Friday, April 24, 2009

UCAPAN PERASMIAN
MESYUARAT AGUNG FORUM IQRA’ YANG KE-8
DI RUMAH PENA, KUALA LUMPUR
PADA 26 APRIL, 2009


Saya mengalu-alukan kedatangan suadara-saudari ke MAT kita yang ke-8 pada hari yang berkat ini. Kita sudah berjuang selama lapan tahun lebih dari penubuhan badan ini pada 1 November, 2000 hingga ke hari ini. Malah gerakan mengembali atau membawa ajaran Quran kepada rakyat kita telah bermula di negara kita dari tarikh penerbitan buku saya Hadis – Satu Penilaian Semula pada tahun 1981. Gerakan ini harus dianggap sebagai sebagian daripada satu gerakan gergasi yang beraneka-ragam sifatnya, yang telah bermula di seluruh dunia sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, atau lebih awal daripada itu, dari tamatnya Perang Dunia Pertama. Tujuan utama gerakan agung ini ialah untuk menubuhkan sebuah dunia yang aman, adil, makmur dan bahagia untuk semua manusia.

Di negara kita, kita seumpama sebuah anak sungai dari sebuah sungai yang besar ini. Sungai yang besar ini juga telah dan sedang bertemu dengan sungai-sungai lain yang menuju ke lautan yang bergelora dengan kebenaran dan keadilan sejagat. Dalam memoir saya Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme kepada Islam yang terbit dalam bulan Mei tahun lalu, saya telah mengucapkan “Selamat tinggal” kepada dunia penindasan yang lama serta menga-alukan kedatangan sebuah dunia baru yang yang adil yang sedang muncul. Saya lambangkan peristiwa besar ini dalam sebuah sajak saya yang berjudul “Pembunuhan Dajjal” yang saya tulis dalam tahun 1998. Sajak ini telah saya lampirkan dalam buku memoir itu.

Sebagai menyambung cerita kemanusiaan ini, saya sedang menulis sebuah buku baru, kali ini dalam bahasa Inggeris, yang saya beri judul sementara “Islam – Agama Tauhid” (“Islam – the Religion of Divine Unity”). Dalam keadaan kesihatan saya yang tidak begitu baik (saya mengidap penyakit jangkitan paru-paru, yang boleh membawa maut) saya sedang bertungkus-lumus untuk menyudahkan buku ini dalam masa setahun, insya Allah.

Saya menceritakan hal ini supaya kita semua tidak menjadi pesimistik dengan kemajuan lahiriah gerakan kita yang kecil ini. Walaupun, Ketua Pengarah JAKIM yang lalu, Mohd. Shahir Abdullah (yang telah meninggal dunia), setelah dua kali berdialog dengan Foriq, telah membuat kenyataan akhbar mengatakan saya dan kumpulan saya tidak “anti-Hadis”, (Utusan Malaysia, 7 September, 2001, hal. 25) label ini tetap terus dilemparkan kepada kita untuk menetralkan pengarah kita kepada masyarakat. Tetapi melihat kepada sambutan menggalakkan yang diberi kepada memoir saya oleh masyarakat kita dan juga pengaruh buku saya Hadis – Satu Penilaian Semula, yang telah diterjemahankan ke dalam bahasa Inggeris dan Arab, dan pengaruh esei-esei saya dalam bahasa Inggeris, yang boleh didapat dalam Internet, -- nama saya tidaklah begitu buruk, seperti yang dikehendaki oleh komplot jahat yang saya sebutkan ini.

Saya menceritakan ini semua bukan untuk menaikkan ego saya. Tuhan menyuruh kita membunuh ego kita, kerana egoisme suatu bentuk syirik. Kita semua hamba Allah, daripda Adam dan Hawa, kepada yang paling akhir di antara kita menghuni alam ini dengan tugas melaksanakan perintah Tuhan; tetapi kita juga khalifah Allah yang harus bertindakan bersama Tuhan untuk mengubah dunia ini menjadi jannah, syurga. Dalam hidup kita, kita mestilah cuba memainkan kedua-dua peranan ini, di antara beribu-ribu, malah berjuta-juta, insan yang telah pergi, yang sedang hidup, dan yang akan datang untuk mencipta syuga ini.

