Wednesday, September 14, 2011

PENGEMUMAN
15 September, 2011.

Mulai hari ini saya akan memuatkan Antologi Cerpen dan Sajak saya yang ke-2 di sini. (Antologi Cerpen dan Sajak saya yang pertama Kemarau di Lembah diterbitkan oleh Saudaran Sinaan Bhd., Pulau Pinang, 1967.) Terdiri dari dua cerpen dan 15 sajak. Hanya satu daripada dua cerpen itu dan hanya dua daripada 15 sajak itu telah disirakan dalam majalah/akhbar. Saya akan usahakan penerbitannya kemudian. Berikut dua cerpen itu -- K.A.


Cerpen 1

POLITIK*

Februari, 1995

Memang telah menjadi kelaziman mereka berjumpa dan berbincang, biasanya tiga bulan sekali, tetapi sekurang-kurangnya setahun sekali, dalam lingkungan lima belas orang, kadang-kadang lebih, kadang-kadang kurang. Mereka berbuat demikian sejak bertahun-tahun, tiga puluh tahun persis, bermula dari zaman Iskandar dan kawan-kawannya belajar di Universiti Malaya di Singapura dulu: Kelab Ibn Sina, mengambil sempena nama ahli falsafah Islam yang masyhur itu, nama yang diberi oleh Iskandar sendiri. Dia yang paling tua, dianggap semacam ketua oleh mereka, dan idea dialah tertubuhnya kelab ini. Mereka lantik seorang setiausaha tiap-tiap tahun. Tahun ini Shuib memegang tanggungjawab itu. Tugasnya semata-mata membuat hubungan dengan ahli-ahli dan memberitahu tajuk serta menyediakan bahan-bahan perbincangan.

Mereka tersebar di seluruh Malaysia dengan tugas masing-masing. Iskandar, umpamanya, lama bekerja sebagai pensyarah di Jabatan Sains Politik di Universiti Malaya, sekarang sudah bersara. Shuib seorang bekas guru; begitu juga Khatijah, isteri Iskandar, dan Teh Eng Soon. Khor An Seng, yang masuk beberapa tahun kemudian, seorang ahli perniagaan dan isterinya Jocklyn Chia seorang wartawan dengan sebuah akhbar Cina. Jayabalan seorang doktor perubatan yang mempunyai sebuah kliniknya sendiri di Kuala Lumpur, dan isterinya Jane bekerja sebagai jururawat di kliniknya itu. Mutahir Anwar seorang peguam muda di Kuala Terengganu dan Zainal Abdullah seorang wartawan yang bertugas dengan sebuah akhbar Melayu di Pulau Pinang.

Perbincangan-perbincangan mereka biasanya selesai setelah dua sidang, tetapi ada kalanya berterusan selama tiga hari. Perjumpaan kali yang ke-80 ini di rumah Iskandar di Petaling Jaya. Mereka telah memilih hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-37 untuk pertemuan kali ini. Setelah bertanya khabar tentang keadaan masing-masing, majlis dialog mereka, yang kerap kali berakhir hingga larut malam, pun bermula.

“Apakah tanggungjawab kaum cendekiawan?” Iskandar mengajukan soalan. “Sebagai suatu kumpulan yang berilmu (tidak semestinya ilmu yang diperoleh melalui saluran formal, tetapi juga melalui saluran yang tidak formal), merka sepatutnya mencari serta menganjurkan kebenaran dan keadilan. Tetapi dalam keadaan masyarakat kita hari ini, perkara ini tidak berlaku lagi. Kaum cendekiawan kita telah berpecah kepada beberapa aliran. Kebanyakan mereka tidak mempedulikan kebenaran dan keadilan lagi. Ada beberapa aliran di kalangan mereka. Sekumpulan berpihak kepada pemerintah; sekumpulan pula berpihak kepada pembangkang, dan sekumpulan tidak berpihak ke mana-mana. Dalam tiap kumpulan ada pula kumpulan-kumpulan kecil.”

“Bolehkah kita namakan cendekiawan sebagai mereka yang berpihak kepada puak?” Shuib mencelah. “Jika mereka tidak boleh berfikir secara bebas, bolehkah kita anggap mereka bijak pandai?”

“Malah merekalah kadang-kadang ahli-ahli fikir dalam kumpulan politik itu!” Jawab Iskandar. “Mereka mengkaji sains politik dan mereka mengabsahkan garis dan dasar politik kumpulan itu. Saya percaya tiap-tiap kumpulan politik ada asas falsafahnya. Bagi mereka, betul tidaknya falsafah itu bukan soal pokok. Soal pokok ialah politik sektarian mereka dishkan oleh falsafah.”

“Tapi UMNO tidak punya ideologi atau falsafah. Kepimpinan mereka berjalan di atas landasan pragmatisme,” bantah Fatimah, pensyarah falsafah di Universiti Kebangsaan. “Yang ada falsafah itu PAS, ideologi mereka berdasarkan Quran dan Hadis.”

“Nanti dulu!” Mutahir menyampuk. “Biar kita melangkah setapak demi setapak. Kalau tidak, kita akan keliru. Iskandar, kau berkata tadi, tiap-tiap kumpulan politik mempunyai pendukung dari kalangan cerdik pandai, betul tak? Lagi kaukata, ada tiga kumpulan besar dengan pecahan masing-masing. Kumpulan ketiga itu kumpulan berkecuali. Adakah maksudmu mereka ini bebas dengan mengambil pendirian sendiri, atau maksudmu merka berkawan dengan kedua-dua kumpulan pertama dan kedua tetapi tidak mengambil pendirian?”

“Maksudku mereka mengambil pendirian bebas,” jawab Iskandar. “Mereka yang tidak ada pendirian tidak boleh kita anggap sebagai satu aliran. Biar saya teruskan dengan perkara-perkara yang ditimbulkan oleh Fatimah. Pertama, dari segi UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik kebangsaan Melayu yang merangkumi pelbagai kelas – dari kelas bangsawan ke kelas petani miskin – sekurang-kurangnya pada peringkat awal, iaitu dari tahun 1946 waktu penubuhannya hingga 1969-70, apabila sistem ini tercabar oleh peristiwa Mei 13, UMNO tidak punya ideologi. Dengan lain perkataan, UMNO boleh pergi ke kiri atau ke kanan pada waktu itu. Pada waktu ini dasarnya kanan, kerana ini dikehendaki oleh Inggeris sebagai penjajah. Tetapi dari segi perlembagaannya dan dukungan massanya, ia boleh pergi ke kiri. Oleh sebab itu ia boleh bertukar dari pimpinan feudal yang pro-kolonial di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman ke pimpinan pro-rakyat yang anti-kolonial di bawah pimpinan Tun Razak. Di bawah pimpinan beliau kita melihat perubahan-perubahan yang besar dalam dasar-dasar luar, ekonomi dan pelajaran. Juga suatu pendekatan yang progresif terhadap peranan parti, konsep parti memimpin kerajaan dan ahli-ahli parti yang mahir dalam ilmu pentadbiran. Malangnya, Tun Razak meninggal sebelum beliau dapat mengembangkan dasar parti yang progresif itu.”

“Adakah maksudmu dasar Tun Razak telah dikhianati oleh pemimpin-pemimpin kemudian?” Fatimah bertanya.

“Di sinilah letaknya dasar pragmatisme UMNO. Dasar parti boleh berubah mengikut pemimpin. Sekarang pragmatisme itu nama lain bagi liberalisme dan neokolonialisme! Dalam zaman Tun Razak, gerakan negara-negara berkecuali yang bersifat anti-kolonial itu kuat. Oleh sebab itu dasar Tun Razak boleh berjaya.

Apabila Dr Mahathir ambil alih, gerakan negara-negara berkecuali telah runtuh dan suatu aliran imperialis yang agresif telah bangkit balik di dunia dengan pendukung-pendukung kuat ekonomi “pasaran bebas” Margaret Thatcher dan Ronald Reagan mengepalai kaum oligarki Inggeris-AS.

“PAS memang punya ideologi Islam yang agak jelas. Di bawah pimpinan Dr Burhanuddin, kerana sejarah dan pemikirannya, orientasi parti ini progresif. Kemudian berubah ke kanan di bawah pimpinan Asri, yang membawa faham kemelayuan yang sempit, kemudian datang Yusof Rawa dan Fadzil Noor, yang beralih kepada Islamisme tradisional mengikut fikah klasik. Perkara yang harus diperhatikan ialah bahawa umat Islam sendiri sudah berpecah kepada dua puak besar, kiri dan kanan, dengan puak-puak kecil dalam kedua-dua kumpulan besar ini.”

“Kaukata PAS di bawah pimpinan Fadzil Noor membawa dasar Kanan. Tetapi saya lihat PAS membawa dasar anti imperialis. Contohnya pendirian mereka tentang Palestin dan Perang Teluk,” jawab Fatimah.

“Itu betul,” kata Islandar. “Dalam zaman pasca-Perang Dingin ini pembahagian Kiri – Kanan tidak begitu tepat lagi. Dulu Kanan itu kapitalis dan pro-imperialis, dan Kiri sosialis atau komunis dan anti imperialis. Perang Teluk teleh menghancurkan pembahagian ini, kerana dalam peperangan itu kapitalis dan komunis telah bersekongkol untuk menyerang Iraq. Dari satu segi, ini aneh. Sebenarnya, ia tidak aneh. Perang Teluk mendedahkan suatu hakikat yang kedua-dua puak liberal dan komunis nafikan -- dimensi spiritual. Mereka hanya melihat dimensi material. Oleh itu, merka bersekongkol untuk menghancurkan Iraq yang sebenarnya mewakili pandangan hidup spiritual revolusioner yang sangat ditakuti oleh kaum imperialis. Tujuan mereka menyerang Iraq bukan untuk membebaskan Kuwait, seperti yang mereka gembar-gemburkan. Kuwait bersama-sama dengan Arab Saudi dan Israel itu anak-anak emas mereka yang berfungsi untuk menghancurkan perpaduan Arab dan dengan itu kekuatan Islam di kawasan strategik Asia Barat.

“Di sini Islam dalam PAS berpecah dua. Satu anti imperialis kerana semangat keadilan Islamnya; satu lagi semangat jumud ideologi kaum ulama. Semangat jumud ini lahir dalam pandangan yang anti saintifik dan anti rasional. Semangat ini semangat anti Barat, semangat perkauman sebenarnya, bukan anti imperialis.

“Kita perlu mengesan sejarah Yahudi dan Kristian untuk memahami konsep agama paderi atau agama ulama, berbeza daripada agama nubuwah. Agama nubuwah itu ialah agama Allah yang didatangkan kepada manusia melalui para nabi-rasul. Agama ini tidak lain daripada Islam, agama yang diredai Allah. Tetapi setelah 300 tahun Nabi Musa dan Nabi Isa wafat, pengikut-pengikut Nabi Musa mewujudkan agama rahib yang diajar oleh para rahib mereka berdasarkan kitab Talmud yang mereka reka, dan pengikut-pengikut Nabi Isa mewujudkan agama paderi yang diajar oleh para paderi mereka. Doktrin Tritunggal, umpamanya, tidak terdapat dalam kitab-kitab Taurat dan Injil. Ia dicipta dalam Majlis Nicaea pada 325 T.M. oleh kaum paderi mereka. Majlis itu dipengerusikan oleh Maharaja Rom, Konstantin, yang sebenarnya pagan tetapi menyokong puak Kristian untuk kepentingan politiknya pada masa itu. Tujuan doktrin ini ialah untuk menyesuaikan agama Kristian dengan kepercayaan-kepercayaan agama Rom.

“Dalam Islam tidak ada sistem kepaderian. Seseorang boleh berhubung terus dengan Tuhan. Tetapi pada hakikatnya kaum ulama sebagai suatu kasta paderi telah lama wujud dalam masyarakat Islam, muncul antara 250-500 tahun setelah nabi wafat. Ini menunjukkan bahawa umat Islam juga telah mengulang kesilapan-kesilapan yang telah dibuat oleh orang-orang Yahudi dan Kristian. Pada waktu inilah munculnya hadis sebagai sumber hukum setara dengan Quran, mazhab-mazhab dan teologi Asy’ariah dan puak-puak Ahli Sunnah wa’al-Jamaah dan Syiah.

“Masyarakat Yahudi-Kristian Barat, sejak reformasi kaum Protestan, telah berubah dari masyarakat berkehidupan monastic atau pertapaan kepada masyarakat materialistik. Masyarakat Islam, sejak zaman kolonial hingga sekarang, berpecah dua: sebahagian menjadi pengikut Barat materialis, dan sebahagian pengikut ulama jumud. Dilema masyarakat Barat sekarang ialah dilemma materialisme; dilemma masyarakat Islam dilemma antara materialisme dan kejumudan.

“Islam berdiri di jalan tengah, tidak menolak dunia tetapi tidak pula mempertuhankan dunia. Siapa di antara masyarakat dunia hari ini, Barat atau Timur, yang boleh kembali ke jalan tengah Islam itu akan menang dalam pertarungan besar yang sedang berlaku. Orang Islam tidak harus berfikir bahawa agama Allah itu secara automatik milik mereka. Islam sekarang milik dunia. Ia berada di semua benua: di Amerika Syarikat, di Eropah, di Rusia dan di China. Barang siapa yang balik dulu kepada Islam yang sebenar dalam Quran, merekalah yang akan memimpin dunia di abad kedua puluh satu dan kedua puluh dua.”

“Kata-katamu itu sungguh memberangsangkan, Iskandar,” Fatimah menyuarakan pendapatnya. “Nampaknya, apa yang dikatakan kebangkitan Islam itu bukan kebangkitan pada anggapanmu.”

“Jika ia benar-benar kebangkitan, mana hasilnya?” tanya Iskandar. “Lihat apa yang berlaku di depan mata kita. Umat Islam mundur, dihina dan dipijak-pijak di mana-mana. Bolehkah kaum neo-imperialis Inggeris-Amerika memijak-mijak kita di Iraq dan di Bosnia jika umat Islam sudah bangkit? Kita sebenarnya sedang didera oleh Tuhan di tangan musuh-musuh kita kerana penyelewengan kita sendiri.”

“Mengapakah umat Islam tidak boleh bersatu untuk menentang kaum kafir penindas itu, umpamanya Mesir, Iran dan Iraq dalam Perang Teluk?” Tanya Khadijah.

“Cuba kaujawab sendiri,” sindir Shuib. “Daripada perbincangan kita, tidakkah jelas bahawa umat Islam sekarang berpecah kerana mereka tidak berpandukan Quran. Mereka memakai kitab-kitab ulama. Mesir memakai dua kitab: untuk sosioekonomi, mereka pakai kitab sosialisme di bawah Nasser dan kitab liberalisme di bawah Saddat dan Mubarak; untuk bidang agama, mereka pakai kitab ulama Ahli Sunnah wa’al-Jamaah. Iran di bawah Khomeini cuba hendak memakai kitab ulama Syiah untuk kedua-dua bidang sosioekonomi dan agama. Mereka gagal. Mengapa? Ringkasnya, kerana ajaran ulama Syiah juga telah menyeleweng daripada ajaran Quran dan daripada kebenaran.”

