungkinan besar semua buku saya, kecuali yang terbaru (Memoir "Mencari Jalang Pulang")tidak ada lagi dalam pasaran.
2. Namun demikian, buku-buku ini boeh dipinjam atau dibaca di semua perpustakaan besar (Universiti Malaya, DB&P dan USM).
Wassalam.

Mr Belimbing said...

Salam Pak Kassim,

Moga dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang lebih baik.

Mengikut kata Pak Kassim, "Pada batinnya ia tidak hebat, kerana UMNO tidak menyelenggarakan kursus-kursus politik yang saintifik bagi anggota-anggota. Dengan lain perkataan, anggota-anggota UMNO tidak tahu perjuangan mereka. UMNO tidak menggariskan falsafah politiknya yang jelas dan anggota-anggotanya tidak tahu falsafah politik ini. Akibatnya, mereka tidak boleh menjadi pendidik dan pengawas kepada bangsa dan parti."

Betullah itu, UMNO terlalu hanyut dan menganggap ianya kerajaan sedangkan kerajaan dan parti UMNO itu dua perkara yang berbeza, walaupun kebanyakan menteri2 dari kalangan UMNO.

Saya rasa UMNO patut menyisihkan dirinya daripada kerajaan dan melakukan aktiviti mengikut dasar2 parti w/pun bertentangan dgn dasar2 kerajaan.

Dulu ada juga UMNO terbit buku yg pernah saya baca seperti revolusi mental dan sbginya tp sekarang saya x nampak apa2 pun. Manakala, PKR pula lebih giat menerbitkan buku2 yang menyerlahkan dan menjelaskan prinsip2 dan falsafah mereka.

UMNO juga tidak ada menaja atau memberi biasiswa kpd pelajar2 utk menarik mereka menjadi pengganti2 yang berkaliber dan menyokong idea2 UMNO. Umno juga tidak menggerakkan aktiviti2 mereka sebagai parti tetapi sebagai kerajaan. Saya merasakan itu satu kesilapan dalam strategi UMNO kerana apabila kerajaan membuat kesilapan, parti UMNO itu sendiri akan dihukum.

UMNO perlu berubah supaya mereka berdiri sendiri dalam dasar2, prinsip2 dalam parti supaya rakyat melihat apabila keputusan kerajaan dibuat ttg sesuatu perkara atau isu, rakyat akan melihat dari segi isu shj dan bukan dgn melihatnya keputusan parti UMNO dan menghukum UMNO.

Apa pandangan Pak?

maurice said...

Saya lihat tidak ada perbezaan besar antara BN dan PR.Ianya gabongan pelbagai parti politik yang ingin bekerjasama di bawah satu manifesto politik.


Saya rasa BN masih mampu mendapat sokongan majoriti rakyat sekiranya ianya dapat mewujudkan kembali kebudayaan politik yang bersih dan tulus dan tidak terkonkong dengan gejala-gajala rasuah.

PR masih memerlukan masa untuk menyakinkan rakyat bahwa ianya benar-benar sebuah parti politik alternatif yang dapat menjamin kesahjateraan rakyat.

Saya lihat evolusi politik negara kita menuju ke arah yang tidak menentu kerana kita masih belum dapat melihat kemunculan satu ideoloji politik yang yang lebih menyakinkan.Dengan itu sokongan perlu diberi kepada pihak ynag berkuasa kerana sekurang-kurangnya keselamatan negara dapat terjamin.Sebarang perubahan politik biarlah berlaku melalui peti undi.

YAAKUB ISA said...

Sdr Kassim,
Saya baru menerima kiriman buku Sdr Mencari Jalan Pulang... daripada anak saya. Cepat saya habis membacanya.

Sedih mendapat khabar melalui buku Sdr itu Sdr Che'Mat Mohd. Omar telah meninggal dunia. Saya memang lama putus hubungan dengan almarhum. Kami bersama-sama mengajar di Jerantut sekitar 1980-an.

Blog saya: www.sejarah-pendidikan.blogspot.com.

Saya mendoakan agar buku yang sedang dikerjakan itu akan cepat terbitnya; dan, jangan abaikan kesihatan diri. Take care!

Wassalam.

moloyue said...

Sdra Kasiim,

Setakat ini UMNO tidak mampu membuat sebarang perubahan atau reformasi. Pemilihan Najib sebagai Presiden, seorang yg terpalit dng skandal rasuah dan pembunuhan Altantuya adalah satu petunjuk yg sangat jelas.

Oleh itu, UMNO hanya menuju kesatu jalan iaitu kehancuran dan sementara itu sebagai seekor harimau yg cedera ia akan terus mengganas dng tindakan-tindakan yg tidak demokratik, kepolisian dan penggunaan ISA.