Ahli falsafah Amerika, Lyndon H. LaRouche, Jr. membahagikan manusia kepada dua puak yang berlawan berterusan, dari dulu hingga sekarang, hingga puak yang baik, puak humanis menang. Puak yang jahat beliau panggil puak oligarki, puak penindas. Analisis ini bertepatan dengan ajaran Quran.

Tuhan berfirman dalam Quran bahawa rancangan Dia tidak boleh digagalkan. Kita lihat di negara kita pihak berkuasa agama cuba merendahkan agama Tuhan dengan menjadikan dia seolah-olah agama esklusif orang Melayu. Tiada siapa dibenarkan membincang hal-hal agama, kerana agama, kononya, sensitif! Dialog antara agama tidak dibenarkan. Agama Kristian tidak dibenar menggunakan perkataan-perkataan seperti ‘Allah’, kerana, kononya, perkataan-perkataan ini khusus untuk agama Islam saja. Hinggakan pemimpin-pemimpin bukan-Islam dilarang menggunakan ayat-ayat Quran dalam ceramah-ceramah mereka! Hal-hal ini semua yang nyata tidak benar dan tidak menasabah akan menjatuhkan mereka.

Agama Islam agama universal. Nabi Muhammad dikirim kepada semua manusia dan Quran, kitab suci Tuhan yang terakhir, diajukan untuk dijadikan bimbingan bagi semua manusia. Dua saja sikap yang diajarakan oleh Tuhan kepada orang Islam terhadap orang bukan-Islam, iaitu, pertama, toleransi, dan, kedua, perbahasan yang rasional dan bersopan. Malangnya, pihak berkuasa agama di negara kita menggunakan agama bukan untuk mencari kebenaran dan kebaikan, tetapi untuk mengekalkan kedudukan duniawi mereka. Ini membuktikan bahawa mereka tidak ikhlas terhadap Islam. Mereka tidak akan berjaya. Mereka akan jatuh.

Quran sebuah kitab suci yang merayu kepada akal rasional. Nabi Muhammad tidak mempunyai mukjizat, kecuali Quran. Kita boleh mengumpamakan Quran sebagai sebuah lautan yang dalam. Pengertian kita terhadapnya masih amat terbatas. Sedangkan kita perlu memahami Quran dengan ilmu logika dan ilmu sains, pemimpin-pemimpin agama Islam telah menutup pintu ijtihad sejak abad kedua-belas lagi. Akibatnya, pimpinan saintifik dunia telah bertukar dari dunia Islam ke dunia Barat. Kita harus rebut kembali pimpinan ini ke tangan Islam. Ini sedang berlaku. Penulis dan pengkaji Islam yang telah menerima Quran semula sebagai panduan hidup mereka telah mula melakukan kajian ini sejak tiga dekad lalu. Inspirasi ini juga yang mendorong saya meunuls buku yang sedang saya tulis sekarang.

Dengan itu, dengan lafaz “Bismillah” saya dengan sukacitanaya merasmikan Mesyuarat Agung kita yang kelapan. Selamat bersidang!



Kassim Ahmad
Presiden
26 April, 2009.

10 comments:

Mohd Faizal said...

Asm Dr..

Saya tertarik dengan kenyataan 'Nabi Muhammad tidak mempunyai mukjizat, kecuali Quran, dalam ucapan ini.

Boleh Dr huraikan secara ringkas apakah maksud Nabi Muhammad tidak mempunyai mukjizat selain Al-Quran.

Sekian

Kassim Ahmad said...

Sdr Faizal Yth.,
Lihat Quran 24: 50-51. Orang kafir Arab meminta sebuah mukjizat daripada Nabi Muahammad supaya mereka boleh percaya beliau. Tuhan jawab Quran itulah mukjizat.
Zaman sebelum Nabi Muhammad, kebanyakan manusia percaya kepada magis, sedangkan Islam mahu menghapuskan kepercayaan-kepercayaan yang bersifat khurafat. Islam mengajak dengan akal rasional. (Lihat Quran, 10: 100)
Seperti kata ahli falsafah Pakistan, Muhammad Iqbal, dengan Nabi Muhammad, manusia melangkah masuk Zaman Sains dan Teknologi Moden. Sebab itu Nabi Muhammad "penamant segala nabi". Tidak ada nabi selepas Muhammad.

moloyue said...