“Mengikut ulama, Quran tidak boleh difaham tanpa Hadis,” kata Fatimah, “kerana Hadis menerangkan Quran. Juga tanpa Hadis kita tak boleh sembahyang, kata mereka.”

“Tajuk ini telah kita bahas sepenuhnya tujuh atau lapan tahun dulu,” kata Iskandar. “Kau belum memasuki kelab ini pada waktu itu. Tidak perlulah kita ulang bahasan ini. Kau telah baca buku-buku tentang kontroversi ini?”

“Tidak semua,” jawab Fatimah. “Tetapi saya telah membaca kedua-dua buku Hadis –Satu Penilaian Semula dan Hadis – Jawapan Kepada Pengkritik. Saya boleh terima pendapat penulis yang dikatakan kontroversi ini. Berbalik kepada soalan keadaan umat Islam sekarang, nampaknya, Malaysia lebih berjaya daripada negara-negara Islam lain, tidakkah begitu?”

“Saya rakyat Malaysia berketurunan Cina, beragama Buddha,” kata An Seng, “tapi, saya fakir, semua orang di Malaysia mahukan kebaikan, kecuali mungkin sedikit yang tidak mahu. Tidak bolehkah kita dari semua parti bersatu untuk membangunkan bangsa kita? Mestikah kita berpecah kepada parti-parti kerajaan dan parti-parti pembangkang, mengikut sistem Barat? Tidak ada sistem seperti ini dalam tradisi politik Melayu, sepanjang yang saya tahu.”

“Fatimah dan An Seng – siapa hendak saya jawab dulu?” Iskandar membantah, berseloroh. “Biar kita ambil soal sistem pemerintahan kita dulu …”

“Ini sistem demokrasi berparlimen yang kita warisi dari Westminister,” sampuk Jayabalan. “Mengikut pemimpin-pemimpin Kerajaan, inilah sistem yang paling baik untuk kita kerana telah berjaya. Dulu kita ada sistem sosialis sebagai alternatif kepada sistem ini. Sekarang, agaknya sistem ini tak terpakai lagi kerana sudah runtuh di Rusia dan Eropah Timur. Apa katamu, Iskandar? Kau bersetujukah dengan pendapat Francis Fukuyama bahawa liberalisme kapitalis atau demokrasi Barat telah mencapai kemenangan mutlak mengatasi semua sistem ideologi lain?”

“Persis inilah tajuk yang ingin saya ajukan kepada majlis ini. Hari ini kita merayakan 37 tahun kemerdekaan. Selama lima, enam tahun lalu pertumbuhan ekonomi kita tinggi. Kadar pengangguran rendah. Kadar kemiskinan sudah turun banyak. Ramai pekerja buruh kasar dari negara-negara jiran datang untuk mendapat kerja di sini. Rakyat kita semacam dibuai kehidupan yang mewah.

“Betulkah kita telah dan sedang meningkat maju? Ini soalan Fatimah tadi. Apakah ukuran kemajuan yang sebenar? Bangunan-bangunan yang tinggi dan wang yang banyak? Siapa pun boleh buat bangunan. Tiada wang, wang boleh dicari, banyak mana pun. Tetapi bolehkah sesiapa saja membangunkan kebudayaan nasional kita? Tidak. Hanya rakyat yang patriotik saja boleh. Bagaimana dengan pembangunan intelek, kesusasteraan dan kesenian kita? Bagaimana dengan pemikiran kritikal dan kreatif kita? Kita lihat cerdik pandai dan pemimpin-pemimpin kita asyik dengan teori-teori “baru” dari Barat dan asyik membawa masuk “tokoh-tokoh” dari luar. Mengapa? Tidakkah ini membuktikan kedangkalan kita? Tidakkah kita mempunyai cerdik pandai kita sendiri yang harus dipupuk dan diberi galakan? Ini tidak bermakna kita menolak sikap universal dan tak mahu belajar dari luar, tetapi kita mesti bertapak di bumi kita sebelum kita melangkah ke dunia luar. Bolehkah kita menjadi manusia universal jika kita tidak bertapak di negara kita sendiri?

“Tetapi biarlah saya balik kepada masalah ideologi atau falsafah yang ditimbulkan oleh Fatimah dan An Seng tadi kerana inilah soal yang asas. Kemajuan kita sekarang boleh jadi palsu dan bersifat sementara saja. Untuk mengetahui jawapannya, kita mesti pergi ke perdu masalah.

“Apakah makhluk yang bernama manusia itu? Adakah ia haiwan yang tidak berakal, atau ia makhluk yang berakal? Faham liberalisme yang menyatakan ia haiwan. Ia egois, tamak, bengis dan suka berperang. Ini pendapat Adam Smith, Thomas Hobbes, John Locke, Robert Malthus – ahli-ahli falsafah kapitalis Barat. Oleh kerana itu, dibuat suatu pakatan, konon, supaya individu menyerahkan kuasa dan kebebasannya kepada pemerintah untuk mengekang segala sifat kebinatangan ini demi untuk kebajikan semua, dan sebagainya. Itulah falsafah liberalisme.

“Bagi orang Islam dan penganut-penganut agama nubuwah, manusia itu makhluk Tuhan yang mulia, kerana ia dikurniakan akal dari percikan roh Ilahi. Inilah yang memberikan manusia sifat kreatif, yang membolehkan dia membangunkan tamadun dan menguasai dunia dan alam. Tidak ada haiwan yang boleh membangunkan tamadun. Akal kreatif inilah yang membezakan manusia daripada haiwan.”

“Sebelum kau pergi lebih jauh, Iskandar, tolong berikan contoh-contoh kebinatangan dalam masyarakat liberal,” kata Shuib.

“Contohnya banyak,” sampuk Fatimah. “Lihat contoh keganasan mereka terhadap Iraq. Lihat pencerobohan Serb di Bosnia dan kegagalan PBB melindungi rakyat Bosnia. Malah lihat Perang Dunia I dan II. Ini semua contoh-contoh keganasan faham liberal Barat terhadap manusia. Lihat lagi perangai golongan-golongan atasan mereka membolot kekayaan yang membazir, sedangkan dalam masyarakat Amerika sendiri ramai yang miskin dan tidak berumah.”

“Itu semua betul,” kata Iskandar. “Di antara kita dasar ekonomi liberal mengukuh, khasnya setelah dasar penswastaan dilaksanakan. Nilai kebendaan ditonjolkan dengan ketara dalam masa beberapa tahun ini. Ini telah membuahkan “politik wang” dalam UMNO, rasuah dalam masyarakat dan penghakisan nilai-nilai moral, walaupun pimpinan negara cuba menerapkan nilai-nilai murni, seperti cekap, bersih dan amanah, kepimpinan melalui teladan dan pencapaian cemerlang.” “Kau fikir ideologi liberalisme yang menjadi punca? Bagaimana kauhuraikan kemajuan di negara-negara Barat?” Shuib bertanya.

“Ya, soalanmu tepat, Shuib. Tapi saya ingin kembali kepada soalan Fatimah dan An Seng dulu. Kita masih ingat pertanyaan mereka? Biar saya olah semula pertanyaan itu: Tidakkah boleh kita kembali kepada Islam dan agama-agama nubuwah untuk mencari asas kerjasama dan perpaduan manusia? Bolehkah kita terima bentuk olahan ini?” Fatimah dan An Seng mengangguk.

“Intisari agama-agama nubuwah ialah kehidupan berakhlak di bawah tadbiran undang-undang rasional Ilahi. Malangnya, iblis telah berjaya menyelewengkan semua agama setelah kira-kira tiga abad agama itu dilahirkan. Banyak khurafat dimasukkan ke dalam agama itu, menyebabkan kemunduran umatnya hingga sampai satu masa umat itu tidak lagi menghiraukan agama-agama itu lalu mencari jalan keluar mengikut hawa nafsu mereka. Ini telah berlaku kepada semua agama, termasuk Islam. Tetapi oleh kerana Islam, dikira daripada Muhammad, baru berusia 1415 tahun, berbanding dengan Kristian yang telah berusia hampir 2000 tahun, Islam masih mempunyai pengaruh yang kuat ke atas penganut-penganutnya. Oleh yang demikian, golongan sekular sukar hendak mengatasi golongan agama.

“Tetapi golongan agama ini berpandukan Hadis, bukan Quran. Di sinilah punca kemunduran umat Islam, kerana kebanyakan hadis – maksud saya Sahih Bukhari dan lima kumpulan lain yang diiktiraf oleh Ahli Sunnah wa’al-Jamaah – bercanggah dengan Quran dan bersifat anti akal dan anti kemajuan. Isu Quran itu sebenarnya saintifik dan rasional. Contohnya, kepercayaan kepada takdir – baik dan jahat itu daripada Tuhan – yang dirumuskan dalam hadis itu, bercanggah dengan ajaran Quran dan ditolak oleh Quran, yang menggesa manusia bekerja kuat di jalan kebaikan. Pegangan kepada hadis ini merupakan suatu punca besar kejatuhan umat Islam.

“Contoh lagi: pegangan kepada hadis-hadis yang menerima perpecahan di kalangan umat Islam sebagai takdir dan yang mendakwa bahawa perbezaan pendapat di kalangan umat Islam sebagai ajaran-ajaran Quran, yang sebenarnya memerintah kita supaya bersatu dan tidak berpecah-belah, supaya berpegang teguh kepada Quran, supaya menghormati dan melayani satu sama lain dengan baik dan supaya bermuafakat dan bekerjasama untuk melakukan kebaikan.

“Contoh lagi: pegangan kepada hadis-hadis yang tidak menggalakkan kita membaca buku-buku lain selain daripada buku-buku agama dalam erti kata yang sempit dan yang melarang kita daripada menggunakan akal dalam hal agama, kecuali mengikut secara buta-tuli atau dengan kata-kata lain, menyuruh kita taksub kepada ulama.

“Tidakkah ini semua punca-punca kejatuhan dan kemunduran kita? Bolehkah kita tebus segala kesilapan kita tanpa kita mengakui kesilapan-kesilapan itu dan kembali kepada ajaran-ajaran Quran? Saya fikir kita tidak ada jalan lain. Lihat apa yang telah dilakukan oleh pemimpin Turki, Mustapha Kamal Attaturk? Beliau berjaya menghapuskan pengaruh ulama dengan mengikut jalan pembaratan, tapi sekarang pengaruh ulama itu datang kembali kerana punca masalah tidak ditangani. Lihat contoh revolusi Khomeini di Iran. Apakah hasil-hasilnya yang positif? Hari ini, setelah lima belas tahun, mereka membawa kembali liberalisme yang dulu mereka campak!”

“Saya amat ragu tentang kemungkinan umat Islam meninggalkan Hadis. Hadis sudah menjadi sebati dengan mereka,” jawab Fatimah.

“Betul katamu,” jawab Iskandar. “Tetapi adakah kita punya pilihan lain kalau kita ingin bangkit semula dan tidak mahu terus ditindas oleh kaum imperialis? Tidakkah Nabi Muhammad juga membangkitkan kaumnya daripada tidur mereka yang nyenyak sama seperti kita sekarang? Bukankah Nabi Muhammad itu contoh kepada kita? Mengapakah kita tidak ikut contoh perjuangan beliau? Pilihan itu pada kita umat Islam. Jika kita terus ingkar, kita akan hancur sama sekali. Sebenarnya, kita pun sudah hancur sekarang, dipijak dan dihina oleh kaum penjajah. Tidakkah kita melihat hal ini? Jika pemimpin dan cerdik pandai kita masih tidak sanggup membetulkan kesilapan kita, mustahil kita boleh bangkit balik.”

“Yalah Iskandar,” jawab Fatimah. “Apa yang kaukatakan itu semuanya benar. Saya teramat rindu kepada Nabi Muhammad. Jika beliau boleh datang sekali lagi untuk memimpin kita, alangkah baiknya!”

“Rintihan hatimu itu rintihan hati rakyat tertindas di seluruh dunia. Mereka menangis mendoakan kedatangan seorang atau beberapa orang pembela dan pejuang untuk membebaskan mereka daripada penindasan yang maha dahsyat. Rintihan hati rakyat Iraq, rakyat Bosnia, rakyat Palestin, rakyat Afrika, rakyat Asia, rakyat Amerika Selatan, malah rakyat tertindas di Amerika, Eropah dan Rusia juga. Rintihan hati yang walang inilah yang menyebabkan timbulnya mitos-mitos Imam Mahdi dan “Kedatangan Kedua” Nabi Isa. Nabi Muhammad sudah wafat. Dia tidak akan datang lagi. Banyak Imam Mahdi palsu telah datang dan pergi. Saya yakin banyak pejuang di jalan Allah telah, sedang dan akan bangkit untuk menghapuskan Dajjal atau Yakjuj dan Makjuk ini, dan dia akan dihapuskan akhirnya. Tidak ada syak lagi tentang perkara itu, kerana inilah perancangan Ilahi. Tetapi kita orang-orang mukmin diperintahkan Allah supaya berjuang. Jangan lalai. Jangan tidur. Jangan takutkan mati. Percayalah, jika ada sepuluh ribu saja orang yang bersemangat seperti ini di tiap-tiap negara Islam sekarang, kaum neo-imperialis Inggeris – A.S. dengan segala senjata canggihnya akan hapus dalam sekedip mata dan sistem imperialis dunia akan hapus dan sebuah dunia yang adil dan aman akan wujud!”

“Marilah kita berdoa dan buat apa yang kita boleh untuk mempercepatkan kelahiran dunia itu,” kata Shuib sambil mengangkat dua tapak tangannya mendoa serta mengaminkan doa itu, diikuti oleh yang lain.

“Saya hendak berpindah ke soal liberalisme,” Shuib meneruskan. “Nampaknya, kau amat kritikal terhadap liberalisme. Adakah liberalisme menyalahi ajaran Islam?”

“Francis Fukuyama memproklamirkan kemenangan liberalisme mengatasi semua ideologi setelah kejatuhan komunis.” Fatimah menambah.

“Dalam masa tiga puluh tujuh tahun ini, sejak kita merdeka, kita memang hidup dalam sistem ini, yang kita ambil dari Barat, khasnya Inggeris,” kata Iskandar. “Kebanyakan orang berfikir bahawa liberalisme ini kebebasan, iaitu kebebasan individu. Ini tidak benar. Adakah rakyat bawahan punya hak bersuara dalam sistem ini? Tidak ada. Kebebasan ini hanya monopoli kaum oligarki, kaum yang membolot ekonomi dan politik. Mereka yang berkuasa bebas. Tetapi, oleh kerana kebebasan ini tidak berlandaskan kebenaran dan keadilan, maka akhirnya kebebasan kaum oligarki ini juga akan hapus kerana puak-puak dalam kelompok mereka akan jatuh-menjatuhkan satu sama lain. Ini satu daripada tenaga yang akan menghancurkan sistem penindasan liberalisme-imperialisme.

