Wednesday, May 27, 2009

Memorandum Untuk Pemulihan UMNO

1504 JALAN KULIM HEIGHT 3,
KULIM GOLF & COUNTRY RESORT,
09000 KULIM, KEDAH, D-A, MALAYSIA
TEL. 604-4031871
E-mel kassim1234@gmail.com

26 Mei, 2009.

Yang Amat Berhormat,
Datuk Seri Najib Tun Razak,
Presiden UMNO, merangkap
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
62250 Putrajaya, Selangor,
Malaysia.


Tuan Presiden,

Memorandum untuk Pemulihan UMNO

1. Kursus Politik yang Saintifik

Seperti yang Tuan katakan, UMNO mesti berubah. Walaupun keanggotaan UMNO sekarang 3.2 juta, yang penting ialah mutu anggota-anggota itu, bukan bilangannya. Anggota-anggota dan kader-kader parti mesti melalui kursus politik yang saintifk Kursus-kursus politik ini perlu menghuraikan (a) Nasionalisme Melayu, (b) Nasionalisme Malaysia, (c) Demokrasi, atau pemerintahah berdasarkan perundingan, (d) konsep pemerintahanh yang adil, dan (d) konsep masyarakat antarabangsa, atau kemanusiaan universal.

Melalui kursus-kursus ini, anggota-anggota parti boleh menjadi pengawas kepada parti dan Kerajaan serta menghalang kedua-duanya dari penyelewengan. Inilah konsep parti menguasai Kerajaan. Parti terdiri dari orang-orang perjuangan dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Mereka berjuang secara sukarela. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

2. Perubahan Organisasi

Seperti yang telah kita katakan di atas, parti merupakan orang-orang perjuangan sukarela dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

UMNO mesti mengamalkan demokrasi. Semua anggota yang layak (dari segi kebolehan dan akhlak) boleh dicalonkan untuk menandingi apa jawatan juga, termasuk jawatan Presiden. Seorang pencadang dan seorang penyokong sudah mencukupi.

Parti tidak perlu dan tidak boleh berpecah kerana pertandingan yang sihat. Perpaduan parti tegak di atas falsafah perjuangannya, bukan di atas kebolehan pemimpin. Pertandingan perlu untuk memilih pimpinan yang terbaik

Perhimpunan Agung ialah institusi parti yang tertinggi yang membuat dasar. Majlis Tertinggi menjalankan peranan ini semasa Perhimpunan Agung tidak bersidang. Semua institusi parti di semua peringkat mesti mengamalkan demokrasi, yakni perundingan.

3. Perubahan dasar

Dasar Kerajaan dibuat oleh parti secara demokratik. Dasar ini, secara keseluruhan, merangkumi semua bidang kehidupan bangsa (ekonomi, kewangan, politik, kemasyarakatan, intelektual, moral dan spiritual). Dasar ini mesti bertujuan untuk mengadakan suatu kehidupan yang aman, maju, progresip dan bahagia untuk semua rakyat, tidak kira kaum, jantina dan agama.

Dasar ini mesti memastikan tiada pembaziran, rasuah dan apa juga bentuk penyelewengan. Semua rakyat, termasuk yang kurang upaya, mesti diberi hak dan peluang (dari segi pendidikan dan gaji atau upah) untuk menikmati suatu kehidupan yang selesa. Upah dan gaji mesti disusun sedemikian rupa supaya tiada rakyat (individu atau kumpulan) yang berada di bawah garis kemiskinan. Seperti yang diketahui, kemiskinan boleh membawa kepada banyak kejahatan, seperti jenayah dan rasuah. Hapuskan jenayah dan rasuah melalui sistem ganjaran yang adil dan rasional.

Dasar dan sistem pendidikan nasional penting untuk melahirkan sebuah masyarakat negara-bangsa yang dinamik, kreatif, kritikal, produktif, bersatu dan bertanggungjawab. Segala usaha mesti dilakukan untuk mewujudkan sistem pendikian nasional ini.

Terdapat pembaziran yang ketara dalam Perkhidmatan Awam sekarang. Bilangan anggotanya (1.2 juta) terlalu ramai. Sebagian perlu dikeluarkan, diberi latihan dan ditempatkan di sektor-sektor yang memerlukan tenaga dan kepakaran mereka, seperti pertanian.

Ponteng, tiada amanah, ketidak-cekapan dan birokrasi merupakan empat penyakit institusi Perkhidmatan Awam kirta sekarang. Penyakit-penyakit ini perlu diobati segera.

4. Kesimpulan

Seperti yang diketahui, UMNO dan gabungan Barisan Nasional, telah menderita kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya Umum ke-12, kerana UMNO telah menyeleweng dari perjuangan nasionalnya yang asal dan pimpinanya telah menjadi golongan elit yang terpisah daripada rakyat. Untuk memulih semula peranan mereka sebagai pejuang bangsa, UMNO perlu kembali kepada asas-asas pejungannya yang asal dan mendedikasikan dirinya semula kepada perjuangan bangsanya dalam masa sesingkat mungkin.

Kita harap cadangan-cadangan yang diberikan dalam memorandum ini berguna untuk tujuan tersebut.

Dengan salam takzim.


Saya yang benar,



(Kassim Ahmad)

2 comments:

arifomar said...

bagus cadangan pak kassim. tahniah kerana terus menulis

kerikil jalanan said...

Dr. Kassim Ahmad Yth.,
Komen saya mengenai memorandum ini boleh dibaca DI SINI. Terima kasih.