Tuesday, September 06, 2011

NASIONALISME DAN KOLONIALISME: MAT SABUISME
DAN KESILAPANNYA

(Versi diperpanjang sedikit.)
Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my
6 September, 2011

1. Gerakan Pembebasan dari Dua Kuasa Hegemoni
Selepas Perang Dunia Kedua, timbul dua kuasa hegemoni: Liberalisme Barat yang dipimpin oleh Inggeris-A.S., dan Kominisme Timur yang dipimpin oleh Rusia Soviet-China Komunis. Dari pertembungan dua kuasa hegemoni yang bersifat imperialis ini lahir gerakan-gerakan pembebasan dan kemerdekaan Dunia Ketiga. Gerakan-gerakan pembebasan dan kemerdekaan ini telah pun berbunga dari semangat nasionalisme dalam Dunia Ketiga selepas Perang Dunia Pertama. Turki, Mesir, India, Pakistan, Indonesia, Malaysia dan negara-negara lain di Dunia Ketiga, kecuali Palestin , merdeka.
Perjuangan kemerdekaan ini mengambil dua bentuk besar: secara damai, dan melalui perjuangan bersenjata. India dan Malaysia contoh bagi bentuk perjuangan pertama, Vietnam dan Indonesia contoh bentuk kedua.
Untuk meringkaskan cerita, sistem hegemoni Komunis Timur runtuh sebelum akhir abad ke-20. Kedua-dua Rusia dan China, pada praktiknya, berpindah kepada sistem Kapitalis-Liberal. Sejak 2007, sistem Kapitalis-Liberal ini pula runtuh. Proses ini sedang kita saksi sekarang.

2. Jangan Cari Salah, Cari Penyelesaian kepada Masalah
Alhi falsafah Amerika, Lyndon LaRouche, berkata lebih kurang, “Kita jangan bercakap tentang jenayah. Siapa yang tidak melakukan jenayah? Lebih baik kita tumpu kepada menyelesaikan masalah-masalah kita.” Beliau, nampaknya, memasukkan kesilapan dalam istilah jenayah. Siapa yang tidak membuat kesilapan? Manusia itu diciptakan lemah.
Pemimpin-pemimpin seperti Mat Sabu lupa akan hal ini. Mereka hanya tahu menyalahakan orang lain, sedangkan kesalahan mereka sendiri tidak mereka nampak. Garis antara nasionalisme dan kolonialisme itu kadang-kadang tidak begitu jelas. Dua blok hegemoni yang saya sebutkan di atas itu bersifat kolonial, mahu menjajah negara-negara lain. Tugas kaum nasionalis memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan negara mereka. Mereka harus peka untuk berpijak teguh di bumi patriotisme daripada menceburkan diri mereka ke dalam sistem penjajahan lain. Kita harus bezakan antara nasionalisme tulen yang berpijak kepada cita-cita luhur bangsa kita dengan nasionalisme palsu yang diperalatkan oleh satu penjajahan baru. Ideologi Komunisme itu satu sistem penjajahan baru, walaupun ia lahir di Eropah sebagai bantahan terhadap sistem penjajahan Kapitalisme Liberal.
Mat Indera yang diangkat Mat Sabu sebagai wira apabila dia menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari, 1950 itu anggota Parti Komunis Malaya, sayap Komunis Antarabangsa yang ingin menjajah Malaya. Anggota-anggota Polis yang mepertahankan Balai Pols itu memang memeprtahankannya ketika Malaya masih di bawah penjajahan Inggeris. Ini bermakna kaum nasionalis kita terpaksa memilih antara dua sistem penjajah. Mereka kena pilih sistem penjajahan yang akan menjaminkan patriotisme mereka membuah menjadi kemerdekaan.
Nyatalah pilihan yang telah dibuat oleh nasionalis pimpinan UMNO itu lebih baik. Bandingkan dengan apa yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia, dengan peristiwa beradarah Parti Komunis Indonesia (PKI) serta tindak balas Tentera Indonesia dalam peristiwa berdarah 30 September, 1965, dikenal juga dengan nama Gestapo. Dalam peristiwa tragik itu, enam orang Jeneral dibunuh, dan penyembelihan beratus ribu anggota PKI, termasuk ketuanya D. N. Aidit.
Sekarang Indodnesia kembali ke dalam sistem Kapitalis Liberal, seperti Malaysia.
Ambil contoh Vitnam. Kemerdekaan Vietnam dari penjajahan Perancis dan kemudian Amerika dilakukan melalui perjuangan bersenjata yang sengit yang dipimpin oleh tokoh nasionalis-komunis Ho Chi Minh dan tokoh-tokoh nasionalis lain. Perang Vietnam kedua mengorbankan antara 1 hingga 3 juta asykar dan orang awam Vietnam, dan 58,220 asykar Amerika – satu pengorbanan yang amat besar.
Apabila Rusia dan China berubah dari Kominisme kepada Kapitalisme Liberal, Vietnam pun turut berubah.
Ini menunjukkan bahawa manusia boleh buat silap. Yang penting bukan menangisi atau mengecam kesilapan itu. Yang penting mengatasi kesilapan itu.