“Di samping itu, rakyat tertindas yang menderita di bawah sistem ini akan bangun untuk menentangnya. Tentangan ini dan rebutan kuasa di antara kaum oligarki menjaminkan keruntuhan sistem ini pada jangka panjang. Pendakyah liberalisme seperti Fukuyama tidak dapat melihat kebenaran ini. Namun demikian, ini suatu proses sejarah yang tidak dapat dielak …”

“Kau percaya kepada determinisme sejarah kaum Marxis?” Fatimah mencelah.

“Tidak,” jawab Iskandar. “Determinisme Marxis berdasarkan materialisme. Kaum Marxis, seperti kaum liberal, tidak percaya kepada nilai moral. Determinisme yang saya maksudkan ialah determinisme moral berdasarkan undang-undang Ilahi. Bahawa kebenaran akan mengatasi kepalsuan dan rakyat tertindas akan mengalahkan kaum penindas secara total itu telah ditulis oleh Tuhan dalam Lohmahfuz. Tiada siapa boleh menghalangnya. Tetapi bila dan bagaimana ia akan berlaku bergantung kepada aktiviti manusia sendiri. Jika para mukmin sanggup berjuang dengan harta benda dan jiwa raga mereka, kemenangan total itu akan datang dengan cepat.

“Berbalik kepada kritikan kita terhadap liberalisme tadi, intisari makna liberalisme ialah ketiadaan kebenaran. Kebenaran tidak boleh dicapai, kerana mengikut dogma liberalisme kebenaran sebenarnya tidak ada. Begitu juga tidak ada nilai-nilai kebaikan. Yang ada hanya faedah, kegunaan, hawa nafsu, dominasi dan tindas-menindas. Inilah liberalisme, falsafah yang disebarkan oleh orang-orang seperti Thomas Hobbes, Adam Smith, John Locke dan Thomas Malthus. Liberalisme mengajar kita berkelakuan seperti binatang. Masyarakat, kata Hobbes, ialah peperangan antara semua dengan semua. Itulah kononnya keadaan semula jadi manusia - peperangan! Ini alam binatang: di sini binatang-binatang kecil menjadi mangsa binatang-binatang buas. Tetapi manusia bukan binatang. Ia mahluk berakal yang boleh dan telah pun bekerjasama untuk membangunkan tamadun, selama lima ribu tahun di bumi ini. Telah terbangun tamadun-tamadun di Asia Barat, di Yunani, di India, di China, di Romawi, Asia Tenggara, di Amerika Latin dan di Eropah. Memang tamadun-tamadun ini telah hilang, tetapi hasil-hasilnya, seperti kitab-kitab suci, seperti Rigveda dan Bhagavadgita (kitab-kitab Hindu), Analek atau Ssu syu (kitab Konfucius), Taurat, Injil dan al-Quran, kepakaran-kepakaran membuat kertas, roda, menulis dan mencetak dan penemuan tenaga air, angin dan wap telah diwarisi dan menjadi sebahagian daripada tamadun moden, yang sekarang ditambah lagi dengan penemuan tenaga nuklear. Pembangunan tamadun ini hanya dilakukan oleh manusia, bukan binatang. Di sinilah perbezaan pokok antara Islam dan liberalisme.

“Kita perlu kembali kepada Islam yang sebenar, Islam dalam Quran, kerana Islam itulah yang telah membebaskan suku-suku Arab jahiliah dalam abad ketujuh dari kejahilan mereka serta melontarkan mereka ke barisan depan tamadun dalam zaman itu, dan Islam itulah juga yang boleh membebaskan kita dari kejahilan kita sekarang serta meletakkan kita ke barisan depan tamadun.”

“Betulkah kita boleh bersatu jika kita berpegang kepada Quran saja?” Tanya Zainal, seorang wartawan, seorang peragu, yang selama ini diam saja. “Sepanjang yang saya tahu, umat Islam tidak pernah bersatu sejak zaman Khalifah Uthman lagi.”

“Perpaduan yang agak mantap dicapai di bawah pimpinan Muhammad,” jawab Shuib. “Perpaduan ini terus dapat dipertahankan, walaupun beberapa perang saudara berlaku selepas itu, hingga timbul suatu autoriti lain untuk menandingi Quran. Inilah autoriti Hadis, seperti yang dikatakan oleh Iskandar.”

“Saya masih ragu apakah sebuah masyarakat yang adil dapat diwujudkan di dunia, memandangkan kelemahan manusia.” Zainal cuba mempertahankan sikapnya.

“Kita bukan hendak menganjurkan sebuah masyarakat yang ideal atau sebuah utopia di dunia ini,” kata Iskandar. “Kita diperintahkan oleh Tuhan untuk mewujudkan sebuah negara yang baik tempat rakyatnya boleh berlindung di bawah sebuah pemerintahan yang adil. Dalam negara-kota Madinah yang dikepalai oleh Muhammad, keadilan itu berlaku; demikian juga di bawah pemerintahan empat Khalifah al-Rasyidin. Mungkin ada lagi contoh-contoh pemerintahan yang adil sebelum atau setelah Muhammad. Walau bagaimanapun, yang penting diperhatikan ialah wujudnya pemerintahan-pemerintahan yang adil dalam sejarah. Ini bermakna pemerintahan demikian boleh diwujudkan kembali.

“Juga kita telah melihat bahawa manusia itu sebenarnya suatu makhluk rasional dan kreatif yang tinggi martabatnya, tetapi yang boleh merosot menjadi binatang jika hawa nafsu kebinatangan tidak dikongkong. Itulah tujuan pokok pemerintahan yang adil: untuk mewujudkan persekitran sosial yang menghalang kezaliman dan memupuk kekreatifan individu, untuk kebaikan individu dan masyarakat.

“Shuib tadi bertanya bagaimana kita menghuraikan kemajuan dalam tamadun Barat. Yang menyebabkan kemajuan itu bukan garis oligarki, penjajahan dan liberalisme, tetapi garis republikan, akliah dan kemanusiaan, seperti yang diwakili oleh pemikiran Socrates, Plato, St. Augustine, Thomas Aquinas, Nicolaus Cusa, Leibniz dan Schiller. Garis liberalisme dalam pelbagai jenisnya membawa kepada kemerosotan dan zaman gelap, garis yang diwakili oleh Aristotles, John Locke, Thomas Hobbes, Jeremy Bentham dan Thomas Malthus. Dalam masa kira-kira lapan puluh, khasnya tiga puluh tahun yang lalu, Barat telah memasuki suatu zaman gelap. Oleh kerana seluruh dunia sudah dikuasai oleh Barat sejak tahun 1900, maka zaman gelap Barat meliputi seluruh dunia.

“Sekarang, bagi kita di Malaysia, kita sudah sampai pada suatu titik dalam sejarah moden kita apabila kita tidak boleh lagi meneruskan dengan sistem politik kita yang lama, sistem liberalisme Barat. Kita boleh nampak sistem ini sedang runtuh di depan mata kita bukan saja di Malaysia, tetapi di Barat sendiri, tempat lahirnya sistem ini. Oleh itu kita harus memikirkan sebuah sistem alternatif untuk menggantikan sistem ini di negara kita. Kita harus hidupkan semula dan perkuatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat, kerana kelunturan semangat ini, seperti yang ketara sekarang, akan merugikan bangsa dan rakyat. Patriotismelah yang memberikan kita kemerdekaan dan patriotismelah asas Malaysia merdeka. Tanpa patriotisme bangsa kita akan dijajah semula.

“Tetapi sekarang, kata mereka, kita hidup dalam sebuah dunia tanpa sempadan, patriotisme sudah ketinggalan zaman, bukankah begitu?” Tanya Fatimah.

“Itu cakap kaum neo-imperialis A-S.- Inggeris dan sekutu mereka,” Iskandar meneruskan. “Tanpa sempadan itu buat mereka. Negara-negara Islam dan Dunia Ketiga mesti dibuka untuk diceroboh dan disamun oleh syarikat-syarikat gergasi mereka atau wakil-wakil mereka seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Tetapi untuk mereka sendiri, makin banyak tembok yang dibina supaya kita tidak boleh masuk. Kita tidak boleh memiliki senjata nuklear. Kita tidak boleh memiliki penduduk yang ramai kononnya bilangan penduduk bumi sekarang sudah terlalu banyak. Kita tidak boleh mendapat teknologi tinggi dan tidak boleh menjadi negara industri kononnya ini akan merosakkan persekitaran dan ekologi. Kita harus menswastakan ekonomi kita. Kita tak boleh buat itu dan kita tak boleh buat ini. Ini semua karut belaka. Ini semua tidak lain daripada menggambarkan ideologi rasis dan penindasan mereka terhadap Dunia Islam dan Dunia Ketiga. Apakah hak mereka untuk mengatur urusan dalam negeri kita? Adakah urusan dalam negeri mereka sendiri sempurna? Sebagai manusia rasional, kita mahu sebuah dunia yang adil, dan asas keadilan itu hak kita untuk mempertahankan diri kita dari diceroboh dan dijajah. Apabila hak ini dihormati – dan dia akan dihormati apabila kebanyakan negara bersifat patriotik – negara-negara akan bekerjasama untuk membangunkan sebuah dunia yang aman dan selamat. Inilah dunia tanpa sempadan yang sebenar. Dunia seperti ini tidak akan wujud selagi kaum penjajah wujud. Kita mesti menghapuskan kaum penjajah dari muka bumi ini.

“Apakah yang menyebabkan penjajahan moden? Falsafah liberalisme dan adik kandungnya komunisme. Kedua-dua falsafah ini menganggap manusia itu haiwan, yang memikirkan makan dan keseronokan hawa nafsu semata-mata. Tidak ada nilai-nilai moral atau spiritual. Maka itu yang satu menindas yang lain kerana masing-masing mahukan kepentingan dirinya semata-mata. Everyone for himself and the Devil take the hindmost. Inilah falsafah politik mereka Dalam masyarakat ini tidak wujud kerjasama yang tulen.

“Kita tidak harus lupa bahawa dalam negara kita ada tiga juta rakyat, kecil besar, tua muda, lelaki perempuan, yang masih miskin. Ada ramai yang tidak punya rumah sendiri. Di samping itu, keruntuhan akhlak makin menjadi-jadi. Ramai belia kita terlibat dalam penagihan dadah. Penyakit AIDS yang amat berbahaya itu juga telah memasuki negara kita. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul gejala-gejala negatif budaya lepak dan bohsia. Rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran negara bukan makin mengurang tetapi makin merebak. Walaupun negara kita terselamat dari gempa bumi dan rebut taufan, bencana dari sebab-sebab lain kerap berlaku, seperti skandal-skandal kewangan, keruntuhan bangunan-bangunan besar, kebakaran-kebakaran besar. Jika kita hitung untung ruginya dari pertumbuhan ekonomi kita, di satu pihak, dengan pelbagai keruntuhan, di pihak lain, kemungkinan besar kita tidak untung sebenarnya. Kerugian itu mungkin tidak begitu ketara sekarang (tetapi tiga juta rakyat yang hidup dalam kehinaan dan 180 000 belia yang lumpuh kerana dadah dan kerugian Bank Negara sebanyak RM30 bilion merupakan kerugian yang sudah cukup besar), tetapi ia pasti akan meninggalkan kesannya kepada ekonomi dan masyarakat kita akan datang.”

“Segala tanda menunjuk kepada keruntuhan, bukan pembangunan. Jadi, apa yang nampak sebagai pertumbuhan ekonomi yang pesat selama enam tahun ini, jangan kita percaya sangat. Bila-bila masa ia boleh runtuh.”

“Mengapakah cerdik-pandai kita tidak membincang perkara ini?” Tanya Mutahir. “Bagaimana mereka hendak membincang? Kebebasan untuk mengkritik menjadi tanda tanya. Akhbar kita pun dalam dilema tersebut juga. Bercakap di kedai kopi, atau dalam majlis-majlis tertutup seperti ini bolehlah. Itu pun hanya sedikit saja yang berani berbuat demikian, takut dicap anti kerajaan dan sebagainya. Lebih serius lagi, 99% daripada cerdik-pandai kita nyenyak tidur. Mereka dibuai dengan jawatan-jawatan yang tinggi, pendapatan-pendapatan yang lumayan dan hidup yang mewah. Dan keadaan yang terakhir itulah yang paling dahsyat.”

“Apa akan jadi?” Tanya Shuib. “Keadaan akan terus merosot hingga segala apa yang telah kita capai sejak merdeka akan hancur, kecuali kita mengambil langkah-langkah untuk mengalihkan aliran ini,” kata Iskandar. “Siapakah yang harus bertindak? Tidak lain kita yang sedar inilah. Biarpun kita ada sepuluh orang – saya fikir kita ada lebih daripada itu – kita harus bertindak. Inilah ciri kekreatifan manusia. Kita bertindak berdasarkan akal kreatif kita untuk mengubah keadaan kita. Inilah ajaran Tuhan kepada kita. Bilangan itu tidak penting, kerana satu boleh jadi sepuluh, seratus, sepuluh ribu, sejuta. Bila kita ada sejuta, kita boleh ubah wajah Malaysia. Malah kurang daripada itupun perubahan boleh dilakukan. Yang penting itu kebenaran. Tindakan yang berdasarkan kebenaran, keadilan dan kerahiman, itulah tindakan yang kuat, kerana alam ini dijadikan Tuhan di atas asas kebenaran, keadilan dan kerahiman.”

“Jjika benar seperti kaukata, bagaimana politik wang UMNO boleh menang?” Zainal, si peragu, bertanya. “Itu kemenangan sementara waktu saja. Ia tak boleh bertaham lama. Berapa lama dan berapa kali seseorang boleh ditipu? Dalam keadaan hari ini bila masa berjalan lebih cepat daripada dulu, pendedahan kepalsuan dan penyelewengan itu akan berlaku lebih cepat. Jika dasar liberal Tunku Abdul Rahman dicabar dan dihancurkan dalam masa 12 tahun, berapa lama lagi dasar liberal baru yang wujud sekarang boleh kekal? Enam tahun lagi sebelum akhir abad ini? Mungkin lebih baik kita fikirkan langkah-langkah konkrit yang boleh kita ambil sebagai suatu bangsa berdaulat daripada membuat jangkaan bila kita akan jatuh.”

“Itulah yang paling baik,” kata Shuib. “Tetapi bagaimana dengan masalah perkauman? Juga masyarakat berbilang agama. Tidakkah ini merupakan halangan bagi kita untuk mencapai perpaduan dan harmoni?”