Assalamualaikum Sdra Kassim,

Saya nak pilih untuk komen satu perkara iaitu kenyataan sdra bahawa bekas pengarah JAKIM, Mohd Shahir ada menyatakan bahawa sdra dan geng adalah tidak anti hadis. Tetapi sdra dan geng menolak semua hadis (walaupun ada masa sdra kata tidak menolak semua hadis). Jadi apakah pentingnya untuk memetik kenyataan bekas JAKIM tersebut?Apakah bezanya anti hadis dng menolak hadith?

Anti bermakna menentang (oppose) atau menolak. Bukankah itu yg sdra perjuangkan selama ini?

Saya rasa ini adalah satu drpd kontradiksi2 dlm pemikiran sdra. Salam.

moloyue said...

Kpd Sdra Faizal,

Kalau saya blh jelaskan: Sdra Kassim Ahmad monolak hadith dan mengiktiraf hanya Quran. Semua mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. direkodkan sebagai Hadith. Jadi kpd Sdra Kassim lain2 mukjizat selain drpd Quran tidak wujud.

Melayu said...

Oleh kerana 'anti' bermakna 'menolak', maka apabila Mohd Shahir menyatakan bahawa Kassim Ahmad tidak anti hadis, ini bermakna Kassim Ahmad tidak menolak hadis.

Kassim Ahmad tidak pernah menyatakan bahawa beliau menolak semua hadis. Di antara pendirian beliau ialah, menolak sejumlah hadis yang bercanggah dengan ajaran Quran. Beliau juga menerima sebilangan hadis yang selaras dengan Quran.

Menolak kepalsuan dan menerima kebenaran bukanlah suatu kontradiksi. Ia bahkan suatu konsistensi.

Kenyataan bahawa Kassim Ahmad menafikan kewujudan mukjizat selain Quran kerana penolakannya terhadap kesemua hadis adalah tidak betul, kerana masih ada hadis yang beliau terima.

moloyue said...

Sdra Kassim,

Quran 24: 50-51 bukan mengenai mukjizat tetapi mengenai sikap org munafik dan muslimin. Saya perhatikan sdra selalu memetik Al-Quran secara rambang dan tidak kena mengena dng perkara yg dibicarakan; sdra menggunakan terjemahan yg sama sekali salah; sdra menggunakan terjemahan Rashad Khalifa yg juga seorang penentang hadith (pengikut beliau menganggapnya sebagai nabi, beliau pernah dituduh mencabul kanak2 perempuan dibawah umur dan beliau mati dibunuh mungkin oleh org Islam yg menentang ajarannya); dan sdra menggunakan terjemahan quran dlm konteks yg salah.

Oleh itu pembaca laman ini harus sangat berhati2 dng penulisan2 sdra Kassim Ahmad.

Melayu said...

Izinkan saya mencelah. Sebenarnya ayat yang mengisyaratkan bahawa Quranlah satu-satunya mukjizat Nabi Muhammad, memang wujud.

Mungkin saudara Moloyue boleh menyenaraikan bukti yang menunjukkan bahawa Dr. Kassim "selalu memetik Quran secara rambang dan tidak kena mengena dengan perkara yg dibicarakan". Saudara Moloyue harus bertanggungjawab di atas tuduhan yang serius ini.

Pada pemerhatian saya pula, selalunya ayat-ayat yang dipetik oleh Dr. Kassim adalah bertepatan dengan perkara-perkara yang dibincangkannya. Kalau adapun ayat yang tersalah petik, seperti dalam tulisan beliau di atas, ayat Quran yang sepatutnya dipetik ada di tempat lain dalam Quran, bukannya tidak wujud sama sekali. Sebagai contoh, beliau tersalah petik/tulis 24:50-51, tetapi yang beliau maksudkan sebenarnya ialah 29:50-51 (Surah Al-Ankabut). Ia cuma kesilapan teknikal. Maka tidak timbul isu penterjemahan Quran dalam konteks yang salah di sini.

Tentu sekali Dr. Kassim Ahmad tidak menggunakan satu terjemahan sahaja dalam kajiannya terhadap ajaran Quran selama berpuluh-puluh tahun (30 tahun kalau tak silap saya). Beliau turut menggunakan terjemahan Yusuf Ali, Marmaduke Pickthal, Pimpinan Ar-Rahman dan lain-lain. Dakwaan bahawa beliau hanya menggunakan terjemahan Rashad Khalifa dalam kajiannya adalah tidak benar.