3. Asal-usul Nasionalisme Melayu
Nasionalisme Melayu bermula dengan Kongres Melayu yang ketiga di Kampung Baharu, Kuala Lumpur pda 1-4 Mac, 1945, disertai oleh 200 orang wakil dari 41 pertubuhan, termasuk Parti Kebangsaan Melayu (PKMM). Apa yang terjadi tidak lama kemudian, PKMM keluar dari Kongers Melayu itu, dan serpihan daripada UMNO menubuhkan PAS. PAS sendiri telah melalui tiga jalur ideologi: Islam Kiri di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Islam-nasionalis Mohd. Asri Muda, Islam teokrasi ala Iran di bawa h pimpinan Hj. Yusuf Rawa dan Hj. Abd. Hadi sekarang.
UMNO di bawah pimpinan Tungku Abdul Rahman mencapai kemerdekaan melalui perundingan dengan Inggeris dan menubuhkan Kerajaan Malaya merdeka, kemudian Malaysia. Dasar kolonial Inggeris yang diambil-alih bulat-bulat oleh Tungku Abdul Rahman gagal menyeleasaikan maslah hubungan kaum, dan ini membawa kepada kesilapan strategik beliau yang besar, iaitu menyingkirkan Singapura dari Malaysia. Ia juga membawa kepada tragedi Mei 13 yang mengorbankan hampir 200nyawa. Tragedi ini, walaupun malang sekali, membawa pengajaran yang besar yang tidak harus dilupakan oleh patriot-patriot Malaysia.

4. Kelemahan Nasionalisme Kanan UMNO
Nyatlah nasionalisme kanan UMNO gagal menyelesaikan soal perpaduan kaum di Malaysia. Tragedi Mei 13 mengakibatkan kejatuhan Tungku Abdul Rahman. Pimpinan UMNO dan negara diambil-alih oleh Tun Abdul Razak, dan ketegasan dan keberanian beliau dan regunya (yang termasuk pemimpin dan intelektual bukan-Melayu) telah membawa kepada beberapa perubahan besar dalam dasar negara, seperti penggubalan Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar luar bebas, dan perluasan gabung Perikatan (tiga buah parti UMNO-MCA-MIC) dengan gabungan Barisan Nasional yang lebih besar.
Perubahan-perubahan ini telah membawa kepada kestabilan politik yang lama di Malaysia, dari 1970 hingga 1998 apabila Anwar Ibrahim disingkirkan dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Dari saat itu hingga sekarang, kestabilan politik Malaysia terjejas teruk.

5. Apa yang Harus kita Buat Sekarang?
Tidak syak lagi, orang Melayu-Islam dalam UMNO dan PAS harus mencari titik-titik pertemuan untuk mengadakan kerjasama yang kukuh. Hapuskan kebencian dan permusuhan dalam kehidupan politik kita, seperti waktu kita mula-mula dalam Kongres Melayu yang telah saya sebut di atas. Gabungan ini harus bertindak sebagai sokoguru atau teras bagi perpadaun semua suku-bangsa di Malaysia. Ini wajib. Ini saja kaedah yang akan menjaminkan kelangsungan bangsa Malaysia.
Untuk membolehkan gabungan ini wujud dan berkesan, dasarnya mestilah progresif -- progresif dalam kerangka pandangan hidup Islam moden. Saya sebut moden sebab kita hidup dalam dunia moden yang ditunjangi oleh sains dan teknologi moden. Pandang hidup Islam moden berpaksikan keadilan dan kebenaran dan kepada penggunaan sains dan teknologi moden pada tahap maksimum.