“Jika kita ikut dogma-dogma liberalisme dan “pasaran bebas”, memang kita tidak boleh mencapai matlamat itu,” jawab Iskandar. “Ahli strategi kaum oligarki Inggeris – A.S., Samuel P. Huntington, telah meramalkan konflik etnik dan tamadun pada zaman pasca Perang Dingin ini. Mengapa? Kerana konflik ideologi Timur-Barat, kononnya, sudah tamat. Ini karut. Konflik senantiasa berlaku antara kaum penindas dan kaum tertindas, tak kira bangsa atau agama. Jadi, sengketa antara kaum, agama dan kebudayaan itu sengketa palsu yang dihasut oleh kaum penindas untuk mengelak kemarahan rakyat daripada mereka. Oleh itu strategi kaum neo-imperialis Inggeris-A.S. sekarang ialah menghasut dan mencetuskan peperangan ini supaya mereka dapat terus menindas, merompak dan mengekalkan kekuasaan mereka. Inilah yang sedang berlaku di Semenanjung Balkan, di Afrika dan di mana-mana. Tiada suatu pun berlaku tanpa sebab. Tangan berdarah kaum neo-imperialis cuba membuat kacau di mana-mana.

“Di Malaysia kita memang terdedah kepada hasutan-hasutan seperti ini, kerana masyarakat kita bersifat berbilang kaum dan agama. Tetapi tidak ada sebab mengapa kita sebagai makhluk rasional, patut bersengketa atau berperang antara satu sama lain, di bawah sebuah pemerintahan yang adil. Semua kebudayaan dan semua agama suku kaum boleh diamalkan dengan bebas, mengikut undang-undang. Tidak ada apa-apa masalah di sini.”

“Kenyataanmu itu baik sekali,” kata Jayabalan. “Semua rakyat mesti sedar akan hal ini. Dengan demikian, kita dapat mengalahkan strategi kaum imperialis. Walau bagaimanapun, kita tidak akan dapat menyelesaikan perkara ini selagi kita ditadbirkan di bawah sistem liberal, seperti yang telah kauhuraikan tadi. Bagaimana kita hendak bergerak dari sini menuju sebuah sistem yang lebih adil?”

“Kita semua,” sambung Iskandar, menjawab soalan Jayabalan, “harus memikirkan yang baik untuk masyarakat dan bangsa kita, sepertimana kita harus memikirkan yang baik untuk semua manusia, bukan? Ya. Kita bersetuju tentang perkara ini. Oleh itu, kita harus mengambil kesempatan dari keadaan ekonomi kita yang baik dan politik kita yang stabil untuk memperluas dan memperbaiki prasarana sosioekonomi kita. Bangunkan lebih banyak hospital dan klinik supaya semua rakyat boleh mendapat faedah. Pendidikan rakyat kita amat penting. Oleh itu bangunkan lebih banyak sekolah dan pertingkatkan mutu pelajaran dengan isi pelajaran yang lebih baik dan guru-guru yang lebih ramai dan lebih baik. Berikan galakan yang lebih banyak kepada kaum pendidik dengan menaikkan gaji mereka supaya bidang ini boleh menarik bakat-bakat di antara yang terbaik di negara kita. Galakkan rakyat miskin kita bertani dan membuat perniagaan kecil dengan memberikan mereka tanah, modal, latihan dan kepakaran. Dirikan rumah murah yang lebih banyak di bandar dan luar bandar. Jangan lupa mengadakan padang-padang permainan yang cukup untuk kanak-kanak di kawasan perumahan, bilik-bilik perpustakaan, dewan-dewan atau bilik-bilik serbaguna yang cukup di tiap-tiap flet.

“Kita harus mengambil langkah-langkah untuk memperkukuhkan asas-asas kekuatan akhlak dan intelek, kerana kekuatan akhlak dan inteleklah, bukan ekonomi, yang menjadi asas kekuatan bangsa kita. Ekonomi boleh kita bangunkan dengan intelek, tetapi jika kita tidak ada akhlak, segala apa yang kita miliki akan hancur. Bagaimana kita hendak memperkukuh akhlak dan intelek bangsa kita? Dengan kita mengajar akhlak dari kitab-kitab agama, khasnya Quran, di sekolah, di rumah dan dalam masyarakat umum kepada rakyat kita dan mengamalkannya. Dengan kita membangunkan intelek bangsa – berfikir secara saintifik, kritikal dan kreatif – di sekolah, rumah dan dalam masyarakat umum dan mengamalkannya.

“Ini semua tidak boleh kita lakukan, kecuali dengan adanya suatu jentera kerajaan yang bertanggungjawab dan berdedikasi. Ini pula tidak akan wujud kecuali dengan adanya sebuah pemerintahan yang bertanggungjawab dan berdedikasi. Siapakah yang akan menjaminkan itu semua, kalau bukan ahli-ahli parti dan rakyat yang patriotik? Jadi, ahli-ahli parti dan rakyat yang patriotik itu penting sekali.”

Iskandar berhenti bercakap untuk mendengar reaksi kawan-kawannya. Apabila mereka tidak berkata apa-apa, tetapi terus melihat kepadanya, dia menyambung semula: “Dibanding dengan empat ataupun tiga puluh tahun dulu ahli-ahli parti dan rakyat sekarang kurang patriotik. Sebab apa? Kerana menyerapnya faham kebendaan dan faham kebendaan ini pula menyerang konsep patriotik sebagai berfikiran sempit atau fanatik bangsa! Untuk melawan faham kebendaan ini, mestilah ada suatu kumpulan pimpinan dan cerdik pandai kita yang komited kepada pandangan hidup Islam yang sebenar berdasarkan ajaran al-Quran serta memperjuangkan dasar ini untuk negara kita dalam bidang-bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama, seni dan sastera, sains, undang-undang dan lain-lain. Ini sajalah jalan selamat bagi kita. Tidak ada jalan lain.”

“Bolehkah kita laksanakan dasar ini?” tanya Fatimah, penuh ragu. “Kesulitan-kesulitannya saya nampak banyak. Pertama, adakah kita cukup orang untuk melaksanakannya? Kedua, golongan-golongan sekular liberal dan ulama jumud dan sekutu mereka di luar Malaysia akan menentang usaha ini.”

“Jika tidak ada halangan dan kesulitan, bukanlah perjuangan namanya,” jawab Iskandar. “Soalan pertama yang harus kita selesaikan ialah: adakah dasar kita betul? Adakah kebenaran berada di pihak kita? Jika kebenaran berada di pihak kita dan dasar kita betul, itulah kekuatan kita sebenarnya. Kepada soalan ini, jawapannya kita sudah tahu. Oleh kerana kita berpegang kepada ajaran Ilahi dan fahaman kita akan ajaran ini berasaskan kaedah saintifik, maka kita tahu kita berada di pihak yang benar dan dasar kita betul. Kita boleh mengalahkan musuh-musuh kita dari kaum liberal dan kaum jumud dengan senjata ampuh ini. Langkah kedua, kita mesti sebar dan ajar dasar ini kepada rakyat. Dari kalangan rakyatlah akan muncul sekumpulan kader yang berdedikasi dan yang akan menjalankan dasar ini. Dari kalangan rakyat juga kita akan mendapat pertahanan kita. Rakyat yang sedar dan patriotik – itulah pertahanan kita yang tidak terlawan oleh kaum imperialis. Langkah ketiga, kita perlu mengadakan kaedah pemeriksaan terhadap pelaksanaan dasar ini untuk membetulkan kesilapan dan penyelewengan pada tiap-tiap peringkat dari semasa ke semasa. Kita semua manusia dengan kelemahan masing-masing. Untuk membetulkan kesilapan serta mencegah penyelewengan, kita mesti mewujudkan suatu kaedah tegur-menegur dan nasihat-menasihati yang berkesan.”

“Kau yakin benar dasar ini boleh berjaya?” tanya Fatimah lagi.

“Mengapa kau ragu, Fatimah? Nabi Muhammad menyelesaikan misinya dalam masa 23 tahun. Keadaan yang beliau hadapi dulu sama dengan keadaan yang kita hadapi sekarang – sebuah masyarakat jahiliah. Jika beliau dan pengikut-pengikutnya boleh buat, mengapa kita tidak boleh buat? Hukum sejarah ini mengatakan kita boleh buat. Tetapi kita mesti yakin, kita mesti berani, kita mesti berjuang. Tuhan pasti akan memberikan kita kemenangan, kerana inilah janji Tuhan kepada kita dan Tuhan tidak mungkir janji.”

“Saya bertanya kerana saya takut kita akan gagal,” jawab Fatimah. “Kita telah melihat kegagalan demi kegagalan dalam masa seratus tahun lebih bagi rakyat tertindas untuk mewujudkan sebuah dunia yang adil.”

“Mungkin ini suatu proses,” sampuk Shuib. “Kita belajar daripada kegagalan kita. Patutkah kegagalan menjadi punca kita melepaskan perjuangan? Lagipun, kaum penjajah juga menemui kegagalan. Malah kegagalan mereka lebih nyata. Lihat di mana pergi penjajah Portugis dan Sepanyol, Belanda, Belgium, Perancis, Jerman, Rusia dan juga Inggeris dan A.S. Empayar-empayar mereka sudah hapus. Apa yang sedang kita lihat sekarang ialah usaha-usaha terakhir kaum neo-imperialis Inggeris-A.S. yang nekad untuk menyelamatkan sistem penindasan mereka yang memang tidak boleh diselamatkan lagi.”

“Memang kita tidak boleh melepaskan perjuangan kita biar apa pun berlaku,” jawab Fatimah.

“Mari kita terbalikkan soalan itu,” kata Iskandar. “Jika kita terus gagal untuk melakukan perjuangan, apa yang akan jadi? Kita sudah melihat bagaimana daif dan hinanya kita umat Islam hari ini. Kita bergantung kepada belas kasihan kaum neo-imperialis. Kita minta Majlis Keselamatan PBB mengangkat sekatan ekonomi terhadap Iraq! Kita minta mereka melindungi kedaulatan Bosnia-Herzegovina! Kita mengemis kepada “kuasa-kuasa besar!” Tidakkah ini menunjukkan bahawa kita telah hancur? Adakah kita sedar bahawa kita sudah hancur? Mengapa sepuluh buah negara Islam tidak boleh membuat suatu pakatan yang teguh dan memberi kata dua kepada Majlis Keselamatan supaya buat apa yang saya sebutlan tadi. Isytiharkan kepada dunia bahawa jika mereka tidak buat apa yang kita tuntut, kita akan mengambil tindakan-tindakan hatta hingga keluar daripada PBB! Saya fikir mereka akan buat, kerana mereka ini bacul dan bingung sebenarnya.

“Cuba kita hitung berapa ribu billion ringgit kerugian kita untuk masa 50 tahun lalu saja kerana kita kena jajah atau ekonomi kita kena rompak oleh mereka, dan kerana kita tidak mahu berjuang. Tetapi jika generasi kita yang lalu sanggup berjuang untuk merebut kembali kemerdekaan yang tulen – bebas dari semua segi dan bebas dari segala macam khurafat – tentu generasi kita sekarang akan dapat hidup semerdeka-merdekanya. Malah sistem imperialis akan hapus dan sistem yang adil di bawah pemerintahan kita akan wujud. Keadaan seperti ini barulah boleh kita namakan kebangkitan Islam.”

“Apakah sarananmu kepada parti-parti politik yang ada sekarang? Tanya Shuib.

“Seelok-eloknya UMNO menganjurkan suatu dasar permuafakatan baru di antara parti-parti politik berdasarkan patriotisme Malaysia dan humanisme Islam, seperti yang telah kita huraikan di atas. Bolehkah ini dilakukan sekarang? Saya tidak tahu. Saya fikir boleh. Mengapa kita tidak cuba? Belum cuba, belum tahu! Tetapi saya yakin bahawa inilah yang harus kita buat dalam jangka masa yang pendek, jika kita ingin selamat. Siapa yang akan menentang dasar ini? Golongan liberal sekular? Saya fikir mereka boleh terima dasar ini. Golongan agama jumud? Mungkin. Kita mesti berhujah dengan mereka bahawa inilah jalan yang paling baik untuk negara kita dan untuk Islam. Saya fikir mereka juga akan terima. Sedikit sebanyak pemimpin dan cerdik pandai kita telah merintis jalan ini dalam masa beberapa tahun yang lalu. Jika pemimpin kita berani untuk meneroka jalan ini, saya fikir rakyat kita akan memberi sokongan dan kita akan berjaya.

“Bagaimana dengan kaum neo-imperialis Inggeris-Amerika dan konco-konco mereka? Tidak mungkinkah mereka membuat angkara dengan menghasut pergaduhan kaum dan agama atau sebagainya? Kemungkinannya besar sekali, tetapi kita jangan takut. Mereka tidak boleh buat apa-apa jika kita senantiasa beringat. Perkuatkan perpaduan rakyat kita dengan dasar dan pentadbiran yang adil. Perkuatkan lagi hubungan-hubungan kita yang sudah baik dengan negara-negara jiran, khasnya Indonesia, China dan Jepun, dengan negara-negara Islam dan Dunia Ketiga, dan juga dengan negara-negara maju. Dengan Inggeris dan A.S., kita mesti tentang dasar neo-imperlialis mereka dengan tegas di samping kita mengadakan hubungan-hubungan perdagangan, kebudayaan dan teknikal – saintifik di bawah syarat-syarat tertentu.”

“Tentang dasar luar, nampaknya, kerajaan kita di bawah pimpinan Dr Mahathir, lanjutan daripada dasar bebas dan berkecuali yang dimulakan oleh Tun Razak – nampaknya dasar ini telah berjaya besar,” kata Jayabalan.

“Betul,” jawab Iskandar. “Kecuali dalam perang pencerobohan pakatan Inggeris – A.S. terhadap Iraq dalam tahun 1990-91. Dalam peperangan ini, banyak negara telah ditipu, dibeli atau ditekan oleh Amerika untuk menyokong komplotnya. Tetapi setelah tiga tahun, pakatan ini sudah pecah. Sekutu rapatnya sendiri, Perancis, sudah mula menentang dasar ini. Tetapi rakyat Iraq sendiri terpaksa berkorban dan menderita, seperti mana juga rakyat Bosnia, Palestin dan lain-lain. Inilah bayaran yang harus kita lunaskan untuk menentang kaum neo-imperlialis ini. Tetapi jika lebih ramai umat Islam dan rakyat tertindas lain bangun berjuang secara aktif, tentu lebih cepat kita boleh menghancurkan sistem imperialis ini serta membangunkan sebuah dunia yang adil dan aman. Inilah hikmah ajaran Tuhan menggalakkan orang-orang mukmin mengorbankan jiwa raga dan harta benda mereka di dalam perjuangan di jalan Allah untuk mewujudkan seberapa segera sebuah dunia yang adil untuk anak cucu mereka dan dengan demikian menempa kejayaan-kejayaan yang lebih besar dalam evolusi manusia.”

“Eloklah kita berhenti di sini dulu dan bersurai,” Shuib, setiausaha Kelab, mencadangkan, kerana waktu pun sudah hampir pukul 1.00 pagi. “Saya fikir perbincangan kita pun sudah selesai. Semuanya telah kita rakam dalam pita video yang akan kita sebarkan kepada ahli-ahli kita nanti.”

* Disiarkan dalam Dewan Sastera, Februari, 1995.