Terjemahan Quran oleh Rashad Khalifa dan tuduhan yang dibuat terhadap susuk tubuhnya, adalah dua perkara yang berbeza. Saya teringat suatu kata-kata yang menarik - Unzhur ma qila, wala tanzhur man qala (lihatlah pada apa yang diperkatakan, bukan siapa yang mengatakannya).

Setiap kita harus berhati-hati dalam membaca tulisan sesiapa sekalipun, termasuklah tulisan ulama. Supaya kita tidak terjerat dengan ajaran yang tidak selaras dengan Quran.

moloyue said...

Sdra Melayu/Sdra Kassim,
Saya pernah bangkitkan mengenai terjemahan dan konteks Quran yg salah yg digunakan oleh Sdra Kassim dimana beliau mendakwa menggunakan terjemahan Rashad Khalifa dan Yusuf Ali. Saya berikan terjemahan Yusuf Ali yg sebenar. Saya tidak membuat tuduhan membuta tuli tetapi untuk mencari kembali mesej2 tersebut mengambil masa.

Saya tak hairan jika Sdra Kassim menggunakan banyak terjemahan dlm masa mengkaji Quran lebih drpd 30 tahun tetapi ini tidak bermakna beliau tidak membuat banyak kesilapan asasi. Ramai pengkaji Quran/Islam dari kalangan yahudi yg lebih pakar mengenai Islam dan Quran tetapi mereka adalah merupakan musuh2 Allah dan RasulNya, mengkaji Quran dan Islam dng tujuan memusuhinya.

Siapa yg mengatakan sesuatu adalah juga penting dng apa yg dikatakan olehnya. Itu sebabnya Rasulullah mempunyai keperibadian yg begitu mulia bagi membawa syariat Islam. Jika seseorang membawa sesuatu berita penting tentu org yg mendengar akan bertanya terlebih dahulu siapa yg membawa berita itu!

Saya setuju kita mesti berhati2 membaca penulisan sesiapa pun terutama jika ia berlagak sebagai ulamak.

Melayu said...

Jikalau tak mampu tunjukkan bukti, dengan pelbagai alasan, janganlah buat tuduhan.

Hasil usaha Kassim Ahmad selama lebih daripada 30 tahun mengkaji Quran itu, amat bermakna dalam dunia penyelidikan. Ia harus difikirkan, dikaji dan dianalisis selanjutnya, dengan membandingkannya dengan hasil-hasil penyelidikan yang lain, kemudian dipilih mana pandangan yang terbaik untuk diikuti. Sikap menolak sesuatu pandangan kerana kefanatikan terhadap pandangan yang lain bukanlah sikap yang membawa kita kepada hidayah Tuhan, dan ia menggambarkan sikap orang-orang yang berfikiran cetek.

Salah satu prinsip dalam penterjemahan Quran secara saintifik, adalah dengan memiliki niat yang baik. Tanpa niat yang baik, kita tidak akan dapat memahami ajaran Quran yang sebenar. Ternyata "pengkaji Quran/Islam dari kalangan yahudi" yang memusuhi Islam itu bukanlah pakar mengenai Quran, kerana mereka berniat jahat. Kenyataan Moloyue bahawa mereka itu pakar Quran tidak tepat.

Rashad Khalifa bukanlah pembawa berita, atau pemberita. Beliau menterjemah Quran.

Kassim Ahmad kerap kali dihentam kromo, adakalanya oleh orang-orang yang berlagak seperti pembela dan pelindung kasta ulama.

Anonymous said...

Kenapa mesti terlalu pening tanggapan tentang hadis?apakah sebelum munculnya periwayat hadis umat islam tidak bersolat?tidak berzakat?tak pergi haji?apakah sebelum munculnya periwayat hadis umat islam beribadah dengan menyekutukan Allah?perkara seperti itu tak pernah berlaku!!tetapi apabila umat islam menerima hadis yang palsu bukan dari rasulullah tidak kisahlah siapa pun periwayatnya,banyak perkara bidaah diagungkan.Kita tidak boleh menolak sesuatu yang baik tambahan jika ianya dinasabkan kepada Rasulullah tetapi Allah allah telah memberi peringatan keras supaya umat islam menyiasat sesuatu berita yang diterima,bukan menolaknya terus atau menerima dengan membuta tuli.