6. Gunakan Pandang Hidup Islam Yang Universal, Moden dan Progresif;
Hapuskan Rasuah dan Pembaziran, Tingkatkan taraf Hidup Rakyat,
Sasarkan Kecemerlangan

Harus kita ingat bahawa Islam itu bersifat universal, merangkumi semua bangsa dan semua zaman. Kita harus bawa tafsiran moden kepada Islam. Tafsiran zaman silam tidak boleh dipakai lagi. Dasar gabungan inti ini harus adil kepada semua suku-bangsa, dan harus berdasarkan kebenaran.
Perisytiharaan ini saja akan memberi suatu semangat baru kepada seluruh rakyat Malaysia. Satu inspirasi baru akan masuk ke dalam kehidupan kita. Perkara ini bersifat spiritual, dan amat penting.
Pada praktiknya, untuk menaikkan semangat rakyat kita, Kerjaan harus mengisytiharkan beberapa dasar baru. Gaji mereka yang berpendapatan rendah (di bawah RM 2,500 sebulan) harus dinaikkan kepada RM 3,500. Rasuah dan pembaziran harus dikurangkan kepada minimum. Aktiviti ekonomi produktif, khasnya dalam bidang pertanian dan penternakan, perlu ditingkatkan. Kita ada banyak tanah terbiar, tetapi pengahasilan beras, binatang-binatang ternakan, seperti lembu dan kambing, dan sayur-sayuran tidak cukup. Cukupkan. Kemiskinan harus dibasmi seberapa segera, kerana kemiskinan satu penyakit yang boleh membawa kepada ketidakstabilan negara. Ia boleh dihapuskan.
Ahli-ahli parti hendaklah diajar melalui kursus politik yang saintifik untuk berkhidmat kepada rakyat, di samping menjaminkan ganjaran yang cukup kepada mereka. Ini akan mengelak daripada penyakit –penyakit politik wang (rasuah) dan politik cantas-mencantas (rebutan kuasa).
Parti-parti harus harus mempraktikkan perundingan yang meluas dan bebas untuk menggubal dasar. Pelbagai bentuk penyelewengan dalam kepimpinan harus diatasi melalui teguran dan nasihat. Jika diteruskan juga, tindakan tegas harus diambil. Media nasional dan media parti harus menggalakan perbincangan yang serupa.
Pemimpin harus tunjuk teladan yang baik. Elak gaya hidup mewah. Semua pemimpin, dalam parti dan kerajaan, harus selalu pantau kerja-kerja di bawah kementerian-kementerian mereka, supaya kerja-kerja ini dilakukan dengan sempurna. Sasarkan kecemerlangan.
Dasar kebangsaan hendaklah ditetapkan di atas dasar kebenaran dan keadilan, dan kita harus tegas dalam hal ini. Bangsa kita harus bebas bukan saja dari segi politik, tetapi juga ekonomi, mental dan spiritual. Kita tidak boleh berkompromi dengan kuasa-kuasa penjajah, walaupun kerjasama untuk kebaikan bersama diperbolehkan.
Kita harus mengadakan persidangan-persidangan antarabangsa untuk memupuk dan membangunkan persaudaraan mukmin dan kerjasama antarabangsa berdasarkan kesatuan manusia untuk menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan.
Inilah program-progrem yang harus kita laksanakan dalam masa lima hingga sepuluh tahun akan datang.

7. Peranan Badan-badan Bukan Kerajaan
Buat permulaan mungkin ada baiknya langkah-langkah ini dimulakan oleh badan-badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan politik kepartian yang selama ini telah ditimpa penyakit sistem penjajahan “Perang satu dengan semua” – falsafah politik penjajah yang diajar oleh ahli falsafah Inggeris Thomas Hobbes. Kita harus tukar falsafah ini dengan falsafah “kerjasama dengan semua untuk kebaikan semua”. Mungkin badan-badan Bukan Kerajaan patut mengambil dayausaha ini.
Jangan kita bermula dengan pesimisme. “Ini terlalu unggul. Mustahil kita capai!” Kita dijadikan Tuhan khalifah, raja di dunia ini, boleh menentukan nasib dan destini kita sendiri. Zahirkan potensi ini. Kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

-------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

16 comments:

Jebon said...