*****

Cerpen 2


PERISTIWA DI TAMAN FIRDAUS

Mengikut Hadis, `Akhir Zaman’ itu penuh dengan huru-hara dan kacau-bilau di seluruh dunia. Ini disebabkan oleh angkara Dajjal yang ingin menakluk seluruh dunia dan memaksa manusia tunduk kepada perintahnya. Yang tunduk mendapat syurganya; yang ingkar mendapat nerakanya. Kemudian timbullah Imam Mahdi dan Nabi Isa yang akan membunuh Dajjal serta membawa keamaman dan keadilan sejagat. Quran tidak menyebut nama Dajjal ini, apalagi perkembalian Nabi Isa ke dunia untuk membunuh dia, kerana Nabi Isa, mengikut Quran, telah wafat. Sebaliknya, Quran menceritakan tentang Yakjuj dan Makjuj, nyata dua bangsa atau kuasa penindas, yang membuat angkara di dunia sebelum berlakunya Hari Perhitungan. Sudahkah manusia sampai ke titik ini dalam sejarahnya?

Demikianlah Ariff bin Sidik, seorang penulis dan ahli politik di negara Antah-Berantah, kerap bertanya pada dirinya. Dia mempunyai empat orang anak yang sudah besar, bekerja dan berkahwin, malah bercucu pun. Masa mudanya dia mencari kesempurnaan melalui penulisan dan aktiviti politiknya. Cita-citanya dari kecil ialah untuk menjadi seorang penulis dan mendedahkan segala kepalsuan dan dia fikir dia sudah mencapai cita-cita ini, walaupun dia tidak mendapat anugerah yang diidamkan oleh semua penulis di negara ini. Namun demikian, cita-cita politiknya untuk mencapai sebuah masyarakat yang sempurna terkandas. Walaupun umurnya sudah meningkat enam puluh, dia terus aktif mengembara dalam pengembaraan intelektualnya: dia membaca, menulis, mengajar dan sesekali menghadiri persidangan dalam negeri dan antarabangsa. Persis kerana pengembaraan intelek ini, masyarakatnya kerap salah faham dan salah tafsir buah fikiran yang dikeluarkan dalam tulisan-tulisannya. Satu daripadanya ialah tentang perkara `Akhir Zaman’ dan `Kiamat’.

Persis pada saat ini, penulis kita Ariff bin Sidik, yang tetap taat pada isterinya, yang dia kahwini dulu kerana cinta, tetapi yang sekarang tidak dapat menajdi teman hidup sepenuhnya seperti dulu, jatuh cinta kepada seorang janda -- ibu tunggal, mengikut istilah sekarang – yang tidak pernah dia jumpai. Oleh kerana kami anggap ini satu peristiwa yang mengandungi pelajaran dalam konteks zaman yang kita perkatakan, maka kami ceritakan kepada pembaca yang budiman, dalam kata-kata watak ini sendiri.


* *

“Tidakkah aneh, Shim?” kataku kepada kawanku. “Selama setahun aku hanya bermimpi, menanggung rindu kepadanya dalam diam. Kemudian dalam masa tidak sampai empat bulan kami berkenalan, kami berkahwin! Aku masih berasa ini macam mimpi!”

“Tidak aneh dan bukan mimpi,” Jawab Hashim ringkas. “Tapi, kau terangkan kepadaku apakah makna kehidupan. Kita lahir, belajar, bekerja, kahwin dan beranak, kemudian mati. Generasi demi generasi. Kita seronok dan bahagia, tapi tak kurang hidup kita penuh kesakitan dan sengsara. Apakah makna ini semua?”

“Kau ingin mati, Shim? Kau ingin kau tidak dilahirkan di dunia ini?” Aku bertanya balas kepada kawanku yang kukenal sebagai seorang ahli falsafah.

“Ya,” jawabnya. “Kau perangkap aku di situ! Kadang-kadang saja aku ingin mati apabila kulihat terlalu banyak penderitaan. Tapi aku suka kepada hidup dengan segala keseronokannya. Aku suka berkawan dan berbual-bual. Aku suka makanan yang enak-enak. Aku suka membaca dan mendengar musik. Aku suka melihat matahari naik dan matahari jatuh. Aku suka melihat laut yang berombak dan laut yang tenang. Aku suka melihat bendang yang hijau luas terbentang. Aku suka kepada perempuan. Tapi cuba kau lihat kanak-kanak yang cacat, kemiskinan dan kebuluran, tengkorak-tengkorak manusia mangsa genosid, pemimpin-pemimpin yang munafik yang membunuh atas nama kebebasaan dan keadilan! Aku tidak faham ini semua. Ini yang menyebabkan aku tidak percaya kepada Tuhan. Tidak seperti kau. Mungkin kau lebih bernasib baik daripada aku. Kau sekarang mendapat cinta baru, tenaga baru. Tapi mengapa Tuhan biarkan aku jadi begini?”

“Shim, kau yang pilih untuk tidak percaya. Mengapa kau lihat dengan sebelah mata saja? Di samping kanak-kanak cacat, ada kanak-kanak yang elok anggotanya dan yang sihat-bugar. Di sampin kemiskinan dan kebuluran ada kekayaan dan kemewahan. Di samping penyakit, ada kesihatan. Di samping pembunuhan, ada pemulihan nyawa. Di samping pemimpin jahat, ada pemimpin baik. Mengapa awak pilih untuk melihat yang negatif saja?”

“Jika Tuhan adil dan berkuasa, mengapa Ia tidak menghapuskan segala kezaliman ini?” Tanya Hashim. “Jika Tuhanmu tidak berkuasa untuk menghapuskan kezaliman ini, dia bukan Tuhan!”

“Kau mahukah jadi binatang, seperti harimau, yang bertindak mengikut nalurinya? Kau akan memburu dan memakan binatang-binatang lain. Pada waktu itu, kau menjadi pembunuh yang paling kejam. Tapi, kau tak boleh pilih, bukan? Hashim Bakri seorang manusia berakal yang boleh pilih. Kau lebih suka martabat ini, bukan? Tapi mengapa kau pilih untuk tidak berfikir? Kau bertanggungjawab sebagai seorang makhluk berakal untuk membuat yang baik dan melarang yang jahat. Adakah kau berbuat demikian? Sebaliknya, kau persalahkan Tuhan! Kau mahu segala-galanya disajikan kepadamu tanpa bekerja; kemudian kau hendak pilih dan menghukum! Di mana logikmu, wahai ahli falsafah? ”

* *

Dengan tidak kusangka pertemuanku dengan dia berlaku dalam sekedip mata. Sudah berapa lama aku rancang – bertemu dalam satu majlis yang kutahu dia ada, atau di kedai-kedai kopi hotel-hotel yang kerap disinggahi orang ramai – tetapi ini semua tidak berlaku. Aku sudah menulis beberapa pucuk surat kepadanya, malah mengirim hadiah pada harijadinya; malangnya, jawapan tidak pernah menjelang. Aku tahu dia seorang yang berpendirian tegas tidak melayan sebarang orang yang telahpun beristeri, seperti aku. Dia mesti tahu siapa aku, kerana namaku sebagai seorang penulis dan ahli politik agak terkenal. Aku sendiri, walaupun tidak kenal dia, tahu banyak juga tentang dia melalui ceritanya sendiri, atau laporan tentangnya, dalam akhbar dan majalah tempatan.

Aku mesti akui aku mula tertarik kerana wajahnya yang sungguh cantik. Dia seorang pembaca berita di sebuah stesyen t.v. kebangsaan. Tetapi kecantikan wajah saja tidak cukup untuk membuat aku jatuh hati kepadanya. Mula-mula aku cuma seorang peminat, seorang daripada entah berapa ribu orang peminat. Kemudian aku mula membaca berita-berita atau artikel-artikel mengenainya, selalu disertai dengan gambarnya yang aku kira menjadi daya penarik bagi orang ramai. Dari sinilah hatiku mulai lembut terhadapnya: wataknya, riwayat hidupnya dan pendapatnya tentang banyak hal membuat aku jatuh hati kepadanya hingga mendorong aku menulis surat kepadanya. Surat menyatakan aku seorang peminantnya telah aku tulis awal-awal lagi. Apabila perasaanku kian menebal, aku menyatakan keinginanku untuk berkenal-kenalan dengannya, walaupun aku tidak mengambil apa-apa tindakan lain kecuali menulis surat itu saja. Pada harijadi beliau yang ke-34 aku mengirim sebuah hadiah berupa bukuku. Walaupun aku tidak pernah menerima apa-apa jawapan atau reaksi – dan ini menyebabkan aku berasa hampa --, tidak pula surat-suaratku atau kiriman-kirimanku dipulangkan. Ini boleh beliau lakukan untuk menghalang aku daripada terus berhubung dengannya. Aku tafsirkan ini sebagai satu tanda baik. Lagipun, kata-katanya dalam media bahawa dia sekarang selesa hidup seorang diri, bahawa dia tiada rancangan untuk berkahwin semula dalam masa yang terdekat dan bahawa anak-anaknya ialah keutamaan baginya sekarang, walaupun ada berita angin bahawa beliau akan berkahwin lagi, memberi harapan kepadaku. Memang aku seorang opimis yang tebal, kerana kadang-kadang aku tafsirkan kata-katanya sebagai sebagai jawapan kepada suratku, yang menawarkan pertolonganku kepadanya dalam apa bentuk pun.

Tiba-tiba, pada hari itu, setelah kira-kira setahun aku simpan perasaan terhadapnya, tanpa aku sangka sedikitpun, aku bercakap kepadanya. Inilah yang dikatakan campur tangan Ilahi. Seorang wartawan sahabatku yang kutemui di restoran tempat aku menginap, melalui perjanjian terlebih dulu, menyebut namanya dalam perbualan kami serta menyatakan beliau kawan sesekolahnya, malah sekelas, di Sekolah Kebangsaan Segamat. Apabila aku beritahu kepada sahabatku bahawa aku seorang peminatnya, tanpa bertanya kepadaku, beliau terus menelefon dia di pejabatnya lalu menyerah aku kepadanya!

Terkejut campur berdebar menghinggapi diriku. Tetapi aku tidak boleh elak lagi. Lalu aku berkata ke dalam telefon bimbit itu: “Assalamu alaikum! Itu Cik Khadijah?”

Suara lembut dalam telefon bimbit itu menjawab, “Wa `alaikum salam. Ya, saya Khadijah. Itu Cik Ariff?”

“Ya, saya Ariff bin Sidik dari Kedah. Dia peminat Cik Khadijah yang setia dan kuat. Saya gembira sungguh dapat bercakap dengan orang yang saya minati dan kagumi!” kataku ke dalam telefon itu. Aku sendiri terkejut dengan keberanian dan keyakinanku!

“Yakah? Merepetlah Cik Ariff ni! Awaklah orang yang digeruni umum, termasuk saya!”

Mendengar itu, aku tergamam. Aku ingin memanjangkan perbualan itu, tetapi aku tidak mahu mengganggu dua orang tetamuku, yang sekarang sedang asyik membaca penerbitan-penerbitan kumpulan LaRouche di A.S. yang kuserahkan kepada mereka awal-awal tadi. Kataku kepadanya: “Beginilah Cik Khadijah. Saya sungguh gembira dapat bercakap dengan awak dalam telefon ini. Tetapi saya nak bertemu muka dengan awak. Kalau awak lapang petang ini atau tengah hari besok, saya ingin menjemput awak makan bersama saya.”

“Petang ini saya bekerja hingga malam, tapi besok pagi hingga pukul 4.0 petang saya tak bekerja. Makan tengah hari bolehlah,” jawabnya.

“O.K. Bagus. Kalau begitu besok pukul 12.0 saya jemput Cik Khadijah … di mana?”

“Awak datang ke rumah saya di ------------------.

Aku menyambung perbincanganku dengan sahabat-sahabatku Cik Salmah dan Cik Rogayah dari sebuah akhbar nasional.

“Ya,” kataku. “Si Borhan itu seorang petualang besar. Di Iraq dalam masa seminggu dia akan dihukum tembak!”

Dari hal-hal UMNO dan PAS dan perbicaraan Borhan Jamaluddin, kami beralih ke Perang Teluk dan Perang Iran-Iraq. Cik Rogayah pernah mengkritik pemerintahan Saddam Hussein kepadaku kerana tidak membenarkan penggunaan mesin taip pada suatu waktu. Seorang sahabatku yang lain dari sebuah pertubuhan Islam menuduh Saddam membunuh ulama. Sesetengah pula mengatakan dia alat Amerika Syarikat. Macam-macam cerita aku dengar tentang beliau. Tetapi aku sendiri telah membuat penyiasatan tentang Parti Baath yang memerintah Iraq setelah revolusi 1968 dan tentang latar-belakang dan pemikiran Saddam Hussein. Aku membuat kesimpulan bahawa sistem di Iraq tidak disukai oleh kaum imperialis Inggeris-Amerika, lebih-lebih lagi pemimpinnya Saddam Hussein yang tegas dan berani. Maka itu propaganda mereka dan propaganda kaum Zionis serta konco-konco mereka terhadap Iraq dan Saddam Hussein sungguh dahsyat. Perang Iran-Iraq dan Perang Teluk berdiri sebagai bukti keinginan mereka untuk menghancurkan Iraq.

Besoknya, lima minit sebelum pukul 12.0, aku sudah tiba di rumah kawanku yang baru, Cik Khadijah. Mendengar bunyi hon teksiku, dia keluar dan menjemputku masuk. “Kita mahukah teksi ini?” tanyaku.

“Buat apa? Kita pergi dengan kereta saya,” jawabnya.

Aku membayar pemandu teksi itu.

Cik Khadijah, yang berpakaian blouse dan skirt biru muda berbintik putih, mengajak aku masuk. Dia memperkenalkan aku kepada ibunya, yang kebetulan ada di situ pada hari itu, abangnya, yang kebetulan cuti pada hari itu, dan kepada tiga orang anaknya, yang telah bersiap-sedia hendak pergi ke sekolah petang. Kemudian kami meminta diri lalu keluar.

“Biarlah saya bawa,” kataku kepada Khadijah.

“Cik Arif tahukah jalan di KL? Saya sajalah bawa.”

“Saya bawa lebih elok. Cik Khadijah tunjuk jalan, O.K.?”

Kereta itu BMW, yang tidak pernah kubawa. Peralatannya canggih. Enjinnya auto. Aku tanya dia tentang swis lampu isyarat, swis lampu dan swis penyapu cermin dan berek, lalu aku bawa perlahan-perlahan dulu, selama kira-kira sepuluh minit, kemudian dengan kelajuan biasa.

“Awak tunjuk saya jalan ke restoren yang sedap di KL,” kataku.

“Kita pergi ke Restoran Perak di Jalan Khor Keh Peng,” katanya.

Sampai di sana, orang belum ramai. Baru ada empat lima orang. Kami naik ke atas dan minta nasi, gulai ikan bawal, sayur gobes, ikan talang kering goreng, kacang botol dan sambal. Khadijah minta air belembing dan aku juga.