Isu yg berbangkit sekarang membuatkan sy sekarang mahu menyelidik sejarah dari pelbagai aspek... buat masa nih sy sedang menyelidik fakta2 dari artikel portal Malaysiakini, utk mengetahui apakah artikel dari Malaysiakini yg sy sedang kaji silalah klik nickname "Jebon" diatas ini...

arya said...

Jangan cari salah, cari penyelesaian kepada masalah.
Kita manusia kalau menyukai seseorang atau sesuatu barang kita akan puji melangit dan akan mengeji dengan sebenci-bencinya kalau kita tidak menyukai orang berkenaan.
Kita tak ambil berat atau peduli apakah pujian kita layak untuk diterima oleh orang yang berkenaan.
Begitu juga apakah kebencian kita berasas untuk dihulurkan kepada orang berkenaan?
Pagi ini kita kutuk orang pada sebelah petang kita ajak dia pergi memancing, apakah orang berkenaan dengan senyuman akan menerima pelawaan kita atau dia akan berkata' pergi mampuslah awak'
Sebagai permulaan untuk menghapuskan kebencian dan permusuhan kita mulakan dengan 'jangan sakiti hati orang lain' sama seperti hati kita sendiri'tidak ingin disakiti oleh orang lain'.

Unknown said...

pandangan yang bernas..

Anonymous said...

Sdr tak sentuh yang UMNO bukannya sebuah gerakan yang aktif melanyak pentadbiran penjajah, yang aktif adalah gerakan kiri Melayu, gabungan PUTERA-AMCJA, Kesatuan Sekerja, NGO, sasterawan dari pelbagai pihak dan latar belakang. UMNO sehingga kini tidak mahu iktiraf pejuang kemerdekaan pada tempat yang digniti dan wajar sepert Burhanuddin, Ahmad Boestaman, Rashid Maidin dan ramai lagi. Umno asyik-asyik tampilkan Dato Onn dan Tunku yang ada pihak yang menganggapnya sebagai 'barua' dan pengawai penjajah. Mana ada Tunku atau Dato Onn yang menentang penjajah itu sebab depa tak pernah masuk jel kena ISA. Akhirnya kita 'merdeka', dengan lagu kebangsaan yang diciplak(Terang Bulan), reka bendera pun diciplak(mirip AS) dan fakta sejarah diputar belit ang kemerdekaan kita dicapai tanpa tumpah darah pada hal ramai kena tembak dan dibunuh seperti Mat Indera.Larouch pun tak tahu hakikat ini.
Apabila darurat diisytiharkan habis semua gerakan kiri diharamkan dan UMNO pun naik tocang dan berlagak dialah 'the' fighters of independence. Filem Jins Shamsuddin diusung sebagai cerita yang menggambarkan kisah besar. ini UMNO dah benggong yang 'false facts' yang 54 tahun lalu mulai dikecai dan duk guna Islam dan perkauman untuk menipu lagi sejarah perjuangan Malaya.Penjajah berjaya mengguna UMNO untuk meneruskan cara pentadbiran yang mengkayakan segelintir dan yang majoriti kena bergelut hidup dengan kos hidup yang tinggi.

Anonymous said...

saya terlalu ingin berjumpa dfengan pak kasim ,kalau tak keberatan boleh pak kasim sms no tel pak kasim pada saya?0129849930

Anonymous said...

"...Nasionalisme Melayu bermula dengan Kongres Melayu yang pertama di Kampung Baharu, Kuala Lumpur pda 1-4 Mac, 1945, disertai oleh 41 pertubuhan, termasuk Parti Kebangsaan Melayu (PKMM)..." di atas adalah kenyataan Dr. Soalannya bagaimana pula dengan Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrahim Hj Yaakob dan peranan SITC serta lain-lain lama sebelum itu? Apakah semua mereka bukan nasionalis Melayu? Jika bukan, maka siapakah mereka? Mohon penjelasan.

syed putra syed ahmad,
temerloh, pahang.

arya said...

Kalau 10 orang berada di tempat kejadian dan tiap -tiap orang di tanya tentu sekali setiap orang ada versi yang tersendiri
Masing-masing akan bercerita berdasarkan apa yang dia lihat, dia dengar, dia alami dan juga berdasarkan kekuatan personaliti masing.
Orang yg berani tak sama ceritanya dengan orang yg penakut.Orang yang pandai tak sama ceritanya dengan orang yang bodoh.Orang yang jujur tak sama ceritanya dengan orang yang suka berbohong.Orang yg waras tak sama ceritanya dengan orang yg siuman.
Orang tua tak sama ceritanya dengan orang muda.
Jadi pada saya sejarah yg dikatakan fakta sebenarnya pun mungkin hanya 50% saja yg boleh dipercayai.Yang lain banyak ditokok tambah atau dikurangkan mengikut kepentingan masing-masing.
Apatah lagi kalau ia ditulis oleh orang yang tidak berada di tempat kejadian.
Hanya Allah yg tahu apa yg sebenarnya terjadi.

Kassim Ahmad said...

1. Fakta itu fakta; tiada siapa boleh ubah. Kejadian serangan Balai Polis Kepung itu fakta. Gerombolan komunis yang menyerangnya itu fakta.Dan seterusnya.
2. Yang berbeza interpritasi fakta-fakta itu.
3. Telah saya katakan nasionalisme Asia-Afrika timbul selepas Perang Dunia I dan Perang Dunia II. Nasionalisme Melayu dimulakan pada
awal abad ke-20 apabila gerakan reformasi dimulakan oleh Syed Sheikh al-Hadi dan rakan-rakan seperjuangannya.
3. Kesatuan Melayu Muda (KMM) parti politik Melayu yang awal, tertubuh pada 1938 dan dibubarkan bpada 1942,
sementara Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhakn 1945.
3. Pada 1946 semua pertubuhan Melayu mengadakan kongres besar yang dihadiri oleh semua pertubuhan Melayu, dan menubuhkan UMNO, menjadikan UMNO sebuah gerakan politik massa Melayu. Kebangkitan bangsa Melayu inilah yang menyebabkan Inggeris memansukhkan "Malayan Union" dan bersetuju memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu/Malaya.

Anonymous said...

Terima kasih Dr kerana penjelasan semula itu dan juga kesediaan untuk memperakui fakta serta membezakannya dengan interpretasi.

Sewaktu negara kita semakin mendewasa dan hakikat bahawa 'orang-orang tua' kita yang berupaya bercerita tentang sejarah sebenar telah pergi seorang demi seorang, terdapat kecenderungan dan keperluan yang kuat di kalangan sesetengah orang yang jelas berkepentingan untuk mengemukakan interpretasi sebagai fakta bagi mengesah dan melindungi kedudukan mereka.

Ini tidaklah jauh bezanya dengan amalan raja-raja dahulu yang menjalurkan nasab keturunan dan kuasa mereka kepada Iskandar Zulkarnain, Nursyirwan Adil atau peristiwa magis tertentu bagi memberikan keabsahan kuasa, keistimewaan, kekebalan undang-undang dll kepada diri, dan keturunan mereka.

Interpretasi Umno sebagai pemula nasionalisme Melayu dan perjuangan kemerdekaan adalah salah satu daripada contoh kecenderungan tersebut.

Malah interpretasi itu kini seolah-olah mahu diangkat dan dikuduskan sebagai mitos yang dipaksakan ke atas semua dengan kudrat undang-undang dan ancaman bala ke atas yang ingkar.

Sebagai generasi selepas 57, kami amat memerlukan 'orang tua' seperti Dr untuk bercerita tentang perkara sebenar, agar akar kami tumbuh jauh ke dalam bumi dengan sihat dan benar, dan pucuk kami pula mencecah langit merdeka yang nyaman lagi segar.

syed putra syed ahmad
temerloh, pahang

maae said...

Salam Pak Kassim.

Artikel ini menarik dan saya rujuk dalam blog Perkasa agar blog pak kassim boleh di lawati demi menambah nahu dan di ambil iktibar oleh mereka-mereka yang berminat mencari ilmu, beriteraksi dengan pak kassim.

Sesungguh nya kita semua mesti sayang kepada agama, bangsa dan negara kita. Ini Jihad kita. Tidak ada lain lagi kebenaran nya.

Anonymous said...