“Nampaknya, citarasa kita sama. Tapi makan tak penting, bukan?” kataku.

“Siapa kata makan tak penting?” balasnya.

“Makan untuk hidup dan bekerja saja. Bukan hidup untuk makan!” Jawabku. “Lebih penting daripada kita makan ialah peluang saya berkenalan dengan awak. Mengapa awak tidak menjawab surat-surat saya? Nasib baik saya tak merajuk!”

“Malulah saya nak cakap,” katanya. “Tak perlulah Cik Ariff timbulkan soalan itu. Maafkanlah saya dan lupakan hal itu, O.K.?”

Aku angguk, lalu bertanya tentang hal kerjanya dan anak-anaknya.

“Cik Ariff sukakah kepada anak-anak saya? Yang besar, Amir Tingkatan Satu, yang kedua, Sheila, Darjah Lima dan yang ketiga, Fatimah, Darjah Dua. Mereka inilah kekuatan dan penghibur saya.”

“Ibu yang kasih,” jawabku. “Saya peminat awak dan juga anak-anak awak!”

“Saya juga sangat kasih kepada ibu saya. Saya ingin mengumpul wang dan membesarkan rumahnya dan menghantarnya ke Mekah.”

“Saya tahu itu,” jawabku. “Awak sekarang sudah kaya dengan wang gantirugi yang awak menang dalam kes saman malu itu. Ibu awak tinggal bersama awak atau di kampung?”

“Di kampung. Dia datang kerana ada hal, sekejap saja. Dia tinggal bersama kakak dan adik saya. Mereka berniaga jual nasi kecil-kecilan di sana. Saya lima beradik. Dua orang abang saya tinggal di KL, seorang bersama saya, yang awak jumpa tadi.”

“Mengapa awak tak sambung pelajaran awak hingga ke universiti? Awak seorang yang rajin dan pandai?”

“Bapa saya penoreh getah. Dia meninggal waktu saya belum selesai sekolah, kerana tibi. Saya terpaksa berhenti sekolah dan bekerja untuk membantu keluarga.”

“Abang-abangmu dan kakamu?”

“Abang-abang saya kedua-duanya sudah bekerja pada masa itu, tapi gaji mereka tidak besar. Kakak juga terpaksa berhenti sekolah untuk menolong ibu.”

“Hanya orang susah yang mengerti makna penderitaan,” kataku, airmataku berlenang, tidak dapat kutahan. Khadijah melihat itu dan dia tunduk. “Tidak apalah, Khadijah,” kataku lagi. “Bagi tiap-tiap perkara ada masanya. Bulan depan saya ada sedikit kerja di Singapura. Kalau Cik Khadijah lapang, saya boleh singgah di kampung awak dan melihat rumah ibu awak bersama awak. Kemudian kita boleh lihat apa yang kita boleh buat untuk menolong ibu awak.”

“Mengapa Cik Ariff mahu bersusah payah tentang ibu saya?” Tanya Khadijah, kukira untuk mendapat kepastian.

“Kan telah saya katakan tadi, saya sukakan awak dan saya sukakan mereka yang awak kasih.”

Mendengar jawapanku, dia memalingkan mukanya dan menyapu airmatanya dengan tangannya. Lalu aku keluarkan sapu tanganku dan menyapu airmata dari muka yang kian kukasih. Aku senyum kepadanya untuk memberikan dia keyakinan, keyakinan yang perlu bagi seorang insan untuk menghadapi pancaroba Akhir Zaman.

Makan kami lambat, kerana lebih banyak bercakap daripada makan. Walau bagaimanapun, aku tidak tambah dan dia pun tidak tambah. Lauk dan sayurnya habis kami makan. Lalu kami minta kopi o. Sambil menyisip kopi o aku memerhatikan tepat pada mukanya yang telah kurindui sekian lama, lalu aku senyum. Dia pun tersenyum.

“Mengapa awak lihat pada saya begitu?”

“Tak bolehkah?” Tanyaku balik. “Dulu saya kagumi wajah awak dari gambar t.v. dan akhbar dan majalah dan dari jauh. Saya simpan satu fail gambar-gambar awak dan cerita awak. Sekarang saya dapat kagumi wajah awak dari dekat!”

Dia tersenyum tersipu-sipu lalu mencubit pahaku. Katanya, “Awak ni boleh tahan juga! Seorang kelakar, rupanya, kawan saya yang baru ini!”

“Saya tidak kelakar, Cik Khadijah. Kalau awak tak percaya, nanti saya tunjuk fail itu kepada awak.”

Aku melihat jamku menunjukkan pukul 2.30 petang dan aku memanggil pelayan untuk membawa bil, tetapi Khadijah berkata dia masih ada masa lagi sebelum masuk ke pejabat. Dia ingin bertanya aku tentang satu hal yang kadang-kadang dia dengar di kalangan orang-orang politik.

“Mengapa di tengah jalan awak tinggalkan parti sosialis yang awak pimpin?”

“Tahukah Cik Khadijah?” kataku. “Inilah kali pertama orang bertanya kepada saya tentang perkara ini. Mengapa awak tanya? Peristiwa ini sudah lama, tahun 1984. Masa itu awak di mana?”

“Saya bertanya kerana yang saya faham parti sosialis berpihak kepada orang miskin, seperti keluarga saya. Masa itu saya di kampung bekerja memotong getah membantu ibu saya. Belum lagi saya datang ke Kuala Lumpur.”

“Seperti awak, saya juga berasal dari keluarga miskin. Bapa saya mengajar sekolah agama sambil buat bendang. Ibu saya buat kuih. Saya tidak boleh lupa pengorbanan mereka untuk saya. Itulah sebabnya saya giat dalam politik, untuk mencari kehidupan yang lebih sempurna bagi orang bawahan. Itulah sebab saya jadi sosialis. Rupa-rupanya bukan senang untuk mengubah masyarakat, apalagi untuk mengubah sistem. Tapi bukan kerana ini saya tinggalkan parti saya. Saya tinggalkan parti saya, kerana, setelah saya menyertai parti selama hampir dua puluh tahun, saya sedar dunia sudah berubah dan saya ingin membawa perubahan kepada parti itu. Mula-mula mereka setuju; kemudian ada pemimpin parti yang tikam saya dari belakang. Mungkin saya tidak patut letat jawatan dan keluar parti. Mungkin saya patut lawan dan mungkin saya akan menang dan membawa perubahan itu dalam parti. Tapi itu semua perkara yang sudah lalu. Tidak guna diungkit lagi.”

Aku bayar bil dan kami terus bangun dan keluar. Aku menghantarnya terus ke tempat kerjanya dalam kereta BMW itu lalu aku kembali ke hotelku dengan teksi.//

* *

Perjalananku ke Singapura untuk beberapa kerja: bertemu dengan anggota-anggota sebuah pertubuhan yang kupimpin di sana; berjumpa dengan seorang sahabat wartawan dan merundingkan kerjaku dengan majalah beliau, dan juga menjengok beberapa sahabat lamaku waktu aku di Universiti Malaya dulu. Aku bercadang hendak pergi dengan kapalterbang, tetapi Khadijah telah mengambil cuti seminggu dan mengajakku memandu dengan keretanya ke sana. Dia juga ingin menjengok dua tiga keluarganya di sana. Kami pun berunding untuk menetapkan jadual masing-masing, tempat penginapan dan perbelanjaan. Dia mengajak aku tinggal di rumah emak saudaranya, tetapi aku menolaknya. Aku menghantar dia ke rumah emak saudaranya di ………….., lalu aku pergi menginap di rumah seorang anggota pertubuhan. Malam besoknya aku ambil dia untuk bersama-sama menghadiri majlis itu. Terlebih dulu aku memberi amaran kepadanya tentang kepercayaan anggota-anggota pertubuhan itu, iaitu kembali kepada ajaran Tuhan yang sebenar dalam Quran. Di restoren kami makan tengah hari dulu, aku ada bercakap sedikit dengan tentang perkara ini, tetapi, katanya, dia sudah tahu. Lagipun, dia sudah membaca buku itu, versi terjemahan Inggeris yang telah kuhadiah kepadanya sempena harijadinya yang ke-34, beberapa bulan dulu. Katanya, dia tidak nampak apa-apa kesalahan dalam buku itu. Bagiku ini satu perkara yang amat penting dalam hubunganku dengan Khadijah. Tidak mungkin aku mengadakan hubungan itu jika dia sebaliknya.

Pada hari pertama dan kedua, aku menyelesaikan urusan-urusanku dan Khadijah mengahbiskan masa bersama emak saudara dan kaum-keluarganya. Pada hari ketiga aku membawa dia melihat beberapa tempat bersejarah, seperti Universiti Singapura dan Kolej Perubatan. Hari keempat kami bersiar-siar dan rehat-rehat di tepi laut dan kebun bunga. Kami bercakap tentang pelbagai hal: makna hidup dan mati, agama, cinta, penjagaan anak, kiamat, syurga dan neraka. Di sinilah aku menyatakan perasaanku kepadanya.

“Bunga di taman sudah disuntingkah?” tanyaku.

“Belum,” jawabnya, matanya tepat pada mataku.

“Kalau begitu, saya nak sunting.” Tangan kanannya kupegang.

“Cik Ariff melamar sayakah?”

“Ya,” jawabku tegas dan pendek. “Tak perlu melalui orang tengah, bukan?”

“Cik Ariff sanggup hidup dengan saya dan anak-anak saya dan masalah-masalah saya? Kami dari keluarga misikin.”

“Saya nak jadikan awak isteri saya, anak-anak awak anak-anak saya dan ibu awak ibu saya. Isteri seumur hidup, dalam senang dan dalam susah. Tentang kemiskinan keluarga awak, keluarga saya pun miskin. Bukankah kitab Taurat mengatakan orang miskin akan mewarisi Firdaus?” Ayat-ayat itu aku lafazkan dengan jelas dan tegas, tanganku memegang tangannya erat-erat. Aku melihat airmatanya mengalir, lalu aku keluarkan sapu-tanganku serta menyapu airmatanya. Aku mainkan lagu keroncong “Selendang Sutera” dalam kasetku. Lagu ini memang mempunyai makna yang mendalam bagiku. Khadijah meletakkan kepalanya di bahuku lalu bertanya, “Betulkah abang akan sayang saya selama-lamanya?”

Aku memegang kedua-dua bahunya dan menghadapkan wajahnya kepadaku. Kataku dengan menekan tiap perkataan satu demi satu, “Saya, Ariff bin Sidik, berjanji akan menjadikan Cik Khadijah bt. Abdul Samad isteri saya sehingga akhir hayat, akan menyayanginya, menjaganya dan menghormatinya dalam senang dan dalam susah. Tuhan menjadi saksi saya.” Lalu aku mengucupnya di dahi, di mata, kemudian aku menciumi dua bibirnya dengan penuh ghairah. Inilah kali pertama aku mencium dia, dua bulan setelah kami berkenalan.

“Abang,” kata Khadijah dengan penuh manja. “Saya tak sangka akan jadi begini kepada saya, seorang ibu tunggal selama lima tahun. Abang datang selamatkan saya! Syukur kepada Tuhan. Tetapi masih banyak kaum hawa yang kurang bernasib seperti saya. Ke mana mereka hendak pergi, abang? Mengapa tidak diambil jadi isteri oleh kaum lelaki yang berkemampuan?”

“Awak memang seorang pengasih, Khadijah. Banyak fikir tentang hal orang lain. Tapi lamaran saya bagaimana? Awak terimakah?”

“Amboi, awak ini buat macam tak faham pula! Mahu saya menjerit `Ya, saya terima lamaran awak’ kuat-kuatkah? Biar saya minta restu ibu dan anak-anak saya dulu.”

“Awak memang seorang anak yang taat dan seorang ibu yang kasih,” kataku, mengangguk kepalaku. Tentang perkara nasib ibu tunggal tadi, ini soal negara, seperti soal kemiskinan atau penyalah-gunaan dadah. Tidak boleh diselesaikan oleh orang perseorangan. Abang setuju ibu-ibu tunggal yang ramai jumlahnya sekarang patut diberi perhatian yang lebih berat oleh masyarakat supaya nasib mereka terbela. Tapi ramai perempuan tidak suka dimadu, bukan? Jika ada lelaki yang berkemampuan, tetapi sudah beristeri, kebanyakan ibu tunggal tidak mahu, bukan? Mengapa? Ini satu jalan yang sah dalam Islam. Jangan marah abang hendak tanya: mengapa perkahwinan awak dulu berakhir dengan perceraian?”

Aku melihat mukanya berubah apabila dia mendengar pertanyaanku itu, tetapi kemudian dia senyum. Katanya, “Orang lelaki mata keranjang! Abang pun begitu, agaknya? Dia menduakan saya!”

Aku membiarkan sindirannya tanpa berkata apa-apa. Kemudian dia meneruskan: “Abang tahu saya tidak suka dimadu. Saya tak suka merampas suami orang sepertimana saya tak suka orang merampas suami saya. Tapi saya fikir abang lain. Abang seorang yang pengasih. Hati abang boleh melimpahkan kasih bukan kepada seorang, tapi ramai orang. Abang kasih kepada orang yang lemah dan orang yang susah, kerana keluarga abang sendiri dari orang susah. Betul tak?” Suaranya nakal meminta jawapan.

Aku melihat tepat ke dalam mata Khadijah yang jernih. Kataku, “Tijah ni suka mengusiklah! Mana awak tahu saya tidak akan pukul awak, kalau awak kahwin saya nanti?”

“Cubalah,” dia terus mengusik. Aku tarik dia kepadaku lalu aku cium dia di dahi dan di kedua belah matanya lalu aku pukul pahanya perlahan-lahan. “Ha, sakit tak pukulan abang?”

“Abang pukul saya macam mana pun memang tak sakit!” Khadijah terus menakal. Tetapi tiba-tiba dia mengalih perbualan kami ke perkara falsafah. “Apa itu qada dan qadar, bang?” Dia bertanya. “Abang seorang ahli fikir. Saya telah menanya soalan ini kepada beberapa orang ahli agama, tetapi mereka gagal memberi jawapan yang jelas.”

“Tak hairanlah mereka tak boleh jawab,” kataku, “kerana ini perkara yang sulit. Ahli-ahli falsafah telah membahas perkara ini sejak awal tamadun, tapi masih belum jelas kepada manusia. Biarlah saya cuba terangkan kepada awak secara ringkas. Mereka mentafsirkan qada dan qadar sebagai bermakna “baik dan jahat itu daripada Tuhan. Kita manusia kena terima nasib kita tanpa soal.” Ini bukan ajaran Islam. Quran menjelaskan, semuanya berasal daripada Tuhan dalam ertikata alam raya ini diciptakan oleh Tuhan. Tetapi, Quran menerangkan lagi, yang baik itu daripada Tuhan; yang jahat itu akibat perbuatan manusia. Ambil contoh dua gelas minuman. Yang satu berisi susu dan satu lagi berisi arak. Tuhan berkata kepada manusia: “Susu makanan baik, minum! Arak makanan jahat, jangan minum!” Lalu A minum susu dan menjadi sihat dan kuat, sedangkan B minum arak dan terbunuh dalam kemalangan jalanraya. O.K. Sekarang hukum! Bukankah kedua-dua A dan B bebas? A mendapat kebaikan kerana patuh kepada perintah Tuhan dan B mendapat kecelakaan kerana ingkar perintah Tuhan. Jadi, kebaikan itu daripada Tuhan, tetapi kejahatan itu daripada perbuatan manusia. Awak ikutkah setakat ini?”

“Ya, saya faham setakat ini,” jawab Khadijah. “Tetapi bagaimana dengan kejadian-kejadian gempa bumi, banjir besar, ribut-taufan dan letupan gunung berapi yang mengorban banyak jiwa kanak-kanak dan orang tua-tua yang tidak berdosa?”

“Dan peperangan,” tambahku. Aku diam sejurus, kemudian menyambung: “Awak ingat saya tahu semuakah? Kalau saya tahu perkara-perkara yang rahsia ini, saya tidak akan disentuh kejahatan dan akan memperoleh banyak kebaikan. Dalam hidup kita, kita alami kedua-dua kebaikan dan kejahatan. Kita percaya semuanya daripada Tuhan, tetapi kita kena berusaha untuk menambah kebaikan dan mengurangkan kejahatan. Itu perintah Tuhan kepada orang mukmin. Ambil contoh apa yang dipanggil bencana alam. Kita boleh mengatasi atau mengurangkan kesan buruknya melalui penggunaan sains dan teknologi. Ambil contoh peperangan. Peperangan berlaku kerana perbuatan manusia. Pada tiap-tiap waktu ada satu kumpulan manusia yang jahat yang ingin menguasai kumpulan lain supaya mereka boleh membolot kebendaan dunia, iaitu kekayaan, kuasa dan keseronokan, sedangkan Tuhan memerintah kita berlaku adil kepada semua orang dan tidak tamak. Kumpulan jahat ini boleh melancarkan peperangan kerana tidak cukup anggota masyarakat nampak muslihat mereka serta mengambil tindakan menghalang mereka. Lihat Perang Teluk antara tiga puluh sekutu penjajah Inggeris-A.S. dengan sebuah negara kecil Islam Iraq. Bukankah kerana takut kepada Iraq, maka mereka rangkul banyak negara lain untuk menyerang Iraq. Ini membuktikan kaum penjahat ini tidak berani dan tidak kuat. Tetapi mengapa banyak negara Islam tertipu dengan muslihat penjajah ini? Jika lima buah saja negara Islam yang berpengaruh menentang peperangan itu, Inggeris dan Amerika tidak berani melancarkan serangan biadab dan ganas ini, bukan? Dan hari ini kalau lima buah negara Islam bersatu untuk melanggar sekatan ekonomi yang zalim itu, Inggeris dan Amerika tidak boleh buat apa-apa, bukan? Mengapa mereka tidak buat demikian? Kerana takut, bukan? Kita sebenarnya sembah Amerika, bukan Tuhan!” Aku berhenti sejenak, melihat reaksi Khadijah.

Khadijah melihat aku, kemudian berkata, “Whao! Itu satu huraian yang sungguh terang. Terima kasih. Saya ada banyak soalan lagi, abang. Abang nak kawan dengan Tijah, abang kenalah jawab soalan-soalan Tijah. Tetapi mengapa Saddam Hussein melanggar Kuwait?”

“Mungkin itu satu kesilapan Saddam. Tapi Kuwait itu dicipta oleh Inggeris untuk kepentingan penjajahnya. Jika Kuwait buat kacau dengan Iraq, bolehkah Iraq berdiam diri? Kuwai itu semata-mata topeng untuk menutup pencerobohan Inggeris-A.S. terhadap Iraq.”

“Sebelum ini mengapa Iraq menceroboh Iran dalam Perang Iran-Iraq?”

“Ai! Tijah sudah menceroboh batasan perbualan kita! Dari qada dan qadar sudah pergi ke geopolitik di Asia Barat pula! Siapa kata Iraq menceroboh? Peperangan ini betul-betul hasutan kaum imperialis Inggeris-Amerika untuk melemahkan negara-negara Islam. Tetapi hakikatnya Iran yang memulakan peperangan itu dan Iran yang enggan berdamai bila Iraq minta berdamai setelah dua minggu. Peperangan ini tidak akan berlaku jika Iran menerima tawaran perdamaian Iraq.”

“Begitukah? Tijah tidak tahu. Tijah minta maaf, abang. Tapi sementara kita berbincang perkara ini, Tijah nak tanya satu soalan lagi. Mengapakah Tuhan membenarkan kejahatan wujud di dunia?”

“Abang nak beri satu petua yang mujarab kepada Tijah. Abang pakai petua ini. Quran itu panduan kepada kita dalam semua hal. Dalam Quran terdapat jawapan terhadap semua soalan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tijah kena ingat ajaran Quran bahawa kejahatan itu tidak berasal daripada Tuhan. Manusia yang mewujudkan kejahatan. Dalam diri manusia ada dua kecenderungan: kecenderungan untuk kebaikan dan kecenderungan untuk kejahatan. Sehingga manusia melakukan kejahatan, kecenderungan itu hanya tinggal kecenderungan. Keputusan untuk melakukan kejahatan itu dibuat oleh manusia dari kebebasan yang diberi oleh Tuhan kepadanya untuk memilih antara baik dan jahat, seperti dalam contoh susu dan arak tadi. Tuhan mewujudkan kecenderungan kejahatan dalam diri manusia supaya dia boleh pilih bukan kejahatan, tetapi kebaikan, dan, dengan itu, meningkatkan dirinya ke martabat yang lebih tinggi. Awak ikutikah hujah ini?”

“Dengan lain perkataan,” kata Khadijah, “kejahatan wujud untuk membolehkan manusia menolak kejahatan dan memilih kebaikan. Begitukah?”

“Betul! Pandai pun!” Aku menggalakkan Khadijah, seperti aku menggalakkan cucu-cucuku apabila mereka melakukan sesuatu yang betul. “Abang dah penatlah, sayang!” Aku menamatkan perbualan tentang qada dan qadar itu. “Janganlah tanya lagi perkara yang bukan-bukan. Bukankah kita datang ini untuk berehat?”

* *

Hari kelima kami memandu ke kampungnya di Segamat. Ibunya sudah menunggu kami dengan hidang makanan tengah hari yang istimewa: gulai kepala ikan siakap, udang galah goreng, sayur kailan, ikan talang kering bakar dan sambal pegaga. Aku marah dia, kerana menyusahkan ibunyanya begitu. Katanya, “Bukan saya yang suruh dia buat begitu.” “Silap saya,” jawabku. “Kan lebih seronok kalau kita beli daging dan sayur; biar saya yang masak. Bagi ibu awak rehat seketika. Awak ingat saya tahu makan sajakah?”

Zulaikah terperanjat mendengar aku berkata begitu. Dia fikir aku melawak saja. “Lain kali saya akan masak untuk awak dan anak-anak awak semua!” Kataku dengan serius. Dia ketawa terbahak-bahak.

Rumah ibu Khadijah rumah kampung dengan serambi, ibu rumah dan dapur. Semuanya daripada kayu dan bumbungnya atap. Ibunya, kakaknya dan adiknya berniaga kuih dan nasi dengan pendapatan kira-kira RM 2,000 sebulan. Aku kira-kira Zulaikah memerlukan lebih kurang RM 30,000 untuk membesarkan rumah ibunya itu. Tiga beranak mereka itu telah mengumpul RM 30,000 dalam masa kira-kira sepuluh tahun mereka berniaga. Aku berunding dengan Khadijah dan kami bersetuju untuk mengeluarkan kesemua RM 30,000 itu sebagai perbelanjaan itu. RM 15,000 dari tabung tiga beranak sebanyak RM 30,000 itu akan digunakan untuk menghantar ibunya ke Mekah. Bakinya disimpan untuk modal dan perbelanjaan sakit-demam. Oleh kerana pada waktu itu perniagaanku agak maju, aku beritahu kakaknya, tanpa diketahui oleh Khadijah, aku akan biayai semua RM 30,000 itu dan aku tulis sekeping cek dan serahkan kepada kakaknya.

Sebelum kami baik ke Kuala Lumpur, Khadijah, tanpa pengetahuanku, menarik ibunya ke tepi dan berkata, “Emak, ini ada satu perkara Tijah nak tanya. Macam mana Mak tengok si Ariff tu?”

“Emak nampak dia baik orangnya, sesuai dengan kau. Mengapa awak tanya?”

“Dia minta Tijah kahwin dengan dia. Tapi dia dah beristeri.”

“Jadi, kautolak lamaran dia?”

“Tidaklah. Tijah minta tangguh nak tanya Mak dulu.”

“Hai, Tijah, Tijah! Awak kan dah jadi emak tiga orang budak! Tak boleh lagi boleh buat keputusan sendiri?”

“Tijah mahu restu emak.”

“Emak restu kau kahwin dengan dia. Emak tahu dia seorang yang baik,” jawab emaknya ringkas.

“Bagaimana dengan budak-budak? Emak fikir mereka akan terima dia?”

“Hai, awak tak tengokkah bagaimana budak-budak itu, khasnya, Fatimah dengan dia? Fatimah tu kerap aku tengok naik kokko si Ariff!”

Kami pun balik ke Kuala Lumpur. Apabila Khadijah ketahui perkara cek RM 30,000 yang kuserah kepada kakaknya untuk membesarkan rumah ibunya,, dia mengamuk dan mengancam untuk memutuskan hubungannya denganku, jika aku tidak mengambil balik cek itu.

“Itu sedekah saya kepada ibumu. Saya tidak minta apa-apa balasan. Saya buat itu semua kerana saya suka kepada awak. Awak tahu, bukan? Salahkah itu, wahai Cik Khadijah?”

Khadijah diam. Dia tidak menyebut lagi perkara itu. Malah dia minta maaf kepadaku pada pertemuan kami dua minggu kemudian dan mengucap terima kasih kepadaku . Pada kali itu, kali keempat kami berjumpa, dia menjemput aku tinggal di rumahnya. Di situ ada tinggal tiga orang anaknya, abangnya bernama Zulkifli dan seorang pembantu rumah budak Indonesia. Pada mulanya, aku hendak menolak, kerana aku memikirkan biarlah aku mengambil masa lama sedikit, tiga atau empat bulan, sebelum aku menerima pelawaan seperti itu. Ini perkenalan kami baru dua bulan lebih. Namun demikian, setelah memikirkan lebih jauh, aku terima pelawaan itu. Aku mengambil kesempatan itu untuk mengenali anak-anaknya lebih dalam. Dulu pun, apabila aku datang, aku mengambil kesempatan untuk berbual-bual dan bermain-main dengan anak-anaknya. Aku dapati yang kecil, Fatimah, berumur tujuh tahun, sangat nakal dan sangat manja denganku. Sheila, sebelas tahun, pun lebih kurang begitu juga. Yang sulung, Amir, 13 tahun, pendiam sedikit. Dia beritahu aku dia ingin menjadi seorang ahli musik, lalu aku berjanji, jika dia belajar dengan tekun, aku akan belikan dia sebuah piano sebagai hadiah harijadinya akan datang. Jadi, ketiga-tiga mereka seronok apabila ibu mereka memberitahu aku akan datang melawat mereka.

Jadi, pada hari Ahad itu, aku bawa mereka keluar bermain dan berenang dari pagi hingga ke petang. Setelah itu, aku beli barang-barang dapur dan masak, seperti yang telah aku janji kepada Khadijah waktu di rumah ibunya dulu. Kami semua makan dengan lahap dan seronok. Yang paling seronok ialah aku, kerana dapat membuktikan kepakaranku sebagai tukang masak!

Aku betul-betul letih pada malam itu. Besok pagi pukul 10.0 kami akan berkahwin di Pejabat Agama Selangor. Zulaikah telah mengambil cuti selama dua minggu. Selepas makan, aku bercerita kepada mereka hingga 10.30 malam. Selepas itu aku memberitahu Khadijah aku hendak tidur. Dia memesan supaya aku tidak mengunci bilikku. Aku tidak tahu mengapa dia buat begitu. Mungkin dia hendak memberi aku susu untuk aku minum bila aku bangun tengah malam nanti. Walau bagaimanapun, aku lupa akan pesanan itu dan aku kunci pintu bilikku.

Aku dengar sayup-sayup pintu bilikku diketuk. Aku bangun melihat jam pukul 2.0 dan membuka pintu. Khadijah, yang berpakaian baju tidur nipis ungu, masuk dan memberi isyarat kepadaku supaya diam. Dia membawa segelas susu yang disuruh aku minum. Dikuncinya bilik itu dari dalam. Aku duduk di kerusi sandar di tepi katil dan minum. Selepas itu aku terus duduk di kerusi, enggan tidur semula, tetapi dia menarik tanganku mengajak aku tidur.

Aku berbisik kepadanya, “Mana boleh saya tidur dengan awak?”

“Allahmak! Jual mahal pula! Marilah tidur. Tak ngantuk ke?”

Aku pun tidur di sisinya. Bau rambutnya sangat wangi. Aku mencium rambutnya yang lembut dan lebat itu, mencium teliga dan lehernya dan membenamkan mukaku di dalam rambutnya yang tebal. Wanginya semerbak. Kemudian aku cium bibirnya satu ciuman yang mendalam dan penuh berahi. Bisikku ke telinganya: “Ini betulkah atau mimipi, Tijah? Abang sungguh sayang padamu.” Lalu dia bisik balik ke telingaku, “Ini sungguh, bang. Mak dah restu saya kahwin dengan abang.” Kami berdua seperti dibuai mimpi dan tidur dalam mimpi hinggalah siang.

“Mama tidur dengan Pakcik ke?” kata anaknya yang kecil, Fatimah, apabila melihat ibunya keluar dari bilikku, tanpa menyedari kenakalan soalannya.

“Mama tengok Pakcik dah bangun ke belum. Dia dengan Mama ada urusan pagi ini.”

“Mama dah setuju kahwin dengan Pakcik ke?” Tanya Fatimah lagi. “Kami semua suka kepada Pakcik. Bestlah kalau Mama kahwin dengan dia.” Perkataan kanak-kanak itu kedengaran di telingaku seolah-olah datang dari syurga. Memang Khadijah dan aku telah berpakat untuk tidak memberitahu mereka hingga saat akhir sebagai satu helah untuk meningkatkan keseronokan mereka.

“Betulkah kamu semua suka kepada Pakcik Riff? Nanti Mama tanya tiap-tiap seorang.” Pada ketika itu ketiga-tiga mereka sudah hadir di meja sarapan pagi. “Betul Mama,” sahut Sheila.

“Bagaimana dengan Mir?” tanya ibunya kepada anaknya yang sulung. Dia pemalu. Amir tersenyum, lalu berkata perlahan-lahan: “S-uu-k-aa!”