1. apa kata kita buat debat antara kassim ahmad dan mat sabu ?? korang ni dari dulu selalu rasa mat sabu tu tak intelektual , korang je intelektual ... atau debat antara kassim ahmad dan hishamudin rais ? amcam ?
2. benarkah kapitalis lebih baik dari komunis ? apakah komunis tu tertutup dan tak leh bersikap pragmatik ? bukankah di China yang sudah jadi kuasa ekonomi dunia masih ada komunis ??
3. isu yang mat sabu cakap tu adakah persoalan komunis ? ada ke apa-apa komunis dimsia ni lagi ? bukankah itu hantu yang ditakut-takutkan sahaja ? kenapa kita membicara benda yang tak de pada zaman ini sedangkan politik kita dimsia skrg ni tak kira parti apa adalah politik duit ? kenapa kita suka cakap nonsense? spt anwar yang dikait skandal seks sedang semua orang tau pemimipin umno kaki betina kecuali anwar
4. apakah kalau kita katakan geng haluan kiri yang menguasai pentadbiran negara dan jadi pm maka negara kita akan tukar jadi komunis ? apakah kita dengan mudah buat analisis dengan sekadar menyamakan dengan sukarno sedangkan tentang sukarno tu ada banyak persoalan lain ( termasuk diugut dengan gambar main perempuan oleh komunis rusia)
5. tentang ada kaitan pemimpin haluan kiri dengan komunis sedang pemimpin itu adalah orang kuat beragama mcm mat indera anak murid bapa muhytidin yassin sampai muhyidin sekarang senyap tak cakap apa pun haha hal itu apa cerita dan persoalan sebenar , tentulah orang yang menyelami dan terlibat lebih tau dari kita yang kata ini fakta ini fakta sedang kita hanya tembak-tembak sahaja sebenarnya dari permukaan ??
6. kenapa usman awang yang intelektual yang bekerja sebagai polis mcm polis2 bukit kepong tu berhenti kerja jadi polis ???
7. ahhh kita ni semua sembang nonsense , sembang yang sepatutnya ekonomi kita parah , sapa nak betulkan supaya perbelanjaan dan pendapatan kita seimbang ???!!!!

Kassim Ahmad said...

1. Insya Allah, saya sanggup berdebat. Tetapi mengapa Mat Sabu tak mahu berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO?
2. Kebanyakan orang sudah ditimpa penyakit taksub kepada pemimpin dan ideologi. Mereka tidak boleh berfikiran secara rasional lagi.
3. Sebab itu saya kata: "Hapuskan kebencian dan permusuhan dari kehidupan poltik kita."
4. Mengapa mereka jadi begini? Tanya ulama dan cerdik pandai. Jawab saya: "Kerana kebanyakan ulama dan cerdik pandai kita takut kepada kebenaran dan sudah jadi munafik.

Juang said...

Salam,

1) Apabila majoriti rakyat Malaysia dahulu bertekad menolak komunis, ia sebenarnya satu keputusan yang tepat kerana hari ini negara pelopor komunisme pun telah beralih kepada Kapitalis Liberal.
2) Oleh kerana Malaysia lebih dahulu menolak komunisme, jelas Malaysia lebih ke hadapan berbanding negara-negara nusantara yang pernah berideologikan komunisme.
3) Kemewahan sering melalai. Tidak mustahil kita akan jatuh ke bawah balik akibat tidak pandai mengawal keinginan bila diuji dengan kemewahan.
4) Mungkin pendidikan ke arah mengawal diri menghadapi kemewahan perlu ditekankan di sekolah-sekolah lagi, kerana itulah musuh yang pernah memusnahkan umat-umat terdahulu.
5) Mentaliti orang Melayu kena berubah ke arah saintifik dan logik. Manfaat yang besar telah manusia kecapi daripada kedua-dua hukum tersebut.

Anonymous said...

Saya setuju dengan pandangan pak Kassim, Kebanyakan orang sudah ditimpa penyakit taksub kepada pemimpin dan ideologi. Mereka tidak boleh berfikiran secara rasional lagi. Macam pak Kassim sendiri dah terlalu taksub dengan Mahathir, walaupun banyak kerosakkan negara akibat perbuatan Mhathir. RM100 billion menurut sebuah buku. Dan Mahathir tak pernah nafi atau saman penulis buku tersebut.

Kassim Ahmad said...

Sdr Anon,
Tolong beri nama buku itu dan pengarangnya. Saya akan cek.

Kassim Ahmad said...

Sdr Anon: Saya masih menunggu nama buku dan pengarangnya.