“O.K. Kamu semua suka. Tetapi Pakcik Riff kamu bagaimana?” Ibunya menakal.

“Pakcik Riff dah cerita dekat kami. Dia suka dan sayang pada Mama!” kata Fatimah. Semua mereka ketawa. Ibunya senyum tersipu-sipu. Dia melihat kepadaku dan aku melihat kepadanya. Mataku berlenang-lenang. Melihat itu, Fatimah, kanak-kanak kecil itu, berkata, “Mengapa Pakcik menangis?”

Aku bekam kedua-dua bibirku, lalu dari mulutku terkeluarlah kata-kata, bertahan-tahan: “Pakcik menangis kerana gembira!” Khadijah mengambil kertas tisu lalu mengesat airmataku. “Awak tak mahu pergi ke Pejabat Agamakah? Dah lambat ni!” Dia menjerit kepadaku. Lalu kami pun bersiap dan pergi bersama-sama dengan ibu Khadijah dan abangnya Zulkifli dan anak-anaknya.

* *

Selepas aku kembali dari Singapura dan Segamat dan setelah kami mengikat janji untuk berkahwin, aku berasa semuanya sudah beres. Dulu aku bimbang isteriku akan merajuk dan memberontak. Tetapi sejak awal dia sudah tahu aku ada menaruh hati kepada pembaca berita t.v. yang lawa itu. Aku kadang-kadang melawak dengannya mengatakan aku sudah berjumpa dan berbual-bual dengan Khadijah serta membayangkan simpatiku kepada ibu tunggal itu. Ada kalanya dia marah kepadaku, tetapi ada kalanya dia berseloroh untuk meminang Khadijah untukku! Apabila Khadijah, setelah berkenalan denganku, datang ke tempatku atas urusan kerjanya, aku bawa dia ke rumah untuk bertemu dengan isteriku. Aku telah menyediakan suasana psikologi untuk kedatangan itu di kedua-dua belah pihak. Isteriku memasak pindang ikan bawal, ikan tandau kering goreng dan sayur gobes dan sambal belacan isteriku yang sudah masyhur di kalangan kaum keluarga kami.

“Sila masuk, Cik Khadijah,” sapa isteriku apabila Khadijah sampai denganku. “Cik Khadijah sudah berapa hari di sini?”

“Ini hari kedua. Ada urusan pejabat sedikit. Besok balik. Apa kabar Kak Kamsiah? Ini ada sedikit buah tangan untuk Kak saya bawa dari Terengganu.” Lalu Khadijah menyerahkan hadiah itu kepada isteriku, sepasang baju dan kain batik dan sehelai selendang. Nampaknya, isteriku sangat suka dengan warna dan coraknya batik itu.

“Terima kasih, Cik Khadijah. Buat apa gaduh-gaduh hadiah ini? Bang Ariff ini saya relalah berkawan dengan Cik Khadijah. Dia memang suka kepada Cik Khadijah. Dia kerap memuji Cik Khadijah pada saya. Saya dah tak kuat lagi. Lagipun, saya ada cucuk hendak jaga. Cik Khadijah orang muda. Bang Ariff ni, baik orangnya. Hatinya muda. Dia mahukan seorang teman seperti Cik Khadijah untuk memberi inspirasi dan tenaga. Dia mungkin akan menulis lebih banyak sekarang setelah medapat inspirasi dari Cik Khadijah,” kata isteriku, menyindir aku.

Khadijah mendengar kata-kata isteriku dengan serious tanpa berkata apa-apa. Dia duduk diam saja, seolah-olah memikirkan kata-kata itu. Isteriku melihat hal itu dan menyangka dia kecil hati dengan kata-katanya, lalu dia menambah, "Cik Khadijah janganlah menaruh syak dan waham terhadap apa yang saya kata tadi. Saya anggap Cik Khadijah sebagai adik saya, dunia dan akhirat." Lalu isteriku memeluk dia. Aku pergi ke dapur melihat hidangan makanan yang sudahpun siap. “Panggillah dia makan,” kata isteriku padaku. “Eloklah awak jemput dia,” jawabku. Isteriku pun mengajak dia ke dapur serta menunjukkan kucing Parsi kesayangannnya dan dua ekor arnab peliharaan cucuku. Khadijah mendukung kucing Parsi itu serta menghurut-hurut belakangnya. “Cantik sungguh dia,” kata Khadijah. “Apa namanya, Kak?”

“Tiger. Cuba lihat di sini. Ini Kibu, anjing Hang Tuah.”

“Kak pelihara banyak binatang.”

“Pokok pisang pun ada.” Lalu ditunjuknya pokok-pokok pisang raja yang rimbun hasil tanamanku. “Sepokok baru ditebang. Buahnya cukup elok. Cik Khadijah boleh ambil sedikit bawa balik buat goreng pisang.”

“Marilah kita makan,” kataku. “Nanti sejuk tak sedap pula.”

Waktu aku menghantarnya ke lapangan terbang besoknya, Khadijah berkata kepadaku, “Kak Kamsiah itu sangat baik orangnya. Sedih hati saya memikirkan saya akan mengambil awak daripadanya.”

“Tijah,” jawabku. “Jangan fikir begitu. Masing-masing kita ada tugas dan kesukaan masing-masing. Dulu saya tidak pernah berada di sisi isteri saya dua puluh empat jam. Saya bekerja, menghadiri persidangan di sana-sini dan berkawan. Demikian juga bila saya kahwin dengan awak nanti. Awak pun begitu. Apa yang penting ialah kejujuran dan kesetiaan kita satu sama lain, bukan? Bila saya kahwin awak nanti, tidak bermakna saya tak peduli dan tak kasih kepada Kak Kamsiah lagi. Jika saya juga pedulikan Kak Kamsiah, tidak bermakna saya tak pedulikan awak. Saya kasihkan awak dan saya juga kasihkan Kak Kamsiah. Awak fahamkah itu?”

" O.K., saya faham,” jawab Khadijah.

* *

Hari Ithnain, dua minggu selepas itu, aku kahwin dengan Khadijah di Pejabat Agama Selangor dengan disaksikan oleh dua orang pegawai di pejabat itu dan juga oleh ibu dan abang Khadijah, Zulkifli. Balik ke rumah, kami makan bersama-sama, dengan semua anggota keluarga Khadijah, ibunya, dua abangnya, kakaknya dan adik perempuannyanya dan anak-anaknya. Selepas itu kami berdua sembahyang zohor bersama, aku menjadi imam. Kemudian kami berdua tidur di katil pengantin dan itulah kali pertama aku sentuh dia, Khadijah, isteriku yang baru, dengan sentuhan kasih yang mendalam. Pada petangnya kami menjadi tuan rumah kepada satu jamuan teh untuk meraikan perkahwinan kami di sebuah restoran di Petaling Jaya. Keluarga dan kawan yang rapat saja dijemput. Setelah jamuan, pada malam itu juga, kami berdua berlepas ke Zurich untuk bercuti.

* *

Demikianlah cerita penulis dan ahli politik kita Ariff bin Sidik. Dia mendapat dua orang anak dengan Khadijah, seorang lelaki dan seorang perempuan. Setelah kembali dari cuti, Khadijah berhenti kerjanya serta menjadi setiausaha kepada Ariff dalam syarikat perundingnya. Kemudian beliau pergi ke London mengambil kursus selama setahun serta membuka syarikatnya sendiri. Ariff menumpu segala perhatiannya kepada penulisannya dan melepaskan urusan perniagaannya ditadbirkan oleh menantunya, seorang pemustautin tetap dari Australia, kerana beliau seorang yang mahir dan cekap dalam bidang perniagaan dan beramanah pula.

Demikianlah dunia ini berjalan terus dan akan terus kekal bersama cakarwala yang maha besar ini sampai satu masa, berbilion tahun lagi, mengikut perkiraan manusia, apabila dikehendaki Tuhan ia tamat. Apa yang dikatakan Kiamat ialah tamatnya satu zaman dalam kehidupan dan bermulanya satu zaman yang lain, yang lebih tinggi dalam skala kehidupan. Ariff dan Khadijah akan diganti oleh anak-anak dan cucu mereka dan demikian juga keluarga-keluarga lain, generasi demi generasi. Keluarga, kaum dan bangsa yang gagal akan hapus, diganti oleh keluarga, kaum dan bangsa lain yang lebih berjaya. Apakah kriteria kejayaan ini? Kebolehan keluarga, kaum dan bangsa itu mengatasi masalah-masalah kehidupan mereka dari segi material, moral dan spiritual. Tuhan menghantar nabi dan rasul kepada semua masyarakat untuk mengajar manusia mencapai kejayaan ini. Nabi yang akhir, Muhammad, dihantar kepada seluruh manusia dengan kitab Tuhan yang akhir kepada manusia, Quran yang Besar, pada saat masyarakat manusia melangkah masuk ke zaman masyarakat antarabangsa dan zaman sains dan teknologi. Inilah sebabnya wahyu yang pertama kepada Muhammad ialah perintah membaca kepada manusia. Malangnya, umat Muhammad gagal mematuhi perintah ini terus-menerus dan mereka telah gagal dan telah diganti. Manusia akan dibawa ke zaman-zaman yang lebih maju dan tinggi yang tidak dapat dibayangkan olehnya sekarang. Inilah ketentuan Ilahi yang tidak dapat tidak akan erlaku. Semua ini bukan rahsia lagi kepada mereka yang membaca dan mengkaji Quran.


10 Februari, 2000,
Hospital Umum,
Bandaraya Tanjung, P. Pinang.

6 comments:

zymse said...

Kalau dalam karya fiksyen boleh kah watak yang tidak wujud tetapi hanya khayalan pengarang dikatakan ada kena mengena dengan Takdir Ilahi atau pun kehendak Tuhan?
Ariff dan Khatijah adalah watak khayalan yang tidak wujud dalam dunia sebenar tetapi pertemuan mereka diatur oleh Ilahi yang memang wujud. Bagaimana mungkin?

Kassim Ahmad said...

1. Sesuatu karya fiksyen, walaupun khayalan, berpijak di bumi nyata, dan patuh kepada undang-undang alamiah.
2. Takdir itu apa yang sudah berlaku. Sebelum berlaku, ia bukan takdir.
3. Tuhan Maha Mengetahui. Dia tahu semua dari awal hingga akhir, tetapi pengetahuan Tuhan (yaNg kita tidak tahu) bukan bermakna manusia tidak bebas.

Kassim Ahmad said...

Tambahan kepada balasan saya semalam: walaupun karya fiktif itu khayalan, daya imiginasi dan kreatifnya boleh melonjakkan tamadun.

maae said...

Salam Pak Kassim,

1.Cerpen 1 boleh di asimilasi dalam keterbukaan akal. Akal kita terhad mengikut peringkat dan logik. Menjadi kreatif mengguna akal dalam ruang lingkup di asuh dan terasuh.
Akal liar bawa kemudaratan.

2.Kemampuan mengatasi cabaran demi cabaran dan kajian peyelidikan yang memakan masa bertahun-tahun. Juga dari permerhatian malah di laksana secara praktikal akan membuahkan ketokohan ilmuan sebagai rujukan bukti manusia untuk manusia.Tidak ada salah untuk mengguna ilmu tersebut.

3.Cuma kadangkala kita terlupa dalam keghairahan mencari dan merujuk keilmuan, kelak boleh membinasakan.Manusia di jadikan tidak sempurna dengan himpunanan sikap jelek dan baik. Manusia binasa kerana sikap keluh kesah, tidak sabar,kedekut serta tamak, gilakan dunia dan kemasyuran kuasa.

4.Kita terlupa bahawa kita kerap mensyirikkan Allah Subhanawataala. Semua ini kerap terjadi kerana kita sering terlupa bahawa Ilmu Allah itu mengatasi dan meliputi segala-gala nya.

5. Cerpen 2 pula hanya fantasi dan ilusi keseronokan dunia mengabui bayangan minda meneroka kehidupan realiti. Penat,jerih mencari laba sudah tentu Allah makbulkan kepada sesiapa sahaja.Terpulang kepada banyak nya usaha. Tidak terkecuali juga kepada kafirun.Kaum adam dan hawa (jodoh) supaya boleh mewaris kan zuriat halal zaman berzaman (tidak kekal dan di ganti-ganti)selagi Robbuljalil REDHO dan mengkehendaki sehingga KIAMAT.

6. Takrif KIAMAT dalam cerpen 2 MENGELIRUKAN. KIAMAT BUKAN 'kehidupan seterus nya'menamat perubahan dan gantian generasi bergenerasi adam dan hawa untuk berbilon tahun akan datang.

7. KIAMAT ITU BENAR KEJADIAN NYA. Bakal terjadi secara NYATA. Hanya Allah yang mengetahui dan menurun kan perubahan dengan tanda-tanda kecil dan besar sehingga ke tanda akhir nya. Semua orang Islam wajib tahu. Ilmu Kepercayaan Akidah dan Keimanan dalam Rukun Iman yang 6 yang di tuntut WAJIB percaya.

Apa-apa pun,dari Allah kita datang kepada Allah jua kita akan kembali.

Hasmadi Husin said...

Dr Asri mula mempersoal hukuman rejam didalam facebook,Beliau menytakan hukuman rejam bukan hudud yang ditetapkan didalam quran,tetapi bersandarkan dari hukuman takzir .

Anonymous said...

Sememangnya hukum rejam bukan satu hukuman daripada wahyu daripada Allah swt kepada Nabi Muhamad saw.

Hukuman rejam ini telah sedia wujud dalam kitab Torah Bani Israel (pengikut Nabi Musa as.) dan kitab Injil Bani Nasara (pengikut Nabi Isa as.)

Nabi Muhamad saw sebagai pemerintah Madinah sendiri menjatuhkan hukuman rejam kepada pasangan Yahudi yang berzina walaupun kaum Yahudi di Madinah itu menyatakan hukuman rejam itu tidak dipakai lagi oleh mereka. Bagi pasangan Yahudi yang berzina hanya diconteng arang ke muka mereka dan diarakkan sekeliling kampung sebagai hukuman memalukan mereka saja. Sila rujuk Hadith Bukhary dan Muslim kisah ini.

Bagi kaum pengikut Yahudi dan Nasrani pendekatan mereka ialah untuk memberi peluang kepada pesalah untuk bertaubat dan memulakan hidup dalam kebaikan kerana bagi mereka yang hanya layak menghukum adalah God mereka apabila mereka mati nanti.

Sungguhpun agama orang Yahudi 2000 tahun lebih awal dari agama Islam; dan agama orang Nasara 600 tahun lebih awal dari agama orang Islam; tetapi mereka itu mengamalkan sifat mengampun sesama umat mereka, berlawanan sekali dengan umat Muhamad saw. yang tidak mempunyai semangat kasih sayang bersama umat, kecuali ingin menghukum, membenci, memusuhi sesama penganut agama sama.

Jadi, sampai kiamat pun orang Islam akan bermusuhan sesama Muslims lain.